Ayat 6: Ayat ini Allah kata untuk kita.
اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ
Show us the straight way.
Tunjukilah kami jalan yang lurus;
Setelah menyampaikan pujian kepada Allah, dan hanya kepadaNya sahaja permohonan ditujukan, maka layaklah jika hal itu diikuti dengan permintaan. Demikianlah cara berdoa yang elok, iaitu dengan memuji Allah kemudian memohon keperluan untuk diri sendiri dan dan keperluan saudara-saudaranya dari kalangan orang-orang beriman.
Seorang hamba sentiasa memerlukan Allah setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kelangsungan hidayah, kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah menghendaki. Orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah untuk memohon kepadaNya. Kita berharap semoga Allah berkenan terus menunjukkan kita kepada jalan yang lurus dan tidak menyimpangkan kita ke jalan yang lainnya.
Apakah yang hendak dimaksudkan dengan ‘tunjuk’? Katakanlah kita minta seseorang tunjukkan jalan ke sesuatu tempat kepada kita. Kalau orang itu beritahu sahaja, (Encik ikut jalan ini, kemudian belok kiri, kemudian belok kanan, ada simpang kecil, encik masuk sampai lebih kurang dua batu, jumpalah tempat yang encik cari itu), ada kemungkinan kita boleh tersesat.
Sebab kadang-kadang tunjuk arah yang diberikan tidak jelas atau kita sendiri yang kurang faham dan susah nak terima tunjuk arah dari orang lain. Satu lagi petunjuk adalah dengan cara ‘pimpin‘. Iaitu orang yang tahu jalan itu ikut naik sekali dalam kereta bersama dengan kita.
Jadi Tuhan pimpin kita dengan menurunkan Al-Qur’an ini kepada kita supaya memimpin kepada jalan yang lurus. Iaitu terdapat kombinasi ‘tunjuk’ dan ‘pimpin’ sekali di dalamnya.
Jalan yang lurus itu hendak ke mana? Jawapannya ada dalam Surah Yaasin ayat 61:
وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu sahaja; inilah jalan yang lurus.
Maknanya apabila kita sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja – itulah jalan yang lurus. Maknanya kalau berdoa dengan menggunakan tawasul/perantaraan, itu bukan jalan yang lurus. Itu adalah jalan syirik kepada Allah. Zikir hanya kepada Allah. Puja hanya Allah sahaja.
Jadi apabila kita memuja kepada makhluk yang lain dengan memberi salam kepada mereka atau menyedekahkan Fatihah kepada mereka, itu bukanlah jalan yang lurus. Ini malangnya, banyak yang orang kita buat sekarang, kerana mereka jahil tentang ilmu wahyu dan hanya mengikut orang sahaja.
Dan dalam Surah Maryam:36, dinukilkan kembali kata-kata Nabi Isa semasa baginda masih bayi lagi. Iaitu selepas Maryam melahirkan Nabi Isa, dia membawa Nabi Isa kepada kaumnya. Mereka telah mengutuk Maryam kerana mereka sangka Maryam telah melakukan perkara yang terkutuk. Maka Maryam tunjuk kepada anaknya Nabi Isa. Maka Nabi Isa yang masih bayi itu telah berkata:
وَإِنَّ اللهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ
Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.
Oleh itu, apa yang kita belajar dari ayat dari Surah Maryam ini, hendaklah kita melakukan pemujaan kepada Allah sahaja. Maka jangan sembah dan puja makhluk lain seperti sultan dan jangan puja benda yang lain seperti keris dan sebagainya. Jangan seru makhluk-makhluk yang lain walaupun Nabi Muhammad dengan sebut ‘Ya Nabi Muhammad’.
Jadi makna ‘Jalan yang Lurus’ adalah: kita kena beribadat, puja dan berdoa *hanya* kepada Allah sahaja. Tapi adakah kita buat ibadat kepada orang lain? Memang ada, tanpa kita perasan kerana kita tidak belajar ilmu wahyu.
Contoh ibadat adalah seperti kita zikir la ilaha illa Allah. Itu adalah salah satu bentuk ibadat, iaitu berzikir. Zikir macam ini memang digalakkan. Tapi kita selalu dengar orang berzikir begini: la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah. Itu adalah berzikir kepada Allah *bersama* dengan Nabi Muhammad. Itu bermakna berzikir kepada Nabi. Kerana kita ulang kata-kata itu, bukan? Bila diulang-ulang, ia menjadi zikir.
Sebagai contoh, seorang ibu akan mendodoi anaknya begitu, bukan? Itu kufur kepada Allah kerana kita hanya dibenarkan berzikir kepada Allah sahaja. Nabi tak pernah ajar kita buat macam itu. Kita hanya disuruh berselawat sahaja kepada Nabi. Itulah yang kita dituntut, bukan mengulang-ngulang kalimah syahadah.
Dalam masa yang sama, hendaklah berhati-hati dengan berjenis-jenis selawat yang diajar. Kerana selawat yang berlebihan itu akan menjadikan kita memuja Nabi Muhammad berlebihan tanpa kita sedar.
Mungkin ramai yang keliru dengan perkara ini dan berkata: takkan salah pula kalau begitu? Sebenarnya, Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Mukminoon:117:
وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ لا بُرهانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكافِرونَ
Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.
Ayat Mukminoon:117 ini melarang kita puja Allah, tapi bersamanya ada puja yang lain. Mereka yang menganjurkan bacaan zikir seperti itu memang tidak boleh memberikan dalil yang membolehkan berbuat begitu. Kerana memang Nabi tak pernah ajar. Allah nanti akan hisab (nilai) kesalahan mereka itu dan Allah akan balas kesalahan yang mereka lakukan itu.
Kemudian Allah berfirman: إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ (Sesungguhnya tidak akan berjaya orang-orang kafir). Ini amat menakutkan sekali kerana ia bermakna, kalau buat begitu, jadi kafir. Mungkin ramai yang terkejut dan tidak bersetuju kerana amalan ini selalu sahaja dilakukan oleh masyarakat kita. Tapi sekurang-kurangnya kena nilai balik: adakah berbaloi aku buat begini, sedangkan ada kemungkinan ia membawa kepada perbuatan kufur?
Ingatlah juga yang kita tidak boleh juga bertabarruk (mengambil berkat) dengan Nabi Muhammad. Itu juga dipanggil perantaraan. Contoh ‘tabarruk’ adalah dengan berkata: “Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad, berilah kami begini dan begini”.
Nabi Muhammad memang ada berkat. Tapi Nabi tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa pun. Hanya Allah sahaja yang boleh memberi berkat. Ini termaktub dalam Ayat Mulk:1
تَبارَكَ الَّذي بِيَدِهِ المُلكُ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
Dalam Mulk:1 ini mengajar kita yang Allah sahaja yang ada berkat. Maka tidak boleh minta berkat dengan makhluk lain. Maka bertabarruk dengan Nabi Muhammad pun dilarang juga.
Maksud ‘Meminta Hidayah’
Dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah diberikan dengan pengetahuan tentang siapakah Allah. Selepas kita kenal Allah, maka timbullah rasa dalam diri kita untuk sembah Allah. Dan dalam ayat sebelum ini, kita telah mengaku bahawa hanya kepada Dia sahaja yang kita akan buat ibadat.
Tapi bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyembahNya? Kita perlukan petunjuk untuk sembah Allah kerana kita tidak mungkin boleh tahu kalau kita memikirkan sendiri perkara itu. Maka, ayat ini seterusnya adalah permintaan kita kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada kita.
Dalam ayat ini, kita sebenarnya meminta taufik dan hidayah kepada Allah. Bukan semua orang mendapat taufik sebenarnya. Maka, ianya adalah satu anugerah yang besar. Seperti yang Allah firman dalam al-An’am:125
فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam;
Oleh itu berdoalah supaya kita mendapat hidayah dan juga taufik dari Allah. Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang kehendaki untuk beri hidayah kepada kita.
Jadi, dalam ayat ini, kita berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memberi hidayah kepada kita. Lalu, apakah ‘hidayah’ itu dan apakah sebenarnya yang kita pohonkan? Hidayah yang kita mohon kepada Allah adalah:
1. Hidayah dalam bentuk wahyu. Iaitu tentang apa yang perlu kita lakukan sebagai Muslim. Semua manusia mendapat hidayah ini. Allah telah berikan wahyu itu dalam bentuk Al-Qur’an dan juga sunnah dari Nabi.
2. Hidayah supaya Allah gerakkan hati kita untuk menerima pedoman itu dan mengamalkannya. Ini penting, kerana walaupun hidayah itu telah diberikan, tapi tidak semua makhluk mengikutinya.
Oleh itu, ada dua jenis hidayah. Dua-dua hidayah itu adalah dari Allah. Kita minta kedua-duanya kepada Allah. Ini adalah pemberian yang amat penting sekali. Sebagaimana Allah telah berfirman dalam Kahf:17
مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
Semua manusia memerlukan kepada hidayah dari Allah. Nabi Muhammad sendiri pun perlu kepada keduanya. Seperti yang Allah telah firman dalam Dhuha:7
وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk.
Jadi, kalau kita mendapat hidayah dari Allah, maka hendaklah kita amat-amat bersyukur. Ini adalah kerana tidak semua manusia mendapatnya. Lihatlah bagaimana ada yang lahir dalam Islam tapi mati dalam kufur juga. Tapi, ada yang lahir dalam agama kafir tapi akhirnya mati sebagai Muslim.
Kadang-kadang, seseorang yang masuk Islam itu dengan cara yang tidak disangka-sangka. Kita sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana seseorang itu mendapat iman.
Maka bersyukurlah yang kita lahir-lahir sahaja dalam Islam. Maka ini sudah memudahkan kita untuk kenal kebenaran. Dan hendaklah kita berdoa semoga kita terus kekal dan mati dalam Islam kerana belum tentu kita lahir dalam keluarga Muslim memastikan kita mati sebagai seorang Muslim yang beriman lagi. Ketahuilah bahawa inilah nikmat yang amat besar.
Dan nikmat Islam ini akan berterusan sampai akhirat. Maknanya, nikmat ini bukan kita boleh guna untuk dunia sahaja, tetapi ianya berterusan sampai ke akhirat. Kalau kita dapat kekayaan yang banyak, itu hanyalah nikmat di dunia sahaja. Bila sudah mati, habislah nikmat itu tidak berguna (melainkan kalau kita infakkan). Tapi nikmat iman, dibawa sampai ke akhirat dan sampai bila-bila.
Maka bersyukurlah yang kita mendapat hidayah dan kemudian kita jaga iman kita dan bermohon kepada Allah supaya mengekalkan kita dalam Islam. Kerana Allah boleh beri hidayah itu, dan Allah boleh tarik balik. Alangkah malangnya kalau kita tidak menjaga hidayah ini dan Allah tarik balik hidayah yang telah diberinya dahulu. Nauzubillahi min zaalik.
Kerana kepentingan hidayah yang amat besar itulah kita sentiasa mohon petunjuk dari Allah. Itulah yang Allah kita dalam doa surah Fatihah ini.
Dari segi bahasa, ‘hidayah’ bermaksud ‘membawa seseorang ke arah sesuatu’. Ada dua elemen dalam maksud ini:
1. ada sesuatu/seseorang yang dibawa, dan
2. dibawa menuju kepada satu destinasi.
Yang dibawa itu adalah kita; dan destinasi yang dimaksudkan adalah ‘jalan yang lurus’. Oleh itu, kita minta Allah tunjukkan apakah ‘jalan yang lurus’ itu.
Dan juga kita minta Allah ‘letakkan’ kita dalam jalan itu, supaya kita juga ikut jalan itu. Bukan kita minta tunjukkan sahaja, tapi minta kita ‘diletakkan’ dalam jalan itu. Dua-dua sekali kita mahu Allah berikan. Bukan tunjuk sahaja.
Dalam Surah Al-Fatihah sebelum ini, sudah ada doa yang dibacakan, iaitu إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (kepada Engkaulah kami mohon pertolongan). Tapi doa itu adalah doa dalam bentuk umum. Sekarang, ayat ini adalah doa dalam bentuk yang lebih spesifik. Kita kena ingat yang Allah yang ajar kita baca doa ini.
Sudahlah Allah ajar kita doa ini, tapi Allah suruh kita baca doa ini berulang-ulang, berkali-kali dalam sehari, terutama sekali apabila kita membaca Fatihah ini dalam solat kita. Jadi, sekurang-kurangnya kita membaca doa ini sebanyak 17 kali sehari semalam. Menunjukkan betapa pentingnya doa ini. Maknanya, kita amat memerlukan hidayah ini. Memang kita kena selalu berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah ini.
Dalam kita membicarakan doa ini, molek juga jikalau kita memberitahu bagaimana orang Kristian menuduh Muslim dengan menggunakan ayat ini: Mereka kata orang Islam memohon hidayah dari Tuhan dalam ayat ini, menunjukkan yang kita tahu yang kita sesat, sebab itu sampai kena minta hidayah. Mereka kata, sebab itu kita orang Islam kena minta hidayah.
Mungkin, dengan kata-kata itu, ada orang Islam juga yang keliru kenapa kita perlu minta kepada hidayah lagi. Sebab apa kita yang sudah Islam ini masih minta petunjuk lagi? Mungkin ada yang keliru dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh orang Kristian ini. Kekeliruan itu adalah kerana salah faham sahaja kerana tidak belajar agama sendiri. Oleh kerana tidak mahu orang Islam keliru, kita akan bincangkan tentang perkara ini.
Maksud kita minta petunjuk itu bukanlah petunjuk biasa sahaja, tetapi yang dimaksudkan adalah kita minta ‘petunjuk yang lengkap’. Kita nak semua sekali ‘hidayah’ yang diberikan oleh Allah. Hidayah itu ada banyak perkara, yang merangkumi:
– Hidayah kepada agama Islam supaya kita menjadi orang Islam. Alhamdulillah, kita sudah berada dalam agama Islam. Kita lahir-lahir sahaja sudah beragama Islam.
– Hidayah supaya kita kenal manakah yang benar. Kita hendak Allah beritahu kita apakah yang Allah hendak kita lakukan dalam setiap keadaan. Kerana kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan kalau Allah tidak beritahu kepada kita. Cara Allah beritahu itu adalah dengan beri wahyu, berikan Rasul untuk sampaikan kepada kita.
– Kita memohon taufik kepada Allah. Taufik adalah keinginan dalam diri kita untuk melakukan amal. Kerana ada orang yang sudah tahu apakah yang perlu dilakukan, tapi apabila tidak ada taufik, dia tidak melakukannya kerana tidak ada kekuatan. Dia setakat tahu sahaja, tapi tak buat.
– Kita memohon kepada Allah untuk membolehkan kita melakukan sesuatu amal itu. Kerana kalau Allah tidak izinkan, kita tidak mampu melakukannya. Kerana mungkin kita tahu apa yang hendak dilakukan, kita pun sudah ada keinginan untuk melakukannya, tapi kalau Allah tak izinkan kita lakukan, kita pun tidak dapat melakukannya.
– Kita memohon kepada Allah untuk mengajar kita bagaimanakah cara melakukan ibadat-ibadat (kaifiat) itu. Kerana kalau Allah tak ajar bagaimana cara beribadat kepadaNya, kita tidak akan tahu. Sedangkan kita kena ikut cara ibadat yang Allah kehendaki. Kalau kita tidak mengamalkan ibadat seperti yang dikehendaki oleh Allah dan diajar oleh RasulNya, maka amalan itu adalah amalan ‘bidaah’, dan amalan ‘bidaah’ adalah ditolak.
Maka, kalau ditolak, sia-sia sahaja susah payah kita mengerjakan amalan itu. Maka, kita kenalah melihat sama ada satu-satu amalan itu telah ditunjukkan caranya oleh Nabi Muhammad.
– Kita memohon kepada Allah untuk memberi taufik kepada kita supaya kita dikuatkan untuk terus beramal dengan amalan ibadah itu. Kita mungkin telah tahu cara melakukan sesuatu ibadah itu, tapi kalau Allah tidak beri kekuatan kepada kita untuk terus melakukannya, tentu kita buat sekejap sahaja.
Sedangkan, Allah suka kita istiqamah dalam beribadat kepadaNya. Iaitu terus melakukan ibadat itu berterusan. Mungkin ibadat itu tidak banyak, tapi tinggi nilainya kalau kita berterusan melakukannya. Jangan buat sekejap sahaja, dan kemudian tinggalkan.
– Kita memohon kepada Allah untuk membuang segala penghalang yang boleh menghalang kita melakukan ibadat itu, supaya kita boleh amalkan Islam dengan yang sepatutnya. Kerana tentu akan ada perkara-perkara yang nak menghalang kita.
Maka, hendaklah kita memohon supaya Allah menjauhkan kita dari segala halangan itu. Kita sebenarnya tidak tahu apakah yang boleh halang kita dari mendapat petunjuk. Ianya boleh jadi apa-apa sahaja. Tetapi, kita mohon kepada Allah supaya menghilangkan segala halangan itu, tidak kira apa ianya.
Itulah antara elemen-elemen hidayah yang kita minta kepada Allah. Bukan hanya hidayah untuk masuk Islam sahaja. Oleh itu, kita sekarang tahulah yang apa yang ditohmahkan oleh Kristian itu tidak kena dengan pemahaman yang sebenar. Sebenarnya, tidak perlu takut dengan agama Kristian, kerana agama mereka lagi pelik dan tidak masuk akal.
Jadi, kita memang selalu membaca ayat ini dalam solat kita. Tapi adakah kita tahu apakah maksudnya? Kalau kita meminta sesuatu, tentulah kita patut tahu apakah yang kita mahukan, bukan? Takkan kita nak minta sesuatu yang kita tak faham pun apa yang kita minta, bukan? Maka, elok sangatlah kalau kita tahu apa yang kita minta.
Kita boleh faham sekarang bahawa banyak elemen yang termasuk dalam ‘hidayah’ itu. Sebelum ini mungkin kita tidak tahu pun. Maka, apabila kita membaca ayat ini di dalam solat nanti, ianya akan memberi lebih makna kepada kita. Tidaklah kita baca kosong sahaja.
Inilah salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat kita. Apabila kita faham apa yang kita baca dalam solat, kita akan lebih terkesan dengan solat kita. Kita akan lebih memberi perhatian kepada solat kita. Itulah yang dinamakan ‘khusyuk’.
Memang banyak yang kita minta kepada Allah dalam ayat ini. Tidaklah semestinya kita akan dapat terus semuanya pada satu masa. Sebab itulah kita kena selalu berdoa kepada Allah dengan penuh pengharapan. Kadang-kadang kita hanya dapat apa yang kita mohonkan itu sedikit demi sedikit. Dan walaupun kita sudah ada hidayah itu, ada kalanya ianya boleh hilang sekejap. Jadi kita kena doa kepada Allah sentiasa.
Kepentingan Hidayah
Ingatlah bahawa petunjuk inilah yang paling kita perlukan. Ianya amat penting sampaikan ianya lebih penting dari makan dan minum untuk melangsungkan hidup kita. Ini kerana, walaupun makanan dan minuman itu penting, tetapi makanan hanya untuk dunia sahaja.
Kalau kita tidak dapat makan, paling teruk, kita akan mati dan kita akan berpindah ke alam barzakh yang tidak memerlukan makanan dan minuman pun. Tapi petunjuk ini kita perlukan untuk dunia dan juga akhirat. Dengan mendapat petunjuk, kita akan mendapat nasib yang baik di akhirat.
Doa kita untuk hidayah ini diperlukan untuk masa lampau, masa sekarang dan juga masa depan.
Kenapa kita perlukan hidayah untuk masa lampau pula? Bukankah kita memerlukan hidayah ini untuk masa sekarang dan juga untuk masa hadapan? Sebenarnya memang perlu kerana walaupun hidayah kita untuk masa hadapan, kita perlu juga melihat masa lampau kita. Sebab kita kena periksa apakah amalan kita dulu. Kalau kita ada buat dosa dulu, kita minta ampun atas kesalahan kita dulu.
Kerana mungkin kita lakukan kesalahan dan dosa dahulu kerana kita tidak tahu bahawa apa yang kita lakukan dulu adalah salah. Ataupun kita waktu itu dalam keadaan lalai. Kalau kita ada buat salah, kita minta petunjuk kepada Allah macam mana nak selesaikan. Kalau dulu kita dalam jalan yang salah, kita minta Allah letakkan kita atas jalan yang benar.
Kita juga minta Allah tunjukkan manakah kesalahan kita dahulu supaya kita boleh berhenti dari melakukannya dan tukar amalan kita. Entah berapa ramai yang masih melakukan kesalahan dan dosa kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah satu kesalahan. Ini kerana mereka tidak mahu belajar manakah amalan yang betul.
Dan tentunya kita memerlukan hidayah untuk masa sekarang. Kita memerlukan hidayah dalam setiap perbuatan kita. Sama ada dalam hal agama ataupun perkara yang nampak tidak kena mengena pun dengan agama tapi sebenarnya terbabit juga. Kerana segala kehidupan kita tidak terlepas dari hukum agama. Ada yang wajib, sunat, harus, haram dan makruh.
Sebagai contoh, bab makan: walaupun bukan hal ibadat, tapi ada hukum wajib, sunat, haram dan halal. Makan itu ada masanya ianya menjadi wajib, kalau kita boleh mati kalau tak makan. Waktu itu, wajib kita makan.
Jadi kita minta Allah pandu kita dalam setiap detik kehidupan kita. Mungkin ada perkara yang kita tak tahu hukumnya. Atau ada perkara yang ulama’ pun belum bincangkan. Iaitu perkara-perkara baru. Macam zaman sekarang (tahun 2015), dibincangkan tentang GST, kerana dulu tidak ada GST pada zaman Nabi.
Maka kita minta Allah beri petunjuk kepada kita dalam segenap perkara. Cara Allah beri petunjuk kita pun kita tak tahu bagaimana. Mungkin kita diberikan dengan guru atau kitab yang boleh menjelaskan perkara itu sampai kita faham. Atau Allah beri ilham kepada kita bagaimana nak buat.
Kita juga minta kepada Allah bukan hanya untuk tahu apakah yang boleh dilakukan tapi apakah yang terbaik. Iaitu manakah cara yang Allah lebih suka kalau dibandingkan dengan cara yang lain. Sebagai contoh, kita tahu wuduk itu kena buat, tapi bagaimanakah cara yang terbaik untuk melakukannya. Mungkin kita sudah tahu bagaimana melakukan wuduk, tapi kita nak tahu manakah cara yang betul-betul ikut sunnah Nabi.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo
Assalamualaikum, kenapa memberi salam kpd makhluk lain adalah perkara kufur?
LikeLike
ia adalah perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang kafir.
Seru nabi, malaikat, jin, dan wali dalam berdoa. Yang diseru dalam doa dan minta bantuan adalah Allah sahaja.
Kristian seru Nabi Isa,
Musyrikin Mekah seru malaikat,
Tok bomoh seru jin,
Buddha seru wali.
Ia bukan ajaran Islam dan bila bukan ajaran Islam, tentu datang dari ajaran kufur.
LikeLike
Haq. Tapi yg saya kurang faham adalah tentang ‘memberi salam’. Boleh jelaskan?
LikeLike
memberi salam kepada ahli kubur, kepada malaikat, kepada Nabi, kepada jin.
Assalamualaikum ya Jibril, Mikail…
Assalamualaikum tok wali
Assalamualaikum Tok Hitam
Assalamualaikum Nabi Zakariya
dan seumpamanya.. semua di atas adalah amalan syirik. Bagi salam bukan bagi salam kosong tu, ada harapan, ada permintaan, ada akidah yang salah. Itu yang kita tegur dan larang.
LikeLike
Ouhhh. Baru sy faham. Syukran jazilan.
LikeLike
Assalamualaikum, semua carian saya di internet mengenai memberi salam kepada ahli kubur adalah hukum sunat. Mohon tuan boleh beri lebih perincian. Terima kasih.
LikeLike
Itu adalah beri salam secara umum. bila lalu kawasan kubur, masuk kawasan kubur. kita beri salam iaitu mendoakan mereka. Yang jadi masalah bila pergi kepada kubur tertentu, selalunya wali atau Nabi dan beri salam kemudian mengharap sesuatu dari ahli kubur itu. kerana nak dapat berkat, nak dapat syafaat, nak minta pertolongan, nak minta itu dan ini. selalunya dimulai dengan beri salam. harap dapat dibezakan. benda halus jadi memerlukan selam jiwa sikit.
LikeLike