Ayat 56:
وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكوٰةَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And establish prayer and give zakāh and obey the Messenger – that you may receive mercy.
(MELAYU)
Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.
وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَآتُوا الزَّكاةَ
Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat,
Selepas Allah ﷻ memberitahu tentang ayat kejayaan yang akan dialami oleh umat Islam, maka apakah yang mereka perlu lakukan?
Allah ﷻ beritahu kepada mereka yang mereka mestilah menegakkan agama Islam dengan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maksudnya, hendaklah taat kepada Allah ﷻ dengan melakukan ibadah kepada-Nya sahaja.
Disebut solat dan zakat sebagai wakil kepada ibadah-ibadah yang lain. Bukanlah hanya dua itu sahaja yang wajib dilakukan, kerana ada banyak lagi. Namun begitu tidaklah Allah ﷻ sebut satu persatu. Solat dan zakat itu adalah wakil kepada ibadah-ibadah yang lain.
Solat – wakil ibadah hubungan hamba dengan Allah ﷻ
Zakat – wakil ibadah hubungan hamba dengan hamba yang lain
وَأَطيعُوا الرَّسولَ
dan taatlah kepada rasul,
Dan kemudian hendaklah terus taat kepada Rasul ﷺ. Apa yang baginda sampaikan, kenalah diikuti. Maka mestilah belajar Sunnah dari hadith yang sahih. Jangan jadi golongan anti-hadith yang menolak Sunnah dari Rasulullah ﷺ.
Jangan juga jadi golongan yang jahil, tidak tahu tentang hadith dan tidak tahu untuk amalkan agama bagaimana. Kerana ramai yang kononnya pakai hadith, tetapi cara mereka istinbat hukum dari hadith itu adalah dengan cara yang salah.
لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
supaya kamu diberi rahmat.
Ketaatan yang kamu tunjukkan kepada Rasulullah ﷺ itu akan dibalas dengan rahmat dari Allah ﷻ. Ini adalah balasan yang amat didambakan oleh kita. Jadi cara untuk mendapatkannya adalah dengan taat kepada Allah ﷻ dan taat kepada Rasul-Nya.
Ayat 57: Takhwif Ukhrawi. Kalau tidak taat, apa akan jadi?
لا تَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا مُعجِزينَ فِي الأَرضِ ۚ وَمَأوىٰهُمُ النّارُ ۖ وَلَبِئسَ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Never think that the disbelievers are causing failure [to Allāh] upon the earth. Their refuge will be the Fire – and how wretched the destination.
(MELAYU)
Janganlah kamu kira bahawa orang-orang yang kafir itu dapat melemahkan (Allah dari mengazab mereka) di bumi ini, sedang tempat tinggal mereka (di akhirat) adalah neraka. Dan sungguh amat jeleklah tempat kembali itu.
لا تَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا مُعجِزينَ فِي الأَرضِ
Janganlah kamu kira bahawa orang-orang yang kafir itu dapat melemahkan (Allah dari mengazab mereka) di bumi ini,
Jangan kamu sekali-kali sangka dan rasa yang orang-orang kafir itu akan berkuasa di muka bumi ini. Mereka tidak akan berjaya di dunia ini. Umat Islam masih boleh mengalahkan mereka.
Tetapi dengan syarat kita umat Islam kenalah mengamalkan agama dengan benar. Kena berpegang benar-benar dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau dengan keadaan seperti sekarang, memang tidak ada harapan untuk kita mendapat janji Allah ﷻ untuk memberikan kekuasaan kepada umat Islam.
Ini kerana tidak dapat dinafikan yang umat Islam sekarang ini amat jauh dari Al-Qur’an, jauh dari agama dan Sunnah Nabi ﷺ. Kalau beginilah keadaannya, maka tidak adalah bantuan dari Allah ﷻ.
وَمَأوىٰهُمُ النّارُ
sedang tempat tinggal mereka (di akhirat) adalah neraka.
Orang yang kufur tidak akan berkuasa di atas muka bumi dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya. Kalau pun mereka hidup senang dan berkuasa di dunia, mereka tidak akan selamat di akhirat.
وَلَبِئسَ المَصيرُ
Dan sungguh amat jeleklah tempat kembali itu.
Jadi tidak berbaloi kekuasaan mereka di dunia ini, kerana dunia ini sekejap sahaja. Yang kita pentingkan adalah kehidupan di akhirat kelak. Apa guna kalau hidup senang di dunia tetapi hidup susah di akhirat? Neraka itu bukanlah tempat rehat tetapi tempat yang berterusan dikenakan dengan azab.
Habis Ruku’ 7 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.
Ayat 58: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian kedua surah ini. Ayat 58 dan 59 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia berkenaan Hukum di kamar tidur.
Sekarang diberitahu tentang undang-undang sosial pula. Sebelum ini dalam bahagian pertama, telah pernah disebut tentang orang dari luar yang hendak minta izin masuk ke dalam rumah dan sekarang disebut undang-undang bagaimana pula orang yang memang sudah ada di dalam rumah. Iaitu dengan ahli keluarga sendiri.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِيَستَأذِنكُمُ الَّذينَ مَلَكَت أَيمٰنُكُم وَالَّذينَ لَم يَبلُغُوا الحُلُمَ مِنكُم ثَلٰثَ مَرّٰتٍ ۚ مِّن قَبلِ صَلَوٰةِ الفَجرِ وَحينَ تَضَعونَ ثِيابَكُم مِّنَ الظَّهيرَةِ وَمِن بَعدِ صَلَوٰةِ العِشاءِ ۚ ثَلٰثُ عَورٰتٍ لَّكُم ۚ لَيسَ عَلَيكُم وَلا عَلَيهِم جُناحٌ بَعدَهُنَّ ۚ طَوّٰفونَ عَلَيكُم بَعضُكُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الآيٰتِ ۗ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, let those whom your right hands possess and those who have not [yet] reached puberty among you ask permission of you [before entering] at three times: before the dawn prayer and when you put aside your clothing [for rest] at noon and after the night prayer. [These are] three times of privacy¹ for you. There is no blame upon you nor upon them beyond these [periods], for they continually circulate among you – some of you, among others. Thus does Allāh make clear to you the verses [i.e., His ordinances]; and Allāh is Knowing and Wise.
- Literally, “exposure” or “being uncovered.”
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka di sekeliling kamu, sebahagian kamu ke atas sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Orang-orang yang beriman hendaklah mengetahui tentang undang-undang ini. Allah ﷻ memberikan undang-undang ini adalah untuk kebaikan kita semua. Ia adalah supaya kita dapat menjaga kesucian hidup kita.
Malangnya ramai yang mengaku beriman, tetapi tidak tahu pun hukum ini. Ini kerana ramai yang tidak belajar dan mengendahkan ajaran dari Al-Qur’an. Ramai yang baca Al-Qur’an hari-hari tetapi tidak tahu pun bagaimana cara untuk mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an ini.
لِيَستَأذِنكُمُ الَّذينَ مَلَكَت أَيمٰنُكُم
hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki meminta izin kepada kamu
Hukum ini penting ketika masyarakat masih lagi mengamalkan sistem perhambaan. Sekarang memang tidak ada, tetapi ingatlah yang sistem hamba ini tidak pernah dimansuhkan. Maka, ada kemungkinan juga di masa hadapan, sistem perhambaan ini dimulakan semula. Itu pun kalau orang kafir mengamalkan sistem hamba. Maka hukum ini jangan dibiarkan begitu sahaja, tetap hendaklah diajar kepada manusia.
Hamba sahaya ini tinggal dengan tuannya di dalam rumah kerana mereka memang bekerja di dalam rumah pun. Maka haruslah ada etika dalam rumah itu. Hukum ini termasuk sama ada hamba itu dari kalangan lelaki atau perempuan. Sama ada hamba itu budak kecil atau telah dewasa, sama sahaja.
Tidak boleh masuk dengan semberono sahaja ke sana sini. Mereka tidak boleh terus masuk ke dalam bilik tuannya melainkan setelah meminta izin pada waktu-waktu tertentu yang akan disebut nanti. Kerana kalau mereka terus masuk, entah apa yang mereka akan nampak nanti.
Takut-takut mereka terpikat kepada tuan dan puan pula dan ini amatlah bahaya. Jangan lupa yang surah ini menyebut tentang zina dan cara bagaimana mengelak zina itu dari terjadi. Selalunya zina itu bermula dengan mata setelah melihat sesuatu yang tidak patut. Maka pandangan mata haruslah dijaga. Dan untuk menjaga mata dari terlihat sesuatu yang tidak patut, kenalah ada sistem di dalam rumah.
Kalau zaman sekarang tidak ada hamba, maka bolehlah diberitahu kepada pembantu rumah. Mereka pun tidak boleh masuk sesuka hati ke dalam bilik majikan mereka.
وَالَّذينَ لَم يَبلُغُوا الحُلُمَ مِنكُم
dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu,
Begitu juga dengan anak-anak tuan rumah. Iaitu mereka yang belum ‘mimpi basah’ lagi bagi kanak-kanak lelaki. Ini adalah kerana kalimah الحُلُمَ dari ح ل م yang bermaksud ‘mimpi’. Kerana itu kalimah ihtilam bermaksud ‘mimpi basah’. Maksud mimpi basah pula adalah mimpi mengadakan hubungan seks. Ini adalah tanda yang budak lelaki itu sudah baligh.
Bagi anak perempuan, mereka akan baligh apabila mereka telah datang haidh. Maksudnya waktu itu mereka telah ada perasaan terhadap seks.
Walaupun mereka itu keluarga sendiri, tetapi pada waktu tertentu, tidak boleh terus masuk ke bilik ibubapa mereka. Maka kenalah diajarkan kepada mereka kerana mereka kecil lagi. Mereka perlu diajar dengan disiplin di dalam rumah. Walaupun mereka kecil lagi, tetapi mereka jangan didedahkan dengan aurat ibubapa. Kerana kalau mereka biasa nampak, akan ada masalah pada mereka nanti.
Bilakah kena minta izin itu?
ثَلٰثَ مَرّٰتٍ
tiga kali
Kena minta izin itu bukanlah pada setiap waktu, tetapi pada tiga waktu penting sahaja. Allah ﷻ mengajar bagaimana hamba-hamba dan kanak-kanak kecil yang belum baligh lagi perlu meminta kebenaran masuk pada tiga waktu. Jangan terus masuk bilik tuan/ibubapa tanpa minta kebenaran.
Jadi hukum ini untuk mereka yang belum baligh dan juga hamba sahaya. Maka kepada orang yang sudah baligh, maka setiap waktu kena minta izin. Ini kerana mereka sudah besar dan sudah faham adab dalam rumah.
Maka kena ajar mereka minta izin. Kadang-kadang ramai yang tidak tahu kerana jauh dari wahyu. Ramai yang sudah biasa masuk ke sana sini tanpa minta kebenaran dan kita kena ubah perkara ini.
Ini termasuk dalam perkara Sunat yang perlulah diamalkan oleh orang mukmin yang tahu ajaran dari Al-Qur’an. Jadi apakah tiga waktu itu?
مِّن قَبلِ صَلَوٰةِ الفَجرِ
sebelum sembahyang subuh,
Sebelum fajar menyingsing. Waktu itu suami isteri (ibu dan bapa) memang duduk dalam bilik dan mereka mungkin tidak kemas pakaiannya atau sedang bercumbuan. Tidak boleh masuk tidak tentu pasal.
Jadi kenalah diajar dan dilatih ahli keluarga kita untuk meminta izin terlebih dahulu. Kalau selepas waktu itu, bolehlah kalau anak-anak belum baligh masuk kerana sudah Solat Subuh dan sudah berpakaian yang sesuai.
وَحينَ تَضَعونَ ثِيابَكُم مِّنَ الظَّهيرَةِ
ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari
Ini adalah waktu yang kedua iaitu waktu tengahari. Waktu itu mungkin tuan rumah dan ibubapa tidak pakai baju kerana sedang berehat. Mereka melepaskan/menanggalkan (وضع) pakaian mereka waktu itu kerana ia adalah waktu yang panas.
Mungkin berlenggeng sahaja atau ia sebagai bahasa isyarat untuk mengatakan mereka sedang melakukan hubungan kelamin. Bahasa Al-Qur’an memang memberikan isyarat sahaja dalam perkara ini supaya kanak-kanak baca Al-Qur’an pun tidak terkesima.
Memang zaman sekarang ini kita selalu bekerja pada waktu ini, tetapi di negara Arab inilah waktu mereka selalu berehat di rumah sahaja kerana keadaan di luar panas untuk bekerja.
Walaupun ini selalunya waktu bekerja, tetapi ingatlah yang ada juga masa di hujung minggu yang kita ada di rumah sepanjang hari. Dan memang kita selalu berehat sahaja kalau waktu tengahari kalau tidak ke mana-mana. Mungkin waktu itu suami isteri sedang istimta’ (bersedap sedapan).
وَمِن بَعدِ صَلَوٰةِ العِشاءِ
dan sesudah sembahyang Isya’.
Dan waktu ketiga adalah selepas waktu Isyak kerana waktu itu adalah waktu untuk tidur. Waktu inilah juga ibu bapa mungkin istimta’ dan bersedia untuk ‘bersama’; atau mereka sedang pakai pakaian yang tidak menutup aurat dalam bilik tidur mereka.
Bukan sahaja tidak tutup aurat, malah mungkin mereka buka lebih dari biasa. Jadi kenalah meminta izin sebelum masuk. Jangan benarkan anak terjah sahaja ke dalam bilik ibu bapa.
ثَلٰثُ عَورٰتٍ لَّكُم
(Itulah) tiga aurat bagi kamu.
Inilah tiga waktu jaga aurat. Aurat adalah bahagian tubuh yang patut dirahsiakan dan tidak ditunjuk di khalayak. Malu kalau dibuka di khalayak ramai atau orang nampak dengan sengaja atau tidak.
Bukan tidak boleh masuk bilik langsung, tetapi kenalah meminta kebenaran sebelum masuk. Kerana tiga waktu ini selalunya suami isteri akan membuka aurat kerana mereka sedang berehat tanpa pakaian lengkap atau sedang melakukan perbuatan yang biasa dilakukan suami isteri.
لَيسَ عَلَيكُم وَلا عَلَيهِم جُناحٌ بَعدَهُنَّ
Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu.
Selepas dari tiga waktu itu, tidak kisah kalau hamba atau anak belum baligh ingin masuk ke dalam bilik. Waktu lain biarkan sahaja kalau mereka hendak masuk. Mungkin hamba ingin mencuci bilik atau anak-anak hendak bermain.
Maknanya kalau selain dari tiga waktu itu, kita pun kenalah pandai jaga aurat kita. Janganlah pakai tidak senonoh pula kalau selain dari waktu itu. Kerana mungkin hamba dan anak-anak akan masuk terus. Kalau kita yang tidak memakai pakaian dengan baik, maka salahnya kita, bukan mereka.
Kalau dalam tiga waktu itu mereka terus masuk sahaja tanpa minta kebenaran, maka mereka boleh dikenakan dengan hukuman. Tetapi kalau selain dari tiga waktu itu, mereka tidak bersalah dan tidak boleh dihukum.
طَوّٰفونَ عَلَيكُم بَعضُكُم عَلىٰ بَعضٍ
Mereka di sekeliling kamu, sebahagian kamu ke atas sebahagian (yang lain).
Waktu lain memang susah untuk menjaga mereka dari masuk ke dalam bilik kerana mereka berpusing-pusing sekeliling kita. Nanti mereka akan datang balik selepas mereka pergi. Kalau hamba/pembantu rumah, mereka memang akan selalu masuk untuk menjalankan kerja mereka mengemas rumah.
Dan memang anak-anak suka untuk menyibuk dengan emak ayah. Kadang-kadang kita tengah duduk elok-elok, mereka sampai panjat naik atas kita. Kalau kita dalam bilik, mereka akan cari kita.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الآيٰتِ
Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu.
Begitulah Allah ﷻ menjelaskan hukum kepada kita untuk kita ikuti. Ini adalah untuk kebaikan kita juga. Kerana aurat amat perlu dijaga. Manusia tidak boleh lihat benda yang tidak patut mereka lihat. Apa yang kita buat dalam bilik kita dengan isteri kita adalah rahsia.
وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ
Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ tahu apa yang kita lalui dan keadaan dalam kehidupan seharian kita. Allah ﷻ juga Maha Bijaksana dalam menentukan hukum untuk kita ikuti.
Semua hukum dari Allah ﷻ ada kebaikan, sama ada kita faham ataupun tidak. Kadangkala sesuatu perkara itu terlalu tinggi untuk kita fahami, tetapi yakinlah yang ia ada kebaikan di dalamnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani