Tafsir Surah Baqarah Ayat 177 Bahagian 2 (Kepentingan sabar)

وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ

dan mendirikan sembahyang;

Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang ibadah-ibadah khusus. Berkenaan solat, seorang lelaki kena solat di masjid. Perempuan pula seeloknya solat di rumah kerana perempuan tidak digalakkan untuk pergi ke masjid. Pahala wanita lebih banyak kalau solat di rumah.

‘Mendirikan sembahyang’ itu termasuklah mandi junub, mandi dari haid dan nifas seperti mana yang Nabi ajar. Dan juga mengambil wudu’ sepertimana Nabi ajar.

Apakah maksud أَقَامَ? Mendirikan solat. Allah ﷻ tak sebut ‘melakukan solat’ tapi Allah menyebut ‘mendirikan solat’. أَقَامَ itu seperti tiang rumah. Kalau kita bina rumah, tentu tiang rumah kita bina dulu sebelum kita buat dinding, atap dan sebagainya. Dan selepas rumah itu telah ada, kita akan letak perabot dalam rumah.

Perabot dan apa sahaja dalam rumah kena disusun dengan mengambil kira tiang rumah yang sudah ada. Tidak boleh kita nak tukar tiang rumah sebab kita nak letak perabot di situ. Apabila Allah ﷻ gunakan perkataan أَقَامَ, ia bermaksud perkara-perkara lain dalam kehidupan kita kena ambil kira tentang solat.

Waktu solat tidak boleh diubah lagi seperti juga tiang rumah tidak boleh diubah. Perkara-perkara lain yang kena beri ruang kepada solat – bukan solat yang kena beri ruang kepada perkara lain.

Kenapa Allah ﷻ menyebut tentang solat dalam ayat ini? Lihatlah tentang saranan dari Allah ﷻ sebelum disebut tentang solat ini: memberi harta kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin dan sebagainya itu boleh dilakukan oleh orang yang tidak beragama pun.

Contohnya, orang kafir pun boleh juga buat macam itu. Dan memang ada orang kafir yang baik pun, suka menolong orang malah lebih baik dari kebanyakan orang Islam pun.

Tapi Allah ﷻ tambah dalam ayat ini tentang mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah ﷻ nak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tapi tidak berbuat kebajikan. Dan tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tapi bab solat dan zakat, kita tak jaga. Dua-dua elemen kena ada.

 

وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengeluarkan zakat;

Ini adalah ayat Madinah. Jadi, ianya adalah berkenaan dengan zakat harta. Kita kena mengeluarkan 1/40 (2.5%) dari hasil pendapatan perniagaan kita. Tanah pun kita kena bayar zakat juga. Keuntungan dari penjualan tanah kena dikeluarkan zakat sebanyak 10%. Kalau kita usahakan tanah itu, tolak kos dulu baru bagi 10%.

Rumah sewa pun kena zakat juga. Tanah yang disewa juga kena zakat. Orang Islam kena belajar lagi tentang zakat. Banyak lagi yang nak kena tahu. Malangnya ramai yang tak tahu tentang zakat ini. Maka ramai tidak keluarkan zakat. Kena kira dengan baik, sebab kalau kita tak bayar zakat, seluruh harta kita jadi haram belaka. Kalau tak cermat, boleh kena azab dalam neraka.

Dan berapa banyak yang kena bayar hendaklah dikira dengan baik. Bukan boleh agak-agak dengan jumlah yang kita nak bayar itu. Sebab ada orang yang sangka mereka telah beri sedekah kepada orang lain, maka mereka kata itu sudah termasuk dalam zakat mereka. Tidak boleh begitu.

Kena kira dengan tepat, kalau nak bayar lebih tidak mengapa. Tapi bagaimana kalau sedekah yang kita beri itu tidak mencukupi? Kita sangka cukup, tapi sebenarnya tidak? Ingatlah bahawa zakat yang tidak dikeluarkan adalah harta haram. Kalau kita tak keluarkan zakat, seperti kita makan harta fakir miskin. Kerana duit itu adalah hak mereka.

Zakat adalah untuk menghalalkan harta. Zakat adalah duit yang punah dari harta yang halal. Contoh, kita suruh pekerja kita buat air untuk pelanggan, tapi dia buat air terlupa nak letak gula. Ada pelanggan yang tak minum, tapi dia bayar juga. Maknanya, kita dapat duit yang tidak sepatutnya kita dapat.

Atau ada pekerja kita yang buat kiraan salah sampaikan mereka terlebih ambil dari pelanggan. Yang terlebih ambil itu adalah haram sebenarnya, tapi kita tak perasan sebab sudah termasuk dengan duit-duit yang lain. Atau kita pergi kerja, tapi dalam masa kerja kita itu, kita tidak sepenuhnya bekerja seperti yang sepatutnya. Kita kerja kurang masa atau kita curi tulang.

Zakat adalah untuk membersihkan pendapatan-pendapatan yang haram itu. Sebab itulah zakat tidak boleh digunakan untuk buat masjid. Zakat itu adalah untuk digunakan manusia sahaja. Buat masjid mesti guna duit sedekah, bukan duit zakat. Ini ramai yang salah buat sebab ada yang bagi duit zakat dia untuk dibina masjid. Sedangkan zakat sudah ada senarai penerimanya (8 Asnaf). Zakat juga bukan untuk dibuat sekolah atau rumah fakir miskin. Tak boleh begitu. Kena beri ikut asnaf.

Duit zakat itu kena beri kepada fakir miskin. Ikut dia nak buat apa dengan duit itu. Kalau dia nak buat rumah, ikut dialah. Cuma yang kita kena beri adalah dalam bentuk duit. Kalau dia orang yang tak baik, kita bolehlah nasihat dia supaya dia menggunakan duit itu untuk kebaikan. Dan dia pun akan dengar nasihat kita masa itu kerana kita sedang nak bagi duit kepada dia.

Tapi jangan kerana dia tak sembahyang, kita tak beri zakat pada dia. Itu adalah dosa dia, bukan masalah kita. Jangan kita hanya memilih orang yang baik sahaja untuk kita beri duit zakat itu. Memang kalau orang sudah miskin tu, mungkin ada yang ada masalah, macam boros, berjudi dan sebagainya. Tapi bukan urusan kita untuk periksa.

Tapi malangnya cara kita menguruskan zakat banyak masalah sekarang. Ada yang sanggup berhutang dengan duit zakat, padahal perkara itu tidak dibenarkan. Kadang-kadang kita dengar ada duit zakat yang tidak dituntut.

Mungkin orang yang jaga duit zakat itu tidak faham bahawa harta zakat itu mesti dikeluarkan dalam masa satu tahun. Harta zakat itu bukan untuk dihimpun dan dikumpul. Duit zakat itu perlu diberi, dan kalau tidak ada yang datang tuntut, mereka yang terlibat kena mencari mereka yang layak terima.

Duit cukai boleh kalau nak simpan, tapi zakat kena diberikan kepada manusia. Dan ada kita dengar bagaimana walaupun duit zakat itu memang diberi kepada orang susah, macam-macam pihak zakat nak tetapkan syarat. Padahal itu adalah hak dia untuk dia nak gunakan macam mana yang dia pakai.

Itulah yang sedihnya, duit zakat banyak tapi tidak digunakan dengan yang sepatutnya. Kita sampai ada dengar kisah bagaimana orang-orang yang susah itu terpaksa pergi meminta pertolongan kepada gereja Kristian sebab mereka terdesak sangat.

Dan gereja-gereja itu memang menolong mereka. Itulah sebabnya kita dengar banyak orang Melayu yang masuk Kristian kerana mereka nampak orang Kristian lagi mudah menolong orang lain dari orang Islam sendiri.

Zakat itu juga tidak boleh diberikan dalam bentuk sedikit, pecah-pecah bagi sorang sedikit. Sampai tidak bernilai apa yang mereka dapat itu. Tidak boleh beri dalam bentuk lain selain dari duit. Contohnya, ada yang beri dalam bentuk kain. Tidak boleh kita beri dalam bentuk kain, melainkan kalau kita penjual kain, baru boleh. Belanja makan pun tidak boleh. Kena beri supaya orang yang kita beri itu, dia boleh guna duit itu, ikut apa yang dia mahu gunakan dengan duit zakat itu.

 

وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُواْ‌ۖ

Dan hendaklah kamu sempurnakan janji-janji apabila berjanji;

Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang akhlak pula. Ingatlah bahawa ini adalah ayat perintah supaya kita buat. Allah ﷻ menyebut tentang orang yang sentiasa memenuhi janji mereka apabila mereka berjanji. Itulah maksud perkataan الْمُوفُونَ itu.

Sebagai contoh, kalau kita sudah tandatangan kontrak untuk buat sesuatu, itu adalah juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu.

Inilah satu ungkapan yang merangkumkan ‘Islam’ di dalamnya. Kerana Islam itu adalah berkenaan ‘perjanjian’. Kita ada banyak perjanjian sebenarnya. Perjanjian dengan Allah ﷻ, perjanjian dengan Rasulullah dan perjanjian dengan Al-Qur’an. Kita telah berjanji dan kita kena penuhi janji itu. Semua perjanjian yang halal mesti dipenuhi.

 

وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ

dan bersabar terhadap kesempitan hidup;

Ada masa kita ada masalah dengan kewangan dan kesempitan hidup. Ada masa kita bukan tidak ada duit, tapi kita merasakan hidup kita sempit kerana hidup kita tertekan dengan berbagai-bagai masalah. Kita kena bersabar dalam waktu-waktu sebegitu.

Ada pertukaran nahu (grammar) dalam perkataan الصَّابِرِينَ ini. Sebelum ini, penggunaan perkataan dalam bentuk ada penambahan ون, tapi kali ini dalam bentuk ين pula. Ini adalah kerana ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Semua yang telah disebut di atas adalah penting tapi yang paling penting adalah kita kena sabar. Tapi sabar apa?

Iaitu sabar untuk berterusan melakukan kebajikan itu. Kerana kalau tidak ada sabar/berterusan, perkara-perkara kebajikan yang telah disebut di atas tadi itu hanya dilakukan ikut musim sahaja. Kita buat sekejap sahaja. Sebab memang perlukan orang yang sabar untuk terus melakukan perkara kebaikan itu.

Kita perlukan kesabaran di dalam waktu yang susah dan perlukan kesabaran untuk terus melakukan kebajikan. Kita juga perlu sabar untuk terus beramal. Kerana syaitan akan sentiasa mengganggu kita dan membisikkan kepada kita untuk berhenti. Syaitan akan terus hasut kita sampai kita jadi bosan melakukannya.

 

وَالضَّرَّاءِ

dan musibah;

Maksudnya kena bersabar walaupun dalam kesakitan dan sebagainya. Ini tidak terjadi kepada orang miskin sahaja. Orang kaya pun boleh jatuh sakit dan ada masalah-masalah lain.

Maka apabila terjadi kepada kita, maka kena redha dan terima sahaja apa yang Allah ﷻ telah tentukan kepada kita. Mungkin kita bersedih dan ini tidak mengapa; tapi jangan persoal keputusan Allah ﷻ untuk mengenakannya kepada kita.

 

وَحِينَ الْبَأْسِ

dan ketika musibah dalam peperangan;

Dalam peperangan, kadang-kadang rumah kena bom, makanan tiada dan macam-macam lagi. Ini tentang bersabar dalam peperangan. Maka ini adalah saranan untuk pejuang agama dan mereka yang terlibat dengan keluarga yang berperang itu.

Ini penting kerana pejuang agama dan pendakwah akan sentiasa ditentang. Tahap tertinggi pertentangan itu sampai boleh sampai mati. Itu adalah kemuncak kepada penentangan kepada pendakwah dan Allah ﷻ sebut yang kemuncak sahaja dalam ayat ini. Kerana yang kena tentang cara lain itu biasa sahaja. Ramai yang kena tuduh, kena ejek dan sebagainya, itu semua adalah adalah asam garam kehidupan.

Oleh itu, telah disebut tiga perkara yang biasa manusia hadapi dan pujian kepada mereka sabar dalam tiga perkara itu.

Tidak sama antara sabar seorang dengan seorang yang lain. Tahap antara seseorang tidak sama. Mereka mungkin berada dalam barisan yang sama dalam barisan peperangan, tapi belum tentu mereka mempunyai tahap sabar yang sama. Maka kita kena bina kesabaran diri kita dan Allah ﷻ akan uji sedikit demi sedikit.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini

Yang telah melakukan setiap perkara yang disebut di atas.

 

الَّذِينَ صَدَقُوا

adalah orang yang betul-betul benar 

Orang yang benar dalam agama mereka. Benar dalam dakwaan mereka yang mereka beriman dan beragama. Tidaklah mereka cakap sahaja, tapi mereka lakukan juga apa yang disuruh kepada mereka. Mereka membenarkan apa yang mereka katakan. Iaitu percakapan dan perbuatan mereka sama (tidaklah cakap tidak serupa bikin).

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

dan mereka ini adalah sebenarnya orang yang bertaqwa;

Mereka itulah juga orang yang menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi untuk tahu sama ada kita beriman sempurna atau tidak, ialah kita tidak syirik dan sentiasa bimbang tentang akhirat. Bimbang takut-takut kita masuk neraka dan berharap sangat untuk masuk syurga.

Di awal surah ada disebutkan tentang orang-orang bertaqwa. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ menjelaskan lagi siapakah orang yang bertaqwa itu. Inilah sifat-sifat yang kena ada pada orang yang bertaqwa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 25 November 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s