Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 12 – 13 (Bai’ah dengan wanita)

Mumtahanah Ayat 12: Ayat ini adalah ayat penghormatan kepada golongan wanita. Kerana di dalam ayat ini disebut bai’ah dengan wanita. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ telah banyak mengadakan bai’ah dengan manusia, tetapi tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Tapi apabila baginda ﷺ mengadakan bai’ah dengan wanita maka kandungan bai’ah itu disebut satu persatu seperti ada di dalam ayat ini dan tidak ada disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Jadi ini menunjukkan kehebatan bai’ah yang baginda adakan dengan para wanita itu.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ عَلىٰ أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا وَلا يَسرِقنَ وَلا يَزنينَ وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ ۙ فَبايِعهُنَّ وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, when the believing women come to you pledging to you that they will not associate anything with Allāh, nor will they steal, nor will they commit unlawful sexual intercourse, nor will they kill their children, nor will they bring forth a slander they have invented between their arms and legs,¹ nor will they disobey you in what is right – then accept their pledge and ask forgiveness for them of Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This is an allusion to pregnancy and childbirth, i.e., to falsely attribute a child (whether adopted or born of adultery) to a woman’s husband.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, kerana bagindalah yang mengadakan bai’ah dengan para wanita itu. Atau sesiapa yang baginda wakilkan untuk melakukan bai’ah itu. Kerana ada yang baginda wakilkan kepada para sahabat yang besar.

Dan ia juga ditujukan kepada khalifah Islam selepas baginda. Kerana khalifah juga boleh melakukan bai’ah dengan rakyat juga.

إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ

apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia denganmu,

Dalam ayat 10 sebelum ini, ia tentang ujian yang perlu dilakukan kepada wanita yang baru datang berhijrah ke Madinah. Selepas mereka diuji, maka barulah mereka dibai’ah. Akan tetapi bai’ah ini tidaklah hanya kepada mereka sahaja. Banyak kali bai’ah telah dilakukan pada zaman Nabi.

Bai’ah adalah janji untuk taat setia. Bai’ah ini salah satu kepentingannya adalah untuk memberikan perasaan ‘kekitaan’ kepada satu-satu kumpulan dan menunjukkan kesetiaan kepada kumpulan itu. Selepas melakukan bai’ah itu, akan menyebabkan rasa rapat dan masuk ke dalam satu-satu kumpulan atau negara.

Oleh kerana itu kita ada dengar bagaimana ada orang yang bersumpah ikrar untuk tinggal di sesuatu negara yang mereka masuk itu dan apabila mereka selesai majlis ikrar taat setia itu, ada yang menangis kerana mereka terharu. Kerana mereka telah dimasukkan dan diiktiraf di negara itu.

Itu baru masuk jadi warganegara satu negara, dan bagaimana pula kalau bai’ah itu adalah untuk berpegang kepada agama Islam ini? Maka tentulah ianya lebih memberi kesan kepada hati manusia. Kerana mereka bukan sahaja meninggalkan negara lama dan masuk negara baru, tapi mereka telah masuk ke dalam kehidupan  yang baru.

Maka mereka yang berbai’ah kepada Rasulullah ﷺ itu telah berjanji setia untuk masuk ke dalam agama Islam dan berjanji untuk taat kepada ajaran Islam. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sekumpulan wanita yang telah masuk Islam dan telah berhijrah ke Madinah. Mereka telah dibai’ah oleh Rasulullah ﷺ. Apakah kandungan bai’ah mereka?

Selepas Pembukaan Mekah, Rasulullah ﷺ telah mengadakan bai’ah dengan para mukmineen yang masuk Islam di Bukit Safa. Dan baginda ﷺ arahkan Saidina Umar رضي الله عنه untuk menerima bai’ah dari golongan mukminaat pula. Dan apabila pulang ke Madinah, baginda ﷺ arahkan bai’ah dari para wanita dilakukan dan dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه juga.

Dan pernah baginda membacakan ayat ini dan mengadakan sendiri bai’ah dengan para wanita yang lain. Dan ada waktu-waktu lain juga para wanita datang kepada baginda ﷺ dan bai’ah dari mereka dilakukan. Jadi dalam semua keadaan itu, perkara yang dibai’ah adalah seperti yang di dalam ayat ini.

Apakah kandungan bai’ah mereka itu? Ada 6 perkara semua sekali.

أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا

bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah dengan apa pun, 

Yang paling penting sekali adalah berjanji untuk tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ, dengan apa juga pun. Bukan dengan ilah yang lain, dengan benda, dengan sistem apa-apa pun. Itulah maksudnya شَيئًا iaitu apa-apa sahaja.

Ini kerana manusia dan jin melakukan syirik dengan berbagai-bagai cara dan semua cara itu telah dimasukkan di dalam kalimah شَيئًا ini. Tidak kira bagaimana caranya, semua itu tidak boleh dilakukan. Maka kena belajar jenis-jenis syirik ini kerana takut ada perbuatan syirik yang kita tidak sangka yang ianya adalah syirik.

Kerana itu disebut tentang syirik. Sedangkan tentu sudah disebut iman di tempat yang lain, bukan? Kerana iman tanpa meninggalkan syirik adalah sia-sia. Ramai yang tahu tentang apa yang perlu diimani, tapi ramai yang culas tentang syirik. Kerana ia tidak banyak ditekankan dalam pengajian di kalangan masyarakat kita.

وَلا يَسرِقنَ

dan tidak akan mencuri, 

Bai’ah kedua para wanita itu adalah tidak mencuri. Ini adalah tentang penjagaan harta manusia. Islam amat menjaga hak harta manusia. Dan kerana itulah ada hukum Hudud berkenaan pencurian dan rompakan.

Berkenaan bai’ah inilah Hindun, isteri Abu Sufyan bertanya kepada baginda ﷺ sama ada dia boleh ambil wang Abu Sufyan tanpa pengetahuannya itu.

Hindun ibnu Utbah menyebutkan bahawa dia pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang kedekut, belum pernah memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, apakah aku berdosa jika kuambil sebahagian dari hartanya tanpa pengetahuan-nya?” Rasulullah Saw. menjawab:

“خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ”
Ambillah sebahagian dari hartanya dengan cara yang makruf untuk mencukupi keperluanmu dan keperluan anak-anakmu.
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis ini di dalam kitab sahihnya masing-masing.

وَلا يَزنينَ

dan tidak akan berzina, 

Ini adalah janji untuk tidak berzina iaitu menjaga maruah dan nasab keturunan. Kerana kalau zina dibiarkan berleluasa, maka maruah akan hancur dan keturunan akan rosak kerana sudah tidak tahu bayi itu anak lelaki yang mana.

Maka kalau itu terjadi, institusi kekeluargaan akan hancur. Kita pun tahu bahawa kalau anak tidak ada penjagaan dari ibu dan bapanya, mereka mungkin ada masalah. Tidaklah semua, tapi ramai juga yang begitu.

Ditekankan bai’ah ini kepada wanita kerana kalau mereka dapat jaga benar perkara ini, maka ia dapat mengurangkan zina di kalangan masyarakat. Kalau wanita jaga perkara ini, lebih mudah bagi lelaki untuk menjaga perkara ini juga. Kerana zina ini senang terjadi kalau wanita tidak menjaganya. Ini kerana zina mudah terjadi kalau wanita tidak menjaganya.

وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ

tidak akan membunuh anak-anaknya, 

Ini adalah janji tidak akan membunuh anak yang lahir, sama ada anak itu lelaki atau wanita. Ini penting kerana pada zaman itu, ada yang membunuh anak perempuan kerana mereka malu kalau dapat anak perempuan. Maka ini adalah janji yang penting. Bukanlah semua orang Arab melakukannya, tapi ada yang buat. Sebagai contoh, Bani Quraish tidak melakukannya (jadi kisah yang mengatakan Saidina Umar membunuh anak perempuannya tidaklah benar).

Bukan zaman itu sahaja manusia tidak suka kepada anak perempuan. Malah pada zaman sekarang pun ada yang tidak suka. Kerana itu ada yang kalau tahu dapat anak perempuan, mereka akan gugurkan; atau kalau mereka dapat anak perempuan, muka mereka akan sedih kerana mereka kena jaga anak perempuan itu sampai besar dan akhirnya kahwin dengan lelaki lain, dia akan meninggalkan keluarga. Sudahlah semasa kecil tidak dapat membantu, selepas dewasa pun tidak membantu kerana pergi ikut suaminya.

Perihal pembunuhan anak perempuan dan juga ketidaksukaan kalau dapat anak perempuan disentuh dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

Pembunuhan anak ini termasuk juga pengguguran anak. Ada wanita yang menggugurkan anak sama ada anak itu anak halal ataupun anak zina. Berbagai sebab kenapa mereka melakukan perkara itu, tapi hukumnya adalah haram. Kecuali kalau kerana sebab-sebab tertentu dan ini terdapat dalam perbincangan ulama fiqh.

وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ

tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka 

Mereka berjanji untuk tidak memulakan skandal atau gosip walau di mana sahaja mereka berada. Jadi ‘buhtan’ boleh bermaksud kata-kata dusta atau fitnah atau sumpah palsu.

Ini disebut di dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana perkara ini boleh menyebabkan sakit hati ataupun rendah hati pada pada mana-mana manusia yang akan menyebabkan mereka malu dengan semua orang. Bukan sahaja malu malah boleh menyebabkan perkelahian dan pertengkaran yang boleh sampai menyebabkan peperangan.

Ulama mengatakan ada dua maksud بِبُهتٰنٍ dalam ayat ini:

1. Mengatakan seorang wanita telah berzina dan menyebarkan berita palsu ini. Tidak dapat dinafikan, kaum wanita memang suka gossip begini dan kerana itu mereka diingatkan dengan perkara ini.

2. Seorang wanita telah berzina dengan lelaki selain dari suaminya sehingga melahirkan anak haram. Tapi dia mengatakan yang anak yang lahir itu adalah anak suaminya. Ini adalah penipuan yang amat besar.

Ibnu Abbas رضي الله عنه mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah mereka menisbatkan anak-anak mereka kepada selain ayah-ayah mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Muqatil. Pendapat ini diperkuat dengan adanya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Disebutkan bahawa:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا بن وَهْبٍ، حَدَّثَنَا عَمْرٌو -يَعْنِي: ابْنَ الْحَارِثِ-عَنِ ابْنِ الْهَادِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يُونُسَ، عَنْ سَعِيدٍ المَقْبُري، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ويقول حِينَ نَزَلَتْ آيَةُ الْمُلَاعَنَةِ: “أَيُّمَا امْرَأَةٍ أدخَلت عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ، فَلَيْسَتْ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ، وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنّته، وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَد وَلَدَهُ وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ، وَفَضَحَهُ عَلَى رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ”

telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Ibnul Had, dari Abdullah ibnu Yunus, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah, bahawa ketika ayat Mula’anah (li’an) diturunkan, dia mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Siapa pun wanitanya yang memasukkan ke dalam kaum (nya) seseorang yang bukan berasal dari mereka, maka dijauhkanlah dia dari rahmat Allah, dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga. Dan siapa pun lelakinya yang mengingkari anaknya sendiri, padahal dia menyaksikannya, maka Allah menutup diri darinya dan memalukannya di depan mata kepala orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian (di hari kiamat nanti).

Kenapa ada sebut ‘antara kaki dan tangan’ mereka? Allah mengingatkan tentang ‘saksi’ di akhirat kelak. Allah ingatkan bahawa kita ini ada saksi yang akan ulang balik kata-kata kita nanti. Iaitu kaki dan tangan kita akan jadi saksi di akhirat kelak.

 

وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ

dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik,

Mereka juga berjanji akan taat kepada Rasulullah ﷺ dan tidak akan menderhakai baginda di dalam arahan baginda. Sebelum ini telah disebut perkara-perkara yang ‘jangan’ dilakukan. Iaitu perkara-perkara yang selalu dilakukan oleh wanita pada zaman itu. Dan sekarang disebut perkara yang ‘perlu’ dilakukan pula.

Disebut 4 perkara yang tidak boleh dilakukan dan sekarang bila suruhan melakukan sesuatu, hanya sebut satu sahaja: ikut arahan Nabi ﷺ sahaja. Allah ﷻ tak sebut ikut Al-Qur’an atau taat kepada Allah ﷻ dalam ayat ini, tapi Allah ﷻ suruh taat kepada Nabi ﷺ sahaja.

Ini mengajar kita untuk mengenal kedudukan Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ telah diberikan dengan tugas untuk membentuk masyarakat Islam dan baginda ﷺ telah diberikan kuasa yang luas. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah untuk kebaikan dan manusia kena taat kepada baginda. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah agama.

Memanglah kena taat kepada Allah ﷻ, tapi ketaatan kepada Allah ﷻ itu ditunjukkan dengan taat kepada Nabi ﷺ kerana baginda yang bawa amanah dari Allah ﷻ. Lalu bagaimana pula ada golongan yang terlalu bodoh sampaikan boleh terima ajaran Anti-Hadis? Mereka rasa mereka boleh ambil arahan dari Al-Qur’an sahaja dan tolak hadis Nabi? Bagaimana boleh sampai begitu? Kenapakah jahil sangat?

Jadi ini mengajar kita yang Hadis dan Sunnah juga adalah sumber hukum kita. Jangan tengok apa yang ada dalam Al-Qur’an sahaja. Kerana kata-kata Nabi (hadis) itu adalah wahyu juga. Jangan salah faham, jangan tidak tahu pula. Jangan pula kata: “aku tak mahu ikut kerana arahan ini tidak ada pun dalam Al-Qur’an!”. Ini adalah kata-kata orang yang sangat jahil dalam agama.

‘Perkara makruf’ adalah perkara yang telah diketahui perkara yang baik di dalam sesuatu masyarakat itu seperti yang telah tertulis di dalam undang-undang agama Islam. Perkara itu juga diketahui sebagai baik dalam masyarakat yang bukan Islam pun, jadi ia adalah perkara yang semua orang sudah tahu ianya ‘baik’. Sampaikan tak perlu nak ajar pun orang sudah tahu.

Oleh kerana itu kita sebut di dalam agama, disuruh untuk melakukan ‘amar makruf’ iaitu mengajak manusia untuk melakukan perkara baik yang mereka pun telah tahu ianya baik. Manusia juga tahu ianya baik kerana fitrah diri kita memang sudah kenal mana yang baik dan mana yang buruk. Kerana itu orang yang pertama kali mencuri atau berbohong, mereka akan ketakutan (berpeluh dan berdegup jantung mereka) kerana itu berlawanan dengan fitrah kejadian mereka.

Lihat kalimah yang digunakan dalam ayat ini: “dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik“. Maknanya, taat kepada baginda pun ada syarat juga: kena dalam urusan yang baik. Kalau Nabi ﷺ suruh buat benda salah pun tidak boleh taat.

Memanglah Nabi ﷺ tidak akan suruh buat benda yang salah, tapi Allah ﷻ hendak beritahu: kalau nak ikut Rasul pun kena tengok sama ada benda itu baik atau tidak, apatah lagi kalau ikut arahan manusia? Kerana ada yang salah faham dengan mengatakan kena taat kepada Raja/Pemerintah sepertimana taat kepada Rasul kerana Nabi ﷺ adalah pemerintah pada zaman baginda.

Ini adalah salah kerana dalam taat, hanya boleh dalam perkara yang makruf baik sahaja. Tidak boleh pakai ikut sahaja. Kerana kalau taat dalam perkara maksiat, tetap berdosa. Yang suruh akan berdosa dan yang ikut arahan itu juga akan berdosa.

Dan kerana baginda ﷺ itu menjadi sumber hukum juga, maka ada bai’ah yang baginda ﷺ juga tambah dari selain yang ada dalam ayat ini:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Mahdi, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Umaimah binti Raqiqah yang telah menceritakan bahawa dia datang kepada Rasulullah Saw. bersama-sama dengan kaum wanita untuk menyatakan baiat (janji setia) mereka kepadanya. Maka baginda Saw. menyumpah kami dengan apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an, iaitu kami tidak boleh mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, hingga akhir ayat. Lalu baginda Saw. bersabda: Dalam batasan sesuai dengan kemampuan dan kekuatan kalian. Kami berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih sayang kepada kita daripada diri kita sendiri.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak menjabat tangan kami (sebagaimana engkau membaiat kaum lelaki)?” Rasulullah Saw. bersabda:
“إِنِّي لَا أُصَافِحُ النِّسَاءَ، إِنَّمَا قَوْلِي لِامْرَأَةٍ وَاحِدَةٍ كَقَوْلِي لِمِائَةِ امْرَأَةٍ”
Sesungguhnya aku tidak mahu berjabat tangan dengan wanita (lain), sesungguhnya ucapanku kepada seorang wanita adalah sama dengan ucapanku kepada seratus orang wanita.

Selain itu, ada yang baginda ﷺ tambah lagi:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr, telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa’id, dari Qatadah sehubungan dengan ayat ini, bahawa pernah diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Swt. telah menyumpah mereka untuk tidak melakukan niyahah dan janganlah mereka berbicara dengan kaum lelaki kecuali lelaki yang mahramnya. Maka Abdur Rahman ibnu Auf r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami sering mempunyai tamu-tamu, sedangkan kami sering meninggalkan isteri-isteri kami.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Bukan mereka yang aku maksudkan, bukan mereka yang aku maksudkan.

 

فَبايِعهُنَّ

maka terimalah janji setia mereka 

Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ terimalah bai’ah mereka itu kerana bai’ah mereka itu ikhlas.

Dan kena ingat yang bai’ah itu tanpa ada pegangan tangan antara mereka dan Rasulullah ﷺ kerana itu adalah aurat. Jadi ini adalah teguran kepada sesiapa yang ada pula bai’ah bersalam antara guru lelaki dan anak murid perempuan seperti yang ada dilakukan oleh pertubuhan silat.

Siti Aisyah r.a. isteri Nabi Saw. pernah menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah Saw. menguji setiap wanita mukmin yang berhijrah kepadanya kerana ada ayat ini, iaitu: Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia. (Al-Mumtahanah: 12) sampai dengan firman-Nya: Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Mumtahanah: 12) Urwah mengatakan bahawa Siti Aisyah melanjutkan kisahnya, bahawa barangsiapa di antara wanita-wanita yang mukmin itu mengakui persyaratan tersebut. Maka Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Aku telah membaiatmu (menerima janji setiamu) hanya dengan ucapan; dan demi Allah tangan baginda sama sekali tidak menyentuh tangan seorang wanita pun dalam baiat itu. Baiat baginda kepada mereka hanyalah melalui sabda beliau Saw. yang mengatakan: Aku telah membaiatmu atas hal tersebut. Riwayat Imam Bukhari.

وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ

dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. 

Dan selepas majlis bai’ah itu, Rasulullah ﷺ disuruh untuk minta ampun bagi pihak mereka.

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka Allah ﷻ akan ampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu. Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa hamba-Nya yang minta ampun kerana Dia Maha Penyayang.


Mumtahanah Ayat 13: Kita sampai ke ayat terakhir surah ini. Diulang kembali perkara awal yang disebut di awal surah ini iaitu tidak berteman rapat dengan orang kafir.

Ayat 13 ini dikira sebagai Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Ia mengandungi perintah setia kepada Negara Islam dan putuskan hubungan dengan puak kafiroon.

Orang-orang kafir (yang menentang Islam) dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ. Maka jangan jadikan mereka rakan kerjasama, kerana mereka telah memusuhi agama Islam.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not make allies of a people with whom Allāh has become angry. They have despaired of [reward in] the Hereafter just as the disbelievers have despaired of [meeting] the companions [i.e., inhabitants] of the graves.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau tadi ayat ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, sekarang ayat ditujukan kepada orang-orang beriman pula. Semua kena ambil peringatan dari ayat ini.

لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم

janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. 

Allah ﷻ memberitahu kepada orang-orang beriman supaya jangan berkawan rapat dengan orang-orang yang telah dibenci oleh Allah ﷻ.

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, serta orang-orang kafir lainnya yang dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ serta yang berhak diusir dan dijauhkan dari rahmat-Nya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang munafik yang telah dikenalpasti siapakah mereka dari sikap-sikap mereka.

قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ

Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat 

Mereka yang dimurkai oleh Allah ﷻ itu tidak ada harapan lagi di akhirat kelak. Mereka tidak akan mendapat pengampunan dari Allah ﷻ sampai bila-bila.

كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

Orang yang putus asa itu adalah seperti orang yang telah putus asa untuk bertemu dengan ahli keluarga mereka yang telah mati dan telah masuk ke dalam kubur. Memang kalau sudah mati salah seorang dari ahli keluarga, tidak akan dapat jumpa sampai bila-bila.

Dikatakan demikian kerana mereka tidak menyakini adanya hari berbangkit dan tidak pula dengan hari perhimpunan semua makhluk; harapan mereka telah putus untuk dapat bersua kembali dengan kerabat mereka yang telah tiada, menurut keyakinan mereka.

Tapi kita kena sedar yang orang Islam, masih lagi dapat jumpa ahli keluarganya di dalam syurga. Kalau ahli keluarga sama-sama dapat masuk ke dalam syurga, maka boleh duduk sekali dalam syurga. Ini adalah nikmat yang tidak ada pada orang kafir.

Juga bermaksud orang-orang kafir itu akan putus asa apabila mereka telah masuk ke dalam kubur nanti kerana mereka akan tahu nasib mereka. Barulah mereka tahu yang perkara yang mereka tolak dulu semasa di dunia adalah benar belaka.

Mereka akan nampak alam kubur, mereka akan berjumpa dengan malaikat Munkar dan Nakir dan mereka akan dikenakan dengan azab kubur. Mereka akan menyesal sungguh-sungguh. Tapi penyesalan waktu itu sudah terlambat. Kerana tidak akan ada peluang untuk patah balik ke dunia dan baiki segala kesalahan yang telah dilakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Saff.

Tarikh: 28 Oktober 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 10 – 11 (Periksa iman wanita yang hijrah ke Madinah)

Mumtahanah Ayat 10: Ayat 10 – 12 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi undang-undang kewarganegaraan. Kiranya undang-undang Imigresen Negara Islam juga.

Di dalam perenggan ini juga ada disebut hukum pertukaran Mahr.  Latar belakang: Peringkat awal Islam dahulu, terdapat suami-isteri yang terpisah kerana ada pasangan yang ikut Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah sedangkan ada pasangan mereka yang enggan masuk Islam dan kekal kafir.

Surah ini diturunkan selepas Perjanjian Hudaybiyah dan di dalam perjanjian itu ada yang mengatakan jikalau ada orang masuk Islam dan lari daripada Mekah ke Madinah, orang itu kena dikembalikan semula ke Mekah.

Ada seorang wanita yang telah beriman lalu lari dari Mekah ke Madinah. Kalau mengikut perjanjian itu, dia perlu dikembalikan tetapi Rasulullah ﷺ memberitahu yang perjanjian itu berkenaan dengan ‘orang-orang lelaki’ sahaja dan bukan orang perempuan. Ini adalah kerana kalau dikembalikan orang perempuan itu balik ke Mekah, maka tidak tahu apa yang akan dilakukan kepada mereka.

Tetapi ada masalah baru yang perlu dipastikan sama ada wanita-wanita itu memang orang-orang Mukminah ataupun tidak kerana ditakuti mereka itu mata-mata, ataupun dihantar untuk merosakkan moral orang Islam dari dalam. Pemeriksaan perlu dilakukan dan daripada inilah dapat nama surah ini.

Melakukan pemeriksaan ini tidaklah salah kerana sama sahaja seperti yang dilakukan Imigresen di mana-mana negara, di mana orang yang jaga imigresen itu akan tanya apakah tujuan kedatangan orang itu ke negara mereka. Ini kerana hendak memastikan supaya jangan ada niat yang tidak baik.

Jadi ayat ini adalah tentang penjagaan Wilayah Islam dan ini adalah satu perkara yang hebat kerana Islam sudah lama ada perkara ini yang sekarang kita boleh lihat diamalkan di semua negara berdaulat. Agama Islam memang agama yang praktikal dan ajaran di dalamnya patut diamalkan.

Ayat ini juga mengajar kita yang apabila salah seorang suami atau isteri sudah mahu masuk Islam, maka dia tidak boleh tunggu pasangannya itu sama-sama ada keinginan dengan dia untuk masuk Islam juga. Ini adalah kerana jika dia terus menunggu, ada kemungkinan dia akan mati dalam kufur.

Maka jika ada isteri sudah mahu kepada Islam maka dia kena tinggalkan suaminya itu; dan kalau suami mahu masuk Islam dan isterinya tidak mahu masuk Islam sekali dengan dia, maka dia kena tinggalkan isterinya itu. Jangan jadikan kasih sayang sesama manusia sebagai penyebab masuk neraka pula.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا جاءَكُمُ المُؤمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامتَحِنوهُنَّ ۖ اللهُ أَعلَمُ بِإيمٰنِهِنَّ ۖ فَإِن عَلِمتُموهُنَّ مُؤمِنٰتٍ فَلا تَرجِعوهُنَّ إِلَى الكُفّارِ ۖ لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ ۖ وَءآتوهُم مّا أَنفَقوا ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم أَن تَنكِحوهُنَّ إِذا ءآتَيتُموهُنَّ أُجورَهُنَّ ۚ وَلا تُمسِكوا بِعِصَمِ الكَوافِرِ وَاسئلوا ما أَنفَقتُم وَليَسئلوا ما أَنفَقوا ۚ ذٰلِكُم حُكمُ اللهِ ۖ يَحكُمُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when the believing women come to you as emigrants, examine [i.e., test] them. Allāh is most knowing as to their faith. And if you know them to be believers, then do not return them to the disbelievers; they are not lawful [wives] for them, nor are they lawful [husbands] for them. But give them [i.e., the disbelievers] what they have spent.¹ And there is no blame upon you if you marry them when you have given them their due compensation [i.e., mahr]. And hold not to marriage bonds with disbelieving women, but ask for what you have spent and let them [i.e., the disbelievers] ask for what they have spent.² That is the judgement of Allāh; He judges between you. And Allāh is Knowing and Wise.

  • For marriage, i.e., compensate their loss.
  • When a disbelieving wife chose to join the disbelievers, a Muslim husband could demand in return the equivalent of her mahr. Likewise, the disbelievers had a similar right when a believing woman joined the Muslims. This and the following verses were revealed subsequent to the Treaty of al-Ḥudaybiyyah.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka. Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka, mahar yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atasmu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir; dan hendaklah kamu minta mahar yang telah kamu bayar; dan hendaklah mereka meminta mahar yang telah mereka bayar. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkan-Nya di antara kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Allah ﷻ mengajar orang Islam bagaimana untuk menjaga Negara Islam dari dirosakkan. Antaranya adalah dengan menjaga siapakah yang masuk ke dalam negara.

Dan Allah sekarang mengajar apa terjadi kalau satu pasangan masuk Islam dan pasangannya tidak mahu menyertai.

 

إِذا جاءَكُمُ المُؤمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامتَحِنوهُنَّ

apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka.

Oleh kerana kita tidak tahu sama ada mereka itu orang beriman atau pun tidak, maka kenalah negara Islam cuba pastikan apakah niat mereka. Ini dapat dilakukan dengan tanya kepada mereka dengan berikan soalan-soalan yang agak sukar untuk memastikan yang mereka benar-benar seorang yang beriman dan tahu tentang Islam.

Seperti yang telah disebut, selepas Perjanjian Hudaybiyah ditandatangani, salah satu terma di dalamnya, kalau ada penduduk Mekah yang masuk Islam dan lari ke Madinah, maka mereka kena dikembalikan ke Mekah. Dan memang ada yang telah dikembalikan. Sebagai contoh, seorang sahabat bernama Abu Jandal telah diseksa di Mekah dan beliau dapat melarikan diri ke Madinah. Oleh kerana perjanjian ini, maka Rasulullah telah mengarahkan beliau dikembalikan ke Mekah. Rasulullah mungkin sudah nampak bahawa kejayaan menakluk Mekah tidak lama lagi.

Tapi, seorang wanita bernama Umm Kulthum Uqbah bin Abi Mu’ait telah masuk Islam dan berhijrah ke Madinah. Dua abangnya (yang musyrik) sudah datang ke Madinah untuk menuntut adik mereka. Waktu itu timbul persoalan: adakah Umm Kulthum Uqbah bin Abi Mu’ait perlu dikembalikan ke Mekah? Teks literal Perjanjian Hudaybiyah itu tidak dapat dipastikan jadi susah untuk kita pastikan apakah perkataan yang tepat.

Ayat ini memberitahu bahawa Umm Kulthum atau mana-mana wanita dari Mekah tidak dikembalikan kerana terma itu berkenaan ‘lelaki’ Mekah sahaja dan tidaklah termasuk wanita dari Mekah. Jadi ada hujah dari sudut teknikal teks. Kerana perjanjian itu secara spesifik sebut ‘orang lelaki’.

Maka jangan kita sangka yang Allah ﷻ tukar pendapat pula selepas Perjanjian itu ditandatangani; atau Rasulullah ﷺ ubah pendapat pula. Kerana kalau begitu, tentulah tidak adil. Dan kalau betullah baginda ﷺ mengubah pendapat setelah perjanjian ditandatangan, tentulah Musyrikin Mekah akan menggunakan hujah ini untuk memburukkan Islam (tentu mereka berkata: “tengoklah bagaimana Muhammad senang sahaja nak tukar perjanjian”).

Tapi kita tidak bertemu riwayat yang mengatakan Musyrikin Mekah menggunakan hujah ini untuk mengutuk Nabi Muhammad ﷺ atau umat Islam. Jadi hujah baginda adalah tepat sampaikan mereka tidak dapat berhujah balik dengan baginda.

Mungkin mereka pun sangka bahawa terma kena kembalikan penduduk Mekah yang hijrah ke Madinah itu dalam bentuk umum, sama ada lelaki atau wanita. Kerana itulah abang Umm Kulthum datang ke Madinah untuk menuntut adik mereka. Tapi baginda ﷺ mengatakan yang perjanjian ini berkenaan lelaki sahaja (kerana kalimah yang digunakan adalah ‘rajul’ – lelaki dewasa).

Jadi apabila baginda ﷺ berhujah begitu, mereka pun terbungkam kerana begitulah perjanjian itu. Mereka tidak ada hujah balas dan mereka terpaksa terima. Kes yang sama juga telah berlaku kepada Sayyidah Sa’dah binti al-Harith al-Aslamiyah.

Akan tetapi, bukan semua wanita mendapat perlindungan ini. Mereka mestilah hendak beriman kepada Allah dan Rasul, dan bukan kerana sebab yang lain. Entah dia ada masalah di Mekah dan lari ke Madinah, lari dari suaminya, atau kerana hendak kepada lelaki yang telah berhijrah ke Madinah, atau atas sebab-sebab lain. Maka mereka itu perlu diuji dan diselidiki apakah niat mereka.

 

اللهُ أَعلَمُ بِإيمٰنِهِنَّ

Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka; 

Kita cuma boleh cuba periksa dan tanya sahaja, tapi yang tahu apa yang di dalam hati mereka adalah Allah sahaja. Mungkin mereka pandai menipu, atau memang mereka benar beriman tapi tak tahu nak jawab soalan lagi kerana tak banyak maklumat mereka tahu.

Maka kita cuma boleh berusaha sahaja untuk cuba mengesan dalam hati mereka.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman Allah Swt.: Hai orang-orang yang beriman, apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. (Al-Mumtahanah: 10) Disebutkan bahawa ujian mereka ialah disuruh mengucapkan kalimat tasyahud, iaitu kesaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.

Maka, salah satu pendapat mengatakan: wanita itu hanya perlu bersumpah sahaja yang mereka itu sudah beriman. Kerana kalau nak periksa hati mereka, memang tidak boleh pun.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Bukair, dari Qais ibnurRabi’, dari Al-Agar ibnusSabbah, dari Khalifah ibnu Husain, dari AbuNasr Al-Asadi yang mengatakan bahawa Ibnu Abbas pernah ditanya tentang cara Rasulullah Saw. menguji wanita-wanita yang berhijrah itu. Maka Ibnu Abbas menjawab, bahawa Nabi Saw. menguji mereka dengan pertanyaan ‘tiadalah seseorang dari mereka keluar kerana benci kepada suami,’ lalu disumpah untuk itu. Disumpah pula bahawa hendaklah keluarnya dia bukan kerana mahu pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Juga disumpah dengan nama Allah bahawa dia keluar bukan untuk mencari dunia. Dan disumpah pula bahawa hendaknya dia keluar bukan kerana dorongan apa pun, melainkan hanya kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Pendapat ini disokong di dalam ayat seterusnya yang menyebut tentang bai’ah.

فَإِن عَلِمتُموهُنَّ مُؤمِنٰتٍ فَلا تَرجِعوهُنَّ إِلَى الكُفّارِ

maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada orang-orang kafir.

Maka selepas bertanyakan soalan-soalan ujian itu kepada para wanita itu dan yang memeriksa itu sudah yakin (setakat yang boleh) yang mereka itu memang orang beriman, maka jangan pulangkan mereka kembali ke negara mereka. Ini sebagaimana seorang sahabiah yang masuk Islam selepas Perjanjian Hudaybiyah dan Nabi ﷺ tidak pulangkan wanita itu ke Mekah.

Mungkin mereka itu ada suami lagi di Mekah tetapi apabila mereka telah masuk Islam, maka perceraian terjadi secara automatik. Maka begitu juga kalau ada isteri yang masuk ke dalam negara Islam dan meminta perlindungan dari kerajaan Islam kerana suami atau keluarganya belum masuk Islam, maka kerajaan Islam kena beri perlindungan. Jangan pulangkan wanita itu ke keluarganya. Kerana takut keluarganya akan buat apa-apa kepadanya pula.

 

لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم

Mereka tiada halal bagi orang-orang kafir itu 

Kenapa tidak boleh dikembalikan? Kerana apabila seorang wanita telah masuk Islam, maka perkahwinan antara wanita itu dan suaminya telah terbatal. Tidak boleh mereka terus bersama lagi. Wanita itu tidak halal bagi suaminya yang kafir itu.

Ayat ini mengandungi perubahan hukum. Sebelum itu, walaupun salah seorang pasangan masuk Islam, tidaklah pernikahan mereka terbatal. Ini kita boleh lihat bagaimana anak Rasulullah sendiri masih lagi menjadi isteri kepada seorang musyrik. Sayyidah Zainab telah berhijrah ke Madinah akan tetapi suaminya Abu al As tetap tinggal di Mekah. Pernikahan mereka tidak diputuskan oleh Rasulullah. Akhirnya Abu al As telah masuk Islam.

 

وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ

dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka. 

Jikalau mana-mana sahabat yang masih lagi ada isteri yang tidak mahu masuk Islam dan berada di Mekah, maka mereka hendaklah melepaskan isteri-isteri mereka itu dan tidaklah lagi boleh bersama dengan mereka.

Begitu juga dengan zaman sekarang: kalau ada yang masuk Islam tapi isteri tidak mahu ikut, maka kena tinggalkan mereka. Boleh cari isteri yang lain.

 

وَءآتوهُم مّا أَنفَقوا

Dan berikanlah kepada (suami-suami) mereka, mahar yang telah mereka bayar.

Pulangkan balik mahr yang telah diberikan oleh suami asalnya yang tidak mahu masuk Islam itu. Tapi bukanlah dari isteri itu kerana endah mahr itu pun sudah tiada, entah ditinggalkan di Mekah. Ia dibayar oleh Kerajaan Islam, dan kalau tidak boleh, ia menjadi tanggungjawab umat Islam keseluruhannya untuk berkongsi harta.

Dalam surah sebelum ini telah disebut bagaimana orang-orang yang benar-benar beriman itu sanggup memutuskan perhubungan dengan ahli keluarga mereka untuk menjaga agama dan sekarang disebut bagaimana seorang isteri itu sanggup untuk memutuskan tali perkahwinannya dengan suaminya.

Inilah pengorbanan yang amat besar. Tapi kerana agama, manusia yang benar-benar beriman akan sanggup untuk melakukannya. Maka kita kena kenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu dari kita dan kita hendaklah cuba ikuti cara mereka.

Lihatlah bagaimana  walaupun perhubungan perkahwinan itu telah terputus, tetapi Islam begitu adil dengan membayar kembali mahr yang telah diberikan oleh lelaki itu semasa perkahwinan dulu.

 

وَلا جُناحَ عَلَيكُم أَن تَنكِحوهُنَّ إِذا ءآتَيتُموهُنَّ أُجورَهُنَّ

Dan tiada dosa atasmu mengahwini mereka apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. 

Apabila wanita itu telah masuk Islam, maka perkahwinannya dengan suami yang kafir itu telah terbatal. Maka wanita itu boleh berkahwin dengan orang mukmin yang lain. Walaupun suami asalnya yang musyrik masih hidup dan tidak menceraikan isterinya itu.

Maka kerana wanita itu sudah bebas, maka dia boleh menikahi lelaki Muslim yang lain. Dan perkahwinan itu hendaklah dilakukan dengan baik dan seorang lelaki yang mahu mengahwini mereka hendaklah membayar mahr kepada wanita itu, walaupun mereka itu tidak ada wali dan tidak ada di dalam kedudukan untuk meminta mahr yang banyak.

Allah beri penegasan tentang mahr ini kerana takut ada yang sangka tidak perlu dibayar mahr kepada wanita itu. Mungkin ada yang kata, mahr wanita itu telah dibayar oleh kerajaan Islam kepada bekas suaminya, maka mungkin tidak perlu dibayar mahr. Ini tidak benar, mahr wanita itu mesti juga dibayar untuk mengahwininya. Mahr adalah wajib (bukan rukun) di dalam pernikahan.

Ini adalah hukum yang baru. Sebelum itu, kalau salah seorang pasangan masuk Islam, perkahwinan itu tidaklah terus terbatal. Ini sebagaimana Zainab (anak Rasulullah sendiri) dan suaminya Abul As ibnur Rabi’. Abul As terus tinggal di Mekah kerana tidak menerima Islam dan Zainab yang telah berhijrah ke Madinah. Perkahwinan mereka berterusan kerana tiada lagi hukum pemutusan tali perkahwinan itu. Sehinggalah akhirnya Abul As masuk Islam akhirnya.

Tapi hukum lama itu menyusahkan para wanita. Kerana mereka ada yang masuk Islam tapi suaminya tidak masuk Islam dan terus tinggal di Mekah. Suami mereka masih lagi boleh kahwin orang lain, tapi isterinya itu tidak boleh kahwin lagi kerana mereka masih lagi isteri orang.

Maka hukum ini membatalkan perkahwinan mereka itu dan bolehlah wanita yang telah masuk Islam itu mengahwini orang Mukmin yang lain pula. Ini lebih adil bagi wanita itu, bukan? Tidaklah dia terus digantung tanpa tali.

 

وَلا تُمسِكوا بِعِصَمِ الكَوافِرِ

Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (perkahwinan) dengan perempuan-perempuan kafir; 

Allah ingatkan di dalam ayat ini: Kalau isteri tidak mahu masuk Islam dan berhijrah ke negara Islam, maka janganlah terus berkahwin dengan mereka. Kena tinggalkan mereka. Kalimah عِصَمِ dari kata dasar ع ص م yang bermaksud mempertahankan, memegang, penjagaan, kebaikan, kesucian. Dalam ayat ini, kalimah عِصَمِ bermaksud tali perkahwinan.

Maka Umar ibnul Khattab رضي الله عنه telah menceraikan dua orang isterinya; yang salah seorangnya kemudian dinikahi oleh Mu’awiyah ibnu Abu Sufyan, sedangkan yang lainnya dinikahi oleh Safwan ibnu Umayyah. Umar رضي الله عنه melakukan demikian kerana keduanya masih dalam kemusyrikannya (tidak mahu ikut masuk Islam). Sebelum itu beliau tidak menceraikan mereka kerana masih lagi dibenarkan untuk meneruskan pernikahan dengan musyrikah.

Dan Talhah ibnu Abdullah رضي الله عنه menceraikan Arwa binti Rabi’ah ibnul Haris ibnu Abdul Muttalib. Kemudian dia dikahwini oleh Khalid ibnu Sa’id ibnul As sesudahnya. Jadi ayat ini mengandungi perubahan hukum sekali lagi.

 

وَاسئلوا ما أَنفَقتُم

dan hendaklah kamu minta mahar yang telah kamu bayar; 

Bagi lelaki yang telah beri mahr kepada isteri mereka yang tidak mahu masuk Islam maka bolehlah meminta kembali mahr yang telah diberikan. Mereka ada hak untuk memintanya kembali.

Akan tetapi, agaknya adakah golongan Musyrikin akan bayar balik? Mungkin tidak kerana mereka bukan kisah dengan hukum-hukum dalam Al-Qur’an pun. Maka masalah ini diselesaikan dalam ayat seterusnya. Kita bincang di situ nanti.

 

وَليَسئلوا ما أَنفَقوا

dan hendaklah mereka meminta mahar yang telah mereka bayar. 

Ada wanita yang masuk Islam dan suaminya tidak mahu masuk Islam. Maka dalam kes ini, hendaklah dipulangkan mahr yang telah diberikan oleh suami yang tidak mahu masuk Islam itu. Masa berkahwin dulu mahr telah diberikan, maka hendaklah dipulangkan kembali.

 

ذٰلِكُم حُكمُ اللهِ

Demikianlah hukum Allah 

Inilah hukum dari Allah ﷻ yang kena diikuti. Islam amat menjaga perhubungan dan menjaga keadilan supaya ditegakkan.

Jadi ini adalah antara ayat jenis Umur Munazimah. Iaitu Allah mengajar kita bagaimana cara bermasyarakat dan berhubungan dengan manusia yang lain. Kalau diikuti, ia akan dapat menjaga keamanan dalam masyarakat, tidak kira Muslim atau tidak. Kerana hukum-hukum ini diberikan oleh Allah yang kenal sangat dengan emosi manusia. Maka ia akan memuaskan hati semua orang.

 

يَحكُمُ بَينَكُم

yang ditetapkan-Nya di antara kamu. 

Iaitu dalam perjanjian perdamaian, dan pengecualian kaum wanita dari perjanjian tersebut. Perintah demikian itu semuanya adalah hukum Allah ﷻ, yang berdasarkan ketentuan ini Dia menghukumi di antara makhluk-Nya. Maka kerajaan Islam hendaklah mengamalkan hukum yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Mengetahui tentang kemaslahatan hamba-hamba-Nya, lagi Maha Bijaksana dalam mengatur kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Maka hukum-hukum yang Allah berikan ini adalah untuk menjaga perhubungan sesama manusia dan menjaga keadilan.


 

Mumtahanah Ayat 11:

وَإِن فاتَكُم شَيءٌ مِّن أَزوٰجِكُم إِلَى الكُفّارِ فَعاقَبتُم فَئاتُوا الَّذينَ ذَهَبَت أَزوٰجُهُم مِّثلَ ما أَنفَقوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you have lost any of your wives to the disbelievers and you subsequently obtain [something],¹ then give those whose wives have gone the equivalent of what they had spent. And fear Allāh, in whom you are believers.

  • From the side of the disbelievers, i.e., war booty or a believing woman seeking refuge with the Muslims.

(MELAYU)

Dan jika seseorang dari isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir, lalu kamu mengalahkan mereka, maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar. Dan bertakwalah kepada Allah Yang kepada-Nya kamu beriman.

 

وَإِن فاتَكُم شَيءٌ مِّن أَزوٰجِكُم إِلَى الكُفّارِ

Dan jika seseorang dari isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir,

Bagaimana jikalau kamu telah putuskan pernikahan dengan isteri yang tidak mahu masuk Islam dan apabila minta balik mahr yang telah diberikan kepada mereka dan mereka tidak mampu beri, sedangkan lelaki Muslim itu memerlukan wang untuk berkahwin yang baru? Ini penting kerana jikalau dia terus kafir maka mungkin dia tidak mahu pulangkan balik wang itu.

Kalimah فاتَكُم dari kata dasar ف و ت yang bermaksud sesuatu yang pergi, tergelincir, melarikan diri, longgar, hilang. Bermaksud seolah-olah wang mahr itu telah hilang dari kita. Islam beri jalan penyelesaiannya.

Ia juga bermaksud kalau ada dari kalangan isteri lelaki Muslim telah murtad dan kembali kepada Jahiliyah?

 

فَعاقَبتُم

lalu kamu mengalahkan mereka, 

Kalimah فاتَكُم dari kata dasar ع ق ب yang bermaksud berjaya, mengambil tempat, memukul. Allah memberitahu bahawa apabila berperang dan menang nanti, boleh gunakan hasil dari rampasan perang itu.

 

فَئاتُوا الَّذينَ ذَهَبَت أَزوٰجُهُم مِّثلَ ما أَنفَقوا

maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar.

Apabila dapat harta rampasan perang, maka bolehlah gunakan wang itu untuk berkahwin yang baru. Kerajaan Islam boleh gunakan sebahagian daripada harta rampasan perang itu untuk membantu orang-orang untuk berkahwin.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

Dan bertakwalah kepada Allah Yang kepada-Nya kamu beriman.

Yang penting adalah jaga iman dengan jaga agama dan hukum. Jangan buat perkara-perkara yang di luar dari hukum Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 September 2021

Ringkasan nota tafsir


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 6 – 9 (Bolehkah berkawan dengan orang kafir?)

Mumtahanah Ayat 6:

لَقَد كانَ لَكُم فيهِم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has certainly been for you in them an excellent pattern for anyone whose hope is in Allāh and the Last Day. And whoever turns away – then indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu; (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dialah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.

 

لَقَد كانَ لَكُم فيهِم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ

Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu;

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa tidak boleh mendoakan orang-orang yang syirik supaya selamat tetapi kita disuruh pula ikut nabi Ibrahim عليه السلام. Maknanya ikut keseluruhan sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام melainkan doa kepada bapanya itu; yang lain-lain boleh ikut.

Maka ikutlah cara mereka beragama dan pegang agama, cara mereka sanggup meninggalkan ahli keluarga mereka yang kafir dan tidak mendengar nasihat, cara mereka berdoa dengan khusyuk dan pengharapan mereka kepada Allah.

 

لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ

bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. 

Bagi orang yang ada meletakkan harapan untuk mendapatkan kebaikan di Hari Akhirat kelak, maka mereka akan belajar apakah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan umat baginda dan apa yang mereka amalkan. Kerana mereka sedar yang mereka akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka lakukan. Dan mereka berharap supaya Allah ﷻ memandang mereka dengan pandangan rahmat.

 

وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dialah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.

Kalau kamu wahai manusia berpaling daripada taat kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ itu Maha Kaya dan tidak memerlukan iman kamu. Salah satu dari ketaatan yang perlu ditunjukkan adalah memutuskan perhubungan dengan orang-orang kafir dan musyrik yang menentang Islam seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda.

Allah ﷻ juga tidak perlukan pujian kita pun kerana Dia bersifat al-Hameed. Memang Dia sudah sedia kala terpuji (walaupun tidak ada yang puji). Allah ﷻ tidak perlukan makhluk untuk puji Dia kerana sama ada makhluk puji atau tidak, Allah ﷻ tetap ada sifat-sifat terpuji itu.

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.


 

Mumtahanah Ayat 7: Ini adalah Ayat Tabshir (berita gembira) yang mengandungi janji Allah ﷻ. Ada sahabat yang berhajat supaya orang Mekah menjadi orang mukmin. Sekarang Allah ﷻ beritahu yang hasrat itu akan dimakbulkan.

۞ عَسَى اللهُ أَن يَجعَلَ بَينَكُم وَبَينَ الَّذينَ عادَيتُم مِّنهُم مَّوَدَّةً ۚ وَاللهُ قَديرٌ ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps Allāh will put, between you and those to whom you have been enemies among them, affection. And Allāh is competent,¹ and Allāh is Forgiving and Merciful.

  • To accomplish this or whatever He should will.

(MELAYU)

Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

عَسَى اللهُ أَن يَجعَلَ بَينَكُم وَبَينَ الَّذينَ عادَيتُم مِّنهُم مَّوَدَّةً

Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka.

Sebelum ini telah disebut yang niat Hatib untuk beritahu keluarga dia adalah untuk menyelamatkan mereka dari kufur. Kerana dia rasa kalau dia ada peluang untuk memberi peluang kepada mereka untuk menyelamatkan diri, dan kemudian dia terus dakwah kepada mereka, mereka tentu akan masuk Islam. Niat itu sudah baik tapi caranya yang salah (niat tidaklah menghalalkan cara).

Hatib nampak yang apabila peperangan berlaku di Mekah, tentu nanti akan ada pertumpahan darah yang banyak. Memang nampak macam peperangan itu hendak membunuh musuh, tapi Allah ﷻ ada perancangan sendiri. Kemasukan Rasulullah ﷺ dan umat Islam Madinah ke Mekah adalah untuk masukkan orang Mekah itu ke dalam Islam.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام yang memutuskan hubungan dengan kaumnya yang syirik. Tentu ini adalah amat susah sekali untuk dilakukan oleh para sahabat waktu itu. Maka Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ boleh lembutkan hati orang kafir itu untuk menerima Islam. Dan ini memang terjadi di dalam Pembukaan Mekah. Mereka ramai-ramai masuk Islam dan ini sudah ada dalam perancangan Allah ﷻ.

Waktu ayat ini diturunkan, para sahabat tidak nampak bagaimana ini boleh terjadi. Tapi tidak lama selepas itu, memang ia benar-benar terjadi. Memang tidak lama selepas ayat ini diturunkan, Mekah telah jatuh ke tangan umat Islam. Surah ini memang tentang perbuatan Hatib yang membocorkan rahsia rancangan Nabi Muhammad ﷺ untuk menyerang Mekah pun. Maknanya, sudah dekat sangat rombongan ke Mekah akan pergi.

Hakikatnya, walaupun umat Islam datang untuk menyerang Mekah, tapi entah berapa kerat sahaja penduduk Mekah yang dibunuh. Ini adalah kerana Allah ﷻ beri taufik kepada mereka ramai-ramai masuk Islam. Maka para sahabat nampak dengan mata mereka sendiri bagaimana janji Allah ﷻ itu menjadi kenyataan di hadapan mereka. Allah sebut kejadian ini dalam Nasr:2

يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا

manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,

Maka ayat ini memberi berita gembira yang permusuhan antara Muslim dan kafir tidak lama lagi akan berakhir. Ini adalah berita baik kepada para sahabat kerana ramai yang ahli keluarga mereka masih lagi kafir dan tidak mahu lagi masuk Islam. Allah beri berita gembira dalam ayat ini yang mungkin mereka akan ramai-ramai masuk Islam.

Maka begitulah kita dengan ahli keluarga kita kalau ada antara mereka belum Muslim lagi. Mereka mungkin tidak dapat terima jalan agama kita lagi, tapi entah Allah akan lembutkan hati mereka. Maka hendaklah kita tetap berbaik dengan mereka. Jangan kita hina dan putuskan hubungan dengan mereka kalau mereka tidak keras menentang kita. Kena tunjukkan akhlak yang baik kepada mereka.

Contoh terbesar yang kita boleh lihat adalah Abu Sufyan. Beliau asalnya adalah penentang keras kepada Nabi Muhammad dan Islam, malah telah menjadi pemimpin menyerang umat Islam. Tapi beliau masuk Islam semasa Pembukaan Mekah (ada pendapat yang mengatakan sebelum itu lagi) dan menjadi seorang Muslim yang baik dan berkhidmat untuk agama Islam.

 

وَاللهُ قَديرٌ

Dan Allah adalah Maha Kuasa. 

Allah ﷻ boleh saja membuka hati manusia yang bukan Muslim untuk masuk Islam setelah sekian lama. Ini kerana Allah ﷻ memang berkuasa termasuk berkuasa terhadap hati-hati manusia. Ini telah terjadi selepas Pembukaan Mekah di mana ramai penduduk Mekah yang dulunya tidak masuk Islam tetapi apabila diajak untuk masuk Islam semasa Pembukaan Mekah, maka mereka ramai-ramai masuk Islam dengan rela hati.

Allah ﷻ juga berkuasa untuk mengubah hati manusia yang bermusuhan menjadi lembut sesama sendiri seperti yang disebutkan dalam firman-Nya mengenai anugerah yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang Ansar:

{وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا} الْآيَةَ

dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. (Ali Imran: 103), hingga akhir ayat.

 

Dan firman Allah ﷻ:

{هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ}

Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha perkasa lagi Maha bijaksana. (Al-Anfal: 62-63)

 

وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ boleh mengampunkan dosa mereka yang dulunya tidak masuk Islam dan malah ada yang dulunya menentang Islam. Selagi mereka boleh mengubah sikap mereka terhadap Islam, maka Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan dosa mereka.

Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa mereka kerana Allah ﷻ bersifat raheem, maha penyayang terhadap hamba-Nya. Kalau orang yang kita sayang minta maaf kepada kita, senang sahaja kita hendak maafkan, bukan? Allah berlebih-lebihan lah sayang kepada kita, makhlukNya. Maka kerana itu Allah senang mengampunkan dosa hambaNya.


 

Mumtahanah Ayat 8: Ini adalah undang-undang perhubungan antara kita orang Muslim dengan orang-orang bukan Muslim. Kalau orang bukan Islam itu telah ada perjanjian dengan kita untuk hidup dengan aman, maka kita boleh berbuat baik dengan mereka. Ini adalah jenis Kafir Dzimmi dan Kafir Mu’ahad.

Kafir Dzimmi adalah orang kafir yang meminta perlindungan dari negara-negara Islam untuk melindungi mereka dengan syarat mereka perlu membayar wang perlindungan. Al-dzim bermaksud ‘perlindungan’.

Kafir Mu’ahad pula adalah orang kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam, seperti mana orang kafir yang ada di dalam negara kita. Mereka ada perjanjian dengan kita. Mereka juga merupakan rakyat dalam negara ini.

Selama mana mereka mematuhi perundangan dan perjanjian dalam negara ini, maka mereka adalah termasuk dalam golongan yang dinamakan kafir mu’ahad. Jadi umat Islam dilarang menyakiti mereka, dilarang juga mengambil harta dan hak mereka, hukumnya haram kerana mereka adalah orang kafir yang telah mengikat perjanjian dengan kita. Tidak boleh kita sakiti mereka atau melanggar perjanjian yang dibuat dengan mereka.

Akan tetapi dengan orang Kafir Harbi, kita tidak boleh buat baik sedikit pun dengan mereka kerana mereka telah hina Islam, menentang Islam dan kerana itu Allah ﷻ suruh kita bunuh mereka (tapi dalam suasana Jihad).

Kafir Harbi adalah musuh umat Islam, yang ada peperangan antara kita dan mereka. Tentunya peperangan itu dengan mengikut ketentuan Syarak. Mengapa kita memerangi mereka adalah kerana mereka melanggar perjanjian yang termeterai antara mereka dengan kaum Muslimin, seperti Yahudi di Madinah. Tapi buat masa sekarang tidak ada lagi peperangan antara kita dengan sesiapa.

Dulu pernah ada dikatakan parti politik DAP itu adalah Kafir Harbi. Ini tidaklah benar kerana kita tidak ada pun peperangan dengan DAP. Tidak pernah penetapan peperangan dengan mereka. Yang jadi masalah apabila ada ahli agama pula yang gelar DAP itu kafir harbi sampaikan kecoh keliru habis orang awam.

Ada satu lagi jenis kafir iaitu jenis Kafir Musta’man: iaitu orang kafir pelarian, contohnya yang datang dari Bosnia, Pakistan, India, China dan sebagainya. Ini adalah sekiranya mereka adalah pelarian, masuk ke negara kita dan meminta perlindungan dari kita dan kita pun memberikan perlindungan kepada mereka.

Ayat 8 – 9 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi polisi luar bagi Negara Islam. Ia mengajar kita yang kita boleh berhubungan baaik dengan sesiapa pun asalkan bukan dengan pihak yang memusuhi kaum atau negara Muslimin.

Yang kita tidak boleh berkawan adalah dengan kafir harbi. Oleh itu mereka yang berkawan dengan kafir yang memusuhi Islam adalah kaum yang zalim.

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh does not forbid you from those who do not fight you because of religion and do not expel you from your homes – from being righteous toward them and acting justly toward them. Indeed, Allāh loves those who act justly.

(MELAYU)

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

 

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ

Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama

Ayat ini mengajar kepada kita untuk tidak bermusuh dengan semua orang. Kita boleh sahaja berhubungan dan berbuat baik dengan non-Muslim yang tidak memerangi Islam. Kita hanya bermusuh dengan mereka yang menentang agama Islam sahaja.

 

وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم

kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. 

Kalau orang non-Muslim tapi tidak menghalau umat Islam dari Mekah atau dari mana-mana tempat tinggal orang Islam, maka mereka itu tidaklah dikira sebagai Kafir Harbi.

 

أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم

untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka

Kalau setakat mereka itu non-Muslim sahaja dan tidak menentang Islam, maka tidak salah untuk berbuat baik dengan mereka. Kalimah تَبَرّوهُم dari kata dasar ب ر ر yang bermaksud baik, jujur, benar, bercakap dengan baik, belas kasihan, memberi dan menerima hadiah. Ini semua kita boleh buat dengan non-Muslim pun, tiada masalah.

Ini menunjukkan yang akhlak kita kepada orang-orang bukan Islam itu bukan untuk benci mereka dan juga pandang rendah kepada mereka dan berkelahi dengan mereka. Allah ﷻ ajar kita untuk berlaku adil dengan mereka.

Sebagai contoh, salah seorang isteri Abu Bakr رضي الله عنه bernama Qutaylah bint ‘Abdul `Uzza. Dia tidak mahu masuk Islam dan tidak berhijrah mengikut Abu Bakr رضي الله عنه  ke Madinah. Selepas Perjanjian Hudaibiyah, sudah boleh ada perhubungan antara Mekah dan Madinah, maka Qutaylah bint ‘Abdul `Uzza telah datang hendak melawat anaknya Asma’ di Madinah.

nota: ada riwayat yang mengatakan Qutaylah telah diceraikan oleh Abu Bakr. Dan Asma’ bukanlah kakak seibu dengan Aisyah kerana beliau dari ibu yang lain.

Asma’ asalnya tidak mahu berjumpa dengan ibunya. Kerana adanya ayat-ayat yang melarang berbaik dengan orang kafir. Beliau sampaikan tidak buka pintu pun untuk emaknya masuk ke rumahnya. Tapi apabila beliau tanya kepada Nabi ﷺ bolehkah dia melayan ibunya itu, Rasulullah ﷺ memberitahu yang dia boleh melayan ibunya itu sebagai seorang anak. Kerana walaupun bukan Muslim, tapi ibunya tidak menentang Islam. Maka barulah dia berjumpa dengan ibunya itu. Ini telah disebut dalam hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ، عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ الْمُنْذِرِ، عَنْ أَسْمَاءَ -هِيَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا-قَالَتْ: قَدَمت أُمِّي وَهِيَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ قُرَيْشٍ إِذْ عَاهَدُوا، فأتيتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ وَهِيَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، صِلِي أُمَّكَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Urwah, dari Fatimah bintil Munzir, dari Asma binti Abu Bakar r.a. yang menceritakan, “Ibuku datang, sedangkan dia masih dalam keadaan musyrik di masa terjadinya perjanjian perdamaian dengan orang-orang Quraisy. Maka aku datang kepada Nabi Saw. dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku datang, ingin berhubungan dengan diriku, bolehkah aku berhubungan dengannya?’ Nabi Saw. bersabda, “Ya, bersilaturahmilah kepada ibumu’.”

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan juga hadis ini.

Ada pendapat yang mengatakan kerana peristiwa inilah ayat 8 ini diturunkan.

Maksud ‘adil’ itu adalah dengan mematuhi syariat. Kena belajar cara-cara untuk kita berurusan dengan orang bukan Islam. Kerana tidak sama hubungan kita dengan orang Islam dan orang bukan Islam. Sebagai contoh, kita hanya boleh berkawan rapat dengan orang mukmin sahaja. Kalau berkawan biasa sahaja dengan non-Muslim, itu dibenarkan.

Kita juga tidak boleh jadikan mereka orang kepercayaan kita. Pernah terjadi, seorang gabenor mengambil orang kafir sebagai pembantunya. Apabila diketahui oleh Saidina Umar, beliau telah marah dan mengarahkan gabenor itu memecat pembantunya itu.

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Kita kena berlaku adil dengan semua orang termasuk orang kafir sekali pun. Maka inilah polisi dalam agama Islam iaitu berlaku adil dengan semua orang. Allah ﷻ memberitahu yang sesiapa yang boleh jaga polisi ini, maka Allah ﷻ suka kepada orang itu. Kalau manusia itu baik dan tidak mengganggu kita, maka kita kenalah melayan dan berinteraksi dengan mereka dengan secara adil. Iaitu dengan menggunakan kaedah agama. Maka kena tengok apakah yang disebut dalam syariat.

Maknanya, tidaklah kita serang mereka, atau kita tipu mereka, tindas mereka atau jenis-jenis begitu. Allah ﷻ tidak suka begitu malah Allah ﷻ suka bila kita berlaku adil. Tapi dalam masa yang sama, tidaklah kita bersahabat rapat sangat dengan mereka, sampai segala rahsia kita diberitahu kepada mereka. Kena ingat yang mereka itu bukan orang Islam dan tidaklah boleh dipercayai seperti orang Islam.

Jadi tidak salah berbuat baik dengan non-Muslim. Dan ini penting sebagai usaha dakwah pun. Kita kena tunjukkan akhlak dan budi yang baik dengan non-Muslim. Kerana dengan menunjukkan akhlak yang baik, akan melembutkan hati mereka kepada Islam. Memang begitulah yang terjadi kepada negara-negara kafir dahulu. Para sahabat datang dengan bawa pedang ke negara bukan Muslim, tapi akhirnya mereka dengan rela masuk Islam dengan suka hatinya kerana melihat akhlak para sahabat dan keindahan Islam itu sendiri.

Jadi tidak benar kalau ada yang mengatakan Islam disebarkan dengan pedang sahaja. Memang ada jihad dan umat Islam memasuki negara lain. Tapi tidaklah ada paksaan bagi mereka masuk Islam. Kerana kalaulah ia adalah paksaan, tentu apabila umat Islam sudah tidak memerintah mereka, mereka kembali kepada agama asal. Tapi itu tidak terjadi kerana mereka tetap juga di dalam agama Islam. Jihad yang umat Islam lakukan dahulu adalah untuk membebaskan penduduk di tempat itu dari cengkaman pemimpin yang zalim.

Maka tidak ada masalah bagi orang yang telah masuk Islam untuk masih lagi berhubungan dengan ahli keluarganya yang belum masuk Islam. Mereka itu tetap ahli keluarga dan tidak ada masalah untuk terus berlaku baik dengan mereka. Kecualilah kalau mereka menghalang kamu dari mengamalkan agama Islam seperti yang disebut dalam Luqman:15.


 

Mumtahanah Ayat 9: Yang kita dilarang berbuat itu dengan siapa? Ini adalah undang-undang perhubungan dengan orang-orang Kafir Harbi.

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم أَن تَوَلَّوهُم ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh only forbids you from those who fight you because of religion and expel you from your homes and aid in your expulsion – [forbids] that you make allies of them. And whoever makes allies of them, then it is those who are the wrongdoers.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu orang-orang yang memerangimu kerana agama

Yang tidak boleh berbuat baik dan berkawan dengan orang-orang non-Muslim adalah golongan Kafir Harbi. Ini adalah kerana mereka itu memerangi agama Islam. Mereka benci kepada agama Islam dan mereka tidak berdiam diri, malah mereka menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menyerang umat Islam. Mereka menyerang Muslim hanya kerana mereka beragama Islam.

Kita tidak dibenarkan berbuat baik dengan orang kafir yang menyerang kita. Kerana mereka itu adalah orang yang zalim. Dan kerana mereka serang kita dahulu, maka kita layak untuk menyerang mereka.

Dari sini kita dapat tahu bahawa orang kafir sebenarnya yang menyerang umat Islam. Maka jangan termakan dengan propaganda orang kafir yang mengatakan umat Islam yang mencetuskan peperangan. Mereka kata kita sebarkan agama dengan pedang, padahal tidaklah begitu. Maka kepada orang kafir yang sedang memerangi kita atau pun mereka tidak serang lagi, tapi telah buat rancangan untuk menyerang kita, tidaklah boleh kita berbaik dengan mereka.

Larangan di dalam ayat ini adalah supaya tidak berbaik dengan mereka. Akan tetapi bukanlah menolak kita berlaku adil kepada mereka. Kita sebagai Muslim tetap kena berlaku adil walau terhadap musuh pun.

 

وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم

dan mengusir kamu dari negerimu, 

Mereka itu benci sangat kepada orang yang mengamalkan Islam sampaikan mereka halau umat Islam atau mereka buat sampaikan umat Islam terpaksa meninggalkan kampung halaman. Mereka tidak suka kalau kita duduk dalam negara mereka. Ini terjadi zaman Nabi Muhammad ﷺ di Mekah dan juga di zaman lain pun. Lihatlah apa yang terjadi di Palestin sudah sekian lama.

Begitulah juga zaman sekarang, masih terjadi. Ada tempat-tempat yang apabila nampak umat Islam, mereka akan ganggu. Kerana itu sampai ada wanita Muslim yang tidak berani pakai tudung tutup aurat kerana mereka takut mereka kena ganggu oleh orang-orang kafir yang jahat. Orang kita tidak kacau mereka pun tapi kerana hati mereka ada hasad, mereka sanggup ganggu.

Lihatlah apa yang terjadi di Rohingya dan di tempat-tempat lain. Umat Islam di sana ditindas teruk sangat secara sistematik sampaikan umat Islam kena buat keputusan untuk meninggalkan negara tempat mereka lahir.

 

وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم

dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. 

Kalau mereka tidak usir pun, mereka akan bantu orang lain untuk mengusir umat Islam. Mereka ini tidak duduk di negara itu tapi mereka bersepakat untuk mengeluarkan umat Islam dari negara itu. Mereka bagi sokongan moral dan juga bantuan kewangan.

Ini macam negara Britain yang memasukkan bangsa Yahudi ke Palestin. Mereka itu tidaklah duduk di situ, tapi mereka membantu memasukkan golongan Yahudi ke dalam Palestin. Akhirnya tempat umat Islam di Palestin telah diambil dan umat Islam pula yang kena merempat di tempat lain menjadi pelarian.

nota: Pada tahun 1917, British di bawah pimpinan General Allenby telah berjaya menawan Palestin daripada naungan Uthmaniyyah. Dia berjaya menawan Baitulmaqdis dan keseluruhan Palestin pada bulan Disember 1917.

Dalam masa yang sama di London, aristokrat British bersetuju dengan Deklarasi Belfour yang menyokong perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British.

Deklarasi Belfour adalah agenda Zionis Israel di Eropah yang mahukan sebuah negara untuk mereka. Ini berikutan sentimen anti-Semitisme atau anti Yahudi kian membesar di Eropah, Orang Yahudi percaya Palestin menawarkan tempat terbaik untuk mereka membina semula kehidupan dan memulihkan imej bangsa yang rosak.

British pula melihat rancangan ini sesuatu yang boleh mengurangkan jumlah orang Yahudi di negara tersebut dan Eropah. Serangan ke atas Palestin serentak dengan Deklarasi Belfour menunjukkan peranan besar British dalam mewujudkan negara Israel moden.

 

أَن تَوَلَّوهُم

menjadikan sebagai kawanmu

Orang-orang yang menjadi musuh Islam itulah yang Allah ﷻ larang untuk berkawan dengan mereka. Jangan ada perhubungan baik dengan mereka, sebaliknya kena diserang mereka itu (dengan mengikuti undang-undang yang sepatutnya).

 

وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dan jikalau sesiapa berkawan dengan orang Kafir Harbi itu, maka mereka itu dikira orang-orang yang zalim. Ini adalah kerana kita tidak boleh berkawan dengan musuh kepada Islam. Takkan kita hendak berbaik dengan orang yang menentang agama Allah pula, bukan?

Dan kalau sampai membantu mereka memerangi umat Islam, maka ini boleh mengeluarkan Muslim itu dari kalangan orang beriman (boleh jatuh kufur).

Cuma zaman sekarang umat Islam sedang lemah dan tidak boleh buat apa-apa. Lagi pun sudah ada Perjanjian Antarabangsa antara negara, maka kita kena patuh dengan perjanjian antarabangsa. Jangan salah faham pula tentang tanggungjawab kita. Semuanya kena dilakukan dalam rangka undang-undang.

Jangan ambil tindakan sendiri pula. Jangan terpedaya dengan gerakan ganas seperti ISIS dan Daesh yang mengajak umat Islam melakukan keganasan di dunia. Semoga sampai satu masa umat Islam kembali berkuasa dan dapat menegakkan keadilan di dunia ini. Sehingga ke waktu itu, kita kena teruskan untuk berdakwah kepada manusia dengan cara lisan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 September 2021

Ringkasan nota tafsir


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 3 – 5 (Orang Islam menyebabkan orang kafir tidak masuk Islam)

Mumtahanah Ayat 3:

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم ۚ يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will your relatives or your children benefit you; the Day of Resurrection He will judge between you. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. 

Allah beritahu dalam ayat ini: Kasih sayang kamu kepada mereka yang kafir itu tidak akan beri faedah kepada kamu. Mereka tidak dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah ﷻ. Mereka tidak akan mempertahankan kamu. Mereka tidak akan beri alasan untuk menyelamatkan kamu.

Macam kisah Hatib, di hari akhirat nanti ahli keluarga dia tidak akan pertahankan dia pun. Mereka tidak akan kata: “Hatib buat begitu kerana nak tolong kami, ya Allah!”

Di hari akhirat kelak, semua orang akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti disebut dalam ayat yang lain, Abasa:34-37:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

pada hari ketika manusia lari dari saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

dari ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

dari isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم

Dia akan memisahkan antara kamu. 

Kamu sangka kamu rapat dengan mereka, tapi nanti di akhirat nanti kamu akan dipisahkan dari mereka. Tidak akan dapat duduk bersama pun, jadi hendak tolong macam mana?

Semua akan diadili ikut apa yang dia telah lakukan semasa di dunia, tidak ada kena mengena dengan ahli keluarga dia. Tidak diadili manusia nanti secara berkumpulan.

Oleh kerana itu jangan kita buat kesalahan dan dosa kerana untuk kebaikan orang lain. Jangan kerana mereka, kita pun dapat dosa. Mereka nanti bukan boleh tolong kita pun. Ini penting kerana ada orang yang tidak tegur kesalahan ahli keluarga dia; atau ada yang buat dosa kerana ikut ahli keluarga dia.

Ini juga bermaksud yang Allah akan pisahkan antara ahli syurga dan ahli neraka. Mereka tidak duduk bersama-sama kerana amalan dan iman tidak sama. Maka tidak perlu berkasih sayang dengan mereka.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah yang Allah ﷻ sedang melihat apa sahaja yang kamu lakukan. Pengkhianatan kamu kepada orang Islam mungkin tidak diketahui oleh orang lain, tapi Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Walaupun Allah ﷻ tahu apa yang telah dilakukan oleh Hatib, dan Allah ﷻ telah beri wahyu kepada Rasulullah ﷺ tentang perkara itu, tapi apabila surat itu telah didapati, Hatib tetap diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan keadaan dari sudut fahamannya.

Segala perbuatan manusia termasuk para sahabat juga diperhatikan. Walaupun Hatib seorang yang telah berjasa kepada agama (terlibat dalam Perang Badr dan pernah berbai’ah dengan Nabi semaktu Bai’atul Ridwan), tapi apabila dia melakukan kesalahan, beliau tetap juga bersalah dan kisah beliau menjadi pengajaran kepada kita semua. Tidaklah perbuatan salah para sahabat didiamkan begitu sahaja.

Apabila telah terbongkar perbuatan Hatib itu, Saidina Umar رضي الله عنه terus bertindak untuk membunuh Hatib yang beliau lihat sebagai pembelot kerana telah membocorkan rahsia kerajaan Islam. Tapi beliau ditahan oleh Rasulullah ﷺ yang dipandu oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ lebih tahu apa yang ada dalam hati manusia.

Saidina Umar رضي الله عنه juga tidak salah kerana beliau hanya melihat pada luaran sahaja. Dan memang manusia boleh menilai dari luaran sahaja kerana manusia tidak boleh membaca hati manusia. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Dan Allah ﷻ tahu bahawa niat Hatib bukanlah untuk menjatuhkan Islam. Dan kita pun boleh faham perkara ini kerana Hatib telah berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjuang di dalam Perang Badr. Kalau beliau tidak ikhlas dengan agama Islam, tentulah dia tidak melakukan perkara-perkara ini. Alasan yang diberikan juga dapat dikenalpasti sebagai benar: dia dan keluarganya memang pendatang ke Mekah dan tidak ada pelindung.

Walaupun begitu, perbuatan Hatib itu tetap salah dan telah menerima teguran dari Allah ﷻ seperti yang disebut di dalam ayat-ayat surah ini. Tapi tidaklah hukuman yang dikenakan kepada beliau itu seperti hukuman yang diberikan kepada golongan munafik.

Dan tidak ada dalam riwayat yang mengatakan beliau dikenakan dengan apa-apa bentuk hukuman fizikal oleh Rasulullah ﷺ. Tapi apabila tiga ayat ini memperkatakan tentang perbuatannya, tentulah sebagai seorang mukmin itu pun sudah cukup sebagai hukuman berat bagi Hatib.

Kedudukan Hatib sebagai Ahli Badr tidaklah menjadi ‘tiket’ kepada beliau dan Ahli Badr yang lain untuk berbuat dosa. Tapi kerana pengorbanan besar yang mereka telah lakukan di Badr, maka Allah ﷻ melihat mereka dengan pandangan rahmat dan sanggup untuk mengampunkan dosa-dosa mereka jikalau Allah ﷻ mahu.

Melakukan pembocoran rahsia kerajaan Islam tidaklah terus menjadikan seseorang itu kufur atau terkeluar dari Islam. Ianya tetap berdosa, tapi tidaklah sampai mengeluarkan seseorang itu dari Islam.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه hendak membunuh Hatib, Nabi Muhammad ﷺ tidaklah kata hukuman itu tidak boleh. Maknanya itu memang perbuatan yang salah. Cuma baginda ﷺ memberikan ruang kepada Hatib kerana kedudukan beliau sebagai Ahli Badr. Maka ulama fiqh berbeza pendapat apakah hukuman yang dikenakan kepada mata-mata (spy) kerajaan yang membocorkan rahsia kerajaan Islam.

Ada yang kata hukum bunuh dan ada yang kata penjara. Ada yang kata terpulang kepada Khalifah untuk menilai apakah keadaan yang terlibat dan berapa besar kerosakan yang dilakukan.

Dalam mendapat maklumat dari wanita yang menyimpan surat Hatib, Saidina Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain telah mengugut untuk membogelkan wanita itu kalau dia tidak memberikan surat itu. Perkara itu tidaklah terjadi tapi mereka telah mengancam wanita itu yang mereka akan melakukannya jikalau wanita itu tidak memberikan surat itu.

Ini menjadi hujah bahawa dalam mendapatkan maklumat dari orang bersalah, boleh dibogelkan walaupun wanita. Tentu sekali mereka telah memberitahu kepada baginda ﷺ keadaan itu dan baginda tidak menegur mereka kerana telah mengugut begitu.


 

Mumtahanah Ayat 4: Allah ﷻ suruh orang mukmin jadikan perbuatan dan kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh tauladan. Jangan bersekongkol dengan ahli keluarga yang kafir. Lihatlah apa yang Nabi Ibrahim sanggup lakukan: baginda sanggup berpisah dengan ahli keluarganya yang kufur.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ ۖ رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا وَإِلَيكَ أَنَبنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has already been for you an excellent pattern1 in Abraham and those with him, when they said to their people, “Indeed, we are disassociated from you and from whatever you worship other than Allāh. We have denied you, and there has appeared between us and you animosity and hatred forever until you believe in Allāh alone” – except for the saying of Abraham to his father, “I will surely ask forgiveness for you, but I have not [power to do] for you anything against Allāh. Our Lord, upon You we have relied, and to You we have returned, and to You is the destination.

  • An example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”. (Ibrahim berkata): “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

 

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim

Kisah para Nabi عليهم السلام sepatutnya dijadikan sebagai tauladan bagi kita. Mereka itu adalah contoh yang amat baik bagi orang yang beragama. Dalam Nisa:69 disebut yang para Nabi عليهم السلام adalah antara golongan yang mendapat nikmat dari Allah ﷻ. Maka kita kenalah ikut cara hidup mereka dan perjuangan mereka untuk kita dapat nikmat dari Allah ﷻ. Kita tidak boleh jadi Nabi, tapi kita tetap boleh ikut cara-cara mereka.

Salah seorang Nabi yang besar adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an ini dan kita hendaklah mengkaji kisah-kisah itu dengan saksama.

 

وَالَّذينَ مَعَهُ

dan orang-orang yang bersama dengan dia; 

Bukan sahaja kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan sebagai contoh, tapi kisah mereka yang bersama baginda juga patut dijadikan sebagai contoh.

Dalam ayat ini kita dapat tahu satu perkara yang kita mungkin tidak tahu sebelum ini, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام juga ada para sahabat yang bersama dengan baginda. Tapi tidak banyak maklumat yang kita tahu tentang mereka. Secara umumnya, yang mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak ramai.

 

إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, 

Para sahabat Nabi Ibrahim عليه السلام itu telah beriman dan mereka sanggup taat kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka berpegang dengan ajaran tauhid sampaikan mereka sanggup berlepas diri dari puak mereka yang mengamalkan syirik. Inilah sekali lagi contoh wala’ wal bara’ yang kita perlu ikuti. Hendaklah berlepas diri dari orang yang melakukan perlanggaran syariat.

Kalimah baraa’ adalah sama seperti apa yang ada dalam Surah Tawbah (juga salah satu nama Surah Tawbah) dan kita telah katakan di awal surah ini yang Surah Mumtahanah ini memang berkait rapat dengan Surah Tawbah.

Salah satu dari pegangan agama adalah menolak taghut. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda telah menolak kesyirikan yang dilakukan oleh kaum baginda. Kita tidak boleh bersama dengan golongan musyrik itu dan menerima apa yang mereka lakukan.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda nampak yang kaum mereka tidak akan berubah, maka mereka berlepas diri daripada mereka itu dan bertindak untuk meninggalkan mereka. Maknanya, kena tengok keadaan juga – jangan terus nak tinggalkan, kerana kita kena berdakwah juga kepada mereka. Hanya apabila sudah lama berdakwah dan mereka tetap tidak mahu beriman, maka waktu itulah baru meninggalkan mereka.

 

كَفَرنا بِكُم

kami ingkari (kekafiran)mu 

Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda kufur (menolak) dengan perbuatan kaum mereka;  bermaksud orang mukmin itu tidak nampak yang kaum mereka itu ada harapan untuk beriman lagi.

 

وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا

dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya

Oleh kerana amalan syirik mereka sudah sebati dalam diri mereka, maka mereka tidak akan dapat bersatu atas dasar tauhid. Maka tentu nyata permusuhan dan kebencian antara mereka. Kerana akidah tidak sama dan pegangan pun tidak sama. Dan kerana itu, amalan pun tidak akan sama.

 

حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

sampai kamu beriman kepada Allah saja. 

Maka permusuhan dan kebencian itu akan tetap ada melainkan jika mereka yang musyrik itu meninggalkan amalan dan fahaman syirik mereka dan beriman kepada tauhid juga. Maka penolakan kepada perlakuan syirik itu bukan sekejap-sekejap sahaja tapi selama-lamanya melainkan mereka berubah. Waktu itu barulah boleh duduk bersama dengan mereka di atas satu akidah.

Allah ﷻ telah menceritakan tentang contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda mengajak kepada ajaran tauhid dan berlepas diri dari mereka yang berfahaman musyrik. Maka itu adalah contoh baik yang kita sebagai umat Islam kena ikut.

Kecuali satu perkara yang kita tidak boleh ikut dari perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام. Apakah ia?

 

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ

Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya:  

Nabi Ibrahim عليه السلام sangat sayang kepada ayahnya dan tidak sanggup memikirkan ayahnya dibakar di dalam neraka maka baginda berjanji untuk meminta ampun bagi pihak ayahnya. Sebelum baginda meninggalkan bapa baginda untuk menuju ke Palestin, baginda telah berjanji kepada ayahnya.

 

لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ

“Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Baginda berjanji kepada bapanya yang baginda akan meminta ampun bagi pihak bapanya. Ini telah disebut dalam Maryam:47

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Dan juga telah disebut dalam Syu’ara’:86

وَاغفِر لِأَبي إِنَّهُ كانَ مِنَ الضّالّينَ

dan ampunilah bapaku, kerana sesungguhnya dia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat,

Maka sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan terhadap kaum keluarga dan umat baginda (meninggalkan mereka), maka hendaklah kamu orang-orang Mukmin ikut contoh baginda itu. Yang tidak boleh ikut contoh baginda adalah apabila baginda berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa bapanya. Larangan ini telah disebut dalam Tawbah:113

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

Maka kalau kita ada ibubapa yang telah mati dalam akidah kufur, maka tidak ada cara lagi bagi kita untuk menyelamatkan mereka lagi. Masa mereka untuk bertaubat telah berlalu. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa lain, kecuali dosa syirik. Maka mereka tidak ada harapan lagi.

Tidak boleh gunakan contoh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat Surah Mumtahanah ini kerana tidak ada larangan lagi pada waktu itu dan baginda tidak tahu. Maka orang yang masuk Islam hanya boleh doakan ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka masih hidup sahaja (supaya mereka diberi hidayah). Selepas itu tidak boleh lagi.

 

وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ

dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”.

Baginda عليه السلام tahu baginda tiada kuasa nak minta ampun dan memberi keampunan kepada bapa baginda. Baginda عليه السلام cuma ikhtiar sahaja dengan berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, dikatakan yang kalaulah ada perkara lain yang baginda عليه السلام boleh buat untuk ayahnya itu, baginda akan lakukan kerana baginda sayang kepada ayahnya.

Dan apabila Nabi Ibrahim عليه السلام sedar kesalahan baginda meminta ampun bagi pihak bapanya itu, maka baginda telah meninggalkan doa baginda itu seperti disebut dalam Tawbah:114

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Jadi, ini adalah dalil bahawa yang kita hanya ikut amalan para Nabi عليهم السلام yang mereka telah lakukan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalau amalan itu para Nabi عليهم السلام sendiri tinggalkan, maka tidaklah boleh kita nak ikut. Jadi tidak boleh menggunakan dalil perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa untuk ayahnya ini sebagai amalan kita pula. Kerana baginda عليه السلام pun sedar kesalahan baginda itu dan baginda sendiri tinggalkan.

 

رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا

“Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal 

Ini adalah doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda apabila mereka meninggalkan kaum mereka menuju ke tempat lain. Ini menunjukkan baginda dan orang mukmin hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja dan menyerahkan urusan mereka kepada-Nya.

 

وَإِلَيكَ أَنَبنا

dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat 

Memang hanya kepada Allah ﷻ sahaja tempat harapan dan pergantungan kita. Kalau kita telah melakukan kesalahan, maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

Kita semua akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kita selama kita hidup di dunia. Maka kena sedar perkara ini dan ingat sentiasa. Kalau kita dapat ingat, maka tentulah kita takut untuk melakukan kesalahan dan dosa. Kerana kita takut untuk menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti.


 

Mumtahanah Ayat 5: Ini adalah munajat (doa secara bersendirian) Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ.

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا وَاغفِر لَنا رَبَّنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, make us not [objects of] torment for the disbelievers and forgive us, our Lord. Indeed, it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir.

Ada beberapa tafsir bagi ayat ini:

1. Kalimah ‘fitnah’ bermaksud ‘ujian’ (bukan seperti fahaman kebanyakan orang Melayu tentang maksud ‘fitnah’, itu sebenarnya ‘tohmah’). Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya jangan jadikan umat Islam sebagai mangsa kepada orang-orang kafir kerana orang-orang kafir akan buat macam-macam perkara yang buruk kepada manusia. Janganlah orang Islam menjadi mangsa bagi ujian itu.

Sebagai contoh, kalau dimenangkan orang kafir ke atas orang mukmin, orang mukmin boleh menggunakan ini sebagai hujah untuk mengatakan yang mereka yang kafir itulah yang benar dan orang mukmin itu pula yang salah. Kerana ramai manusia sangka yang menang, yang kaya, yang senang itu yang benar (walaupun sebenarnya tidak).

Jadi ini adalah doa minta keselamatan dari tangan orang-orang kafir. Doa ini amat penting dan Allah ﷻ ajar terutama kepada para sahabat Nabi ﷺ dan ahli keluarga mereka yang sedang diganggu atau dibunuh oleh orang-orang kafir. Kita pun boleh gunakan doa ini kerana ianya amat baik sekali.

 

2. Satu lagi maksud yang lebih dalam dari doa ini adalah supaya kita tidak menjadi ‘ujian’ kepada orang-orang kafir dari masuk Islam. Ini kerana jika mereka lihat akhlak kita dan perbuatan kita yang buruk, ia boleh menyebabkan mereka tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Kerana mereka tentu akan sangsi: “kalau agama Islam ini benar, tentu orang yang menganutinya juga adalah baik. Tapi aku lihat orang Muslim ini teruk-teruk perangainya”.

Memang tidak dapat dinafikan ramai dari kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar. Maka perbuatan mereka telah menyebabkan nama Islam dikotori. Orang tidak pandang tinggi kepada Islam kerana melihat kepada orang Islam itu sendiri. Padahal, kesucian agama Islam tidak bergantung kepada penganutnya. Agama Islam itu sudah benar, tapi penganutnya sahaja yang tidak tahu mengamalkannya.

Ujian bagi orang yang belum masuk Islam adalah membezakan antara ‘agama Islam’ dan ‘orang Islam – Muslim’. Ianya tidak semestinya sama. Kalau mereka nilai agama Islam dan Muslim itu sama, ada kemungkinan mereka akan pandang agama Islam itu sebagai buruk. Kerana itu ada orang yang pernah berkata: “Alhamdulillah aku kenal Islam sebelum aku kenal orang Muslim”.

Kerana kalau dia kenal dan lihat perangai orang Islam yang buruk, mungkin dia pun tidak teringin nak masuk Islam. Tapi dia sempat mempelajari agama Islam yang benar yang menyebabkan dia tertarik dan dia masuk Islam. Selepas itu baru dia tahu yang rupanya ramai orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar pun.

Maknanya kita berdoa supaya kita tidak menjadi penghalang kepada orang-orang kafir untuk kenal dan masuk Islam. Janganlah mereka lihat kita dan terus buat keputusan yang agama Islam itu adalah agama yang buruk. Maka kita minta Allah perbaiki diri kita supaya kita ini baik dan menjadi contoh yang baik bagi agama Islam.

Kita kena sedar realiti umat Islam sekarang  yang buruk perangainya. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan sebagai contoh ada negara Islam yang menindas rakyatnya; dan kita pun boleh nampak akhlak ramai orang Islam sekarang amat buruk sampaikan ia memberi kesan yang buruk kepada agama Islam sendiri. Ini kerana orang bukan Islam tentu melihat dan menilai: kalau agama Islam ini baik maka tentulah umatnya juga baik, bukan?

Ini tidak semestinya kerana ada sahaja orang Islam yang tidak amalkan ajaran dalam agamanya pun. Masalahnya orang-orang bukan Islam ramai yang melihat semua orang Islam sebagai ‘wakil’ kepada agama Islam dan segala perbuatan orang-orang yang bodoh di kalangan kita pun merujuk kepada kesalahan di dalam agama ini.

Ini tidak dapat dipersalahkan sangat kerana mereka bukannya mahu melihat ‘teori’ tentang agama Islam tetapi mereka mahu melihat bagaimana Islam dipraktikkan oleh orang-orang Muslim. Ini memang kebiasaan manusia. Sebagai contoh, kehebatan sesebuah universiti itu dilihat kepada graduannya, bukan?

Maka perbuatan beberapa orang yang bodoh boleh menyebabkan rosaknya dakwah yang kita hendak sampaikan kepada orang luar. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang yang bodoh itu.

3. Doa ini juga meminta supaya tidaklah orang kafir itu dapat mengalahkan orang Islam sampaikan nanti orang Islam pula akan meninggalkan agama Islam kerana tidak tahan dengan dugaan. Kerana ada yang kalau susah sangat duduk dalam agama Islam, ada yang boleh meninggalkan agama ini. Kerana mungkin ada orang yang tidak tahan dengan ujian kehidupan.

 

وَاغفِر لَنا رَبَّنا

Dan ampunilah kami ya Tuhan kami.

Dan harapan kepada pengampunan juga dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana memang minta ampun ini hendaklah selalu diamalkan oleh kita setiap hari kerana kita selalu sahaja melakukan kesilapan dan dosa.

 

إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sekarang kita diajar tentang sifat-sifat Allah. Di sini disebut yang Allah ﷻ bersifat al-Aziz: Maknanya Allah ﷻ boleh sahaja nak azab sesiapa sahaja yang telah melakukan kesalahan dan syirik. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada manusia bila-bila masa sahaja.

Tapi Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem: ini merujuk kepada kebijaksanaan Allah ﷻ memberi tangguh kepada makhluk-Nya untuk mengubah cara hidup dan amalan mereka. Tidaklah hamba yang berdosa Allah terus beri azab dan hukuman kepada mereka (kita panggil beri ‘cash’).

Ini memberi peluang kepada semua dari kita untuk belajar dan membaiki kesalahan. Kalaulah Allah ﷻ tidak beri tangguh dan teruk azab sesiapa yang berdosa dan melakukan syirik, tentu tidak ada sesiapa yang hidup di dunia ini kerana semua akan mati belaka. Kita dulu sebelum belajar pun entah berapa banyak dosa kita telah buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Semptember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 1 – 2 (Jangan berharap kepada orang kafir)

Pengenalan Surah Mumtahanah

Surah ini ada kena-mengena dengan Surah Tawbah di mana di dalam surah itu disebut arahan untuk menyerang Mekah. Apabila itu terjadi, maka ada para sahabat yang sangsi dengan arahan itu, kerana di Mekah itu ada juga orang-orang Islam yang telah beriman secara rahsia dan para sahabat takut kalau mereka itu akan terganggu. Takut nanti mereka akan terbunuh sekali dalam serangan dari golongan Muslim.

Ada seorang sahabat (yang bernama Hatib bin Abi Balta’a) yang masih mempunyai keluarganya di Mekah dan dia takut jikalau terjadi peperangan nanti, maka orang-orang Mekah akan menyakiti keluarganya ataupun membunuh mereka. Kerana keluarganya adalah pendatang sahaja di Mekah dan tidak ada puak di sana yang akan melindungi mereka kerana mereka itu orang menumpang sahaja. Ini kerana Musyrikin Mekah telah bertindak ganas kepada ahli keluarga muhajireen yang masih ada di Mekah. Kalau ada bantuan dari puak mereka sendiri,  maka mungkin selamat.

Tapi Saidina Hatib dan keluarganya berasal dari Yaman. Mereka tidak ada pelindung. Maka dia nak beri maklumat kepada puak Mekah itu supaya mereka tetap memberi perlindungan kepada keluarganya di Mekah. Supaya golongan Musyrikin Mekah terhutang budi dengannya dan memberi perlindungan kepada keluarganya di sana. Dia yakin yang Allah pasti akan memberi kemenangan kepada Islam dan pembocoran maklumat darinya itu tidak akan memberi kesan kepada kalah atau menangnya mereka nanti.

Atau, keluarganya itu belum masuk Islam lagi, tapi dia yakin yang kalau dia dakwah lagi kepada mereka, mereka tentu akan masuk Islam. Ini adalah sangkaan dia sahaja. Maka dia berharap kalau dia sampaikan maklumat kepada mereka, maka mereka akan melarikan diri ke tempat lain dahulu untuk menyelamatkan diri mereka.

Maka dia telah memberi surat secara rahsia kepada keluarganya yang di Mekah itu untuk memberitahu rancangan umat Islam untuk menyerang Mekah. Dia nak suruh mereka lari keluar dahulu.

Surat itu amat bahaya kerana ia membocorkan rahsia rancangan umat Islam. Rasulullah ﷺ telah mendapat wahyu daripada Allah ﷻ tentang surat itu dan baginda telah memberi arahan kepada Saidina Ali رضي الله عنه dan beberapa sahabat yang lain (Zubair dan Miqdad bin Aswad) untuk mengambil surat itu dan baginda telah memberitahu dengan siapakah surat itu dan di mana pembawa surat itu berada. Baginda ﷺ beritahu yang surat itu ada pada seorang wanita dan dipendekkan cerita mereka mendapat surat itu daripada wanita itu.

Kalimah الممتحنة‎ dari kata dasar م ح ن yang bermaksud ‘periksa’. Kerana itulah ‘peperiksaan’ dipanggil ‘imtihan’. Ini adalah kerana apabila Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain berjumpa dengan wanita itu, dia tidak mengaku ada surat padanya. Mereka cuba cari pada kenderaannya tapi tidak ada. Jadi Ali رضي الله عنه beritahu yang kalau dia tidak keluarkan juga surat itu juga, mereka akan bogelkan dia dan periksa dia juga kerana Rasulullah ﷺ tidak akan menipu kerana baginda ﷺ telah mendapat wahyu. Setelah dikatakan begitu, barulah wanita itu mengeluarkan surat itu.

Apabila surat itu dibawa kepada Rasulullah ﷺ dan sahabat itu (Habib) dibawa ke hadapan baginda, Umar رضي الله عنه sudah hendak membunuhnya tetapi Rasulullah ﷺ mengatakan yang sahabat itu adalah Ahli Badr dan kesalahan beliau telah diampunkan oleh Allah ﷻ maka sahabat itu selamat dari pedang Umar رضي الله عنه.

Nabi Muhammad ﷺ juga memberitahu yang alasan dari sahabat itu adalah normal dan dia bukanlah munafik tetapi apa yang dia lakukan itu memang salah. Cuma kerana kedudukannya sebagai Ahli Badr, dia telah diselamatkan.

Ini sebagaimana yang disebutkan kisahnya dalam hadis berikut yang telah disepakati kesahihannya.
قال الإمام أحمد: حدثنا سفيان، عن عَمْرو، أَخْبَرَنِي حَسَن بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ، أَخْبَرَنِي عُبَيد اللَّهِ بْنُ أَبِي رَافِعٍ -وَقَالَ مُرَّةُ: إِنَّ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي رَافِعٍ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ سَمِعَ عَلِيًّا، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَقُولُ: بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَالزُّبَيْرَ وَالْمِقْدَادَ، فَقَالَ: “انْطَلِقُوا حَتَّى تَأْتُوا رَوْضَةَ خَاخٍ، فَإِنَّ بِهَا ظَعِينة مَعَهَا كِتَابٌ، فَخُذُوهُ مِنْهَا”. فَانْطَلَقْنَا تَعَادى بِنَا خَيْلُنَا حَتَّى أَتَيْنَا الرَّوْضَةَ، فَإِذَا نَحْنُ بِالظَّعِينَةِ، قُلْنَا: أَخْرِجِي الْكِتَابَ. قَالَتْ: مَا مَعِي كِتَابٌ. قُلْنَا: لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ أَوْ لنُلقين الثِّيَابَ. قَالَ: فَأَخْرَجَتِ الْكِتَابَ مِنْ عِقَاصها، فَأَخَذْنَا الْكِتَابَ فَأَتَيْنَا بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا فِيهِ: من حاطب بن أبي بلتعة إِلَى نَاسٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ بِمَكَّةَ، يُخْبِرُهُمْ بِبَعْضِ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا حَاطِبُ، مَا هَذَا؟ “. قَالَ: لَا تَعْجَلْ عَلَيَّ، إِنِّي كُنْتُ امْرَأً مُلصَقًا فِي قُرَيْشٍ، وَلَمْ أَكُنْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، وَكَانَ مَنْ مَعَكَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ لَهُمْ قَرَابَاتٌ يَحْمُونَ أَهْلِيهِمْ بِمَكَّةَ، فَأَحْبَبْتُ إِذْ فَاتَنِي ذَلِكَ مِنَ النَّسَبِ فِيهِمْ أَنْ أَتَّخِذَ فِيهِمْ يَدًا يَحْمُونَ بِهَا قَرَابَتِي، وَمَا فَعَلْتُ ذَلِكَ كُفْرًا وَلَا ارْتِدَادًا عَنْ ديني ولا رضى بِالْكُفْرِ بَعْدَ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّهُ صَدَقكم”. فَقَالَ عُمَرُ: دَعْنِي أَضْرِبْ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ. فَقَالَ: “إِنَّهُ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا، مَا يُدْرِيكَ لَعَلّ اللَّهَ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ: اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari pamannya, telah menceritakan kepadaku Hasan ibnu Muhammad ibnu Ali, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Abu Rafi’. Murrah mengatakan, sesungguhnya Ubaidillah ibnu Abu Rafi’ menceritakan kepadanya bahawa dia pernah mendengar Ali r.a. menceritakan hadis berikut, bahawa Rasulullah Saw. pernah mengutusnya bersama Az-Zubair dan Al-Miqdad seraya berpesan: Berangkatlah kalian bertiga menuju ke kebun Khakh, kerana sesungguhnya di situ kalian akan berjumpa dengan seorang wanita dalam perjalanan. Dia membawa surat, maka ambillah surat itu darinya. Maka kami berangkat dengan memacu kuda kami hingga sampailah kami di kebun tersebut. Ternyata di kebun itu kami menjumpai seorang wanita yang sedang dalam perjalanannya. Maka kami perintahkan kepada wanita itu, “Keluarkanlah surat itu!” Wanita itu berhelah, “Aku tidak membawa surat apa pun.” Kami berkata mengancam, “Kamu harus serahkan kitab itu kepada kami atau kamu akan kami telanjangi.” Akhirnya wanita itu mengeluarkan surat tersebut dari gelung rambutnya, maka kami ambil kitab itu dan membawanya kepada Rasulullah Saw. Ternyata isi surat tersebut dari Hatib ibnu Abu Balta’ah, ditujukan kepada sejumlah orang-orang musyrik di Mekah, memberitahukan kepada mereka rencana yang akan dilakukan oleh Rasulullah Saw. Maka Rasulullah Saw. bertanya, “Hai Hatib, surat apakah ini?” Hatib menjawab, “Jangan engkau tergesa-gesa mengambil keputusan terhadapku, sesungguhnya aku adalah seorang yang hidup menumpang kepada orang-orang Quraisy, dan aku bukanlah seseorang dari kalangan mereka sedangkan di antara kaum Muhajirin yang ada bersama engkau mempunyai kaum kerabat di Mekah yang dapat melindungi keluarganya yang tertinggal. Maka kerana aku tidak mempunyai hubungan kekerabatan dengan mereka, aku bermaksud menggantinya dengan jasa kepada mereka. Dan tidaklah aku berbuat demikian kerana kekafiran, bukan pula kerana murtad dari agamaku, serta tidak pula redha dengan kekufuran sesudah aku masuk Islam.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Dia berkata benar kepada kalian. Umar tidak sabar, dia mengatakan, “Biarkanlah aku memenggal batang leher orang munafik ini.” Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya dia telah ikut dalam Perang Badr, dan tahukah kamu, barangkali Allah melihat kepada ahli Badr, lalu berfirman kepada mereka, “Berbuatlah menurut apa yang kalian kehendaki, sesungguhnya Aku telah memberikan ampunan bagimu.”

Begitulah kisah ini disebut di awal surah ini.

Surah ini memberitahu kepada orang-orang yang beriman untuk memutuskan hubungan dengan orang-orang kafir kerana mereka tidak patut ada hubungan yang rapat dengan orang-orang kafir. Ini telah disentuh dalam ayat terakhir surah sebelum ini, Surah Mujaadilah.

Jadi ayat ini adalah teguran kepada orang-orang mukmin. Ini tidak seperti surah-surah yang lain sebelum ini iaitu teguran kepada orang-orang Munafik.

Surah ini seperti juga  Surah  Hashr sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah keempat dari rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


 

Mumtahanah Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama mengajar kita yang kaum mukmin akan setia kepada negaranya. Allah ﷻ mengajar jangan khianati jamaah Muslimin/Negara Islam dengan membocorkan rahsia ketenteraan atau keselamatan negara.

Latar belakang ayat: Nabi Muhammad ﷺ telah mengadakan perbincangan dengan para sahabat untuk menyerang Mekah pada tahun 8 hijrah. Tapi ada sahabat yang sangsi dengan keputusan itu dan ada yang hendak menyelamatkan kawan/keluarga mereka. Ini kerana mereka rapat dengan golongan yang tidak masuk Islam lagi. Maka Allah ﷻ menegur mereka dalam surah ini.

Dalam perenggan ini juga Allah ﷻ suruh kita jadikan Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh, kerana baginda ﷺ sanggup berlepas diri dan memutus hubungan dengan kerabat yang kafir yang memusuhi agama Allah ﷻ.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم ۙ أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي ۚ تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم ۚ وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Mumtaḥinah: That (Sūrah) Which Examines. Also called “al-Mumtaḥanah,” meaning “The Woman Examined.”

O you who have believed, do not take My enemies and your enemies as allies,¹ extending to them affection while they have disbelieved in what came to you of the truth, having driven out the Prophet and yourselves [only] because you believe in Allāh, your Lord. If you have come out for jihād [i.e., fighting or striving] in My cause and seeking means to My approval, [take them not as friends]. You confide to them affection [i.e., instruction], but I am most knowing of what you have concealed and what you have declared. And whoever does it among you has certainly strayed from the soundness of the way.

* i.e., close associates and friends.

(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا عَدُوّي وَعَدُوَّكُم أَولِياءَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia

Teguran ini diberikan kepada para sahabat yang mukmin. Allah ﷻ menegur sahabat yang cuba untuk dapatkan perlindungan daripada Musyrikin Mekah dengan memberitahu bahawa puak Muslim akan menyerang mereka.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain, iaitu:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. (Al-Maidah: 51)

Seperti yang telah disebut, ada sahabat yang telah memberitahu tentang rancangan umat Islam kepada Musyrikin Mekah. Dia lakukan kerana hendak mengharapkan belas kasihan dari mereka. Tapi Allah ﷻ hendak beritahu yang ini adalah sia-sia sahaja dan tidak akan terjadi kerana mereka itu tidak boleh diharap.

Maka Allah ﷻ larang mereka dan juga kita, dari menjadikan orang-orang kafir sebagai teman setia. Orang-orang kafir itu tidak boleh dipercayai. Kena faham, ‘kafir’ itu adalah mereka yang menentang agama Islam dan orang Islam. Jadi kena bezakan antara ‘non-Muslim’ dan ‘anti-Muslim’ (inilah yang dipanggil kafir). Kalau setakat non-Muslim sahaja, kita masih boleh berkawan dengan mereka dan berbuat baik kepada mereka.

 

تُلقونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita), kerana rasa kasih sayang;

Kadangkala orang Islam rasa sayang dengan kenalan atau keluarga mereka yang masih dalam golongan kafir. Maka mereka melakukan perkara untuk kebaikan mereka.

Kerana itulah Asbabun Nuzul (sebab turun) ayat ini adalah tentang sahabat yang beri maklumat rahsia kepada mereka. Bukannya kerana apa tapi kerana sahabat itu sayang kepada orang yang diberi maklumat itu.

Ini menyentuh satu konsep yang dinamakan wala’ wal bara’. Tunjuk sayang dan tunjuk benci. Tunjuk sayang kepada orang yang baik dan tunjuk benci kepada orang yang tidak baik. Begitu juga kita tunjuk suka kepada amalan sunnah dan tunjuk benci kepada amalan bid’ah.

 

وَقَد كَفَروا بِما جاءَكُم مِّنَ الحَقِّ

padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, 

Tapi Allah ﷻ mengingatkan yang kalau mereka itu kafir (yang menentang Islam), mereka tetap musuh walaupun ada talian kekeluargaan. Ini kerana mereka telah menolak dan menentang kebenaran yang sampai kepada mereka. Kalimah الحق yang disebut dalam ayat ini boleh merujuk kepada Al-Qur’an atau merujuk kepada agama Islam.

Dan menentang keduanya. Maka jangan jadikan mereka sebagai teman rapat. Ini adalah kerana mereka telah ingkar wahyu. Mana boleh orang yang ingkar wahyu dipercayai?

 

يُخرِجونَ الرَّسولَ وَإِيّاكُم

mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu 

Allah ﷻ mengingatkan para sahabat bagaimana Musyrikin Mekah itu telah menghalau Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم dari Mekah. Ini adalah kemuncak permusuhan mereka. Dan jika mereka menghalau manusia yang paling baik (Rasulullah ﷺ) dan mereka percaya itu perbuatan yang benar, maka bagaimana lagi para sahabat boleh berharap mereka akan berbaik dengan mereka?

 

أَن تُؤمِنوا بِاللهِ رَبِّكُم

kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. 

Allah ﷻ beritahu kenapa Musyrikin Mekah itu menentang dan hendak menyakiti umat Islam bukan kerana kesalahan pun. Ianya kerana para sahabat itu hendak beriman dengan iman tauhid sahaja. Bukannya sebab lain dan bukan kerana ada kesalahan yang dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم.

Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللهِ. الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ}

Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha perkasa lagi Maha Terpuji. (Al-Buruj: 8)

Maka Allah ﷻ nak ingatkan yang golongan musyrikin itu bukan teman kepada orang Mukmin. Maka ini adalah teguran untuk kebaikan. Jangan lagi nak berharap kepada mereka yang jelas-jelas menentang agama Islam.

 

إِن كُنتُم خَرَجتُم جِهٰدًا في سَبيلي وَابتِغاءَ مَرضاتي

Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredhaan-Ku 

Kalau umat Islam berhijrah dahulu dan kemudian keluar untuk berjuang menegakkan agama Allah ﷻ, maka kena tunjuk cara orang berjuang. Perjuangan itu kerana hendak mencari redha Allah ﷻ, bukan sebab yang lain. Jangan berkawan baik dan berharap dengan orang kafir yang menentang Islam.

Maka kalau begitu, jangan belot kepada umat Islam. Jika kamu benar-benar mencari redha Allah ﷻ, maka kenalah terima hakikat ini. Kenalah terima nasihat ini. Jangan cari redha manusia, tapi carilah redha Allah.

 

تُسِرّونَ إِلَيهِم بِالمَوَدَّةِ

Kamu memberitahukan secara rahsia kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. 

Allah ﷻ menegur perbuatan sahabat dan orang lain yang memberi maklumat rahsia kepada musuh Islam. Mereka yang melakukan perbuatan itu kerana mereka kasih kepada orang kafir itu. Mereka bukannya hendak menjatuhkan agama, tapi kerana sayang kepada orang sahaja. Tidak salah berkasih dengan orang lain, tapi kena lebih setia kepada Negara Islam.

 

وَأَنا أَعلَمُ بِما أَخفَيتُم وَما أَعلَنتُم

dan Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. 

Walaupun mereka melakukan pembocoran rahsia itu dengan segala macam cara untuk merahsiakannya, tapi Allah ﷻ ingatkan mereka yang Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah ﷻ. Lihatlah dalam kes Hatib ini, Allah tunjukkan secara nyata bahawa Dia tahu apa yang telah dilakukan olehnya. Walaupun dia telah melakukan langkah berahsia sungguh-sungguh.

Allah juga tahu perasaan kasih sayang mereka terhadap golongan kufar. Mereka mungkin sembunyikan, tapi Allah tahu.

 

وَمَن يَفعَلهُ مِنكُم فَقَد ضَلَّ سَواءَ السَّبيلِ

Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.

Sesiapa yang ada hubungan baik dengan Kafir Harbi sampai membocorkan rahsia kerajaan Islam, maka dia telah sesat dari jalan yang lurus. Ianya adalah dosa yang amat-amat besar.

Ada yang mengatakan Hatib dimaafkan kerana apa yang dia lakukan adalah diplomasi yang dilakukan untuk menyelamatkan keluarganya. Ini seperti firman Allah ﷻ lainnya yang menyebutkan:

{لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ}
Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. (Ali Imran: 28)

 

Mumtahanah Ayat 2: Allah ﷻ memberitahu kenapa sia-sia sahaja berharap kepada kasih orang kafir. Kerana ia seperti bertepuk sebelah tangan sahaja. Mereka tidak akan membantu umat Islam dan agama Islam.

Orang Islam sahaja yang rasa kasih kepada orang kafir itu, tetapi orang kafir itu tidak kasih pun kepada mereka (kerana mereka benci kepada Islam). Dan orang kafir itu tidak akan layan orang Islam seperti yang diharapkan. Maka, ini umpama orang Islam sahaja terhegeh-hegeh kepada orang kafir. Dan ini tidak patut. Maka Allah ﷻ sekarang beritahu apa yang ada di dalam hati golongan kafir itu.

‎إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
If they gain dominance over you, they would be [i.e., behave] to you as enemies and extend against you their hands and their tongues with evil, and they wish you would disbelieve.

(MELAYU)
Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakiti(mu); dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir.

 

إِن يَثقَفوكُم يَكونوا لَكُم أَعداءً

Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu

Sekarang Allah ﷻ beritahu apa yang ada dalam hati orang kafir itu. Kerana manusia tidak tahu apa yang ada dalam hati orang lain, maka Allah ﷻ yang beritahu. Allah ﷻ beritahu yang jikalau golongan musyrikin itu dapat tangkap orang Islam itu, mereka pasti akan menyakiti orang Islam. Mereka akan tangkap sebagai musuh, bukan sebagai kawan.

Mungkin ada golongan musuh yang berbaik dengan kita sebelum mereka memang. Tapi sekarang Allah beritahu, kalau mereka menang, mereka akan tunjukkan belang mereka yang sebenar.

 

وَيَبسُطوا إِلَيكُم أَيدِيَهُم

dan melepaskan tangan mereka kepadamu

Golongan kafir itu akan memanjangkan tangan mereka kepada orang Islam, maksudnya akan bertindak dan berusaha untuk menyakiti orang Islam. Sama ada dengan cara mencederakan, seksa atau bunuh.

 

وَأَلسِنَتَهُم بِالسّوءِ

dan lidah dengan menyakiti(mu);

Dan mereka akan menggunakan lidah mereka untuk menyakiti umat Islam. Mereka akan kata macam-macam, beri berbagai tuduhan, penipuan dan diayah yang palsu-palsu untuk memburukkan nama Islam.

 

وَوَدّوا لَو تَكفُرونَ

dan mereka ingin supaya kamu kafir.

Mereka buat itu semua kerana mereka tidak redha dengan keislaman umat Islam. Mereka ingin sangat umat Islam jadi kafir seperti mereka. Mereka tidak suka kalau umat Islam mengamalkan agama. Mereka amat suka kalau kita meninggalkan agama Islam.

Jadi kalau kita berbaik dengan mereka untuk mendapatkan redha mereka, mereka tidak akan redha. Kerana keinginan mereka sebenarnya adalah supaya umat Islam jadi murtad. Takkan kita sampai hendak murtad untuk dapatkan keredhaan mereka?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 26 Ogos 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb