Tafsir Surah Tawbah Ayat 28 – 29 (Menjadikan ulama’ sebagai tuhan)

Tawbah Ayat 28: Ini dikatakan sebagai halangan yang keempat. Ada yang berhujah bahawa tidak patut memutuskan perhubungan dengan orang kafir. Mereka kata, bila memutuskan hubungan dengan orang kafir, mungkin perkara kehidupan kita terganggu, contohnya dari segi perniagaan. Ini kerana mungkin kita bergantung dengan mereka dari segi ekonomi. Allah ﷻ jawab hujah itu dalam ayat ini.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا المُشرِكونَ نَجَسٌ فَلا يَقرَبُوا المَسجِدَ الحَرامَ بَعدَ عامِهِم هٰذا ۚ وَإِن خِفتُم عَيلَةً فَسَوفَ يُغنيكُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ إِن شاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, indeed the polytheists are unclean, so let them not approach al-Masjid al-Ḥarām after this, their [final] year. And if you fear privation, Allāh will enrich you from His bounty if He wills. Indeed, Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا المُشرِكونَ نَجَسٌ

Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis,

Pertamanya, Allah ﷻ beritahu yang orang musyrik itu najis. Ini adalah kerana akidah mereka rosak. Kalimah yang digunakan adalah نَجَسٌ dan bukan نَجِس. Kalau نَجِس ia adalah najis kecil tetapi apabila ia adalah نَجَسٌ, bermakna ia najis yang berat.

Terdapat tiga jenis najis dalam Islam:

1. Najis kekotoran seperti tahi yang semua orang tahu ia adalah kotor. Ia boleh diketahui dengan pancaindera. Ini adalah najis aini yang boleh dilihat dengan dan dirasa dengan deria.
2. Ada najis yang diketahui melalui ilmu syariat. Ini adalah seperti keluarnya air mani, haid dan nifas.
3. Najis dari segi maknawi (makna) iaitu kekotoran fahaman dan akidah.

Oleh itu kena faham yang ‘najis’ yang disebut di dalam ayat ini adalah lebih kepada najis dalaman atau najis maknawi. Bukan tubuh fizikal mereka yang najis, sebab itu mereka boleh memasuki masjid. Ia adalah jenis najis maknawi (dari segi makna sahaja), bukannya najis hissi (fizikal). Untuk najis hissi atau ain, kita basuh dengan air untuk menghapuskannya, manakala untuk najis maknawi, ia dibasuh dengan kalimah la ilaaha illallah, iaitu kena memeluk Islam barulah najis itu dihapuskan.

Walaupun begitu, orang kafir juga telah melanggar syariat terhadap ketiga-tiga jenis najis yang telah disebut. Mereka tidak menjaga kebersihan tubuh badan dan kerana itu zaman dahulu orang kafir tidak basuh pun najis mereka. Mereka juga tidak mengambil wudhu’ dan mandi janabah selepas keluar air mani dan juga haid. Seperti yang telah disebut, akidah mereka adalah akidah sesat dan kufur.

Namun begitu yang ditekankan di dalam ayat ini adalah najis akidah. Kerana itulah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, selalu baginda menerima wakil orang kafir yang bertemu baginda di dalam masjid dan tidak ada masalah. Orang Melayu kita sahaja yang jahil akan perkara ini dan mereka itulah golongan pak lebai yang faham agama agak-agak sahaja.

Maka bukanlah tubuh orang kafir itu yang najis tetapi akidah mereka yang najis. Disebabkan keliru, ada juga yang bertanya: “kalau bersalam dengan orang kafir, wudhu’ batalkah?” Ini adalah soalan daripada mereka yang jahil dengan ayat ini. Tidak, wudhu’ tidak batal dan kita boleh sahaja sentuh mereka. Soalan itu pun tidak patut, kerana kalau kita sentuh najis pun, tidaklah membatalkan wudhu’. Cuma basuh sahaja.

Allah ﷻ memulakan ayat ini dengan memberitahu hakikat para Musyrikin Mekah itu supaya puak muslimin meninggalkan rasa perhubungan dengan mereka. Kenapa lagi hendak berurusan baik dengan mereka kalau mereka itu najis? Kenapa hendak memuliakan najis pula?

 

فَلا يَقرَبُوا المَسجِدَ الحَرامَ بَعدَ عامِهِم هٰذا

maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. 

Dalam ayat ini Allah ﷻ kata jangan dekati, dan ia bermaksud jangan masuk pun. Dekati pun jangan, apatah lagi memasukinya. Puak Musyrikin dilarang untuk memasuki Tanah Haram selepas pengumuman daripada Surah Tawbah ini, iaitu selepas 4 bulan.

Apakah yang dimaksudkan dengan بَعدَ عامِهِم هٰذا (selepas tahun ini)? Tahun yang mana? Tahun 9 Hijrah atau 10 Hijrah? Pendapat yang kuat adalah orang musyrik tidak boleh memasukinya selepas habis tahun 9 Hijrah. Akan tetapi penangguhan diberikan selama setahun dan kerana itu hanya selepas habis tahun 10 Hijrah barulah undang-undang ini diketatkan.

Manakala yang tidak boleh masuk adalah MasjidilHaram, termasuk semua Tanah Haram, bukannya masjid-masjid lain. Inilah polisi yang telah ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah orang kafir sampai sekarang pun tidak dibenarkan untuk memasuki ke Tanah Haram terlebih lagi di Ka’bah. Memang ada tanda sempadan kawasan Tanah Haram itu.

Ayat ini diturunkan pada tahun sembilan Hijriah. Kerana itulah maka Rasulullah ﷺ mengutus Ali رضي الله عنه untuk menemani Abu Bakar رضي الله عنه pada tahun itu. Nabi ﷺ memerintahkan kepadanya untuk menyerukan pengumuman dalam kalangan orang-orang musyrik, bahawa sesudah tahun ini tidak boleh lagi ada orang musyrik berhaji dan tidak boleh lagi ada orang tawaf di Baitullah dengan telanjang. Dengan demikian, maka Allah ﷻ telah menyempurnakan agama-Nya dan menetapkan hal ini sebagai syariat dan keputusan-Nya.

Ayat ini menjadi polemik yang agak panjang lebar juga. Ada tiga persoalan yang timbul dalam kalangan ulama’:

1. Adakah larangan itu hanya untuk MasjidilHaram sahaja atau semua masjid di dunia ini?
2. Jikalau mereka dihalang daripada memasuki MasjidilHaram, adakah secara keseluruhan (tidak boleh masuk langsung) atau mereka hanya dilarang mengerjakan Haji dan Umrah sahaja?
3. Adakah Ahli Kitab juga termasuk di dalam larangan ini? Ini kerana mereka itu mempunyai kedudukan istimewa juga di dalam syariat Islam (sebagai contoh wanita mereka boleh dikahwini dan sembelihan mereka boleh dimakan).

Oleh kerana ayat ini ringkas sahaja, maka ada khilaf pendapat dalam kalangan ulama’. Antara soalan yang timbul adalah: najis apakah yang dimaksudkan? Imam Malik رحمه الله mengatakan orang Musyrik ini bernajis dalam semua hal (fizikal dan akidah) dan kerana itulah mereka tidak boleh memasuki mana-mana masjid pun. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengeluarkan arahan kepada penguasa setiap kota untuk tidak membenarkan orang kafir masuk ke dalam masjid. Beliau menaqalkan ayat ini sebagai dalil bagi arahan itu.

Imam Syafi’iy رحمه الله pula mengatakan larangan ini kepada semua orang kafir (termasuk Ahli Kitab) tetapi hanya di MasjidilHaram sahaja. Beliau berdalilkan kisah Thumamah ibn Athal yang ditangkap dan Rasulullah ﷺ mengarahkannya diikat di tiang Masjid Nabawi sebelum beliau masuk Islam.

Imam Abu Hanifah رحمه الله pula mengatakan yang dilarang adalah untuk melakukan Haji dan Umrah dengan cara sesat mereka. Kalau untuk masuk MasjidilHaram sahaja untuk tujuan lain, ini boleh dibenarkan oleh pemerintah. Beliau berdalil dengan kisah wakil daripada Bani Tsaqif yang datang selepas penaklukan Mekah dan Rasulullah ﷺ membenarkannya masuk masjid. Para sahabat ketika itu mengatakan yang orang itu kotor tetapi Rasulullah ﷺ mengatakan lantai masjid tidak terkesan dengan najis orang itu.

Oleh kerana itu Imam Abu Hanifah رحمه الله berpendapat yang konteks ayat ini bukanlah tentang kebersihan masjid, (walaupun ia penting) akan tetapi tentang kebersihan dari segi akidah. Tujuan ayat ini adalah untuk membersihkan Tanah Haram daripada golongan Musyrik. Akan tetapi ia tidaklah dilakukan serta merta. Malahan mereka itu diberi masa setahun untuk melakukannya.

Rasulullah ﷺ kemudian meneruskan usaha untuk membersihkan keseluruhan Tanah Arab daripada golongan musyrikin. Namun baginda tidak sempat melakukannya kerana tidak lama selepas itu baginda pun wafat. Malah Sayyidina Abu Bakr رضي الله عنه pun tidak sempat kerana jangkamasa pemerintahan beliau amat singkat dan perlu selesaikan perkara dalaman terlebih dahulu. Ia cuma mampu dilakukan pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar رضي الله عنه.

 

وَإِن خِفتُم عَيلَةً فَسَوفَ يُغنيكُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ إِن شاءَ

Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. 

Sebelum ini dikatakan ada yang bimbang mereka putus bekalan dunia, bukan? Allah ﷻ beritahu sekiranya mereka bimbang kemiskinan, Allah ﷻ janji akan beri kecukupan daripada kurniaan-Nya jika Dia kehendaki. Maka jangan takut yang rezeki mereka akan hilang.

Allah ﷻ juga hendak menasihati Musyrikin Mekah. Mereka mungkin takut selepas mereka masuk Islam, mereka akan susah. Ini kerana sebelum itu, sumber pendapatan mereka adalah daripada mereka yang datang ke Kaabah dari merata tempat kerana puak Arab ada meletakkan berhala mereka di Kaabah itu.

Allah ﷻ beritahu, jangan risaulah. Sejak dahulu Allah ﷻ juga yang memberi rezeki kepada mereka dan sekarang Allah ﷻ yang sama juga. Allah ﷻ akan memberi kesenangan kepada mereka. Allah ﷻ akan menjadikan mereka kaya raya selepas itu. Ini kerana mereka akan mendapat harta daripada Kerajaan Parsi dan Rom. Mereka akan menakluk jajahan-jajahan lain dan akan mendapat bayaran jizyah dan daerah-daerah itu.

Allah ﷻ akan beri sumber rezeki yang banyak sekali daripada sumber lain yang tidak disangka-sangka. Lihatlah sekarang mereka dikurniakan dengan kekayaan minyak. Memang kaya sungguh negara-negara Arab sekarang ini. Sampai mereka tidak tahu hendak buat apa dengan kekayaan itu.

Ayat ini mengajar akidah kita tentang rezeki di mana Allah ﷻ yang memberi rezeki kepada kita. Bukannya usaha kita. Berapa ramai manusia yang berusaha keras tetapi tidak mendapat rezeki? Usaha kita tidak memberi bekas sebenarnya. Cuma Allah ﷻ hendak melihat usaha kita, itu sahaja. Maka kena tetap berusaha. Akan tetapi jangan sangka yang usaha itu akan berjaya tanpa Allah ﷻ beri izin.

 

إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ tahu memang akan ada putus hubungan dan boleh jadi berlaku putus keperluan. Namun Allah ﷻ maha bijaksana, Dia akan beri perkara yang lebih baik. Segala yang Allah ﷻ tentukan ada untuk kebaikan. Maka kita kena redha dan percaya dengan keputusan yang Allah ﷻ telah lakukan. Allah ﷻ tahu keperluan hidup kita dan Allah ﷻ akan beri kecukupan kepada kita.


 

Tawbah Ayat 29: Ayat ini adalah DAKWA Surah Tawbah. Inilah polisi untuk memerangi puak Musyrikin dan Ahli Kitab.

Kita sekarang sudah masuk ke perenggan Makro ke 2 surah ini. Ia bermula daripada ayat ini sehingga ke ayat 35. Dalam perenggan pertama telah disebut tentang perang dengan Bani Ismail (golongan Arab), sekarang disebut arahan perang kepada Bani Israil (golongan Ahli Kitab) pula. Yang dimaksudkan adalah Yahudi dan Nasrani.

Walaupun tidak disebut secara tekstual tentang mereka, malah boleh dikatakan arahan ini adalah arahan berperang dengan semua golongan kafir, tetapi mereka adalah golongan yang dikenali oleh bangsa Arab pada waktu itu. Ia penting kerana mungkin ada dalam kalangan umat Islam ketika itu berasa berat untuk berperang dengan mereka memandangkan mereka itu ada juga beriman kepada agama samawi dan agak rapat dengan umat Islam. Ini kerana mereka juga mempunyai kitab, mereka juga beriman dengan para Nabi yang juga para Nabi umat Islam juga. Maka Allah ﷻ berikan penegasan yang mereka itu tetap mesti diperangi kerana mereka telah terpesong jauh daripada agama yang asli.

Malah mereka amat patut diperangi lebih awal kerana mereka itu sepatutnya kenal Allah ﷻ, kenal Nabi mereka dan malah kenal Nabi Muhammad ﷺ. Akan tetapi mereka tetap juga kufur dengan kebenaran. Ini jenis orang yang degil (tahu kebenaran tetapi tetap menolaknya). Maka mereka ini lebih teruk lagi daripada golongan musyrik yang tidak ada ilmu.

Mujahid mengatakan ayat-ayat ini adalah tentang Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah. Ia adalah perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ﷺ.

قٰتِلُوا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَلا بِاليَومِ الآخِرِ وَلا يُحَرِّمونَ ما حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسولُهُ وَلا يَدينونَ دينَ الحَقِّ مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ حَتّىٰ يُعطُوا الجِزيَةَ عَن يَدٍ وَهُم صٰغِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Fight those who do not believe in Allāh or in the Last Day and who do not consider unlawful what Allāh and His Messenger have made unlawful and who do not adopt the religion of truth [i.e., Islām] from those who were given the Scripture – [fight] until they give the jizyah1 willingly while they are humbled.

  • A tax required of non-Muslims exempting them from military service and entitling them to the protection of the Islāmic state. Concurrently, zakāh is not taken from them, being an obligation only upon Muslims.

(MALAY)

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.

 

قٰتِلُوا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَلا بِاليَومِ الآخِرِ

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian

Hendaklah puak Muslimin memerangi golongan yang tidak beriman. Allah ﷻ beritahu kenapa mesti diperangi mereka itu. Sebab pertama dinyatakan di dalam ayat ini; mereka tidak mengamalkan tauhid. Mereka tidak beriman sebenarnya dengan Allah ﷻ. Mereka tidak mengamalkan fahaman tauhid.

Sebab kedua, mereka tidak beriman dengan akhirat. Mereka tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kembali dan dikenakan balasan di atas apa yang mereka telah lakukan. Oleh kerana tidak percaya akhirat, maka mereka tidak takut untuk berbuat dosa di atas dunia.

 

وَلا يُحَرِّمونَ ما حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسولُهُ

dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya

Dan yang ketiga, mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Nabi. Mereka tidak kisah halal dan haram. Mereka sanggup ubah hukum asalkan mereka dapat habuan dari fatwa mereka itu.

 

وَلا يَدينونَ دينَ الحَقِّ

dan tidak beragama dengan agama yang benar 

Sebab keempat, mereka tidak menerima agama Islam. Setelah disampaikan dakwah kepada mereka, mereka masih juga menolaknya. Malah, mereka menentang ajaran Islam yang disampaikan kepada manusia. Mereka sanggup mengatakan Nabi Muhammad ﷺ bukan Rasul, atau mereka kata baginda hanya Rasul untuk bangsa Arab sahaja.

Oleh kerana mereka itu Ahli Kitab dan dipandang tinggi oleh manusia, maka keputusan mereka tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ itu telah menyebabkan manusia lain sangsi untuk menerima baginda. Ini adalah kerana mereka melihat kepada yang kenal agama pun tidak menerima baginda (iaitu Ahli Kitab), maka tentulah baginda tidak benar (pada pandangan mereka).

 

مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ

dari kalangan orang-orang yang diberikan Al-Kitab kepada mereka,

Siapakah yang perlu diperangi? Mereka adalah golongan Ahli Kitab yang disebut dalam ayat ini. Sifat-sifat mereka telah disebut dan terdapat 4 perkara yang mereka telah langgar:

1. Mereka tidak percaya kepada Allah ﷻ
2. Mereka tidak percaya kepada Hari Akhirat
3. Mereka tidak mengharamkan apa yang Allah ﷻ telah haramkan
4. Mereka tidak beragama dengan sebenarnya

Cuma, bukankah mereka sepatutnya beriman dengan Allah ﷻ dan beriman dengan Hari Akhirat? Bukankah mereka itu telah diutuskan dengan banyak Nabi dan juga kitab wahyu? Maka, kenapa Allah ﷻ kata mereka tidak beriman pula?

Ini adalah kerana mereka itu cakap beriman dengan mulut sahaja. Walhal dari segi praktikalnya mereka tidak beriman. Nanti ayat selepas ini disebut bagaimana mereka telah mengambil Nabi Uzair dan Nabi Isa عليهماالسلام sebagai anak tuhan. Maka itu menunjukkan yang mereka ini musyrik sebenarnya. Kata-kata beriman yang tidak diikuti dengan amalan tidak akan dikira langsung.

Walaupun dikatakan mereka beriman adanya Hari Akhirat, tetapi fahaman mereka tentangnya sudah lari daripada kebenaran kerana telah diubah-ubah daripada apa yang telah disampaikan oleh Nabi mereka dan wahyu. Contohnya mereka kata yang ada akhirat nanti adalah roh sahaja, tanpa fizikal.

Dari segi hukum, mereka buat tidak tahu sahaja pengharaman Allah ﷻ. Sebagai contoh, riba yang Allah ﷻ haramkan, mereka benarkan pula. Mereka ini dalam bab beragama, amat culas. Ikut sedap tekak mereka sahaja. Semoga kita tidak menjadi seperti mereka itu.

Di sini Allah ﷻ sedang membezakan antara puak Musyrikin dan Ahli Kitab. Allah ﷻ sebut Ahli Kitab secara khusus. Kenapa pula? Kerana mungkin ada para sahabat yang berasa mereka tidak perlu menyerang puak Ahli Kitab. Allah ﷻ kata tidak, mesti juga melawan mereka, kerana mereka itu pun ada masalah juga.

Ayat ini merupakan ayat pertama yang memerintahkan untuk memerangi kaum Ahli Kitab, sesudah menyelesaikan perkara yang melibatkan kaum musyrik dan sesudah manusia masuk ke dalam agama Allah ﷻ (agama Islam) secara bergelombang, serta seluruh Jazirah Arabia telah tegak di dalam kekuasaan agama Islam. Setelah itu berlaku, maka sekarang Allah ﷻ memerintahkan kepada Rasul-Nya agar memerangi kaum Ahli Kitab, iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Hal ini terjadi pada tahun sembilan Hijriah.

 

حَتّىٰ يُعطُوا الجِزيَةَ عَن يَدٍ

sampai mereka membayar jizyah dengan patuh

Ahli Kitab itu mesti diperangi (kerana kekafiran mereka) namun ada hadnya di mana mereka diwajibkan untuk membayar jizyah. Ini mereka perlu lakukan kalau mereka tidak mahu memeluk Islam. Ini kerana sekiranya mereka sudah membayar jizyah, maka tidak boleh lagi diperangi mereka itu.

Perkataan jizyah diambil daripada perkataan jaza’ (pemulangan atau balasan), dan jizyah bermaksud sebagai ganti mereka tidak dibunuh. Jizyah itu dikenakan kepada mereka kerana kekufuran mereka.

Allah ﷻ beritahu yang umat Islam mesti memerangi orang kafir itu sehingga mereka membayar jizyah dengan tangan mereka mereka ini. Mereka mesti memberi dengan tangan mereka sendiri sebagai isyarat yang mereka kena tunduk dengan kerajaan Islam. Jizyah ini hendaklah diberi sendiri, tidak boleh melalui perantaraan. Kerana itu Allah ﷻ sebut عَن يَدٍ (daripada tangan).

Jizyah ketika itu menyerupai cukai yang dikenakan kepada rakyat sesebuah negara sekarang. Mereka menjadi jajahan takluk negara Islam. Mereka tidaklah menjadi rakyat negara Islam kerana untuk menjadi rakyat negara Islam, mesti melafazkan syahadah. Maka dengan membayar jizya mereka mendapat penjagaan di dalam negara Islam dan mereka boleh mengamalkan agama mereka dengan bebas.

Oleh sebab itu, mereka tidaklah mendapat kelebihan penuh sebagai rakyat negara Islam. Sebagaimana di negara kita sekarang, untuk bukan warganegara Malaysia pergi ke hospital, bayaran yang dikenakan kepada mereka tidak sama seperti yang dikenakan kepada rakyat Malaysia sendiri.

Puak Muslimin dibenarkan untuk mengenakan undang-undang sebegini kepada orang kafir kerana mereka telah diberikan peluang untuk berfikir. Mereka telah diajak dan diberi pilihan sebelum ini. Kalau masih tidak mahu ambil peluang itu, maka mereka boleh melakukan seperti yang Allah ﷻ perintahkan dalam ayat ini. Amat jelas pilihan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka ini merupakan rahmat daripada-Nya.

Jizyah ini bukanlah perkara yang baru kerana jika mereka tidak membayarnya kepada negara Islam, mereka akan diwajibkan untuk membayar kepada negara lain. Bayaran yang dikenakan tidak banyak iaitu ditetapkan sebanyak 1 Dinar setiap orang. Atau apa sahaja amaun yang boleh ditetapkan oleh khalifah.

Kelebihan yang mereka akan dapat adalah keselamatan mereka akan dijamin oleh negara Islam. Mereka hanya menjadi warganegara sahaja dan tidak perlu mempertahankan negara mereka kerana negara Islam yang akan menjamin keselesaan dan keselamatan mereka.

Oleh kerana itu jizyah tersebut tidak akan gugur sehingga mereka memeluk agama Islam. Barulah mereka menjadi rakyat negara Islam yang sebenar dan mendapat kelayakan penuh. Jizyah juga tidak akan gugur walaupun mereka ikut berperang.

Jizyah juga tidak akan diambil melainkan daripada orang yang mampu sahaja. Allah ﷻ berfirman: “عَن يَدٍ.” Maksudnya kerana kemampuan mereka. Oleh kerana itu jizyah tidak diambil daripada orang yang tidak mampu. Ia juga bermaksud mereka bayar jizrah itu kerana mereka menerima hakikat yang mereka itu di bawah penguasaan kerajaan Islam.

Di samping itu jizyah diambil daripada kaum lelaki sahaja dan tidak wajib bagi kaum wanita, anak-anak dan juga orang gila. Walaupun wanita tersebut datang ke negara Islam dan sanggup membayar jizyah sebagai bayaran kerana ingin menetap di sana, namun jizyahnya tidak wajib diambil, dia akan diterima tinggal di negara Islam dan dia bebas untuk tinggal di mana sahaja di negara Islam.

Jumlah jizyah ditetapkan mengikut kebijaksanaan dan ijtihad Khalifah. Harus diingatkan bahawa jizyah itu hendaklah tidak melebihi kemampuan orang yang berhak membayar jizyah.

Imam Bukhari berkata, Ibn `Uyainah telah berkata daripada Ibn Abi Najih, aku bertanya kepada Mujahid:

ما شأن أھل الشام عليھم أربعة دنانير وأھل اليمن عليھم دينار ؟ قال : جعل ذلك من أجل اليسار…وألنھا عوض فلم تتقدر كاألجرة

Kenapa penduduk Sham dikenakan jizyah empat dinar, manakala penduduk Yaman pula dikenakan satu dinar? Beliau menjawab : dijadikan begitu bagi tujuan kemudahan (kepada mereka)…dan ia adalah cukai maka ia tidak ditetapkan sepertimana bayaran sewa
(HR. Bukhari 6/296)

Ketika zaman pemerintahan Sayyidina Umar رضي الله عنه pula beliau mengenakan zakat kepada Kristian Bani Taghlib, cuma zakat yang dikenakan kepada mereka adalah dua kali ganda. Sedangkan pada zaman Rasulullah ﷺ telah ada perjanjian dengan Kristian Najran untuk membayar dua ribu hullah setahun. Hullah adalah sejenis pakaian.

Apabila Jizyah dikenakan terhadap orang yang mampu, manakala dia keberatan untuk membayarnya, maka dia dianggap mempunyai hutang jizyah. Dia akan diperlakukan sebagaimana orang yang berhutang dalam keadaan yang dia keberatan. Kemudian akan dilihat bagaimana mudahnya.

 

وَهُم صٰغِرونَ

sedang mereka dalam keadaan tunduk.

Maknanya mereka membayar jizyah itu bukan secara sukarela akan tetapi kerana mengiktiraf kuasa kerajaan Islam ke atas mereka. Ia juga bermaksud mereka kena tunduk patuh kepada syariat Islam. Walaupun mereka orang kafir, tetapi mereka mesti mengikut hukum Islam. Sebagaimana orang luar yang datang ke negara kita sekarang, kenalah ikut undang-undang negara kita. Sebagai contoh, jika mereka melakukan perbuatan salah seperti mengedar dadah, mereka tetap dikenakan hukuman gantung walaupun di negara mereka tidak ada undang-undang sebegitu.

Selain itu, hendaklah jadikan mereka itu dalam keadaan hina, rendah, dan kalah. Tidak boleh membanggakan mereka, tidak boleh pula meninggikan mereka atas kaum Muslim; bahkan mereka harus dipandang terhina, kecil lagi celaka, seperti yang disebutkan di dalam berikut:

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ، قَالَ : (( لاَ تَبْدَأُوا اليَهُودَ وَلاَ النَّصَارَى بِالسَّلامِ ، فَإِذَا لَقِيتُمْ أَحَدَهُمْ فِي طَرِيْقِ فَاضْطَرُّوهُ إِلَى أَضْيَقِهِ )) رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kalian memulai salam kepada Yahudi dan Nasrani. Apabila kalian bertemu dengan salah satu daripada mereka di jalan maka desaklah ia ke jalan yang sempit.”
(HR. Muslim No. 2167)

Mereka ini adalah orang-orang kafir jenis Kafir Dzimmah. Kafir Dzimmi atau kafir zimi atau dzimmah ialah orang kafir yang diizinkan untuk tinggal di negeri kaum muslimin, dan sebagai gantinya mereka mengeluarkan jizyah yakni semacam ufti.

Ayat ini menyebut Ahli Kitab yang dimestikan untuk membayar jizyah. Kerana itulah ada yang berpendapat jizyah ini hanya diberikan pilihan itu kepada Ahli Kitab sahaja. Akan tetapi pendapat majoriti mengatakan ia boleh dikenakan juga kepada orang kafir yang lain. Cuma ia tidaklah diberikan sebagai pilihan kepada Musyrikin Mekah.

Habis Ruku’ 4 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Oktober 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment