Ayat 30: Ayat Syikayah (rungutan Allah)
وَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ قالوا هٰذا سِحرٌ وَإِنّا بِهِ كٰفِرونَ
But when the truth came to them, they said, “This is magic, and indeed we are, concerning it, disbelievers.”
Dan ketika kebenaran (Al-Qur’an) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya”.
وَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ
Dan ketika kebenaran itu disampaikan kepada mereka,
Kebenaran wahyu yang disampaikan kepada manusia adalah jelas, tapi manusia ramai yang menolaknya. Begitulah Musyrikin Mekah kebanyakannya tidak menerima ajaran tauhid Nabi Muhammad. Malah ada yang menentang baginda dan menyeksa para sahabat yang beriman dengan baginda.
Apakah yang dikatakan oleh manusia yang engkar bila kebenaran telah sampai kepada mereka? Apa yang mereka buat?
قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ
berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir,
Maksudnya mereka hendak mengatakan bahawa Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi itu adalah ajaran sesat. Kenapa mereka kata Al-Qur’an sihir pula? Ini agak pelik sebenarnya.
Musyrikin Mekah tidak dapat menjelaskan apakah Al-Qur’an itu: kerana nak kata syair, ianya bukan syair, ianya juga bukan kata-kata biasa. Mereka sendiri terpegun dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi itu. Tapi mereka tak mahu juga hendak menerimanya kerana hati mereka telah tertutup.
Maka, mereka mengatakan bahawa apa yang dibaca oleh Nabi itu adalah sihir semata-mata. Kerana sihir pada mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Itu sahaja dakwaan mereka walaupun itu adalah dakwaan yang lemah sekali.
Mereka kata begitu kerana mereka sudah tidak tahu nak beri label apa kepada Al-Qur’an itu. Mereka ada juga mengamalkan sihir dan pada mereka, sihir itu adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Jadi kerana mereka tak dapat nak jelaskan apakah Al-Qur’an itu, maka mereka katakan sahajalah yang ia adalah sihir. Janji mereka beri label yang buruk kepada Al-Qur’an.
Tambahan pula, mereka perasan yang kalau ada yang mendengar Al-Qur’an itu, ada kemungkinan besar orang yang mendengar bacaan Al-Qur’an itu akan masuk Islam. Maka, mereka kata yang mereka yang ikut Nabi Muhammad setelah mendengar bacaan Al-Qur’an, mereka itu telah terkena sihir, telah terpukau.
Pada mereka, Al-Qur’an itu tidak benar tapi masih juga ada orang yang ikut. Mereka hairan kenapa ada orang ikut Nabi Muhammad. Kerana kalau biasanya, orang akan ikut benda macam ni kalau ada imbuhan seperti harta. Tapi tidaklah Nabi Muhammad itu menawarkan harta kepada orang yang ikut baginda. Oleh kerana itulah mereka kata ini tidak lain dan tidak bukan, tentu sihir. Kalau tidak, kenapalah ramai yang macam terpukau? Maka tentu ia adalah ‘sihir’.
Zaman sekarang pun ramai yang sebegitu juga. Apabila disampaikan kepada mereka tafsir ayat-ayat Al-Qur’an, mereka ada yang kata itu adalah tafsir yang sesat, tafsir yang salah. Mereka kata ustaz yang mengajar Tafsir Al-Qur’an itu pakai jin dalam mengajar. Kalau pakai jin, bermakna mereka hendak mengatakan yang ajaran itu adalah ajaran sihir. Mereka kata kalau belajar dengan ustaz yang ajar tafsir itu, ramai yang akan ikut telunjuk ustaz itu.
Mereka gunakan hujah yang bodoh ini kerana mereka tidak dapat lagi berhujah melawannya dengan dalil lain. Mereka sendiri tidak belajar Tafsir Al-Qur’an, jadi mereka tidak dapat nak berikan hujah lain. Kita katakan kepada mereka, kalau apa yang kita tafsirkan ini salah, maka berilah tafsir yang benar, kalau ada. Mereka tidak dapat jawab kerana mereka sendiri tidak belajar.
وَإِنَّا بِهِ كٰفِرُونَ
dan sesungguhnya dengannya kami ingkari”.
Mereka tidak dapat nak lawan hujah yang diberikan dalam Al-Qur’an, tapi hati mereka tidak dapat menerimanya. Jadi, mereka tolak buta-buta sahaja.
Mereka tolak dengan tidak beri hujah. Ini menunjukkan sifat kedegilan yang tinggi. Kerana kalau salah, tunjuklah mana yang salah. Mereka tidak dapat nak tunjuk mana yang salah. Begitulah yang terjadi di kalangan masyarakat kita pun. Ada yang menolak tanpa beri hujah tapi tolak begitu sahaja.
Ayat 31: Sesudah mereka mengatakan yang bacaan Al-Qur’an itu sihir, mereka beri lagi hujah yang lain. Mereka tolak Al-Qur’an dengan beri hujah yang tidak munasabah. Salah satunya, mereka hina kedudukan Nabi Muhammad.
Ini adalah Ayat Syikayah (Rungutan Allah). Sekarang mereka hina Nabi Muhammad pula. Mereka kata Nabi Muhammad tak layak terima wahyu kerana baginda miskin dan tidak ada pengaruh walaupun mereka sudah pun kenal yang baginda itu seorang yang jujur.
Mereka berhujah dengan berkata sepatutnya wahyu itu kenalah diturunkan kepada orang yang sudah ada pengaruh, barulah cepat orang terima.
Begitulah Syaitan membisikkan kepada mereka untuk hina Nabi. Sebelum ini mereka telah hina Al-Qur’an, sekarang mereka hina penyampainya pula, iaitu Rasulullah. Ini semua adalah syaitan yang ajar. Syaitan bisikkan idea-idea untuk lawan Al-Qur’an ini dan orang yang jahil akan terima sahaja bisikkan syaitan itu.
وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرءآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِّنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ
And they said, “Why was this Qur’an not sent down upon a great man from [one of] the two cities?”
Dan mereka berkata: “kenapakah Al-Qur’an ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”
وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ
Dan mereka berkata: “kenapa Al-Qur’an ini tidak diturunkan
Sekarang, mereka hendak mempersoalkan pilihan Allah pula. Seolah-olah mereka lebih pandai dari Allah pula. Lihatlah apa kata mereka.
Sebenarnya, hujah asal mereka adalah menolak kemungkinan manusia boleh menerima wahyu dan menjadi Nabi. Tapi Allah ingatkan dalam ayat-ayat yang lain, para Nabi dari dulu lagi pun memang dari kalangan manusia, jadi apa hairannya kalau manusia juga yang mendapat wahyu?
Oleh kerana itu, mereka ubah hujah. Baiklah, kalau manusia boleh dapat wahyu, tapi takkan beri kepada Muhammad pula? Kenapalah Muhammad pula yang dipilih, mereka kata.
عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ
kepada seorang yang hebat dari salah sebuah dua bandar itu?”
Mereka persoalkan pula, kenapa Allah tidak turunkan kepada dua orang yang ternama di dua bandar zaman itu? Dua bandar yang dimaksudkan adalah Mekah dan Taif. Mekah adalah bandar yang besar waktu itu kerana ada Kaabah padanya. Semua masyarakat Arab pergi ke Kaabah kerana hendak melawat berhala mereka yang diletakkan di sana.
Dan Taif pula adalah tempat peranginan orang-orang kaya Arab kerana ia mempunyai cuaca yang molek kalau dibandingkan dengan Mekah. Orang-orang kaya akan ada rumah peranginan mereka di sana. Sampai sekarang pun ia adalah tempat yang cantik.
Mungkin ada yang hairan, kenapa bukan ‘Mekah dan Madinah’? Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu bukan bandar yang besar lagi. Namanya pun adalah Yathrib pada waktu itu. Ianya hanya menjadi besar dan terkenal hanya selepas Nabi Muhammad berhijrah ke sana. Waktu itu cuaca Yathrib pun tidak baik. Ramai yang pergi ke sana akan jatuh sakit kerana cuaca yang tidak baik.
Dari Taif, yang dimaksudkan adalah Urwah ibn Mas’ud As-Tsaqafi. Dan dari Kota Mekah pula, yang dimaksudkan adalah Walid al Mughirah ataupun Utbah ibn Rabi’ah (tidak dapat dipastikan siapakah yang dimaksudkan oleh Musyrikin Mekah kerana kedua-duanya terkenal dan berpengaruh). Mereka itu adalah orang-orang yang hebat dan berpengaruh pada pandangan masyarakat Arab pada waktu itu.
Pada mereka, sepatutnya wahyu yang diturunkan kepada manusia itu diberikan kepada salah seorang dari dua orang ini yang sudah ada pengaruh dalam masyarakat. Kerana cakap mereka pun sudah didengar oleh masyarakat waktu itu. Maka senanglah orang nak ikut suruhan wahyu itu, kata mereka.
Mereka kata begitu adalah kerana mereka hanya melihat kelebihan seseorang itu daripada segi kekayaan dan pengaruh sahaja. Ini adalah cara penilaian yang salah. Ini adalah penilaian dari orang yang cetek akalnya. Allah menegur mereka yang bersifat begini, bertepatan dengan tema surah ini yang menyentuh tentang salahfaham manusia tentang kebendaan dan kemewahan dunia.
Memang ramai yang ada masalah begini. Masyarakat kita pun selalunya mengagung-agungkan mereka yang ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Apa-apa sahaja yang mereka kata, kita lebih mudah untuk terima kalau dibandingkan dengan kata-kata mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal, tanda kebenaran seseorang itu bukanlah dari segi keduniaan, tapi dari segi iman dan taqwa mereka.
Begitulah juga dengan Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang Nabi Muhammad yang diberikan dengan wahyu kerana mereka rasa ada lagi orang lain yang lebih layak dari baginda. Mereka lihat Nabi itu adalah seorang yang tidak pandai membaca, tidak boleh bersyair, bapa pun tiada.
Baginda memang seorang yang miskin dan anak yatim piatu pula. Ini tidak dinafikan, tapi sebenarnya baginda jadi miskin itu pun sebab baginda banyak tolong orang. Ingatlah bahawa baginda telah berkahwin dengan Khadijah yang seorang jutawan. Tapi kenapa pula mereka berdua jadi miskin?
Ini adalah kerana baginda telah melihat kesesatan yang diamalkan dan kezaliman yang bermaharajalela dalam kaumnya itu dan baginda cuba berdakwah dengan mereka menggunakan harta benda mereka. Sebagai contoh, apabila ada yang bertawaf telanjang di Kaabah, baginda telah memberi mereka wang untuk membeli kain ihram. Baginda juga seorang yang amat dermawan dan sentiasa memberi pertolongan.
Tapi, tidaklah baginda dapat memberi hidayah kepada kaumnya itu dengan kemurahan hatinya, sehinggalah baginda mendapat wahyu dari Allah. Dengan wahyu itulah, baru baginda dapat mengubah keseluruhan Tanah Arab itu menjadi negara Muslim dan menegakkan kalimah tauhid.
Maknanya, berdakwah guna wang itu tidak akan berjaya. Berdakwah sebenarnya adalah dengan menggunakan Al-Qur’an. Al-Qur’anlah yang dapat mengubah hari manusia.
Oleh itu, Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad dengan mengatakan baginda itu hina sebab miskin. Tentulah apabila Nabi dengar kata-kata mereka ini, sedihlah hati baginda.
Sebenarnya kelebihan yang sebenarnya adalah dalam ketulusan dan kesucian hati seseorang itu. Nabi Muhammad itu memang terkenal dengan kebaikan hati baginda dan sifat amanah baginda sampaikan baginda dikenali dengan gelaran al-Amin (yang dipercayai). Masyarakat Arab Mekah waktu itu pun telah terima baginda sebagai seorang yang amanah.
Bagaimana pula kaitan ayat ini dengan zaman sekarang? Kita boleh lihat bagaimana manusia memandang status orang yang mengajar. Mereka hanya mahu belajar dengan orang yang terkenal dan berpengaruh. Pada mereka, sepatutnya yang mengajar tafsir dan ajar agama itu mestilah orang yang ‘nampak pandai’, sudah terkenal di seluruh negara. Sudah masuk TV, barulah dipercayai, kan?
Tapi, apabila yang mengajar itu nampak seperti orang biasa sahaja, kelas pun tak penuh orang datang, mereka sudah tolak dah (kerana mereka rasa tentu tidak terkenal).
Janganlah begitu, yang penting adalah kebenaran yang dibawa. Kalau seseorang itu terkenal pun, sudah masuk TV pun, tapi kalau ajarannya salah, takkan kita nak terima pula?
Ayat 32: Sebelum ini Musyrikin Mekah ada kata patutnya Allah beri wahyu itu kepada orang lain, bukan kepada Nabi Muhammad. Allah patahkan hujah mereka itu yang memandai-mandai hendak mengajar Allah.
أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ
Do they distribute the mercy of your Lord? It is We who have apportioned among them their livelihood in the life of this world and have raised some of them above others in degrees [of rank] that they may make use of one another for service. But the mercy of your Lord is better than whatever they accumulate.
(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ
Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?
Merekakah yang layak nak tentukan siapa dapat apa? Mereka sangka mereka siapa? Sampai mereka sanggup mempersoalkan pemberian wahyu yang Allah tentukan itu? Begitu kurang ajar mereka seperti mereka mengatakan yang Allah telah silap pilih dalam memberi wahyu itu?
Yang dimaksudkan dengan رَحْمَتَ رَبِّ dalam ayat ini adalah wahyu Allah, iaitu Al-Qur’an. Mereka yang lebih tahu siapa yang patut dapat wahyu Al-Qur’an itu?
Beginilah juga kata-kata Syiah sekarang. Mereka kata Jibrail silap bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Mereka kata sepatutnya diberikan wahyu itu kepada Saidina Ali tapi semasa cari Ali, terbagi kepada Nabi Muhammad kerana disangka itulah Ali. Kalau mereka kata Jibrail silap, tentunya Allah pun silap juga dalam pemberian itu.
Malangnya, amat ramai yang telah terpesong dengan menganut agama Syiah yang sesat itu. Itu adalah kerana mereka tidak ada pelajaran agama dan kerana itu, mereka senang ditipu oleh penganut Syiah yang memang pandai memutar belitkan fakta dan hujah.
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,
Dalam kehidupan dunia, siapakah yang membahagi-bahagikan keperluan hidup manusia? Siapa yang beri? Tentulah Allah. Oleh itu, Allahlah yang menentukan dan membahagikan rezeki kepada manusia. Setengahnya Allah jadikan kaya raya dan setengahnya Allah taqdirkan jadi miskin dan menderita kesusahan.
Kenapa Allah yang berikan? Kerana manusia tidak ada hak dan kelayakan untuk melakukannya. Manusia tidak mampu nak beri rezeki kepada manusia lain. Manusia amat lemah.
Mana-mana sistem dunia yang cuba untuk menjadikan manusia sama rata dari segi kekayaan dan kedudukan dalam masyarakat tidak akan berjaya. Lihatlah sistem komunis yang cuba melakukan perkara ini. Mereka telah gagal dengan teruk sekali. Rosak habis negara yang mengamalkan sistem komunis.
Kalau manusia diberi peluang untuk membahagikan harta kepada manusia pun, mereka tidak akan mampu. Sebagai contoh, banyak persatuan yang cuba untuk membantu manusia lain. Adakah mereka mampu untuk menolong semua orang? Tentu tidak. Usaha manusia adalah terhad walaupun ada yang berniat baik.
Ada penekanan dalam ayat ini. Ini adalah ayat jumlah ismiah dan selalunya dari segi balaghah, jumlah ismiah digunakan untuk beri penekanan. Kalau kita terjemah ayat ini dengan tepat, ada pengulangan ‘Kami’ dalam ayat ini: نَحْنُ قَسَمْنَا [Kami, Kamilah yang membahagikan]. Inilah penekanan dari Allah.
Kaya dan miskin bukanlah bermakna Allah sayang atau benci kepada seseorang itu. Tidaklah kaya itu bermaksud bagus dan miskin itu bermaksud buruk. Miskin dan kaya kedua-duanya adalah dugaan daripada Allah.
Oleh itu, apabila Musyrikin Mekah mempersoalkan keputusan Allah untuk memberikan pangkat kenabian dan wahyu kepada seorang yang miskin, maka itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Allah tentulah pandai hendak membahagikan rahmatNya. Dan kekayaan manusia dan pengaruh manusia bukanlah tanda orang itu hebat dan benar. Sebagaimana Allah beri rezeki kepada manusia, maka begitulah juga Allah layak untuk memberikan wahyu kepada yang layak juga.
Tidak ada hinanya orang yang miskin. Kita boleh perhatikan bagaimana mereka yang dimuliakan oleh Allah, bukanlah mereka yang kaya-raya. Seperti para Nabi, mereka kebanyakannya hidup dalam kemiskinan. Adakah mereka itu hina? Tentu tidak kerana mereka itu amat mulia di mata Allah.
Maka rezeki kita Allah yang tentukan pembahagiannya. Oleh kerana keperluan kehidupan manusia hanya ditentukan oleh Allah, maka keputusan untuk memberikan pangkat kenabian dan menerima wahyu pun hanya boleh diberikan oleh Allah.
وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجٰتٍ
dan Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengahnya yang lain;
Ada manusia yang tinggi darjatnya dan ada yang rendah. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang pandai dan ada yang bodoh. Ada yang cantik dan ada yang tidak berapa cantik. Itu adalah kerana Allah yang menentukan darjat setiap orang. Allah menentukan itu dalam hikmahNya. Jangan kita sekali-kali mempersoalkan keputusan Allah.
Ayat ini juga mengajar kita bahawa jikalau kita hendak memberikan kesamarataan kepada seluruh rakyat, ianya tidak akan berjaya. Ahli-ahli politik cuba hendak menghapuskan kemiskinan dalam negara ini, tapi ianya tidak akan berjaya. Ini kerana Allah memang telah menetapkan yang akan ada orang yang kaya dan akan ada yang miskin. Ada yang duduk di atas dan ada yang duduk di bawah. Memang itulah sunnah alam ini yang Allah telah tetapkan.
Allah hendak menempelak Arab Mekah yang memandang kekayaan – seolah-olah Allah berkata: “Wahai Musyrikin Mekah, bukan beginikah keadaannya sekarang? Ada kuli dan ada tuan? Tapi tengok, tuan itu pun jadi kuli kepada orang lain pula. Sehebat mana pun dia, ada lagi yang lebih tinggi dari dia. Jadi kamu sangka ada yang paling tinggi itu adalah kamu?”
Allah yang jadikan kedudukan manusia berdarjat begitu. Kalau sesiapa yang kaya dan berpengaruh pun, ada lagi yang lebih kaya dan lebih berpengaruh dari dia. Yang jadi pemimpin di Mekah pun, mereka tetap duduk di bawah takluk Yaman juga. Mereka masih memerlukan bantuan makanan dari Yaman.
Kenapa Allah jadikan ada yang kaya dan ada yang miskin? Kenapa Allah tidak jadikan semua manusia kaya? Tidakkah senang begitu?
لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا
supaya sebahagian dari mereka mengambil khidmat dari setengahnya yang lain.
Kalimah سُخْرِيًّا dari katadasar س خ ر yang bermaksud ‘menguasai atas sesuatu’. Orang yang kaya dapat mengarahkan orang yang miskin untuk bekerja dengannya dan diarah untuk melakukan kerja. Dalam ertikata lain, menjadi ‘kuli’ mereka.
Kena ada orang yang miskin dalam dunia ini. Kerana yang miskinlah yang akan menjalankan kerja-kerja yang tidak mahu dilakukan oleh orang kaya. Bayangkan kalau semua orang dalam dunia ini kaya, siapakah yang akan sapu sampah di jalanan? Apa akan jadi kepada kekotoran di merata-rata tempat kalau tidak ada orang yang hendak bekerja sapu sampah? Orang yang kaya takkan mahu jadi tukang sapu sampah pula.
Dan disebaliknya pula, kena ada orang yang kaya dalam dunia ini untuk bagi kerja kepada orang miskin. Mereka itulah yang jadi majikan kepada orang miskin. Dengan bekerja dengan orang kaya, orang miskin akan dapat pendapatan dari pekerjaan itu untuk menyara kehidupan mereka.
وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Dan rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.
Rahmat Allah kepada Nabi Muhammad adalah pangkat kenabian yang diberikan kepada baginda dan wahyu yang diterimanya. Itu adalah jauh lebih tinggi dan lebih bernilai daripada kekayaan dan kemewahan yang boleh dikumpulkan oleh manusia.
Lihatlah bagaimana orang-orang yang kaya dan yang berpengaruh pada zaman Jahiliah itu tidak ramai pun yang tahu tentang mereka. Kita dengar beberapa kerat sahaja kerana sejarah mereka ditelan zaman kerana tidak penting pun. Itu pun mereka diingati dengan nama dan panggilan yang buruk terhadap mereka. Mereka hanya mendapat kutukan sahaja.
Tetapi lihatlah bagaimana nama Nabi Muhammad itu harum dari dulu sampai bila-bila. Begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda yang kebanyakannya miskin, tapi terkenal dan disebut-sebut sampai ke hari ini.
Ayat 33: Sebenarnya pangkat dan kedudukan dunia tidak ada nilai pada Allah. Bukan itu cara ukuran Allah dalam memilih RasulNya. Harta tidak ada harga pada Allah. Ianya cuma ada harga pada manusia sahaja.
وَلَولا أَن يَكونَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً لَّجَعَلنا لِمَن يَكفُرُ بِالرَّحمٰنِ لِبُيوتِهِم سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ وَمَعارِجَ عَلَيها يَظهَرونَ
And if it were not that the people would become one community [of disbelievers], We would have made for those who disbelieve in the Most Merciful – for their houses – ceilings and stairways of silver upon which to mount
Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga),
وَلَوْلَا أَن يَكُونَ النَّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً
Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu
Oleh kerana harta tidak ada harga pada Allah, Allah boleh beri sahaja harta itu kepada manusia, walaupun mereka kafir. Kerana itu kita lihat walaupun ada yang menentang Allah dan melakukan syirik, tapi mereka kaya raya sahaja.
Boleh sahaja Allah bagi lebih banyak kepada mereka. Lagi banyak dari sekarang pun Allah boleh berikan. Tapi itu adalah bahaya kerana ia akan menyebabkan kekufuran semakin banyak. Allah tidak mahu seluruh umat manusia berada di dalam kekufuran. Allah tidak mahu semua manusia menjadi ‘satu’ dalam kekufuran.
Ini kerana kalau orang yang kafir menjadi kaya raya sangat, maka nanti ada orang yang sangka: “owh, bila amal syirik dapat banyak harta, bila zalim dapat banyak harta, bila tolak agama, dapat banyak harta.” Allah tidak mahu ada yang berperasaan begitu, maka Allah tidak jadikan mereka yang kafir dan musyrik itu kaya raya sangat. Allah tidak mahu manusia terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir yang tidak mementingkan agama langsung.
Zaman sekarang pun sudah ada salah faham tentang perkara ini. Ada orang dari agama lain di negara ini yang kata: “jangan masuk Islam… nanti jadi miskin dan lemah. Tengok negara yang amalkan agama lain, mereka itu kaya raya… tapi tengok orang Melayu, mereka itu miskin dan lemah sahaja… “
لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِالرَّحْمَٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ
nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak,
Kalimah سُقُفًا adalah bumbung yang dilihat dari bahagian dalam. Maknanya kalau kita berada di dalam rumah itu kita memandang ke atas, kita akan nampak bumbung itu dibuat dari perak. Bumbung ini adalah satu bahagian binaan dalam rumah yang tidak dikisahkan sangat. Selalunya di bahagian luar yang manusia akan hias. Jadi, kalau bumbung dalaman pun sudah dijadikan dari perak, bagaimana pula dengan hiasan dalaman lain, luasan dan dinding, tentulah lagi hebat, bukan?
Maknanya, kalau Allah sudah beri sampai bumbung pun dari perak, maknanya orang itu memang kaya sangat. Tidaklah ada yang jadi macam itu. Kalau kita tengok orang kafir yang banyak harta dalam dunia ini, tidaklah sampai bumbung rumah pun sampai dibuat dari perak, bukan? Orang yang paling kaya sekarang adalah Bill Gates; adakah dia buat bumbung rumahnya dari perak? Tidak.
Allah boleh sahaja memberikan kekayaan yang melimpah-limpah kepada orang kafir. Iaitu kekayaan yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita sekalipun. Kerana kekayaan dunia itu tidak bernilai langsung kepada Allah. Macam kita nak beri besi buruk kepada orang lain, kita tak kisah pun sebab besi buruk itu tidak ada nilai.
Tapi, kalau Allah beri kekayaan yang banyak sangat kepada orang kafir, maka orang-orang Islam pun apabila tengok orang kafir teramat kaya, maka mereka pun teringin pula nak jadi macam orang kafir itu. Dan mereka akan terikut-ikut dengan amalan-amalan orang kafir itu. Maka mereka akan terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir itu sampaikan agama mereka pun tergugat juga.
Akhirnya semua sekali akan jadi ‘umat yang satu’ dalam kekufuran. Sekarang Allah beri kekayaan lebih sedikit sahaja pun, ada orang Islam yang sudah tergugat, bukan? Sudah mula ikut cara hidup orang kafir, sudah tiru cara hidup mereka yang hidup dalam kekufuran. Bayangkan kalau kekayaan mereka itu tidak ada had? Tentulah semua orang Islam nak jadi orang kafir juga. Allah sudah tahu sifat manusia, kerana Dia Maha Mengetahui mengenai hambaNya.
وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ
dan tangga-tangga yang mereka naik di atasnya
Kalimah مَعَارِجَ adalah tangga yang jenis panjang dan tinggi yang boleh membawa orang yang menaikinya ke tempat yang tinggi. Maknanya rumah itu bertingkat-tingkat dan kalau hendak naik ke atas kena guna tangga yang tinggi.
Allah boleh jadikan tangga itu pun sebagai perak juga. Tapi adakah Allah jadikan bumbung rumah mereka dan tangga rumah mereka dari perak? Tidak. Tidak ada manusia kafir mana-mana pun yang melakukan begitu.
Allah tak jadikan begitu kerana kalau orang kafir kaya sangat, orang beriman pun jadi kafir juga. Allah tak mahu jadikan itu sebagai ujian kepada orang Islam.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 25 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani