Ayat 41: Bermula daripada ayat ini sehingga ke ayat 50 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia tentang suruhan menjauhi kaum yang sesat.
Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام pula. Mari kita lihat susunan topik Surah Maryam ini daripada mula: Ada tiga bahagian kecil dalam bahagian pertama surah Maryam ini.
Bahagian pertama adalah kisah Nabi Zakaria عليه السلام dan Maryam. Ia ditujukan kepada Yahudi dan Kristian. Yahudi percaya kepada Allah ﷻ tetapi mereka tidak boleh terima kerasulan Nabi Isa عليه السلام. Mereka juga tidak mahu percaya yang Nabi Isa عليه السلام dilahirkan dengan cara ajaib. Padahal mereka boleh pula terima kelahiran ajaib Nabi Yahya عليه السلام.
Bahagian ini juga mengandungi teguran kepada Kristian yang menjadikan Nabi Isa عليه السلام sebagai anak Tuhan.
Kita juga belajar tentang kepentingan anak dan bagaimana perhubungan anak dan ibubapa dalam Islam. Kemudian akhir sekali tentang hari akhirat. Itu semua ada dalam bahagian pertama.
Bahagian ketiga nanti kita akan belajar tentang puak musyrikin. Tetapi sebelum sampai ke bahagian ketiga, kita akan belajar bahagian kedua sekarang, iaitu tentang Nabi Ibrahim عليه السلام.
Nabi Ibrahim عليه السلام dikenali oleh ahli kitab dan juga golongan Musyrikin Mekah. Ini adalah kerana baginda adalah “universal figure” (semua orang kenal). Jadi, baginda merupakan pertalian antara ahli kitab dan golongan musyrikin. Jadi, sebelum masuk kepada nasihat kepada puak musyrikin, disebutkan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام terlebih dahulu.
Bahagian kedua ini juga hendak menceritakan tentang para Nabi-Nabi lain yang menunjukkan bagaimana ajaran Nabi Muhammad ﷺ bukanlah ajaran baru tetapi ia adalah ajaran yang sama yang dibawa oleh Nabi-Nabi yang terdahulu.
Kisah tentang Nabi Ibrahim عليه السلام ada banyak disebut dalam surah-surah yang lain. Tetapi dalam surah ini menceritakan tentang hubungan baginda dan ayah baginda. Ia menyentuh satu tema utama dalam Surah Maryam ini – perhubungan anak dan ibubapa. Kita akan lihat bagaimana ayah Nabi Ibrahim عليه السلام ada penentang dari keluarganya sendiri.
Bayangkan betapa sedihnya hati seorang anak apabila ayah sendiri menentang dengan agresif sekali. Bayangkan, baginda tahu kebenaran tetapi tidak boleh menyampaikannya kepada keluarga sendiri. Maka kisah ini hendak memujuk Nabi Muhammad ﷺ yang juga ditentang oleh keluarga baginda sendiri.
Ayat ini diturunkan selepas Nabi Muhammad ﷺ diarahkan untuk menyampaikan dakwah secara umum kepada semua orang (tiga tahun pertama secara senyap dan tersembunyi sahaja). Apabila jadi begitu, baginda ditentang dengan keras sekali. Antara yang kuat menentang baginda adalah Abu Lahab. Abu Lahab adalah darah daging baginda sendiri (bapa saudara).
Sebelum dakwah umum diberikan, Abu Lahab memang melayan baik dan sayang dengan Nabi ﷺ, menjaga baginda. Tetapi apabila Nabi ﷺ berdakwah dengan cara umum, Abu Lahab menentang baginda di khalayak ramai. Dia akan ikut Nabi ﷺ dan akan mengutuk-ngutuk anak saudaranya itu. Dia kata anak saudaranya itu gila.
Bencinya dia kepada Nabi ﷺ, dia sampai pernah baling batu kepada Nabi ﷺ. Bayangkan betapa sedihnya hati Nabi ﷺ pada waktu itu (kerana keluarga sendiri yang kuat menentang). Maka, ayat ini untuk memujuk Nabi ﷺ. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara yang sama telah berlaku kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Allah ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, sebagaimana Dia telah membantu Nabi Ibrahim عليه السلام, begitu juga baginda akan dibantu oleh-Nya.
Maka, janganlah risau dan sedih sangat. Buatlah apa yang telah disuruh. Walaupun nampak susah dan payah, tetapi pada penghujungnya ada kebaikan. Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah sunnah ini yang sudah menjadi kebiasaan di mana kadangkala penghalang kita adalah ahli keluarga kita sendiri. Orang lain kita boleh dakwah, tetapi selalunya dengan keluarga sendiri yang susah sedikit.
وَاذكُر فِي الكِتٰبِ إِبرٰهيمَ ۚ إِنَّهُ كانَ صِدّيقًا نَّبِيًّا
And mention in the Book [the story of] Abraham. Indeed, he was a man of truth and a prophet.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah dia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ إِبْرٰهِيمَ
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ibrahim;
Nabi Muhammad ﷺ disuruh mengingatkan kepada kaumnya (Musyrikin Mekah) tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Kaum Nabi Muhammad ﷺ adalah penyembah berhala, sama seperti kaum Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Ibrahim عليه السلام juga adalah nenek moyang Arab Mekah dan mereka pun mengaku menganut agamanya.
Perkataan اذْكُرْ juga bermaksud ‘ingatlah’ tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Dalam kamu rasa tertekan, ingatlah kembali tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bagaimana Allah ﷻ telah membantunya. Bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang tertekan dan diganggu, sahabat pun kena juga. Bukan sahabat yang rendah martabat sahaja, tetapi sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi seperti Uthman رضي الله عنه juga kena ganggu. Mereka ditindas supaya mereka meninggalkan Islam. Namun mereka terus bersama Islam.
Kalimah اذْكُرْ juga bukan hanya bermaksud ‘ingat’, tetapi ‘sampaikan’ kepada orang lain tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini menganjurkan kita untuk berdakwah kepada manusia lebih-lebih lagi kepada keluarga kita. Terutama kepada mereka yang telah memeluk Islam tetapi ibubapa dan keluarga mereka tidak menerima Islam.
Begitu juga dengan orang yang lahir dalam keluarga Islam, tetapi keluarga mereka tidak mengamalkan Islam dengan sebenarnya. Mereka mengamalkan amalan syirik dan bid’ah dan itu menyedihkan hati kita. Ini kerana kita sudah dapat ilmu pengetahuan agama dari pembelajaran wahyu, tetapi masih ada lagi ahli keluarga kita belum belajar. Maka kisah Nabi Ibrahim عليه السلام ini akan menjadi panduan kepada kita bagaimana cara kita menangani mereka.
Kalimat فِي الْكِتَابِ itu mengajar kita yang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu hendaklah diambil daripada Al-Qur’an. Bukannya daripada kisah-kisah dongeng ahli kitab. Ada banyak kisah-kisah dalam kitab (seperti Kitab Taurat dan Injil) tetapi kisah-kisah itu tidak semestinya benar. Ini adalah kerana kitab-kitab itu bukan lagi tulen kerana telah diubah.
Yang benar adalah kisah yang dibawa dalam Al-Qur’an ini. Kalau ada kisah-kisah daripada sumber lain, kena sesuaikan dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Maka kena pastikan hadis kisah-kisah itu adalah sahih.
إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا
sesungguhnya adalah dia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
Perkataan كَانَ dalam ayat ini bermaksud ‘sentiasa’. Bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام sentiasa dalam keadaan صِدِّيقًا (benar).
Kalimah صِدِّيقًا merujuk kepada sifat benar yang tinggi, bukan biasa-biasa sahaja. Ada mufassir yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan adalah Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda tidak pernah menipu. Ini kena ada perbincangan sedikit, kerana ada pendapat yang mengatakan Nabi Ibrahim عليه السلام pernah ‘menipu’ sebanyak tiga kali dalam hidupnya sebagaimana di dalam hadith berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ قَوْلِهِ { إِنِّي سَقِيمٌ } وَلَمْ يَكُنْ سَقِيمًا وَقَوْلُهُ لِسَارَّةَ أُخْتِي وَقَوْلِهِ { بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا } وَقَدْ رُوِيَ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْتَغْرَبُ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ إِسْحَقَ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Ibrahim عليه السلام sama sekali tidak pernah berdusta dalam sesuatu pun kecuali dalam tiga perkara; (iaitu) ucapannya: Saya sakit, padahal tidak sakit. Ucapannya tentang Sarah: Dia adalah saudariku. Dan ucapannya: Yang melakukannya (merobohkan patung-patung kecil) adalah (patung) yang paling besar ini.” Hadith ini diriwayatkan melalui sanad lain daripada Abu Hurairah daripada nabi ﷺ. Hadith Ibnu Ishaq daripada Abu Az Zinad dinilai gharib. Abu Isa mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih. (Sunan Tirmidzi no 3090)
Syarah: Pertama, apabila baginda kata baginda sakit apabila kaumnya mengajaknya untuk menyertai keraian syirik pada waktu itu; kedua, apabila baginda merosakkan berhala-berhala di rumah ibadat kaumnya dan baginda meletakkan kapak kepada berhala yang paling besar, dan apabila kaumnya tanya siapakah yang merosakkan berhala-berhala itu, baginda suruh tanya berhala besar itu; ketiga, apabila Raja Namrud tanya siapakah Sarah, baginda jawab bahawa Sarah adalah ‘saudaranya’ (bukan isterinya).
Maka semua itu perlu dijelaskan. Secara ringkasnya, Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah menipu. Kata-kata baginda yang dikatakan ‘menipu’ dalam hadis itu boleh dijelaskan daripada segi bahasa. Akhirnya, kita boleh terima bahawa ia bukanlah penipuan. Ia adalah satu perbincangan yang agak panjang. Pembacaan tambahan boleh lihat di sini dan di sini.
Kalimah صِدِّيقًا juga bermaksud seorang yang benar kata-katanya dan perbuatannya. Bukanlah macam kita yang selalu ‘cakap tak serupa bikin’. Kalau orang yang tidak benar, apa yang dia cakap berlainan dengan apa yang dia buat.
Kalimah صِدِّيقًا juga bermaksud seseorang yang membenarkan semua dan apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dilempar ke dalam api, dan malaikat datang kepadanya untuk menolong, baginda kata baginda tidak memerlukan apa-apa daripada Jibrail عليه السلام. Baginda hanya berharap kepada Allah ﷻ sahaja.
Begitu juga apabila Allah ﷻ mengarahkan baginda meletakkan ahli keluarganya di Mekah yang waktu itu hanya padang pasir sahaja, baginda melakukannya tanpa soal; begitu juga baginda lakukan apabila baginda diarahkan untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Maka baginda ikut sahaja apakah arahan Allah ﷻ. Baginda turut sahaja tanpa soal.
Begitu juga dengan Abu Bakr رضي الله عنه. Kita pun tahu bahawa gelaran Abu Bakr رضي الله عنه adalah ‘as-siddiq’. Apabila manusia lain mengejek Nabi Muhammad ﷺ telah isra’ mi’raj, beliau terus percaya sahaja kerana ia datang daripada Nabi Muhammad ﷺ.
Perkataan نَّبِيًّا mungkin datang daripada dua kata asal:
Pertama: naba’ – berita yang penting dan relevan dengan zaman semasa. Jadi seorang Nabi membawa berita yang relevan dengan zamannya dan berita itu amat penting. Jadi jangan kita kata mesej yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah lapuk dan tidak sesuai dengan zaman sekarang.
Malangnya sampai sekarang pun ada orang yang mengaku Muslim tapi mereka kata ajaran Islam sudah lapuk. Tetapi dengan penggunaan perkataan naba’ ini, menolak kata-kata itu. Ajaran yang dibawa oleh para Nabi adalah relevan dengan setiap zaman. Zaman sekarang pun ajaran Nabi Muhammad ﷺ masih lagi boleh dipakai.
Perkataan Nabi juga dikatakan diambil daripada kata ٌنَبْو yang bermaksud ‘kedudukan yang tinggi’. Ini hendak mengatakan bahawa para Nabi berada dalam kedudukan yang tinggi kalau dibandingkan dengan manusia biasa. Memang mereka manusia juga, tetapi kedudukan mereka lebih lagi dari manusia biasa. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat terakhir Surah Kahfi.
Dalam ayat itu, Nabi Muhammad ﷺ disuruh menyatakan bahawa baginda memang manusia. Cuma bezanya, baginda telah diberikan wahyu dan itulah yang meninggikan kedudukan baginda. Manusia biasa tidak mendapat wahyu daripada Allah ﷻ. Oleh itu, kedudukan Nabi tidak sama dengan kedudukan manusia biasa.
Ayat 42: Ini adalah nasihat Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya. Bapanya seorang pembuat berhala. Apabila baginda telah mendapat ilmu pengetahuan agama daripada Allah ﷻ, maka tentunya antara yang didakwahnya adalah bapanya. Maka lihatlah bagaimana baginda berdialog dengan bapanya.
إِذ قالَ لِأَبيهِ يٰۤـاَبَتِ لِمَ تَعبُدُ ما لا يَسمَعُ وَلا يُبصِرُ وَلا يُغني عَنكَ شَيئًا
[Mention] when he said to his father, “O my father, why do you worship that which does not hear and does not see and will not benefit you at all?
Ketika dia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ
Ingatlah ketika dia berkata kepada bapanya:”
Allah ﷻ suruh kita ‘ingat’ – maksudnya ‘memikirkan’ tentang perkara itu.
Ada perbincangan tentang siapakah yang dimaksudkan لِأَبِيهِ (kepada bapanya) dalam ayat ini. Kebanyakan mufassir mengatakan bahawa ia merujuk kepada bapa kandung Nabi Ibrahim عليه السلام.
Namun ada juga tabiin yang mengatakan bahawa ia merujuk kepada pakciknya kerana mereka tidak terima hakikah ada keturunan Nabi yang melakukan syirik. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda bahawa keturunannya adalah jalur terbaik.
Jadi, kerana baginda adalah keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام, maka mereka berpendapat tidak mungkin bapa Nabi Ibrahim عليه السلام seorang yang melakukan syirik dengan aktif (kerana itu tok nenek Nabi Muhammad ﷺ juga).
Tetapi itu adalah satu pendapat sahaja. Tidaklah sentiasa Nabi ﷺ menggunakan kata-kata yang mengatakan sesuatu secara literal. Mungkin maksud Nabi ﷺ apabila mengatakan keturunannya baik itu bermaksud kebanyakan daripada mereka adalah orang baik (bukan semua).
Bayangkan betapa sedihnya Nabi Ibrahim عليه السلام yang mempunyai bapa yang aktif dalam syirik – kerana dia adalah pembuat patung berhala. Bapanya juga tidak mahu menerima dakwahnya, malah menentangnya.
Kita pun mungkin menghadapi masalah yang sama. Kadang-kadang kita telah belajar agama dan kita hendak memberitahu tentang agama kepada keluarga kita. Kadang-kadang ibubapa kita tidak dapat terima ajaran daripada kita kerana kita adalah ‘anak-anak’ mereka.
Ini kerana mereka rasa mereka lebih pandai (lebih dulu makan garam) daripada kita kerana merekalah yang ‘beri nyawa’ kepada kita dan merekalah yang telah menjaga kita semenjak daripada kecil lagi. Takkan tiba-tiba anak sendiri datang dan hendak tunjuk pandai dengan mereka pula?
Inilah perasaan yang kadangkala timbul dalam diri manusia. Maka ayat ini mengajar kita bagaimana untuk berurusan dengan mereka. Kita tentunya ingin berkongsi apa yang kita sudah belajar dengan keluarga kita, bukan? Ini kerana kita sayangkan mereka dan kita hendak lihat mereka pun selamat dunia akhirat. Namun ramai ibubapa tidak mahu terima. Ini adalah satu realiti kehidupan dan kita kenalah terima.
Nabi Muhammad ﷺ pun ada keluarga yang sebegitu. Ada pakciknya yang membantu dakwah baginda seperti Hamzah dan Abu Talib رضي الله عنهما. Ada yang tidak terus beriman seperti Saidina Abbas رضي الله عنه tetapi akhirnya menerima Islam.
Tetapi ada yang seperti Abu Lahab yang memang menentang Nabi ﷺ dengan kuat sekali sampai ke hujung hayat. Jadi ayat-ayat ini menyentuh perkara ini.
يٰۤـاَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ
Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar
Kalimat يَا أَبَتِ adalah satu panggilan kepada seorang bapa dengan cara yang baik dan yang manja kerana kalau yang formal adalah kata أبي – Abi. Jadi panggilan yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya adalah lembut sekali. Walaupun bapanya itu bukanlah seorang yang baik.
Ia adalah kata-kata penghormatan yang digunakan olehnya. Kalau hendak diterjemahkan يَا أَبَتِ itu ia bermaksud: “Wahai bapa, aku amat menghormatimu dan menyayangimu.” Ini menunjukkan baginda sayang dan hormat kepada bapanya itu.
Maka jangan kita gunakan kata-kata yang kasar apabila bercakap dengan ibubapa kita lebih-lebih lagi kalau kita sedang berdakwah kepada mereka. Ini kerana kalau kita tidak berhati-hati, kita sangka kita sudah di atas jalan yang benar, tetapi kita kadang-kadang gunakan bahasa yang kasar.
Maka, lihatlah cara penggunaan bahasa Nabi Ibrahim عليه السلام. Adakalanya kita terus berkata perbuatan ibubapa kita itu salah. Terus tegur mereka: “Ini perbuatan syirik ni mak!” atau dengan kata-kata sebegitu.
Kalau kata begitu, tentu mereka akan terasa sangat, bukan? Ingatlah bahawa mereka telah membesarkan kita dengan susah payah dari kita kecil. Maka jasa mereka kepada kita sudah banyak. Kalau kita cakap kasar dengan mereka, tentu mereka akan berasa hati dan dakwah kita tidak sampai kepada mereka.
Sebelum ini, telah disebut bagaimana Nabi Yahya عليه السلام berbuat baik dengan ibubapanya, kemudian disebut Nabi Isa عليه السلام pula berbuat baik kepada ibunya. Sekarang, kita lihat Nabi Ibrahim عليه السلام pun bercakap baik dengan ayahnya. Maka, apa lagi contoh yang kamu mahu? Maka jangan kita kasar dengan emak ayah kita, boleh tak?
Cara pertanyaan لِمَ itu bukanlah cara soalan yang kurang ajar. Ia memang soalan yang ikhlas daripada Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Ibrahim عليه السلام memang hendak tahu kenapa bapanya menyembah berhala kerana baginda hendak memberi peluang untuk bapanya bercakap dahulu. Baginda hendak mendapatkan hujjah dan alasan daripada bapanya.
Kalimat لَا يَسْمَعُ (tidak mendengar) adalah soalan yang baik. Ia adalah satu soalan yang praktikal. Ia soalan yang senang untuk difahami. Ia bukan soalan yang penuh dengan falsafah dan tidak praktikal. Maka kita dalam dakwah pun kena guna bahasa yang orang senang faham.
Maka soalannya: adakah berhala-berhala itu mendengar apa yang kita cakap kepadanya? Orang jahiliyyah yang menyembah berhala kata berhala itu mendengar apa yang mereka katakan dan akan menyampaikan doa mereka kepada tuhan. Maka mereka diperli dalam ayat ini.
Mereka yang menyembah berhala itu sebenarnya memang mengaku yang berhala itu tidak boleh berbuat apa-apa, tetapi mereka akan kata bahawa berhala itu boleh mendengar dan boleh menyampaikan hajat mereka. Nabi Ibrahim عليه السلام hendak menekankan di sini bahawa berhala itu tidak boleh mendengar pun.
Bagaimana pula dengan orang kita yang melakukan tawassul kepada kubur-kubur para Nabi dan para wali? Adakah mereka dalam kubur itu mendengar doa kita kepada mereka? Kita boleh lihat sendiri bagaimana pengikut tarekat dan sufi beribadat di kubur kononnya para wali. Mereka bercakap dengan penghuni kubur itu macamlah penghuni kubur itu hidup lagi.
Bagaimana pula dengan orang kita yang meminta syafa’at kepada Nabi Muhammad ﷺ sendiri? Adakah Nabi Muhammad ﷺ mendengar permintaan kita itu? Ada dalilkah yang Nabi ﷺ mendengar kata-kata kita itu? Ini kita kena tanya kerana kita boleh lihat zaman sekarang, dengan datangnya para Habib dari luar, mereka mengadakan majlis sambutan selawat beramai-ramai, sampai masuk dalam stadium. Beribu-ribu orang datang.
Antara yang mereka minta dalam majlis itu adalah syafa’at kepada Nabi. Mereka laungkan permintaan itu dalam majlis itu – ishfa’ lana (berilah syafaat kepada kami). Adakah Nabi yang telah mati itu mendengar? Kalau Nabi mendengar, tentu Nabi tidak mati lagi. Dan kalau baginda belum mati, kenapa tanam baginda dalam tanah?
وَلَا يُبْصِرُ
dan tidak melihat
Adakah berhala itu dapat melihat perbuatan kita? Memang dibuatkan mata pada berhala-berhala itu, tapi adakah mata itu melihat? Tentu tidak.
Adakah para wali, para Nabi, malah Nabi Muhammad ﷺ sendiri melihat perbuatan kita sekarang? Sampaikan ada yang berdiri apabila membacakan selawat kepada Nabi ﷺ. Sampaikan ada pendapat yang mengatakan jasad Nabi ﷺ telah mati tetapi rohnya bertebaran di muka bumi ini. Adakah ini ada dalil dalam agama?
وَلَا يُغْنِي عَنكَ شَيْئًا
serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?
Adakah berhala-berhala itu pernah beri apa-apa kepada mereka yang menyembahnya? Tidak pernah langsung.
Bagaimana pula Nabi Ibrahim عليه السلام bercakap begini dengan bapanya? Bukankah di awal ayat kita telah baca bagaimana baginda memanggil bapanya dengan panggilan yang manja? Kenapa pula tanya soalan-soalan sebegini?
Ini menunjukkan, walaupun kita sayang dan hormat kepada seseorang, tidaklah kita ikut mereka kalau mereka buat salah. Kita memang bercakap baik dengan mereka, tetapi kalau mereka buat salah, kita kena tegur mereka iaitu tegur dengan cara yang baik.
Nabi Ibrahim عليه السلام tidaklah mengutuk bapanya, tetapi dalam ayat ini baginda menyoal tentang berhala itu sahaja sebab baginda tidaklah menyerang terus bapanya, tetapi hanya kepada berhala sahaja. Baginda cuba membawa minda bapanya untuk memikirkan bahawa tidak ada gunanya menyembah berhala-berhala itu kerana ia tidak pernah mendengar dan tidak pernah memberi apa-apa kepada mereka yang menyembahnya.
Jadi, dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa bapa Nabi Ibrahim عليه السلام menyembah berhala. Kaumnya pada waktu itu menyembah berhala. Itu adalah satu perbuatan yang sia-sia. Begitu juga dengan agama lain yang menyembah tuhan mereka yang tidak boleh berbuat apa-apa pun.
Sebagai contoh, Kristian yang menyembah Nabi Isa عليه السلام, adakah Nabi Isa عليه السلام boleh membuat apa-apa sekarang walaupun baginda ada di langit ketiga? Tidak sama sekali. Begitu juga dengan agama Hindu yang menyembah berhala mereka. Begitu juga dengan masyarakat Islam kita yang ada menyembah Nabi Khidir عليه السلام atau mana-mana wali.
Yang buat perkara ini kata: “Eh, kami tak sembah pun….”. Kita kata mereka menyembah pujaan-pujaan itu kerana mereka ada hantar/sedekah Fatihah kepada entiti-entiti itu. Kalau kita puja Nabi Muhammad ﷺ pun mereka pun sama sahaja kerana Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi-Nabi lain telah mati. ‘Sembah’ itu bukanlah rukuk dan sujud sahaja.
Berbagai-bagai hujah akan diberikan oleh mereka yang melakukan perkara-perkara itu. Namun semua hujah-hujah itu bukan daripada nas yang boleh diterima. Semua hujah itu adalah hujah akal dan kata-kata orang sahaja.
Persoalan sekarang kepada mereka: Kenapa kita hendak buat benda yang tidak pasti benar atau salahnya, dan yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kesyirikan? Buatlah perkara yang pasti Nabi ﷺ telah ajar kepada kita. Jangan kita gunakan pendapat-pendapat yang bukan datang daripada nas Al-Qur’an dan Hadith.
Ayat 43: Sambungan bicara Nabi Ibrahim dan ayahnya. Kalau tadi baginda tanya, sekarang baginda sudah ajak ayahnya itu ke arah kebenaran.
يٰۤـاَبَتِ إِنّي قَد جاءَني مِنَ العِلمِ ما لَم يَأتِكَ فَاتَّبِعني أَهدِكَ صِراطًا سَوِيًّا
O my father, indeed there has come to me of knowledge that which has not come to you, so follow me; I will guide you to an even path.
“Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
يٰۤـاَبَتِ
Wahai ayahku,
Baginda menggunakan kata panggilan mesra dan penuh penghormatan yang sama seperti digunakan sebelum ini. Ini menunjukkan baginda berterusan bercakap dengan lembut dengan ayahnya. Dari mula bicara sampai sekarang.
Ini juga mengajar kita: Jangan kita pada mula bercakap dengan ibubapa kita dengan lembut tapi lepas itu cakap dengan kasar. Kadangkala, apabila kita berdakwah dengan orang, mula-mula kita akan cakap dengan lembut, tapi lama-lama kalau orang itu tidak terima, kita akan mula cakap dengan kasar, bukan?
Jangan begitu. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ini. Dia terus menggunakan tona suara yang sama. Kena kawal emosi kita supaya jangan terkesan dengan penolakan orang lain. Orang yang hebat bukanlah yang gagah perkasa boleh angkat batu besar, tapi yang boleh mengawal perasaannya.
إِنِّي قَدْ جَاءَنِي مِنَ الْعِلْمِ
sesungguhnya telah datang kepadaku sedikit dari ilmu pengetahuan;
Takut-takut ayah Nabi Ibrahim tidak dapat menerima dakwah Nabi Ibrahim kerana melihat baginda adalah anak yang telah dibesarkan sendiri olehnya, maka Nabi Ibrahim memberikan penjelasan kepada ayahnya itu. Nabi Ibrahim menyampaikan kredibiliti baginda. Macam kita, kena beritahu yang kita sudah belajar, sebab itu kita boleh beri nasihat.
Nabi Ibrahim menegaskan bahawa ilmu pengetahuan itu datang dari Allah taala. Bukan ilmu yang didapati dari hasil fikirannya sendiri. Bukan baginda reka sendiri. Maka bukanlah baginda hendak menunjuk pandai, tapi kerana ilmu itu dari Allah yang baginda kena sampaikan.
Kata إِنِّي dan قَدْ adalah kata-kata penekanan. Jadi ada dua penekanan dalam ayat ini. Kata جاء juga membawa maksud ‘datang dengan kuat’, maka di situ juga ada penekanan yang digunakan. جاء juga digunakan kerana menunjukkan yang datang itu adalah perkara besar. Kalau ianya kurang sedikit, atau perkara yang biasa sahaja, perkataan أتى yang digunakan.
Kalimah مِنَ membawa maksud ‘sebahagian’. Jadi kalimat مِنَ الْعِلْمِ bermaksud ‘sedikit dari ilmu pengetahuan’. Maknanya, baginda tidak besarkan diri depan ayahnya. Tidaklah baginda kata baginda tahu semua. Dan baginda kata ilmu itu pun ‘diberikan’ kepadanya – bukan baginda tahu sendiri. Oleh itu kita boleh lihat bagaimana baginda merendahkan dirinya depan bapanya.
Begitulah cara Nabi Muhammad bercakap dengan Abu Talib dahulu. Baginda memujuk beliau dengan cara yang baik. Begitulah juga yang kita kena lakukan apabila berdakwah kepada manusia. Kita jangan kata kita sudah tahu semua. Kerana kadang-kadang kita pun baru belajar juga. Bukan semua kita tahu. Tapi kita hendak menyampaikan setakat mana yang kita tahu sahaja.
مَا لَمْ يَأْتِكَ
yang tidak pernah datang kepadamu;
Oleh kerana ayah baginda tidak pernah belajar, jadi tentulah tidak sampai ilmu itu kepadanya. Macam kita sekarang, kita sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an dan sudah tahu serba sedikit hal agama. Tapi ada ramai lagi orang yang tak belajar. Ramai lagi yang tidak tahu tentang ajaran Sunnah. Mereka sangka apa yang mereka tahu selama ini adalah kebenaran dalam Islam.
Ini kerana ilmu sunnah sekarang baru sahaja menapak dan masih asing lagi lagi pada kebanyakan dari masyarakat kita. Sampaikan apabila datang kepada mereka, mereka hairan (kerana berlainan dengan apa yang mereka biasa fahami dan pelajari). Mereka hairan kenapa lain sangat dengan apa yang mereka belajar selama ini? Ini adalah kerana ilmu itu tidak pernah sampai kepada mereka. Dan manusia memang akan memusuhi apa yang mereka tidak kenali.
Kenapa baginda beritahu yang ayah baginda tidak ada ilmu itu? Bukan nak kutuk tapi baginda nak kata bahawa baginda faham kenapa ayahnya tidak faham. Kerana ayahnya belum lagi mendapat ilmu itu. Supaya ayah baginda tidak rasa segan, atau berasa hati.
Macam kita juga apabila menceritakan ilmu yang baru kepada orang yang baru belajar agama. Kita katakan kepada mereka supaya jangan malu kalau tak tahu. Mereka tak tahu itu adalah kerana mereka tak belajar lagi. Tapi sekarang bukalah minda, kerana ianya akan disampaikan kepada mereka.
فَاتَّبِعْنِي
oleh itu ikutlah daku;
Walaupun kamu tidak tahu tentang ilmu itu, tapi ikutlah aku yang telah mendapat ilmu itu.
Setelah Nabi Ibrahim memberikan hujahnya tentang kebatilan amalan ayahnya selama hari ini, barulah baginda mengajak ayahnya mengikutinya.
Macam kita sekarang yang sudah mula belajar tafsir, kita telah mendapat ilmu pengetahuan. Jadi kalau ada orang yang tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an, mereka kenalah ikut kita yang sudah belajar ini. Kita kena mengajar mereka setakat yang kita tahu dan mampu.
Atau, sudah boleh ajak mereka untuk datang belajar sekali dengan kita. Sama-sama menimba ilmu supaya jangan terus berada dalam kejahilan itu lagi.
أَهْدِكَ صِرَاطًا سَوِيًّا
aku akan memimpinmu ke jalan yang betul;
Inilah tujuan Nabi Ibrahim mengajak ayahnya: untuk menunjukkan jalan yang benar kepada ayahnya. Kerana baginda sayang kepada ayahnya. Macam kita juga yang tentunya sayang kepada ahli keluarga kita dan mahukan kebaikan untuk mereka.
Kita pun hendak mereka mendapat kebaikan. Kita hendak mereka selamat di akhirat nanti. Maka kenalah kita ajak mereka ke arah ilmu pengetahuan yang berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah.
Kalimah سَوِيًّا bermaksud ‘yang seimbang’. Membawa erti sesuatu yang baik. Kerana memang perkara yang seimbang itu dinisbahkan kepada perkara yang baik dalam kebanyakan hal.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 19 Mac 2020
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Syaikh Nasir Jangda
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Jalalain