وَابْنَ السَّبِيلِ
dan (kepada) anak perjalanan
Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Termasuk dalam hal ini adalah mereka yang bermusafir kerana menyebarkan agama. Ini kerana waktu itu mereka memang putus bekalan dan mereka memang mengharapkan bantuan daripada penduduk setempat. Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Untuk itu, kita kenal orang kawasan kita supaya apabila ada yang kita tidak kenal, maka kita tahu yang dia adalah orang luar, orang musafir.
Hukum Membantu Orang dalam Perjalanan terbahagi kepada dua:
-
-
Wajib
Membantu orang yang dalam perjalanan menjadi wajib jika orang tersebut sangat memerlukan bantuan untuk bertahan hidup, seperti makanan, minuman, atau kenderaan, dan hanya kita yang mampu memberikan bantuan itu. Mengabaikannya dalam situasi ini dianggap sebagai dosa. -
Sunat
Dalam keadaan umum di mana orang dalam perjalanan tidak berada dalam keadaan darurat, membantu mereka tetap dianjurkan dan menjadi amal sunnah yang sangat besar pahalanya.
-
Rasulullah ﷺ telah bersabda,
مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
“Siapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”
(Riwayat Muslim No. 2699)
Maka sunnahnya adalah mengajak mereka tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Namun apa yang biasa berlaku, kita buat yang sebaliknya. Kalau ada saudara mara sendiri pun kalau boleh kita mahu mereka tinggal di hotel sahaja. Ini tidak baik dan kita kena ubah perangai kita.
وَالسَّائِلِينَ
dan (kepada) orang yang meminta;
Kita sangka, kalau orang yang meminta mestilah Allah ﷻ letak di depan, tetapi tidak. Allah ﷻ letak di hujung-hujung ayat. Ini adalah kerana ada penerangan tentang mereka yang meminta ini. Secara umumnya, kalau ada yang meminta, kita kena tolong seboleh mungkin. Kita kena ingat yang tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Mungkin mereka selalunya tiada masalah, akan tetapi pada ketika itu mereka terdesak sampaikan meminta. Maka kerana itu mungkin mereka ini golongan tidak memerlukan sangat bantuan, dan kerana itu Allah ﷻ tidak sebut mereka di awal ayat. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. Kita kena faham, sebelum dia telefon kita, dia sudah banyak kali fikir, susun ayat bagaimana mahu meminta tolong dengan kita. Sebab dia malu sangat untuk meminta dengan kita. Melainkan kalau dia itu jenis sentiasa meminta-minta. Namun ada kawan kita yang jarang sangat dia minta tolong, maka kalau tiba-tiba dia minta tolong, itu memang terdesak sangat. Maka tolonglah mereka.
Kalau kita tidak boleh bantu waktu itu, kita yang kena minta maaf pula kepada dia. Ini Allah ﷻ sebut dalam Isra’: 28
وَإِمَّا تُعرِضَنَّ عَنہُمُ ٱبتِغَآءَ رَحمَةٍ مِّن رَّبِّكَ تَرجُوهَا فَقُل لَّهُم قَولاً مَّيسُورًا
Dan jika kamu berpaling daripada mereka untuk memperoleh rahmat daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lembut.
Jangan kita hina dia kerana meminta kepada kita. Bukan senang untuk dia minta tolong. Itu sebabnya, dalam masyarakat kita, selalu kita lihat orang meminta sedekah di kedai makan, lalu lalang dan sebagainya. Kalau kita boleh tolong, kita beri. Akan tetapi kalau kita tidak boleh beri, atau tidak mahu beri, jangan kita herdik mereka dan halau mereka pula. Kita kena bermanis muka dengan mereka. Kena ingat, sekarang mereka susah, entah bila pula kita akan jadi susah. Allah ﷻ berfirman di dalam Dhuha: 10
وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر
Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.
Kita kena tahu yang orang miskin ada dua jenis, ada yang meminta dan ada yang tidak meminta. Kita kena prihatin kepada kedua-dua jenis orang miskin ini kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Dzariyat: 19
وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Dalam adab sopan Islam, kalau belum terdesak benar, janganlah minta bantu kepada orang. Merujuk kepada situasi seseorang yang mampu bekerja namun tidak mahu bekerja mencari belanja hidup, syarak menjelaskan bahawa seseorang itu dituntut untuk bekerja dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri berbanding mengharap dan meminta-minta bantuan daripada orang lain. Terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada hal ini. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
لأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا، فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ
Sekiranya salah seorang kamu menebang pokok kayu dan memikul kayu kayan di atas belakang badannya maka itu lebih baik daripada dia meminta kepada seseorang sama ada orang tersebut memberinya atau tidak memberinya.
(Riwayat Al-Bukhari No. 2074)
Maka jadilah kita orang yang memberi, bukan yang menerima. Ada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَهُوَ عَلَى المِنْبَرِ، وَذَكَرَ الصَّدَقَةَ، وَالتَّعَفُّفَ، وَالمَسْأَلَةَ: ” اليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى، فَاليَدُ العُلْيَا: هِيَ المُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى: هِيَ السَّائِلَةُ “
“Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda ketika berada di atas mimbar, dan menyebutkan mengenai sedekah, memelihara harga diri dan meminta-minta, Baginda bersabda: “Tangan yang berada di atas adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas ialah tangan yang memberi, manakala tangan yang berada di bawah ialah tangan yang meminta-minta (menerima).”
(Riwayat al-Bukhari No. 1429)
Sebab itu kalau iman seseorang telah mendalam, kalau tidak terdesak benar, tidaklah dia akan meminta. Oleh sebab itu bagi seorang yang mampu, yang ingin berbuat kebajikan menurut ajaran Allah ﷻ, kalau telah sampai terjadi seorang meminta kepada kita, sekali-kali janganlah pengharapannya dikecewakan. Makanya dia meminta kepada kita, sedang harga dirinya sebagai seorang mukmin merasa berat menadahkan tangan kepada sesama manusia meminta-minta, adalah kerana dia percaya bahawa permintaannya itu tidak akan di kecewakan. Maka janganlah sampai air mukanya jatuh kerana harapannya dihampakan. Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 273
لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا
“Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”
Kenapa mereka tidak meminta-minta? Kerana mereka itu ada ilmu dan kerana itu mereka menjaga maruah mereka. Mereka tahu yang meminta-minta ini tidak bagus dan mereka tawakal kepada Allah ﷻ. Itulah bezanya para sahabat dahulu dengan kita. Zaman sahabat dahulu ada kumpulan yang dinamakan Ahlul Suffah yang tinggal di tepi Masjid Nabi sahaja. Mereka tidak bekerja dan tujuan mereka datang ke situ adalah untuk belajar dengan Rasulullah ﷺ. Ada yang datang dan kemudian balik ke kampung untuk berdakwah dan mengajar. Antara yang terkenal adalah Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Mereka ini miskin akan tetapi berilmu dan mereka dihormati dan disebut-sebut sampai sekarang. Bagaimana pula dengan orang miskin masyarakat kita? Mereka sudahlah miskin dunia, akhirat pun mereka miskin juga kerana tidak ada ilmu agama. Ini amat menyedihkan kerana mereka jauh dari majlis ilmu. Para guru agama pun tidak mendampingi mereka kerana ramainya ada di kota-kota kerana imbuhan lebih banyak di sana. Maka ketinggalan sangatlah masyarakat pedalaman kita yang duduk di ceruk-ceruk kampung dan desa itu.
Hukum meminta sedekah atau meminta-minta tanpa sebarang keperluan yang darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Larangan tersebut dinyatakan berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ telah bersabda:
لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ
“Tidak halal menerima sedekah bagi orang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).”
Riwayat al-Nasaei (2597) Ibn Majah (1839) dan Abu Daud (1634)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout رَحِمَهُ اللَّهُ menghukumkan sanad hadith ini sebagai qawiy (kuat).
Demikian juga larangan tersebut dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Sahl Ibn Hanzaliyyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menceritakan perbualan Nabi ﷺ bersama sahabatnya:
مَن سأَل وعندَه ما يُغنيه فإنَّما يستكثِرُ مِن جمرِ جهنَّمَ. قال: يا رسولَ اللهِ وما يُغنيه ؟ قال: ما يُغدِّيه ويُعشِّيه
“Barangsiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka bererti hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.” Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam.”
(Riwayat Abu Daud No. 1629)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout رَحِمَهُ اللَّهُ menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dengan syarat yang digunakan oleh Imam al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ.
Demikian satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
“Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”
(Riwayat Muslim No.1041)
Syarah: Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)
Maka kalau kita orang yang kaya (kalau sudah cukup keperluan itu kaya lah, cuma tidak kaya raya sahaja) tetapi meminta-minta subsidi, meminta orang belanja itu dan ini, maka termasuklah di dalam hukum ini. Maka kena berhati-hati apabila kita meminta-minta kepada orang. Kalau memang ada keperluan, tidaklah mengapa.
Di dalam hal ini, kita kena juga berhati-hati di dalam memberi kepada pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan agama sebagai modal mereka. Kita telah didedahkan dengan GISB (bekas gerakan Al-Arqam) yang menggunakan rumah anak yatim mereka untuk mendapatkan sumbangan daripada masyarakat. Padahal bukannya itu anak-anak yatim tetapi anak-anak pengikut mereka. Sumbangan yang diberi telah digunakan untuk meneruskan gerakan mereka yang sesat itu. Selain daripada mereka, kita juga selalu mendengar pusat-pusat Tahfiz yang juga menggunakan pelajar-pelajar mereka untuk meraih derma daripada masyarakat. Entah pelajar mereka diajar tentang Al-Qur’an atau tidak, akan tetapi dikatakan pengasas mereka kaya raya. Ini adalah jenis manusia yang tidak terdesak pun, akan tetapi meminta-minta pertolongan kerana hendak menambah kantung kewangan mereka. Jangan kita jadi ‘enabler’ kepada kumpulan yang sebegini. Niat kita mungkin ikhlas, tetapi dengan pemberian kita itu, menyebabkan mereka terus kekal di dalam masyarakat.
وَفِي الرِّقَابِ
dan di dalam (hal membebaskan) hamba abdi;
Kalimah الرِّقَابِ daripada kata dasar: ر ق ب yang bermaksud menjaga, memerhati, melihat, menghormati, menunggu, di leher, memberi amaran, takut, mengawal, leher, hamba, tawanan perang. Ia bermaksud seseorang yang di bawah kekuasaan orang lain seperti hamba. Ayat ini turun pada zaman sistem perhambaan masih lagi diamalkan. Islam tidak terus meruntuhkan sistem itu akan tetapi memberikan hukum yang baru untuk mengawal sistem ini. Maka sudah tidak mudah manusia menjadi hamba seperti dahulu (ditawan, ditangkap, kerana hutang dan sebagainya). Manakala para hamba tidak ditindas lagi dan mereka juga diberi hak.
Islam menggalakkan pembebasan hamba di mana dijanjikan pahala yang banyak bagi orang yang membebaskan hamba, ada hukum-hukum yang kalau dilanggar mesti membebaskan hamba. Sebenarnya Islam pun tidak suka perhambaan, namun ia tidak dimansuhkan begitu sahaja akan tetapi dikawal dan dihilangkan sedikit demi sedikit. Lihatlah di dalam ayat kita belajar ini dianjurkan untuk membebaskan hamba. Ada banyak hadith yang menganjurkan membebaskan hamba.
Di dalam hukum hakam Islam, diletakkan beberapa hukuman yang perlu membebaskan hamba. Dengan ini pembebasan hamba semakin pesat. Sebagai contoh lihat Nisa’: 92
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman.
Terdapat banyak sekali galakan dan ganjaran untuk membebaskan hamba. Antaranya,
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم : «أَيُّمَا رَجُلٍ أَعْتَقَ امْرَأً مسلمًا، استَنْقَذَ الله بكلِّ عُضْوٍ منه عُضْوا منه مِن النار».
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Nabi ﷺ bersabda, “Siapa saja orang yang memerdekakan seorang muslim maka Allah akan menyelamatkan setiap anggota tubuhnya daripada api neraka sebagai tebusan setiap anggota tubuh orang yang dimerdekakannya.”
(Muttafaq ‘alaih)
Malah syariat Islam ada kedudukan Hamba Mukatabah. Hamba Mukatabah adalah seorang budak (hamba) dalam tradisi Islam yang membuat perjanjian dengan tuannya untuk membebaskan dirinya dengan membayar sejumlah wang atau memenuhi syarat tertentu. Sebagai contoh, tuannya buat perjanjian dengan hamba itu, kalau dapat bagi 500 dinar, dia akan dibebaskan. Dalam istilah fikah, mukatabah adalah salah satu cara pembebasan budak yang dianjurkan oleh Islam untuk menghapuskan sistem perbudakan secara bertahap. Hamba itu boleh bekerja atau dibantu oleh orang lain untuk mencukupkan wang yang telah ditetapkan oleh tuannya.
Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi dalam ertikata seperti zaman dahulu. Akan tetapi masih ada lagi sistem perhambaan di dalam bentuk yang lain. Ada tawanan perang yang dijadikan hamba untuk dikerah tenaga mereka. Terdapat juga pembantu rumah atau pekerja asing yang diperhambakan setelah tertipu dengan majikan mereka, sampai tidak boleh pulang ke negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi. Ataupun orang yang ditawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain. Ini masih lagi terjadi zaman sekarang. Ini juga termasuk dalam maksud ayat ini. Iaitu mereka mahu membebaskan diri daripada tawanan. Nampak mereka macam bebas, tetapi tidak kerana pasport mereka orang lain pegang. Orang tidak nampak pertalian ayat ini dalam keadaan zaman sekarang kalau tidak belajar.
Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar seperti pinjaman rumah, pinjaman pelajaran dan sebagainya. Itu bukanlah dalam bentuk perhambaan seperti apa yang kita faham dulu, tetapi ia masih lagi boleh diterima sebagai suatu bentuk perhambaan. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin. Kerana itulah salah satu asnaf zakat adalah orang berhutang.
Dari segi bahasa, perhatikan potongan ayat ini berlainan daripada anjuran infak sebelum ini. Sebelum ini kita baca, ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ dan tiba-tiba وَفِى ٱلرِّقَابِ di mana Allah ﷻ menambah harf فِى. Allah ﷻ bezakan pemberian berkenaan hamba ini dengan yang lain kerana kepada yang lain, semua infak itu diberikan terus kepada penerima; akan tetapi bagi hamba, penerima itu bukanlah kepada hamba itu akan tetapi kepada tuan mereka atau orang yang menawan mereka.
وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ
dan mendirikan sembahyang;
Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang ibadah-ibadah khusus setelah dibina asas jiwa yang murni. Maknanya solat itu mestilah dilakukan oleh orang yang benar-benar beriman dan jiwa mereka ada sifat rahmat terhadap manusia yang lain. Bukan setakat melakukan mekanikal solat berdiri, rukuk dan sujud sahaja. Itu hanya perbuatan yang sesiapa sahaja boleh lakukan. Orang yang jiwanya sudah kuat dengan Islam, bukan tubuh badan mereka sahaja mengadap kiblat akan tetapi seluruhnya jiwanya mengadap Allah ﷻ. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam An’am: 79
إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.
Berkenaan solat, seorang lelaki kena solat di masjid. Perempuan pula seeloknya solat di rumah kerana perempuan tidak digalakkan untuk pergi ke masjid. Pahala wanita lebih banyak kalau solat di rumah.
‘Mendirikan sembahyang’ itu termasuklah mandi junub, mandi haid dan nifas seperti mana yang Nabi ﷺ ajar. Juga mengambil wudu’ sepertimana Nabi ﷺ ajar. Maka kena faham apakah maksud أَقَامَ. Mendirikan solat. Allah ﷻ tidak sebut ‘melakukan solat’ tetapi Allah ﷻ menyebut ‘mendirikan solat’. أَقَامَ itu seperti tiang rumah. Kalau kita bina rumah, tentu tiang rumah kita bina dulu sebelum kita buat dinding, atap dan sebagainya. Selepas rumah itu telah ada, kita akan letak perabot dalam rumah. Perabot dan apa sahaja dalam rumah hendaklah disusun dengan mengambil kira tiang rumah yang sudah ada. Tidak boleh kita sesuka hati menukar tiang rumah sebab kita hendak letak perabot di situ. Apabila Allah ﷻ gunakan perkataan أَقَامَ, ia bermaksud perkara-perkara lain dalam kehidupan kita kena ambil kira tentang solat. Waktu solat tidak boleh diubah lagi seperti juga tiang rumah tidak boleh diubah. Perkara-perkara lain yang kena beri ruang kepada solat – bukan solat yang kena beri ruang kepada perkara lain.
Khusyuk juga perlu dijaga. Mendirikan solat memang dapat banyak pahala; akan tetapi seorang yang solat tidak sama pahala seorang yang lain. Ini kerana kadar kekhusyukan seseorang itu tidaklah sama. Ada orang yang khusyuk sepanjang solat, maka dia akan dapat pahala penuh. Namun kalau dia cuma khusyuk separuh sahaja di dalam solatnya maka dia hanya dapat separuh pahala sahaja. Dalilnya
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْحَكَمِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَنَمَةَ الْمُزَنِيِّ عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلَّا عُشْرُ صَلَاتِهِ تُسْعُهَا ثُمْنُهَا سُبْعُهَا سُدْسُهَا خُمْسُهَا رُبْعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا
Daripada ‘Ammar bin Yasir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; saya mendengar Rasulullah ﷺ; bersabda: “Sesungguhnya ada seseorang yang benar-benar mengerjakan solat, namun pahala solat yang tercatat baginya hanyalah sepersepuluh (daripada) solatnya, sepersembilan, seperdelapan, sepetujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga, dan seperduanya saja.”
Sunan Abi Dawud (675) Hasan (Albani)
Kenapa Allah ﷻ baru menyebut tentang solat dalam ayat ini? Bukankah ia ibadah yang paling besar dan pertama sekali ditanya di akhirat kelak? Ini kerana orang yang melakukan solat itu bukan sahaja kena solat, tetapi kena buat segala kebaikan yang telah disebut di atas. Kalau setakat solat sahaja, tetapi tidak beramal, tidak ada gunanya solat itu. Maka Allah ﷻ sebut apa yang perlu dilakukan oleh orang yang bersolat, barulah sekarang disebut solat. Rasulullah ﷺ berpesan bahawa orang yang paling dicintai Allah ﷻ adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا
Daripada Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Nabi ﷺ bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh.”
(Riwayat Tabrani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453). Status: hadis hasan.
Kalau dalam iktikaf, tentulah seseorang itu akan memperbanyakkan solat, bukan? Akan tetapi Rasulullah ﷺ memberikan timbangan yang lebih banyak kepada orang yang membantu orang lain. Kerana itu lihatlah tentang saranan daripada Allah ﷻ sebelum disebut tentang solat ini: memberi harta kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin dan sebagainya itu boleh dilakukan oleh orang yang tidak beragama pun. Contohnya, orang kafir pun boleh juga buat begitu. Memang ada orang kafir yang baik pun, suka menolong orang malah lebih baik daripada kebanyakan orang Islam pun. Akan tetapi Allah ﷻ tambah dalam ayat ini tentang mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tetapi tidak berbuat kebajikan. Tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tetapi bab solat dan zakat, kita tidak jaga. Ingatlah, kedua-dua elemen kena ada.
Jangan kita jaga solat tetapi perkara lain kita tidak jaga. Orang yang jaga solat tetapi akhlaknya buruk seperti menyakiti jiran, tempatnya adalah di neraka seperti sabda Rasulullah ﷺ dalam satu hadith riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata:
قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ
Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah ﷺ: “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi ﷺ bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.”
(Riwayat Ahmad No. 9675) Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 26 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)





Alhamdulillah
LikeLike
Baik
LikeLike