Tafsir Surah an-Nur Ayat 54 – 55 (Allah beri kekuasaan kepada Muslim)

Ayat 54: Khulasah (keputusan) surah ini.

قُل أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيهِ ما حُمِّلَ وَعَلَيكُم مّا حُمِّلتُم ۖ وَإِن تُطيعوهُ تَهتَدوا ۚ وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Obey Allāh and obey the Messenger; but if you turn away – then upon him is only that [duty] with which he has been charged, and upon you is that with which you have been charged. And if you obey him, you will be [rightly] guided. And there is not upon the Messenger except the [responsibility for] clear notification.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”.

 

قُل أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ

Katakanlah: “Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul;

Akhir sekali, yang paling penting adalah mesti taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ. Untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an dan amalkan ajaran di dalam Al-Qur’an; untuk taat kepada Rasulullah ﷺ, kenalah belajar dan amalkan Sunnah. Maka kenalah cari kelas tafsir Al-Qur’an dan syarahan Hadith. Jangan baca sendiri sahaja kerana kalau baca sendiri tidak akan faham dan boleh menjadi salah faham.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيهِ ما حُمِّلَ

dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya,

Namun begitu amat ramai sekali yang berpaling dari kebenaran. Mereka tidak mahu belajar agama dan kerana tidak belajar, maka mereka tidak taat dengan apa yang perlu ditaati. Ini kerana mereka tidak tahu pun apa yang perlu ditaati (sebab tidak belajar).

Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu, jikalau kamu berpaling selepas diberi peringatan itu maka ketahuilah bahawa Rasulullah ﷺ hanya menjalankan tugas yang telah dibebankan ke atas dirinya. Baginda telah menjalankan tugas baginda dan tidak dipertanggungjawabkan sama ada umat baginda ikut ataupun tidak.

Baginda sudah menjalankan tugas, kamu pula bagaimana? Adakah kamu telah belajar? Adakah kamu telah sampaikan dakwah agama ini kepada manusia? Adakah kamu telah sampaikan tafsir Al-Qur’an kepada manusia lain?

 

وَعَلَيكُم مّا حُمِّلتُم

dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. 

Dan kamu juga sebagai umat Islam telah dibebankan dengan tanggungjawab ke atas dirimu. Jangan sangka kamu hidup untuk hidup dan mati begitu sahaja, tanpa ada tanggungjawab dan tugas di dunia ini. Kenalah tahu apa tanggungjawab kita itu: yang utama adalah menjadi Hamba kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَإِن تُطيعوهُ تَهتَدوا

Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. 

Kepentingan utama adalah taat kepada Rasulullah ﷺ, maka Allah ‎ﷻ menjanjikan akan diberikan hidayah. Kerana itulah kepentingan itu adalah tahu apakah jalan agama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Kena belajar dan mendalami ilmu agama sepertimana yang diajar oleh baginda.

Malangnya masyarakat Melayu kita jauh dari budaya ilmu sudah sekian lama. Baru beberapa tahun sahaja  orang kita mulai memakai tudung menutup aurat (itu pun belum lengkap sempurna lagi). Ini kerana masih terdapat banyak kekeliruan lagi. Maka perjalanan masih jauh lagi untuk menyampaikan ilmu ini.

Namun begitu, alhamdulillah, kita boleh nampak semakin ramai yang sudah terbuka hati untuk tahu dan mengenali agama dengan lebih mendalam lagi.  In sha Allah nanti semakin ramai yang berilmu dan masyarakat pun dapat berubah ke arah masyarakat beragama.

 

وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Dan tidak lain kewajipan rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”.

Dan ingatlah yang tugas Nabi ﷺ bukanlah untuk menjaga amalan-amalan kamu kerana tugas baginda hanyalah untuk menyampaikan sahaja. Kalau kamu tidak ikut, tidak ada rugi kepada baginda.

Tugas baginda adalah menyampaikan agama dengan ‘terang’, dengan jelas. Segala yang baginda sampaikan sudah jelas kepada mereka yang belajar. Tidaklah baginda ajar perkara yang berpusing-pusing. Maka kalau kepala masing berpusing lagi, itu kerana tidak belajar dengan cukup lagi.

Teruskan belajar sampai hilang pening itu. Biasalah kalau mula belajar, macam-macam maklumat akan didapati dan kadangkala tidak dapat disusun dalam kepala. Bawalah bersabar dalam belajar.

Tetapi ketahuilah yang kalau anda berusaha, anda akan faham kerana ajaran agama Islam kita ini mudah dan senang dipelajari sebenarnya. Tidaklah ajarannya rahsia (orang tertentu sahaja boleh belajar), susah untuk faham (kena pelajar universiti sahaja boleh faham), kena belajar lama baru faham (tidaklah berpuluh tahun baru boleh faham agama) dan lain-lain lagi alasan. Ini kerana agama Islam ini adalah ajaran yang logik dan mudah diterima oleh akal. Islam ini ‘mesra-akal’.

Sebagaimana tugas Rasul ﷺ menyampaikan, begitu jugalah tugas ini dibebani kepada kita sekarang sebagai pendakwah. Kita kena sampaikan dan tugas kita menyampaikan sahaja; tidaklah kita bertanggungjawab kalau yang disampaikan itu diterima ataupun tidak. Cuma, kalau mereka terima lagi bagus kerana pahala kita pun akan bertambah.


 

Ayat 55: Ayat tabshir.

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ آمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُم دينَهُمُ الَّذِي ارتَضىٰ لَهُم وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِن بَعدِ خَوفِهِم أَمنًا ۚ يَعبُدونَني لا يُشرِكونَ بي شَيئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعدَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised those who have believed among you and done righteous deeds that He will surely grant them succession [to authority] upon the earth just as He granted it to those before them and that He will surely establish for them [therein] their religion which He has preferred for them and that He will surely substitute for them, after their fear, security, [for] they worship Me, not associating anything with Me. But whoever disbelieves¹ after that – then those are the defiantly disobedient.

  • i.e., denies the favor of Allāh or does not live by His ordinance.

(MELAYU)

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

وَعَدَ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh

Ini janji Allah ‎ﷻ kepada mereka yang taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ.

Kalimah مِنكُم (dari kalangan kamu) itu merujuk kepada para sahabat. Bagaimana pula dengan kita?

Kalau kita beramal seperti mereka, maka kita pun boleh termasuk seperti mereka juga. Oleh sebab itu kita kenalah belajar apakah yang diamalkan oleh mereka. Kalau tidak belajar, bagaimana untuk beramal seperti amalan para sahabat? Kenalah mengamalkan amalan soleh, iaitu amalan yang bukan amalan bidaah. Dan merekalah yang dinamakan golongan ‘salaf’.

Kita kena ingat yang para sahabat itu belajar dengan Rasulullah ﷺ sendiri, maka mereka lebih faham tentang agama dari kita. Maka apabila sesuatu amalan itu disampaikan kepada kita, kita kenalah periksa: adakah para sahabat buat begitu ataupun tidak? Kerana merekalah kayu ukuran kita sama ada sesuatu amalan itu boleh diamalkan ataupun tidak.

Malangnya, ramai yang tidak belajar dengan betul,  maka apa sahaja amalan yang sampai kepada mereka, laju sahaja diamalkan tanpa periksa. Hasilnya, terlalu banyak amalan-amalan bidaah dalam masyarakat kita. Dan ini amat menyedihkan.

 

لَيَستَخلِفَنَّهُم فِي الأَرضِ كَمَا استَخلَفَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, 

Ini adalah janji Allah ‎ﷻ: Bagi sesiapa yang taat, Allah ‎ﷻ menjanjikan yang mereka akan meninggalkan keturunan mereka yang akan berkuasa di atas muka bumi. Iaitu mereka akan menjadi khalifah kepada bangsa Arab dan juga bangsa a’jam (bukan Arab).

Beginilah yang telah terjadi kepada golongan sahabat sampailah ke zaman Sayidina Muawiyah. Maka Allah ‎ﷻ sudah menyempurnakan janji-Nya kepada golongan itu. Kita sudah nampak bagaimana janji Allah ‎ﷻ telah terbukti. Mereka pada waktu itu telah menguasai kebanyakan besar dari dunia. Negara Islam digeruni dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh musuh Islam.

Sesungguhnya sebelum Nabi ﷺ wafat, Allah ‎ﷻ telah menaklukkan bagi baginda Mekah, Khaibar, Bahrain, dan semua kawasan Jazirah Arabia serta negeri Yaman seluruhnya. Baginda ﷺ sempat memungut jizyah dari orang-orang Majusi Hajar dan juga dari para penduduk yang ada di pinggiran negeri Syam (yang berada di dekat negeri Arab).

Dan pada zaman Umar, kerajaan Islam telah semakin berkembang kerana usaha dakwah dan jihad yang dijalankan oleh beliau. Tanah Syria dan Mesir telah ditawan dan sebahagian besar dari kerajaan Parsi telah ditakluk. Dan pada zaman Khalifah Uthman, kerajaan Islam semakin berkembang lagi.

Ia menjadi tanda yang kekhalifahan 4 sahabat selepas kewafatan baginda itu memang diberkati. Kalaulah Allah tidak redha dengan kekhalifahan mereka (seperti yang didakwah oleh Syiah), maka tentulah negara Islam tidak aman.

Janji ini juga disampaikan kepada kita sekarang dalam ayat Al-Qur’an yang kita sedang baca ini. Memang kita bukan berkuasa sekarang, tetapi kalau kita taat dan amalkan Al-Qur’an seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki, maka kejayaan akan jadi milik umat Islam. Dan perkara ini pernah terjadi dahulu maka tidak mustahil ia boleh terjadi lagi. Allah ‎ﷻ sudah pernah memberikan kekuasaan dunia kepada umat Islam dan Allah ‎ﷻ boleh memberikannya lagi.

Tetapi bagaimana caranya? Sebagaimana umat Islam dahulu memerintah dunia kerana mereka berpegang dengan ajaran Al-Qur’an, maka kalau kita pun ingin menjadi seperti mereka, haruslah berpegang kembali kepada Al-Qur’an. Tetapi kalau tafsir Al-Qur’an pun tidak belajar, bagaimana untuk berpegang dengan Al-Qur’an?

Kalau setakat sepanduk sahaja digantung-gantung tetapi tidak belajar, memang tidak ada harapan. Kalau setakat baca sahaja Al-Qur’an tanpa difahami apa yang dibaca, pun tidak ada harapan.

 

وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُم دينَهُمُ الَّذِي ارتَضىٰ لَهُم

dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka,

Dan Allah ‎ﷻ berjanji akan memastikan yang agama Islam itu terus kuat. Begitulah Allah ‎ﷻ telah menjadikan Islam ini pernah menjadi agama rasmi dunia. Dan kalau kita juga berpegang kepada Al-Qur’an, ia akan kembali kuat.

Ayat ini diturunkan di Madinah tetapi waktu itu umat Islam belum lagi kuat kerana mereka masih lagi berperang dengan musuh-musuh Islam. Waktu itu Musyrikin Mekah masih lagi berusaha menyerang Madinah dan masih ada lagi puak-puak Yahudi di sekeliling umat Islam yang tidak boleh dipercayai dan dalam masa yang sama, ada puak-puak munafik yang tidak boleh dipercayai. Kalau lihat keliling waktu itu, seperti ayat ini tidak mungkin akan terjadi kerana Islam nampaknya bukanlah dalam kedudukan yang kuat lagi.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan janji kepada mereka yang jikalau mereka terus taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ dan menjaga agama mereka, maka Allah ‎ﷻ akan memastikan keteguhan umat Islam di atas muka bumi.

Waktu itu, negara Islam masih lagi dalam bentuk telur yang belum menetas (peringkat awal) kerana ia belum stabil dan undang-undang Islam belum dijalankan dengan penuh lagi kerana ada perkara-perkara yang sedang berlaku dan hukuman hudud juga belum dijalankan lagi.

Sebagai contoh, jikalau ada tentera lari dan berpaling dari medan peperangan mereka sepatutnya dihukum bunuh tetapi ada puak-puak munafik yang lari daripada medan perang tetapi mereka tidak dibunuh waktu itu.

Undang-undang Islam hanya dapat dapat dilaksanakan sepenuhnya setelah Pembukaan Mekah dan waktu itulah negara Islam telah terbentuk dengan sepenuhnya. Tetapi janji kepada kestabilan ini telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ di dalam ayat ini. Kerana begitulah taqdir Allah ‎ﷻ pasti akan terjadi.

 

وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِن بَعدِ خَوفِهِم أَمنًا

dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa.

Dan Allah ‎ﷻ akan mengubah sifat ketakutan yang ada pada mereka waktu itu kepada perasaan aman tenteram. Ini adalah kerana mereka belum lagi dapat berasa selamat kerana mereka boleh diserang oleh pihak-pihak yang lebih kuat daripada mereka bila-bila masa sahaja. Maka umat Islam waktu itu dalam keadaan takut dan dalam keadaan siap siaga sentiasa.

Kalau keadaan seperti itu, memang tidak aman. Sebagai contoh apabila mereka di dalam Perang Ahzab mereka amat takut pada waktu itu. Kerana waktu itu, ramai pihak bergabung menyerang Madinah. Umat Islam masih sedikit waktu itu dan yang datang menyerang amat ramai sekali. Tapi Allah ‎ﷻ akhirnya selamatkan mereka.

Jadi, ada ringkasnya tiga janji yang Allah ‎ﷻ berikan dalam ayat ini:

1. Umat Islam akan menjadi khalifah di atas muka bumi
2. Agama Islam akan terus kuat
3. Umat Islam akan menjadi aman sentiasa

 

يَعبُدونَني لا يُشرِكونَ بي شَيئًا

Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.

Negara Islam yang stabil itu akan menyembah Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak akan melakukan kesyirikan. Mereka itu (Muhajirin terutamanya) asalnya ketua syirik dunia, tetapi mereka sudah menjadi ketua umat tauhid.

Jadi dalam ayat ini Allah ‎ﷻ berjanji kepada para sahabat dan jikalau kita pun dapat mengikut seperti cara sahabat itu, maka kita pun akan mendapat janji yang sama. Tetapi kalau kita lihat masyarakat Islam sekarang, ramai tidak faham lagi apakah syirik itu dan kerana itu ramai yang mengamalkan syirik tanpa mereka sedari.

Mereka sangka mereka sudah berfahaman Tauhid, tetapi sebenarnya tidak. Maka bagaimana kita boleh mengharapkan Allah ‎ﷻ memberikan kemenangan dan ketenangan kepada kita, kalau perkara utama iaitu Tauhid pun tidak diamalkan lagi?

 

وَمَن كَفَرَ بَعدَ ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Dan kalau agama Islam telah stabil dan negara Islam telah ada dan kalau waktu itu ada lagi yang keluar daripada agama Islam maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik dan mereka akan dikenakan dengan hukuman bunuh. Dan kerana mereka terus fasik, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka walaupun nama mereka orang Islam.

Maka ayat ini ditujukan kepada golongan Munafik dan yang lemah iman. Mereka diingatkan yang janji ini untuk mukmin sejati. Kalau mereka tidak ubah sikap mereka dan mereka terus menjauhkan diri dari agama Islam, mereka tidak akan mendapat janji ini. Jangan sangka mereka berada di dalam negara Islam dan mereka mengaku Muslim, maka mereka boleh mendapat janji-janji ini.

Imam Baghawi mengatakan, potongan ayat ini telah terjadi apabila umat Islam ada yang membunuh Khalifah Uthman. Semenjak dari kejadian itu, kerajaan Islam telah menuju ke arah keruntuhan sedikit demi sedikit. Musibah demi musibah telah melanda umat Islam sehinggalah sekarang.

Kekuatan Islam bukanlah dari segi bilangan umatnya, tetapi dari kekuatan iman mereka. Kalau bilangannya ramai sahaja, tetapi iman yang lemah banyak seperti buih di lautan pun, Muslim tidak akan berjaya kerana Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan bantuan-Nya kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29  Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s