Tafsir Surah Kahfi Ayat 105 – 110 (Nabi Muhammad manusia juga)

Ayat 105:

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمٰلُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيٰمَةِ وَزنًا

Sahih International

Those are the ones who disbelieve in the verses of their Lord and in [their] meeting Him, so their deeds have become worthless; and We will not assign to them on the Day of Resurrection any importance.

Malay

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

 

أُولَٰئِكَ

Orang yang bersifat seperti ini;

Iaitu orang-orang yang buat syirik dan buat amalan ibadat yang bidaah seperti yang kita telah sebutkan dalam ayat sebelum ini.

 

الَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ رَبِّهِمْ

ialah mereka-mereka yang kufur dengan ayat-ayat Tuhan mereka; 

Mereka itu itu sebenarnya kufur dengan wahyu Allah. Mereka tidak hiraukan ajaran dalam wahyu dan kerana itu mereka tidak belajar. Mereka rasa ia tidak penting. Maka mereka terus menjadi jahil dalam agama. Kalau sumber dalam agama pun mereka tidak belajar, macam mana mereka nak faham agama?

Jadi, jangan sangka kalau lahir dalam Islam, nama pun nama Muslim, mengamalkan sesetengah ajaran Islam, tidak tinggalkan solat dan puasa, tapi kalau ajaran wahyu tidak diendahkan, maka mereka itu kufur. Kufur di mata Allah walaupun mereka nampak muslim di mata manusia.

Ini kita kena faham dan luaskan fahaman kita. Jangan kita sangka orang bukan Islam sahaja yang boleh ‘kufur’. Kalau orang Islam, tapi wahyu mereka langgar, mereka juga kufur, kerana makna kufur adalah ‘engkar’.

 

وَلِقَائِهِ

dan kufur dengan perjumpaan denganNya;

Mereka engkar perjumpamaan mereka dengan Allah yang pasti berlaku. Mereka macam tidak ingat yang mereka nanti akan kena mengadap Allah dan kena jawap atas segala perbuatan mereka itu. Maka kalau ada amalan mereka bukan dari agama, maka macam mana mereka nak jawap nanti? Mereka tidak takutkah bertemu dengan Allah nanti?

 

فَحَبِطَتْ أَعْمٰلُهُمْ

Maka gugur semua amal ibadat mereka;

Amalan-amalan syirik dan bidaah itu tidak ada pahala. Gugur segala amalan itu dan tidak diganti dengan pahala langsung, malah akan dapat dosa. Inilah masalah yang besar dalam amalan kita kalau tidak faham perkara ini.

Dan bukan itu sahaja, kalau kita ada masalah dengan tauhid, maka segala amalan yang kita lakukan walaupun ikhlas, tidak ada nilai. Segala amalan itu akan musnah begitu sahaja. Kerana syarat untuk amalan diterima adalah seorang itu kenalah seorang Muslim. Tapi kalau dia ada fahaman syirik, maka itu tandanya dia bukan seorang muslim sejati dan amalan orang kafir tidak diterima.

 

فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ وَزْنًا

Maka Kami tidak buat baginya pertimbangan pada hari kiamat sebarang timbangan;

Malang sekali mereka yang sebegitu kerana tidak ada satu benda yang boleh dibuat kira sebagai pahala. Tidak ada amal ibadat yang layak untuk ditimbang. Kerana ibadat mereka adalah ibadat yang syirik dan bidaah.

Bidaah sebenarnya adalah satu kerja yang mengganti kerja Nabi. Kerana yang sepatutnya memberitahu manusia tentang amal ibadat adalah kerja Nabi. Dan mereka yang buat amal ibadah yang syirik dan bidaah adalah menipu atas nama Allah. Ini terjadi apabila dia kata Tuhan akan beri pahala sekian-sekian kalau buat amalan itu, padahal Allah tak pernah cakap pun.

Atau apabila mereka kata amalan mereka itu walaupun Nabi tak buat tapi ianya adalah ‘bidaah hasanah’, Allah suka kalau kita buat, padahal Nabi tidak pernah kata tentang amalan bidaah hasanah itu. Status ‘bidaah hasanah’ itu mereka sendiri yang letak.


 

Ayat 106:

ذٰلِكَ جَزاؤُهُم جَهَنَّمُ بِما كَفَروا وَاتَّخَذوا ءآيٰتي وَرُسُلي هُزُوًا

Sahih International

That is their recompense – Hell – for what they denied and [because] they took My signs and My messengers in ridicule.

Malay

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

 

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ

Demikian balasan bagi mereka iaitu Neraka Jahannam; 

Dan balasan bagi mereka yang mengamalkan amalan syirik dan bidaah adalah neraka. Mereka susah payah buat amalan itu tapi akhirnya masuk neraka. Tidakkah rugi?

 

بِمَا كَفَرُوا

terhadap apa yang mereka dulu engkar dan kufur;

Ini adalah kerana mereka engkar dengan wahyu Allah. Mereka buat tak endah kepada larangan-larangan dalam ayat-ayat Qur’an. Qur’an beritahu jangan buat amalan syirik dan bidaah tapi mereka buat juga. Berbagai alasan dan hujah yang mereka keluarkan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan itu tapi semuanya bukan dari dalil yang sah.

Itu semua adalah kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Qur’an dan belajar Sunnah. Kerana kalau mereka belajar, mereka akan faham apakah yang mereka baca dalam Qur’an. Dan mereka akan faham apakah yang Nabi katakan dalam hadis. Kalau tidak belajar atau belajar dengan guru yang salah, memang akan tertipu.

 

وَاتَّخَذُوا ءآيٰتِي

Mereka mengambil ayat-ayatKu;

Macam-macam ayat mereka baca sebagai amalan mereka. Surah Yaasin, ayat Kursi dan macam-macam lagi. Tapi sebelum mereka baca ayat-ayat itu, mereka akan baca kalimah tawasul kepada Nabi, Wali dan Malaikat dulu. Jadi, apabila mereka buat macam itu, mereka telah mempersendakan ayat Qur’an. Kerana ayat Qur’an juga yang melarang perbuatan mereka itu tapi mereka lakukan. Mereka tidak endah ayat-ayat Qur’an.

Mereka memang ada pakai ayat Qur’an tapi ayat Qur’an itu sebenarnya diejek-ejek oleh mereka tanpa mereka sedari. Kerana mereka membacakan ayat Qur’an yang jelas melarang perbuatan yang mereka lakukan itu. Contohnya, mereka baca ayat Qur’an yang melarang melakukan tawasul yang salah (kerana ada tawasul yang benar), tapi dalam masa yang sama, mereka sendiri mengamalkan tawasul. Itu seperti mengejek ayat Quran – mereka baca tapi mereka berbuat yang sebaliknya dari yang dilarang oleh ayat itu.

 

وَرُسُلِي

dan rasul-rasul (yang mengajar ayat itu);

Bukan Qur’an sahaja dipersendakan tapi Nabi juga dipersendakan. Kerana mereka kata Nabi Muhammad adalah rasul mereka, tapi suruhan Nabi mereka tak ikut, larangan Nabi mereka buat. Bukankah itu mengejek namanya?

 

هُزُوًا

sebagai ejek-ejekan.

Mereka tahu Allah itu Tuhan dan Nabi itu Rasul. Mereka tahu yang Qur’an dan Sunnah adalah sumber agama. Tapi mereka tidak beri perhatian. Dan apabila mereka melakukan perkara yang dilarang oleh Qur’an dan Sunnah, maka mereka sebenarnya telah mengejek-ngejek wahyu dari Allah itu.


 

Ayat 107: Tabshir Ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ كانَت لَهُم جَنّٰتُ الفِردَوسِ نُزُلًا

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – they will have the Gardens of Paradise as a lodging,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman;

Iaitu orang-orang yang beriman ‘sempurna’, tidak ada syirik kepada Allah. Kerana bukan kena beriman sahaja, tapi kena beriman ‘sempurna’. Iaitu iman tanpa syirik. Dan untuk tahu apakah syirik, kena belajar tafsir Qur’an. Kalau tidak belajar, memang tidak akan tahu. Kerana sumber pengajaran tentang manakah fahaman syirik ada dalam Qur’an.

Malangnya ramai dari masyarakat kita tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka kalau mereka orang Islam tentulah mereka tidak melakukan syirik. Mereka sangka syirik itu hanyalah kalau sembah patung sahaja. Ini adalah fahaman yang salah kerana banyak lagi fahaman syirik.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan beramal amalan yang soleh;

Iaitu amalan yang diambil dari ajaran Nabi. Mereka tidak buat amalan yang bidaah. Amalan yang mereka lakukan, mereka pastikan yang ianya diambil dalilnya dari Qur’an dan Sunnah. Mereka pastikan yang ianya adalah dari amalan sahabat-sahabat Nabi. Tentunya ini memerlukan pembelajaran dan kerana itulah Islam mewajibkan pembelajaran agama kepada semua penganutnya.

Janganlah terus berada dalam kejahilan. Janganlah hanya pakai benda yang kita belajar di sekolah rendah dan menengah itu. Kenalah tambah ilmu pengetahuan agama bagi pandai sikit. Ini adalah kerana banyak ajaran yang salah dan kalau tidak belajar, tidak akan tahu.

 

كَانَتْ لَهُمْ جَنّٰتُ الْفِرْدَوْسِ

bagi mereka syurga-syurga Firdaus;

Alangkah beruntungnya mereka kerana dapat dimasukkan ke dalam syurga dan syurga itu pula Tingkatan Firdaus. Oleh kerana itu, apabila kita berdoa untuk masuk syurga, mohonlah untuk masuk Syurga Firdaus.

Nabi telah bersabda: “Jika kalian memohon syurga kepada Allah, maka mintalah kepadaNya Syurga Firdaus, kerana ia merupakan syurga yang paling tengah sekaligus syurga paling tinggi, dan darinya sungai-sungai syurga mengalir.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

 

نُزُلًا

sebagai tempat tinggal;

Inilah tempat tinggal yang sebaik-baiknya yang kita kehendaki. Bandingkan dengan tempat tinggal ahli neraka yang amat teruk. Kita pilihlah mana yang kita hendak. Samada nak syurga atau neraka.


 

Ayat 108:

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا

Sahih International

Wherein they abide eternally. They will not desire from it any transfer.

Malay

Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal didalamnya;

Ahli syurga bukan duduk sekejap sahaja di dalam syurga itu tapi selama-lamanya. Kerana kalau duduk sekejap sahaja, tentu tidak menarik. Macam juga kita kalau duduk hotel termahal sekali pun, kita pun tahu yang kita akan keluar, bukan? Maka itu mengurangkan kenikmatan duduk dalam hotel itu.

Manusia mahukan tempat tinggal yang tetap. Kerana itulah manusia teringin sangat untuk memiliki rumahnya sendiri dan tidaklah menyewa sampai mati. Dan Allah tahu sifat manusia begitu dan kerana itulah Allah berikan tempat tinggal yang tetap kepada mereka yang beriman sempurna dan mengamalkan amalan soleh. Mereka tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

 

لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا

Dia tidak ingin keluar dari syurga itu;

Dan penghuni syurga itu tidak akan mahu pun untuk keluar dari syurganya itu. Kalau kita di dunia sekarang, kalau ada kawan ajak keluar, kita mungkin keluar. Tapi di syurga nanti, nak keluar jumpa kawan pun tak mahu. Sebab sedang sibuk menikmati segala nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Walaupun dah lama duduk di dalam syurga nanti, penghuni syurga tidak akan rasa bosan dan tidak akan hendak berpindah darinya. Kalau kita di dunia, kalau dah lama duduk di sesuatu tempat, tentulah ada rasa nak pindah mana-mana, tapi ini tidak akan terjadi apabila tinggal dalam syurga nanti. Ini adalah kerana nikmat yang Allah berikan kepada manusia tidak akan sama. Akan berubah-ubah dan semakin baik dan semakin baik. Jadi memang tidak akan jadi bosan. Jadi manusia akan sentiasa ternanti-nanti apakah yang mereka akan dapat.


 

Ayat 109:

قُل لَّو كانَ البَحرُ مِدادًا لِّكَلِمٰتِ رَبّي لَنَفِدَ البَحرُ قَبلَ أَن تَنفَدَ كَلِمٰتُ رَبّي وَلَو جِئنا بِمِثلِهِ مَدَدًا

Sahih International

Say, “If the sea were ink for [writing] the words of my Lord, the sea would be exhausted before the words of my Lord were exhausted, even if We brought the like of it as a supplement.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

 

قُلْ لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمٰتِ رَبِّي

Katakanlah: Kalaulah lautan itu dijadikan dakwat untuk tulis kalimat-kalimat Tuhanku;

Untuk dijadikan tulisan menulis nikmat-nikmat yang Allah berikan. Ambil satu kalimat sahaja dah cukup dah. Contohnya, perkataan ‘Rahmat’. Satu perkataan itu pun tak cukup tangan hendak ditulis. Kerana makna kalimat itu amat luas.

‘Kalimat’ itu bermaksud hukum-hukumNya dan ayat-ayat yang menunjukkan kekuasaanNya. Juga segala perbuatanNya, kerana Allah tidak pernah berhenti dari melakukan sesuatu. Setiap masa ada sahaja yang dilakukanNya.

 

لَنَفِدَ الْبَحْرُ

sudah tentu akan habis kering lautan itu 

Maka kerana banyak sekali perbuatanNya dan rahmatNya, maka tidak mungkin akan dapat ditulis semua sekali walaupun air laut itu dijadikan sebagai dakwat.

 

قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمٰتُ رَبِّي

sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku;

Tak akan mampu tulis dan sebelum habis tulis, seluruh air laut yang dijadikan dakwat itu akan kering.

 

وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

walaupun Kami datangkan dengan lautan yang sebanyak itu juga; 

Kalau Allah datangkan lagi tujuh lautan lagi pun dijadikan sebagai dakwat, tidak akan mampu untuk menulisnya.


 

Ayat 110: Khulasah surah.

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ ۖ فَمَن كانَ يَرجو لِقاءَ رَبِّهِ فَليَعمَل عَمَلًا صٰلِحًا وَلا يُشرِك بِعِبادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Sahih International

Say, “I am only a man like you, to whom has been revealed that your god is one God. So whoever would hope for the meeting with his Lord – let him do righteous work and not associate in the worship of his Lord anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

 

قُلْ إِنَّمَا أَنَاْ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ

Katakanlah (Wahai Muhammad): Bahawasanya aku ini manusia biasa seperti kamu juga;

Kita diajar dalam ayat ini yang Nabi Muhammad itu pun  manusia biasa juga. Maka baginda bukanlah anak Tuhan ataupun manusia jenis lain. Jadi banyak perkara yang baginda tidak tahu kerana baginda juga manusia biasa. Antaranya, baginda tidak tahu ilmu ghaib melainkan apa yang baginda diberitahu sahaja.

Maka akidah kita sebagai Ahli Sunnah adalah baginda seorang manusia biasa, cuma bezanya baginda diberi wahyu dan kita tidak diberi wahyu. Bagaimana dengan kita sekarang pula? Kita adalah orang yang *belajar* wahyu Allah. Guru-guru sepatutnya belajar dan mengajar wahyu Allah. Tapi sekarang di masjid-masjid, kebanyakan guru yang mengajar itu tidak mula belajar pun lagi Qur’an 30 juzuk.

Kalau mereka sendiri tidak belajar, bermakna mereka tidak memandang tinggi Qur’an. Kalau mereka tak belajar, mereka sendiri tidak faham agama. Bagaimanakah mereka hendak mengajar perkara yang benar kalau mereka sendiri tak tahu? Mereka itulah ulama yang jahat. Selalunya mereka hendak dapat duit sahaja. Tapi mereka mengaku sebagai ulama. Padahal Nabi kata dia tinggalkan Qur’an dan Sunnah kepada kita supaya kita tidak sesat.

Bukan itu sahaja, mereka kata orang yang belajar Qur’an dan Sunnah pula yang sesat. Contohnya, Qur’an melarang tawassul, tapi mereka pula yang menjadi kepala majlis-majlis yang mengamalkan tawassul. Maka, kita kena tanya ustaz-ustaz yang mengajar itu samada mereka dah belajar tafsir Qu’ran 30 juzuk atau belum. Kerana itu adalah ilmu asas yang wajib dipelajari.

Ayat ini juga hendak menekankan bahawa Nabi tahu perkara ghaib. Maka di awal surah ini telah diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah tanya tiga soalan kepada baginda dan baginda tidak dapat jawap. BAginda tidak tahu apakah jawapan kepada soalan mereka yang bertanya kepadanya jikalau Allah tidak memberitahu kepada baginda. Ini menunjukkan Nabi tidak mengetahui perkara ghaib. Kalau Nabi sendiri pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata guru-guru mereka mengetahui perkara ghaib? Adakah guru mereka lebih hebat dari Nabi?

Ayat ini juga sebagai dalil untuk mengatakan Nabi Muhammad itu adalah manusia. Tidak ada kelebihan melainkan apa yang diberikan oleh Allah sahaja. Ini peting kerana ada yang mengatakan Nabi bukan manusia biasa. Ada yang sampai kepada tahap memuja Nabi. Ada juga yang sampai mengatakan Nabi Muhammad masih hidup lagi dan memantau apa yang terjadi dalam dunia ini.

Ada juga masyarakat Islam kita yang jahil menyanyi dan melagukan Marhaban yang di dalamnya mengandungi bait-bait yang mengatakan Nabi Muhammad menghadiri majlis Marhaban mereka. Itu semua adalah pemahaman sesat. Mereka buat itu adalah kerana tidak faham apakah yang mereka baca itu kerana mereka jahil.

Dalam ayat ini, Nabi disuruh untuk mengajar kepada manusia bahawa segala pujian hanya untuk Allah sahaja. Jangan kita jadi macam masyarakat Kristian yang memuja Nabi Isa berlebihan sampaikan mereka memberikan taraf tuhan kepada baginda.

 

يُوحَىٰ إِلَيَّ

Aku telah diberi wahyu;

Beza Nabi Muhammad dan kita adalah baginda telah diturunkan wahyu kepadanya. Kita pula yang belajar ini adalah penerima wahyu. Kita telah terima ajaran wahyu dari guru-guru kita. Dan kita akan mengajar kepada masyarakat balik.

 

أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ

Bahawasanya Tuhan kamu yang layak dipuja dan disembah adalah Tuhan yang satu, yang ada sifat Tuhan;

Inilah adalah khulasah kepada wahyu Qur’an. Hanya Allah sahaja ilah dan tidak ada yang lain. Wali, Nabi dan Malaikat bukan ilah kerana mereka tidak ada sifat ilah. Benda-benda lain pun tidak ada sifat ilah. Jadi kena faham apakah maksud ‘ilah’ itu sendiri. Secara ringkasnya ia adalah tempat sandaran hati kita. Iaitu tempat kita berharap. Maka ini sepatutnya diberikan kepada Allah sahaja.

Tapi masyarakat kita ada yang mengamalkan syirik kerana berharap kepada benda seperti cincin keramat, contohnya. Mereka kata lepas mereka pakai cincin keramat itu, rezeki mereka bertambah. Padahal rezeki itu diberikan oleh Allah. Jadi bila mereka kata cincin itu beri rezeki, maka mereka telah melakukan syirik.

Atau ada yang kata, selepas mereka dimandikan oleh seseorang ‘ustaz’ untuk buang sial dia, kehidupannya sudah semakin baik. Itu semua adalah fahaman yang syirik kerana yang menyelesaikan masalah kita adalah Allah. Yang tertipu dengan perkara ini adalah mereka yang jauh dari wahyu sahaja.

 

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ

Sesiapa yang berharap untuk berjumpa dengan Tuhannya,

Inilah pengharapan yang kita kena simpan dalam diri kita – untuk bertemu dengan Allah. Tidakkah kita ingin untuk bertemu dengan Allah yang telah menjadikan kita? Oleh itu berniatlah untuk bertemu dengan Allah kerana itulah nikmat yang paling besar sekali.

Apabila kita berharap untuk bertemu dengan Allah, maka kita boleh menolak sifat kebendaan (materialism) dalam diri kita. Apabila kita telah menyemat keinginan itu dalam diri kita, keindahan dunia ini tidak membawa makna apa-apa. Ianya hanya sebagai satu tempat untuk kita berbuat amal supaya kita akan dibalas dengan baik di akhirat kelak. Tujuan hidup kita bukanlah di dunia ini, tapi untuk menuju kepada akhirat.

 

فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صٰلِحًا

Maka hendaklah dia buat amal soleh;

Kalau hendak bertemu dengan Allah hendak beramal iaitu amal ibadat yang datang dari Qur’an atau Hadis. Dan ini memerlukan pembelajaran yang berterusan. Kena luangkan masa untuk belajar agama dan melihat kepada ayat-ayat Qur’an dan hadis untuk dapat memastikan samada sesuatu amalan itu sunnah atau tidak.

Tapi masyarakat buat amalan bidaah kerana diajar oleh guru-guru agama yang tidak mengamalkan sunnah. Tapi golongan inilah yang menguasai suasana keagamaan sekarang. Merekalah yang dipanggil untuk mengajar umat manusia sekarang ini. Merekalah yang dipanggil untuk menjawab kemusykilan agama masyarakat di TV dan media lain. Tapi apa yang mereka ajarkan itu adalah tidak tepat. Maka kita sendiri kena belajar supaya dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

 

وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Dan jangan sekali-kali dia mempersekutukan dalam ibadat kepada Tuhannya dengan satu apa pun;

Jangan buat amalan syirik dalam ibadat. Maka, jangan bertawassul. Contohnya, bila makan ubat, baca nama Allah sahaja. Jangan sebut nama lain, termasuk nama Nabi Muhammad sekalipun. Kerana yang menyembuhkan kita adalah Allah, bukan Nabi Muhammad. Tapi manusia sekarang, nak makan ubat sahaja, baca selawat kepada Nabi. Janganlah buat begitu kerana ia boleh membawa kepada syirik kalau ada sangkaan yang Nabi boleh menyembuhkan.

Dan ada banyak lagi perkara syirik yang manusia tidak faham. Maka kena belajar tafsir Qur’an supaya dapat faham apakah syirik itu supaya kita dapat tinggalkan.

Allahu a’lam. Lompat ke surah seterusnya, Surah Maryam.

Kemaskini: 20 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Kahfi Ayat 105 – 110 (Nabi Muhammad manusia juga)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s