Tafsir Surah Maryam Ayat 32 – 38 (Jalan yang lurus)

Ayat 32:

وَبَرًّا بِوالِدَتي وَلَم يَجعَلني جَبّارًا شَقِيًّا

Sahih International

And [made me] dutiful to my mother, and He has not made me a wretched tyrant.

Malay

“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

وَبَرًّا بِوَالِدَتِي

Serta taat dan berbuat baik kepada ibuku;

Allah telah menjadikan Nabi Isa baik dan berbakti kepada ibunya. Dalam ayat ini hanya disebut ‘ibunya’ sahaja dalam ayat ini kerana baginda tidak ada bapa. Ayat ini penting kerana dalam tulisan orang Kristian, mereka ada kata bagaimana Nabi Isa a.s. telah bercakap kurang ajar dengan ibunya. Maka, Allah telah menidakkan perkara ini dengan mengatakan bahawa Nabi Isa berlaku taat dan berbuat baik kepada ibunya.

Makna بَرًّا telah diperkatakan sebelum ini apabila memperkatakan tentang Nabi Yahya. Maknanya, Nabi Isa telah diarahkan untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Kita pun kena berbuat baik kepada ibubapa kita. Selalulah hubungi mereka. Gembirakan hati mereka. Berbuat baiklah dengan mereka. Apabila ibubapa kita senang dengan kita, kita akan rasa tenang.

Dalam Qur’an memang selalu disebut tentang ketaatan kepada ibubapa selepas disebut ketaatan kepada Allah. Ini menunjukkan kepentingan ibubapa.

وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا

dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur;

Ini menegaskan yang baginda tidak ganas. Tidak mungkin baginda ada menindas orang lain.

Juga bermaksud tidak sombong dalam beribadat kepada Allah. Sombong itu adalah sifat Allah, maka Allah tidak suka makhlukNya sombong.

شَقِيًّا

Celaka;

Ia juga bermaksud nasib malang. Ini bermaksud, apabila baginda dibangkitkan nanti, baginda akan mendapat kebaikan yang banyak dari Allah. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh orang Yahudi yang kata Nabi Isa sesat dan telah melakukan kesalahan. Pada mereka, Nabi Isa akan dibangkitkan dengan nasib malang. Ayat ini menidakkan kata-kata mereka itu.

Perkataan ini juga memberi isyarat kepada kita, kalau kita tidak berbuat baik dengan ibubapa kita, kurang ajar kepada mereka, kita akan bernasib malang.


Ayat 33:

وَالسَّلامُ عَلَيَّ يَومَ وُلِدتُ وَيَومَ أَموتُ وَيَومَ أُبعَثُ حَيًّا

Sahih International

And peace is on me the day I was born and the day I will die and the day I am raised alive.”

Malay

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan;

Baginda dikatakan sejahtera pada hari kelahirannya kerana dia dilahirkan luar biasa tanpa ibubapa.

Kalimah السَّلَامُ boleh jadi bermaksud ‘penghormatan’. Seperti para malaikat memberi salam kepada penghuni syurga yang masuk ke syurga – sebagai penghormatan kepada penghuni syurga. Atau kalau kita jumpa orang lain, kita akan beri salam kepada mereka sebagai penghormatan dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Ia juga boleh bermaksud kesejahteraan kalau kita ambil dari makna literal ‘salam’ itu. Bermakna, seperti juga apabila kita memberi salam kepada orang lain, sebenarnya kita mendoakan kesejahteraan kepada mereka, begitu juga Nabi Isa berdoa kepada Allah supaya dia diberi kesejahteraan.

Ayat ini adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan bahawa ada elemen tidak baik dalam kelahirannya. Kerana ada yang kata baginda adalah anak haram.

Tapi lihatlah penggunaan perkataan السَّلَامُ dalam ayat ini. Kalau dalam ayat ke 15, perkataan سَلَامٌ digunakan tanpa alif lam. Tapi dalam ayat 33, ada alif lam. Apabila سَلَامٌ dalam bentuk umum, ianya boleh dipakai dalam banyak keadaan – maknanya berbagai-bagai cara kesejahteraan diberikan kepada Nabi Yahya.

Tapi apabila digunakan السَّلَامُ, ada makna tersendiri yang dimaksudkan. Kenapakah kepada Nabi Isa, digunakan السَّلَامُ? Apabila Allah menggunakan perkataan سَلَامٌ tanpa alif lam untuk Nabi Yahya, ianya adalah salam dari Allah. Tapi apabila السَّلَامُ digunakan dalam ayat ini, ianya adalah doa dari Nabi Isa sendiri, bukan dari Allah – maka ianya ada alif lam.

وَيَوْمَ أَمُوتُ

dan pada hari aku mati;

Baginda telah diangkat ke langit, dan baginda akan turun ke bumi semula untuk bunuh Dajjal dan memerintah, kemudian baginda akan mati dengan cara yang baik. Dia akan mati dalam sejahtera. Maknanya, sekarang Nabi Isa tidak mati lagi.

Ini pula adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan baginda telah mati disalib. Kerana mati disalib bukanlah satu kematian yang mulia. Ayat ini mengatakan bahawa baginda akan mati dalam keadaan sejahtera.

Ada dua dimensi fahaman salah dalam kematian Nabi Isa ini. Di satu pihak, ada puak seperti Yahudi yang kata baginda mati disalib kerana baginda adalah orang yang jahat, yang baginda lahir di luar perkahwinan. Di satu pihak, seperti Kristian, mengatakan bahawa kematian baginda disalib adalah untuk menebus dosa seluruh manusia.

Dua-dua pemahaman ini tidak benar sama sekali. Ayat ini mengatakan bahawa baginda tidak akan meninggalkan dunia ini dengan cara begitu.

وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا

serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula;

Baginda akan dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul. Iaitu baginda akan dibangkitkan dalam kedudukan terhormat di hari Kiamat nanti. Menidakkan kata-kata mereka yang mengatakan bahawa Nabi Isa berdosa dan sesat.

Ada satu riwayat yang menceritakan tentang seorang wanita yang melihat Nabi Isa yang telah melakukan mukjizat menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit kusta. Maka, wanita itu telah memuji ibu baginda yang telah melahirkan dan memberi makan kepada baginda.

Maka, Nabi Isa membetulkan kata-kata wanita itu. Nabi Isa memuji Allah yang telah mentaqdirkan baginda lahir dan telah memberikan mukjizat-mukjizat itu. Wanita itu memuji manusia, tapi Nabi Isa telah memperbetulkan wanita itu dengan memuji Allah. Allah lah yang sebenarnya layak dipuji.

Ayat ini juga sebagai pernyataan dari Nabi Isa bahawa baginda juga adalah hamba Allah juga seperti makhluk-makhluk yang lain. Baginda dihidupkan, dimatikan dan akan dibangkitkan kembali. Makhluk-makhluk lain pun macam itu juga.


Ayat 34:

ذٰلِكَ عيسَى ابنُ مَريَمَ ۚ قَولَ الحَقِّ الَّذي فيهِ يَمتَرونَ

Sahih International

That is Jesus, the son of Mary – the word of truth about which they are in dispute.

Malay

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

ذَٰلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ

Itulah Isa Ibni Maryam;

Kalimah ذَٰلِكَ adalah penunjuk kepada perkara yang jauh. Kerana yang diceritakan dalam Qur’an ini tentang Nabi Isa adalah jauh dari apa yang orang kafir (Yahudi dan Nasara) katakan tentang baginda. Sekarang Allah sedang menceritakan cerita yang sebenar tentang Nabi Isa.

Apabila digunakan kalimat ابْنُ مَرْيَمَ ia memberitahu kita yang hanya Nabi Isa sahaja yang berbinkan Maryam, dengan maknya. Hanya dia sahaja dalam dunia ini. Ini adalah kerana dia tidak ada bapa. Dan ingatlah bahawa kita di hari akhirat nanti kita akan dipanggil dengan nama kita dan nama ayah kita.

Tapi ada orang yang sesat mengajar anak murid mereka memanggil seseorang dengan nama mak dalam ibadat mereka. Contohnya, apabila dalam talqin mereka akan panggil seseorang itu dengan nama mak. Atau apabila nak berubat, mereka hendak tahu nama mak orang yang hendak diubati itu.

قَوْلَ الْحَقِّ

Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya;

Ia adalah kebenaran kerana ianya adalah kata-kata Tuhan. Allah sendiri yang beritahu. Tidak boleh kita syak dengan kalam Allah.

Juga boleh bermaksud, apa yang dikatakan oleh Nabi Isa itu adalah kata-kata yang benar.

الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ

yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya;

Orang kafir bukan hanya ragu-ragu tapi menyebabkan orang lain pun ragu-ragu dengannya. Mereka akan beri hujah lemah untuk bagi orang lain ragu. Tapi hujah mereka lemah sahaja.

Ianya digunakan dalam bentuk present tense. Maknanya mereka masih melakukannya. Apakah yang mereka ragukan? Orang Yahudi tak percaya dengan kenabian Nabi Isa dan kelahirannya yang luar biasa. Mereka kata Nabi Isa adalah anak haram. Tapi orang Kristian pun ada masalah juga.

Orang Kristian melebih-lebih pula dalam mereka memandang Nabi Isa. Mereka sampai mengangkat kedudukan Nabi Isa melebihi kedudukan manusia. Mereka kata baginda adalah anak Tuhan. Mereka kata baginda adalah salah satu dari tiga elemen Tuhan – konsep triniti. Mereka pun tak tahu macam mana nak jelaskan konsep triniti itu, maka mereka sentiasa berselisih tentangnya.

Berapa banyak orang Kristian keluar dari agama itu kerana mereka tidak dapat dijelaskan dengan konsep triniti yang tidak masuk akal itu. Akal yang waras tentunya tidak dapat terima apa yang diajar oleh guru agama mereka.

Nota: lihatlah bagaimana hujung ayat ini lain dari hujung ayat-ayat yang sebelum ini. Ayat-ayat sebelum ini berakhir dengan ‘ya’, ‘ya’. Tentunya ini ada makna yang hendak disampaikan. Ini akan diterangkan selepas ini nanti. Pertamanya, ianya untuk mengejutkan kita.


Ayat 35:

ما كانَ لِلَّهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ ۖ سُبحانَهُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Sahih International

It is not [befitting] for Allah to take a son; exalted is He! When He decrees an affair, He only says to it, “Be,” and it is.

Malay

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Dia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah dia.

مَا كَانَ لِلَّهِ أَنْ يَتَّخِذَ مِنْ وَلَدٍ
ۖ

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak.

Allah tidak perlu kepada anak sendiri atau anak angkat. Anak angkat yang dimaksudkan adalah yang selalu dijadikan perantaraan, iaitu tawasul. Manusia memandang bahawa Allah mempunyai ‘anak angkat’ yang Allah sayang kepadanya, jadi mereka menggunakan anak-anak angkat itu sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Mereka rasa kalau mereka puja anak-anak angkat itu, dan mereka berdoa melalui mereka, anak-anak angkat (terdiri dari golongan Nabi, wali dan malaikat) akan menyampaikan doa-doa mereka kepada Allah dan doa mereka akan dimakbulkan. Itu adalah salah sama sekali.

Memanglah kita tidak menggunakan perkataan ‘anak angkat’ dalam kita memanggil perantara-perantara itu. Kita akan kata mereka adalah orang-orang yang ‘dekat’ dengan Allah. Dengan bahasa lain, mereka adalah ‘anak angkat’ Allah. Kerana selalunya anak-anak angkat ini adalah orang yang rapat dengan bapa angkat mereka. Kalau kita tahu anak angkat Perdana Menteri, itu bermaksud orang itu amat rapat dengan PM. Kita pun bodeklah mereka.

Adakah Allah pun macam itu juga? Tentulah tidak. Kerajaan Allah tidak sama dengan kerajaan manusia. Tapi begitulah pemahaman orang-orang yang jahil dengan ilmu wahyu.

Dari salah faham inilah timbulnya doa-doa tawasul yang diamalkan oleh orang-orang kita. Mereka akan menggunakan nama-nama para wali, para Nabi dan para malaikat untuk menyampaikan doa mereka. Kalau orang Kristian sesat kerana menggunakan Nabi Isa sebagai perantaraan mereka kepada Allah, maka kalau orang Islam pun menggunakan perantaraan untuk menyampaikan doa kepada Allah, maka orang Islam itu adalah orang Islam yang sesat.

Takkan Allah berat sebelah? Kalau agama lain buat tawasul, sesat; tapi kalau orang Islam buat tawasul tak sesat pula? Ini adalah perkara yang penting yang kita kena perhatikan. Banyak dibincangkan dalam penulisan ini berkenaan tawasul. Hendaklah kita tinggalkan kalau kita antara orang yang sedang buat perkara ini.

Apabila ada مِنْ dalam ayat ini, bermaksud ‘sikit pun’ tak sesuai untuk kita kata Allah ada mengambil anak. Jangan kata besar, sikit pun tidak.

سُبْحَانَهُ

Maha Sucilah Dia; 

Allah maha suci dari perlu kepada anak angkat. Allah maha suci dari andaian-andaian manusia yang jauh dari pemahaman wahyu.

Subhan dari segi bahasa bermaksud berenang dengan kepala atas air. Dalam bahasa Arab, ada kalimah untuk menceritakan berenang ‘dalam’ air, dan ada kalimah untuk merujuk kepada berenang kepala ‘atas’ air. Subhan bermaksud berenang yang kepala di atas air. Ini bermaksud, Allah lebih tinggi dari apa yang mereka katakan itu.

إِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Apabila menetapkan sesuatu perkara,

Allah juga ada kehendak. Tapi kehendak Allah tentu tidak sama dengan kita. Apabila Allah sudah buat keputusan, ia pasti akan terjadi.

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka hanyalah Dia berfirman kepadanya: “Jadilah”, lalu menjadilah ia;

Tidak perlu Allah bersusah payah kalau Allah berkehendak. Allah hanya kata ‘kun’ sahaja. Tapi tidaklah perlu Allah kata ‘kun’ setiap kali. Ayat ini adalah isyarat kepada kehendak Allah yang cepat terjadi. Tidak perlu ada usaha apa-apa pada Allah. Kalau Dia hendak sahaja, ianya terus terjadi.

Apakah maksud ayat ini dalam konteks Nabi Isa? Kalau kita ada rasa takjub dengan kejadian Nabi Isa tanpa bapa, boleh menyembuhkan segala macam, ketahuilah bahawa ianya bukan dari kuasa dan kehebatan Nabi Isa sendiri, tapi Allah. Senang sahaja untuk Allah buat. Sama sahaja bagi Allah untuk jadikan Nabi Isa itu lahir tanpa bapa dan juga pokok yang kita biasa lihat itu. Dua-dua senang pada Allah.


Ayat 36: Ini berkemungkinan besar adalah dari kata-kata Nabi Isa. Ianya adalah pati ajaran Islam.

Atau ianya adalah perkataan yang Allah suruh Nabi Muhammad cakap. Bermakna ada iltifad dalam ayat ini. Ilitifad bermaksud perubahan ayat. Kerana sebelum ini

وَإِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

Sahih International

[Jesus said], “And indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. That is a straight path.”

Malay

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.

وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu

Rabb bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ sahaja. Ia bermaksud Tuhan yang mencipta, memiliki, memelihara, mentarbiyah dan banyak lagi. Allah bukan hanya menjadikan kita tapi Dia terus menjaga dan memelihara kita.

Dialah yang beri kita makan, beri tempat teduh dan segala keperluan hidup manusia. Kalau kita tangkap burung dan letak dalam sarang, tentulah kita kena beri makan dan minum kepada burung itu. Kalau tidak, burung itu akan mati. Itu baru burung yang kita hanya miliki sahaja, bukan kita yang jadikan dia. Tapi Allah bukan cipta sahaja, tapi Dia akan tadbir segenap perjalanan hidup kita.

Dia akan memberikan apa yang kita perlukan. Semua yang Dia buat sudah cantik. Kadang-kadang kita tak faham kerana akal kita tak sampai ketahap untuk memahami. Kadang-kadang kita macam tak puas hati kalau ada taqdir bukan macam yang kita hendak. Kadang-kadang kita hairan kenapa Allah berikan bala kepada sesuatu kaum atau sesuatu tempat.

Bahaya kalau kita ada perasaan sebegitu. Janganlah kita mengata tidak baik tentang Allah. Akal kita yang tak sampai untuk memahami tindakan Allah. Apa yang Dia buat sudah sempurna dan kena pada tempatnya. Yang kita perlu buat adalah redha sahaja.

Apabila Allah itu Rabb kita, maka kita adalah hambaNya. Inilah pati agama Islam. Iaitu menerima Allah sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba Dia. Sebagai hamba, kita terima sahaja apa takdir Allah berikan kepada kita. Ingatlah bahawa semua yang kita ada, adalah dari Allah. Apabila kita ada rasa terhutang dengan Allah, maka senang untuk kita ibadat kepada Allah.

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah kamu akan Dia;

Oleh kerana Dia Allah yang ada sifat Tuhan, maka hendaklah kita menyembahNya sahaja. Jangan kita sembah yang selain Allah. Puja dan ibadat hanya kepadaNya sahaja. Terus berdoa kepada Allah dan hanya doa terus kepada dia (bukan melalui perantaraan). Kerana Allah Maha Mendengar doa hambaNya.

Jangan buat perantaraan dalam doa seperti Hindu, Kristian, Buddha buat. Jadi jangan minta tok-tok guru, imam-imam, ustaz-ustaz mendoakan untuk kita. Tapi hendaklah kita berdoa terus kepada Allah. Doa sendiri-sendiri sahaja. Jangan kita ada syak wasangka yang Allah tidak mendengar doa kita kalau kita doa sendiri, sampai kita rasa perlukan perantaraan seperti guru, ustaz dan lain-lain.

Agama Islam bukan seperti agama lain yang memerlukan paderi, sami, paisam dan apa lagi pangkat dalam agama mereka yang mereka kata diperlukan untuk menyampaikan hajat kepada tuhan mereka. Dalam Islam, kita diajar untuk doa terus kepada Allah. Yang mengajar supaya jumpa dengan guru, ustaz dan lain-lain itu adalah mereka yang  mahukan kedudukan, mahukan imbuhan dari segi pangkat dan harta sahaja.

Mereka menjadikan hal-hal doa dan permintaan ini sebagai punca pendapatan mereka. Yang pergi kepada mereka adalah mereka yang jahil sahaja, yang tidak belajar agama. Dan mereka jadi begitu kerana mereka lalai dalam cara-cara berdoa, mereka lalai dalam mempelajari agama.

Kalimah فَاعْبُدُ bukan hanya maksud sembah tapi ‘menghambakan diri’. Ada yang sembah tapi tak rasa diri mereka sebagai hamba. Jadi, mereka sangka, mereka sudah buat ibadat, sudah cukup beragama. Mereka tak ikut keseluruhan ajaran dari Allah. Memang mereka buat ibadat, tapi mereka buat juga perkara-perkara yang dilarang Allah.

Kerana mereka tak terima diri mereka sebagai hamba sepenuhnya. Mereka rasa mereka hamba semasa dalam ibadat sahaja, tapi di antara ibadah, mereka lupa nak jadi hamba Allah. Sebagai contoh, mereka terima rasuah, mereka zalim kepada anak isteri, mereka menipu orang lain dan lain-lain lagi. Padahal itu semua larangan dari Allah juga, bukan?

Kita kena ikut keseluruhan arahan dari Allah, bukan ketika beribadah sahaja. Kenapa kita ibadat? Kita ibadat kepada Allah kerana ianya adalah arahan Allah. Kenapa kita tinggalkan perkara-perkara maksiat? Kerana ianya adalah arahan dari Allah. Jadi semua yang kita buat dan tinggalkan adalah kerana ada arahan dan larangan dari Allah. Apabila kita sudah terima diri kita sebagai hamba kepada Allah, maka senang untuk kita terima arahan dari Allah.

هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

inilah jalan yang lurus “;

Inilah tafsir ayat Qur’an dalam Fatihah yang kita selalu baca setiap hari. Iaitu اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ yang bermakna “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Maka, tafsir bagi ayat Fatihah itu terletak dalam ayat ini. Iaitu kita hendaklah hanya sembah Allah sahaja.

Kita telah minta kepada Allah supaya ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Maka, ayat ini mengajar kita bahawa jalan yang lurus adalah menghambakan diri kepada Allah semata-mata.

Perkataan صِرَاطٌ tidak ada jamak/plural dari segi nahu. Kerana jalan yang lurus hanya satu sahaja.


Ayat 37:

فَاختَلَفَ الأَحزابُ مِن بَينِهِم ۖ فَوَيلٌ لِلَّذينَ كَفَروا مِن مَشهَدِ يَومٍ عَظيمٍ

Sahih International

Then the factions differed [concerning Jesus] from among them, so woe to those who disbelieved – from the scene of a tremendous Day.

Malay

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِنْ بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan itu berselisihan sesama sendiri;

Satu puak kata Nabi Isa itu adalah anak Tuhan, tapi ada yang kata tidak. Sampai sekarang, masih ada lagi golongan Kristian yang tidak sembah Nabi Isa (tapi mereka golongan terpencil). Kristian pun ada mazhab-mazhab mereka. Kalau kita lihat dalam gereja mereka, ada yang tidak meletakkan patung Jesus – mereka cuma ada salib sahaja.

Tapi walaupun mereka tidak ada patung, tapi mereka masih juga kata Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Maka, mereka pun fahaman syirik juga. Dan ada juga yang kita tahu golongan Kristian Ortodox yang tidak menerima Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan mereka itu adalah golongan yang minoriti.

Banyaklah pandangan berbeza tentang Nabi Isa. Mereka berselisih antara mereka. Allah beritahu dalam Qur’an kedudukan yang sebenarnya. Maka, hendaklah kita memegang apa yang Allah telah sampaikan kepada kita. Janganlah kita antara orang yang berselisih. Dan cuba sampaikan kepada mereka.

Kalimah الْأَحْزَابُ bermaksud kumpulan-kumpulan yang mempunyai pandangan yang sama. Dan mereka adalah orang yang pegang kuat fahaman mereka itu. Kuat sampaikan tidak mahu berganjak dengan mudah apa yang mereka telah pegang itu. Mereka amat serius dalam pegangan mereka itu.

Bani Israil telah berpecah kepada empat kelompok selepas Nabi Isa diangkat, inilah pendapat dan pegangan mereka masing-masing tentang Nabi Isa:

  1. Baginda adalah Allah, yang turun ke muka bumi dalam rupa manusia. Dia hidupkan orang mati dan dia mematikan orang yang hidup. Kemudian dia naik ke langit. Kelompok ini adalah kelompok Ya’qubiyyah.
  2. Dia anak Allah. Ini adalah kelompok Nasthuriyyah.
  3. Dia adalah tiga dalam satu (konsep triniti). Mereka ini adalah para Israiliyyat, raja-raja kaum Nasrani. Inilah juga pegangan kebanyakan orang Kristian sekarang.
  4. Dia adalah hamba Allah, RasulNya, ruhNya dan kalimatNya. Mereka inilah golongan Muslim.

Setiap golongan ini ada pengikutnya masing-masing sehingga mereka saling memerangai dan berusaha menindas kaum Muslimin.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu,

Kesian kepada mereka. Itulah lebih kurang maksud فَوَيْلٌ itu. Mereka akan mendapat kecelakaan apabila di Mahsyar nanti.

مِنْ مَشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ

dari apa yang disaksikan pada hari yang besar (huru-haranya);

Mereka akan celaka pada hari itu. Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat dan di Mahsyar.

Mereka akan mendapat kecelakaan yang besar pada hari itu. Mereka akan menyaksikan sendiri kebenaran pada hari itu. Nabi-Nabi pun termasuk Nabi Isa sendiri akan jadi saksi atas kesalahan yang mereka telah lakukan. Bukan saksi bagi pihak mereka tapi menentang mereka. Kerana pemahaman mereka tentang siapakah Nabi Isa yang salah.

Walaupun mereka telah melakukan perkara yang syirik dan mengatakan Allah mengambil anak, tapi Allah tidak beri azab kepada mereka di dunia ini. Seperti dalam ayat ini, Allah hanya akan mengazab mereka pada hari Kiamat nanti. Dalam Bukhari dan Muslim ada disebut satu hadis:

Tidak ada yang lebih sabar dalam mendengar keburukan daripada Allah. Mereka menjadikan anak untukNya, akan tetapi Dia tetap memberi rezeki dan mensejahterakan mereka.


Ayat 38:

أَسمِع بِهِم وَأَبصِر يَومَ يَأتونَنا ۖ لٰكِنِ الظّالِمونَ اليَومَ في ضَلالٍ مُبينٍ

Sahih International

How [clearly] they will hear and see the Day they come to Us, but the wrongdoers today are in clear error.

Malay

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata

أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka (yang kafir itu);

Semasa di akhirat kelak, mereka akan dapat mendengar dengan jelas suasana Hari Kiamat dan keadaan di Mahsyar nanti. Mereka akan lihat sendiri neraka menggelegak nanti. Neraka akan ditarik dibawa ke hadapan orang kafir di Mahsyar nanti. Mereka akan dengar dan melihat dengan jelas. Semua yang diajar dan diberitahu kepada mereka akan dinampakkan dengan jelas sangat pada hari itu. Apa yang mereka dustakan, mereka akan lihat sendiri.

Perkataan أَسْمِعْ dan أَبْصِرْ adalah untuk menggambarkan ketakjuban. Takjub dengan kebodohan orang-orang kafir. Sekarang di akhirat baru mereka dengar dan lihat dengan jelas. Tapi bagaimana semasa mereka di dunia?

Untuk mendapat petunjuk di jalan, kita memerlukan pendengaran dan penglihatan. Apabila seseorang menunjukkan jalan kepada kita, dia akan beritahu kita dan dia akan tunjuk jalan itu dengan tangannya. Barulah kita tahu mana nak ikut. Begitu juga dengan petunjuk agama. Ianya juga memerlukan pendengaran dan penglihatan. Tapi kalau tidak mahu mendengar dan melihat (buka mata hati), maka seseorang itu akan sesat.

يَوْمَ يَأْتُونَنَا

semasa mereka datang mengadap Kami

Iaitu pada hari akhirat. Kalimah يَأْتُونَنَا adalah perkataan dalam present tense untuk kita bayangkan macam kita ada di sana. Inilah yang disebut juga dalam Sajdah:12

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Allah mengejek mereka: sekarang kamu boleh melihat dengan jelas, boleh mendengar dengan jelas… bagaimana dulu semasa di dunia? Dulu di dunia kamu semua tak dengar.

Tidaklah berguna lagi kalau hanya di akhirat sahaja baru mendengar dan melihat. Kalau mereka nampak dan dengar semasa di dunia, alangkah baiknya. Iaitu melihat dan mendengar hujah-hujah yang diberikan oleh nas-nas dan pendakwah-pendakwah yang membawa nas Qur’an dan Sunnah.

لَٰكِنِ الظَّالِمُونَ الْيَوْمَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) pada masa di dunia, berada dalam kesesatan yang nyata

Apabila digunakan perkataan فِي dalam ayat ini bermaksud mereka tenggelam bergelumang dalam kesesatan sampaikan mereka tak nampak kebenaran. Mereka tidak boleh nampak langsung kebenaran walaupun di depan mata mereka.

Contohnya kalau seorang berada dalam tong tahi sudah lama sangat, mereka pun tak tahu bahawa mereka berada dalam sesuatu yang jelek. Ini kerana deria bau mereka pun sudah rosak. Mereka sangka mereka normal sahaja. Mereka sangka pandangan mereka pandangan yang sudah benar.

Padahal apa yang mereka pegang itu adalah salah. Mereka macam katak bawah tempurung. Macam katak yang sangka dalam tempurung itulah dunia, padahal dunia besar lagi dari apa yang katak itu sangkakan.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s