A’raf Ayat 125: Setelah diberi ancaman oleh Firaun itu, apakah jawapan daripada tukang sihir?
قالوا إِنّا إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “Indeed, to our Lord we will return.
MALAY
Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepada-Nyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya).
Tukang-tukang sihir itu telah nekad untuk terus beriman kepada Allah ﷻ walaupun telah diancam dengan seksaan oleh Firaun. Mereka bukan tidak percaya yang Firaun akan melakukannya kerana mereka kenal sangat dengan Firaun itu. Cuma mereka tidak takut dengan apa yang akan dilakukan oleh Firaun kerana mereka yakin yang kepada Tuhan pasti mereka akan kembali. Begitulah apabila iman telah masuk ke dalam hati. Semoga kita pun mendapat iman sebegini.
Mereka pun tahu yang kalau Firaun tidak membunuh mereka, mereka pun akan mati juga nanti lambat laun. Namun begitu daripada mati tidak beriman, biarlah mereka mati dalam iman. Kalau sakit kena seksa itu sekejap sahaja, tapi kalau mati jumpa Tuhan dalam keadaan syirik dan tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan azab berterusan sampai bila-bila. Inilah yang terjadi kalau iman sudah tebal dalam diri.
Apabila kalimah ini disusun إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ, ia membawa maksud eksklusif, iaitu hanya pulang kepada Allah ﷻ, tidak kepada selain-Nya. Ini kerana ayat ini boleh juga disusun مُنقَلِبونَ إِلىٰ رَبِّنا, tetapi ia tidak membawa maksud yang sama. Apabila ditaqdimkan (didahulukan) kalimat إِلىٰ رَبِّنا, ia membawa maksud lain.
Satu lagi maksud ayat ini adalah para ahli sihir itu mengingatkan Firaun yang mereka semuanya (termasuk Firaun) akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan mereka semua akan dihakimi. Memang Firaun boleh bunuh mereka dengan kejam, tetapi nanti dia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ.
A’raf Ayat 126: Lihatlah kata-kata tukang-tukang itu kerana iman mereka hebat dan telah menjadi kuat. Iman itu tidak mengambil masa lama untuk menjadi teguh. Ini adalah kerana mereka orang yang berilmu dan mereka faham apabila mereka telah melihat kebenaran.
وَما تَنقِمُ مِنّا إِلّا أَن ءآمَنّا بِئآيٰتِ رَبِّنا لَمّا جاءَتنا ۚ رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَتَوَفَّنا مُسلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And you do not resent us except because we believed in the signs of our Lord when they came to us. Our Lord, pour upon us patience¹ and let us die as Muslims [in submission to You].”
- To endure the torture to which we will be subjected.
MALAY
“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”. (Mereka berdoa): “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.
وَما تَنقِمُ مِنّا إِلّا أَن ءآمَنّا بِئآيٰتِ رَبِّنا لَمّا جاءَتنا
“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami”.
Mereka menjawab kembali kepada Firaun: mereka sebenarnya tidak ada salah apa-apa melainkan kerana beriman dengan Allah ﷻ sahaja. Mereka memang telah beriman apabila kebenaran datang kepada mereka. Mereka kenal apakah yang benar dan mereka memilih untuk beriman. Mereka tidak berani untuk mengingkari Allah ﷻ.
Mereka yakin sungguh dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu kerana mereka adalah orang yang berilmu tinggi di dalam sihir. Mereka tahu apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام itu bukanlah sihir. Ini adalah kerana mereka adalah ahli sihir yang hebat.
Namun begitu, mereka sahaja yang tahu dan kerana itu semasa mereka sujud kepada Allah ﷻ, maka rakyat yang lain yang melihat tidak sujud sekali, kerana mereka tidak kenal kebenaran walaupun ia terjadi di hadapan mereka. Hanya ahli sihir itu yang mempunyai ilmu dan dapat membezakan manakah yang benar dan mana yang salah.
Begitulah juga beza antara orang yang tahu dan kenal Al-Qur’an dan mereka yang tidak kenal. Mereka yang mengkaji Al-Qur’an akan mengetahui bahawa bahasa Al-Qur’an itu bukanlah daripada manusia tetapi tentunya daripada Allah ﷻ. Mereka akan nampak kebenaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.
Apabila tukang-tukang sihir itu melihat kebenaran, mereka terus sujud kepada Allah ﷻ. Perbuatan sujud ini adalah penting sebagai menyatakan ketaatan kepada Allah ﷻ. Ini amat penting kerana siapa yang tidak mahu sujud apabila diarahkan oleh Allah ﷻ? Itulah iblis yang kisahnya kita telah belajar pada awal-awal surah ini.
Dari sini kita tahu yang golongan musuh Islam dan orang yang zalim itu benci kepada Muslim hanya kerana beriman kepada Allah ﷻ. Ini seperti juga yang disebut di dalam [ Buruj: 8 ]
وَما نَقَموا مِنهُم إِلّا أَن يُؤمِنوا بِاللَّهِ العَزيزِ الحَميدِ
Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,
رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا
“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami,
Ini adalah doa mereka. Doa ini sangat hebat sampaikan Allah ﷻ mengulang semula di dalam Al-Qur’an untuk dibaca sampai bila-bila. Padahal mereka baru sahaja beriman. Maka ini menunjukkan mereka itu memang orang-orang yang bijak.
Juga menunjukkan kepada kehebatan Nabi Musa عليه السلام juga. Boleh dikira sebagai mukjizat baginda juga yang telah berdakwah kepada mereka. Bayangkan satu kumpulan yang duduk di dalam kesesatan sekian lama, boleh beriman dan hebat begini dalam waktu yang singkat sahaja.
Mereka minta dilimpahkan kesabaran kepada mereka. Kalimah yang mereka gunakan adalah أَفرِغ yang bermaksud minta dilimpahkan kesabaran itu. Ia bermaksud kesabaran yang banyak kerana dugaan yang mereka sedang hadapi itu adalah dugaan yang amat besar. Doa mereka ini sama seperti yang dilafazkan oleh tentera Talut semasa bertemu dengan tentera Jalut. Ini disebut dalam Surah Baqarah.
Mereka minta diberikan kesabaran kepada mereka kerana mereka sekarang sedang menghadapi dugaan yang amat besar diancam seksaan oleh Firaun. Sekiranya Allah ﷻ tidak memberikan kesabaran, tentu mereka tidak dapat menghadapinya. Ini mengajar kita yang sabar adalah sifat yang mesti ada apabila berhadapan dengan musuh dan dugaan.
Namun diingatkan, jangan pula kita berdoa kepada Allah ﷻ minta dijadikan orang yang sabar kalau tidak ada dugaan yang dikenakan kepada kita. Hanya doa minta sabar jikalau dikenakan musibah sahaja. Kerana kalau minta sabar semasa kita dalam keadaan aman dan tidak ada masalah, maka Allah ﷻ akan berikan musibah dan bala untuk menzahirkan sifat sabar itu. Oleh itu, jika kita minta sabar semasa tidak ada masalah, maka itu seumpama meminta diberikan bala pula.
وَتَوَفَّنا مُسلِمينَ
dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)”.
Mereka minta dimatikan semasa mereka beriman kepada Allah ﷻ dan dalam agama Islam. Ini kerana mereka faham bahawa yang paling penting adalah akhir hidup mereka. Sekiranya sepanjang hidup mengamalkan Islam, tetapi di hujung hayat mati tanpa iman, semua amalan yang sepanjang hidup itu tidak berguna kerana Allah ﷻ hanya kira bagaimana hujung hayat kita, sama ada beriman atau tidak.
Maka berimanlah tukang-tukang sihir. Pada pagi hari itu, mereka semuanya adalah tukang sihir yang mengamalkan amalan yang salah dan syirik, namun di hujung hari itu mereka mati dalam keadaan syuhada’.
Di dalam Surah Taha disebut panjang lagi syarahan para ahli sihir itu berdakwah kepada Firaun. Boleh lihat ayat 72 – 76.
قالوا لَن نُؤثِرَكَ عَلىٰ ما جاءَنا مِنَ البَيِّناتِ وَالَّذي فَطَرَنا ۖ فَاقضِ ما أَنتَ قاضٍ ۖ إِنَّما تَقضي هٰذِهِ الحَياةَ الدُّنيا
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
إِنّا آمَنّا بِرَبِّنا لِيَغفِرَ لَنا خَطايانا وَما أَكرَهتَنا عَلَيهِ مِنَ السِّحرِ ۗ وَاللَّهُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
إِنَّهُ مَن يَأتِ رَبَّهُ مُجرِمًا فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ لا يَموتُ فيها وَلا يَحيىٰ
“Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang dia bersalah maka sesungguhnya baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.
وَمَن يَأتِهِ مُؤمِنًا قَد عَمِلَ الصّالِحاتِ فَأُولٰئِكَ لَهُمُ الدَّرَجاتُ العُلىٰ
“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang dia beriman, serta dia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:
جَنّاتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ مَن تَزَكّىٰ
“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.
Habis Ruku’ 14 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 127:
وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ ۚ قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم وَإِنّا فَوقَهُم قٰهِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the eminent among the people of Pharaoh said, “Will you leave Moses and his people to cause corruption in the land and abandon you and your gods?” [Pharaoh] said, “We will kill their sons and keep their women alive; and indeed, we are subjugators over them.”
MALAY
Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?” Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka”.
وَقالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ
Dan berkatalah pula Ketua-ketua daripada kaum Firaun:
Ini adalah kata-kata pembesar dalam kalangan Firaun yang berbangsa Qibti. Mereka tidak puas hati melihat kejadian yang telah berlaku di mana jelas yang Nabi Musa عليه السلام telah memenangi pertandingan dengan ahli sihir dan ahli-ahli sihir itu pula sudah beriman.
Seperti biasa, para pembesar yang akan menentang kebenaran. Mereka sibuk riuh juga kerana kedudukan mereka juga sedang terancam, bukan Firaun sahaja. Sekiranya dibiarkan sahaja, maka rakyat akan beriman pula dengan Nabi Musa عليه السلام. Itu yang mereka takutkan sangat. Maka mereka telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Firaun untuk menangani masalah itu.
أَتَذَرُ موسىٰ وَقَومَهُ لِيُفسِدوا فِي الأَرضِ
“Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir)
Pemimpin-pemimpin itu telah menghasut Firaun. Mereka kata takkan Firaun hendak membiarkan sahaja Musa عليه السلام dan pengikutnya begitu sahaja? Kerosakan yang mereka maksudkan adalah kerana dapat mengalahkan Firaun.
Mereka membuat pula tuduhan dengan mengatakan seruan mereka yang beriman itu sebenarnya membawa kepada kerosakan negara. Ini perkara yang amat pelik apabila orang yang paling buruk mengatakan orang yang paling baik pula yang melakukan kerosakan. Sudah terbalik pula jadinya, bukan?
Yang dimaksudkan oleh mereka adalah mereka yang beriman itu kononnya hendak memecah belahkan masyarakat di negara itu. Ini mengajar kita jangan percaya sangat dengan tuduhan daripada manusia. Mereka boleh menuduh apa-apa sahaja untuk memenangkan diri mereka. Orang yang baik pula yang dituduh dengan berbagai-bagai tohmahan.
Ini adalah sama seperti kerajaan Amerika menuduh umat Islam melakukan terorisme sedangkan merekalah yang merosakkan geopolitik dunia. Dan tidak kurang juga kita lihat perkara yang sama digunakan dalam kempen politik, bukan?
وَيَذَرَكَ وَءآلِهَتَكَ
dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?”
Mereka juga mengatakan Nabi Musa عليه السلام dan orang beriman telah membuat satu kesalahan besar, iaitu meninggalkan Firaun. dengan menidakkan Firaun sebagai tuhan seperti yang digembar-gemburkan selama ini.
Selain itu, Firaun juga banyak membina patung dan mengatakan patung-patung itu adalah ilah, tetapi dia adalah sebagai tuhan yang paling besar. Patung-patung itu Firaun tidak sembah tetapi rakyat dia yang kena sembah. Ada juga pendapat yang mengatakan Firaun pun sembah juga. Para pembesar itu berkata Nabi Musa عليه السلام bertujuan mahukan supaya tuhan-tuhan itu tidak dipuja lagi dan ini tidak boleh diterima. Maknanya semua patung-patung berhala itu tidak berguna lagi.
Oleh itu, dari sini kita tahu yang tuduhan merosakkan agama juga dikenakan kepada Nabi Musa عليه السلام. Ini seperti yang disebut dalam [ Ghafir: 26 ]. Ini kerana mengubah agama yang telah digunapakai sekian lama adalah kesalahan besar pada mereka, walaupun ia agama yang sesat.
وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ
Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi”.
Daripada ayat ini, kita dapat tahu yang Firaun juga ada tuhan selain dirinya. Ini kerana mereka berfahaman bahawa ada tuhan Matahari dan kononnya Firaun adalah keturunan daripada tuhan matahari itu.
Al-Hasan Al-Basri رحمه الله mengatakan, bahawa Fir’aun mempunyai tuhan yang selalu dia sembah secara rahsia. Dalam riwayat lain disebutkan pula bahawa Fir’aun mempunyai sebuah patung kecil yang dikalungkan pada lehernya dan selalu dia sembah.
Menurut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, apabila mereka melihat seekor lembu betina yang bagus, maka Fir’aun menyuruh mereka untuk menyembah lembu betina itu. Kerana itulah Samiri membuatkan patung anak lembu yang dapat bersuara bagi mereka. Ini kerana Bani Israel pun sudah terikut-ikut dengan amalan Firaun dan bangsa Qibti.
Ada juga pendapat yang mengatakan ءآلِهَتَكَ itu adalah keputusan-keputusan Firaun berkenaan agama kerana dia reka amalan dan fahaman agama baru dan orang lain kena ikut. Ini adalah kerana mengambil pendapat manusia dalam hal agama adalah juga menjadikan orang itu sebagai tuhan. Jika sudah beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, maka keputusan hukum daripada Firaun sudah tidak berguna lagi. Dalil bagi pendapat ini adalah hadith perjumpaan Rasulullah ﷺ dan Adi bin Hatim.
فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ
Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim. Addi masuk menemui Rasulullah ﷺ, sedangkan pada leher Addi tergantung salib yang terbuat daripada perak. Saat itu Rasulullah ﷺ sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Taubah: 31) Addi melanjutkan kisahnya, bahawa beliau menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka.
(Hadith Riwayat Tirmidzi (3095), Ibnu Sa’d dalam Tabaqat al-Kubra (289))
قالَ سَنُقَتِّلُ أَبناءَهُم وَنَستَحيي نِساءَهُم
Firaun menjawab: “Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka,
Ini adalah jawapan Firaun kepada hasutan daripada para pembesarnya itu. Firaun kata dia akan mengarahkan untuk membunuh anak-anak lelaki mereka yang beriman. Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah قَتِّلُ dan bukannya قَتِلُ. Ini kerana قَتِلُ bermaksud bunuh sekali sahaja sedangkan قَتِّلُ bermaksud bunuh banyak kali dan ramai orang. Maknanya ia akan berterusan bertahun-tahun.
Dia akan membiarkan anak yang perempuan Bani Israel hidup untuk dijadikan sebagai hamba mereka untuk bekerja di rumah termasuk sebagai hamba seks. Perbuatan ini adalah lebih dahsyat berbanding jika dibunuh terus anak itu kerana jika ibubapa melihat anak mereka dibunuh, hanya sekali sahaja mereka berasa sedih. Namun jika melihat anaknya dijadikan hamba seks pula, tentulah lagi lama mereka kesedihan.
Namun kenapakah agaknya Firaun tidak suruh dibunuh sahaja Nabi Musa عليه السلام itu? Bukankah itu lebih senang dan boleh terus menutup cerita Nabi Musa عليه السلام itu? Bukankah Nabi Musa dan Nabi Harun عليهما السلامlah musuh sebenar baginya? Mungkin ini adalah kerana Firaun ada rasa kasih terhadap Nabi Musa عليه السلام kerana mereka membesar bersama di istana Firaun yang lama (atau, kerana lama menjadi anak angkatnya).
Atau, dia pun takut juga kepada Nabi Musa عليه السلام kerana Nabi Musa عليه السلام sudah menunjukkan pelbagai mukjizat. Dia pun menjadi seram tengkuk juga. Begitulah Allah ﷻ menanamkan rasa takut Firaun kepada Nabi Musa dan Harun عليهما السلام. Begitulah kalau manusia bertaqwa dan takut hanya kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan bantu dengan menakutkan musuh kepada mereka.
Namun begitu, dia tidak boleh membiarkan sahaja apa yang telah dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام. Oleh itu, dia kena bertegas dan melakukan sesuatu. Maks sebab itulah, dia mengeluarkan arahan untuk membunuh semua orang, tetapi tidak dikeluarkan arahan untuk membunuh Nabi Musa عليه السلام sendiri.
Atau, jika dia membunuh Nabi Musa عليه السلام, akan menyebabkan rakyat memberontak kerana yang dipandang mulia dibunuh oleh kerajaan. Selalunya apabila yang disanjung itu dibunuh, boleh menyebabkan pemberontakan rakyat yang lebih besar sehingga tidak terkawal lagi.
وَإِنّا فَوقَهُم قاهِرونَ
dan kita tetap di atas menguasai (menundukkan) mereka”.
Firaun mengeluarkan arahan itu kerana dia rasa mereka sangat berkuasa ke atas puak Bani Israel itu dan mereka boleh berbuat apa sahaja. Dia rasa mereka masih boleh mengawal masyarakat iaitu dengan cara kekerasan. Cara kekerasan memang digunakan zaman berzaman untuk mengawal manusia, bukan?
Firaun rasa dengan perbuatannya itu dapat mengubah keadaan. Dia rasa orang yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام akan meninggalkan agama Nabi Musa عليه السلام dan kembali menghambakan diri kepadanya.
Begitulah zaman berzaman yang terjadi. Apabila musuh Islam tidak dapat menjatuhkan Islam dengan fakta dan hujah, mereka akan menggunakan kekuasaan dan kezaliman.
A’raf Ayat 128: Ini adalah tasliah (pujukan) untuk kaum Bani Israel daripada dugaan ugutan Firaun. Tentunya mereka telah mendengar arahan daripada Firaun itu dan mereka telah ketakutan. Maka sekarang Nabi Musa عليه السلام memberi nasihat kepada mereka untuk menenteramkan mereka.
Begitulah tugas pemimpin haruslah memberikan motivasi kepada rakyatnya terutama sekali ketika berhadapan dengan musuh. Rakyat memerlukan kata-kata semangat daripada pemimpin mereka. Tugas pemimpin amatlah berat dan bukan senang-senang sahaja diraih dengan undi rakyat.
قالَ موسىٰ لِقَومِهِ استَعينوا بِاللَّهِ وَاصبِروا ۖ إِنَّ الأَرضَ لِلَّهِ يورِثُها مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Said Moses to his people, “Seek help through Allāh and be patient. Indeed, the earth belongs to Allāh. He causes to inherit it whom He wills of His servants. And the [best] outcome is for the righteous.”
MALAY
(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.
قالَ موسىٰ لِقَومِهِ استَعينوا بِاللَّهِ وَاصبِروا
Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah,
Nabi Musa عليه السلام menasihati mereka untuk meminta bantuan kepada Allah ﷻ dan bersabar. Mereka diajar tauhid dalam berdoa iaitu berdoa terus kepada Allah ﷻ. Mereka disuruh untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ kerana apa sahaja yang mereka hadapi itu, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat membantu mereka. Kita diajar di sini yang jikalau kita ada masalah, maka berdoalah berterusan kepada Allah ﷻ.
Bersabar itu adalah ibadah hati iaitu tawakal kepada Allah ﷻ. Bersabarlah dalam dugaan yang mereka sedang hadapi itu kerana itu adalah ujian. Letakkan harapan kepada Allah ﷻ sebulatnya.
Di sini mengajar kita dua perkara yang kita perlu ada apabila ada masalah dan dugaan apa sahaja:
1. Minta pertolongan kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu menyelesaikan masalah kita.
2. Bersabar sehingga keadaan berubah. Tidak ada kejayaan kecuali diberikan kepada orang yang sabar.
Mungkin ada yang tidak suka jika diminta bersabar. Namun itulah sahaja senjata yang kita ada. Ini sebagaimana kaum Bani Israel itu, di mana mereka tidak boleh melawan Firaun yang begitu kuat dan berkuasa ketika itu. Mereka dikehendaki bersabar sehinggalah datang ketetapan daripada Allah ﷻ. Kita pun tahu yang selepas itu mereka diselamatkan juga daripada Firaun. Namun sebelum itu kenalah bersabar. Maka jangan pandang rendah dengan kuasa sabar.
إِنَّ الأَرضَ لِلَّهِ
sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah,
Nabi Musa عليه السلام mengingatkan mereka bahawa bumi Mesir ini semua milik Allah ﷻ, bukan milik Firaun. Memang Firaun rasa dia boleh berbuat apa sahaja di negeri Mesir namun keputusan dan qadar bukan di tangannya tetapi di tangan Allah ﷻ. Maka serah sahajalah kepada Allah ﷻ.
يورِثُها مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ
diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya;
Memang pada waktu itu nampak seolah-olah Firaun berkuasa penuh di Mesir, tetapi oleh kerana Mesir bukan miliknya tetapi kepunyaan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ boleh mewariskan kepada sesiapa sahaja. Nabi Musa عليه السلام menjanjikan dalam ayat ini, jika mereka berdoa kepada Allah ﷻ dan bersabar, ada kemungkinan mereka akan dapat menguasai Mesir nanti.
Walau bagaimanapun mereka mestilah layak untuk menguasainya. Kerana Allah ﷻ akan memberi kekuasaan kepada umat yang soleh sahaja seperti disebut dalam [ Anbiya’: 105 ]
وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.
وَالعٰقِبَةُ لِلمُتَّقينَ
dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.
Nabi Musa عليه السلام menjanjikan kesudahan baik sentiasa kepada pihak yang bertaqwa. Asalkan mereka terus bertaqwa dan menjaga hukum, tawakal kepada Allah ﷻ dan berdoa kepada-Nya dan bersabar, mereka akan mendapat keputusan yang baik.
A’raf Ayat 129: Akan tetapi Bani Israil tidak boleh menerima nasihat daripada Nabi Musa عليه السلام. Sangat degil mereka ini.
قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا ۚ قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ فَيَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “We have been harmed before you came to us and after you have come to us.” He said, “Perhaps your Lord will destroy your enemy and grant you succession in the land and see how you will do.”
MALAY
Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu”
قالوا أوذينا مِن قَبلِ أَن تَأتِيَنا
Mereka berkata: “Kami telah dianiaya sebelum engkau datang kepada kami
Inilah kata-kata (rungutan) kaum Bani Israel: dulu kami sudah diseksa sebelum kamu datang ajak kami beriman. Mereka dahulu menjadi hamba abdi dan orang suruhan Firaun dan bangsa Qibti. Mereka telah mendapat kehinaan yang amat lama. Susah betul hidup mereka pada waktu itu sedangkan mereka sepatutnya bangsa yang mulia.
وَمِن بَعدِ ما جِئتَنا
dan sesudah engkau datang kepada kami”.
Mereka kata sekarang setelah Nabi Musa عليه السلام telah datang pun, mereka masih lagi diseksa. Semasa tidak ada agama, diseksa dan sekarang sudah ada agama pun kena seksa juga?
Di sini kalimah yang digunakan جِئتَنا sedangkan sebelum ini digunakan kalimah تَأتِيَنا. Ini kerana kalimah تَأتِيَنا bermaksud datang kosong sahaja, tetapi kalimah جِئتَنا bermaksud datang dengan membawa bukti. Bukankah Nabi Musa عليه السلام telah menunjukkan segala mukjizat?
Mereka berkata begitu kerana mereka risau tentang apa yang akan terjadi kepada mereka. Mereka tidak terkesan pun dengan motivasi daripada Nabi Musa عليه السلام sebelum ini. Mereka sangka dengan adanya Nabi Musa عليه السلام, masalah mereka akan selesai. Tetapi ini datang musibah lain pula, maka perlu berdoa dan bersabar pula?
Inilah masalah Bani Israel dan juga Bani Melayu pun. Mereka sangka hidup mereka setelah masuk Islam sepatutnya senang lenang sahaja. Mereka tidak sedar bahawa sudah masuk Islam pun tetap ada ujian daripada Allah ﷻ juga.
Mereka yang jahil tidak sanggup menerima kesusahan dalam kehidupan. Mereka mahu hidup senang lenang sahaja. Ini kerana mereka tidak tahu yang sabar dengan ujian disakiti itu akan mendapat balasan yang hebat seperti yang disebut dalam [ Ali Imran: 195 ]
فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَٰرِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ
maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
قالَ عَسىٰ رَبُّكُم أَن يُهلِكَ عَدُوَّكُم
Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu
Ini adalah jawapan Nabi Musa عليه السلام kepada mereka, yang nampak sebagai rungutan daripada mereka: Nabi Musa عليه السلام menenangkan mereka dengan mengatakan mudah-mudahan Allah ﷻ akan membinasakan musuh mereka, iaitu Firaun dan pembesar-pembesarnya.
Maknanya, Nabi Musa عليه السلام tidak layan sangat rungutan mereka kepada baginda itu. Baginda terus memberikan harapan kepada mereka dan suruh mereka berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Sebab rungutan-rungutan itu tidak perlu dilayan.
Kalimah yang digunakan di sini adalah عَسىٰ yang bermaksud mudah-mudahan. Baginda tidak menggunakan kalimah yang lebih pasti kerana mereka masih tetap kena berusaha juga. Ini kerana sekiranya digunakan kalimah pasti, nanti mereka goyang kaki sahaja dan hanya berpegang kepada janji Allah ﷻ sahaja.
وَيَستَخلِفَكُم فِي الأَرضِ
dan menggantikan kamu jadi khalifah di bumi,
Baginda kata, bukan sahaja Allah ﷻ boleh mematikan musuh mereka, tetapi Allah ﷻ boleh juga menjadikan mereka sebagai pengganti untuk memerintah Mesir. Tentu sahaja Allah ﷻ mampu seperti disebut dalam [ Ali Imran: 26 ]
قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.
Ini tentunya memberi motivasi kepada mereka. Bayangkan selama hari ini mereka ditindas dengan teruk sekali, tetapi sekarang mereka dikatakan ada peluang untuk memerintah Mesir dengan segala kekayaan yang ada. Namun begitu, jangan bergembira lagi…
فَيَنظُرَ كَيفَ تَعمَلونَ
kemudian Dia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu”
Allah ﷻ mahu melihat tindak tanduk manusia, bagaimana mereka menghadapi segala dugaan dalam kehidupan ini. Terutama sekali setelah mereka mendapat kuasa. Begitu juga dengan Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام itu. Nabi Musa عليه السلام mengingatkan mereka yang Allah ﷻ akan memerhatikan segala tindak tanduk mereka. Nanti selepas Firaun hancur dan mereka mendapat pemerintahan Mesir, Allah ﷻ akan lihat dan menilai apakah yang mereka akan lakukan.
Ini kerana objektif utama dalam hidup bukanlah untuk mendapat kekuasaan dan kekayaan. Akan tetapi yang dinilai adalah apa yang akan kita lakukan dengan pemberian daripada Allah ﷻ itu. Itu semua adalah ujian daripada Allah ﷻ sebenarnya. Bagi para pemimpin yang berkempen mestilah ingat, bukan untuk mendapat kerusi sahaja, tetapi ada tugas yang perlu dijalankan.
Janji ini terbukti selepas wafatnya Nabi Musa عليه السلام. Ia terjadi pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام ketika Bani Israel mempunyai kerajaan yang besar dan hebat. Kemudian selepas itu mereka mempunyai kekuasaan sekian lama di atas muka bumi ini. Allah ﷻ akan menilai bagaimana mereka menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.
Begitu jugalah dengan Muslim dari dahulu sampai sekarang. Kita pun dinilai juga sepanjang masa. Islam dahulu bermula dengan lemah, namun kemudiannya diberikan kuasa memerintah di dunia ini oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ juga menilai bagaimana kuasa itu diperintah oleh orang Islam.
Kita boleh belajar daripada sejarah bagaimana kuasa yang besar itu telah disalahgunakan dan agama tidak diamalkan dengan sepatutnya. Pemerintah berfoya-foya menikmati kesenangan dunia sahaja dan kebajikan rakyat tidak dijaga. Maka kuasa itu telah ditarik balik daripada tangan orang Islam dan diberikan kepada orang kafir. Kita telah diuji dan kita telah gagal dengan ujian Allah ﷻ.
Sekarang kita lemah dan disepak di sana sini oleh orang kafir. Namun itu semua tidak semestinya akan berterusan. Jika kita kembali menjaga agama kita dan menjalankan tugas kita sebagai orang Islam yang sejati, Allah ﷻ boleh memberikan kuasa memerintah dunia kembali kepada kita. Namun kena ingat yang itu juga adalah ujian. Manusia sering lupa bahawa kesenangan dan kekayaan juga adalah ujian.
Kuasa juga penting kerana dengan kuasa, kita dapat menegakkan keadilan dan hukum Allah ﷻ. Maka jangan lari dan tolak kuasa setelah tahu ia adalah ujian. Kita kena tahu kalau kita lemah, kita tidak dapat mengamalkan hukum Allah ﷻ di mukabumi dan tidak dapat menegakkan keadilan kerana orang jahat yang berkuasa. Oleh hal yang demikian, kita tetap mesti berusaha untuk mendapatkan kuasa. Akan tetapi jangan sekali-kali lupa yang ia juga adalah merupakan ujian.
Habis Ruku’ 15 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan