A’raf Ayat 135: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut setiap kali golongan Firaun itu dikenakan dengan musibah, mereka datang meminta Nabi Musa عليه السلام mendoakan untuk selamatkan mereka, dan mereka berjanji akan ikut beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan menyerahkan Bani Israel kepada baginda. Namun apakah terjadi setelah musibah itu diangkat daripada mereka?
فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ الرِّجزَ إِلىٰ أَجَلٍ هُم بٰلِغوهُ إِذا هُم يَنكُثونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But when We removed the punishment from them until a term which they were to reach,¹ then at once they broke their word.
- i.e., a specified term which would end with their reversion to disobedience and disbelief.
MALAY
(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya
فَلَمّا كَشَفنا عَنهُمُ الرِّجزَ
Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka,
Setelah mereka meminta Nabi Musa عليه السلام mendoakan supaya musibah diangkat, lalu Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ dan memang Allah ﷻ mengangkat azab itu daripada mereka. Ini menunjukkan rahmat Allah ﷻ yang masih lagi memberi peluang kepada mereka.
إِلىٰ أَجَلٍ هُم بٰلِغوهُ
hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya,
Namun begitu, tidaklah selama-lamanya bala mereka itu diangkat. Mereka diselamatkan daripada musibah bala itu hanya kepada tempoh tertentu sahaja, di mana mereka mesti menepati janji mereka untuk mengikut Nabi Musa عليه السلام dan untuk menyerahkan Bani Israel kepada baginda. Kerana itulah perjanjian mereka semasa mereka meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa bagi pihak mereka. Maka, mereka kenalah tepati. Allah ﷻ memberi masa kepada mereka untuk menepati janji mereka.
إِذا هُم يَنكُثونَ
tiba-tiba mereka mencabuli janjinya
Bila sudah sampai masa yang telah dijanjikan, musibah telah diangkat, ternyata mereka memungkiri janji. Mereka sampai tidak mengaku yang mereka pernah berjanji. Begitulah teruk sekali perangai mereka.
Memang begitulah orang yang tidak beriman. Sama sahaja dengan orang yang meminta pinjam duit. Apabila berjanji kuat sungguh, tetapi apabila sudah dapat, maka mereka akan lupa janji mereka. Sama seperti yang disebut di dalam [Luqman: 32]
وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ
Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang biasa.
Bagaimana pula dengan kita? Ramai juga yang suka berjanji atau membuat nazar kepada Allah ﷻ. Kalau terdesak sangat, mulalah bernazar dengan Allah ﷻ: “Kalau dapat ini dan itu, aku akan buat ini dan itu”. Akan tetapi apabila sudah dapat, mulalah sibuk bertanya dengan ustaz apa yang boleh dilakukan kerana tidak sanggup menyempurnakan nazar tersebut. Ternyata mereka ini pandai berjanji sahaja lebih.
Sedangkan sepatutnya tidak perlu bernazar pun. Sepatutnya kena buat amal kebaikan dan kemudian baru berdoa. Oleh itu, jangan bernazar kerana ia bukanlah perkara yang baik. Rasulullah ﷺ pun sudah menegur perkara ini:
لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ
Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah ﷻ sedikit pun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.
(Hadith Riwayat Muslim (1640))
Kenapa dikatakan ‘bakhil’? Kerana hanya kalau Allah ﷻ bagi apa yang mereka minta, barulah mereka hendak buat amal ibadat.
A’raf Ayat 136: Ini adalah azab terakhir dan yang menghancurkan mereka
فَانتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم فِي اليَمِّ بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So We took retribution from them, and We drowned them in the sea because they denied Our signs and were heedless of them.
MALAY
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
فَانتَقَمنا مِنهُم فَأَغرَقنٰهُم فِي اليَمِّ
Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut
Setiap kali mereka memungkiri janji, mereka dikenakan dengan azab yang lain. Itulah sebab ada banyak azab yang dikenakan kepada mereka – taufan, belalang, katak dan sebagainya.
Akhir sekali, mereka dikenakan dengan azab yang paling besar dan terakhir untuk mereka, iaitu azab yang mematikan mereka dengan ditenggelamkan dalam laut. Ini kerana Allah ﷻ tahu yang mereka itu tidak akan beriman. Semua tahu kisah ini. Cuma disebut secara ringkas sahaja di sini. Disebut dengan lebih banyak di dalam ayat-ayat lain seperti [Syu’araa’: 52 – 66]
بِأَنَّهُم كَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَكانوا عَنها غٰفِلينَ
sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
Memang layak mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka sentiasa menolak wahyu yang diberikan kepada mereka. Mereka ini golongan degil yang tidak menghiraukan ayat-ayat Allah ﷻ. Ayat-ayat Allah ﷻ boleh dibahagikan kepada dua jenis: ayat pada alam (ayat kawni) dan ayat hukum (ayat syariat).
Menolak ayat-ayat pada alam ini adalah dengan menidakkan kuasa Allah ﷻ di dalam mengurusnya. Contohnya ada yang mengatakan bahawa alam ini terjadi sendiri, gempa bumi terjadi secara semulajadi, banjir terjadi kerana semulajadi dan sebagainya. Mereka tidak memandang kepada qada’ Allah ﷻ di dalam kejadian-kejadian itu.
Manakala menolak ayat syariat pula adalah dengan menolak wahyu yang disampaikan oleh para Nabi. Mereka jadi begitu kerana mereka lalai pada awalnya. Awal-awal lagi mereka telah menolak sebelum mendengarnya. Kemudian mereka menjadi ghaflah (lalai) iaitu buat tidak endah dan tidak kisah. Selepas itu, mereka menjadi keterlaluan sehingga sampai tahap menolak. Maka begitulah yang terjadi kepada Firaun dan pengikutnya. Mereka tidak mengendahkan wahyu yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Kemudian mereka menolak wahyu dan menolak Nabi Musa عليه السلام.
Maka, kita amat takut perkara yang sama terjadi kepada umat Nabi Muhammad ﷺ ini. Ramai yang buat tidak endah kepada ajaran wahyu Al-Qur’an. Ramai yang baca Al-Qur’an, tetapi tidak mengendahkan pengajaran di dalamnya. Mereka tidak belajar pun apa yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an ini. Begitulah ilmu tafsir Al-Qur’an ini amat jarang diketahui oleh masyarakat kita.
A’raf Ayat 137: Ayat tabshir duniawi.
وَأَورَثنَا القَومَ الَّذينَ كانوا يُستَضعَفونَ مَشٰرِقَ الأَرضِ وَمَغٰرِبَهَا الَّتي بٰرَكنا فيها ۖ وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ الحُسنىٰ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ بِما صَبَروا ۖ وَدَمَّرنا ما كانَ يَصنَعُ فِرعَونُ وَقَومُهُ وَما كانوا يَعرِشونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We caused the people who had been oppressed to inherit the eastern regions of the land and the western ones, which We had blessed. And the good word [i.e., decree] of your Lord was fulfilled for the Children of Israel because of what they had patiently endured. And We destroyed [all] that Pharaoh and his people were producing and what they had been building.
MALAY
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)
وَأَورَثنَا القَومَ الَّذينَ كانوا يُستَضعَفونَ مَشٰرِقَ الأَرضِ وَمَغٰرِبَهَا
Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israel) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur-timur bumi dan daerah barat-baratnya,
Bani Israel itu pernah mereka dihinakan kerana mereka telah menjadi hamba kepada bangsa Qibti. Namun sekarang Allah ﷻ menjadikan mereka sebagai waris kepada daerah di Barat (kawasan Syam/Syria) dan daerah Timur (Mesir). Inilah yang telah dijanjikan oleh Nabi Musa عليه السلام kepada mereka setelah dimusnahkan Firaun dan tenteranya dan juga puak Amaliqah.
Setelah Nabi Musa عليه السلام wafat, kaum Bani Israel kembali tertindas oleh kaum Amaliqah. Kaum ini memiliki tubuh yang sangat besar, kuat, dan kejam. Mereka umpama raksasa. Mereka tinggal di daerah dekat Baitulmuqaddis. Para ulama’ berpendapat daerah itu adalah Palestina.
Kaum Amaliqah mempunyai seorang pemimpin. Namanya Jalut (orang-orang kafir menyebutnya Golied). Tingginya, menurut banyak kisah, 1 batu. Dia berasal dari dinasti Bukhtanashar. Kisah mereka ini ada disebut dalam [Baqarah: 246-252].
Kalimah مَشٰرِقَ dan مَغٰرِبَ sebenarnya di dalam bentuk jamak (plural). Adakah banyak timur dan banyak barat? Mungkin ini merujuk kepada kedudukan jatuhnya matahari yang tidak tetap tetapi berubah-berubah sepanjang tahun.
Kalimah يُستَضعَفونَ sebenarnya di dalam bentuk pasif. Maka makna sebenarnya adalah ‘mereka yang nampak lemah’. Mereka nampak sahaja lemah namun sebenarnya ada kekuatan. Kerana kekuatan itu daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ boleh beri kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Allah ﷻ telah menunaikan janji itu dan telah memberikan kekuatan kepada Bani Israel. Kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman عليهما السلام merangkumi segala kawasan Timur dan Barat itu. Maka perkara ini mengambil masa banyak tahun juga (tidaklah mereka terus dapat). Mereka telah berpindah menyeberang lautan dan kemudian setelah sekian lama, mereka dapat kembali ke Mesir dan mereka telah diberikan dengan kedudukan tinggi dalam dunia.
الَّتي بٰرَكنا فيها
yang Kami telah melimpahkan berkat padanya.
Maksudnya Allah ﷻ memberkati tempat itu dengan dihantar banyak Nabi dan Rasul di kawasan itu. Mereka mendapat nikmat yang melimpah ruah.
وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ الحُسنىٰ عَلىٰ بَني إِسرٰءيلَ بِما صَبَروا
Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janji-Nya) yang baik kepada Bani Israel kerana kesabaran mereka
Maka sempurnalah janji Allah ﷻ ke atas Bani Israel dengan diberikan pemerintahan yang besar kepada mereka. Janji Allah ﷻ sudah pasti akan ditepati.
Mereka mendapat kedudukan itu kerana mereka dapat bersabar dalam beriman dengan Nabi Musa عليه السلام dan sabar menerima dugaan yang besar daripada Firaun. Janji Allah ﷻ ini telah disebut di dalam ayat 129 sebelum ini:
قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ
Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi,
Janji ini juga telah disebut dalam [Qasas: 5]
وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ
Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),
Dalam ayat ini dikatakan Bani Israel diberikan dengan kekuasaan itu kerana mereka telah bersabar. Namun tidakkah mereka seolah-oleh merungut kepada Nabi Musa عليه السلام di dalam ayat 129 sebelum ini? قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا (Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”). Tidak patut juga kalau kita menuduh mereka tidak bersabar kerana ayat ini boleh juga bermaksud keluhan sahaja, bukannya menolak janji Nabi Musa عليه السلام.
Maka ini mengajar kita untuk bersabar dalam menerima dugaan. Mungkin kita dizalimi dan kita tidak dapat mengambil hak-hak kita. Dalam hal ini, kita dianjurkan untuk bersabar dan Allah ﷻ berjanji akan memberikan kemenangan kepada kita. Ini seperti yang disebut Allah ﷻ di dalam [Nur: 55]
وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم
Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,
Janji Allah ﷻ kepada umat Nabi Muhammad ﷺ ini juga telah ditepati apabila umat Islam satu masa dahulu telah menguasai 2/3 daripada kerajaan dunia.
وَدَمَّرنا ما كانَ يَصنَعُ فِرعَونُ وَقَومُهُ
dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya
Apakah terjadi dengan apa yang telah diusahakan oleh Firaun dan bangsa Qibti itu? Allah ﷻ telah membinasakan apa sahaja yang telah dilakukan oleh Firaun dan kaumnya. Kita pun tahu kehebatan tamadun mereka dan kekayaan mereka. Semua itu tentu mengambil masa yang lama untuk membinanya. Akan tetapi Allah ﷻ beritahu di sini yang mudah sahaja Allah ﷻ musnahkan dalam sekelip mata.
وَما كانوا يَعرِشونَ
dan apa yang mereka telah dirikan
Dan juga telah dibinasakan apa sahaja bangunan yang mereka telah bina. Iaitu meninggikan binaan. Atau boleh bermaksud tanaman pokok-pokok mereka.
Di sini Allah ﷻ beritahu yang segala apa yang dibina oleh Firaun dimusnahkan. Namun bagaimana pula dengan piramid itu ada sampai sekarang? Ini menjadi hujah bagi pendapat yang mengatakan piramid itu bukan mereka yang bina. Ia telah ada sebelum mereka, cuma mereka menumpang sahaja kerana kalau mereka yang bina, Allah ﷻ sudah musnahkan. Maka kisah piramid ini masih menjadi misteri bagi kita.
A’raf Ayat 138: Sekarang masuk kisah Nabi Musa عليه السلام berhadapan dengan kaumnya itu setelah diselamatkan. Ini menjadi tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda juga berhadapan dengan kaum penentang.
وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم ۚ قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ ۚ قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We took the Children of Israel across the sea; then they came upon a people intent in devotion to [some] idols of theirs. They [the Children of Israel] said, “O Moses, make for us a god just as they have gods.” He said, “Indeed, you are a people behaving ignorantly.
MALAY
Dan Kami bawakan Bani Israel ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
وَجٰوَزنا بِبَني إِسرٰءيلَ البَحرَ
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut
Maka Allah ﷻ telah menyelamatkan Bani Israel bersama dengan Nabi Musa عليه السلام ke seberang laut. Inilah peristiwa mereka dikejar dan kemudian mereka dapat melepasi lautan itu tetapi Firaun dan tenteranya dihempap dengan air itu dan membunuh mereka semua.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ kata Dia yang menyeberangkan mereka. Walaupun mereka yang jalan sendiri, tetapi Allah ﷻ masih kata Dia yang bawa mereka. Ini kerana jika bukan Allah ﷻ yang menyeberangkan mereka, mereka tidak akan berjaya.
فَأَتَوا عَلىٰ قَومٍ يَعكُفونَ عَلىٰ أَصنامٍ لَّهُم
lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang iktikaf berhala-berhala mereka.
Mereka sekarang sudah sampai ke tempat tinggal Nabi Yaakob عليه السلام dahulu. Keadaan telah berubah di tempat itu. Manusia di situ sudah melakukan syirik. Bani Israel telah bertemu dengan kaum yang duduk bertapa (iktikaf) pada patung pujaan mereka. Dikatakan juga yang berhala itu patung lembu. Mereka itu sudahlah ada sejarah dengan patung anak lembu.
Iktikaf itu membawa maksud terus berada di sesuatu tempat dengan niat beribadat. Oleh itu ada yang kata mereka itu mungkin sedang bertapa. Apabila dikatakan mereka bertapa, itu maksudnya mereka bersungguh-sungguh melakukannya. Ini kerana jika pada tahap ringan, mereka setakat beri korban sahaja pada patung-patung itu.
Begitulah ada dalam kalangan kufur seperti Hindu yang tinggi amal mereka, mereka tahu yang patung yang mereka sembah dan menumpukan perhatian itu, bukanlah tuhan sebenarnya. Ia adalah cuma ‘kiblat tawajuh’ kepada mereka sahaja untuk mereka menumpukan perhatian.
Maka ia tidak semestinya dalam bentuk patung. Ia boleh mejadi benda lain kerana untuk patung ada bahasa lain yang digunakan. Dalam bahasa kita, kita panggil ‘berhala’ kerana menjadi tempat untuk dihalakan perhatian kita. Ia boleh jadi dalam bentuk patung, batu, busut, kubur, pokok dan apa-apa sahaja.
Disebut di sini أَصنامٍ لَّهُم (berhala milik mereka). Maknanya mereka yang membinanya sendiri dan kemudian mereka sembah pula. Maka ini adalah satu perbuatan yang amat bodoh. Sendiri buat dan kemudian sendiri sembah. Teringat satu kisah anak pembuat patung Hindu. Pembuat patung agama Hindu setelah membentuk patung itu akan memasukkan ‘nyawa’ kepada patung itu. Anaknya yang masih kecil pada waktu itu berkata: “Ayah, ayah lagi hebatlah daripada tuhan, sebab ayah yang bagi nyawa pada tuhan!”
Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa kaum tersebut menyembah berhala yang berbentuk lembu. Kerana itulah maka hal tersebut memberikan pengaruh syubhat bagi kaum Bani Israel dalam penyembahan mereka terhadap anak lembu sesudah peristiwa tersebut. Jika dilihat ayat yang lain seperti [Baqarah: 93], memang menunjukkan yang puak Bani Israel ini memang terkesan dengan patung lembu.
قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم
Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Kenapakah mereka sampai jadi begini? Ada pendapat yang mengatakan ini kerana mereka sudah lama duduk dalam kalangan masyarakat Qibti yang menyembah berhala, maka mereka telah terkesan. Itulah bahaya apabila duduk dalam kalangan orang yang melakukan syirik.
Dalam perkara ini, ada orang kufur yang menuduh Islam pun sebenarnya menyembah Kaabah juga kerana kita mengadap Kaabah dalam salat kita. Kita juga tawaf mengelilinginya. Ini tidak benar sama sekali. Walaupun memang ada juga orang Islam yang jahil agama yang sembah Kaabah. Mereka memeluk Kaabah, bergantung pada Kaabah, ambil berkat dengan Kaabah dan sebagainya. Memang pelik-pelik perbuatan manusia walaupun mereka mengatakan mereka Muslim. Memang bodoh sekali dan malu kalau kita lihat apa orang-orang kita buat di Kaabah itu.
Ada juga yang memandang tinggi Batu Hajarul Aswad itu. Padahal, batu itu tidak ada apa-apa. Bacalah apa kata Saidina Umar رضي الله عنه kepada batu itu – “Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andai aku tidak melihat Rasulullah ﷺ menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya (mencium Hajarul Aswad).”
Maka, janganlah kita menganggap Kaabah itu sebagai lebih daripada yang sepatutnya. Kita bukan memuja Kaabah. Kita mengadap kepada Kaabah itu kerana itu adalah arahan daripada Allah ﷻ. Dan jangan kita jadikan sesuatu perkara sebagai alat untuk memusatkan fikiran kita – kita tidak perlukan perkara sebegitu. Sebab itu kita disuruh untuk menjadikan masjid kita sekosong mungkin (tanpa hiasan berlebihan). Supaya jangan ada yang boleh mengganggu kita daripada memusatkan fikiran kita dalam salat.
قالوا يٰموسَى اجعَل لَّنا إِلٰهًا كَما لَهُم ءآلِهَةٌ
mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.
Bani Israel yang baru sahaja melepasi laut untuk menyelamatkan diri mereka daripada Firaun yang menyuruh mereka membuat syirik, telah meminta kepada Nabi Musa عليه السلام untuk menjadikan berhala juga untuk mereka seperti kaum di Palestin itu. Maknanya memang ada keinginan kepada syirik dalam diri mereka.
Mereka kata itu adalah untuk mereka memusatkan fikiran mereka. Ini kerana mereka telah salah faham apabila mereka lihat orang-orang yang menggunakan berhala itu sangat fokus dalam ibadat mereka. Akan tetapi perbuatan itu tidak boleh dilakukan kerana ia adalah perkara syirik.
Jangan tertipu dengan mereka yang fokus di hadapan berhala kerana ia adalah perbuatan yang syirik, maka syaitan tidak mengganggu mereka dalam beramal. Ini adalah kerana mereka telah membuat perkara yang syirik jadi buat apa syaitan hendak ganggu mereka?
Lihatlah bagaimana teruknya perangai Bani Israel itu sedangkan mereka baru sahaja melihat kelebihan yang banyak yang Allah ﷻ telah berikan. Begitu teruk sekali mereka sampai mereka minta berhala kepada Nabi mereka sendiri.
Ada pendapat yang mengatakan Bani Israel itu bukan menganggap berhala itu sebagai tuhan, akan tetapi sebagai hendak menjadikannya sebagai wasilah (perantara) sahaja. Iaitu mereka hendak bertawasul dengan berhala itu. Namun ini pun syirik juga. Tawasul adalah menjadikan sesuatu sebagai perantara atau orang tengah untuk berdoa kepada Allah ﷻ.
Syirik jenis ini memang berlaku semenjak zaman berzaman. Malah masyarakat Muslim di negara kita pun ramai melakukannya apabila mereka menjadikan wali sebagai wasilah dalam berdoa. Kerana itulah kita selalu dengar golongan sesat melawat kubur-kubur tertentu dengan tujuan untuk meminta tolong kepada wali yang mati di dalam kubur itu lah. Inilah kesannya apabila masyarakat sudah jauh daripada ajaran wahyu dan mengikut ajaran daripada syaitan.
قالَ إِنَّكُم قَومٌ تَجهَلونَ
Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
Nabi Musa عليه السلام telah memarahi mereka kerana mereka meminta seperti orang jahil. Sudah lama duduk dengan Nabi Musa عليه السلام pun masih jahil lagi tentang agama. Malah bukan Nabi Musa عليه السلام sahaja tetapi banyak lagi Nabi-nabi yang lain. Ini sama seperti orang kita, sudah lama duduk dalam Islam pun, tetapi masih lagi jahil tentang agama, tentang tauhid.
Puak Islam semasa awal Islam pun yang masih tidak mengenal agama dengan benar. Seperti yang tersebut dalam sebuah hadith:
وَرَوَى الْإِمَامُ أَبُو جَعْفَرِ بْنُ جَرِيرٍ [رَحِمَهُ اللَّهُ] تَفْسِيرَ هَذِهِ الْآيَةِ مِنْ حَدِيثِ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ وعَقِيل، وَمَعْمَرٍ كُلِّهِمْ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ سِنَانِ بْنِ أَبِي سِنَانٍ، عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ: أَنَّهُمْ خَرَجُوا مِنْ مَكَّةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى حُنَيْنٍ، قَالَ: وَكَانَ لِلْكُفَّارِ سِدْرَةٌ يَعْكُفُونَ عِنْدَهَا، وَيُعَلِّقُونَ بِهَا أَسْلِحَتَهُمْ، يُقَالُ لَهَا: “ذَاتُ أَنْوَاطٍ”، قَالَ: فَمَرَرْنَا بِسِدْرَةٍ خَضْرَاءَ عَظِيمَةٍ، قَالَ: فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، اجْعَلْ لَنَا ذَاتَ أَنْوَاطٍ كَمَا لَهُمْ ذَاتُ أَنْوَاطٍ. فَقَالَ: “قُلْتُمْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى لِمُوسَى: {اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ. إِنَّ هَؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مَا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}
Imam Abu Ja’far ibnu Jarir mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini melalui hadith Muhammad ibnu Ishaq, Uqail, dan Ma’mar yang ketiga-tiganya daripada Az-Zuhri, daripada Sinan ibnu Abu Sinan, daripada Abu Waqid Al-Laisi, bahawa mereka (sahabat) berangkat keluar dari Mekah bersama-sama Rasulullah ﷺ menuju ke Medan Hunain. Disebutkan bahawa dahulu orang-orang kafir mempunyai sebuah pohon sidrah tempat mereka melakukan meditasi dan menggantungkan senjata-senjata mereka, pohon tersebut mereka namakan Zatu Anwat. Kemudian kami melewati sebuah pohon sidrah yang hijau lagi besar. Maka kami katakan “Wahai Rasulullah jadikanlah untuk kami Zatu Anwat sebagaimana dahulu mereka mempunyai Zaatu Anwat” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, kalian ini telah mengatakan perkataan seperti yang diucapkan oleh kaum Musa kepada Musa, iaitu: “Buatlah untuk kami sebuah berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa berhala. Musa menjawab, ‘Sesungguhnya kalian ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan),” Sesungguhnya mereka itu akan dihancurkan kepercayaan yang dianutinya dan akan batal apa yang selalu mereka kerjakan.
Mereka minta begitu kerana mereka ada kepercayaan khurafat yang masih lagi menebal dalam diri mereka. Ini adalah kerana sudah lama mereka dalam keadaan begitu maka susah untuk mereka terus buang. Oleh itu, jikalau kita pun ada percaya kepada sesuatu yang seperti itu, maka kita turut membuat syirik sebagaimana Bani Israel itu juga. Malangnya masih banyak lagi kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat kita.
Di sini Allah ﷻ menggunakan kalimah تَجهَلونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat yang mereka bukan sekali sahaja melakukannya, tetapi banyak kali. Bukan mereka sahaja, malah umat lain zaman berzaman pun ada melakukannya juga. Termasuk juga masyarakat kita, bukan?
A’raf Ayat 139:
إِنَّ هٰؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مّا هُم فيهِ وَبٰطِلٌ مّا كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those [worshippers] – destroyed is that in which they are [engaged], and worthless is whatever they were doing.”
MALAY
“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu”.
إِنَّ هٰؤُلاءِ مُتَبَّرٌ مّا هُم فيهِ
“Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya
Nabi Musa عليه السلام beritahu mereka yang orang-orang yang bertapa di hadapan berhala itu satu hari nanti mereka akan hancur. Akan hancur segala fahaman salah mereka itu. Maka kenapa mahu mengikuti pula perbuatan mereka yang sesat itu?
وَبٰطِلٌ مّا كانوا يَعمَلونَ
dan batallah apa yang mereka kerjakan itu”.
Dan batallah apa yang mereka lakukan itu. Akan lenyap segala amalan mereka kerana amalan itu tidak ada nilai. Fahaman mereka akan hilang dan perbuatan itu akan hilang kerana ia adalah perkara yang amat salah. Tidak ada kebaikan dan tidak ada pahala dalam amalan mereka itu. Takkan kamu wahai Bani Israel mahu menjadi seperti mereka pula?
Sekiranya ada amal-amal kebaikan yang mereka lakukan juga akan hilang lenyap semua sekali kerana tidak bernilai di sisi Allah ﷻ. Inilah bahayanya jika beramal dengan amalan yang syirik. Segala pahala kebaikan dahulu akan musnah menjadi kosong terus. Kena buat amal balik untuk mendapatkan pahala.
A’raf Ayat 140:
قالَ أَغَيرَ اللَّهِ أَبغيكُم إِلٰهًا وَهُوَ فَضَّلَكُم عَلَى العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Is it other than Allāh I should desire for you as a god¹ while He has preferred you over the worlds?”
- An object of worship.
MALAY
Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari ilah untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?”
قالَ أَغَيرَ اللَّهِ أَبغيكُم إِلٰهًا
Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari ilah untuk kamu selain daripada Allah?
Nabi Musa عليه السلام menambah lagi: patutkah dia mencari ilah lain selain Allah ﷻ untuk mereka, sedangkan ilah hanya Allah ﷻ sahaja? Kenapa mereka masih lagi mahu mencari ilah yang lain?
وَهُوَ فَضَّلَكُم عَلَى العٰلَمينَ
padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia?
Memang tidak patut sekali apa yang mereka minta itu. Sedangkan Allah ﷻ telah melebihkan mereka daripada sekalian manusia yang lain (pada zaman itu). Allah ﷻ melebihkan mereka berbanding dengan umat yang lain di zaman mereka. Ini adalah kerana mereka ada agama dan telah diberikan banyak Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka.
Jangan pula sangka mereka itu di kedudukan yang lebih selama-lamanya pula. Untuk waktu itu sahaja, kerana mereka ada Nabi dan mereka sepatutnya ada agama tauhid. Sekarang yang mengamalkan agama Islam hanyalah umat Nabi Muhammad ﷺ. Maka kitalah sekarang yang dilebihkan daripada sekalian manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 3 Disember 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan