Ayat 44: Allah ﷻ sambung tentang Qudrat-Nya.
يُقَلِّبُ اللهُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh alternates the night and the day. Indeed in that is a lesson for those who have vision.
(MELAYU)
Allah mempergantikan malam dan siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.
يُقَلِّبُ اللهُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ
Allah mempergantikan malam dan siang.
Allah ﷻ tukarkan malam dan siang; kadang-kadang siang dan kadang-kadang malam dan perkara ini berterusan sehinggalah sampai masa seperti yang Allah ﷻ kehendaki.
Malam dan siang itu bukan terjadi sendiri secara automatik tetapi Allah ﷻ yang tentukan. Dalilnya, nanti di akhirat, neraka akan sentiasa malam dan syurga akan sentiasa siang. Kita belajar sains yang malam terjadi kerana peredaran bumi yang berpusing. Tetapi pusingan bumi itu pun dari perbuatan Allah ﷻ juga, bukan? Maka kena ingat yang Allah ﷻ yang menjadikan siang dan malam itu.
Allah ajar kita ingat kepada pertukaran siang dan malam ini dengan membaca zikir pagi dan petang. Ianya adalah untuk mengingatkan kita yang Allahlah yang menjadikan siang dan malam itu.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.
Terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai basirah iaitu ‘mata hati’. Mereka yang mempunyai mata hati akan melihat dan memikirkan perkara-perkara yang disebut sebelum ini tentang hujan, salji, kilat dan juga pertukaran siang dan malam. Mereka sedar yang Allah ﷻ Maha Berkuasa dan mempunyai Qudrat untuk melakukan apa sahaja. Dan oleh sebab itulah Allah ﷻ sahaja yang layak disembah.
Ayat 45:
وَاللهُ خَلَقَ كُلَّ دابَّةٍ مِن مّاءٍ ۖ فَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ بَطنِهِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ رِجلَينِ وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ أَربَعٍ ۚ يَخلُقُ اللهُ ما يَشاءُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has created every [living] creature from water. And of them are those that move on their bellies, and of them are those that walk on two legs, and of them are those that walk on four. Allāh creates what He wills. Indeed, Allāh is over all things competent.
(MELAYU)
Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air, maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya dan sebahagian berjalan dengan dua kaki sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
وَاللهُ خَلَقَ كُلَّ دابَّةٍ مِن مّاءٍ
Dan Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari air,
Allah ﷻ menjadikan semua kehidupan yang ada di dalam alam ini daripada air. Setiap perkara hidup memerlukan air dan ada kandungan air di dalamnya.
Ini adalah satu maklumat saintifik yang hebat. Memang segala kehidupan ini dijadikan dari air. Oleh sebab itu kalau penjelajahan ke planet lain, NASA akan mencari sama ada di planet itu terdapat kesan air ataupun tidak. Ini kerana jika terdapat air, maknanya ada kehidupan di planet itu.
Dan Allah ﷻ telah menyebut di dalam Qur’an tentang perkara ini, tetapi ketika Qur’an diturunkan, maklumat ini tidak ada pada zaman itu. Maka memanglah bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Qur’an ini tetapi ia adalah wahyu dari Allah ﷻ.
فَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ بَطنِهِ
maka sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di atas perutnya
Hebat sekali penciptaan makhluk oleh Allah ﷻ yang Dia suruh kita lihat dan fikirkan. Kita sendiri boleh lihat pelbagai jenis binatang yang Allah ﷻ ciptakan. Ada yang berjalan dengan perut sahaja tanpa kaki seperti ular. Memang ular tidak ada kaki tetapi lihatlah pergerakannya yang amat cepat itu.
وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ رِجلَينِ
dan sebahagian berjalan dengan dua kaki
Ada makhluk yang berjalan dengan menggunakan dua kaki seperti manusia. Ya, manusia juga dikira sebagai ‘haiwan’, iaitu ‘haiwan yang berakal’. Selain dari itu, gorilla, ayam serta itik juga berjalan menggunakan dua kaki.
وَمِنهُم مَّن يَمشي عَلىٰ أَربَعٍ
sedang sebahagian (yang lain) berjalan dengan empat kaki.
Dan terdapat banyak binatang yang berjalan dengan menggunakan empat kaki seperti unta, lembu dan kambing. Semua ini boleh kita lihat setiap hari. Walaupun bilangan kaki tidak sama, tetapi semuanya boleh berjalan menuju tempat yang mereka hendak tujui. Allah ﷻ sudah menciptakan makhluk itu dan memberikan alat untuk mereka mencari sumber kehidupan.
يَخلُقُ اللهُ ما يَشاءُ
Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya,
Allah ﷻ boleh melakukan dan mencipta berjenis-jenis makhluk seperti yang Dia kehendaki. Tidak ada sesiapa yang suruh Allah ﷻ cipta itu dan ini; Allah ﷻ tidak memerlukan contoh untuk mereka ciptaan yang baru; Allah ﷻ tidak terhalang untuk mencipta apa sahaja.
Kalau kita ingin mencipta sesuatu, ada kalanya kita memang tidak dapat membuatnya kerana teknologi kita mungkin terhad. Namun bagi Allah ﷻ, tidak ada apa-apa yang dapat menghalang-Nya dari mencipta apa sahaja.
إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Kekuasaan Allah ﷻ tiada batasan. Semua kehendak-Nya tercapai. Tiada siapa boleh menghalang kehendak Allah ﷻ. Maka mestilah kita taat kepada Allah ﷻ, sembah Allah ﷻ dan seru Allah ﷻ sahaja. Kerana tidak perlu kita hendak memujuk atau meminta kepada sesiapa selain Allah ﷻ kerana mereka tidak ada kuasa dan qudrat seperti Allah ﷻ.
Ayat 46: Ayat ini adalah pengulangan dalil.
لَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ مُّبَيِّنٰتٍ ۚ وَاللهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We have certainly sent down distinct verses. And Allāh guides whom He wills to a straight path.
(MELAYU)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan. Dan Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
لَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ مُّبَيِّنٰتٍ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan.
Semua yang Allah ﷻ sebutkan di atas adalah menjadi tanda yang jelas kepada kebenaran Qur’an yang Allah ﷻ telah turunkan kepada kita. Allah ﷻ telah memberikan tanda-tanda kebenaran dengan jelas dan kalau kita melihat dengan mata hati, kita akan yakin yang Qur’an inilah petunjuk yang sebenar.
Ia adalah jelas dan nyata kepada mereka yang mempunyai mata hati dan mereka yang rapat dengan wahyu. Yang tidak jelas hanyalah bagi mereka yang tidak belajar sahaja. Kerana itulah sangat penting untuk mula belajar tafsir Qur’an dan kemudian memikirkan tentang tanda dan ayat-ayat yang dibacakan kepada kita. Kalau tidak jelas, maka haruslah dikaji lagi dan lagi.
وَاللهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Dan Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
Allah ﷻ memutuskan siapa yang Dia kehendaki untuk diberikan hidayah. Orang yang dipilih akan ditarik sedikit demi sedikit ke arah kebenaran.
Juga boleh bermaksud, Allah ﷻ memberikan hidayah kepada siapa yang hendakkan hidayah itu. Maknanya ia mengikut kehendak orang itu sendiri iaitu orang yang mempunyai inabah kepada kebenaran.
Maka ini mengajar kita yang bukanlah Allah ﷻ memilih kasih. Allah ﷻ berikan hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah. Maka kenalah ada keinginan dalam diri kita kepada kebenaran. Bila keinginan itu sudah ada, Allah ﷻ akan berikan hidayah itu kepada kita dan menarik kita ke arah kebenaran.
Ayat 47: Ayat syikayah. Sekarang kita masuk pula perbincangan tentang golongan munafik. Dari ayat ini sehingga ke ayat 57 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia menceritakan sifat golongan munafik ini dan dibezakan dengan sifat Mukmin.
وَيَقولونَ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِالرَّسولِ وَأَطَعنا ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ ۚ وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But they [i.e., the hypocrites] say, “We have believed in Allāh and in the Messenger, and we obey”; then a party of them turns away after that. And those are not believers.
(MELAYU)
Dan mereka berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati (keduanya)”. Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
وَيَقولونَ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِالرَّسولِ وَأَطَعنا
Dan mereka berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan rasul, dan kami mentaati
Golongan munafik mengatakan yang mereka beriman dan taat kepada arahan Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Namun mereka hanya mengatakan dengan lidah sahaja, tidak dengan hati. Mereka datang kepada Nabi ﷺ dan berkata mereka beriman dan akan taat kalau Nabi ﷺ suruh.
Mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda adalah ketua negara dan mereka mahukan diri mereka selamat dan dipandang sebagai orang Islam juga.
ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ
Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu,
Allah ﷻ berkata sebahagian dari mereka tidak beriman. Kerana itu mereka berpaling dari taat kepada Allah ﷻ dan RasulNya. Maknanya, mereka hanya bercakap dengan mulut sahaja tetapi tidak dengan hati mereka.
وَما أُولٰئِكَ بِالمُؤمِنينَ
sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
Allah ﷻ memberitahu yang mereka bukan seperti orang mukmin sebenar iaitu para sahabat. Mereka hanya beriman dengan mulut sahaja, tetapi hati mereka tidak. Kita tidak boleh baca apa yang ada di dalam hati manusia, namun Allah ﷻ tahu semuanya tentang manusia termasuk dalam hati mereka. Maka Allah ﷻ sahaja yang boleh beritahu kita yang orang munafik itu sebenarnya tidak beriman.
Ayat 48: Ini contoh perpalingan mereka sebagai bukti bahawa mereka itu bukanlah mukmin yang sebenar. Jadi kita kena bandingkan apa yang mereka lakukan dengan diri kita. Kita takut kalau-kalau kita pun ada sifat-sifat munafik itu.
Maknanya, kita belajar sifat-sifat munafik ini bukan untuk mengutuk mereka. Bukanlah kita gunakan untuk menuduh orang lain sebagai munafik. Kita sebenarnya hendak tahu kerana kita takut kita juga mempunyai sifat-sifat munafik. Jangan kita mengutuk orang munafik tetapi rupanya kita pun ada sifat mereka dan entah-entah kita pun dikira munafik di mata Allah ﷻ. Nauzubillah.
وَإِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم إِذا فَريقٌ مِّنهُم مُّعرِضونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when they are called to [the words of] Allāh and His Messenger to judge between them, at once a party of them turns aside [in refusal].
(MELAYU)
Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang.
وَإِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم
Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka,
Ini apabila mereka disuruh untuk datang untuk didengarkan arahan. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah untuk berhukum dengan arahan Rasul ﷺ. Jika di zaman Nabi ﷺ, memang baginda yang memberikan penghakiman. Kalau ada apa-apa masalah dan pertelingkahan, Nabi ﷺlah yang akan menjadi hakim untuk memberi keputusan di kalangan para sahabat.
Walaupun pada zaman kita sekarang, Nabi ﷺ tidak lagi bersama kita, namun begitu, sunnah baginda tetap ada. Maka dalam ayat ini kita disuruh supaya mengikut sunnah Nabi ﷺ. Hukum kena ikut hadith yang sahih.
إِذا فَريقٌ مِّنهُم مُّعرِضونَ
tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang.
Apabila dipanggil, golongan munafik tidak datang. Mereka akan membuat pelbagai alasan untuk tidak menghadirkan diri. Ini maknanya mereka tidak taat kerana sepatutnya apabila Nabi ﷺ panggil, kenalah datang. Ini penting kerana ajakan kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ itu adalah untuk menegakkan agama Allah ﷻ. Ini bukanlah perkara main-main.
Maka ia adalah sunnah dalam perkara ini, apabila dipanggil oleh pemimpin, kita kenalah datang. Di dalam kitab Imam Tabrani disebutkan melalui hadis Rauh ibnu Ata dari Abu Maimunah, dari Al-Hasan, dari Samurah secara marfu’:
“مَنْ دُعي إِلَى سُلْطَانٍ فَلَمْ يُجِبْ، فَهُوَ ظَالِمٌ لَا حَقَّ لَهُ”
“Barang siapa yang dipanggil oleh sultan, lalu dia tidak memenuhinya, maka dia adalah orang yang zalim, tiada hak baginya.”
Kalau dipanggil oleh sultan pun kena datang, apatah lagi kalau yang memanggilnya adalah Rasul ﷺ sendiri? Jadi apabila golongan munafik itu tidak datang, maknanya pengakuan mereka beriman dan berkata untuk mengikut arahan itu adalah tipu sahaja.
Bagaimana dengan kita pada zaman sekarang? Nabi ﷺ tentu tidak akan panggil kita. Namun begitu, seperti telah diberitahu, hadith dan sunnah baginda masih ada di kalangan kita. Itulah yang kita kena ikut. Maka ayat ini bermaksud, apabila manusia diajak untuk berhukum dengan wahyu dan dengan sunnah Nabi ﷺ, manusia mestilah taat. Dan kalau tidak taat, maka, itu adalah tandanya orang munafik.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 44 – 48 (Apabila Rasul panggil)”