Tafsir Surah al-An’am: Pengenalan – Ayat 1 (Tiga sembahan selain Allah)

Pengenalan

Al-An’am bermaksud ‘binatang ternak’. Ia adalah jamak kepada na’am yang asalnya bermaksud ‘unta’. ‘Binatang ternak’ disebut dalam surah ini kerana Musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka.

Surah al-An’am adalah Surah Makkiah yang terbesar. Ia menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh Arab Mekah. Jika Surah Baqarah mengisahkan tentang kerosakan dalam golongan Yahudi; Surah Ali Imran pula meneceritakan tentang kerosakan golongan Nasara; manakala Surah Nisa’ mengisahkan tentang kerosakan golongan Munafiqin, sementara Surah Maidah pula adalah gabungan tentang ketiga-tiga golongan (Yahudi, Nasara dan Munafiqin).

Oleh itu, satu lagi golongan tidak disebut iaitu Musyrikin dan ia disentuh dalam surah al-An’am ini.

Inilah empat golongan sesat yang disebut dalam Al-Qur’an satu persatu dan sifat-sifat mereka. Allah ‎ﷻ ajar awal-awal di dalam susunan surah-surah Al-Qur’an di permulaan supaya kita boleh kenal mereka dan periksa supaya tidak ada sifat-sifat mereka dalam diri kita. Ini penting kerana kita belajar tentang mereka bukanlah hendak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi seperti mereka.

Surah al-An’am ini telah diturunkan secara sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibril عليه السلام telah diiringi oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. Ini menunjukkan betapa penting dan mulianya surah ini.

Jangan pula kita sangka yang turunnya malaikat beramai-ramai itu kerana hendak menjaga Al-Qur’an daripada dicuri atau dikacau oleh jin dan syaitan. Tidak, bukan begitu. Bukanlah malaikat-malaikat itu mesti menolong Jibril عليه السلام untuk menurunkan kononnya kerana Jibril عليه السلام sebagai malaikat sendiri pun takut, apatah lagi golongan jin. Namun begitu harus difahami bahawa para malaikat itu turun kerana kemuliaan surah ini. Contohnya seumpama seorang sultan melawat sesuatu kawasan, akan ada ramai pengikut yang akan mengiringinya.

Selalunya surah-surah yang panjang diturunkan sedikit demi sedikit, tetapi kali ini ia diturunkan hampir lengkap. Surah ini diturunkan setahun sebelum Hijrah ke Madinah. Maka, ia diturunkan di hujung-hujung masa Rasulullah ﷺ di Mekah. Oleh sebab itu, kata-kata di dalamnya merujuk kepada situasi itu – Nabi ﷺ telah lama berdakwah kepada mereka dan mereka tetap tidak mahu beriman. Teguran dalam surah ini agak kasar kerana ia diberikan kepada kaum yang amat degil. Masa berlembut dengan mereka sudah berlalu.

Surah Al-An’am ini adalah surah pertama Makkiah dalam susunan Al-Qur’an. Sebelum ini, surah-surah yang telah dibaca adalah surah-surah Madaniah, iaitu bermula dengan Surah Al-Baqarah sehingga surah Al-Maidah. Terdapat tema-tema yang berbeza antara surah yang Makkiah dan Madaniah. Surah Makkiah tema utamanya adalah peringatan. Ada dua jenis peringatan yang penting dalam kumpulan ini:

1. Surah Ayyaamillah – ‘Hari-hari Allah’. Ia mengandungi sejarah-sejarah penting yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Ia dibacakan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman.

2. Surah Alaa Illah – ‘Pemberian-pemberian Allah’. Diturunkan kepada manusia sebagai peringatan akan segala nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada mereka. Kadang-kadang kita tidak memandang dengan penting segala pemberian Allah‎ ﷻ itu kerana kita rasa ia biasa sahaja.

Namun begitu, terlalu banyak pengajaran sebenarnya yang terdapat di dalam segala pemberian Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk lihat kepada langit. Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan langit itu seimbang. Ini mengingatkan kita untuk berlaku adil dalam segenap kehidupan kita kerana keadilan bermaksud keseimbangan.

Ada banyak ayat dalam Surah al-An’am ini yang mengandungi peringatan kepada Alaa illah. Segala peringatan itu adalah berbentuk “Positive Reinforcement” (Pengukuhan Positif); untuk memberikan kita motivasi untuk melakukan kebaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Seperti juga apabila kita suruh anak kita belajar, kita akan cakap: “Husna, belajarlah baik-baik. Abba dah bagi macam-macam dah. Husna cuma belajar sahaja, boleh yer nak?” Allah ‎ﷻ mahu kita kenangkan segala pemberian-Nya supaya senang hendak melakukan ketaatan kepada-Nya.

Surah selepas Surah Al-An’am adalah satu lagi Surah Makkiah iaitu Surah Al-A’raf. Surah itu pula mengandungi banyak berkenaan ayyamillah; iaitu menceritakan tentang umat-umat yang lepas dan apakah yang terjadi kepada mereka apabila mereka tidak mahu beriman. Ia juga untuk memberi peringatan kepada kita, namun dalam bentuk yang lebih keras. Peringatan yang lebih keras diberikan kerana manusia masih lagi degil untuk beriman.

Nabi Muhammad ﷺ telah berdakwah kepada penduduk Mekah bertahun-tahun lamanya, dengan memberikan motivasi untuk mereka beriman. Tentulah baginda seorang pendakwah yang amat hebat. Akan tetapi ramai yang masih berdegil. Apabila degil, maka peringatan yang lebih keras akan diberikan.

Sama juga kita beri motivasi kepada anak kita untuk belajar, tetapi jika dia masih enggan, maka kita akan ancam mereka dengan ancaman yang keras. Kita katakan kepadanya yang kita akan rotan mereka, kurung mereka dan sebagainya. Kita ingatkan juga kepada mereka contoh-contoh mereka yang enggan belajar dan apakah yang terjadi kepada mereka.

Apabila masih lagi tidak terkesan dengan motivasi dan ancaman, maka langkah seterusnya kita akan hukum mereka. Maka kerana itu surah selepas Al-A’raf adalah Surah Al-Anfal yang menceritakan hukuman pertama yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah iaitu kekalahan mereka dalam Perang Badr.

Itu adalah hukuman pertama dan apabila masih lagi tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat akan diteruskan. Itu disebut dalam Surah At-Tawbah iaitu kekalahan mereka dalam Fath Makkah. Demikianlah Allah ‎ﷻ susun surah-surah dalam Al-Qur’an.

Isu utama yang dibawa dalam surah-surah Makkiah adalah Tauhid. Memang ada elemen-elemen lain yang disentuh tetapi ia adalah untuk menguatkan hujah Tauhid. Sebagai contoh, satu lagi tema dalam surah-surah Makkiah adalah tentang risalah kenabian. Ia untuk menyatakan bahawa memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi dan apa yang dibawanya adalah wahyu Al-Qur’an.

Itu semua menjurus kepada tauhid juga kerana Nabi ﷺ menceritakan tentang tauhid dan begitu juga Al-Qur’an menceritakan tentang tauhid. Oleh itu, surah-surah Makkiah menekankan tentang tauhid dalam berbagai-bagai cara. Memang banyak cara digunakan supaya manusia tidak ada lagi alasan tidak tahu dan tidak faham.

Bilangan surah-surah Makkiah sebenarnya lebih banyak daripada surah-surah Madaniah. Surah Makkiah adalah 2/3 daripada keseluruhan Al-Qur’an. Ia banyak memperkatakan tentang akidah – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada Nabi dan lain-lain lagi. Sedangkan bab hukum hakam seperti hukum salat, puasa, Haji dan sebagainya banyak terdapat dalam surah-surah Madaniah.

Oleh itu, surah-surah Makkiah diturunkan sewaktu hukum-hukum ibadat belum ada lagi. Lalu bagaimana kita mengenali orang Islam waktu itu? Untuk zaman sekarang kita boleh kenal seorang Muslim kerana dia salat, dia memakai tudung menutup aurat dan sebagainya. Sedangkan hukum menutup aurat contohnya, hanya diturunkan di Madinah.

Orang Islam dikenali waktu itu daripada sifat mereka.

Pertama, mereka kuat berdakwah mengajak kepada Islam. Mereka bagaikan tidak boleh berhenti bercakap mengenai Islam. Jikalau jumpa orang, mereka akan menceritakan tentang keindahan Islam;

Kedua, mereka mempunyai sifat yang murni, yang baik. Iaitu adab-adab yang baik yang diterima secara umum – tidak menipu, tidak menindas, tidak menyusahkan orang dan sebagainya.

Amat malang sekali pada zaman sekarang, Muslim banyak mengamalkan hukum-hukum ibadat, tetapi melupakan nilai-nilai murni yang banyak diterapkan dalam surah-surah Makkiah. Oleh itu, kita banyak melihat Muslim yang salat, tetapi dalam masa yang sama, mereka menipu orang lain, zalim, serta kasar sifatnya. Ya, mereka berpuasa tetapi dalam masa yang sama, mereka menindas orang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

Surah Al-An’am ini terbahagi kepada dua bahagian. Kedua-duanya berkenaan akidah tetapi boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

1. Bahagian pertama: ayat 1 – 117. Menghuraikan akidah syirik (atau syirik i’tikadi) kepada Allah ‎ﷻ iaitu antaranya syirik tasarruf: Syirik dalam pengurusan alam. Allah ‎ﷻ yang mentadbir semua makhluk, tetapi manusia yang jahil wahyu ada menyangka Allah ‎ﷻ beri tugas mengurus alam kepada makhluk pula. Contohnya mereka kata ada wali yang menjaga sesuatu kawasan.

Oleh kerana salah faham ini, ramai yang berdoa dan berharap kepada makhluk. Ini adalah syirik dan ia lahir daripada akidah yang salah. Perbuatan mereka adalah perbuatan syirik kerana akidah yang salah sudah ada dalam hati yang condong kepada syirik. Mereka mudah percaya kepada perkara khurafat.

Contohnya, ramai yang percaya jika burung hantu berbunyi malam hari, ada orang akan mati. Memang kita tidak cakap begitu selalunya, sebab burung hantu tidak ada di bandar. Tetapi apabila kita balik kampung atau masuk hutan, tiba-tiba kita dengar burung hantu berbunyi, terus ada yang kata: “Ada orang nak mati ni”. Maknanya, akidah syirik telah ada dalam hati kita, cuma kadangkala tidak dilahirkan sahaja.

2. Bahagian kedua: ayat 118 hingga akhir. Iaitu tentang amalan syirik yang manusia buat. Ini dinamakan syirik amali. Asalnya daripada akidah syirik yang sudah ada dalam hati yang disentuh dalam bahagian pertama.

Sebagai contoh, kita nampak tapak kaki gajah di hutan. Maka kita cakap: “Ada orang besar ni.” Apabila kita cakap begitu, kita sudah melakukan satu perbuatan syirik. Kerana gajah tidak ada di situ, dia tentu tidak dapat dengar kata-kata kita. Tetapi kita takut untuk cakap ‘gajah’, takut dia boleh dengar.

Padahal, yang boleh dengar dari jauh hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Namun kita letak satu sifat Allah ‎ﷻ pula pada makhluk yang tidak dapat dengar, malah tidak faham pun apa yang kita kata.

Antara amalan syirik yang manusia biasa lakukan adalah amalan berpantang. Mereka mengharamkan sesetengah jenis makanan sedangkan makanan itu halal. Sebagai contoh, ada masyarakat yang tidak makan ikan kacang untuk keturunan mereka. Kerana kononnya, dulu ada tok nenek mereka yang telah diselamatkan oleh Ikan Kacang semasa di lautan.

Maka, sebagai tanda hormat kepada ikan kacang itu, mereka telah ‘mengharamkan’ keturunan mereka untuk memakan Ikan Kacang. Oleh itu, Surah An’am ini juga menyebut tentang amalan pantang yang diamalkan oleh manusia.

Satu lagi pantang adalah pantang selepas bersalin. Inilah kebiasaan yang diajar oleh Bidan kampung. Bidan telah ‘mengharamkan’ makan itu dan ini, tanpa memberikan sebab-sebab yang munasabah sebagai pegangan kita. Apabila kita betul-betul berpantang hanya atas kata-kata bidan yang tidak ada dalil itu, maka ini adalah satu kesilapan.

Mereka senang sangat percaya kata-kata orang lain tanpa usul periksa. Kena lihat Hadith Nabi tentang bagaimana Orang Yahudi yang telah menjadikan rahib dan pendita mereka sebagai tuhan:

Nabi ﷺ pernah membacakan firman Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an :

” اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََّهِ ” (التوبة: 31)

“Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah ﷺ kebetulan Adi’ bin Hatim رضي الله عنه (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah ﷺ dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul ﷺ:

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم

“Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).

(Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi No. 3095 & Baihaqi)

Hadith ini menunjukkan kepada kita, jika kita ikut kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka kita telah menjadikan orang itu sebagai ‘tuhan’. Bukanlah ‘sembah’ itu hanya bermaksud sujud kepada sesuatu sahaja, tetapi ia lebih luas lagi.

Dalam ayat ini, ia merangkumi makna ‘ikut tanpa usul periksa’. Begitulah yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila diberitahu oleh bidan-bidan kampung yang kita tidak boleh makan itu dan ini semasa dalam ‘pantang’. Kalau apa yang dilarang itu masuk akal dan boleh diperiksa, maka tidaklah salah. Mungkin sudah ada pengalaman orang-orang terdahulu yang menjadi pengajaran, atau disokong oleh ahli perubatan, tidaklah bermasalah kalau diikuti. Namun jikalau ia pelik, maka janganlah terus ikut.

Surah ini juga hendak menolak 7 kesamaran  yang ada dalam akidah Musyrikin Mekah. Mereka mempersoalkan kenapa kena pegang akidah tauhid. Allah‎ ﷻ jawab satu persatu nanti di dalam surah ini.

Kemudian Allah ‎ﷻ ajar 7 cara bagaimana untuk tabligh wahyu kepada manusia. Allah ‎ﷻ ajar supaya manusia boleh terima dengan mudah (bagi yang hatinya suci). Ada cara dakwah yang kita reka sendiri, tetapi dalam surah ini cara-cara yang diajar itu adalah daripada Allah ‎ﷻ sendiri dan manusia akan senang faham kalau kita gunakannya.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu 7 sebab kenapa orang kafir tidak boleh terima tauhid. Allah ‎ﷻ sebut 7 alasan mereka. Allah ‎ﷻ beritahu kenapa mereka menjadi kafir dan di mana silap mereka. Ini bukan Musyrikin Mekah sahaja, tetapi ia boleh digunapakai oleh semua orang kafir.

Kesemua perkara di atas ini tidaklah disusun satu persatu tteapi berselerak dalam surah ini maka kenalah belajar baru akan nampak.


 

An’am Ayat 1: Dalil Aqli pertama. Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dalam ayat ini:

الحَمدُ ِللهِ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ ۖ ثُمَّ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم يَعدِلونَ

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , who created the heavens and the earth and made the darkness and the light. Then those who disbelieve equate [others] with their Lord.

Malay

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

 

الْحَمْدُ ِللهِ

Segala puji bagi Allah

Ini adalah salah satu surah dalam Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah الْحَمْدُ لِلَّهِ. Ada 4 surah yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ dan disusun kedudukan 4 surah itu dengan membahagikan Al-Qur’an itu dalam 4 bahagian dan semuanya dimulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Surah-surah itu adalah:

1. Surah Fatihah iaitu berada betul-betul di awal Al-Qur’an
2. Surah Al-An’am iaitu permulaan suku Al-Qur’an
3. Surah Al-Kahfi iaitu berada lebih kurang separuh Al-Qur’an
4. Surah Saba’ dan Faathir iaitu di tiga suku Al-Qur’an

Makna الْحَمْدُ لِلَّهِ telah ditafsir dengan panjang lebar dalam Surah Fatihah. Sila rujuk kepada tulisan tersebut.

Surah ini dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Kenapa? Selalunya apabila kita mulakan sesuatu yang penting, kita akan mulakan dengan puji-pujian kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita mula berucap, sunat untuk kita memuji-muji Allah ‎ﷻ. Jadi, permulaan ayat ini untuk memuji-muji Allah ‎ﷻ.

Allah‎ ﷻ sahaja yang layak dipuji. Allah ‎ﷻ sendiri memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Kerana itulah, tidak layak kalau seseorang memuji dirinya kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang layak memuji Diri-Nya sendiri. Oleh itu riak adalah dosa besar.

Maka jangan kita mengharap orang puji kita. Malangnya kita selalunya mengharap orang lain memuji kita walaupun apa yang kita buat sedikit sahaja. Tidak ada apa sebenarnya untuk dipuji tentang diri kita kerana semuanya daripada Allah‎ ﷻ belaka.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita memuji-Nya kerana Dia memang telah terpuji, layak dipuji walaupun tidak ada yang memuji-Nya. Nanti selepas ini akan disebut antara sebab-sebab kenapa Dia layak dipuji.

 

الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

yang menciptakan langit dan bumi,

Kenapa Allah ‎ﷻ sahaja yang layak dipuji? Kerana Dialah yang telah menjadikan alam ini. Maka kepada Dia sahaja kita boleh lakukan ibadat.

Kepada Dia sahaja kita sembah dan melakukan ibadat. Tidak ada yang layak disembah melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi berapa banyak sembahan kepada selain daripada Allah‎ ﷻ yang masyarakat kita buat?

Antaranya yang senang dilihat adalah orang awam menyembah Sultan dan Raja, seorang pesilat menyembah gurunya dan pelbagai bentuk lagi. Itu tidak termasuk sembahan dalam bentuk lain  – beri salam kepada Nabi, Malaikat dan Wali yang dilakukan masyarakat kita kerana tidak faham hal akidah. Itu dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain.

Kenapa disebut Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi sahaja? Tidakkah ada ciptaan Allah ‎ﷻ yang lain? Tentu ada, tetapi hanya disebut dua ciptaan ini sahaja dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana dua inilah yang manusia boleh nampak. Dua ciptaan inilah yang nampak agung kepada manusia. Makhluk Allah ‎ﷻ yang lebih agung adalah Arasy-Nya tetapi kita tidak nampak.

Ini dinamakan Tauhid Rububiyyah; iaitu kepercayaan bahawa Allah ‎ﷻlah pencipta alam ini. Tauhid Rububiyyah ini juga dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Mungkin ada yang terkejut dengan kata-kata ini. Namun ketahuilah bahawa Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka tahu yang Allah‎ ﷻ telah menjadikan alam ini. Mereka tahu Allah‎ ﷻ itu adalah Tuhan. Tetapi, masalahnya, dalam masa yang sama, mereka telah mengambil benda-benda lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’, yang mereka juga sembah.

Dalam ayat ini, digunakan sighah jamak (plural) bagi langit kerana langit adalah tujuh lapis. Sedangkan bagi bumi digunakan sighah mufrad (singular). Akan tetapi dalam ayat lain seperti Talaq:12, disebut yang bumi juga 7 lapis. Kenapa pula begitu? Ulama’ mengatakan yang walaupun bumi adalah 7 lapis, tetapi sifatnya lebih kurang sama sahaja antara lapisan-lapisan itu, maka ia dikira sebagai satu sahaja selalunya. Berbeza dengan langit yang amat berbeza antara satu lapis dengan lapis yang lain.

 

وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ

dan Dia menjadikan kegelapan

Apabila disebut tentang penciptaan langit dan bumi, digunakan perkataan خَلَقَ tetapi bila disebut penciptaan ‘gelap’ dan ‘terang’, digunakan perkataan جَعَلَ.

Pertamanya, ini untuk mempelbagaikan perkataan dan ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an. Jika perkataan yang sama sahaja digunakan, tentu amat membosankan. Dan Al-Qur’an bukanlah satu bacaan yang bosan. Ia cukup indah dan disusun dengan cantik dan molek sekali.

Kedua, ini juga adalah kerana جَعَلَ boleh digunakan untuk barang yang abstrak yang tidak boleh disentuh dan خَلَقَ hanya untuk benda yang boleh dilihat.

‘Kegelapan’ ada yang boleh dilihat seperti kegelapan malam, kegelapan dalam laut dalam, dalam gua dan sebagainya. Dan ada ‘kegelapan’ yang abstrak seperti kegelapan kekufuran, kemunafikan, kejahilan dan sebagainya. Dua-dua jenis kegelapan ini adalah ciptaan Allah ‎ﷻ juga.

Satu lagi pendapat mengatakan, digunakan جعل bagi kegelapan dan cahaya kerana gelap dan terang tidak berdiri sendiri. Ia adalah ‘sifat’ bagi sesuatu benda seperti langit dan bumi.

 

وَالنُّورَ

dan terang;

‘Cahaya’ juga ada dua jenis sepertimana ‘kegelapan’. Ada cahaya yang nampak seperti matahari, lampu, api dan sebagainya.

Dan ada cahaya yang abstrak seperti cahaya keimanan, hidayah, taqwa, ilmu dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻlah juga yang beri cahaya keimanan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menjadikan alam ini dan Dia juga yang menjadikan kegelapan dan cahaya. Maka ini hendak menunjukkan kehebatannya. Oleh kerana Dia hebat, maka Dialah sahaja yang layak disembah.

Balaghah: Lihatlah bagaimana apabila Allah ‎ﷻ menyebut kegelapan, ia dalam sighah jamak tetapi apabila disebut cahaya, ia dalam sighah mufrad sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kesesatan itu banyak jenis, tetapi kebenaran itu satu jenis sahaja, iaitu ikut wahyu sahaja.

Disebut kegelapan dahulu kerana gelap itu adalah yang asal. Hanya apabila ada cahaya baru kegelapan itu hilang. Maknanya, keadaan yang asal adalah gelap dan inilah yang biasa ada. Contohnya, siang terjadi apabila ada matahari; tenggelamnya matahari, maka gelaplah alam ini.

 

ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

dalam pada itu, orang-orang kafir

Kalimah ثُمَّ digunakan sebagai penyambung perkataan dalam ayat ini untuk menunjukkan ‘ketakjuban’. Bayangkan betapa menghairankan sekali orang kafir itu: Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini, tetapi mereka masih kufur juga – masih juga mahu menyembah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah sesuatu yang amat menghairankan. Tidakkah mereka menggunakan akal mereka untuk memikirkan?

Lihatlah betapa bodohnya mereka ini. Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi dan apa yang di antaranya tetapi mereka tidak menyembah-Nya? Mereka tidak meluangkan masa yang sedikit untuk melakukan ibadat kepada-Nya? Berapa minit sahaja dari masa kita yang banyak ini kalau kita gunakan untuk salat? Tidak banyak mana pun, tetapi itu pun manusia tidak boleh buat. Alangkah menghairankan sekali!

 

بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka melakukan syirik kerana meletakkan Allah ‎ﷻ sama kedudukan dengan makhluk.

Asal kata يَعْدِلُونَ dari عدل yang bermaksud sesuatu yang ‘sama tinggi’. Jadi يَعْدِلُونَ bermaksud meletakkan dua perkara pada sama tinggi – seperti juga ‘keadilan’.

Musyrikin Mekah meletakkan makhluk sama kedudukan dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu perbuatan syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ, namun berdoa juga kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah salah sama sekali. Inilah yang dinamakan syirik.

Sebagaimana orang kita juga yang meminta kepada makhluk, seperti golongan Syiah yang meminta kepada Saidina Ali, Husin dan Imam-Imam mereka yang lain; juga seperti Golongan Habib yang meminta kepada kuburan; seperti juga puak silat yang meminta kepada jin; seperti masyarakat kita yang jahil yang meminta kepada Nabi Muhammad; seperti bomoh, dukun, pawang yang meminta kepada jin syaitan dalam perubatan mereka – semua ini meminta kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.

Mereka menyamakan kedudukan entiti-entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Sepatutnya tempat permintaan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Yang Maha Mendengar adalah Allah ‎ﷻ, tetapi apabila mereka beriktikad ada makhluk lain juga dapat mendengar seperti Allah ‎ﷻ, maka mereka melakukan syirik.

Masyarakat kita ramai yang kurang faham tentang syirik. Mereka sangka syirik itu adalah apabila ‘menyembah’ berhala, seperti orang Hindu menyembah patung berhala mereka. Tetapi, mereka tidak tahu, apabila menyamakan sifat Allah ‎ﷻ dengan makhluk juga adalah syirik.

Kita pun tahu, Allah ‎ﷻ ada 99 nama (mengikut satu pendapat). Oleh itu, sekurang-kurangnya ada 99 jenis syirik yang manusia lakukan untuk setiap nama sifat itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-An’am: Pengenalan – Ayat 1 (Tiga sembahan selain Allah)”

  1. saya nk bertanya maksud penerangan ini..

    Ada yang campur zikir kepada Allah dengan makhluk lain. Contohnya, selepas mereka baca ‘la ilaaha illah’, mereka sambung dengan ‘Muhammadur Rasulullah’ dan mereka mengulang-ulang kata-kata itu sebagai zikir. Antara yang ramai buat macam ini adalah ibu-ibu yang mendodoi anak-anak mereka.

    adakah la ilaaha illah ini sama dengan La ilaaha illallah?

    saya konfius sekejap.. bagaimanapun sy nk ucap terima kasih dan syukur baru bertemu penulisan tafsir tuan ini..mudah difahami dan menarik

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s