Tafsir Surah al-An’am Ayat 6 – 8 (Kalau Allah turunkan kertas)

Ayat 6: Takhwif Duniawi.

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ مَّكَّنّٰهُم فِي الأَرضِ ما لَم نُمَكِّن لَّكُم وَأَرسَلنَا السَّماءَ عَلَيهِم مِدرارًا وَجَعَلنَا الأَنهٰرَ تَجري مِن تَحتِهِم فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم وَأَنشَأنا مِن بَعدِهِم قَرنًا ءآخَرينَ

Sahih International

Have they not seen how many generations We destroyed before them which We had established upon the earth as We have not established you? And We sent [rain from] the sky upon them in showers and made rivers flow beneath them; then We destroyed them for their sins and brought forth after them a generation of others.

Malay

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

 

أَلَمْ يَرَوْا

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan

‘Mereka’ itu adalah musyrikin Mekah. Kepada merekalah ayat-ayat ditujukan buat pertama kali. Mereka mendengar sendiri ayat itu dari mulut Nabi. Kemudian ayat ini ditujukan pula kepada mereka yang masih juga mahu melakukan syirik, tidak kira di zaman mana. Allah menegur mereka dalam ayat ini. Tidakkah mereka mahu memikirkan? Mereka tak terfikirkah? Tidakkah mereka tahu?

 

كَمْ أَهْلَكْنَا

berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan

Umat dulu yang buat syirik telah Allah binasakan. Mereka pun tahu kisah-kisah tentang kesalahan dan kemusnahan yang telah diberikan kepada umat-umat sebelum itu. Mereka sendiri ada yang melalui kawasan peninggalan Kaum Aad dan Tsamud. Dan mereka sendiri tahu tentang banjir besar yang melanda semasa zaman Nabi Nuh dulu. Kenapa mereka tidak mahu mengambil pengajaran?

Kita pun kena ambil pengajaran dari apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu. Kena tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya kita tidak menjadi seperti mereka.

 

مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ

sebelum mereka dari kurun-kurun dahulu,

Perkataan قَرْنٍ berasal dari kata ق ر ن dan boleh jadi banyak makna. Salah satunya ‘menghubungkan’. Perkataan Qur’an juga berasal dari kata dasar ini juga kerana Kitab Qur’an menghubungkan ayat-ayat Allah; Haji ‘Qiran’ adalah salah satu dari jenis Haji yang boleh dilakukan oleh jemaah Haji.

Ianya adalah apabila melakukan haji dan umrah digabungkan sekali buat pada satu masa;  ق ر ن boleh juga digunakan untuk tanduk dan kerana itulah antara maksud Dzul Qarnain adalah ‘seorang yang mempunyai dua tanduk’.

Dan ق ر ن juga bermaksud ‘masa’ – yang selalu kita gunakan dalam bahasa kita sebagai ‘kurun’. Boleh juga digunakan sebagai maksud ‘generasi’.

Dalam ayat ini, قَرْنٍ bermaksud ‘generasi’. Iaitu Allah mengatakan berapa banyak generasi-generasi terdahulu yang telah dihancurkan olehNya.

 

مَّكَّنّٰهُمْ فِي الْأَرْضِ

Yang telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Allah pernah beri kedudukan mereka kuat di dunia. Ada tamadun mereka yang kita kenal sampai sekarang. Masih ada lagi peninggalan mereka yang kita boleh lihat dan buat kajian. Mereka ada kekuasaan dan kemewahan. Kekuatan tentera mereka juga hebat. Tempat tinggal mereka mewah dan hebat-hebat.

Lihatlah Peninggalan Petra yang bangsanya memahat bukit jadi rumah. Dan banyak lagi umat lain yang hebat-hebat.

Peninggalan Petra Purba

مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ

yang tidak Kami berikan kepada kamu,

Orang Mekah tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan mereka. Orang Arab cuma duduk dalam khemah atau dalam rumah yang dibuat dari tanah liat sahaja. Rumah pun kecil-kecil sahaja. Kehidupan pun biasa sahaja.

Bukan orang Mekah sahaja yang kurang dari orang-orang terdahulu. Kita pun ada kekurangan dari mereka. Jangan kita nak bangga sangat dengan apa yang kita ada zaman sekarang pun. Bayangkan ‘7 benda keajaiban Dunia’ yang kita selalu baca itu. Kalau kita nak buat sekarang pun tidak boleh. Kita pun tidak pasti apakah teknologi yang mereka gunakan. Sebagai contoh, setelah beribu tahun, pyramid itu masih utuh dan tegak berdiri.

Allah perli kepada musyrikin Mekah yang sombong itu. Kenapa nak sombong sangat? Bukan mereka ada apa pun. Selalunya yang sombong itu adalah mereka yang hebat dan mewah. Tapi mereka tak boleh dikira sebegitu pun.

 

وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا

dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya,

Bangsa-bangsa sebelum orang Mekah tanahnya subur kerana diturunkan hujan dengan banyak. مِّدْرَارًا bermaksud ‘tidak berhenti’. Iaitu ‘banyak’ yang baik. Kerana kadang-kadang kalau banyak sangat tidak sesuai untuk kita. Boleh jadi banjir pula. Sampai nak buat kerja pun tak boleh. Maka, مِّدْرَارًا bermaksud setiap kali mereka perlukan air, ianya akan diberikan kepada mereka.

Apabila hujan turun dengan banyak, tanah mereka subur dan tanaman mereka banyak. Suasana kehidupan pun bagus, tidaklah kering kontang. Suasana pun menghijau yang indah pada pandangan mata.

Tapi bandingkan dengan orang Arab yang duduk di padang pasir sahaja. Keadaan panas sahaja. Hujan jarang sekali turun. Makanan pun terhad. Tidak boleh dibandingkan langsung dengan orang-orang dahulu yang tamadun mereka lebih hebat dari mereka.

 

وَجَعَلْنَا الْأَنْهٰرَ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمْ

dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,

Air amat penting untuk tamadun. Lihatlah tamadun-tamadun dahulu. Selalunya mereka bermula berdekatan dengan tempat yang ada air. Kerana air adalah sumber kehidupan. Memudahkan minuman dan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Sampai sekarang pun begitu juga.

Bandingkan pula dengan orang Arab yang langsung tidak ada sungai. Maknanya, mereka ini dhaif sangat kalau nak dibandingkan dengan orang-orang dahulu.

 

فَأَهْلَكْنٰهُم بِذُنُوبِهِمْ

kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka

Walaupun mereka dahulu itu kuat tamadun mereka, tapi Allah boleh musnahkan begitu sahaja. Tidak menjadi masalah kepada Allah.

Mereka dibinasakan bukan kerana kemewahan dan kemajuan mereka yang mereka nikmati, tapi kerana dosa syirik yang mereka lakukan. Dosa menolak dakwah Nabi mereka. Dosa atas kesalahan berat mereka seperti Kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual.

Tapi ma sha Allah, ada kalangan masyarakat dunia kita termasuklah orang Islam kononnya yang mengamalkan homoseksual. Allah boleh sahaja jatuhkan azab kepada kita. Semoga Allah selamatkan kita.

Dari ayat ini kita tahu yang Allah boleh beri azab disebabkan oleh dosa besar. Maka kenalah kita ingat. Kenalah kita ajak orang lain jangan buat dosa, jangan buat syirik. Sebab kalau Allah turunkan azab, dengan kita-kita sekali kena. Bayangkan kaum-kaum yang diberi azab itu, tentu ada antara mereka yang tak ikut buat kesalahan itu. Seperti kanak-kanak contohnya, tapi semua sekali diberikan azab itu.

Kemusnahan bukan sahaja dengan benda-benda yang kita boleh nampak. Kemusnahan juga boleh dalam bentuk perkara yang tak nampak – sebagai contoh, Allah boleh tarik balik nikmat yang Allah berikan kepada kita.

 

وَأَنشَأْنَا مِن بَعْدِهِمْ

dan Kami bangkitkan sesudah mereka,

Perkataan أَنشَأْ diambil dari katadasar ن ش أ yang bermaksud ‘membangkitkan dan kemudian kuatkan’. Maknanya, selepas dibangkitkan, mereka diberikan dengan segala keperluan supaya mereka kekal berdiri.

Allah boleh sahaja musnahkan seluruh kaum itu dan bangkitkan kaum yang lain. Tidak ada masalah. Kalau Allah nak musnah kita semua pada zaman sekarang pun boleh. Ikut kepada Allah, kita tidak mampu buat apa-apa. Kerana itulah kita takut kalau-kalau Allah berikan azab kepada kita disebabkan oleh banyaknya perkara syirik yang dilakukan di kalangan kita.

 

قَرْنًا ءآخَرِينَ

umat yang lain

Umat yang mengganti itu tinggal dan duduk di tempat peninggalan umat-umat dahulu. Macam peninggalan Firaun dan kaumnya selepas mereka tenggelam dalam laut, telah diambil oleh kaum lain.

Macam kita, entah-entah kita duduk di atas peninggalan kaum yang telah dihancurkan. Kita sendiri tidak tahu. Semasa mereka zaman kegemilangan, semua orang tahu dan kenal mereka, tapi apabila telah dihancurkan, tidak ada pun yang sebut mereka lagi.


 

Ayat 7: Ini adalah satu ayat yang penting. Ini adalah kesamaran pertama yang disentuh dalam surah ini. Soalan mereka itu ada dalam Isra:23.

Ianya tentang ‘risalah’ yang disampaikan kepada manusia. Antara hujah utama musyrikin Mekah adalah mereka kata nak tengok baru nak percaya. Nak tengok Qur’an turun. Selalu mereka dengar kitab boleh dibaca tapi Nabi Muhammad hanya sebut di mulut sahaja.

Mereka juga nak tengok Allah, nak tengok malaikat dan macam-macam lagi. Ini adalah tentang permintaan mereka hendak melihat Qur’an diturunkan.

وَلَو نَزَّلنا عَلَيكَ كِتٰبًا في قِرطاسٍ فَلَمَسوهُ بِأَيديهِم لَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

Sahih International

And even if We had sent down to you, [O Muhammad], a written scripture on a page and they touched it with their hands, the disbelievers would say, “This is not but obvious magic.”

Malay

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

 

وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتٰبًا

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab

Perkataan كِتَابًا bermaksud sesuatu yang ‘bertulis’. Seperti yang kita tahu, Qur’an tidak diturunkan siap bertulis. Ianya disampaikan kepada Nabi Muhammad terus melalui perantaraan Jibrail. Nabi kemudiannya akan menyampaikannya kepada sahabat. Ada kalangan sahabat yang dilantik sebagai penulis wahyu, maka mereka akan menulis ayat-ayat yang baru turun itu.

Jadi, orang-orang Arab yang tidak mahu menerima Qur’an sebagai ayat-ayat dari Allah telah datang dengan satu lagi permintaan mengarut mereka – mereka nak lihat Qur’an itu siap bertulis. Kononnya, baru mereka nak percaya.

 

فِي قِرْطَاسٍ

dalam bentuk kertas,

Seperti yang kita tahu, Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa siap bertulis. Tidak dapat dipastikan bagaimana rupa tulisan asal Kitab Taurat itu dan di atas apakah ianya ditulis, entah kertas, entah batu, Allahu a’lam.

Musyrikin Mekah minta kitab Qur’an yang siap tertulis di atas kertas. قِرْطَاسٍ bermaksud kertas yang macam kertas yang telah ada di Mesir. Kita pun pernah lihat kertas papyrus itu. Ada juga kertas sebegitu sampai ke Tanah Arab. Tapi ianya dianggap satu benda yang amat asing kepada mereka.

Kertas Papyrus dari Mesir

فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ

lalu mereka dapat memegangnya dengan tangan mereka,

Kalimah لمس bermaksud boleh dipegang, dirasa dengan tangan dan kata بِأَيْدِيهِمْ bermaksud mereka bukan setakat nak sentuh sahaja tapi mereka nak belek.

Kita pun sudah tahu yang masyarakat Arab kebanyakannya tidak boleh membaca. Tapi masih lagi mereka meminta kitab yang siap bertulis. Bukan mereka boleh manfaatkan pun kalau Qur’an diturunkan siap bertulis sebab mereka memang bangsa yang tak boleh membaca. Itulah kebodohan mereka – minta sesuatu yang tidak berguna untuk mereka.

Tapi, mereka nak puaskan hati mereka dengan mengatakan yang Nabi Muhammad reka sendiri Qur’an itu. Maka itulah sebabnya mereka nak pegang dan belek kitab itu dengan tangan.

Tidaklah salah kalau kita nak pastikan kebenaran sesuatu perkara itu. Memang kalau kita dapat pegang dan lihat sendiri sesuatu benda itu, kita akan percaya sepenuhnya. Macam kalau kita dah pergi ke Mekah dan lihat sendiri Kaabah, boleh sentuh Kaabah, kita akan bertambah percaya.

Tapi puak-puak Musyrikin Mekah ini memang hati mereka telah tertolak, maka walaupun kalau mereka dapat pegang sendiri Kitab Qur’an yang diturunkan dari langit, mereka takkan percaya. Allah dah tahu dah hati-hati mereka, oleh itu, Allah bongkarkan apa yang ada dalam hati mereka dalam bahagian yang seterusnya.

 

لَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

nescaya orang-orang yang kafir itu berkata:

Allah nak beritahu, walaupun kalau diberikan mereka dengan kitab yang siap bertulis diturunkan dari langit dan mereka boleh pegang dan mereka boleh belek, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka akan beri alasan lain pula.

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

Mereka akan kata Nabi ahli sihir pula dan Qur’an yang siap bertulis itu adalah dari perbuatan sihir sahaja.

Perkataan سِحْرٌ asalnya bermaksud ‘sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata’. Yang disorok dari pandangan mata. Begitu jugalah kita guna perkataan ‘sahur’ yang bermaksud waktu gelap malam yang paling gelap sampai tak nampak apa-apa dengan mata kasar.

Secara teknikalnya, سِحْرٌ adalah apabila ahli sihir menggunakan berbagai cara untuk menipu penontonnya – mengelabui mata penonton, sampai mereka nampak benda yang lain.

Sihir memang boleh memberi kesan kepada manusia. Ada manusia yang disihir sampai mereka akan rasa sakit. Kalau periksa dengan doktor, doktor pun tak tahu kenapa dia boleh jatuh sakit begitu. Orang itu memang sakit, tapi penyebabnya ‘tak nampak’ – disorok dari mata. Kalau tengok bawah mikroskop pun tak nampak.

Begitu juga, boleh jadi satu pasangan suami isteri yang tiba-tiba tidak suka satu sama lain. Tengok pun dah menyampah. Ini adalah salah satu sihir yang diamalkan oleh manusia – untuk memisahkan antara suami dan isteri.

Sihir menggunakan jin untuk menjadikannya. Dan jin pula bukankah ‘tidak boleh dilihat’?

Jadi kenapa mereka akan kata kitab itu satu sihir? Kerana hati mereka memang tidak mahu percaya. Bila mereka tak dapat jelaskan, maka mereka akan kata ianya adalah sihir. Maka, Allah nak kata buang masa sahaja untuk melayan permintaan mereka itu. Mereka takkan percaya. Allah telah beritahu Nabi awal-awal lagi. Mereka minta kitab bertulis itu bukannya mereka nak ikut tapi nak bagi alasan sahaja.


 

Ayat 8: Ini pula adalah permintaan mereka yang lain. Jadi ini adalah tentang kesamaran kedua musyrikin Mekah.

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ

Sahih International

And they say, “Why was there not sent down to him an angel?” But if We had sent down an angel, the matter would have been decided; then they would not be reprieved.

Malay

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

 

وَقَالُوا

Dan mereka berkata:

‘Mereka’ dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Ada sahaja permintaan dan hujah mereka kepada Nabi Muhammad dan orang Islam. Apa pula hujah mereka kali ini?

 

لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ

“Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? “

Mereka kata: Kalau betul Nabi Muhammad itu seorang Rasul, Allah dah lantik baginda sebagai Rasul, kenapa tidak ada malaikat iring baginda? Kalau ada malaikat, adalah yang bantu Nabi Muhammad. Tentulah malaikat itu akan memberitahu apa yang Nabi Muhammad cakap itu benar.

Dan malaikat itu juga akan beri amaran kepada orang yang tak mahu beriman itu. Senanglah mereka nak beriman; itulah antara hujah mereka. Mereka nak malaikat pula diturunkan dan mereka boleh nampak malaikat itu dengan jelas dengan mata mereka sendiri.

 

وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًا

padahal, kalau Kami turunkan malaikat,

Allah boleh sahaja turunkan sekali malaikat untuk bersama Nabi, tapi Allah tak buat begitu. Tapi katakanlah Allah buat begitu, apa yang akan jadi?

 

لَّقُضِيَ الْأَمْرُ

nescaya mereka akan diberikan keputusan.

Ada beberapa fahaman untuk ayat ini:

1. Kalau Allah turunkan sekali malaikat, maka tentulah mereka akan percaya. Sebab dah ada malaikat depan mata. Tapi, tidaklah ada ujian lagi. Kerana ujian adalah untuk percaya kepada benda yang ghaib. Yang kita tak nampak, tapi kita percaya – itulah iman. Kalau mereka dah nampak dengan mata kepala sendiri, maka tidaklah ada ujian lagi dah. Ini adalah pendapat pertama potongan ayat ini.

2. Pendapat kedua adalah mereka akan diberikan azab kalau malaikat turun sekali. Iaitu mereka akan dimatikan dengan azab macam kaum Aad dan Tsamud. Sebab malaikat datang untuk memusnahkan, bukan untuk lawat suka-suka. Malaikat ada tujuan mereka diturunkan, bukan senang-senang sahaja nak turun.

Itulah sebabnya sesat golongan silat dan mereka yang ikut-ikut mereka yang berdoa: “Jibrail di hadapan ku, Mikhail di belakang ku…..” dengan kepercayaan bodoh mereka yang malaikat-malaikat itu akan beri keselamatan kepada mereka. Ma sha Allah! Siapalah agaknya yang mula bawa masuk ajaran sesat ini dalam negara kita ini? Kenapalah jahil sangat masyarakat kita sampai boleh percaya dengan ajaran sesat sebegini?

3. Kalau malaikat turun pun, mereka takkan percaya. Kerana keras sangat hati mereka. Mungkin mereka akan beri alasan lain pula. Dan apabila mereka tidak percaya, mereka akan diberikan azab. Mereka akan dimusnahkan terus. Maka, ‘selesailah’ hidup mereka, iaitu mereka akan dimusnahkan.

4. Kalau mereka nampak malaikat, mereka akan mati terus kerana mereka akan terkejut tengok malaikat itu.

 

ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ

kemudian mereka tidak diberi tangguh

Meraka dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut. Tidak ada masa lagi nak bertaubat, nak minta maaf, nak buat amal, tidak sempat buat apa-apa langsung. Bila malaikat turun, tentunya mereka akan mati terus kerana malaikat telah diberi arahan untuk azab golongan degil. Tak sempat nak buat apa-apa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s