A’raf Ayat 130: Apabila mereka tidak taat kepada Nabi Musa عليه السلام dan menentang wahyu Allah ﷻ, maka mereka telah dikenakan dengan bala daripada Allah ﷻ.
وَلَقَد أَخَذنا ءآلَ فِرعَونَ بِالسِّنينَ وَنَقصٍ مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We certainly seized¹ the people of Pharaoh with years of famine and a deficiency in fruits that perhaps they would be reminded.
- Imposed on them by way of trial and warning.
MALAY
Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.
وَلَقَد أَخَذنا ءآلَ فِرعَونَ بِالسِّنينَ
Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau
Ini adalah permulaan azab yang kecil sebelum azab yang besar. Mereka telah dikenakan dengan kemarau untuk beberapa tahun. Ada riwayat yang mengatakan kemarau itu berlanjutan selama 7 tahun.
Di sini Allah ﷻ menggunakan kalimah السِّنينَ iaitu jamak bagi سنة yang bermaksud ‘tahun’. Akan tetapi ada satu kalimah lain bagi tahun iaitu عام tetapi tidak digunakan di sini. Ini adalah kerana kalimah سنة bermaksud tahun yang tidak baik sedangkan kalimah عام bermaksud tahun yang baik. Di dalam [Ankabut: 14] digunakan kedua-dua kalimah itu yang menjelaskan lagi perbezaan itu.
وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.
Jika dilihat kepada terjemahan sahaja, kedua-duanya diterjemahkan sebagai tahun. Namun untuk 50 tahun itu digunakan kalimah عامًا kerana ia adalah tahun-tahun yang baik. Allah ﷻ tidak terus mengatakan seribu tahun kerana selama seribu tahun itu keadaan tidak sama. Ini adalah kerana selama 950 tahun Nabi Nuh عليه السلام berdakwah kepada mereka tetapi tidak diterima oleh umatnya. Kerana itulah kalimah سَنَةٍ digunakan. Namun begitu, setelah banjir besar, yang tinggal adalah umat yang beriman sahaja, maka pada waktu itu dakwah baginda diterima dan kerana itulah kalimah عامًا pula yang digunakan.
وَنَقصٍ مِّنَ الثَّمَرٰتِ
dan kekurangan buah-buahan,
Apabila kemarau sudah lama, maka tentunya akan ada kekurangan buah dan penghasilan tanam-tanaman. Ini adalah perkara yang mengejutkan kerana Mesir itu terletak berdekatan sungai Nil. Sepatutnya sumber air mereka banyak dan tidak ada masalah, namun Allah ﷻ boleh menjadikan negara mereka kemarau juga. Maka ini sudah mengganggu kehidupan dan ekonomi mereka.
لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
supaya mereka insaf mengambil pelajaran.
Tujuan dikenakan dengan bala itu adalah supaya mereka mengambil pengajaran. Sepatutnya mereka berfikir, kenapalah mereka dikenakan balasan sampai sebegitu rupa? Sepatutnya mereka kenalah sedar yang masalah yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kedegilan mereka untuk menerima kebenaran.
Maka, sepatutnya apabila sudah ditimpa bala itu, hendaklah mereka mengubah perangai mereka dan mula untuk beriman. Sepatutnya mereka terus beriman dengan dakwah Nabi Musa عليه السلام.
Oleh itu, tujuan mereka dikenakan dengan bala ini adalah untuk merendahkan ego mereka. Ini kerana mereka sedang menikmati kehidupan yang mewah, maka mereka tidak berasa rendah diri untuk menerima kebenaran. Begitulah manusia yang rasa mereka ada segalanya. Apabila Allah ﷻ kenakan dengan bala, sepatutnya manusia mula memikirkan tentang kebenaran dan lebih mudah untuk terima kebenaran.
A’raf Ayat 131: Akan tetapi mereka tidak berubah juga
فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَّعَهُ ۗ أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But when good [i.e., provision] came to them, they said, “This is ours [by right].” And if a bad [condition] struck them, they saw an evil omen in Moses and those with him. Unquestionably, their fortune is with Allāh, but most of them do not know.
MALAY
Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
فَإِذا جاءَتهُمُ الحَسَنَةُ قالوا لَنا هٰذِهِ
apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”,
Apabila dikenakan kepada mereka yang tidak beriman itu dengan musibah dan apabila diberikan kembali kesenangan hidup kepada mereka, mereka kata memang mereka berhak untuk dapat kesenangan hidup itu. Mereka juga kata mereka mendapat kesenangan itu adalah kerana hasil usaha mereka. Mereka tidak meletakkan qudrat Allah ﷻ dalam hal itu.
Begitulah fahaman Firaun dan pengikutnya. Mereka tidak bersyukur di atas pemberian Allah ﷻ kerana mereka sangka itu semua adalah kerana usaha mereka sahaja. Begitulah juga, kalau kita rasa kita berjaya kerana hasil usaha kita sahaja, maka samalah kita dengan fahaman sesat Firaun dan kaumnya itu.
وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَطَّيَّروا بِموسىٰ وَمَن مَّعَهُ
dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan sial itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya.
Manakala sekiranya mereka ditimpa musibah seperti kemarau, mereka menuduh sial itu berpunca daripada Nabi Musa عليه السلام dan pengikut baginda yang beriman. Kalimah يَطَّيَّروا berasal daripada ظائر yang bermaksud burung. Bagi orang Arab, burung itu menandakan sial atau tuah. Jika burung terbang ke kanan, ia bermaksud tuah dan jika burung terbang ke kiri menandakan sial.
Inilah satu kepercayaan yang karut yang mengatakan ada sial pada sesuatu. Sedangkan apa-apa sahaja yang terjadi adalah di dalam takdir Allah ﷻ. Oleh itu, sekiranya kita pun berkata ada orang sial, maka kita berperangai seperti Firaun dan pengikut Firaun. Ini banyak terjadi dalam masyarakat. Sebagai contoh, ada yang kata, semenjak dia berkawan dengan seseorang itu, hidup dia penuh sial. Ini adalah fahaman yang jauh daripada agama.
Puak Firaun itu berkata, mereka ditimpa musibah yang disebut dalam ayat sebelum ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya yang beriman sudah tidak menyembah tuhan-tuhan mereka. Begitulah juga jika dalam kalangan orang kita, yang kata terkena bala kerana tidak buat itu dan ini.
Sebagai contoh, kalau ada diruntuhkan makam wali yang mereka sembah, kemudian datang bala, mereka kata sebab diruntuhkan makam itulah bala menimpa. Sedangkan kalau makam itu dijadikan tempat pemujaan, memang mesti diruntuhkan kerana ia menyebabkan syirik.
Atau, ramai yang kata jika bunyi burung hantu, itu tanda orang hendak mati. Ini adalah fahaman karut yang masih ada dalam masyarakat Melayu, bukan? Dalam masa yang sama juga, kalau kita kata sesuatu benda itu ada tuah pun, ada masalah dengan akidah juga. Sebagai contoh ada yang memakai gelang, rantai, cincin menyebabkan dia untung atau selamat daripada mara bahaya. Manakala golongan zikir pula memakai tasbih daripada kayu koka.
Ini adalah antara fahaman sesat yang masih ada dalam kalangan masyarakat Islam kita yang jauh daripada wahyu. Begitulah yang terjadi apabila manusia jahil tentang agama. Rasulullah ﷺ telah melarang kepercayaan ini apabila bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
“Tidak ada penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim (2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad (3031) di dalam Musnad)
Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
لاَ عَدْوَى ، وَلاَ طِيَرَةَ ، وَلاَ هَامَةَ ، وَلاَ صَفَرَ
“Tidak dibenarkan menganggap penyakit menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah ﷻ), tidak dibenarkan beranggapan sial, tidak dibenarkan pula beranggapan nasib malang kerana tempat, juga tidak dibenarkan beranggapan sial di bulan Safar.”
(Hadith Riwayat Bukhari (5757) dan Muslim (2220))
Begitulah pemahaman Firaun dan pembesarnya yang menuduh musibah yang menimpa mereka itu adalah kerana sial yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام dan pengikut baginda.
أَلا إِنَّما طائِرُهُم عِندَ اللَّهِ
Ketahuilah, sesungguhnya malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah,
Sedangkan, sebenarnya asbab musibah itu adalah di sisi Allah ﷻ – semua yang terjadi adalah atas keputusan Allah ﷻ. Bukan kerana sial sesiapa. Allah ﷻ yang menentukan mereka ditimpa azab ataupun tidak, bukannya kerana Nabi Musa عليه السلام dan ia dikenakan kepada mereka kerana kesalahan mereka sendiri. Ini sama seperti yang dikenakan kepada satu penduduk kampung yang menentang Nabi mereka seperti disebut dalam [Yaasin: 18-19]
قالوا إِنّا تَطَيَّرنا بِكُم ۖ لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ
Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami ditimpa sial kerana kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
قالوا طٰئِرُكُم مَّعَكُم ۚ أَئِن ذُكِّرتُم ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ
Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberikan peringatan (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Ramai yang tidak memahami perkara ini, bukan Firaun sahaja. Ramai merasakan bahawa segala apa yang terjadi adalah hanya atas hasil usaha mereka sahaja. Kemudian mereka menyalahkan orang lain pula di atas musibah yang dikenakan kepada mereka. Mereka lupa bahawa segala usaha mereka tidak memberi bekas, melainkan kalau Allah ﷻ yang kehendaki ia terjadi.
A’raf Ayat 132:
وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن ءآيَةٍ لِّتَسحَرَنا بِها فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they said, “No matter what sign you bring us with which to bewitch us, we will not be believers in you.”
MALAY
Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.
وَقالوا مَهما تَأتِنا بِهِ مِن ءآيَةٍ
Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami;
Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Musa عليه السلام berkata, walau apa sahaja cara baginda bawa dalil kepada mereka, dengan menunjukkan mukjizat dan dalil, mereka tetap tidak akan beriman. Lafaz مَهما bermaksud ‘apa-apa sahaja’ dalam bentuk mubalaghah – bersangatan. Maknanya mereka tolak semuanya sekali.
لِّتَسحَرَنا بِها
untuk menjalankan sihirmu kepada kami,
Mereka menambah dengan mengatakan apa yang Nabi Musa عليه السلام bawakan itu adalah sihir belaka untuk menipu mereka dan mereka tidak akan percaya dengan sihir itu. Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka lihat ramai yang mendengar ajaran Al-Qur’an daripada baginda yang memeluk Islam, maka mereka kata orang yang masuk Islam itu sudah terkena sihir.
Pada zaman sekarang pun ada juga yang kata begitu. Ada orang yang kata ustaz-ustaz yang mengajar tafsir Al-Qur’an telah menyihir orang lain dengan Al-Qur’an. Maka, sama sahaja mereka dengan pengikut Firaun.
فَما نَحنُ لَكَ بِمُؤمِنينَ
maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.
Mereka tegaskan kepada Nabi Musa عليه السلام yang mereka tidak akan beriman langsung dengan baginda. Sifat beginilah yang menyebabkan mereka langsung tidak beriman sampai bila-bila dan mereka dikenakan dengan azab. Ini kerana mereka ada sifat yang terus menolak dari awal lagi. Mereka tidak mahu mendengar langsung untuk lihat sama ada apa yang disampaikan itu benar ataupun tidak.
Begitulah yang terjadi kepada orang kita pun kalau mereka ada sifat begitu. Dalam hati mereka, awal-awal lagi sudah menolak daripada mendengar pengajaran tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak mahu membuka telinga dan mendengar dahulu. Mereka menolaknya sebelum dengar lagi. Padahal, jika hendak ditolak pun, dengarlah dahulu apa yang hendak dikatakan oleh mereka yang mengajar itu.
Begitulah yang pernah terjadi kepada Rasulullah ﷺ seperti disebut dalam ayat [Hijr: 6]
وَقالوا يا أَيُّهَا الَّذي نُزِّلَ عَلَيهِ الذِّكرُ إِنَّكَ لَمَجنونٌ
Mereka berkata: “Hai orang yang diturunkan Al Qur’an kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.
A’raf Ayat 133: Maka balasan azab telah dikenakan kepada mereka
فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So We sent upon them the flood and locusts and lice and frogs and blood as distinct signs, but they were arrogant and were a criminal people.
MALAY
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.
فَأَرسَلنا عَلَيهِمُ الطّوفانَ
Maka Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan,
Allah ﷻ telah memberikan bukti yang Allah ﷻ boleh menghukum mereka di dunia ini dengan jelas. Ada beberapa musibah yang dikenakan kepada mereka kerana mereka menolak kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Sekarang disebut musibah dalam bentuk taufan.
Ada banyak musibah/azab yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya yang akan disebut satu persatu. Ini adalah kerana mengikut riwayat, Nabi Musa عليه السلام tinggal dengan mereka selama 20 tahun selepas kejadian dengan para ahli sihir itu. Maka ada banyak musibah yang dikenakan kepada mereka kerana mereka telah ingkar kepada baginda. Sepanjang waktu itu Nabi Musa عليه السلام tetap meneruskan dakwah kepada mereka.
Semua sekali ada 9 mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام. Dua mukjizat telah disebut awal-awal lagi iaitu tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya. Satu lagi telah disebut tentang kemarau di dalam ayat sebelum ini. Sekarang kita akan sebut satu enam lagi mukijat. Ayat 133 ini menyebut 5 daripada kejadian-kejadian itu.
Semua kejadian ini tidaklah berlaku serentak. Selepas kejadian itu, ada sengkang masa yang lama baru berlaku kejadian yang lain. Mengikut pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما, setiap musibah ini dikenakan selama 7 hari bermula hari Sabtu. Setelah itu mereka diberi rehat selama tiga minggu sebelum bermula musibah yang seterusnya. Ini kerana selepas satu-satu musibah mereka meminta Nabi Musa عليه السلام doa untuk diangkat musibah itu dan berjanji beriman. Namun kemudian mereka tetap tidak beriman.
Kalimah taufan itu daripada lafaz yang membawa maksud ‘berpusing’. Daripada lafaz yang sama juga digunakan untuk tawaf. Taufan itu bukankah ia berpusing-pusing?
Akan tetapi ada juga para mufassir yang mengatakan ia bermaksud banjir. Air merata tempat sampaikan mereka tidak boleh bercucuk tanam dan tinggal lagi. Yang peliknya adalah ia cuma terkena kepada orang Qibti sahaja, tidak kepada Bani Israel.
Mereka pun datang kepada Nabi Musa عليه السلام meminta baginda berdoa supaya musibah itu diangkat. Namun setelah Nabi Musa عليه السلام berdoa, mereka tidak menepati pula janji mereka. Maka mereka dikenakan dengan azab musibah yang lain pula. Mereka buat-buat lupa akan janji mereka.
Malah selepas itu tanah mereka menjadi subur dan mereka kata itu disebabkan oleh banjir itu, maka ia adalah nikmat yang mereka berhak dapat. Seolah-olah musibah itu tidak memberi kesan kepada mereka kerana terjadinya perkara yang baik pula bagi mereka. Mereka kata itu semua tidak ada kena mengena dengan doa Nabi Musa عليه السلام sebelum itu.
وَالجَرادَ وَالقُمَّلَ وَالضَّفادِعَ وَالدَّمَ
dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah,
Selepas taufan, mereka diganggu oleh belalang. Pada waktu itu belalang ada di mana-mana – dalam rumah, luar rumah, atas katil, bawah katil dan sebagainya. Hendak makan minum pun susah. Selain itu, belalang itu juga merosakkan tanaman mereka. Maka ia sudah menjadi masalah yang besar kerana melihatkan sumber makanan.
Ada dikatakan bahawa belalang-belalang itu memakan pintu-pintu kayu dan barang-barang rumah yang dijadikan daripada kayu. Hal ini juga terjadi hanya kepada rumah bangsa Qibti sahaja, tidak kepada rumah-rumah Bani Israel, walaupun rumahnya di sebelah sahaja.
Sekali lagi mereka telah berjumpa dengan Nabi Musa عليه السلام untuk berdoa diangkat musibah itu dengan berjanji akan beriman dan membenarkan baginda membawa keluar Bani Israel dari Mesir. Namun setelah musibah itu diangkat, sekali lagi mereka tidak memenuhi janji mereka itu. Ini kerana mereka lihat simpanan makanan mereka boleh bertahan setahun lagi. Maka mereka rasa tidak ada masalah lagi.
Kemudian mereka dikenakan dengan gangguan kutu yang ada di mana-mana. Tidak boleh dibuang sebab banyak sangat. Kutu itu adalah ulat yang keluar daripada bijian dan kemudian datang kepada mereka. Atau ia boleh menjadi kutu yang selalu ada di kepala itu. Tersebutlah bahawa seseorang lelaki bila keluar dengan membawa sepuluh karung biji gandum ke tempat penggilingannya, maka apabila dia sampai ke tempat penggilingannya tiada yang tersisa kecuali hanya tiga genggam gandum saja (semuanya berubah menjadi ulat).
Kemudian mereka dikenakan dengan gangguan katak yang terdapat di merata-rata tempat. Tiada seorang pun yang duduk melainkan seluruh negeri penuh dengan katak sampai mencapai dagunya. Apabila seseorang hendak berkata, dan dia membuka mulutnya, maka pasti ada katak yang masuk ke dalam mulutnya. Hendak memasak pun susah kerana katak ada di mana-mana.
Kemudian mereka dikenakan dengan bala darah di mana-mana. Sehingga tidak sekali-kali mereka mengambil air minum sama ada dari sungai ataupun dari telaga, mereka lihat air itu dalam bekasnya berubah menjadi merah, iaitu berubah menjadi darah segar.
Namun begitu, air yang ada pada Bani Israel tidak berubah pula menjadi darah. Maka bangsa Qibti telah mengambil air daripada Bani Israel. Walau bagaimanapun ketika mereka hendak minum, terus air itu bertukar menjadi darah.
ءآيٰتٍ مُّفَصَّلٰتٍ
sebagai tanda-tanda yang jelas nyata,
Semua itu menjadi tanda yang jelas bagi mereka bahawa mereka telah melakukan kesalahan kerana menolak kebenaran. Mereka dikenakan dengan bala itu kerana mereka menolak dakwah Nabi Musa عليه السلام.
Ia juga bermakna azab itu lama dan bukan sebentar sahaja. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak mengajar mereka. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mendatangkan azab itu. Azab itu datang satu persatu, bukan datang sekali gus. Mula-mula datangnya taufan, kemudian mereka minta Nabi Musa عليه السلام mendoakan supaya bala itu diangkat. Selepas diangkat mereka tidak memenuhi janji untuk beriman dan ketika itu setelah itu mereka diazab pula dengan azab belalang dan seterusnya. Setiap kali datang azab itu mereka akan meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa.
Akan tetapi kita boleh lihat bagaimana besarnya rahmat Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berikan banyak peluang untuk mereka untuk mengubah sikap. Setelah mereka dikenakan dengan azab itu, mereka datang meminta Nabi Musa عليه السلام doakan bagi pihak mereka untuk diangkat azab. Kemudian setelah diangkat azab, mereka mungkir janji pula. Mereka tidak terus dihancurkan kerana Allah ﷻ masih beri peluang kepada mereka. Mereka sahaja tidak mengambil peluang itu.
Ini juga menunjukkan besarnya hati Nabi Musa عليه السلام. Kalau ikutkan kita, tentu kita tidak hingin hendak bantu mereka, bukan? Akan tetapi Nabi Musa عليه السلام telah pergi setiap kali ke Bukit Thur untuk berdoa kepada Allah ﷻ kerana baginda berharap mereka menepati janji mereka dan beriman kali ini.
فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُّجرِمينَ
maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang berdosa.
Walaupun sudah dikenakan dengan berbagai-bagai bala bencana itu, mereka masih lagi sombong untuk menerima kebenaran. Memanglah mereka itu kaum yang amat degil. Mereka terus melakukan dosa tanpa henti.
Maka di sini kita dapat tahu yang sifat sombong itu datang daripada perbuatan dosa yang banyak. Oleh kerana itu kita hendaklah mengelak sebaik mungkin daripada melakukan dosa kerana ia boleh menggelapkan hati kita.
A’raf Ayat 134:
وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ قالوا يٰموسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرٰءيلَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when the punishment descended upon them, they said, “O Moses, invoke for us your Lord by what He has promised you. If you [can] remove the punishment from us, we will surely believe you, and we will send with you the Children of Israel.”
MALAY
Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu”.
وَلَمّا وَقَعَ عَلَيهِمُ الرِّجزُ
Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka,
Iaitu setiap kali datang satu-satu azab itu. Lafaz الرِّجزُ selalunya digunakan untuk puisi yang yang mengandungi lafaz-lafaz yang menakutkan untuk menakutkan musuh. Ia adalah sesuatu yang menyebabkan fikiran kita terganggu.
Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada bala-bala yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya itu – taufan, belalang dan sebagainya.
Atau, ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada penyakit wabak seperti jenis taun. Maka ia adalah azab yang keenam. Dikatakan wabak taun itu telah membunuh 70 ribu bangsa Qibti. Asas bagi mengatakan ia merujuk kepada taun adalah hadith di bawah:
الطاعون أية الرجز ابتلى الله عز وجل به أناسا من عباده فإذا سمعتم به فلا تدخلوا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تفروا منه
“Taun (wabak) adalah tanda kemurkaan Allah ﷻ yang mana Allah ﷻ menguji hamba-hambanya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (Riwayat Muslim)
قالوا يٰموسَى ادعُ لَنا رَبَّكَ بِما عَهِدَ عِندَكَ
mereka berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan janji yang telah diberikan-Nya kepadamu.
Setiap kali mereka ditimpa dengan azab itu, mereka akan datang jumpa Nabi Musa عليه السلام dan merayu kepada baginda. Mereka suruh baginda berdoa kepada Allah ﷻ. Sebelum ini mereka menolak baginda, namun bila ada masalah besar, pandai pula mereka mencari baginda untuk menyelesaikan masalah mereka. Ini kerana mereka tahu yang mereka ditimpa azab itu disebabkan kedegilan mereka sebenarnya.
Beginilah perangai orang yang kufur. Bila sudah susah, baru hendak cari Tuhan. Maka jangan kita pula bersikap begini. Ada orang yang bila sudah ada masalah, baru mula buat ibadat. Barulah mula berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah ﷻ. Ini adalah sikap yang memalukan. Ia adalah sikap Firaun dan kuncu-kuncunya.
Permintaan mereka ini sebenarnya amat memalukan mereka. Dahulu mereka kata Firaunlah tuhan mereka. Namun bila hendak diangkat azab, kena minta tolong Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Tuhannya pula. Kenapa tidak diminta Firaun sahaja mengangkat azab itu? Ini sepatutnya menunjukkan kepada mereka yang Firaun itu bukanlah tuhan.
Yang dimaksudkan dengan ‘janji’ yang telah diberikan kepada baginda itu adalah janji yang Allah ﷻ akan makbulkan doa Nabi. Mereka hendak kata: “Kalau kamu benar Nabi, maka doalah kepada Tuhan kamu itu. Bukankah kamu telah dijanjikan yang doa kamu makbul?”
Ayat ini juga menunjukkan bagaimana ketua-ketua kaum itu tidak tahu hendak buat apa, sampai terpaksa pergi cari Nabi Musa عليه السلام. Kalau sebelum itu, mereka berlagak sangat.
لَئِن كَشَفتَ عَنَّا الرِّجزَ لَنُؤمِنَنَّ لَكَ
Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu,
Mereka bukan datang dengan tangan kosong, tetapi mereka datang dengan janji. Mereka kata kalaulah bala itu diangkat daripada mereka, mereka akan ikut cakap baginda dan beriman dengan baginda. Ini kerana mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi.
Maka mereka berjanji untuk beriman. Kalimah yang digunakan adalah لَنُؤمِنَنَّ yang ada penekanan (taukid) di dalamnya. Maknanya bersungguh-sungguh mereka berjanji di sini. Kononnya pasti mereka akan beriman dengan baginda.
Namun begitu bukanlah mereka hendak beriman sepenuhnya. Lihatlah lafaz yang digunakan adalah لَكَ (kepada engkau). Sekiranya mereka benar-benar beriman, lafaz yang digunakan adalah بك. Maknanya, mereka hendak kata, mereka akan mengikut apa yang disampaikan oleh baginda kerana ‘terpaksa’.
وَلَنُرسِلَنَّ مَعَكَ بَني إِسرٰءيلَ
dan kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu”.
Mereka juga berjanji akan melepaskan Bani Israel yang mereka perhambakan itu, kepada Nabi Musa عليه السلام kerana ini adalah salah satu daripada perkara yang diminta oleh baginda. Hanya apabila Bani Israel sudah merdeka barulah dapat beriman dan mengamalkan agama dengan sebenarnya.
Sebelum itu mereka tidak layan langsung kerana Bani Israel itu adalah hamba-hamba mereka, maka mereka tidak mahu melepaskan tenaga kerja mereka. Akan tetapi mereka terpaksa untuk menawarkan perkara itu sekarang kerana mereka sudah tahu yang mereka tidak ada apa cara lagi untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka hendak memujuk Nabi Musa عليه السلام, maka mereka tawarkan perkara itu kepada baginda.
Di sini memang bersungguh-sungguh mereka berjanji kerana kalimah لَنُرسِلَنَّ yang ada penekanan yang digunakan. Begitulah orang yang fasiq, kalau bab berjanji, memang bersungguh-sungguh. Namun senang sahaja mereka mungkir kepada janji mereka itu nanti.
Di sini kita boleh lihat cara mereka berdoa iaitu meminta orang lain mendoakan. Ini memang cara yang tidak bagus. Sepatutnya kita hendaklah berdoa sendiri, tidak perlu meminta orang lain doakan. Namun begitulah kalau orang yang tidak beriman bersungguh-sungguh dengan Allah ﷻ. Ini termasuk orang Islam. Selalu sahaja mewakilkan orang lain mendoakan bagi pihak mereka. Mereka tidak faham cara berdoa langsung.
Oh, mungkin mereka kata mereka banyak dosa maka Allah ﷻ tidak mendengar doa mereka. Maka kalau begitu, yang sepatutnya mereka lakukan adalah dengan bertaubat dan kemudian berdoalah. Bukannya berharap kepada doa orang lain. Oleh hal yang demikian, diharap kita dapat faham perkara ini supaya kita terus berdoa kepada Allah ﷻ sendirian.
Ramai yang tidak faham perkara ini dan bergantung kepada doa orang lain. Sebagai contoh, ada yang apabila hendak menghadapi peperiksaan, sibuk benar meminta orang lain doakan. Sampai penuh dalam grup Whatsapp doa-doa yang berbagai. Mereka berharap dengan ramainya orang doakan, maka Allah ﷻ ‘terpaksa’ tunaikan. Ini adalah pemahaman yang amat-amat salah dalam berdoa.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan