Tafsir Surah an-Nur Ayat 49 – 53 (Sifat Munafik)

Ayat 49:

وَإِن يَكُن لَّهُمُ الحَقُّ يَأتوا إِلَيهِ مُذعِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if the right is theirs, they come to him in prompt obedience.

(MELAYU)

Tetapi jika keputusan itu untuk mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh.

 

وَإِن يَكُن لَّهُمُ الحَقُّ

Tetapi jika keputusan itu untuk mereka,

Bila mereka perlu kepada keputusan itu pula, kelam kabut mereka datang. Mereka datang kerana mereka nampak ada keuntungan kepada mereka. Ini kerana sifat mereka yang menginginkan keuntungan sahaja. Contohnya mereka ada isu dan mereka merasakan mereka akan menang kalau kes dibawa di hadapan Rasulullah ﷺ, maka mereka akan terus mendapatkan keputusan dari baginda.

Kalau zaman sekarang, waktu itulah mereka akan berjumpa dengan pihak berkuasa agama. Waktu itu, laju sahaja mereka datang. Maknanya mereka ini pergi kepada agama, hanya apabila ada keperluan sahaja.

Sebagai contoh, ramai dari kalangan orang Melayu yang tidak kisah pun tentang agama; tetapi bila ingin berkahwin, pandai pula mereka pergi ke Pejabat Kadi. Amalan agama tidak dibuat, tetapi apabila bercerai dan ingin mendapatkan bayaran nafkah dari bekas suami, rajin sahaja mereka mengadu ke pejabat agama.

 

يَأتوا إِلَيهِ مُذعِنينَ

mereka datang kepada rasul dengan patuh.

Allah ‎ﷻ memberitahu sifat munafik – apabila mereka merasakan mereka perlu kepada agama, waktu itu mereka datang dengan patuh serta merendah diri. Kalimah مُذعِنينَ bermaksud ‘sudah bersedia untuk taat’. Kalau ada keuntungan baru mereka mahu tunduk untuk taat.

Maka, janganlah kita jadi begini. Janganlah ambil agama apabila perlu sahaja. Kita haruslah menerima pakai agama ini dalam semua keadaan dan waktu. Jangan hanya apabila susah sahaja baru hendak mencari agama. Seperti kebanyakan orang kita, bila ada keluarga mati, barulah sibuk untuk mencari ‘orang masjid’ dan ‘orang surau’.


 

Ayat 50:

أَفي قُلوبِهِم مَّرَضٌ أَمِ ارتابوا أَم يَخافونَ أَن يَحيفَ اللهُ عَلَيهِم وَرَسولُهُ ۚ بَل أُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is there disease in their hearts? Or have they doubted? Or do they fear that Allāh will be unjust to them, or His Messenger? Rather, it is they who are the wrongdoers [i.e., the unjust].

(MELAYU)

Apakah dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu-ragu ataukah takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

أَفي قُلوبِهِم مَّرَضٌ

Apakah dalam hati mereka ada penyakit?

Adakah hati mereka mempunyai penyakit? Yang dimaksudkan adalah penyakit nifak. Mereka sebenarnya kufur tetapi mereka menyembunyikan kekufuran mereka itu.

Atau penyakit yang dimaksudkan itu adalah lemah iman. Ini kerana ada yang munafik tetapi tidak kufur, cuma mereka itu lemah iman kerana mereka tidak rapat dengan wahyu.

 

أَمِ ارتابوا

atau mereka ragu-ragu?

Atau adakah mereka ragu-ragu? Mereka ragu-ragu dengan agama Islam ini dan undang-undangnya. Mereka mempersoalkan apa yang disampaikan dalam wahyu – sama ada dari Al-Qur’an atau hadith. Mereka tidak percaya yang hukum dari Allah ‎ﷻ ini adalah benar dan untuk kebaikan mereka.

Ini adalah kerana mereka tidak mempelajari wahyu Al-Qur’an dan agama. Mereka orang yang jahil yang tidak tahu menahu tentang agama. Mereka melihat hukum agama ini sebagai pelik dan tidak adil pada pandangan mereka kerana mereka tidak tahu apakah penjelasan dari hukum yang telah diberikan itu.

 

أَم يَخافونَ أَن يَحيفَ اللهُ عَلَيهِم

ataukah takut kalau-kalau Allah berlaku zalim kepada mereka?

Kalimah يَحيفَ dari katadasar ح ي ف yang bermaksud tidak adil (zalim). Adakah mereka rasa yang Allah ‎ﷻ akan berlaku zalim dan tidak berpihak kepada mereka kerana kesalahan yang mereka telah lakukan dahulu?

Adakah mereka merasakan yang Allah ‎ﷻ akan mengurangkan pemberian kepada mereka? Adakah mereka menyangka buruk yang Allah ‎ﷻ dan Rasul tidak berlaku adil dalam hukum yang diberikan? Ini tidak patut sama sekali kerana hukum yang Allah ‎ﷻ berikan adalah amat adil dan hukum yang terbaik bagi kita semua.

Orang sekarang ada yang tidak percaya dengan hukum-hukum yang ada dalam Al-Qur’an. Ada sahaja hujah yang mereka berikan untuk merendahkan hukum-hukum dari Allah ‎ﷻ. Ini amat bahaya sekali kerana kalau mereka tidak percaya, maknanya mereka menolak Allah ‎ﷻ sendiri.

وَرَسولُهُ

dan rasul-Nya?

Dan adakah mereka tidak percaya kepada Rasulullah  ﷺ yang Allah ‎ﷻ sendiri telah pilih untuk menjadi Rasul-Nya?

Teruknya mereka itu, sampaikan ada keputusan dari baginda yang mereka persoalkan. Begitu juga dengan kebanyakan dari manusia yang mengaku Muslim. Apabila diberikan hadith-hadith yang sahih, mereka sangsi dengan hadith itu serta susah untuk terima.

بَل أُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Tidak. Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ berkata, Dia tidak zalim sama sekali. Mereka yang tidak yakin dengan Allah ‎ﷻ jadi begitu kerana merekalah yang melakukan kezaliman dan kesalahan sedangkan Allah ‎ﷻ tidak berat sebelah. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya akan berat sebelah? Itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

Habis Ruku’ 6 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.


 

Ayat 51: Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu pula, bagaimana sifat orang mukmin yang sebenar.

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The only statement of the [true] believers when they are called to Allāh and His Messenger to judge between them is that they say, “We hear and we obey.” And those are the successful.

(MELAYU)

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka

Ini adalah kata-kata yang keluar daripada mulut orang-orang yang beriman apabila mereka dipanggil untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul ﷺ. Iaitu apabila ada kes dan Nabi ﷺ memanggil untuk melakukan penghakiman ke atas mereka. Mereka akan datang dengan rela, tanpa belah bahagi.

 

أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا

ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. 

Mereka akan menerima apa sahaja keputusan yang diberikan oleh Rasulullah ﷺ sama ada mereka di pihak yang menang atau di pihak yang kalah. Kerana mereka tahu yang baginda membuat keputusan berdasarkan wahyu Ilahi.

Kalau kepada kita sekarang, orang mukmin itu adalah orang yang menerima sahaja apa yang disampaikan oleh wahyu – baik dari segi akidah atau amalan. Mereka tidak membantah dan mereka tidak mempersoalkan.

Kalau kita ringkaskan:

  • Akidah – apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.
  • Amalan – apa yang disampaikan dalam Sunnah.

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Merekalah orang yang berjaya dunia akhirat. Mereka akan mendapat pembalasan yang baik. Ini adalah kerana mereka bersedia untuk taat dan redha dengan apa yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya.

Ayat selepas ini Allah ‎ﷻ beri formula untuk berjaya.


 

Ayat 52: Ini adalah ayat yang amat indah tentang agama Islam. Allah ‎ﷻ memberikan formula bagaimana hendak berjaya di dunia dan akhirat.

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ وَيَخشَ اللهَ وَيَتَّقهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever obeys Allāh and His Messenger and fears Allāh and is conscious of Him – it is those who are the attainers.

(MELAYU)

Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

 

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ

Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya

Arahan untuk menjalani kehidupan di dunia ini telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan diajar oleh Rasulullah ﷺ. Allah  ‎ﷻ telah menetapkan hukum dan Nabi ﷺ mengajar kita bagaimana memenuhi tanggungjawab hukum itu. Kerana kalau Nabi ﷺ tidak ajar cara beramal, maka kita tidak akan dapat tahu bagaimana untuk hidup di dunia ini.

 

وَيَخشَ اللهَ

dan takut kepada Allah

Mereka itu takut kerana kesalahan yang telah pernah dilakukan olehnya di masa yang lalu. Mereka tahu mereka orang yang berdosa dan mereka sedar yang dosa akan dibalas. Walaupun mereka telah bertaubat, tapi tidak pasti yang taubat mereka telah diterima.

Dan memang kena ada takut untuk berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ akan mempersoalkan apa yang amalan kita semasa di dunia. Kerana mereka tidak tahu sama ada mereka telah buat sebaik mungkin semasa di dunia.

 

وَيَتَّقهِ

dan bertakwa kepada-Nya, 

Kalimah يَتَّقهِ yattaqhi sebenarnya agak pelik kerana yang sepatutnya adalah yattaqeehi. Kalimah ini di dalam bentuk yang agak pelik kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi penekanan kepadanya. Iaitu kenalah bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Apabila ia dalam bentuk lain dari biasa, maka pembaca akan berikan perhatian. Ini kerana dalam bahasa Arab tidak ada bold untuk menunjukkan penekanan, maka ia ditunjukkan dengan cara yang halus.

Dan takwa dalam ayat ini bermaksud taqwa kepada Allah ‎ﷻ tentang perkara yang akan berlaku di masa hadapan; dan kerana itu ayat ini adalah lengkap dan merangkumi semua perkara. Terima sahaja apa yang Allah ‎ﷻ telah tentukan.

Jadi, ada 4 formula untuk berjaya:

1. Taat kepada Allah ‎ﷻ.
2. Taat kepada Rasul ﷺ.
3. Takut kepada Allah ‎ﷻ.
4. Taqwa kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

Merekalah yang berjaya dengan selamat dari neraka. Bila selamat dari neraka, tentunya tempat mereka di syurga.

Kalimah فائز bukan sahaja bermaksud berjaya, tetapi berjaya selamat dari bahaya. Mereka akan melalui neraka seperti semua orang dan mereka akan diselamatkan dari neraka itu. Dan ini akan menambah nikmat syurga kerana mereka sedar yang kalau mereka tidak selamat masuk syurga, tempat mereka tentunya dalam neraka.

Dan mereka telah nampak bagaimana rupa neraka itu dengan segala seksanya. Maka tentulah mereka benar-benar bersyukur kerana diselamatkan. Kalau kita terselamat dalam kemalangan jalan raya pun kita sudah bersyukur habis, bukan?


 

Ayat 53: Ini adalah teguran kepada munafik.

۞ وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم لَئِن أَمَرتَهُم لَيَخرُجُنَّ ۖ قُل لّا تُقسِموا ۖ طاعَةٌ مَّعروفَةٌ ۚ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they swear by Allāh their strongest oaths that if you ordered them, they would go forth [in Allāh’s cause]. Say, “Do not swear. [Such] obedience is known.¹ Indeed, Allāh is Acquainted with that which you do.”

  • i.e., the hypocrites’ pretense of obedience is known to be a lie.

(MELAYU)

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sekuat-kuat sumpah, jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi. Katakanlah: “Janganlah kamu bersumpah, (kerana ketaatan yang diminta ialah) ketaatan yang sudah dikenal. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَأَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم لَئِن أَمَرتَهُم لَيَخرُجُنَّ

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sekuat-kuat sumpah, jika kamu suruh mereka berperang, pastilah mereka akan pergi.

Ini adalah kata-kata orang munafik yang beriya-iya bersumpah yang jikalau Rasulullah ﷺ memberikan arahan untuk keluar berperang, maka mereka pasti akan keluar.

 

قُل لّا تُقسِموا

Katakanlah: “Janganlah kamu bersumpah,

Allah ‎ﷻ mengherdik kepada mereka: tidak perlulah mereka bersumpah sampai begitu sekali kerana buang masa sahaja. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu apa di dalam hati mereka. Mereka bukannya mahu berperang.

 

طاعَةٌ مَّعروفَةٌ

ketaatan yang sudah dikenal.

Ketaatan itu sepatutnya ditunjuk dengan sifat mereka. Tapi sifat mereka telah dikenali, mereka hanya cakap di mulut sahaja.

Maka janganlah mereka berikan alasan yang Nabi Muhammad ﷺ‎ tidak datang sendiri ke rumah mereka dan minta mereka datang menyertai peperangan kerana tidak mungkin seorang ketua negara pula yang datang ke rumah mereka satu persatu pula. Ini kerana mereka buat alasan: “tiada pun Nabi datang jumpa kami?”

Ini kerana arahan untuk berperang telah dikeluarkan secara umum dan semua umat Islam sepatutnya sudah tahu tentang perkara itu. Janganlah diberi alasan bodoh sebegini. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا}

Mereka akan bersumpah kepada kalian agar kalian redha. (At-Taubah: 96), hingga akhir ayat.

 

إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷺ beritahu yang Allah ﷺ tahu apa yang ada di dalam hati mereka dan Allah ﷺ tahu yang kata-kata mereka itu hanyalah alasan sahaja. Apa yang mereka sorokkan itu hanyalah menipu diri mereka sendiri sahaja. Allah tahu yang mereka itu adalah golongan munafik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s