Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 2] (Jenis-jenis Hidayah)

Kita juga memerlukan petunjuk dari Allah untuk masa depan. Semoga Allah terus beri petunjuk kepada kita untuk melakukan yang terbaik di masa-masa hadapan. Dan semoga Allah menetapkan kita dalam iman dan mematikan kita dalam iman. Ini amat penting untuk kita harapkan.

Jangan sangka kita tidak perlukan kerana sangka kita sudah Muslim dan sudah beriman. Jangan kita rasa selesa dengan apa yang kita ada sekarang. Kerana iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ada orang yang mula beriman, tapi akhirnya mati dalam kekufuran – nauzubillahi min zaalik.

Kita kena rendahkan diri kita dengan mengharap betul-betul hidayah dari Allah. Kita kena sedar yang banyak lagi yang kita perlukan. Kita perlukan hidayah bukan setakat dunia sahaja tapi sampai membawa ke syurga. Kerana amalan di hujung hidup kitalah yang akan dikira.

Kita takut sepanjang hidup kita, kita beramal dengan amalan yang baik tapi di hujung hayat kita (dekat-dekat nak mati), kita buat amalan ahli neraka pula. Maka kita kena berhati-hati. Kerana Allah boleh sahaja mengubah hati kita. Maka kita kena berharap dan berdoa yang Allah menetapkan kita atas iman.

Hidayah yang kita harapkan adalah hidayah dari Allah, kerana itulah hidayah dan petunjuk yang sebenarnya. Kerana itu kita kena selalu minta kepadaNya.

Kalau kita lihat kepada terjemahan biasa, kita boleh nampak bagaimana terjemahan itu tidak berapa tepat. Ada berbagai-bagai terjemahan yang digunakan. Ini adalah kerana ada memang agak susah untuk menterjemahkan Al-Qur’an. Kerana itu ada banyak terjemahan dalam dunia ini. Dan dalam terjemahan itu, yang ditulis: kita hanya meminta Allah menunjukkan kita jalan yang lurus sahaja. Kita tidak mahu hanya itu sahaja.

Kita hendak mahu banyak lagi sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Kita bukan sahaja mahu Allah ‘tunjukkan’ sahaja hidayah itu, malah lebih lagi yang kita harapkan. Jadi, kalau kita hanya baca terjemahan sahaja tanpa belajar tafsir yang lebih lagi memberi pemahaman, kita tidak faham lebih lagi maksud Al-Qur’an itu. Atau, pemahaman kita terhad sahaja kepada satu terjemahan. Oleh itu, kita kena belajar lebih lagi.

Sebab itulah kita selalu memperkatakan tentang kepentingan belajar tafsir. Kerana maksud sesuatu ayat itu tidak dapat dijelaskan hanya dengan membaca terjemahan sahaja. Kalau kita mementingkan agama kita, maka kita akan meluangkan masa untuk belajar lagi dan lagi kerana kita hendak sangat memahami agama kita yang indah ini. Memang tidak akan habis kita belajar tafsir ini. Semakin kita belajar, semakin banyak Allah buka lagi ilmuNya kepada kita.

Jadi, ayat ini adalah satu doa. Dan apabila kita berdoa, kita kena tahu apa yang kita bacakan. Itulah cara berdoa yang betul. Jangan kita baca sahaja, tanpa kita mengetahui apa yang kita minta. Kalau kita baca sahaja tanpa mengetahui apa yang kita bacakan, ada kemungkinan Allah tidak makbulkan doa kita.

Dalam masa yang sama, kita baca doa itu dengan mengharap sangat kepada Allah. Jangan kita baca sambil lewa sahaja. Seolah-olah kita kata: – kalau nak bagi, bagilah; kalau tidak mahu bagi, tidak mengapa.

Jangan begitu. Itu kalau kita minta dengan manusia, bolehlah kalau ada perasaan begitu. Tapi bila kita kita berdoa kepada Allah, kita kena betul-betul tanam dalam hati kita keinginan kepada hidayah dan taufik itu. Kerana kita sekarang meminta kepada Allah yang ‘mampu’ beri apa yang kita hendak, dan ‘mahu’ beri apa yang kita minta.

Kalau kita lihat, bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk jamak – اهدِنَا  – pimpinlah ‘kami’ – padahal, kita baca berseorangan sahaja, bukan? Kenapa begitu pula?

Kita baca doa ini dalam bentuk jamak, kerana mengharapkan kalau doa kita tidak dimakbulkan, harapnya ada sesiapa yang dimakbulkan doanya dan kita pun termasuk sekali dengan mereka. Sebab itu, seeloknya kita solat berjemaah. Kerana dalam ramai-ramai yang berjemaah itu, mungkin ada orang yang doanya dimakbulkan waktu itu.

Dalam doa juga, kita jangan mengharap Allah makbulkan doa kita tanpa kita melakukan usaha. Salah satu cara memakbulkan doa adalah dengan melakukan perkara yang patut dilakukan untuk mendapatkan sesuatu. Inilah yang dinamakan ‘asbab’. Kalau kita mahukan sesuatu, tentulah kita tidak hanya doa sahaja tanpa melakukan apa-apa. Sebagai contoh, kita minta Allah memberi kerja untuk kita.

Tentulah kita kena berusaha untuk mencari kerja, bukan hanya duduk duduk di rumah sahaja dan tunggu panggilan kerja datang. Itu adalah cara yang salah, malah amat bodoh sekali. Kalau nak lulus peperiksaan, kenalah belajar, bukan hanya berdoa sahaja. Sama juga apabila kita bertaubat kepada Allah, ada cara yang perlu dilakukan. Kalau kita benar ikhlas, kita kena lakukan asbab (penyebab) untuk mendapatkan sesuatu.

Maka, apakah asbab yang boleh kita lakukan? Apabila kita minta ditunjukkan jalan yang lurus, dari manakah kita boleh dapatkan? Tentulah dari Al-Qur’an dan Sunnah. Allah sudah berikan pun Al-Qur’an itu kepada dan kita semua tahu yang itu adalah sumber hidayah. Adakah kita hanya tahu sahaja tapi kita tidak belajar memahami maksud Al-Qur’an itu untuk dapatkan hidayah itu? Kalau kita tak rujuk Al-Qur’an, adakah itu menunjukkan ikhlas kita dalam mendapatkan hidayah itu?

Kita sudah beritahu sebelum ini bahawa kita kena buat asbab kalau hendak mendapatkan sesuatu, bukan? Maka, hendaklah kita belajar apakah wahyu yang Allah telah sampaikan kepada kita ini. Dan inilah sebabnya kita selalu tekankan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Dan ini memerlukan usaha yang tinggi kerana ianya mengambil masa yang lama dan penelitian yang tinggi. Bukan senang-senang sahaja boleh dapat.

Selepas Surah Al-Fatihah, terus masuk Surah Al-Baqarah dan ayat-ayat awal dari Surah Al-Baqarah itu memberitahu kita yang Al-Qur’an itu adalah hidayah kepada orang mukmin. Dalam Surah Al-Fatihah, kita minta hidayah, dan tidak lama selepas itu, Allah terus beritahu kita jawapannya – hidayah itu ada dalam Al-Qur’an.

Apakah kita orang yang tidak faham sampaikan setelah diberitahu perkara itu, kita buat tak tahu sahaja? Malangnya ramai yang buat tak tahu sahaja dengan wahyu Allah dan tidak mahu meluangkan masa untuk memahami wahyuNya itu? Allah sudah beri, tapi kita tak belajar pula. Padahal kita sudah minta hidayah setiap hari pun. Maka, mahu tidak mahu kita kena belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan setakat baca sahaja, tapi kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Yang kedua, kita minta Allah masukkan hidayah dalam hati kita. Dalam Al-Qur’an, Allah telah beritahu tentang mereka yang diberi hidayah. Maka, kita kena ikut apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi orang-orang yang mendapat hidayah itu. Kalau kita tidak buat, itu menandakan kita sombong sahaja – mahu hidayah, tapi tak mahu jadi seperti mereka yang mendapat hidayah. Apakah yang dilakukan oleh mereka yang mendapat hidayah itu?

Yang pertama, taubat kepada Allah. Iaitu kembali rujuk kepada Allah. Taubat itu ada banyak makna. Salah satunya adalah berubah dari jalan yang salah dan kembali rujuk kepada Allah. Tinggalkan kehidupan yang salah.

Keduanya, apabila kita mahu hidayah, kita kena terima apakah hidayah itu. Janganlah apabila sudah tahu, tapi tidak mahu ikut pula. Kita mahu ikut cara mereka yang diberi hidayah. Macam kalau kita tawakal kepada Allah, kita kena terima apa yang Allah telah tetapkan keputusanNya untuk kita. Sama juga, kalau kita minta hidayah kepada Allah, dan kalau Allah telah beri hidayah itu, kenalah kita terima. Tak bolehlah nak pilih-pilih.

Tak bolehlah nak hidayah, tapi bila Allah suruh tinggalkan arak, kita tak mahu ikut. Amatlah kurang ajar kalau kita minta sesuatu, dan apabila diberitahu kepada kita apa yang perlu dilakukan, kita tak terima dan tak mahu buat pula. Bukankah kita minta hidayah yang penuh, bukan? Takkan apabila diberi hidayah dan apa yang perlu diikuti, kita nak pilih-pilih pula.

Begitulah masalah yang banyak dihadapi oleh mereka yang belajar. Mereka sudah tahu kebenaran, apa yang perlu buat dan sebagainya, tapi mereka rasa ia amat berat bagi mereka, maka mereka tak buat. Mereka takut kena sisih oleh masyarakat, takut kena pulau, kalau dipandang pelik.

Ketiga, kepentingan ilmu. Untuk dapat hidayah, kita kena tahu apakah yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Ilmu yang benar akan memberi kesan kepada mereka yang mendapatinya. Hati mereka akan berubah. Mereka yang sebenar-benar tahu (yang sudah ada ilmu) akan takut kepada Allah.

Mereka juga akan mengamalkan ilmu itu kalau mereka ikhlas. Bukan setakat tahu sahaja. Mungkin ilmu mereka tidak banyak lagi, tapi ilmu yang mereka ada itu sudah cukup untuk mereka amalkan. Amalkan setakat yang sudah tahu. Mereka yang ada ilmu sudah mula tahu mana yang salah dan benar. Yang penting, ilmu itu menyentuh hatinya.

Untuk mendapatkan ilmu, tentu memerlukan usaha. Kalau benar-benar mahukan ilmu, kena ada usaha yang banyak. Bukan goyang kaki sahaja. Bukan dengan cari ‘ilmu ladunni’ macam orang tarekat itu cari. Seperti juga kita hendak mendapatkan maklumat, kita kena luangkan masa dan buat kerja sikit, walaupun cari maklumat dalam internet. Termasuk kita akan bertanya orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat, bukan?

Begitulah juga kalau hendak mendapatkan ilmu agama. Malangnya, kebanyakan manusia dalam hal lain, sanggup luangkan masa dalam hal lain, tapi dalam ilmu agama, tak mahu pula. Mereka hanya pakai apa yang mereka belajar dari sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja dan tidak ada usaha untuk menambah ilmu agama mereka selepas habis belajar. Sedangkan, dalam hal keduniaan, mereka sanggup belajar sampai universiti, dapat ijazah dan sampai dapat PHD, kemudian buat kajian lagi. Padahal, itu hanya untuk kepentingan dan kesenangan di dunia sahaja.

Seterusnya, untuk mendapat hidayah, kena tingkatkan iman kita. Semua orang ada iman tapi semakin banyak iman kita, semakin kita mendapat hidayah. Semakin kita percaya dengan apa yang disampaikan oleh Allah, semakin kita akan mendapat hidayah. Kalau tidak mahu percaya, walaupun hidayah itu ada di depan kita, kita tak mahu terima. Oleh itu, kena cari jalan untuk meningkatkan iman. Salah satunya, meningkatkan pemahaman kita tentang Allah.

Semakin kita kenal Allah, semakin kita takut dengan Allah, semakin kita berharap dengan Allah dan hasilnya akan meningkatnya iman kita. Apabila iman kita meningkat, kita akan lebih mendapat hidayah. Seperti yang Allah firman dalam Taghabun:11

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ

dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya

Doa juga adalah salah satu dari asbab untuk mendapatkan hidayah. Salah satunya termasuklah doa dalam Surah Al-Fatihah ini. Tapi jangan setakat doa dari Al-Fatihah ini sahaja. Kita kena buat lebih lagi. Bukankah ianya sangat penting? Kalau ia penting, tentu kita akan berusaha untuk mendapatkannya dan melakukan segala-galanya.

Sebagai contoh, kita boleh berdoa untuk mendapat hidayah dengan berdoa dalam doa witir. Tambahan pula itu adalah waktu yang sesuai untuk berdoa – sepertiga malam.

Lagi satu asbab adalah dengan mengikuti ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kita kena betulkan pandangan kita terhadap ajaran agama Islam. Sekarang kita kena nilai balik bagaimanakah adab kita kepada Al-Qur’an dan Sunnah? Boleh dikatakan majoriti kita tahu yang Al-Qur’an dan hadis itu sumber hidayah, tapi berapa ramai yang buat tak tahu sahaja dengan keduanya?

Termasuklah mereka yang dalam kalangan ‘ ahli agama’ pun, termasuk ustaz-ustaz yang mengajar masyarakat. Mereka tak belajar pun apa yang Al-Qur’an dan Hadis Nabi sebut tentang sesuatu perkara. Yang mereka pakai adalah kata-kata manusia (ustaz dan guru mereka).

Dan ada juga yang menerima Al-Qur’an tapi tidak menerima Hadis. Kerana mereka kata ada masalah dengan hadis. Ada yang kata hadis tidak boleh dipercayai kerana perawi-perawi hadis itu takkan tidak melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadis kerana mereka hanya mendengar dari orang lain.

Oleh itu, ada golongan seperti golongan Anti-Hadis yang menolak hadis, padahal Allah telah perintah kita untuk menerima Rasul juga. Itulah jalan kepada hidayah. Mereka menolak kerana salah faham dan salah belajar.

Macam mana lagi kita boleh menerima agama kalau bukan melalui Nabi Muhammad yang menyampaikannya kepada kita? Bukankah tugas Rasul itu adalah untuk menyampaikan kebenaran? Adakah kita ada pilihan selain dari mengikutinya? Kalau kita tidak ikut, bermakna kita telah derhaka kepada Allah juga.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan adalah mujahadah. Iaitu berusaha lebih untuk mendapat hidayah dan kerana Allah. Apabila kita buat begitu, Allah akan balas dengan beri lebih hidayah lagi. Manusia memang ada kelebihan untuk melakukan usaha yang lebih.

Kalau perkara dunia, manusia sanggup untuk buat macam-macam perkara. Lihatlah kepada ahli sukan yang sanggup berlatih sampai 12 jam sehari. Begitu juga dengan mereka yang hendak melepasi peperiksaan, mereka akan mengulangkaji bersungguh-sungguh sampai bersengkang mata. Kita sebagai Muslim kena lakukan lebih lagi dari mereka untuk mendapat hidayah.

Agama Islam tidaklah ekstrim, maka tidaklah sampai mujahadah itu membahayakan diri kita. Cuma kena usaha lebih sikit. Kena ada usaha kerana ianya tidak datang dengan mudah. Kena lawan sifat malas yang ada dengan kita. Kerana hidayah yang kita kehendaki itu amatlah berharga. Usaha inilah yang dinamakan ‘jihad’ melawan nafsu. Kita kena isytihar jihad dengan nafsu kita. Ramai yang gagal kerana kalah dengan nafsu mereka.

Seterusnya, kita kena jihad melawan syaitan. Syaitan akan berusaha untuk membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang salah. Kita kena lawan mereka kerana Allah. Allah menilai kita dengan usaha yang kita lakukan. Dengan berusaha sahaja, sudah mendapat pahala.

Selepas kita dapat hidayah dan ilmu itu, hendaklah kita menyampaikannya pula kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja. Dan ini tidaklah senang, kerana ramai akan menentang. Akan sampai kepada satu tahap, orang akan melawan dan menuduh kita macam-macam, tapi kita kena terus menyampaikan walau bagaimana mereka menentang kita.

Inilah yang telah dihadapi oleh Nabi, para sahabat dan golongan-golongan salaf. Mereka tidak berhenti dari menyampaikan dakwah, sampaikan dari merekalah kita menerima agama yang murni ini. Kalau mereka tidak sampaikan, entah apalah jadi kepada kita, bukan? Maka tidakkah kita mahu berikan perkara yang sama kepada orang lain?

Bukan sahaja kita mujahadah dengan nafsu dan syaitan sahaja, tapi kita kena melawan mereka yang mengajak kepada kederhakaan. Ramai manusia yang tidak mendapat hidayah yang mengajak kita juga ke arah kesesatan. Kita jangan terpengaruh dengan mereka, sebaliknya kita kena tetap dalam pendirian kita. Dalam perkara yang berkaitan juga, kita kenalah berkawan dengan orang yang baik dan meninggalkan mereka yang tidak baik.

Kawan-kawan yang rapat dengan kita akan memberi kesan kepada kita. Perumpamaan yang Nabi berikan adalah perbezaan berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi dan orang yang berkawan dengan tukang besi akan berbau busuk.

Orang yang mendapat hidayah akan membantu kita dalam proses untuk mendapat hidayah. Maka, berhati-hati dengan siapa yang kita luangkan masa. Ramai yang gagal dalam kehidupan mereka dunia dan akhirat kerana mereka salah memilih kawan.

Maka, secara ringkasnya, bukan kita minta sahaja hidayah itu, tapi kita kena ada usaha. Ianya adalah satu perkara yang amat bernilai, maka kenalah ada usaha.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 2] (Jenis-jenis Hidayah)”

  1. Assalamualaikum tuan, boleh ke saya dapatkan no telefon tuan atau saya berikan no saya (0162131237)

    Senang saya nak bertanyakan sesuatu ttg amalan dan hukum-hukum.

    Saya berminat dengan blog tuan.

    Terima kasih atas ilmu tuan dan moga Allah memberkatinya.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s