Ayat 244:
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And fight in the cause of Allah and know that Allah is Hearing and Knowing.
MALAY
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah
Sekarang Allah ﷻ beri arahan berjihad. Ini adalah berperang dalam jihad kemuncak, iaitu jihad perang yang ada kemungkinan boleh mati. Kita gunakan terma ‘jihad kemuncak’ untuk membezakan antara beberapa jenis jihad.
Jihad kemuncak adalah jihad yang paling tinggi iaitu iaitu jihad perang yang ada kemungkinan mencabut nyawa kita. Jihad yang berhadapan dengan mati. Ini hendak membezakan sebab jihad itu ada lain – jihad melawan nafsu, jihad lisan dalam dakwah dan sebagainya. Kemuncak segala jihad itu adalah jihad perang.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ tahu laungan hamba yang menyeru dan mengajak kepada jihad. Allah ﷻ juga tahu laungan hamba yang hendak menghentikan jihad. Ada yang sanggup mengatakan jihad perang tidak ada dalam Islam. Itu adalah pendapat yang salah kerana itu sudah menidakkan satu perkara yang penting dalam agama Islam.
Allah ﷻ tahu hati manusia sama ada mereka ikhlas dalam jihad atau tidak kerana itu ada kisah sahabat yang mati dalam jihad tetapi dia tidak mendapat syahid. Ini kerana dia jihad bukan kerana agama.
Ayat 245: Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat jihad akan diselangi dengan ayat-ayat tentang infak kerana infak perlu untuk jihad dijalankan. Jihad memerlukan belanja yang besar untuk menjalankannya.
Jihad dan infak adalah seperti dua sayap pada burung. Kena ada kedua-dua sayap untuk burung itu terbang. Oleh kerana itu, setelah Allah ﷻ sebut tentang jihad, Allah ﷻ sebut pula kelebihan infak untuk jalan Allah ﷻ.
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Who is it that would loan Allah a goodly loan so He may multiply it for him many times over? And it is Allah who withholds and grants abundance, and to Him you will be returned.
MALAY
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik
Allah ﷻ sebut tentang pinjaman yang ikhlas. Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa apa yang kita berikan dalam infak itu adalah sebagai ‘pinjaman’ sahaja. Bukannya beri terus.
Kalau kita pinjamkan barang, kita boleh ambil balik, bukan? Maknanya, Allah ﷻ akan pulangkan balik infak kita itu berganda-ganda banyaknya. Allah ﷻ simpan dalam khazanah-Nya dan akan dikembalikan kepada kita di akhirat kelak.
Malu juga apabila Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ ini. Bayangkan, bukankah segala apa yang kita ada daripada rezeki ini semuanya dari Allah ﷻ? Tetapi apabila Allah ﷻ hendak infak, Allah ﷻ kata berikan ‘pinjaman’ kepada-Nya… Macam Allah ﷻ perli kita, “tidak mengapa… Aku nak ‘pinjam’ sahaja, nanti Aku pulangkan balik…”
Sekarang bayangkan kalau emak kita yang sudah banyak jasa membesarkan dan memberikan pendidikan kepada kita, apabila dia kesulitan wang, datang kepada kita dan minta pinjam wang…. adakah kita sanggup beri ‘pinjam’? Adakah kita sanggup hendak tuntut balik wang yang kita beri itu?
Bukankah sepatutnya kita awal-awal lagi sudah beri pertolongan kepada emak kita? Tidak patut emak kita susah sampaikan hendak kena jumpa kita dan minta pinjam duit kita. Kita patut kena peka dengan masalah emak kita dan beri terus pertolongan tanpa perlu emak kita rasa malu datang kepada kita minta pertolongan.
Kita juga kena minta maaf kepada emak kita kerana dia sampai susah tetapi kita lambat tahu sampai dia kena datang minta tolong kepada kita kerana kita sepatutnya awal-awal lagi sudah kena tahu yang emak kita ada masalah. Tidak perlu tunggu dia datang dan beritahu kita.
Kalau emak kita minta ‘pinjam’ duit kita, maknanya emak kita tahu yang kita kedekutlah sebenarnya. Sampai dia kata dia hendak pinjam sahaja, bukannya beri terus kepada dia. Memang rasa hendak bunuh diri sahaja kalau emak kita kata hendak ‘pinjam’ duit daripada kita, bukan?
Maka, Allah ﷻ hendak perli kita juga dalam ayat ini. Allah ﷻ tahu kita ini kedekut sebenarnya. Sebab itu Allah ﷻ kata jangan takut, pemberian kita itu hanya pinjaman sahaja. Nanti akan dipulangkan.
فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً
supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya
Allah ﷻ balas infak kita dengan sangat banyak. Tidak tergambar betapa banyaknya. Maka jangan takut hendak beri infak dalam jihad fisabilillah. Kalau Allah ﷻ yang janjikan balasan yang berganda-ganda, tentu Allah ﷻ boleh tunaikan. Maka sekarang Allah ﷻ beri motivasi kepada umat Islam untuk infak.
وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan
Mungkin ada yang takut hendak infak banyak sebab takut habis harta mereka. Allah ﷻ beritahu yang Dia lah sahaja yang mengecilkan – menahan harta menjadi sedikit. Dia juga yang mengembangkan harta kita menjadi banyak. Maka kalau Allah ﷻ yang suruh kita infak, tentulah Allah ﷻ akan balas dengan lebih banyak, sebab Dia mampu kembangkan rezeki kita.
Macam-macam cara Allah ﷻ kembangkan rezeki kita – kita dapat kerja yang baik dengan gaji besar, perniagaan kita maju, hutang kita selesai, duit sedikit tapi cukup untuk seisi keluarga, dan macam-macam cara lagi Allah ﷻ balas kepada kita.
Maka jangan bimbang untuk infak dengan banyak. Jangan takut harta kita habis. Allah ﷻ akan kembangkan rezeki kita. Tetapi kena percaya kepada Allah ﷻ lah kerana Dia juga yang berikan harta itu pada mulanya.
وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
Allah ﷻ mengingatkan, kalau sayang sangat harta kita pun, ingatlah yang kita semua akan mati dan pulang ke akhirat juga akhirnya. Harta yang kita sayang sangat itu, bukan boleh bawa mati pun. Harta yang kita simpan banyak-banyak itu akan menjadi milik orang lain pun kerana kita akan tinggalkan.
Kalau anak-anak kita ingat kepada kita, mereka sedekah dan niatkan pahala itu untuk kita. Tetapi kalau mereka habiskan sahaja, tidak ada pulangan untuk kita dalam bahagian harta itu dan ia habis begitu sahaja. Maka baiklah kalau kita simpan harta itu dengan Allah ﷻ supaya kita boleh ambil balik di akhirat kelak.
Ayat 246: Pengulangan bab jihad dan kali ini Allah ﷻ beri contoh kisah yang terjadi pada zaman dahulu sebab jihad itu ada beberapa peraturan. Pertama, kena ada pemilihan ketua dan kedua, kena ada latihan untuk jihad.
Ketua perang tidak semestinya Nabi ﷺ sendiri tetapi kena ada dua syarat untuk menjadi jeneral perang. Pertama, tubuh badannya layak untuk berperang dan kenalah berani dan kedua, akal kena mahir dalam taktik peperangan.
Tidak ada peperangan tanpa latihan kerana banyak pejuang yang datang untuk berjihad perang itu datang dari merata tempat dan mereka tidak biasa berperang dan tidak terlatih. Mungkin ada daripada golongan peniaga dan petani. Maka penting untuk beri latihan terlebih dahulu sebelum pergi berperang. Maka Allah ﷻ ajar kedua-dua perkara ini.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرَٲٓءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقَـٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا ۖ قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا ۖ فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered the assembly of the Children of Israel after [the time of] Moses when they said to a prophet of theirs, “Send to us a king, and we will fight in the way of Allah “? He said, “Would you perhaps refrain from fighting if fighting was prescribed for you?” They said, “And why should we not fight in the cause of Allah when we have been driven out from our homes and our children?” But when fighting was prescribed for them, they turned away, except for a few of them. And Allah is Knowing of the wrongdoers.
MALAY
Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرَٲٓءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa,
Zaman ini selepas wafatnya Nabi Musa عليه السلام yang dibimbing oleh Nabi lain. Nama Nabi pada waktu itu adalah Samuel. Pemuka-pemuka Bani Israil telah pergi berjumpa dengan Nabi mereka itu.
إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ
ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka:
Daripada penggunaan bahasa, memberi isyarat bahawa bukan Nabi ini sahaja Nabi mereka tetapi ada Nabi-nabi lain juga. Umat Bani Israil memang diberikan dengan banyak Nabi dalam kalangan mereka. Mereka umat yang paling banyak dapat Nabi dan Rasul.
ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ
“Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang pada jalan Allah”
Para pemimpin Bani israil itu minta kepada Nabi mereka untuk melantik ketua perang. Perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘ketua perang’. Maknanya bukan Nabi itu yang bawa tentera berperang. Mereka kononnya kata mereka akan pergi berperang bila sudah ada ketua. Cuma lantik sahajalah ketua untuk kami, kata mereka.
Ini mengajar kita bahawa jihad tidak ada tanpa ketua. Ketua itu kena dilantik dan mestilah ketua yang dikenali kerana kita kena tahu yang ketua perang itu adalah Ahlul Haq, tidak boleh lantik ambil sesiapa sahaja.
Pada waktu itu, yang boleh lantik adalah Nabi dan kalau zaman sekarang, yang layak melantik itu adalah Khalifah seluruh dunia. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu bahawa Khalifah dunia mestilah daripada orang Quraisy.
قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا
Nabi mereka menjawab: “Tidakkah, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,
Nabi mereka sendiri sudah tahu perangai mereka. Waktu itu memang mereka sibuk hendak minta panglima perang, tetapi nanti kalau sudah ada, banyak pula alasan mereka tidak mahu berperang.
قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ
Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah,
Apabila ditegur sebegitu, mereka kata memang mereka akan berperang. Mereka memang pandai bercakap dan berdolak dalih. Maka mereka sekarang keluarkan hujah mereka untuk mengatakan memang mereka pasti akan berperang nanti.
وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا
sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan juga anak-anak kami?”
Mereka kata memang mereka akan berperang kerana mereka marah setelah dihalau dari kampung halaman mereka dan anak-anak mereka pun kena kalau juga. Memang mereka sedang marah. Ini kerana kalau mereka sahaja dihalau pun sudah berat, tetapi kalau dengan keluarga mereka juga kena halau, tentu lagi berat. Mereka bersungguh-sungguh kata mereka akan berperang.
فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم
Maka apabila perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka.
Namun apabila benar-benar sudah disuruh berperang, mereka buat alasan untuk tidak pergi berperang. Memang begitulah perangai kebanyakan daripada Bani Israil.
Hanya sedikit sahaja yang pergi. Dalam riwayat ada disebut bahawa daripada bilangan mereka sebanyak 80,000 orang, hanya 313 orang sahaja yang akhirnya pergi berjihad menentang tentera Jalut.
Ini pun masalah dan perangai orang kita juga. Pandai cakap sahaja tetapi bila masa hendak buat, sedikit sahaja yang turun buat kerja. Kalau bagi idea, memang ramai akan beri idea dan cadangan, tetapi apabila buat kerja, yang turun sedikit sahaja.
وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ sudah tahu perangai mereka. Sekarang Allah ﷻ beritahu perangai mereka kepada kita supaya kita beringat-ingat supaya jangan jadi seperti mereka.
Ayat 247: Ini berpatah balik kepada situasi selepas mereka minta dilantikkan jeneral perang untuk mereka. Sekarang Allah ﷻ telah melantik Talut sebagai ketua perang itu.
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ ۚ قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And their prophet said to them, “Indeed, Allah has sent to you Saul as a king.” They said, “How can he have kingship over us while we are more worthy of kingship than him and he has not been given any measure of wealth?” He said, “Indeed, Allah has chosen him over you and has increased him abundantly in knowledge and stature. And Allah gives His sovereignty to whom He wills. And Allah is all-Encompassing [in favor] and Knowing.”
MALAY
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا
Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.
Seperti yang diberitahu, perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘Ketua tentera’ atau ia boleh bermaksud ‘khalifah’.
قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا
Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami
Mereka tidak dapat terima hakikat yang Talut yang telah dilantik. Dia seorang yang tidak dikenali dan bukan daripada golongan kaya atau bangsawan.
وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ
sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya,
Mereka tidak berpuas hati kerana mereka yang mahukan kedudukan itu. Mereka berhujah dengan mengatakan mereka lebih layak.
وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ
dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?”
Mereka rasa mereka lebih layak kerana mereka ada pengaruh dan juga ada banyak harta. Ini kerana mereka memandang kedudukan dengan kedudukan keduniaan. Pada mereka, kalau kaya atau berpengaruh, itulah orang yang layak. Amat cetek sekali cara pemilihan pada diri mereka.
قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم
Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi ketua ke atas kamu,
Allah ﷻ menekankan bahawa pelantikan itu sudah tetap. Talut adalah Ketua Perang mereka. Allah ﷻ hendak ajar bahawa Ketua Perang bukannya memerintah dalam keadaan aman dan oleh itu tidak memerlukan orang yang kaya dan berpengaruh. Apa guna kalau ada harta tetapi tidak tahu memimpin?
Allah ﷻ yang berhak melantik sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagai Ketua Perang, maka tidak boleh buat apa lagi. Allah ﷻ tidak perlu hendak beri penjelasan kepada mereka kenapa Dia pilih Talut. Siapa mereka yang Allah ﷻ kena ikut?
Perkataan اصطفى bermaksud pemilihan yang dilakukan hanya kerana kita suka. Contohnya bila kita beli buah di pasar, kita pilih epal, tidak pilih limau. Apabila ada orang tanya, kenapa pilih epal tidak pilih limau, kita kata sebab kita suka. Tidak perlu ada penjelasan lain.
Bukan sebab kita kira kalori, atau epal warna merah, epal banyak lagi vitamin, tidak. Sebab kita suka epal, ikut kitalah sebab kita yang hendak beli. Ia adalah sesuatu keputusan yang kita tidak perlu jelaskan sebabnya kepada orang lain. Begitulah hak Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh pilih sesiapa sahaja yang Dia pilih dan Dia tidak perlu jelaskan kenapa Dia buat keputusan itu.
وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ
dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”.
Allah ﷻ telah beri kelebihan kepada Talut kerana dia mempunyai kegagahan tubuh badan dan keberanian serta dia ada keluasan dalam ilmu peperangan. Oleh itu dia sesuai untuk menjadi pemimpin perang.
Namun begitu, ini bukanlah sebab Allah ﷻ memilih Talut, kerana kita telah sebut sebelum ini bahawa Allah ﷻ tidak perlu menjelaskan kepada Dia memilih sesiapa yang Dia pilih. Dia lebih tahu dan kita tidak tahu.
Ini juga menjadi dalil bahawa ketua kerajaan dan ketua perang hendaklah orang yang kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Mereka kenalah orang yang layak berjuang dan juga mereka hendaklah layak memimpin.
وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ
Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
Jawapan seterusnya adalah kerana Allah ﷻlah yang berhak untuk memilih siapakah yang boleh menjadi ketua. Manusia tidak boleh soal keputusan yang Allah ﷻ sudah buat dan akan buat. Kita kena sedar kedudukan kita sebagai hamba.
وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ
dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.
Allah ﷻ tahu siapakah layak untuk dijadikan ketua perang dan manusia tidak layak untuk mempersoalkannya. Kita tidak akan dapat hendak mencapai kefahaman Allah ﷻ. Maka kerana itu apa sahaja keputusan Allah ﷻ, kita kena terima. Ini termasuk hukum hakam yang telah ditakdirkan ke atas kita. Jangan kita persoalkan sama sekali.
Ayat 248:
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
SAHIH INTERNATIONAL
And their prophet said to them, “Indeed, a sign of his kingship is that the chest will come to you in which is assurance from your Lord and a remnant of what the family of Moses and the family of Aaron had left, carried by the angels. Indeed in that is a sign for you, if you are believers.”
MALAY
Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ
Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kekuasaan Talut itu ialah datangnya kepada kamu peti Tabut
Allah ﷻ juga telah memberi satu tanda pada kekuasaan Talut itu. Diberikan tanda kepada mereka sebab mereka puak yang hendakkan macam-macam tanda baru hendak buat. Tanda ini sesuai untuk diberikan pada zaman itu kerana mereka biasa dengan benda-benda Karamah seperti ini.
Akan datang kepada mereka Tabut iaitu satu peti yang berisi Kitab Taurat di dalamnya. Tidak payah hendak cari benda ini ada di mana sekarang. Mengikut kisah, peti itu dahulunya memang dalam simpanan Bani Israil tetapi apabila mereka diserang dan ditakluk, peti itu telah diambil oleh penakluk mereka, orang Babylon dan dibawa ke tempat mereka.
Kemudian mereka telah dilanda penyakit berjangkit dan mereka sangka kerana sial pada Tabut itu. Maka mereka letak Tabut itu di belakang keldai dan biarkan keldai itu bawa keluar Tabut itu ke mana sahaja keldai itu hendak pergi. Akhirnya ia sampai kepada Bani Israil dalam kisah ini.
فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم
di dalamnya ada ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu,
Di dalam peti itu ada ketenteraman kepada mujahid semasa perang. Mereka rasa mereka mendapat bantuan daripada Allah ﷻ. Ketenteraman itu bukan daripada peti itu tetapi daripada Allah ﷻ. Dengan adanya Tabut itu, memberi ketenangan kepada mereka untuk berjuang.
وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ
dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun;
Peti itu juga mengandungi barang-barang peninggalan daripada keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام. Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلام adalah Nabi dalam sejarah mereka yang mereka amat hormati. Jadi, Tabut ini adalah satu peninggalan yang amat bermakna buat mereka.
تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُۚ
peti Tabut itu dibawa oleh malaikat.
Peti itu akan dibawa oleh malaikat dan akan diletakkan di hadapan Talut dan rakyat. Memanglah dibawa oleh keldai seperti yang kita sebut sebelum ini, tetapi sampainya ke tempat Bani Israil itu adalah atas panduan daripada malaikat.
Peti itu adalah sebagai tanda perlantikan rasmi Talut sebagai ketua. Apabila ada tanda macam itu, barulah Bani Israil itu hendak ikut taat kepada Talut. Peti itu dibawa oleh malaikat dan kemudian dibawa pergi oleh malaikat balik, maka tidak perlulah hendak dicari di manakah peti itu sekarang.
Tidak perlu sibuk tanya dengan terperinci tentangnya kerana ia tidak berkenaan dengan kita. Orang kita, bab-bab pelik macam ini, memang ramai yang suka. Tetapi cubalah jangan tanya berlebih-lebih kerana tidak menambah keimanan pun kalau dapat tahu mengenainya. Ia adalah kisah lama yang kita tidak ada maklumat tentangnya.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman
Tabut itu sesuai sebagai tanda pada zaman itu, tetapi kepada Nabi akhir zaman dan umatnya, tidak diberikan sakinah sebegitu. Kita akan belajar nanti bagaimana Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya juga ada diberikan dengan Sakinah tetapi di dalam bentuk yang lain.
Sakinah itu akan diberikan kepada setiap mujahidin sebelum memulakan peperangan. Bayu yang lembut akan diberikan kepada mujahidin sampai mereka boleh mengantuk. Ini adalah tanda Allah ﷻ beri sakinah. Sebelum Allah ﷻ beri, jangan mulakan takbir perang.
Jadi pada kita umat akhir zaman, tidak perlu Tabut. Ini dibuktikan oleh mereka yang berpengalaman jihad fi sabilillah. Mereka akan rasa mengantuk sangat dan apabila ia datang, boleh sampai jatuh pedang yang sedang dipegang. Kalau zaman sekarang, boleh sampai jatuh senapang yang dipegang.
Padahal, kalau ikut logik, apabila hendak menghadapi perang, mestilah kita waktu itu tengah segar sebab hendak hadap mati, bukan? Tentu jiwa sedang bergelora waktu itu sampai tidak ingat hendak tidur pun. Namun Allah ﷻ berikan rasa mengantuk itu sebagai sakinah kepada mereka. Allah ﷻ juga beri rehat kepada para pejuang supaya segar semasa berperang.
Habis Ruku’ 32 dari 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 April 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan