Tafsir Surah Baqarah Ayat 174 – 176 (Balasan kalau sembunyi kebenaran)

Ayat 174: Ini adalah satu lagi ayat amaran dari Allah ‎ﷻ. Iaitu kepada orang yang menyembunyikan ilmu daripada manusia. Mereka yang berilmu kena sampaikan hukum halal haram kepada manusia sampai mereka faham.

Jangan sembunyikan ilmu daripada manusia. Kena sampaikan sama ada mereka yang disampaikan itu hendak terima atau tidak, jangan hirau, janji kita sudah sampaikan.

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sahih International

Indeed, they who conceal what Allah has sent down of the Book and exchange it for a small price – they consume not into their bellies except the Fire. And Allah will not speak to them on the Day of Resurrection, nor will He purify them. And they will have a painful punishment.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari Kitab;

Ayat ini merujuk kepada ‘orang agama’ yang menyembunyikan ilmu agama daripada pengikut mereka. Mereka tidak menceritakan kebenaran kepada masyarakat bahawa ada perbuatan masyarakat itu yang salah di sisi agama. Mereka tidak memberitahu, kerana mereka takut hendak beritahu.

Mereka takut hendak beritahu kerana takut masyarakat tidak dapat terima. Masyarakat pula memang senang terkejut kalau diberitahu benda-benda baru yang mereka tidak pernah dengar (kerana tidak pernah belajar wahyu). Apabila masyarakat tidak dapat terima, guru-guru agama itu takut masyarakat sudah tidak panggil mereka datang mengajar.

Apabila mereka tidak dipanggil mengajar, mereka takut mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Atau kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh. Maknanya mereka takut punca pendapatan mereka akan hilang. Maka mereka but keputusan untuk membisukan sahaja tentang kesalahan fahaman dan amalan dalam masyarakat. Agaknya mereka harap orang lainlah yang beritahu.

Antaranya yang mereka tidak beritahu adalah tentang apakah makanan yang tidak boleh dimakan, juga tentang kesalahan pengharaman makan dalam amalan pantang. Sebab apa mereka takut hendak beritahu?

 

وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلً

dan menjualnya untuk mendapat upah yang sedikit;

Mereka tidak memberitahu kerana mereka takut anak murid akan lari. Nanti takut tidak dapat duit lagi daripada anak murid-anak murid mereka yang selalu beri imbuhan kepada mereka selepas mereka mengajar. Sekarang agama sudah menjadi satu cara untuk mencari wang. Memang untung kalau jual agama.

Banyak ustaz-ustaz yang mengambil upah mengajar di masjid-masjid sampai mereka boleh pakai kereta besar-besar. Mereka ramai yang hidup dengan mewah. Itu belum lagi dikira mereka mengambil upah menjadi kepala tekong majlis tahlil atau Salat Hajat.

Kalau mereka tidak mengharap upah dalam bentuk kewangan, ada juga mereka yang mengharap kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Ini kerana ramai dalam kalangan orang agamawan yang menjadi tempat rujukan mereka dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Mereka telah mendapat kedudukan yang selesa dalam masyarakat.

Kita takut nanti terjadi seperti yang terjadi kepada Bani Israil. Pendeta-pendeta mereka menjadi rujukan orang bawahan mereka. Orang bawahan akan datang kepada mereka untuk mendapatkan fatwa tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang fatwa yang diberikan tidak seperti yang mereka ingini.

Jadi, mereka akan pergi kepada pendeta yang lain pula sampai mereka dapat fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka. Jadi, pendeta yang boleh beri fatwa yang mereka kehendaki itulah yang akan mendapat upah.

Begitulah yang terjadi dengan agama Islam sekarang. Masyarakat mahukan pendapat agama yang kena dengan selera mereka yang telah biasa mereka lakukan. Jadi ada guru-guru agama yang tidak berani memberitahu kebenaran, takut anak-anak murid mereka akan lari kepada guru yang membenarkan apa yang mereka buat.

Sebagai contoh, kalau kita beritahu Majlis Tahlil tidak boleh diadakan, mereka akan mencari guru agama yang kata boleh buat. Banyak jenis guru agama sekarang, ada yang sampai sanggup mengatakan tidak salah malahan baik untuk mengadakan majlis Tahlil dan Salat Hajat. Asalkan mereka mendapat banyak pengikut. Mereka dapat banyak pengikut dengan kata perkara yang sesuai dengan selera masyarakat.

Apabila banyak pengikut, bermakna mereka akan dapat lagi banyak duit upah. Itu juga dikira sebagai menjual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Kenapa dikata upah yang mereka dapat itu ‘sedikit’? Kerana banyak mana pun upah yang mereka dapat itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan hukuman yang mereka akan terima.

Selalu hujah yang mereka gunakan adalah: “Ini adalah perkara khilafiah. Ada pendapat yang mengatakan boleh.” Mereka kata itu adalah perbezaan pendapat antara ulama’. Ada kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Ingatlah bahawa akan ada sahaja orang yang mengaku ahli agama yang akan mengatakan boleh melakukan sesuatu itu.

Kalau kita hendak mencari ustaz yang mengatakan boleh buat apa-apa, kita akan berjumpa dengan ustaz yang kata boleh. Namun adakah benar hujah mereka itu? Kita kenalah jujur dengan agama. Janganlah hanya mengikut pendapat ustaz sahaja. Kena dapatkan apakah dalil mereka. Kalau pendapat yang diberikan tidak ada dalil, tidak boleh dipakai. Memanglah khilafiah, tapi antara yang ‘ada dalil’ dan ‘tidak ada dalil’. Maka kita tidak boleh pakai pendapat kosong sahaja.

Kalau dalil yang diberikan bukan daripada Al-Qur’an dan Sunnah, maka tolaklah hujah mereka itu. Ada kemungkinan mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan. Janganlah kita bodoh sangat sampai kita sangka kalau seseorang itu dipanggil ‘ustaz’, dia sudah tahu semua tentang agama. Ramai yang ikut sahaja kata masyarakat awam kerana takut nak tegur.

 

أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ

Tidaklah mereka makan dalam perut-perut mereka melainkan api neraka

Apabila ustaz-ustaz, guru-guru agama menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat untuk memberikan pandangan agama hanya untuk memuaskan hati pengikut-pengikut mereka, dan dapat rezeki dengan cara itu, Allah ‎ﷻ kata Dia akan memasukkan api neraka ke perut mereka.

Maknanya, rezeki yang mereka makan hasil daripada apa yang mereka ajar kepada masyarakat itu adalah api neraka sebenarnya. Mereka sangkakan yang itu adalah rezeki, tetapi rupanya ia adalah api neraka.

 

وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ

dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Kiamat;

Ini adalah satu penghinaan apabila Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak akan berkata dengan mereka kecuali dengan kata-kata yang tidak baik – dalam keadaan marah. Tidak ada kata-kata yang baik dan mesra untuk mereka jenis ini kerana amat berat kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka sepatutnya orang yang banyak belajar agama, sepatutnya tahu mana yang haram dan mana yang halal. Merekalah yang sepatutnya menyelamatkan masyarakat dari neraka, tetapi mereka tidak beritahu kebenaran kepada masyarakat.

Allah ‎ﷻ tidak akan berkata-kata dengan mereka dengan lembut. Tidak seperti Allah  ‎ﷻ berkata dengan hamba-Nya yang mukmin. Allah ‎ﷻ menzahirkan keredhaan Allah ‎ﷻ kepada mereka yang mukmin dengan pemberian yang lebih baik lagi daripada syurga (iaitu Allah ﷻ berkata-kata dengan mereka).

Namun kepada mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar, Allah  ‎ﷻ amat murka dengan mereka. Allah ‎ﷻ cakap kasar dan kesat dengan mereka. Macam manusia halau dan hambat anjing.

 

وَلَا يُزَكِّيهِمْ

dan tidaklah Tuhan akan menyucikan mereka;

Bermakna Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Kita sebagai manusia tentu banyak dosa yang kita lakukan. Kita mengharapkan semoga Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa kita itu. Namun kalau Allah ‎ﷻ kata Dia tidak akan menyucikan dosa kita, maka amat malanglah nasib kita nanti.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;

Inilah yang diberikan kepada mereka yang tidak mahu menceritakan halal haram yang telah Allah ‎ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an. Azab yang pedih bermakna azab yang tidak akan berkurangan langsung dari mula-mula masuk neraka sampai bila-bila.


 

Ayat 175:

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِ‌ۚ فَمَآ أَصبَرَهُم عَلَى ٱلنَّارِ

Sahih International

Those are the ones who have exchanged guidance for error and forgiveness for punishment. How patient they are in pursuit of the Fire!

Malay

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

 

أُولَٰئِكَ

Mereka yang bersifat seperti ini,

Iaitu mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar kerana mereka mahukan kedudukan dan imbuhan dari masyarakat.

 

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِٱلهُدَىٰ

adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan menjual petunjuk

Allah‎ ﷻ kata mereka jual hidayah dengan beli neraka. Mereka sudah dapat hidayah, tapi mereka tukar dengan kesesatan.

 

وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ

dan membeli azab dengan menjual keampunan

Mereka ambil azab dengan jual keampunan. Ini adalah sesuatu yang amat bodoh sekali. Ini adalah perniagaan yang amat merugikan sekali. Mereka dapat kebaikan di dunia (dari segi harta), tetapi menerima nasib yang teruk di akhirat kelak.

 

فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Maka alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka

Ini adalah kata-kata ejekan dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak kata lihatlah betapa tololnya mereka. Mereka boleh sabar dalam neraka? Mereka hendak bersabar dalam neraka? Mereka rasa mereka boleh bersabar duduk dalam  neraka?

Walaupun mereka sabar dalam neraka, mereka akan duduk dalam neraka juga. Tidak tahu entah berapa lama (terpulang kepada Allah ‎ﷻ). Orang yang duduk dalam penjara dalam dunia ini, kalau mereka sabar, akhirnya mereka akan keluar juga. Ataupun mereka akhirnya akan mati juga akhirnya. Namun kalau duduk di neraka, mungkin tidak akan keluar-keluar dan tidak akan mati-mati. Berapa lama duduk dalam neraka pun tidak akan tahan. Duduk sesaat pun sudah azab ya amat.

Selalunya kalau kita sabar, kita akan dibalas dengan sebab kesabaran kita itu tetapi tidak dalam kes ini. Tidak ada ada apa-apa kebaikan yang mereka akan dapat kalau mereka bersabar selama mana pun dalam neraka kerana neraka bukan tempat untuk sabar. Tempat sabar adalah di dunia.


 

Ayat 176:

ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ بِٱلحَقِّ‌ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱختَلَفُواْ فِى ٱلكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقِۭ بَعِيدٍ

Sahih International

That is [deserved by them] because Allah has sent down the Book in truth. And indeed, those who differ over the Book are in extreme dissension.

Malay

(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ ٱلڪِتَـٰبَ

Mereka mendapat azab itu kerana Allah telah menurunkan Al-Qur’an

Allah ‎ﷻ marah sebab Dia telah turunkan wahyu untuk disebarkan, bukan untuk disimpan. Wahyu yang diturunkan itu adalah untuk diamalkan. Kalau tidak disebarkan, tentulah orang tidak mengamalkannya. Maka sesiapa yang Allah ﷻ telah pilih untuk belajar wahyu, maka mereka kena sampaikan apa yang mereka telah belajar.

Maka anda yang sedang membaca tulisan ini, kena sebarkan tulisan ini. Kena sampaikan kepada mereka yang masih tidak tahu. Jangan simpan sendiri tapi kena disebarkan kepada masyarakat yang kebanyakannya masih jahil tentang ajaran wahyu.

 

بِالْحَقِّ

dengan bawa kebenaran;

Allah ‎ﷻ berikan wahyu untuk zahirkan kebenaran. Kebenaran apa? iaitu Dia adalah Tuhan dan semua kena puja Dia sahaja (tidak boleh puja selainNya). Kalau sembunyi fakta ini, Allah ‎ﷻ murka kerana tujuan kebenaran itu adalah hendaklah disampaikan kepada masyarakat. Kalau disimpan sahaja, ia tidak menepati kehendak Allah ﷻ.

 

وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي ٱلكِتَـٰبِ

Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih dalam kitab ini;

Manusia memang selalu sahaja ada perselisihan di antara mereka. Dalam hal agama, ada yang beritahu tentang kebenaran, dan ada yang sembunyi kebenaran itu.

Mereka berselisih itu sebab mereka yang menyembunyikan kebenaran itu ada kepentingan peribadi untuk mereka. Iaitu mereka hendak menjaga periuk nasi mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu kebenaran, rezeki mereka akan berkurangan. Apakah kedudukan mereka?

 

لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

sesungguhnya berada dalam persimpangan yang amat jauh.

Mereka berada amat jauh daripada kebenaran. Kebenaran tidak akan sampai lagi kepada mereka. Mereka akan terus berada dalam kegelapan dan kejahilan. Ini kerana mereka telah berlawanan dengan kebenaran yang sepatutnya disampaikan.

Habis Ruku’ 21 dari 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 174 – 176 (Balasan kalau sembunyi kebenaran)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s