Ayat 44:
يٰۤـاَبَتِ لا تَعبُدِ الشَّيطٰنَ ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ كانَ لِلرَّحمٰنِ عَصِيًّا
O my father, do not worship Satan. Indeed Satan has ever been, to the Most Merciful, disobedient.
“Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
يٰۤـاَبَتِ
Wahai ayahku,
Baginda masih lagi bercakap dengan bapanya dengan cara yang baik. Begitulah kita kena ikut, iaitu terus bercakap dengan lembut. Bapanya tidak menerima dakwahnya tapi baginda masih bercakap dengan baik. Kita tahu bapanya tidak menerima kerana bapanya tidak membalas ajakan Nabi Ibrahim itu tadi. Kerana dalam ayat ini Nabi Ibrahim masih lagi memberi nasihat.
Tentulah semasa Nabi Ibrahim bercakap dari mula tadi, ayahnya ada menjawab. Tapi Al-Qur’an tidak menyebut apakah yang dikatakan oleh ayahnya itu. Tapi nanti kita akan dengar balasan dari ayahnya nanti.
لَا تَعْبُدِ الشَّيْطٰنَ
janganlah ayah menyembah Syaitan;
Bapanya tidaklah dengan jelas menyembah syaitan. Tidaklah bapanya menyeru nama syaitan dalam penyembahannya. Bapanya pun tidaklah berniat menyembah syaitan. Tapi dari sini kita tahu bahawa menyembah berhala dan selain Allah adalah menyembah syaitan.
Begitu juga, orang Kristian yang sembah Nabi Isa itu sebenarnya adalah menyembah syaitan. Begitu juga orang kita, kalau menyeru entiti-entiti lain selain dari nama Allah, itu adalah sebenarnya menyembah syaitan, cuma mereka sahaja tidak perasan. Tapi kalau kita beritahu mereka bahawa mereka menyembah syaitan, tentu mereka tidak percaya. Tentu mereka tidak mengaku malah melenting kepada kita. Kerana memang mereka tidak berniat untuk menyembah syaitan pun.
Mereka sangka mereka sedang menyeru malaikat, wali dan para Nabi. Tapi apa-apa dan sesiapa sahaja yang mereka seru itu tidak menyahut seruan mereka itu. Wali dan Nabi semua telah mati dan duduk di alam lain. Sudah tidak dengar lagi apa-apa yang berlaku di alam dunia (kerana tidak ada dalil bagi perkara ini).
Para malaikat, walaupun tidak mati, tapi bukan kerja mereka mendengar seruan kita. Mereka hanya mendengar arahan Allah sahaja. Maka apabila yang diniatkan itu tidak sambut pun seruan itu, maka seruan itu sebenarnya sampai kepada syaitan.
Kadang-kadang, mereka yang menyeru akan dapat apa yang mereka minta kepada seruan mereka itu. Ini boleh berupa pertolongan, mimpi dan sebagainya. Tapi bukan wali, malaikat dan Nabi yang memberinya, tapi sebenarnya ianya adalah syaitan. Ini mafhum dari ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.
إِنَّ الشَّيْطٰنَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ
sesungguhnya Syaitan itu kepada Tuhan ar-Rahman,
Lihatlah bagaimana cara Nabi Ibrahim berdakwah. Baginda tidak mengatakan tentang ayahnya yang buat salah, tapi baginda mengutuk syaitan. Bermakna, tidaklah dia kata ayahnya bodoh atau sesat kerana menyembah syaitan itu. Walaupun sebenarnya memang begitu, tapi baginda tidak gunakan cara begitu.
Kerana dia nak kata kepada ayahnya: takkan ayah nak jadi macam syaitan? Kerana semua tahu bahawa syaitan itu menderhaka kepada Allah, jadi kalau kita buat perkara yang Allah larang, maka kita pun macam syaitan juga.
Baginda gunakan nama ar-Rahman untuk mengingatkan tentang sifat Allah. Mengingatkan tentang berapa banyak nikmat yang tidak terkira dan terhingga yang telah diberiNya kepada kita. Setelah apa yang Allah berikan kepada kita, sanggupkah kita menyembah yang selainNya?
Sepatutnya kita sembah Allah (yang telah memberikan segalanya kepada kita), tapi ada pula antara kita yang sembah yang lain pula. Sepatutnya kita minta pertolongan kepada Allah, tapi kita minta pertolongan kepada yang lain pula?
عَصِيًّا
adalah sangat menderhaka;
Iblis itu telah menderhaka dari masa lahir Nabi Adam dan tidak pernah berhenti lagi perderhakaannya itu. Padahal dia tahu siapa Allah. Tapi dia terus menerus dalam menderhaka kepada Allah. Malah dia melarang orang dari sembah Allah.
Begitu jugalah sesetengah kita. Bukan tak kenal siapa Allah. Tapi masih lagi nak buat perkara yang Allah larang. Maka, Nabi Ibrahim hendak memberitahu kepada bapanya supaya tidak bersekongkol dengan syaitan. Kena belajar sifat Syaitan dan jauhi sifat itu.
Ayat 45:
يٰۤاَبَتِ إِنّي أَخافُ أَن يَّمَسَّكَ عَذابٌ مِّنَ الرَّحمٰنِ فَتَكونَ لِلشَّيطٰنِ وَلِيًّا
O my father, indeed I fear that there will touch you a punishment from the Most Merciful so you would be to Satan a companion [in Hellfire].”
” Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka”.
يٰۤاَبَتِ
Wahai ayahku,
Ini sudah kali keempat baginda menggunakan kata yang sama apabila bercakap dengan ayahnya. Maka kita boleh lihat bagaimana baginda terus bercakap dengan lembut dengan ayahnya.
Ini mengingatkan kita sekali lagi, hendaklah bercakap dengan lembut apabila berdakwah, terutama sekali dengan ibu bapa kita. Kena bercakap lembut dari mula sampai habis. Kalau mereka tidak terima pun, hendaklah terus bercakap lembut. Jangan terikut-ikut dengan perasaan marah.
إِنِّي أَخَافُ
sesungguhnya aku bimbang
Ini menunjukkan kerisauan baginda tentang nasib ayahnya nanti. Ini adalah kerana baginda sayang kepada ayahnya dan hendakkan kebaikan untuk ayahnya. Bukankah kita pun begitu juga dengan ahli keluarga kita?
أَن يَّمَسَّكَ عَذَابٌ مِّنَ الرَّحْمَٰنِ
bahawa ayah akan disentuh azab dari (Allah) Ar-Rahman;
Baginda takut disebabkan ayahnya menyembah selain Allah, maka ayahnya itu kena azab Allah. Kalimah يَمَسَّكَ bermaksud ‘kamu disentuh dengan lembut’. Bermaksud Nabi Ibrahim tidak keras tegurannya, hanya mengingatkan kepada azab yang ringan sahaja sekarang.
Bagaimana ada perkataan azab dan rahmat (ar-Rahman) dalam satu ayat? Macam tak kena dua perkataan itu. Nabi Ibrahim gunakan penggunaan kata yang yang lembut kerana Nabi Ibrahim hendak bercakap dengan lembut dengan ayahnya. Kerana itu baginda tidak gunakan kata-kata yang berat.
Itulah cara dakwah yang berkesan. Dalam berdakwah, lebih-lebih lagi kepada orang yang rapat dengan kita, hendaklah kita berhemah. Janganlah kita kata: “kau tahu tak nanti kau akan masuk neraka!” Itu adalah kata-kata yang kasar. Apabila digunakan kata yang kasar, akan menyebabkan orang yang kita dakwahkan itu tertutup dari mendengar kata-kata kita yang lain.
فَتَكُونَ لِلشَّيْطٰنِ وَلِيًّا
maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan;
Maksudnya menjadi rakan syaitan di dalam neraka kelak. Iaitu akan diberi balasan yang sama dengan azab yang diberikan kepada syaitan. Sama-sama akan kena seksa dalam neraka.
Begitulah cara untuk memberi nasihat kepada orang yang kita sayangi dan hormati tapi mereka berbuat salah. Gunakan bahasa yang selembut mungkin. Kalau mereka tidak terima, maka kita masih lagi boleh berjumpa mereka di lain kali. Kalau sudah cakap dengan kasar, susah untuk berdakwah di lain masa kerana orang itu pun sudah tak mahu nak jumpa dengan kita.
Ayat 46: Sekarang lihatlah bagaimana balasan kata dari ayahnya. Selepas baginda bercakap dengan baik kepada ayahnya, inilah balasan dari ayahnya.
Inilah yang sangat-sangat menyedihkan hati Nabi Ibrahim. Kita tidak perasan ayat ini selalunya. Kita selalu membaca tentang kisah baginda dengan Nabi Ismail, kisahnya dengan Hajar dan lain-lain lagi. Kita tidak perasan bahawa ini adalah dugaan yang amat berat kepada Nabi Ibrahim. Bagaimana ayah yang baginda sayang, telah menolaknya mentah-mentah.
قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
[His father] said, “Have you no desire for my gods, O Abraham? If you do not desist, I will surely stone you, so avoid me a prolonged time.”
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.
قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ آلِهَتِي يٰۤاِبرٰهِيمُۚ
(Bapanya) menjawab: “adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim?
Perkataan أَرَاغِبٌ adalah satu perkataan yang menarik. Kalau digunakan kata رغب في, itu bermaksud ‘suka kepada sesuatu’ dan ‘mengharap kepada sesuatu’. Tapi apabila digunakan perkataan رغب عن di mana kalimah عن digunakan seperti dalam ayat ini, ianya bermaksud amat benci kepada sesuatu. Ia juga bermaksud ‘meninggalkan sesuatu’.
Ayah Nabi Ibrahim menempelak baginda kerana benci kepada berhala-berhala sembahannya. Macam ayah kita, kalau ada benda yang dia suka, tentulah dia tidak suka kalau anaknya membenci apa yang dia suka itu.
Lihatlah bagaimana dia memanggil anaknya dengan namanya: يَا إِبْرَاهِيمُ. Dia tidak memanggil baginda dengan panggilan manja: wahai anakku يا بنيّ. Padahal Nabi Ibrahim menggunakan panggilan yang manja kepadanya. Ini menunjukkan marahnya ayah baginda kepada baginda.
لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ
Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu;
Bapanya suruh berhenti dari apa? Berhenti dari menyeru dan menasihatinya. Atau berhenti dari mencela tuhan-tuhannya. Ayahnya tak mahu langsung mendengar nasihat dari anaknya itu.
Bapanya marah sangat sampai telah memberi kata dua kepada Nabi Ibrahim. Dia hendak merejam kalau Nabi Ibrahim tidak berhenti. Huruf ل dalam perkataan لَأَرْجُمَنَّكَ itu adalah satu penekanan yang menunjukkan memang dia akan buat. Begitu juga apabila ada sabdu pada huruf ن dalam perkataan itu juga sebagai penekanan.
Maknanya, dia sungguh-sungguh akan buat. Ini memang marah sungguh dan ini bukanlah leteran kosong. Mungkin dia memang maksudkan benar-benar hendak merejam Nabi Ibrahim anaknya itu, atau sebagai kata-kata marah seorang ayah kepada anak.
وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا
dan berambuslah kamu dari aku untuk tempoh yang sangat lama”.
Bapanya sampai tidak mahu tengok lagi muka Nabi Ibrahim. Walaupun Nabi Ibrahim itu adalah anaknya sendiri. Selalunya ibubapa sayang sangat kepada anak dan mahu lihat anaknya sentiasa. Tapi begini punya marah, sampai halau pergi.
Maka sekarang kita tahu yang ayah Nabi Ibrahim telah menghalau baginda. Bukan sekejap-sekejap atau waktu yang pendek tapi perkataan مَلِيًّا bermaksud satu jangka masa yang amat lama.
Atau jauh dari segi jarak – “jauhkan diri dari aku jauh-jauh”. Nampak marah betul dia dengan anaknya itu. Maknanya, Nabi Ibrahim sudah mati padanya. Dia telah membuang anaknya sendiri. Dia sudah tak mahu mengaku Nabi Ibrahim sebagai anaknya lagi.
Adakah kita juga pernah mengalami keadaan sebegini? Tentu ada. Kita selalu dengar ada orang yang baru masuk Islam dan mengajak ibubapanya juga masuk Islam. Tapi mereka dimarahi oleh ibubapa dan keluarga mereka. Sampaikan mereka kena mencari tempat tinggal yang lain. Ada yang takut nak beritahu bahawa mereka telah masuk Islam sampaikan mereka menyembunyikan keislaman mereka sekian lama.
Atau ada juga orang yang sudah belajar jalan sunnah dan mengajak ibubapa mereka kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Ada ibubapa yang marah sampai anak itu tidak ditegur oleh ibubapa mereka lagi. Ada yang mengatakan anak mereka sudah sesat.
Ada juga yang kecil hati dengan anak mereka dan bercakap pula sudah tidak sekerap dulu. Padahal anak-anak mereka hendak menyampaikan jalan yang benar kepada mereka, bukannya hendak merendahkan pengetahuan agama ibubapa mereka.
Mari kembali kepada kisah Nabi Ibrahim: Bayangkan kesedihan yang dialami oleh baginda selepas ayahnya berkata begitu. Dia memberi nasihat dan dakwah kepada ayahnya kerana baginda sayang kepada ayahnya. Dan baginda telah menggunakan kata-kata yang lembut dan baik kepada ayahnya.
Tapi ayahnya masih tak mahu terima. Ayahnya marah sungguh dengan apa yang dikatakan oleh anaknya Nabi Ibrahim sampai mengancam untuk rejam dan telah menghalau baginda. Tentulah Nabi Ibrahim kesedihan yang amat sangat. Tapi lihatlah apakah balasan kata dari Nabi Ibrahim.
Ayat 47:
قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا
[Abraham] said, “Peace be upon you. I will ask forgiveness for you of my Lord. Indeed, He is ever gracious to me.
Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.
قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ
Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah;
Pemahaman pertama yang kita boleh ambil dari ayat ini adalah Nabi Ibrahim akan tinggalkan ayahnya kerana ayahnya yang hendak dia pergi. Maka dia akan pergi kerana mengikut kehendak ayahnya. Dan dia beri salam sebelum dia pergi. Macam kita juga kalau meninggalkan sesiapa, kita akan beri salam.
Lihatlah bagaimana berkali-kali Nabi Ibrahim menasihati ayahnya. Dia hanya berhenti memberi nasihat apabila ayahnya menghalaunya. Begitulah taatnya Nabi Ibrahim kepada ayahnya dan betapa sayangnya baginda kepada ayahnya.
Atau maksud kedua adalah dari segi bahasa, di mana kita faham maksudnya adalah baginda mendoakan kebaikan kepada ayahnya. Walaupun ayahnya tidak menerima dakwah baginda dan telah menghalaunya, baginda masih lagi mendoakan kebaikan kepada ayahnya itu. Begitulah baiknya hati baginda.
Atau baginda mendoakan supaya ayahnya itu masuk Islam. Kerana dalam salam kita juga ada bermaksud begitu – doa supaya orang yang kita beri salam itu masuk Islam.
Itulah sifat orang yang beriman. Apabila orang cakap kasar dengan kita, kita balas dengan baik sahaja. Seperti disebut dalam Furqan:63
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang baik;
سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي
aku akan memohon kepada Tuhanku untuk mengampuni dosamu;
Nabi Ibrahim menggunakan bahasa yang bermaksud dalam masa hadapan (future tense). Kerana ada huruf سَ dalam perkataan سَأَسْتَغْفِرُ itu. Bermaksud baginda akan memohon keampunan untuk ayahnya.
Ada dua persoalan yang timbul dalam ayat ini:
1. Bolehkah memberi salam kepada orang kafir?
2. Bolehkah mendoakan kebaikan untuk orang kafir?
Bolehkah seorang Islam meminta ampun untuk orang kafir? Sedangkan dalam ayat Tawbah:113 jelas menyatakan bahawa perbuatan itu terlarang.
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِTidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Tapi kenapa Nabi Ibrahim buat begitu? Itu adalah kerana baginda tidak tahu perkara itu tidak boleh dilakukan. Kerana baginda amat sayang kepada bapanya dan dia tidak tahu perbuatan itu adalah salah. Perkara ini dinyatakan lagi dalam Tawbah:114 seterusnya, bahawa Nabi Ibrahim memang memohon keampunan untuk ayahnya kerana dia telah berjanji untuk berbuat demikian seperti yang disebut dalam surah Maryam ini.
Baginda telah memohon keampunan untuk ayahnya untuk tempoh yang lama. Dan di awal Islam, memang umat Islam meminta keampunan untuk ibubapa mereka yang tidak masuk Islam kerana meneladani perbuatan Nabi Ibrahim ini. Tapi setelah jelas bahawa ayahnya tidak mahu menerima Islam dan terus menentangnya, maka Nabi Ibrahim telah berhenti dari meminta ampun untuk ayahnya. Dan para sahabat pun berhenti dari meminta keampunan untuk ibubapa mereka. Iaitu setelah Allah menerangkan kedudukan yang sebenar.
وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَنْ مَوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌDan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
Oleh itu, walaupun dalam ayat 47 Surah Maryam ini, Nabi Ibrahim telah menyatakan bahawa baginda akan memohon keampunan untuk ayahnya, tapi itu bukanlah perbuatan yang boleh kita ikuti kerana Allah telah menegur baginda. Itu adalah permohonan seorang anak untuk ayahnya kerana dia belum tahu bahawa tidak boleh memohon ampun untuk orang kafir.
Yang sebaiknya, kita mendoakan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Iaitu semasa mereka masih hidup lagi. Apabila mereka telah mati, maka kita tidak boleh minta ampun bagi pihak mereka.
Tentang memberi salam kepada orang kafir, ada perbezaan pendapat tentangnya. Kerana ada hadis yang Nabi melarang memberi salam kepada orang kafir. Tapi ada juga hadis dimana Nabi pernah pergi ke satu majlis dan dalam majlis itu ada orang kafir tapi Nabi tetap memberi salam.
Maka ulama’ menyatakan kita tidak boleh memberi salam kepada kafir yang menentang kita tapi kalau mereka tidak menentang kita, dibolehkan memberi salam kepada mereka. Allahu a’lam.
إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا
sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.
Kalimah حَفِيًّا bermaksud ‘sentiasa menjaga’. Iaitu menjaga dengan cara lembut. Dari segi bahasa juga ia bermaksud berkali-kali menjaga.
Nabi Ibrahim mengatakan bahawa Allah sentiasa menjaga dirinya, maka baginda akan memohon perkara yang sama kepada ayahnya. Sambil baginda berkata begitu, baginda sebenarnya sedang mengingatkan ayahnya bahawa Allahlah yang sentiasa menjaga dan melimpahkan kurniaNya kepada kita semua selama hari ini. Jadi kenapa tidak mahu menyembah Allah yang telah berbuat kebaikan kepada kita selama ini?
Baginda juga bermaksud hendak memberitahu kepada ayahnya, bahawa tidak perlu risau tentang dirinya, kerana Allah akan menjaga dirinya.
Ayat 48:
وَأَعتَزِلُكُم وَما تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ وَأَدعو رَبّي عَسىٰ أَلّا أَكونَ بِدُعاءِ رَبّي شَقِيًّا
And I will leave you all and those you invoke other than Allah and will invoke my Lord. I hope that I will not be in invocation to my Lord unhappy.”
Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)”.
وَأَعْتَزِلُكُمْ
Dan aku akan meninggalkan kamu semua
Baginda sekarang bercakap kepada semua orang (kerana ada كم dalam ayat ini). Maknanya baginda bukan bercakap dengan ayahnya sahaja. Bermakna, baginda sedang meninggalkan tempat itu dan melalui orang ramai yang ada di situ. أَعْتَزِلُ bermaksud memutuskan diri dari sesuatu.
Ini bermaksud, Nabi Ibrahim memutuskan dirinya dari kaumnya itu yang menyembah selain dari Allah. Bagina sanggup meninggalkan kaumnya dan tempat tumpah darahnya kerana agama. Ini sama seperti Nabi Muhammad dan para sahabat yang sanggup berhijrah meninggalkan Mekah kerana menjaga agama.
وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ
serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;
Bermakna, baginda menolak segala apa yang dilakukan oleh kaumnya itu yang melakukan syirik kepada Allah. Keseluruhan kaumnya mengamalkan syirik dan baginda tidak mahu kena mengena dengan mereka lagi.
Maka kalau tempat tinggal kita memang tidak sesuai untuk mengamalkan agama Islam dengan sempurna, maka hendaklah kita berhijrah meninggalkan tempat itu. Jangan lagi duduk di situ.
وَأَدْعُو رَبِّي
dan aku akan hanya menyeru Tuhanku sahaja;
Seumpama baginda bercakap dengan mereka: “Kamu doa kepada tuhan kamu. Dan aku akan berdoa kepada Tuhanku. Adakah kamu boleh berharap dengan tuhan kamu itu? Sebagaimana aku berharap penuh dengan Tuhanku?”
عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا
mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa”.
Kalimah عَسَىٰ bermaksud ‘mengharap’. Dia berharap semoga Allah tidak menghampakannya. Kenapa baginda menggunakan perkataan ‘mengharap’ dan macam tidak yakin? Inilah tawaaduk (merendah diri). Kerana baginda tidak pasti baginda akan dapat apa yang baginda harapkan. Ikutlah kepada Allah apa yang Allah hendak beri.
Begitu juga kita, kita tidak boleh yakin dengan pasti bahawa Allah akan beri kepada kita atau tidak. Tetapi kita dalam berdoa itu kena mengharap sungguh-sungguh. Sebab kita tahu, kalau bukan Allah yang beri kepada kita, siapa lagi yang akan beri kepada kita? Kalau bukan kita berdoa kepadanya, mana lagi tempat untuk kita berdoa?
Baginda menyebut bagaimana hubungannya dengan Allah. Allah telah memberinya segala keperluannya selama ini. Maka kerana itu baginda boleh berharap dengan Allah. Tapi bagaimana dengan mereka? Adakah mereka boleh berharap dengan tuhan berhala sembahan mereka?
Begitu juga kepada orang-orang sekarang. Yang beribadat kepada selain dari Allah. Bolehkah mereka berharap yang mereka seru itu memberi apa yang mereka minta?
Ayat 49:
فَلَمَّا اعتَزَلَهُم وَما يَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ وَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلنا نَبِيًّا
So when he had left them and those they worshipped other than Allah, We gave him Isaac and Jacob, and each [of them] We made a prophet.
Maka apabila dia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ
Maka apabila dia menjauhkan diri meninggalkan mereka
Kita hendaklah meninggalkan kumpulan manusia yang tidak menyembah Allah ﷻ. Kita tidak boleh bersekongkol dengan mereka. Kita kena tunjukkan ketidaksukaan kita kepada perbuatan sesat mereka itu. Allah ﷻ mengulang perkataan أَعْتَزِلُ dalam ayat ini kerana ia adalah penting.
وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ
dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah;
Ini bermakna Nabi Ibrahim عليه السلام telah meninggalkan negara Babylon. Baginda telah pergi ke Baitulmaqdis. Baginda pergi dengan isterinya dan anak saudaranya Nabi Luth عليه السلام sahaja kerana yang lain tidak mahu menerimanya.
وَهَبْنَا لَهُ إِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ
dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaaqub (cucunya);
Setelah Nabi Ibrahim عليه السلام menjauhkan diri daripada bapa dan kaumnya yang sesat itu, Allah ﷻ telah menggantikannya dengan yang lebih baik daripada mereka, iaitu dengan menganugerahkan Ishak عليه السلام dan Ya’qub عليه السلام, iaitu anaknya dan cucunya.
Kalimah وَهَبْ bermaksud ‘hadiah’ daripada segi bahasa. Selalu digunakan dalam Al-Qur’an untuk merujuk kepada pemberian anak.
Kenapa Allah ﷻ menyebut tentang anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini? Ini adalah memberi nasihat kepada kita bagaimana menjadi ayah. Jangan jadi seperti ayah Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi jadilah ayah yang seperti Nabi Ibrahim عليه السلام.
Lihatlah apa yang Allah ﷻ berikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Anak dan cucu. Iaitu keluarga yang besar. Allah ﷻ boleh beri rahmat yang tidak terhingga kepada mereka yang taat kepada-Nya.
Dalam ayat ini hanya disebutkan seorang sahaja anak Nabi Ibrahim عليه السلام iaitu Nabi Ishak عليه السلام. Nabi Ismail عليه السلام tidak disebut dalam ayat ini kerana baginda akan disebut kemudian nanti dalam bahagian apabila hendak memperkatakan tentang orang-orang Musyrik.
وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا
dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام telah diberi anak dan cucu tetapi anak dan cucu itu dijadikan Nabi pula. Itu adalah satu pemberian yang besar sekali kerana kita tentunya mengharapkan anak-anak keturunan kita jadi orang yang baik-baik. Sekarang, Allah ﷻ telah memastikan bahawa ada anak dan cucu baginda yang menjadi Nabi. Itu adalah satu kebanggaan yang teramat tinggi bagi seorang bapa.
Ayat 50:
وَوَهَبنا لَهُم مِّن رَّحمَتِنا وَجَعَلنا لَهُم لِسانَ صِدقٍ عَلِيًّا
And We gave them of Our mercy, and we made for them a reputation of high honor.
Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا
Dan Kami kurniakan kepada mereka daripada rahmat Kami,
Kalimah من bermaksud ‘sebahagian’. Menunjukkan bahawa rahmat Allah ﷻ itu amat luas dan yang diberikan kepada mereka itu sebahagian sahaja. Ada banyak lagi rahmat Allah ﷻ.
Banyak sekali rahmat yang diberikan kepada keluarga Nabi Ibrahim عليه السلام. Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dibuang ke dalam api, api itu disejukkan oleh Allah ﷻ. Apabila Nabi Ismail عليه السلام hendak disembelih, Allah ﷻ telah menggantinya dengan kibas. Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام meninggalkan anaknya di Mekah yang tandus waktu itu, mereka telah diberikan dengan air zam-zam.
Malah banyak lagi rahmat yang telah diberikan kepada mereka. Namun itu pun masih sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan seluruh rahmat Allah ﷻ. Tidak sampai setitik pun daripada lautan rahmat Allah ﷻ.
وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا
dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia;
Semua pengikut agama samawi (agama dari langit) telah menerima mereka dengan baik dan menerima mereka semua sebagai Nabi. Nama mereka disebut-sebut sepanjang zaman dan banyak menamakan anak-anak mereka dengan nama para Nabi ini. Mereka dipandang tinggi dalam kalangan manusia. Mereka juga dijadikan contoh sepanjang zaman.
Perkataan لِسَانَ صِدْقٍ juga boleh bermaksud, mereka diberikan apa yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام, iaitu sentiasa mengatakan perkara yang benar. Mengatakan perkara yang tinggi, iaitu tentang Allah ﷻ dan tentang agama.
Mereka mendapat kelebihan itu kerana mereka mendapat ilmu agama dan mereka berpegang dan beramal dengannya. Jadi kerana itu kehidupan mereka baik dunia dan juga akhirat. Jadi jangan takut kalau anak suka kepada agama dan hendak belajar agama. Jangan sabotaj kehendak dan minat mereka. Malangnya ada yang sabotaj keinginan anak untuk belajar agama dengan kata kalau belajar agama, susah hendak dapat kerja dan sebagainya.
Itu terjadi kalau tidak ada kepercayaan dan pegangan yang tinggi dengan agama. Itu bermaksud mereka hanya memandang kepada kepentingan dunia sahaja tanpa memikirkan hujung kehidupan di akhirat nanti.
Kisah Nabi Ibrahim عليه السلام ini menekankan tentang akhlak Nabi Ibrahim عليه السلام. Sampaikan baginda diberikan gelaran Khalilullah (Kekasih Allah).
Habis Ruku’ 3 dari 6 Ruku’ surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Mac 2020
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Shaikh Nasir Jangda
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Jalalain