Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (1) (Kisah untuk Ulul Albab)

KISAH PARA RASUL DI DALAM AL-QUR’AN

Yusuf Ayat 111: Ini adalah ayat terakhir Surah Yusuf ini. Allah ‎ﷻ telah mulakan kisah ini dari awal surah ini dan sekarang hendak menutup dengan memberi khulasah (ringkasan) terhadap kisah yang panjang itu. Sebelum ini telah disebut tentang penolakan umat terhadap para Rasul mereka dan azab yang telah dikenakan kepada mereka. Sekarang Allah menyuruh kita mengambil pengajaran dari semua yang telah disampaikan.

لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ وَتَفصِيلَ ڪُلِّ شَىءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً لِّقَومٍ يُؤمِنُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There was certainly in their stories a lesson for those of understanding. Never was it [i.e., the Qur’ān] a narration invented, but a confirmation of what was before it and a detailed explanation of all things and guidance and mercy for a people who believe.

(MALAY)

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

 

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ

Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

Ayat ini sebagai pelengkap kepada Ayat 3 di awal surah ini,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang terbaik

Mungkin ada yang bertanya, terbaik bagaimana? Filem-filem di dalam Netflix lagi menarik perhatian kepada kebanyakan manusia. Jadi di mana terbaiknya? Jadi sekarang Allah jelaskan dan buktikan yang kisah inilah kisah yang terbaik. Kerana itu Allah gunakan dua taukid (penegasan) di dalam kalimah لَقَد iaitu huruf ل dan قد. Maknanya Allah hendak kata ini bukan kisah main-main. Ia menolak dengan tegas hujah mereka yang mengatakan kisah ini bukan kisah yang terbaik. Atau bagi mereka yang rasa kisah ini tidak ada apa-apa yang menarik. Jadi apakah faktor-faktor yang menjadikan kisah Nabi Yusuf ini yang terbaik? Yang pertama, ia adalah عِبرَةٌ.

Perhatikan isim كان (muzakkar) yang digunakan di sini sedangkan ia merujuk kepada عِبرَةٌ (muannath). Kenapa tidak digunakan isim كانت? Kerana kalau كانت yang digunakan, ia hanya merujuk kepada عِبرَةٌ sahaja. Sedangkan apabila كان digunakan, ia merangkumi banyak perkara lagi. Contohnya ia merangkumi elemen seperti petunjuk, peringatan, ancaman, mukjizat, bukti dan lain-lain lagi, bukan عِبرَةٌ sahaja.

Penggunaan kalimah في (di dalam) juga penting kerana tidak digunakan kalimah من (dari). Kalimah في lebih kuat dari kalimah من. Ia memberi isyarat yang pengajaran hebat dari kisah-kisah ini terdapat jauh di dalam kisah itu, jadi kena masuk dalam kisah itu, perhatikan, kaji dan tadabbur supaya kita dapat mengambil manfaatnya. Ia bukan sesuatu yang sekali baca sahaja sudah dapat tapi memerlukan usaha untuk menggalinya. Kalau kalimah من sahaja digunakan, ia tidak memberi isyarat sebegini.

 

Siapakah ‘mereka’ di dalam قَصَصِهِم? 

Allah menyebut di sini tentang قَصَصِهِم (kisah mereka) akan tetapi siapakah ‘mereka’ itu? Ia tidak disebut. Ia boleh menjadi beberapa kemungkinan.

1. Kisah-kisah di dalam Surah Yusuf dan kita telah belajar tentang banyak kisah yang berkaitan dengan Nabi Yusuf dan pelakon-pelakon yang lainnya.

2. Kalau kita lihat ke ayat yang sebelum ini (Ayat 110), ada disebut tentang para Rasul (حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ) “Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa”. Jadi mungkin yang dimaksudkan adalah kisah-kisah para Rasul yang menceritakan dakwah mereka, penentangan yang mereka hadapi, apa kesudahan mereka dan seterusnya. Sebagaimana firman Allah di dalam Hud:120

وَكُلًّا نَّقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ ۚ وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.

3. Di dalam Ayat 110 juga Allah telah menyentuh tentang golongan penjenayah (فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ) “Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang penjenayah”. Maka mungkin ‘mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan kafir yang banyak dosa dan menentang para Rasul mereka. Kita banyak membaca apakah dosa mereka, cara penentangan mereka, salah faham mereka dan pengakhiran mereka menerima azab dari Allah akhirnya.

Kita tidak perlu menetapkan salah satu kerana semua kisah-kisah ini penting belaka dan menjadi pengajaran kepada kita. Walaupun tidak disebut secara spesifik siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan, kita boleh sahaja masukkan semua yang disebut di atas sebagai ‘mereka’ yang kita boleh pengajaran dari kisah-kisah mereka.

 

Penjelasan kalimah قَصَصِ

Jadi kita tahu yang kisah-kisah itu banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Kita belajar kisah-kisah Para Rasul dahulu, kisah penghancuran kaum yang menentang mereka, termasuklah kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan keluarga baginda ini, dan apa-apa kisah sahaja yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ada banyak kisah tapi Allah gunakan kalimah قَصَصِ di dalam bentuk mufrad (singular). Kerana kalau kalimah yang biasa, ia adalah قِصَّة dan jamaknya adalah قِصَص. Perhatikan perbezaan pada harakat huruf ق itu. Kenapa begitu? Bukankah ada banyak kisah?

1. Beberapa mufassir menjelaskan bahawa lafaz قَصَصِهِم dalam ayat ini datang dalam bentuk mufrad (قَصَص) walaupun merujuk kepada banyak cerita, kerana kalimah قَصَص secara bahasa ialah dalam bentuk masdar yang boleh menggambarkan himpunan kisah secara keseluruhan. Kisah Nabi Yusuf sendiri mengandungi banyak bahagian, maka masdar dipakai untuk merangkum kesemuanya. Jadi satu kisah besar ini terdiri daripada banyak episod (dipisahkan dari keluarga, dijual, jadi hamba, digoda, dipenjara, berkuasa), sehingga masdar قَصَص dipakai untuk mencakup keseluruhan episod-episod itu semua.

Dalam bahasa Arab, Maṣdar (مَصْدَر) secara mudahnya bermaksud: Kata Terbitan atau Kata Nama Terbitan. Untuk faham dengan senang, kita bandingkan antara Perbuatan (Fi’il) dan Nama (Isim):

Kata Kerja (Fi’il): Menunjukkan perbuatan + Masa.

Contoh: Makan (tengah makan/sudah makan).

Masdar: Menunjukkan perbuatan SAHAJA (tiada unsur masa).

Contoh: Penyusuan, Pembacaan, Makan (sebagai subjek, contoh: “Makan itu perlu”).

2. Dengan menggunakan bentuk mufrad, seolah-olah Allah hendak menunjukkan keseluruhan kisah-kisah itu. Ia hendaklah dipandang sebagai satu sahaja walaupun ia banyak bahagian padanya. Macam ada banyak sungai, tapi semuanya menuju kepada satu tempat sahaja, laut. Maka semua kisah itu tujuannya satu sahaja. Macam kisah para Rasul itu sebenarnya adalah satu kisah sahaja; iaitu kisah yang panjang bermula dari Nabi Adam sehingga kepada Nabi Muhammad.

Pada kita, semua Nabi dan Rasul itu membawa perkara yang sama iaitu Tauhid kepada Allah. Syariat berubah-ubah mengikut zaman dan ini tidak menjadi masalah. Tapi di dalam agama Yahudi dan Kristian, ada masalah. Kerana bagi Yahudi, mereka hanya pakai undang-undang Taurat Zaman Nabi Musa sahaja. Jadi soalan cepu emas: sebelum Nabi Musa seperti Nabi Ibrahim, mereka pakai undang-undang apa? Dan Kristian pula kata Nabi Isa sebagai Penyelamat. Jadi yang sebelum Nabi Isa itu bagaimana mereka hendak selamat sedangkan mereka tidak kenal pun Nabi Isa. Jadi dua-dua agama ini kena bersilatlah untuk membenarkan hujah mereka itu. Dalam Islam tidak ada masalah ini kerana para Rasul boleh sahaja guna undang-undang syariat mereka tanpa perlu kenal Nabi Muhammad dan ikut syariat Nabi Muhammad.

Para Nabi dan Rasul itu berbeza, tapi kisah mereka sama sahaja. Kerana itu Allah sampaikan kisah-kisah mereka kepada Nabi Muhammad dan kita untuk beritahu yang apa sahaja yang baginda lalui, ia perkara yang sama sahaja dari dahulu lagi.

3. Kalimah قَصَص di dalam bentuk masdar juga membawa maksud cara penceritaan. Kisah Nabi Yusuf ini telah diceritakan turun temurun oleh mereka yang mengetahuinya. Setiap orang ada cara bagaimana dia menceritakan kepada orang lain. Kita yang sudah tahu ini juga, apabila kita menceritakan kepada orang lain, ada cara kita. Sekarang kita telah belajar bagaimana cara Allah sendiri menceritakannya kepada manusia. Dan tentulah cara Allah yang terbaik. Kalau manusia yang cerita, tentu ada perkara yang dia tekankan yang dia suka seperti keturunan Nabi Yusuf, nama tempat dan sebagainya. Tapi cara Allah lain. Bukan hanya cerita sahaja yang penting, tapi cara penceritaan juga penting. Ada perkara yang perlu ditekankan dan ia ada terdapat di dalam cara penceritaan Allah. Kerana itulah Allah beritahu kepada kita di awal surah ini yang kisah Nabi Yusuf ini adalah kisah yang terbaik,

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik

 

Penjelasan kalimah عِبرَةً

Kalimah عِبرَةً adalah daripada kata dasar ع ب ر yang bermaksud menyeberangi; mentafsir; nyatakan dengan jelas; melalui; pertimbangkan; renungkan; mengambil kira; dapatkan pengalaman; amaran; hormat; contoh; pengajaran; ambil pengajaran. Kalau seseorang menyeberangi sungai, dikatakan (عَبَرَ النَّهْرَ) bermaksud: “Dia telah menyeberangi sungai.” Dan tangisan juga adalah عَبْرَة. Ini kerana pakar bahasa Arab menjelaskan bahawa air mata dipanggil عَبْرَة kerana air mata “menyeberang” atau melintas keluar dari kelopak mata ke pipi. Ia adalah sesuatu yang “meluap” dan berpindah dari dalam (hati/perasaan) ke luar (wajah). Kisah Nabi Yusuf ini juga meluap dan berpindah dari minda ke dalam hati. Ia bukan hanya perbincangan akademik, tapi ia sesuatu yang mengubah jiwa kita.

Oleh itu ‘Ibrah’ adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita menangis kerana ia pelajaran yang sangat kuat. Ia adalah sesuatu yang menusuk ke dalam kalbu dan mendekatkan kita kepada Allah. Ia sesuatu yang kita lihat secara zahir akan tetapi ia boleh menyampaikan kita kepada sesuatu yang tidak zahir. Sebagai contoh, kita melihat langit yang zahir tetapi ia mengingatkan kita kepada kebesaran Allah ﷻ yang tidak zahir. Bayangkan kita melihat asap dan dengan asap itu, kita boleh tahu yang tentu ada api. Maka dengan kisah-kisah di dalam Surah Yusuf ini mengajar kita untuk menggunakan akal. Supaya kita tidak hanya melihat dunia di hadapan kita sahaja, tapi memandang dan memahami tentang akhirat.

Kita telah lihat kisah Nabi Ya’qub yang kehilangan anak kesayangannya. Memang baginda di dalam kesedihan sangat, akan tetapi baginda tahu yang Allah ada perancangan. Jadi baginda terus memandang ke hadapan, terus berharap dan menunggu bilakah janji Allah akan tiba. Bagi kita yang sedang mengalami kesusahan hidup ini, ia memberi harapan kepada kita. Mungkin Allah sudah siapkan pengakhiran yang baik untuk kita dan ujian ini sementara sahaja. Dan kalau pun di dunia ini kita tidak rasa pun kebaikan itu, kita tetap ada akhirat yang menunggu kita dengan segala nikmatnya.

Bila kita menangis? Apabila hati kita tersentuh sangat kerana kesedihan yang sangat atau kegembiraan yang tinggi. Sebagaimana anak yang menangis kerana ditinggalkan ibunya dan menangis lagi apabila berjumpa ibunya kembali. Maka dengan Allah begitu juga. Kita menangis apabila mengenangkan selama ini kita tidak hiraukan ayat-ayat Allah. Sudah tua barulah berjumpa pengajaran yang tinggi di dalam susunan ayat-ayat Allah ini. Dan apabila kita memahaminya, kita sekali lagi menangis kerana terkesan dan bersyukur kegembiraan kerana Allah beri peluang kepada kita untuk memahaminya. Dan apabila kita diingatkan dengan banyaknya nikmat yang Allah telah taburkan ke atas kita, kita sekali lagi menangis, bukan? Di dalam kisah Nabi Yusuf ini juga sepatutnya ada tempat-tempat yang kita menangis teresak-esak…. kerana apa? Kerana di dalam kisah baginda itu ada kisah kita. Mungkin bukan semua, tapi ada sedikit sebanyak sama pengalaman dan ujian yang kita alami. Kita membaca kisah baginda macam kita membaca kisah kita.

Jadi kisah-kisah di dalam Al-Qur’an itu semuanya itu عِبرَةٌ (sesuatu yang mengesankan sampai boleh menyebabkan menangis). Kita telah bincangkan bagaimana kalimah قَصَص di dalam bentuk mufrad walaupun ada banyak kisah. Sekarang kita bincangkan kalimah عِبرَةً yang juga di dalam bentuk mufrad. Kalau jamak, عِبَر. Secara literal ia bermaksud kisah yang Allah sampaikan ada satu pengajaran. Satu pengajaran? Bukankah ada terlalu banyak pengajaran di dalam kisah-kisah dan ayat-ayat Al-Qur’an ini? Yang kalau kita gali, tidak habis-habis. Satu ayat pun boleh dikeluarkan berpuluh pengajaran darinya, tapi sekarang Allah kata satu pengajaran? Begitulah Allah meringkaskan pengajaran di dalam penggunaan kalimah عِبرَةٌ. Di dalam Surah Luqman, kita belajar tentang seorang lelaki yang mulia, Luqman al-Hakim. Beliau telah diberikan dengan banyak nikmat agama, tapi Allah ringkaskan segala nikmat itu dengan satu nikmat sahaja, syukur, seperti disebut di dalam Luqman:12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah

Dan ada banyak pengajaran dari kisah Luqman itu di mana dia mengajar anaknya banyak perkara. Tapi ia segala nasihat itu dirangkumkan di dalam satu perkara yang paling besar: syirik. Ini disebut di dalam ayat seterusnya,

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Ia mengajar kita segala kebaikan itu membawa kepada bersyukur kepada Allah dan segala keburukan itu akhirnya satu sahaja, syirik. Begitulah ringkasan keseluruhan Al-Qur’an ini kita boleh ringkasnya kepada dua kalimah sahaja: Allah Tuhan, kita hamba. Semuanya kembali kepada Allah sebagaimana juga عِبرَةٌ terbesar yang kita boleh ambil adalah Allah, taat kepada Allah, jangan buat syirik dengan Allah.

Allah menegaskan ada pengajaran di dalam kisah-kisah di dalam surah ini dengan menggunakan kalimah penegasan لَقَد dan كانَ. Ini kerana ada orang yang tidak nampak pengajaran yang ada. Ada orang yang tidak ambil hirau dan tidak ambil kisah. Sekarang bayangkan kalau saya kata saya ada sejongkong emas di dalam rumah. Ada orang yang akan mencarinya, dan ada orang yang tidak percaya. Sama ada orang cari atau tidak, jongkong emas itu tetap ada. Begitulah bagi mereka yang tidak percaya, Allah tegaskan yang pengajaran memang ada. Sebagaimana juga kalau orang tidak hirau tentang sejongkong emas itu, tidaklah bermakna emas itu tidak ada. Ia hanya akan didapati oleh orang yang mahu mengambilnya, mencarinya.

Dari segi penggunaan bahasa, ada satu lagi tempat di mana kata dasar yang sama bagi ibrah digunakan iaitu di dalam Ayat 43, iaitu kalimah تَعبُرُونَ.

وَقَالَ ٱلمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ وَسَبعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلمَلَأُ أَفتُونِى فِى رُءيَـٰىَ إِن كُنتُم لِلرُّءيَا تَعبُرُونَ
Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering”. Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kamu dapat mena’bir mimpi”.

Mereka waktu itu bergantung kepada tukang tilik untuk menafsirkan perkara yang mereka lihat di dalam mimpi supaya tukang tilik untuk itu menjelaskan apakah maksudnya di dunia nyata. Kita telah katakan ibrah digunakan untuk melihat perkara yang zahir dari yang tidak zahir (lihat asap bermakna ada api). Maka tukang tilik menzahirkan maksud mimpi yang tidak zahir itu. Walaupun mereka zaman itu paling maju dan boleh bina macam-macam, tapi kepercayaan karut tetap ada. Dan bukan sahaja mereka, zaman sekarang pun tetap ada juga, di dalam kebanyakan agama. Malangnya orang Islam pun percaya perkara tahyul ini. Ada yang pergi jumpa bomoh dan pawang dan tanya itu ini. Ada yang masih lagi baca horoskop.

Allah ubah kepercayaan itu di dalam ayat ini. Allah gunakan ibrah dengan penggunaan wahyu. Kamu tidak perlu lagi percaya kepada tukang tilik, bomoh, pawang, ustaz mengarut. Yang kamu perlukan adalah wahyu yang membimbing hidup kita.

Satu lagi penggunaan ibrah dan kisah adalah ‘ikut jejak langkah’. Ini seperti digunakan di dalam Qasas:11 apabila ibu Nabi Musa suruh kakak Nabi Musa ikut jejak baginda setelah dihanyutkan di dalam sungai,

وَقَالَتْ لِأُخْتِهِ قُصِّيهِ
Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara perempuan Musa (kakaknya): ‘Ikutilah jejaknya’

Maka di dalam surah ini ia mengajar kita untuk ikut jejak langkah para Rasul. Kisah-kisah mereka menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya mendidik kita untuk menjalani kehidupan kita. Kerana pengalaman mereka juga adalah pengalaman kita juga, bukan? Dan ditambah dengan istilah ibrah yang bermaksud menyeberang, ia membawa kita menyeberang ke arah kebaikan, ke arah Allah.

Di dalam Ayat 7 Allah telah berfirman tentang kisah-kisah di dalam Surah ini,

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Ayat 7 ini menarik kerana ada beberapa persamaan dengan Ayat 111. Ia seolah-olah ada pengulangan antara permulaan surah dan penghujung surah ini.

1. Dua-dua menggunakan taukid لَقَد.
2. Dua-dua menggunakan kalimah فِى.
3. Fokus kepada adanya penerima, satu لِلسَّآٮِٕلِينَ dan satu lagi لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ۗ.
4. Dua-dua menyebut ada pengajaran, satu menggunakan istilah ءَايَـٰتٌ dan satu lagi menggunakan istilah عِبرَةٌ.

Jadi telah digunakan istilah ءَايَـٰتٌ (tanda-tanda) dan sekarang Allah sebut pula عِبرَةٌ. Apakah beza antara dua istilah ini?

Tanda adalah penunjuk arah, bukan? Kalau kita sedang memandu, kita memerlukan penunjuk arah untuk menjadi panduan bagi perjalanan kita. Dan عِبرَةٌ pula adalah perbuatan menyeberangi. Jadi setelah kita tahu arah tujuan, hendaklah kita menyeberanginya menuju ke arah tujuan itu. Begitulah cantiknya kaitan antara dua istilah yang Allah gunakan. Di permulaan perjalanan, kita memerlukan arah tujuan, kemudian perjalanan kita akan menyusul. Begitulah di permulaan surah ini, Allah gunakan istilah  ءَايَـٰتٌ kerana ia di permulaan surah, dan sekarang digunakan istilah عِبرَةٌ kerana sepatutnya perjalanan kita sudah menyeberangi dan sampai ke penghujungnya.

Di dalam Ayat 7 Allah kata kisah ini bagi لِّلسَّآٮِٕلِينَ bagi orang-orang yang bertanya. Dan sekarang di dalam Ayat 111 ini diberitahu yang kisah-kisah ini bagi أُولِي الأَلبابِ. Siapakah yang selalu bertanya? Ia adalah orang yang mahukan jawapan, orang yang mahu belajar, orang yang mahu mendapat kebenaran dari Allah. Tapi kalau setakat bertanya sahaja, tapi sumbat telinga pada semua yang dia dengar, maka itu tidak bagus. Jadi kena ada keinginan bertanya dan kena ada sifat الأَلبابِ yang kita akan terangkan nanti.

Begitulah hebatnya maksud عِبرَةٌ yang Allah gunakan. Akan tetapi perhatikan kalimah عِبرَةٌ di dalam bentuk nakirah (umum) berserta tanwin. Jadi apabila ia digunakan di dalam bentuk ini, ia memberi beberapa isyarat:

1. Memberi isyarat banyak. Ia bukan mengandungi satu sahaja pengajaran tetapi berbagai-bagai mutiara yang kita boleh gali.
2. Kehebatan. Apabila ada tanwin, ia menguatkan sesuatu kalimah itu. Ini kerana kisah-kisah ini hebat-hebat belaka.
3. Tidak spesifik. Apabila ia di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia tidak terhad dan spesifik. Kisah ini boleh memberi pengajaran yang berlainan bagi individu yang berbeza. Ada orang boleh ambil pengajaran ini dan orang lain pengajaran itu pula.
4. Bentuk umum itu juga menyebabkan kita tertanya-tanya dan mencari apakah pengajaran yang kita boleh ambil darinya.

Tapi perhatikan susunan ayat ini: فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ dan bukannya عِبرَةٌ فِى قَصَصِهِم. Allah beritahu قَصَصِ sebelum sebut عِبرَةٌ. Ini untuk pembaca fokus kepada kisah itu dan mencari apakah pengajarannya. Kalau disebut pengajarannya dahulu, jadi keliru pula kerana hendak dicari di mana pengajaran itu? Jadi Allah suruh fokus kepada kisah dan carilah pengajaran-pengajaran itu di dalam kisah itu.

Di hujung ayat ini, setelah memberitahu kisah-kisah itu semua, Allah menegaskan yang semua itu bukan semata-mata kisah, tapi ada pengajaran. Bandingkan kalau kita tengok filem, belum tentu ada pengajaran yang kita boleh dapat dari filem itu. Kita yang banyak tengok filem ini bukan hendak cari pengajaran pun, kerana selalunya memang tidak ada, bukan? Kita buang masa tengok filem kerana hendak checkout dari dunia realiti sebentar.

 

Siapakah أُولِي الأَلبابِ? 

Kisah ini disampaikan kepada semua orang, tetapi siapa yang akan menghargainya? Kalimah عِبرَةٌ itu luas, tapi kalimah أُولِي الأَلبابِ terhad. Maknanya, pengajaran dari عِبرَةٌ itu sangat banyak, tidak terhad, akan tetapi yang boleh mengambilnya adalah orang yang terhad sahaja. Malangnya bukan semua orang akan menghargainya, kecuali أُولِي الأَلبابِ. Orang yang ada sifat ini sahaja yang akan membaca kisah-kisah ini dengan minda dan hati yang terbuka, dan akan menjadikannya sebagai terapi dan penasihat di dalam kehidupan. Kalau tidak ada sifat ini, seseorang yang membaca kisah dari Surah Yusuf ini cuma akan fikir: “aku dah tahu dah kisah ni dari kecik lagi, takde benda baru pun!”

Kita telah belajar perjalanan hidup Nabi Yusuf, contoh أُولِي الأَلبابِ yang tertinggi. Tapi apakah maksud أُولِي الأَلبابِ? Sekarang kita akan huraikan kalimah ini kerana ia sangat penting dan selalu disebut. Sampai sekarang pun ada sekolah yang dinamakan Ulul Albab, bukan?

Kalimah الأَلبابِ adalah bentuk jamak kepada لُبّ, yang bermaksud isi, teras, atau sari pati (Kernel/Core). Orang Arab menggunakan perkataan لُبّ untuk merujuk kepada isi buah, bahagian dalam kacang/badam. Iaitu merujuk kepada bahagian dalam yang boleh dimakan selepas kulitnya dikupas. Atau Teras kayu: Bahagian tengah batang pokok yang paling keras dan kukuh.

Kalimah أُولِي الأَلبابِ selalu diterjemahkan kepada ‘orang-orang yang mempunyai akal’ tapi ia bukanlah akal sahaja (kerana semua orang ada akal) tapi akal yang sihat. Akal yang sihat memang mencari-cari kebenaran. Mereka yang sebeginilah yang akan baca kisah dalam surah ini (dan Al-Qur’an secara umum) dan mereka akan dapat mengambil pengajaran darinya. Al-Qur’an sebagai kalam Allah yang kaya dengan bahasa dan pengajaran, menggunakan berbagai istilah bagi akal. Selain dari ‘aql’ yang paling banyak digunakan, ada istilah lain seperti أُولِي النُّهىٰ yang digunakan di dalam Taha:54

كُلوا وَارعَوا أَنعامَكُم ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِأُولِي النُّهىٰ
Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran.

Kalimat أُولِي النُّهىٰ berasal daripada نهى (melarang/berhenti). Ia merujuk kepada akal yang sudah mencapai tahap kematangan moral. Ia bukan sekadar faham logik, tetapi akal yang cukup kuat untuk melarang tuannya daripada mengikut hawa nafsu atau melakukan kejahatan. Orang yang ada akal, dia akan dapat menghalang nafsunya dari melakukan sesuatu yang bodoh. Jadi fungsi akal yang ditekankan di sini adalah fungsi melarang.

Kemudian ada pula istilah ذي حِجرٍ seperti digunakan di dalam Fajr:5

هَل في ذٰلِكَ قَسَمٌ لِّّذي حِجرٍ
Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.

Ia berasal daripada حجر (batu/tembok). Ia menyentuh tentang akal sebagai sesuatu yang kukuh. Ia merujuk kepada intelektual yang teguh dan tidak mudah goyah dan ditukar dengan sewenangnya. Orang yang ada حِجرٍ tidak akan mudah tertipu dengan hujah yang batil. Jadi di sini fungsi akal sebagai sesuatu yang teguh.

Al-Qur’an juga sering menyandarkan perbuatan berfikir kepada hati, seperti dalam Hajj:46

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami

Kalimah قُلوبٌ berasal daripada قلب (berbolak-balik). قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها merujuk kepada akal yang berpaksikan wahyu dan perasaan. Dalam Islam, akal yang sejati tidak terpisah daripada hati. Ia adalah pusat kesedaran di mana ilmu bertukar menjadi keimanan. Jadi apabila digunakan istilah قُلوبٌ ia merujuk kepada fungsi akal yang merasa dan memahami.

Jadi ada berbagai istilah yang Allah gunakan untuk merujuk kepada akal, masing-masing dengan fungsi yang Allah hendak tekankan. Maka begitu juga dengan أُولِي النُّهىٰ ini. Tapi sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa dari الأَلبابِ menjadi akal? Al-Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘Aql (akal biasa) dalam istilah ini, sebaliknya menggunakan Al-Albāb kerana:

  • Penembusan Kulit: Sebagaimana kita perlu mengupas kulit buah untuk mendapatkan isinya (lubb), seorang Ulul Albab adalah orang yang mampu “mengupas” lapisan luaran sesuatu peristiwa (zahir) untuk sampai kepada hakikat dan hikmahnya (batin).
  • Kualiti vs Kuantiti: Semua orang ada otak/akal (zahir), tetapi tidak semua orang sampai kepada tahap “isi” (hakikat). Ulul Albab adalah golongan yang akalnya tidak terhenti pada permukaan sahaja.
  • Kaitan dengan ‘Ibrah: Ini sangat berkait dengan perbincangan kita tentang ‘Ibrah (menyeberang). Ulul Albab menggunakan akal mereka untuk “menyeberang” dari kulit ke isi.

Jadi, kena ada sifat itu dalam diri manusia, baru boleh dapat hidayah daripada wahyu dan kisah-kisah di dalam Al-Qur’an. Kalau tidak ada sifat itu, seseorang itu mungkin tidak akan dapat menghargai apa yang dia sendiri baca. Selalu kita hairan kenapa ada orang yang baca Al-Qur’an, mengkaji Al-Qur’an tetapi mereka masih juga tidak beriman. Ini seperti golongan Orientalis dan juga profesor-profesor yang mengajar tentang Islam di universiti-universiti Barat, bukan? Ini adalah kerana dalam hati mereka sendiri tidak ada perasaan mahu kepada kebenaran. Untuk kebenaran masuk ke dalam hati, tidak cukup dengan hujah yang kuat dari Al-Qur’an sahaja, tetapi kena ada percikan keinginan kepada kebenaran di dalam hati manusia itu.

Kalimah الأَلبابِ dari kata dasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; suci; tahan karat; saripati; seorang yang diberi kelebihan pertimbangan yang wajar. Jadi لُبّ merujuk kepada bahagian tengah seperti bahagian tengah buah. Kalau buah, bahagian tengah itulah yang dimakan, kulitnya dibuang. Bahagian tengah itu jugalah yang paling manis. Ia juga boleh merujuk kepada bahagian teras pokok, iaitu bahagian yang paling kuat. Ia juga adalah saripati, iaitu yang utama. Sebagai contoh, ada orang berucap sejam, tapi saripati dia apa? Apa yang penting yang dia hendak sampaikan?

Bahagian dalam itu juga selalunya yang paling lembut, bukan? Kerana ia lembut, maka ia perlu dipelihara dengan kulit, contohnya. Sebagaimana hati/jantung kita lembut dan dipertahankan oleh tulang rusuk. Jadi ia juga bermaksud kelembutan. Jadi di dalam bahasa Arab Klasik, orang yang ada لُبّ itu adalah orang yang lembut, yang manis, yang baik dengan semua orang.

Dari maksud teras ini, ia juga membawa maksud suci, kerana bahagian dalam buah itu yang suci, bukan? Kita kupas kulit pisang untuk dapatkan bahagian yang suci di dalamnya. Jadi kerana itulah antara terjemahan bagi الأَلبابِ adalah akal yang suci. Akal yang tidak dikotori dengan perkara-perkara buruk dan jijik. Akal yang suci tidak diganggu oleh emosi buruk seperti marah, berat sebelah dan bias. Ia juga adalah akal yang tidak dicemari dengan maklumat yang salah. Fikiran mereka tidak dipengaruhi oleh kecenderungan politik, bangsa atau kasta. Ia tidak sama dengan intelek. Intelek boleh sahaja wujud bagi semua orang, tapi tidak semestinya ia suci. Yang kita maksudkan dengan الأَلبابِ adalah intelek yang suci dari semua perkara yang tidak patut.

Intelek atau kemahiran berfikir, semua orang ada; beza tinggi atau tidak sahaja. Tapi intelek yang suci? Bukan semua ada. Tapi asalnya kita semua makhluk yang dilahirkan di atas fitrah, maka fikiran kita pun semestinya suci sejak lahir, sebelum ianya dicemari dengan kekotoran fikiran yang rosak. Jadi semua fikiran kita sebenarnya الأَلبابِ asalnya, sehinggalah ia dirosakkan. Rasulullah bersabda,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak yang dilahirkan itu dilahirkan di atas Fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau seorang Nasrani, atau seorang Majusi.”

Sahih Bukhari (1358); Sahih Muslim (2658)

Kita selalu dengar tentang tazkiyatun nafs (pembersihan hati). Contohnya hati yang ada sifat pemarah, maka seseorang itu kena berusaha untuk mengawal kemarahannya itu kerana marah bukanlah emosi yang baik. Antaranya kena banyakkan ingat kepada Allah untuk melembutkan hati. Tetapi bukan hati sahaja yang perlu disucikan, tetapi fikiran juga. Ada bukan kita jumpa orang yang nampak baik sangat, lembut sahaja perkataannya, tetapi di dalam masa yang sama dia berpandangan boleh minta tolong kepada ahli kubur, kepada malaikat dan sebagainya. Jadi hatinya sudah bagus, tapi apa yang ada masalah sekarang? Akidahnya yang di dalam ruang lingkup minda, fikiran, ada masalah. Fikiran dia tidak suci kerana telah dicemari dengan akidah yang rosak. Jadi dia yang sebegini bukanlah أُولِي الأَلبابِ kerana seorang yang ada sifat ini mesti suci hatinya dan inteleknya.

Orang yang hatinya suci semestinya mendapatkan sumber rohani dari tempat yang suci juga, iaitu nas Al-Qur’an dan hadis. Sebagaimana orang yang menjaga tubuhnya dari penyakit, dia akan makan makanan yang suci, maka orang yang hati suci pun mesti mengisi hati dan rohaninya dengan benda yang suci juga. Dia juga mengisi mindanya dengan perkara yang baik-baik. Benda yang mengarut dia tidak akan baca dan lihat. Kalau ambil ilmu agama pun, dia akan pilih dengan siapa dia akan ambil. Kerana bukan semua ustaz, sama.

Kita telah belajar kisah yang Allah berikan kepada kita, antaranya kisah Nabi Yusuf ini. Kisah dan penceritaan adalah sesuatu yang manusia amat suka. Dari budak sampai ke tua suka dengar cerita. Sekarang ia dipersembahkan di dalam berbagai bentuk, seperti novel, buku, video dan berita pun dijadikan sebagai bentuk cerita. Jadi untuk menarik minat manusia, di dalam Al-Qur’an juga ada dimasukkan kisah. Jadi ada banyak kisah, tapi adakah semua kisah di luar sana kita hendak tengok? Itulah maksudnya kita kena pilih sumber yang bagus dan baik. Ada banyak media sosial sekarang seperti Facebook, Instagram, Thread dan entah apa lagi. Itu adalah tempat dan di dalamnya ada banyak bahan. Adakah semua kita hendak layan? Kalau kita layan semua, maka malangnya bagi kita kerana bukan semua itu baik. Kalau zaman dahulu ada penapisan dari kerajaan seperti penapisan filem, tapi sekarang sudah susah untuk ditapis lagi. Maka kita sendirilah yang kena tapis. Ini kerana kita hendak menjaga kesucian hati kita.

Kesannya lebih-lebih lagi teruk kepada anak-anak kita. Kita sangka kartun tidak ada apa-apa, bukan? Tapi ada banyak perkara buruk mereka belajar dari kartun; contohnya belajar menipu, belajar kenakan kawan, belajar jadi pemarah kerana bila marah baru selamat, dan sebagainya. Bukan anak sahaja boleh terpengaruh, tapi orang dewasa pun boleh. Kita selalu lihat rancangan lawak dengan bahasa yang tidak baik, menjadi ikutan di kalangan orang dewasa, bukan?

Jadi itulah sahaja yang disembangkan apabila duduk bersama, kisah itu dan ini yang mereka lihat di dalam rancangan TV. Dan bukan itu sahaja, perkara seperti politik juga boleh mengisi minda manusia. Setiap hari ada sahaja benda pelik yang dilakukan oleh ahli politik dan orang yang tidak ada jawatan apa-apa pun, sibuklah hendak komen. Sekali sekala tidak mengapalah, tapi kalau hari-hari dan setiap masa, buat apa? Bila hendak bersembang tentang agama, tentang Al-Qur’an?

Dan kesannya apabila kita memenuhi otak kita dengan benda-benda yang tidak penting, kisah dari Allah pula yang tidak memberi kesan kepada kita. Kisah Nabi Yusuf contohnya, sepatutnya menyentuh hati kita tapi kerana kita bukan أُولِي الأَلبابِ kerana semua benda kita masukkan dalam minda kita, ia tidak memberi kesan langsung. Kerana Allah kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci).

Maka kita sucikan balik hati dan minda kita dengan Al-Qur’an. Kita kena kembali menekuni ayat-ayat Allah supaya kita kembali suci. Ia seperti spiritual detox yang kita kena lakukan. Allah berfirman di dalam Baqarah:151

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ
Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan menyucikan kamu

Dalam detox, kita kena hindarkan diri dari bahan yang kotok dan isi dengan bahan yang baik. Minda kita ini sentiasa berjalan fikir itu dan ini, dan kalau kita tidak kawal bahan untuk dia fikirkan, syaitan akan ambil peluang membisikkan was-was tentang perkara yang buruk. Supaya otak kita jangan menunggu-nunggu bila episod baru kegemaran kita akan keluar, tapi kita tertunggu-tunggu bila kelas seterusnya, bila kita akan masuk ke ayat baru yang kita akan belajar untuk tadabbur.

Sebelum ini kita telah kaitkan ayat ini dengan Ayat 7, apabila disebutkan yang kisah ini adalah bagi orang yang mahu bertanya, mencari jawapan, mencari kebenaran. Tapi selepas bertanya dan mendapat jawapan, seseorang itu hendaklah memastikan jawapan yang dia dapat adalah bersih dan berkualiti. Ini supaya fikiran dia tidak dicemari dengan kekotoran dan maklumat yang salah. Jadi ini mengajar kita yang kita dalam hendak menjaga kesucian minda dan hati kita, hendaklah bertanya kepada orang yang tahu.

Istilah أُولِي الأَلبابِ ini disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Qur’an. Antara ciri utama mereka menurut Ali Imran:190-191:

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٠) ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (191)

  • Zikir: Sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan (berdiri, duduk, baring).
  • Fikir: Memerhati penciptaan langit dan bumi secara mendalam.
  • Kesimpulan: Mereka sampai kepada satu keyakinan: “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia.”

Ulul-Albab yang pertama tentulah para sahabat. Mereka amat suka mendengar kisah ini. Ada menyebutkan dari Ibnul ‘Atha, beliau berkata:

“Tidaklah seseorang yang sedang berduka mendengarkan Surah Yusuf, melainkan ia akan merasa tenang/lapang dadanya.”

Sebab itulah, ketika para sahabat berada dalam keadaan tertekan di Mekah (khususnya pada Tahun Kesedihan), mereka sangat suka mendengar surah ini kerana ia membuktikan bahawa kesabaran yang panjang akan berakhir dengan kemuliaan yang tinggi, persis seperti yang dialami Nabi Yusuf AS.

Malah terdapat juga atsar (perkataan tabiin) yang menggambarkan betapa cintanya umat terdahulu terhadap surah ini. Khalid bin Ma’dan, seorang ulama tabiin yang terkemuka, pernah berkata:

“Ahli syurga di dalam syurga tetap membaca (atau mendengarkan) Surah Yusuf dan Surah Maryam kerana keindahan dan kelembutan kisahnya.” Walaupun ini adalah ungkapan tentang keadaan di syurga, ia menunjukkan kedudukan surah ini sebagai “hiburan spiritual” yang paling tinggi di mata para salafus soleh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Bantuan daripada Allah ‎ﷻ setelah putus asa) Part 2

Menelusuri tafsir ayat ini menjadi lebih kompleks kerana ada dua qira’at bagi kalimah كُذِبُوا. Kita telah kongsikan di atas hadith kata-kata A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا apabila ditanya oleh Urwah. Terdapat dua qira’at masyhur yang diriwayatkan daripada para sahabat dan tabi‘in dan dua-dua qira’at ini mutawatir dan terpakai. Kalau kita perhatikan hadith perbincangan Urwah dan A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا di atas, terdapat dua bacaan itu. Perbezaan antara dua qira’ah itu:

• Qira’ah pertama: كُذِّبُوا. Dibaca بالتشديد (dengan tasydid) [kuzzibu], bermakna “para rasul didustakan oleh kaumnya”. Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menafsirkannya bahawa para Rasul merasa putus asa daripada keimanan kaumnya, dan kaumnya mendustakan mereka .

• Qira’ah kedua: كُذِبُوا. Dibaca بالتخفيف (tanpa tasydid) [kuzibu], bermakna “kaum menyangka bahawa para rasul berdusta”. Ini menunjukkan bahawa sangkaan itu datang daripada kaum, bukan daripada para Rasul. Bacaan ini yang banyak digunakan di dalam mushaf.

Kedua qira’at ini juga dijelaskan oleh al-Ṭabarsī رَحِمَهُ اللَّهُ sebagai dua bentuk makna:
• yang كُذِّبُوا menunjukkan “تلقوا بالتكذيب” (mereka mendustakan para rasul),
• yang كُذِبُوا menunjukkan “كذبتك الحديث أي لم أصدقك” (yakni kaum menyangka para rasul tidak benar).

Oleh kerana itulah, terdapat banyak variasi bagi tafsiran ayat ini.

Satu perkara yang kita boleh belajar daripada hadith Urwah dan A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا itu, bukan semua tahu tentang qira’at itu. Ini kerana bukan semua sahabat berada bersama Rasulullah ﷺ ketika baginda memberikan kedua-dua qira’at itu. Ini adalah salah satu daripada ilmu tentang Al-Qur’an yang luas. Kerana itu, kita takkan habis belajar tentang Al-Qur’an ini. Kerana bidang ilmunya terlalu luas dan kita tidak mampu menggarap kesemuanya sekali. Ilmu Al-Qur’an selain memahami maksud ayat-ayatnya, ada juga ilmu tentang Al-Qur’an itu sendiri seperti sejarah, cara pengumpulan, qira’at, tajwid dan sebagainya.

2. Mereka (orang kafir) menganggap para Rasul itu menipu. Mereka telah menjadi semakin berani menentang para Rasul kerana ancaman azab yang dijanjikan oleh para Rasul itu tidak terjadi pun. Jadi mereka rasa selamat dan ancaman daripada para Rasul itu kosong sahaja dan lebih kepada penipuan sahaja. Apabila ini berlaku, para Rasul itu diuji dengan lebih hebat lagi. Mereka sudah dapat lihat penolakan kaum mereka yang keras, tetapi pada masa yang sama, mereka tetap kena terus berdakwah. Kes klasik adalah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terus berdakwah walaupun ditolak selama 950 tahun! Hanya apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang tidak akan ada lagi yang beriman, barulah baginda berhenti. Ini disebut di dalam Hud:36.

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ
“Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh: ‘Bahawa sesungguhnya tidak akan ada yang beriman daripada kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.’ 

Jadi, dua tafsiran ini adalah kalau kita mengambil bacaan كُذِبُوا.

3. Dua lagi pilihan adalah jikalau kita mengambil kira bacaan كُذِّبُوا. Oleh itu, satu lagi tafsiran adalah: mereka (para Rasul) hampir yakin bahawa mereka dikatakan sebagai penipu oleh orang-orang kafir. Para Rasul itu telah lama berdakwah, akan tetapi mereka yang kafir itu tidak nampak kebenaran yang disampaikan oleh para Rasul itu. Sampaikan para Rasul itu sudah hampir putus asa kerana tidak nampak orang-orang kafir itu akan berubah.

4. Pendapat ini pula menisbahkan mereka itu bukanlah orang kafir, tetapi orang beriman. Iaitu para pengikut Rasul yang telah beriman! Para Rasul itu takut orang-orang beriman pun sudah mula ada anggapan yang para Rasul itu menipu! Ini kerana keadaan sudah menjadi sangat teruk sampaikan para Rasul pun takut. Takut apa? Takut pengikut dan orang beriman pun merasa lelah sampai sudah tidak tetap lagi iman mereka, sampai mengatakan para Rasul itu sebagai penipu!

Begitulah kepayahan hidup boleh menggugat iman seseorang. Jangan kita anggap ia perkara kecil. Kalau iman tidak cukup kuat, boleh goyah jadinya. Kerana syaitan akan mengambil peluang kesusahan hidup itu sebagai punca untuk mencalar iman manusia. Kita mungkin rasa kita sudah beriman, tetapi bagaimana kalau hidup kita sudah sangat payah? Adakah kita pasti iman kita tidak tergadai? Begitulah yang terjadi pada golongan munafik zaman Nabi. Ia mula timbul apabila keadaan menjadi sangat teruk. Mereka tidak mahu kepayahan. Mereka sangka mereka akan senang kalau masuk Islam dan mereka tidak sangka mereka akan diuji; mereka kena berjihad dan sebagainya. Contohnya, ada yang tidak sangka mereka kena berperang/jihad (ketika Perang Badr) seperti disebut di dalam Anfal:5-7

كَمَآ أَخۡرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيۡتِكَ بِٱلۡحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقً۬ا مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ لَكَـٰرِهُونَ (٥) يُجَـٰدِلُونَكَ فِى ٱلۡحَقِّ بَعۡدَ مَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى ٱلۡمَوۡتِ وَهُمۡ يَنظُرُونَ (٦) وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآٮِٕفَتَيۡنِ أَنَّہَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡڪَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ (٧)
Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). (5) Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya). (6) Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimah-Nya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; (7) 

Bukan orang munafik sahaja yang rasa tertekan. Malah kalau orang yang memang ikhlas, iman mereka pun akan terasa tertekan dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Begitulah yang dialami oleh para sahabat ketika di Mekah sampaikan mereka mengadu kepada Rasulullah ﷺ,

عَنْ خَبَّابِ بْنِ الأَرَتِّ، قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ، قُلْنَا لَهُ أَلاَ تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلاَ تَدْعُو اللَّهَ لَنَا‏.‏ قَالَ‏:‏ ” كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ “
Daripada Khabbab bin al-Arat رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain burdah (sejenis kain selimut/pakaian luar) miliknya di bawah naungan Kaabah. Kami berkata kepada Baginda: ‘Tidakkah engkau memohon pertolongan untuk kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?’ Baginda ﷺ bersabda: “Sesungguhnya pernah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu; seorang lelaki ditangkap lalu digalikan lubang di tanah dan dia dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawakan gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya, maka kepalanya itu dibelah dua, namun seksaan itu tidak memalingkannya daripada agamanya. Dan ada pula yang disikat dengan sikat besi sehingga menembusi dagingnya hingga ke tulang atau urat, namun itu juga tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah! Urusan (agama) ini akan sempurna sehingga seorang pengembara mampu berjalan dari San’a (Yaman) ke Hadramaut tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah, atau (takut) serigala menerkam kambingnya. Akan tetapi, kamu semua adalah kaum yang terburu-buru.”

(Riwayat Bukhari No. 3612)

Kenapa para Rasul itu takut dan hampir putus asa? Kenapa mereka takut para pengikut pun berubah hati? Kerana mereka pun tidak tahu apa di dalam hati manusia lain, walaupun mereka itu telah beriman. Ini mengajar kita sekali lagi yang para Rasul juga tidak tahu apa yang ada di dalam hati manusia. Para Nabi dan Rasul itu ada pembantu, ada sahabat, ada pengikut. Akan tetapi, mereka tetap manusia; maka mereka tidak tahu siapakah yang sebenar-benar beriman.

Tadi kita telah sebutkan yang kalimah ظنّ mempunyai berbagai maksud. Ia berubah-ubah mengikut keadaan. Sekarang kita boleh kaitkan dengan beberapa pendapat yang kita telah berikan.

    • Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian. Ini kerana para Rasul tidak tahu hati pengikut mereka. Mereka ada sangkaan sahaja.
    • Keyakinan (dalam qirā’ah tasydid). Para Rasul itu yakin yang orang-orang kafir menyangka mereka menipu.
    • Sangkaan kaum bahawa rasul berdusta. Ini adalah setakat sangkaan sahaja, kerana orang-orang kafir itu tidak ada keyakinan.

 

جاءَهُم نَصرُنا فَنُجِّيَ مَن نَشاءُ

datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki.

Ketika mereka dalam rasa putus asa itulah, datang نَصرُ (bantuan yang besar) daripada Allah ‎ﷻ kerana kalimah نَصرُ bukan bermaksud bantuan yang kecil-kecil tetapi bantuan yang besar. Dan penggunaan kalimah نَصرُ ini khusus apabila ia digunakan untuk bantuan ketika menentang musuh. Dengan bantuan Allah ‎ﷻ itu, diselamatkan sesiapa yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Di dalam kes Nabi Yusuf, نَصرُ itu adalah apabila baginda dikeluarkan dari penjara setelah sekian lama meringkuk di dalamnya. Bilakah نَصرُ bagi Nabi Muhammad ﷺ? Sekejap lagi kita jawab.

Menarik sekali, apabila kalimah جاءَ (datang) yang Allah ﷻ gunakan. Seolah-olah bantuan itu sudah ada pun, tunggu untuk datang sahaja. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ hendak beri kemenangan dan kejayaan kepada orang beriman, tetapi kenapa Allah ﷻ simpan dahulu bantuan yang sudah ada itu? Ini kita akan terangkan sebentar nanti.

Yang menarik tentang frasa ini adalah kalimah نَشاءُ (Kami kehendaki) yang digunakan. Ia di dalam bentuk mudhari‘ (present tense). Kita sangka Allah ﷻ bercakap tentang sejarah, tentang umat-umat sebelum ini yang menerima ujian, dan Allah ﷻ beri bantuan kepada mereka. Kalau itu sahaja, maka ia seharusnya di dalam bentuk madhi‘ (past tense) شِئْنَا. Dan memang kalimah-kalimah sebelum ini di dalam bentuk fi’il madhi, akan tetapi tiba-tiba ada iltifat (perubahan) pula kepada fi’il mudhari‘ dengan kalimah نَشاءُ ini. Menariknya, apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah نَشاءُ di dalam bentuk semasa, maka ia memberi berita baik yang Allah ﷻ dahulu Dia bantu, sekarang dan di masa hadapan pun Allah ﷻ akan bantu sesiapa yang Dia kehendaki; bukan dahulu sahaja.

Perhatikan siapakah yang dibantu dan diselamatkan? Allah ﷻ beritahu di sini: مَن نَشاءُ (sesiapa yang Kami kehendaki) iaitu yang Allah ﷻ pilih. Allah ﷻ tidak kata pula Dia akan menyelamatkan para Rasul dan sahabat baginda sahaja, akan tetapi Allah ﷻ kata: مَن نَشاءُ. Ini kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu siapa yang patut diselamatkan; kita sebagai manusia tidak tahu. Mungkin ada orang yang nampak seperti beriman, namun sebenarnya munafik, maka dia tidak layak diselamatkan. Mungkin pula ada orang yang nampak tidak beriman, tetapi dia sebenarnya beriman dengan sembunyi dan rahsia (mungkin takut ahli keluarganya tahu), maka kerana imannya itu, dia diselamatkan. Siapa yang tahu mereka itu? Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Oleh kerana itulah, kita perhatikan di dalam sejarah, ada penentang Rasulullah ﷺ yang keras seperti Khalid al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menjadi tonggak utama puak kafir Mekah. Akan tetapi, mereka akhirnya telah beriman dan menjadi tonggak pula bagi Rasulullah ﷺ dan agama Islam! Siapa sangka orang yang kuat menentang Islam, akhirnya menjadi pendukung Islam pula! Allah ﷻ sahaja yang tahu dan Allah ﷻ pilih mereka kerana Allah ﷻ tahu mereka itu layak diselamatkan. Allah ﷻ tahu isi hati mereka.

Ayat ini diturunkan di Mekah dan ketika itu ada yang beriman dan ada yang tidak. Dalam kalangan yang beriman pula, ada yang menzahirkan iman mereka dan ada yang menyembunyikannya. Mungkin mereka orang yang lemah, mungkin mereka tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan keluarga mereka, maka mereka memilih untuk merahsiakan iman mereka. Mana kita tahu yang ada orang Mekah yang beriman tetapi menyembunyikan iman mereka? Dalilnya terdapat di dalam Fath:25

وَلَوْلَا رِجَالٌ مُّؤْمِنُونَ وَنِسَاءٌ مُّؤْمِنَاتٌ لَّمْ تَعْلَمُوهُمْ أَن تَطَئُوهُمْ فَتُصِيبَكُم مِّنْهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ لِّيُدْخِلَ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ…
“…Dan kalaulah tidak kerana adanya lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman (di Mekah) yang kamu tidak mengetahuinya, supaya kamu tidak memijak (menyerang) mereka lalu kamu ditimpa kesusahan/dosa (kerana membunuh mereka) tanpa pengetahuan kamu… (Allah menahan kamu daripada menyerang) supaya Allah memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya…”

Ayat ini tentang peristiwa Hudaibiyah ketika umat Islam datang ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Hampir terjadi peperangan ketika umat Islam ketika itu sudah bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah tetapi Allah ﷻ tidak izinkan. Kerana kalau terjadi, ada kemungkinan orang beriman di Mekah yang menyembunyikan keimanannya akan dibunuh oleh umat Islam Madinah sendiri tanpa mengenali mereka. Allah ﷻ mahu selamatkan mereka.

Akhir sekali, perhatikan sekarang bilakah Allah ﷻ beri bantuan kepada para Rasul itu? Adakah dari mula? Kita tahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberi bantuan oleh Allah ﷻ, tetapi bila? Adakah ketika baginda di dalam telaga? Adakah ketika baginda dijual sebagai hamba dan terpaksa bekerja di rumah Al-Aziz? Adakah ketika baginda meringkuk di dalam penjara? Tidak, bukan? Allah ‎ﷻ tidak terus beri bantuan kepada baginda.

Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad ﷺ? Bilakah kejayaan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda? Baginda berdakwah selama 13 tahun di Mekah, adakah baginda dikira berjaya? Tidak. Bagaimana pula setelah baginda berhijrah ke Madinah? Adakah itu kejayaan? Belum lagi. Malah setelah beberapa tahun di Madinah, Allah ‎ﷻ hanya kata bantuan itu ‘dekat’ sahaja seperti disebut di dalam Baqarah:214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Bilakah kejayaan itu diberi kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam? Setelah 8 tahun berlalu di Madinah, bukan? Ketika Pembukaan Mekah, barulah Allah ‎ﷻ kata kejayaan telah diberikan. Barulah Allah ‎ﷻ kata di dalam Nasr:1

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

13 tahun + 8 = 21 tahun barulah Allah ‎ﷻ berikan kejayaan kepada baginda. Dan begitu juga dengan para Rasul yang lain. Kita belajar di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat kejayaan entah 40 tahun rasanya setelah diuji oleh Allah ‎ﷻ. Begitulah Allah ‎ﷻ tidak terus beri kejayaan kepada mereka. Malah setelah mereka diuji sampai mereka hampir putus asa, bukan? Kenapa? Kerana Allah ‎ﷻ hendak beri kemanisan kejayaan itu. Kemanisan kejayaan tidak akan ada jikalau ia mudah didapati. Kemanisan itu terasa apabila kepayahan telah dirasai. Tanyalah kepada orang yang dapat berjalan setelah kakinya lumpuh; orang yang dapat melihat setelah buta sekian lama. Kita yang dapat nikmat berjalan dan melihat ini tidak menghargai sangat nikmat itu, bukan? Tapi bagi orang yang telah merasa kehilangannya, nikmat itu tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan kejayaan yang didapati daripada usaha yang lama. Nikmat kejayaan itu lain macam!

Maka bagi kita yang menjalankan kerja dakwah Sunnah ini dan ditentang, diherdik, dicemuh dan sebagainya, bersabarlah. Dengan kita membaca ayat-ayat ini, sepatutnya memberi kelegaan kepada kita. Kejayaan masih jauh lagi dan mungkin akan sampai satu ketika, kita rasa hampir putus asa! Akan tetapi, kejayaan itu dekat dan Allah ‎ﷻ akan beri tepat pada masanya. Dan ketika itulah, kita akan merasai kemanisan kejayaan itu. Buat masa sekarang, kita buat kerja sahaja. Sebelum waktu itu sampai, ayat-ayat sebegini memberi kelegaan kepada kita. Bayangkan ayat ini diberikan kepada Rasulullah ﷺ di Mekah sebelum Hijrah, maka ia adalah masa yang lama. Namun, ia telah menjadi penghibur kepada hati Rasulullah ﷺ (Dakwa ke 3).

Akan tetapi, sebenarnya siapakah yang dimaksudkan dengan مَن نَشاءُ itu? Kalimat مَن نَشاءُ itu tidak disebut siapakah mereka. Adakah yang diselamatkan itu orang beriman? Atau orang tidak beriman? Ya, kita baca di sini yang para Rasul itu diberi kejayaan. Namun, adakah mereka yang perlu diselamatkan? Tidak sebenarnya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu diselamatkan kerana baginda telah selamat. Firaun sebenarnya yang perlu diselamatkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah selamat, tetapi abang-abangnya dan isteri Al-Aziz yang perlu diselamatkan. Nabi Muhammad ﷺ tidak perlu diselamatkan, tetapi para penentang bagindalah sebenarnya yang perlu diselamatkan. Ini adalah anjakan paradigma sebenarnya. Kita mungkin rasa para Rasul itu yang perlu diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya ia terbalik. Para penentang mereka yang memerlukan keselamatan! Kalau kita telah ada iman, kita selamat sebenarnya. Sebaliknya, kalau kita tidak beriman, walaupun kita ada kuasa besar, pengikut yang ramai dan kuasa kerajaan di tangan kita, kita sebenarnya tidak selamat!

 

وَلا يُرَدُّ بَأسُنا عَنِ القَومِ المُجرِمينَ

Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.

Yang akan dibantu, akan diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ dan mereka yang berdosa akan tetap dikenakan azab seksa. Mereka akan diperangi oleh Allah ﷻ kerana kalimah بَأسُ boleh ditafsirkan sebagai perang. Ia asalnya bermaksud azab, seksaan, atau hukuman tetapi selalu digunakan untuk merujuk kepada perang. Dan kalimah بَأسُنا bermaksud ‘perang Kami’ iaitu daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau perang itu daripada Allah ‎ﷻ, tentu tidak akan dapat ditolak lagi. Begitulah yang Allah‎ ﷻ hendak timpakan kepada mereka yang melakukan syirik dan menentang Rasul dan orang beriman. Allah ﷻ berfirman di dalam Tariq:10

فَما لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلا ناصِرٍ
maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatan pun dan tidak (pula) seorang penolong.

Allah ﷻ kata Dia akan selamatkan orang yang Dia kehendaki iaitu orang-orang yang beriman, atau yang akan beriman. Apabila mereka diselamatkan, maka siapa yang tinggal? Yang tinggal hanyalah القَومِ المُجرِمينَ (kaum penjenayah_ dan mereka itulah yang akan dihancurkan, dikalahkan. Kita tahu semua kisah ketika banjir besar dan keluarga Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diselamatkan. Namun, bukan semua ahli keluarganya selamat, bukan? Anaknya yang tidak beriman tidak selamat dan dia ditenggelamkan bersama orang kafir yang lain. Anaknya sendiri yang tidak mahu beriman dan menolak apabila diajak untuk menaiki bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seperti disebut di dalam Hud:42-43

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ (42)
قَالَ سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ ۚ قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (43)
(42) “Dan bahtera itu pun bergerak membawa mereka dalam ombak yang besar seperti gunung-ganang. Dan Nabi Nuh memanggil anaknya, sedang anaknya itu berada di tempat yang terasing (dari bahtera itu): ‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau ada bersama-sama orang yang kafir!'” (43) “Anaknya menjawab: ‘Aku akan pergi berteduh di sebuah gunung yang dapat menyelamatkanku daripada air (banjir) itu.’ Nabi Nuh berkata: ‘Pada hari ini tidak ada sesiapa yang akan selamat daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani-Nya.’ Dan (ketika itu) gelombang ombak pun menghalang antara keduanya, lalu jadilah dia (anak itu) daripada golongan orang yang ditenggelamkan.”

Begitulah, sebenarnya bukan Allah ‎ﷻ pilih bulu siapa yang selamat dan siapa yang tidak. Yang tidak diberi keselamatan itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu. Mereka sendiri yang menolak untuk beriman apabila diajak. Jadi mereka sendiri yang tidak mahu selamatlah.

Dan apabila azab dikenakan kepada mereka, ia akan tepat mengenai mereka. Begitulah Allah ‎ﷻ apabila memberi hukuman, tepat kena kepada yang ditentukan oleh-Nya. Kerana itulah apabila Allah ‎ﷻ mahu menjatuhkan azab kepada sesuatu kaum yang derhaka, Allah ‎ﷻ akan suruh Rasul dan orang beriman untuk tinggalkan tempat itu. Yang dimusnahkan hanya kaum yang telah melakukan kesalahan. Dan azab itu kena tepat. Sebagai contoh, batu yang dikenakan kepada umat Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu siap bernama, seperti disebut di dalam Hud:82-83

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ (82) مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ (83)
(82) “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri itu terbalik (yang atas ke bawah), dan Kami menghujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar (Sijjil) secara bertubi-tubi.” (83) “Yang ditandakan (Musawwamah) di sisi Tuhanmu; dan azab itu tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim itu.”

Perhatikan kalimah القَومِ yang digunakan di sini. Secara tradisi, القَومِ itu merujuk kepada sekelompok manusia yang mempunyai persamaan dari segi bangsa, bahasa, keturunan. Namun, di sini Allah ‎ﷻ memberi definisi baru, iaitu القَومِ boleh merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai pegangan akidah yang sama. Tidak kira mereka itu daripada bangsa mana, negara mana.

Yang menarik, ayat ini diletakkan di dalam Surah Yusuf. Maka kita kena lihat contoh yang Allah ‎ﷻ berikan di dalam surah ini. Kisah apa yang telah kita pelajari di dalamnya? Bukankah ada kisah orang yang telah berdosa tetapi akhirnya tidak dimusnahkan? Kita lihat kisah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan kita lihat juga kisah isteri Al-Aziz yang jelas-jelas berdosa tetapi akhirnya mereka selamat, bukan? Kerana Allah ‎ﷻ tahu siapa yang patut diselamatkan. Kerana itu, kita telah menyebutkan contoh Khalid al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang asalnya menentang Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ tidak musnahkan mereka.

Ayat ini pertama sekali menjadi peringatan dan ancaman kepada Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ mengingatkan mereka dengan umat terdahulu yang telah diseksa kerana menentang Nabi. Janganlah Musyrikin Mekah itu perasan yang mereka itu selamat kerana sehingga saat itu mereka belum lagi dikenakan azab. Allah ﷻ kata akan sampai masanya. Dan di dalam masa yang sama, ia adalah berita gembira kepada orang beriman. Allah ﷻ memberitahu yang bukanlah Allah ﷻ tidak tahu apa yang terjadi; bukanlah Allah ﷻ tidak boleh membantu mereka; itu semua tidak benar. Allah ﷻ menjanjikan kemenangan, cuma Allah ﷻ tidak sebut bilakah kemenangan itu. Tarikh kemenangan itu Allah ﷻ tidak letak dalam kalendar, tapi ia bergantung kepada keputusan daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan beri pada masa yang tepat.

Kenapa Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada para penentang kebenaran? Ini adalah salah satu rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada hambaNya. Allah ﷻ tidak terus beri azab, sebaliknya Allah ﷻ berikan masa untuk mereka berfikir dan berfikir. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk memerhatikan jalan mana yang benar, jalan mana yang selamat. Kalau mereka tetap memilih jalan kesesatan setelah sekian lama, barulah mereka layak dikenakan azab yang teruk.

Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan konteks sumber yang disediakan. Setiap jawapan perlulah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

  1. Apakah isyarat yang ingin disampaikan melalui penggunaan kalimah حَتَّىٰ di permulaan ayat 110?
  2. Jelaskan perbezaan antara kalimah استَيأَسَ (Istay’asa) dan يَاْيـَٔسُ (Ya’yasu) dalam konteks orang beriman dan orang kafir.
  3. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah Muqaddar (المُقَدَّر) dalam ayat ini?
  4. Bagaimanakah Ibnu Taimiyyah menghujahkan bahawa para Rasul tidak mungkin putus asa terhadap rahmat Allah?
  5. Nyatakan tiga daripada empat fungsi wazan استفعل (Istaf’ala) yang dibincangkan dalam teks.
  6. Apakah dua Qira’at (bacaan) yang sahih bagi kalimah كُذِبُوا dan bagaimanakah ia mengubah makna ayat?
  7. Mengapakah Aisyah R.A. menolak tafsiran bahawa para Rasul menyangka Allah telah mendustai janji-Nya?
  8. Berdasarkan kisah Perjanjian Hudaibiyah, bagaimanakah “ijtihad” seorang Rasul boleh membawa kepada perasaan hampir putus asa?
  9. Apakah pengajaran di sebalik kelewatan bantuan Allah (Nasr) kepada para Rasul seperti Nabi Muhammad dan Nabi Yusuf?
  10. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan al-Mujrimin yang tidak dapat menolak seksaan Allah?

Glosari Istilah Kunci

Istilah
Definisi
Dakwa
Tema atau mesej utama yang ingin disampaikan oleh Allah dalam sesuatu bahagian ayat Al-Qur’an.
Muqaddar (المُقَدَّر)
Perkataan atau ayat yang tersirat (tidak tertulis) dalam teks tetapi difahami kewujudannya berdasarkan konteks.
Istay’asa (استَيأَسَ)
Keadaan hampir putus asa atau menuju ke arah hilang harapan terhadap sesuatu keadaan manusiawi.
Wazan (وزن)
Pola atau timbangan kata dalam bahasa Arab yang mengubah makna dasar sesuatu perkataan mengikut penambahan huruf.
Ma’sum (معصوم)
Sifat para Rasul yang terpelihara daripada melakukan dosa, kesalahan dalam menyampaikan wahyu, atau bersangka buruk kepada Allah.
Zan (ظنّ)
Istilah yang mempunyai pelbagai makna mengikut konteks, merangkumi keyakinan (yakin), sangkaan kuat, atau sekadar tekaan lemah.
Qira’at (قراءات)
Kaedah-kaedah bacaan Al-Qur’an yang berbeza yang diterima daripada Rasulullah SAW melalui sanad yang mutawatir.
Iltifat (التفات)
Gaya bahasa Al-Qur’an yang mengubah arah bicara, seperti perubahan dari kata kerja masa lampau (madhi) ke masa sekarang (mudhari’).
Nasr (نصر)
Bantuan yang besar dan khusus daripada Allah, biasanya merujuk kepada kemenangan dalam menghadapi musuh.
Ba’sun (بَأسُ)
Azab, seksaan, atau hukuman yang keras; juga sering digunakan untuk merujuk kepada peperangan.
Al-Mujrimin (المُجْرِمِين)
Orang-orang yang berdosa, khususnya mereka yang melakukan syirik dan menentang kebenaran yang dibawa oleh para Rasul.
Sunnatullah
Ketentuan atau hukum Allah yang tetap dan berlaku dalam alam semesta serta sejarah manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Cabaran kepada Para Rasul) Part 1

Yusuf Ayat 110: Ini adalah Dakwa Keempat: Allah ‎ﷻ hendak beritahu, seteruk mana pun ujian yang datang, akhirnya orang Mukmin akan berjaya. Memang dalam menjalankan kerja dakwah, akan ada banyak ujian. Namun Allah ‎ﷻ hendak ingatkan bahawa seteruk mana pun ujian yang diterima di awal dakwah, kesudahannya adalah baik.

Ayat ini juga mengajar kita semua untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan kalaulah kita telah berdoa dan lambat dimakbulkan, jangan khuatir kerana ia akan tetap dimakbulkan – lambat atau cepat sahaja. Tidak semestinya terjadi terus apa yang kita hajati itu. Yang penting kita terus bersabar dan jalankan tugas dakwah kita.

Mengkaji Ayat 110 daripada Surah Yusuf menuntut ketelitian intelektual yang luar biasa kerana ia mengandungi dimensi makna yang sangat kompleks dalam tradisi tafsir dan linguistik.

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم قَد ڪُذِبُواْ جَآءَهُم نَصرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They continued] until, when the messengers despaired and were certain that they had been denied, there came to them Our victory, and whoever We willed was saved. And Our punishment cannot be repelled from the people who are criminals.

(MALAY)

Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah menyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.

 

حَتّىٰ إِذَا استَيأَسَ الرُّسُلُ

Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa

Kalimah حَتّىٰ jarang digunakan di permulaan ayat dan tidak sesuai selalunya dengan kaedah bahasa. Akan tetapi, Allah ‎ﷻ meletakkannya di sini memberi isyarat bahawa proses itu bukan tiba-tiba, tetapi mengambil masa yang lama. Lama sudah para Rasul itu berdakwah, namun kaum mereka tetap menentang. Bukan sehari dua mereka berusaha untuk menyampaikan kebenaran, tetapi lamaaaa sungguh.

Maka, ia memberi isyarat kepada kita betapa lama para Rasul itu menjalankan tugas menyampaikan dakwah tauhid dan mendidik masyarakat mereka. Mereka tidak mengabaikan daripada tugas mereka itu, حَتّىٰ (sehinggalah) sampai kepada situasi yang kita akan bincangkan ini.

Ada muqaddar dalam ayat ini. (Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, istilah Muqaddar (المُقَدَّر) merujuk kepada perkataan atau ayat yang tidak tertulis secara zahir (tersurat) dalam teks ayat, tetapi difahami kewujudannya berdasarkan konteks (tersirat) untuk melengkapkan makna ayat tersebut.) Muqaddar dalam ayat ini adalah: Para Rasul mendapat dugaan yang berlarutan dan tidak sampai-sampai lagi bantuan Allah ‎ﷻ kepada mereka. Bantuan itu lambat sangat, sampai para Rasul hampir putus asa.

Dan kita boleh kaitkan dengan ayat sebelum ini, أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)). Jadi, ancaman telah diberikan bahawa para penentang akan dikenakan azab yang besar. Namun bila? Para penentang itu telah dijanjikan dengan azab, tetapi yang mereka lihat tidak datang-datang pun azab itu? Mana azabnya? Bila tidak ada azab yang mendatang, lagilah mereka naik tocang! Mereka menjadi semakin berani dan semakin teruk menentang para Rasul. Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ sudah hampir dibunuh (setelah pemuka Quraisy membuat perancangan untuk menggabungkan semua kabilah kecuali kabilah Bani Hashim). Jadi, ada persoalan di sini dan ia dijawab di dalam ayat ini yang dimulakan dengan kalimah حَتّىٰ ini. Sehinggalah para Rasul telah hampir berputus asa.

Kalimah ‘hampir’ ini kita kena tambah kerana tidak mungkin para Rasul akan berputus asa dengan rahmat dan bantuan Allah ‎ﷻ. Inilah pendapat yang diketengahkan oleh Ibn Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ dengan memberikan hujah yang kuat. Kalau anda masih ingat, kalimah استَيأَسَ telah pernah digunakan di dalam Ayat 80,

فَلَمَّا ٱستَيـَٔسُواْ مِنهُ خَلَصُواْ نَجِيًّا‌
Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri

Di dalam Ayat 80 itu juga ia bermaksud ‘hampir’ hilang segala harapan. Tidak hilang kesemuanya. Kerana apa? Perhatikan kata abang besar mereka: أَو يَحكُمَ ٱللَّهُ لِى‌ (atau Allah memberi keputusan terhadapku). Maknanya dia berharap walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Al-Aziz) tidak melepaskan adiknya Bunyamin ketika itu, dia tetap hendak tinggal di Mesir, kerana entah nanti Al-Aziz akan berubah fikiran ataupun Allah ‎ﷻ menentukan sesuatu yang lain. Itu tanda dia masih berharap lagi. Tidaklah putus semua harapan. Kerana hati manusia boleh sahaja berubah, bukan? Entah Al-Aziz bukan lagi pemerintah, entah penjara penuh, entah berbagai kemungkinan boleh berlaku, selagi Bunyamin tidak mati, bukan?

Dan kata dasar bagi kalimah استَيأَسَ ada juga digunakan di dalam Ayat 87,

إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيـَٔسُ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلقَومُ ٱلكَـٰفِرُونَ
Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir

Perhatikan di dalam Ayat 87 ini, kalimah putus asa untuk orang kafir adalah يَاْيـَٔسُ sedangkan untuk para Rasul di dalam Ayat 110 ini adalah استَيأَسَ. Jadi ia tidak sama. Kalau orang kafir sahaja yang ada يَاْيـَٔسُ, maka tidak mungkin para Rasul ada يَاْيـَٔسُ pula. Mereka tidak akan ada putus asa sepenuhnya. Mereka (para Rasul) mungkin ada استَيأَسَ, tetapi tidak mungkin ada يَاْيـَٔسُ. Ini kerana haram hukumnya berputus asa daripada Allah ‎ﷻ.

Kalau hendak pening lagi, kita boleh lihat kalimah استَيأَسَ ini di dalam bentuk Wazan استفعل. Ini berlaku apabila ada penambahan است pada sesuatu kalimah asal. Berikut adalah penggunaan utama dan fungsi wazan ini:

1. Fungsi Utama: Menunjukkan Permintaan (الطَّلَبُ)

Ini adalah fungsi yang paling umum yang selalu digunakan dan kita selalu jumpa. Wazan ini digunakan untuk menunjukkan perbuatan meminta sesuatu daripada kata dasar tersebut.

Contoh:

Kata dasar: غَفَرَ (Ghafara) = Mengampuni. Setelah menggunakan wazan استفعل ia menjadi: اسْتَغْفَرَ (Istaghfara) = Meminta ampun (Memohon ampun).

Kata dasar: جَابَ (Jaba) = Menjawab. Setelah menggunakan Wazan استفعل ia menadi: اسْتَجَابَ (Istajaaba) = Meminta jawapan (Mengabulkan/Memakbulkan). Dalam bahasa kita selalu digunakan sebagai: mustajab.

2. Fungsi Kedua: Menunjukkan Perubahan Keadaan (الصَّيْرُورَةُ)

Wazan ini menunjukkan seseorang atau sesuatu itu menjadi atau berubah menjadi suatu keadaan yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَجَرَ (Hajara) = Batu. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi: اسْتَحْجَرَ (Istahjara) = Menjadi keras seperti batu / Membatu.

Kata dasar: حَلَبَ (Halaba) = Memerah susu. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi اسْتَحْلَبَ (Istahlaba) = Menjadi seperti susu / Mengeluarkan susu.

3. Fungsi Ketiga: Menunjukkan Anggapan/Keyakinan (Al-I’tiqad)

Wazan ini menunjukkan bahawa subjek menganggap objek mempunyai sifat yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَسُنَ (Hasuna) = Baik/Indah. Apabila menggunakan Wazanاستفعل ia menjadi: اسْتَحْسَنَ (Istahsana) = Menganggap baik / Memandang elok / Menyetujui. Dalam bidang Usul Fiqh, ada satu konsep yang dinamakan Istihsan.

Kata dasar: عُظْمَ (Uzhma) = Besar/Agung. Apabila menggunakan Wazan استفعل ia menjadi: اسْتَعْظَمَ (Istazhama) = Menganggap besar / Mengagungkan.

Kalau kita lihat contoh penggunaan yang pertama, ia merujuk kepada permintaan. Ia tidak sesuai bagi استَيأَسَ di dalam Ayat 110 ini kerana takkan ada orang yang minta hendak menjadi putus asa pula, bukan? Jadi penggunaan yang kedua itulah yang sesuai, iaitu merubah kepada sesuatu yang lain. Maka, kalimah استَيأَسَ bermaksud mereka menuju kepada putus asa, tetapi belum lagi menjadi putus asa.

Kemudian, tidak disebut para Rasul itu hampir berputus asa dalam hal apa? Ia tidak disebut secara jelas di dalam ayat ini, jadi ia membuka kepada beberapa tafsiran. Ada beberapa kemungkinan.

1. Para Rasul itu hampir berputus asa dengan umat mereka. Nampaknya mereka tidak akan berubah, tipis sangat kebarangkalian mereka akan berubah dan beriman.

2. Kalau kita perhatikan sifat para Rasul itu, mereka selalunya merasa bersalah, seolah-olah mereka tidak cukup lagi berdakwah sampai kaum mereka beriman. Mereka putus asa dengan diri mereka sendiri. Mereka meletakkan diri mereka yang bersalah kerana mereka itu orang yang amat halus dan amat prihatin. Mereka mula memikirkan, kalaulah mereka boleh berikan segala mukjizat sebagai bukti yang diminta oleh kaum mereka. Ini disebut banyak kali di dalam Al-Qur’an, antaranya An’am:35

وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang jahil.

Allah ‎ﷻ tidak mahu ini terjadi kepada para Rasul. Allah ‎ﷻ mahu mereka terus berdakwah walaupun kepada orang yang tidak mahu terima pada mulanya. Kerana kalau sudah ada rasa hendak putus asa, apa yang akan berlaku dalam fikiran seseorang? Lemah semangat, tidak mahu lagi buat kerja, bukan? Kerana mereka rasa ia sudah sia-sia. Maka Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan para Rasul itu berterusan di dalam keadaan itu. Kerana itulah nanti kita akan bertemu selepas ini di mana Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak mahu mereka terus patah semangat. Allah ‎ﷻ tidak mahu para Rasul itu terus meninggalkan umat mereka. Tapi tidaklah Allah beri di awal.

Namun, bayangkan sejenak apa yang para Rasul terutama sekali Nabi Muhammad ﷺ harus lalui. Surah ini diberikan ketika baginda kehilangan dua tonggak/tongkat baginda iaitu isterinya yang tersayang Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dan bapa saudara baginda Abu Thalib. Kaum baginda telah menolak baginda, sedangkan mereka itu bukan orang lain, malah orang yang sama yang menyanjung baginda dahulu tetapi sekarang menentang baginda dengan keras sekali. Baginda dihina, dimalukan, dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Apa perasaan baginda ketika itu? Tentunya berbaur dengan berbagai perasaan. Dalam baginda hendak menyelamatkan mereka, baginda ditolak dengan keras! Namun, adakah baginda dan para Rasul lain dibenarkan untuk berhenti berdakwah dalam keadaan begitu? Tidak! Allah ‎ﷻ suruh mereka pergi lagi dan lagi kepada kaum mereka, tidak ada hentinya. Dakwah tetap harus diteruskan walaupun kaum mereka telah menolak! Allahu Akbar! Begitulah kerja para pendakwah yang kita semestinya mengambil pengajaran dan semangat daripada mereka.

Apabila kita mengenang perjuangan Rasulullah ﷺ dan para sahabat, ia memberi pandangan yang berbeza tentang Al-Qur’an yang di tangan kita. Ia bukan datang dengan percuma, ia bukan datang dengan mudah. Ia dibayar dengan peluh dan air mata, malah dengan darah! Kita dapat percuma sahaja, itu pun kita buat tidak tahu sahaja, tidak mempelajarinya. Sedangkan para penerima pertama dahulu kena bermati-matian mempertahankannya. Sekarang bagaimana sikap kita terhadap Al-Qur’an yang agung ini?

Kaitan Ayat 110 dengan ayat sebelumnya: Di dalam ayat sebelum ini, kita telah membaca: أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)). Sekarang di dalam Ayat 110 ini kita sebenarnya baca apa yang terjadi sebelum itu, iaitu bagaimana para Rasul itu telah ditolak. Sebelum mereka yang menentang itu dikenakan dengan azab. Maka, kisah di dalam Ayat 110 ini datang sebelum kisah di dalam Ayat 109. Allah ‎ﷻ menceritakan detik-detik yang terjadi sebelum puak penentang itu dimusnahkan. Ia mengajar kita yang Allah ‎ﷻ tidak membiarkan para Rasul dan orang beriman terkontang-kanting tanpa bantuan. Dan Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan penentang Rasul itu selamat. Ya, bantuan mungkin lambat datang, tetapi ia tetap akan datang. Apabila ia datang pada ketika yang kritikal, maka ia lebih bermakna; kalau datang dari awal lagi, kesannya tidak sama.

Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa pertolongan-Nya diturunkan atas rasul-rasul-Nya semuanya di saat mereka dalam kesempitan dan menunggu pertolongan daripada Allah ‎ﷻ dalam waktu-waktu yang sangat genting. Iaitu ketika mereka hampir putus asa. Akan tetapi kalimah استَيأَسَ ini perlu dibincangkan kerana di dalam ayat ini ia dinisbahkan kepada para Rasul, bukan?

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai pandangan yang sangat mendalam mengenai kalimah استَيْأَسَ (istay’asa) dalam ayat ini. Beliau melihat ayat ini bukan sekadar cerita sejarah, tetapi sebagai sunnatullah (hukum alam) dalam perjuangan para Rasul dan orang beriman. Berikut adalah ringkasan tafsiran beliau yang dipetik daripada karya-karyanya seperti Majmu’ al-Fatawa:

1. Ada perbezaan antara “Putus Asa” Biasa dengan “استَيْأَسَ”

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menjelaskan bahawa penambahan huruf س dan ت pada perkataan يَئِسَ menjadi استَيْأَسَ menunjukkan puncak atau kesudahan sesuatu keadaan. Ini kerana di dalam bahasa Arab, penambahan huruf membawa kepada penambahan makna. Menurut beliau, para Rasul tidak pernah putus asa terhadap rahmat Allah ‎ﷻ. Jadi menurut beliau, maksud استَيْأَسَ di sini ialah para Rasul telah sampai ke tahap “putus harap terhadap kaumnya”. Mereka sedar bahawa selepas segala usaha dakwah dilakukan, kaum yang ingkar itu memang tidak akan beriman lagi.

2. Hubungan dengan Ujian yang Memuncak

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menekankan bahawa pertolongan Allah (نصرالله) hanya akan turun apabila keadaan sudah mencapai tahap paling kritikal. Beliau sering memetik ayat ini untuk menjelaskan bahawa:

    • Apabila bebanan ujian terasa sangat berat
    • Apabila musuh kelihatan sangat kuat
    • Apabila para Rasul merasa pengikut mereka mula goyah,

Pada saat itulah Allah ‎ﷻ mendatangkan pertolongan agar manusia sedar bahawa kemenangan itu murni datangnya daripada Allah ‎ﷻ, bukan atas kekuatan manusia semata-mata. Iaitu pada ketika manusia memang sudah rasa mereka tidak boleh buat apa-apa lagi.

3. Tafsiran Mengenai Kebimbangan Rasul (ظَنّوا)

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan bahawa para Rasul itu Ma’sum (terpelihara) daripada bersangka buruk kepada Allah ‎ﷻ. Nanti kita bawakan dalil daripada riwayat A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang hal ini sebentar lagi. Beliau menafsirkan استَيْأَسَ dan ظَنّ dalam ayat ini sebagai: “Ketakutan manusiawi para Rasul bahawa ujian yang terlalu lama akan menyebabkan fitnah (kerosakan iman) kepada pengikut mereka yang lemah.” Mereka juga manusia, jadi mereka pun ada perasaan emosi kemanusiaan seperti orang lain juga.

4. Kaedah “Kesusahan Membawa Kemudahan”

Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan Ayat 110 ini untuk membina kaedah dakwah: “Semakin gelap malam, semakin dekat waktu subuh.” Beliau berpendapat bahawa kemuncak keputusasaan para Rasul terhadap sokongan manusia adalah isyarat (tanda) bahawa pintu kemenangan daripada Tuhan akan segera terbuka. Sabar sedikit sahaja lagi.

Kesimpulan: Bagi Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ, ayat ini adalah penawar bagi hati yang sedang diuji. Beliau mahu pembaca faham bahawa jika para Rasul yang paling mulia pun pernah melalui fasa “hampir hilang harapan terhadap manusia”, maka orang beriman biasa tidak seharusnya merasa pelik jika mereka juga diuji dengan perasaan yang sama sebelum datangnya kejayaan.

 

وَظَنّوا أَنَّهُم قَد كُذِبوا

dan mereka telah menyakini bahawa sesungguhnya mereka, mereka telah didustakan,

Frasa ini antara yang paling sukar untuk ditafsirkan kerana ia banyak wajah/bentuk, jadi ia membawa beberapa kebarangkalian makna. Pertama kalimah ظَنّوا (kalau mufrad: ظَنّ). Ada beberapa pendapat tentang siapakah yang ظَنّوا.

Sebelum lebih panjang, kita lihat apakah maksud kalimah ظنّ. Kata ظنّ dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna yang berbeza, dan penggunaannya dalam Al‑Qur’an datang dalam beberapa bentuk bergantung kepada konteks ayat. Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan dalam tafsirnya:

“Orang Arab kadang-kadang menamai yakin itu dengan ظَنَّ, sebagaimana juga mereka pernah menamai gelap dengan sadafah (صَدَفَة) dan terang dinamainya juga sadafah. Orang yang menyeru meminta tolong mereka namai shaarikh (صَارِخ), dan orang tempat memohonkan pertolongan itu kadang-kadang mereka namai shaarikh juga. Dan ada lagi beberapa perumpamaan pemakaian nama-nama yang lain, iaitu menamai sesuatu keadaan dengan lawannya.”

Para ahli bahasa menjelaskan bahawa ظنّ boleh merangkumi:

• keyakinan (yaqin)
• sangkaan kuat
• sangkaan lemah atau waham
• maksud mengira atau menganggap

Menurut al‑Rāghib al‑Aṣfahānī, “الظن اسم لما يحصل عن أمارة”, yakni ia merujuk kepada sesuatu kesimpulan yang terbina atas petunjuk atau tanda. Jika petunjuk itu kuat, ظنّ membawa makna ilmu atau keyakinan; jika lemah, ia tidak melepasi tahap tekaan. Di dalam Al‑Qur’an, ظنّ digunakan dalam beberapa makna utama:

A. Makna yakin. Contoh: ﴾الذين يظنون أنهم ملاقو ربهم﴿ Baqarah:46. Maksudnya “mereka yang yakin bahawa mereka akan bertemu Tuhan mereka”. Al‑Rāghib menyatakan bahawa ayat ini adalah “اليقين”, dan ia juga dihuraikan oleh para ulama lain sebagai ظنّ yang bermaksud ilmu dan yakin.

B. Makna sangkaan yang kuat tetapi tidak sampai yakin. Contoh: ﴾وظن أهلها أنهم قادرون عليها﴿ Yunus:24. Maksudnya “dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya). Di sini ظنّ bermaksud sangkaan kuat yang masih boleh tersilap.

C. Makna sangkaan lemah / waham. Contoh: ﴾إن نظن إلا ظنا وما نحن بمستيقنين﴿ Jathiya:32.  Maksudnya “Kami tidak mengetahui apa hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali menyakininya“. Di sini menunjukkan ظنّ sebagai tekaan tanpa kepastian.

D. Makna ‘mengira’ atau ‘menyangka’. Contoh: ﴾إنه ظن أن لن يحور﴿ Insyiqaq:14. Maksudnya “Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).” Ini adalah penggunaan yang paling lemah sekali.

Ringkasnya, ظنّ dalam Al‑Qur’an tidak selalu bererti ‘sangka’ semata‑mata, tetapi berubah mengikut kekuatan dalil dan konteks ayat. Ulama menjelaskan bahawa ia boleh bermakna keyakinan penuh, sangkaan kuat, atau sangkaan lemah — dan semua bentuk ini digunakan dalam Al‑Qur’an dengan kehalusan makna yang berbeza. Dan oleh kerana tafsir bagi ayat ini nanti mempunyai pelbagai makna, ia berubah-ubah mengikut konteks; ia salah satu daripada tiga:

    • Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian.
    • Keyakinan
    • sangkaan kaum bahawa para Rasul telah berdusta

Kalimah ظَنّوا bermaksud ‘mereka sangka’. Akan tetapi siapa pula ‘mereka’ itu? Ia tidak disebut dan ia membuka kepada beberapa interpretasi. Jadi kalimah ظَنّوا  itu boleh jadi bermaksud:

1. Para Rasul itu sangka, atau
2. Umat itu sangka. Dan umat ini boleh jadi orang kafir atau boleh juga jadi orang beriman. Iaitu selain daripada para Rasul itu.

Kemudian ada pula perbincangan tentang pelbagai makna bagi kalimah كُذِبوا. Ini pun perbincangan yang sukar kerana ia melibatkan bahasa juga. Ia pula ada dua qira’at yang sahih dan kerana itu ia boleh memberi berbagai makna dan kita cuba sebutkan di sini sebagai bandingan. Ada 4 perbezaan maksud:

1. Sampai mereka (Para Rasul) rasa yang mereka telah didustakan oleh Allah ‎ﷻ kerana lambat sangat bantuan sampai kepada mereka. Ini adalah tafsiran pertama. Ini semua adalah sangkaan dalam hati mereka sahaja. Kita boleh katakan ia adalah ijtihad para Rasul itu daripada pembacaan mereka. Dan ulama’ juga ada berijtihad, bukan? Akan tetapi ijtihad ulama’ dan ijtihad para Rasul tidak sama. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan mereka di dalam ijtihad yang salah. Kerana itu, setelah mereka rasa putus asa, Allah ‎ﷻ akan menyelamatkan mereka.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan tafsiran ini tidak sesuai disandarkan kepada para Rasul. Oleh itu, tafsir yang lebih baik bukanlah mereka rasa didustakan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi oleh pengikut-pengikut mereka. Ini kita akan bincangkan dalam tafsiran yang lain. Mereka takut kalau keadaan teruk sangat, maka mereka yang beriman itu pun meninggalkan mereka. Ini seperti disebut dalam satu riwayat:

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَايِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّهَا قَالَتْ لَهُ وَهُوَ يَسْأَلُهَا عَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى‏:‏ ‏{‏حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ‏}‏ حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا – أَوِ كُذِّبُوا؟ قَالَتْ عَايِشَةُ: كُذِّبُوا. قَالَ قُلْتُ: فَقَدِ اسْتَيْقَنُوا أَنَّ قَوْمَهُمْ كَذَّبُوهُمْ فَمَا هُوَ بِالظَّنِّ؟ قَالَتْ: أَجَلْ لَعَمْرِي لَقَدِ اسْتَيْقَنُوا بِذَلِكَ‏.‏ فَقُلْتُ لَهَا: {وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا}؟ قَالَتْ: مَعَاذَ اللَّهِ، لَمْ تَكُنِ الرُّسُلُ تَظُنُّ ذَلِكَ بِرَبِّهَا‏.‏ قُلْتُ: فَمَا هَذِهِ الآيَةُ؟ قَالَتْ: هُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُلِ الَّذِينَ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَصَدَّقُوهُمْ، فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْبَلاَءُ، وَاسْتَأْخَرَ عَنْهُمُ النَّصْرُ، حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ مِمَّنْ كَذَّبَهُمْ مِنْ قَوْمِهِمْ، وَظَنَّتِ الرُّسُلُ أَنَّ مَنْ آمَنَ بِهِمْ قَدْ كَذَّبُوهُمْ، جَاءَهُمْ نَصْرُ اللَّهِ عِنْدَ ذَلِكَ‏.‏
Daripada Ibnu Syihab (al-Zuhri) yang berkata: Telah menceritakan kepadaku Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, bahawa beliau (Urwah) pernah bertanya kepada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang firman Allah: “Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (berputus asa)…” (Surah Yusuf: 110). Urwah bertanya: “Adakah ia dibaca كُذِبُوا [Kuzibu] (mereka didustai) atau كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka berdusta)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Bahkan ia dibaca كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka telah didustakan oleh kaumnya).” Urwah berkata: “Aku bertanya lagi: Bukankah para Rasul itu telah yakin bahawa kaum mereka mendustakan mereka? Jadi mengapa ia disebut sebagai Zan (dugaan/sangkaan)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Benar, demi umurku, mereka sememangnya telah yakin akan hal itu (bahawa kaum mereka mendustakan mereka).” Urwah berkata lagi: “Lalu bagaimana pula dengan (bacaan lain) Kuzibu (tanpa sabdu – yang bermaksud para Rasul menyangka mereka telah dibohongi oleh janji Allah)?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Maha Suci Allah (Aku berlindung dengan Allah)! Tidak mungkin para Rasul mempunyai sangkaan sedemikian terhadap Tuhan mereka.” Urwah bertanya: “Jadi, apakah maksud ayat ini sebenarnya?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjelaskan: “Mereka (yang dimaksudkan dalam ayat itu) adalah para pengikut Rasul yang beriman kepada Tuhan mereka dan membenarkan (dakwah) Rasul mereka. Namun, ujian dan bencana menimpa mereka dalam tempoh yang sangat lama, manakala pertolongan Allah terasa lambat sampai kepada mereka.

(Sahih al-Bukhari No. 4695)

Namun begitu, untuk menolak Qira’at كُذِبُوا pun agak tidak patut kerana ia juga adalah mutawatir dan ia dinisbahkan kepada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Jadi kita tidak boleh tolak begitu sahaja. Oleh itu, kita kena tafsirkan dengan pemahaman yang sesuai bagi para Rasul. Para Rasul tidak akan putus asa dengan Allah ‎ﷻ kerana mereka percaya kepada janji kemenangan daripada Allah ‎ﷻ. Namun, yang ‘menipu’ mereka adalah kiraan mereka sendiri, iaitu ijtihad mereka. Kita ambil contoh kisah Perjanjian Hudaibiyah.

Para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah pada Tahun 6 Hijrah. Ini tidak lama selepas Perang Ahzab berlaku. Jadi, bayangkan baru sahaja bertemu musuh, sekarang pergi ke tempat musuh pula! Tapi kenapa mereka melakukannya? Kerana Rasulullah ﷺ telah bermimpi menunaikan ibadah Umrah. Namun, alangkah terkejutnya baginda dan para sahabat kerana apabila mereka hampir tiba, mereka telah dihalang. Dipendekkan cerita, terjadilah Perjanjian Hudaibiyah. Ketika akan termeterainya perjanjian itu, ramai sahabat tidak berpuas hati, termasuklah Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, kerana bukankah Rasulullah ﷺ telah bermimpi dan mimpi itu benar? Kenapa kena tunduk kepada kehendak musuh pula?

Jadi memang benar Rasulullah ﷺ telah bermimpi menunaikan Umrah dan pasti Allah ‎ﷻ akan menjadikan itu kepastian. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun bila. Jadi perkiraan Rasulullah ﷺ yang tersilap. Maka Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fath:27

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
“Demi sesungguhnya, Allah tetap membuktikan mimpi Rasul-Nya itu benar: Bahawa sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjidil Haram – insya-Allah – dalam keadaan aman (dengan mencukur kepala kamu, dan ada yang menggunting rambutnya), serta kamu tidak merasa takut (akan serangan musuh). Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak ketahui, lalu Dia menjadikan sebelum (terlaksananya mimpi) itu satu kemenangan yang dekat (iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan pembukaan Khaibar).”

Maka tidak salah kalau para Rasul mempunyai sangkaan bahwa mereka telah didustakan. Bukanlah mereka tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ, namun oleh kerana terlalu lama, hati mereka pun boleh goyang juga. Ini kerana fikiran (عقل) lain, hati (قلب) lain. Perhatikan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila meminta Allah ‎ﷻ menunjukkan bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Perhatikan Baqarah:260

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan iman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda sanggup masuk ke dalam api, baginda sanggup meninggalkan anaknya di padang tandus Mekah, baginda sanggup menyembelih anak kesayangannya sendiri. Akan tetapi iman itu di minda; yang baginda minta adalah supaya hatinya juga tenang. Jadi, minda dan hati tidak sama. Para Rasul itu semuanya yakin dengan janji Allah ‎ﷻ, tapi hati mereka berbolak-balik.

 

Untuk lihat tafsiran lain, sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 109 (Ambil Pengajaran daripada Orang Dahulukala) Part 2

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi 

Walaupun Allah ‎ﷻ telah mengutuskan Rasul dalam kalangan mereka juga, masih ramai lagi yang menolak. Maka Allah ‎ﷻ tanya: tidakkah mereka berjalan mengembara di dunia? Ini bukan soalan untuk mendapatkan fakta, tetapi ia mempunyai makna di sebaliknya. Soalan retorik ini mencabar manusia untuk melihat bukti sejarah. Runtuhan bangsa-bangsa yang musnah bertebaran di seluruh bumi. Sepatutnya mereka fikir, kenapa bangsa-bangsa itu dimusnahkan? 

Soalan retorik tentang mengembara dan memerhati ada kaitan dengan teguran Allah ‎ﷻ di dalam Ayat 105 tentang manusia yang melewati tanda-tanda di langit dan di bumi dalam keadaan lalai (مُعرِضُونَ).

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Begitulah orang yang lalai ingkar: mereka melihat tanda-tanda kosmik pada alam, mereka melewati runtuhan sejarah, namun mereka tetap tidak merenung. Maka jangan jadi seperti mereka, wahai orang-orang Mekah (dan kamu yang sedang membaca ayat ini). Yang pertama menerima ayat ini adalah golongan Arab Mekah yang duduk di dalam rumah-rumah yang dibuat daripada tanah liat; ada yang duduk dalam khemah sahaja berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Mereka tidak mempunyai apa-apa pun. Minyak belum lagi ditemui, maka kerajaan besar pada ketika itu tidak hairan pun tentang mereka. Buat apa hendak dijajah Tanah Arab? Buang masa sahaja ke sana kerana tidak ada apa-apa. Jadi Allah ‎ﷻ perli mereka yang tidak ada apa-apa itu tetapi punyalah sombong macam dunia mereka yang punya. Tidakkah mereka tahu ada tamadun sebelum mereka yang lebih hebat daripada mereka? Inilah ironinya, orang yang tidak ada apa-apa tetapi sombong. 

 

فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka?

Tidakkah mereka lihat kesan-kesan peninggalan mereka yang telah menolak agama dan wahyu serta Nabi mereka? Huruf  ف yang digunakan di dalam فَيَنظُروا bukan bermaksud ‘dan’ sahaja. Dalam bahasa Arab, huruf فاء (ف) memang digunakan untuk memberi kesan akibat atau sebab-musabab, dan fungsi ini dibincangkan secara jelas dalam beberapa rujukan nahu klasik. Antara penjelasan yang paling penting ialah ف boleh berfungsi sebagai فاء السببية, iaitu fā’ yang menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan terjadi sebagai akibat bagi sesuatu sebelumnya. Maksudnya di sini, kalau kamu telah berjalan di muka bumi, maka kesannya, sepatutnya kamu ambil pengajaranlah. Malangnya ramai yang pergi melancong namun yang mereka lihat hanyalah luaran sahaja. Mereka kagum dengan tempat yang dilawati itu tetapi mereka tidak kagum dan tidak takut dengan Allah ‎ﷻ.

Tidakkah mereka lihat bagaimana mereka semua yang menentang Allah ‎ﷻ itu telah dimusnahkan? Bukankah banyak sudah kisah disebut dalam Al-Qur’an seperti kaum Aad, Tsamud, Firaun dan sebagainya? Lihatlah apa kesan yang telah dikenakan kepada mereka yang menolak kebenaran itu. Mereka tidak selamat, bukan? Jadi takkan hendak jadi seperti mereka pula?

Semasa melihat itu, kenalah lihat dengan mata hati juga, bukannya sebagai pelancong. Malah kita tidaklah disuruh pergi ke tempat-tempat itu sebenarnya, melainkan kalau kita memang lalu di situ. Kerana kalimah yang digunakan adalah فَيَنظُروا yang tidak semestinya melihat dengan mata, tetapi boleh juga dengan akal. Macam kita sekarang sudah tahu kisah-kisah tempat itu, maka kita gunakan akal kita untuk berfikir. Jadi ayat ini bukan suruh kita melancong, tetapi memikirkan. 

Malangnya, kecenderungan manusia sekarang yang hanya menjadikan tempat-tempat sebegini sebagai tarikan pelancong dan hiburan (sibuk mengambil gambar selfie sahaja) dan ini mewakili satu kelalaian yang teramat sangat. Apa yang sepatutnya memberi inspirasi kepada kesedaran tentang kematian dan ketakutan kepada Allah ‎ﷻ menjadi sekadar tontonan. Mereka membuat perkara yang suka-suka sahaja tanpa mengambil pengajaran pun. Ini menunjukkan bagaimana manusia boleh hanyut daripada pengajaran yang dimaksudkan melalui ayat-ayat (tanda-tanda) ini kalau mereka tidak menggunakan mata hati mereka. Inilah teguran Allah ‎ﷻ di dalam Ayat 105 yang lalu, bukan? 

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Amat menakutkan sekali bagaimana kita sebenarnya sudah termasuk dalam teguran Allah ‎ﷻ ini. Pergi ke tempat-tempat Allah ‎ﷻ turunkan azab hanya kerana hendak melancong sahaja! Penekanan pada pengembaraan untuk memerhati runtuhan bangsa terdahulu mengajar bahawa sejarah adalah guru yang hidup. Akan tetapi pengembaraan fizikal tidak bermakna tanpa renungan intelektual dan rohani. Anda boleh berdiri di hadapan piramid namun tidak belajar apa-apa, atau anda boleh merenunginya dan memahami sifat sementara bagi semua kuasa duniawi. Al-Qur’an mengajar orang beriman menjadi pelajar sejarah yang mengambil iktibar daripadanya, bukan sekadar pengguna fakta yang menarik.

Dari segi politik, ayat ini mencabar tanggapan bahawa kekuatan menentukan kebenaran (Might Makes Right). Empayar Mesir dengan piramidnya dan tamadun yang hebat — semuanya menjadi runtuhan. Tiada jumlah kuasa ekonomi, kekuatan ketenteraan atau kemajuan teknologi yang dapat menyelamatkan mereka daripada penghakiman Allah ‎ﷻ apabila tiba masanya. Ini menyamakan kedudukan antara kaum Quraisy yang berkuasa dengan Nabi ﷺ serta pengikut baginda yang kelihatan tidak berdaya. Mereka sangka mereka kuat, tetapi Allah ‎ﷻ suruh mereka perhatikan balik kepada puak yang lebih kuat daripada mereka yang hancur juga. Jadi jangan perasan sangat kamu berkuasa penuh. Apabila datang keputusan Allah ‎ﷻ, kuasa yang kamu ada pun akan hancur. Ternyata ini adalah peringatan kepada puak yang ada kuasa. Jangan perasan. Sekarang ya kamu di atas, tetapi bila-bila masa sahaja Allah ‎ﷻ boleh turunkan kamu. 

Secara sosial, terdapat kritikan hebat terhadap budaya selebriti dan pemujaan pencapaian. Ada orang yang sombong kerana mereka terkenal dan berjaya, tetapi itu adalah fatamorgana sahaja. Kerana mereka sebenarnya tidak ada apa-apa, namun masih sombong! Malah orang Arab purba dengan rumah lumpur dan struktur ringkas mereka pun boleh merasa sombong — dan Allah ‎ﷻ mempersoalkan apa yang ada pada mereka untuk disombongkan. Mereka bukannya memiliki apa-apa pun, tetapi masih tetap sombong! Jadi jangan perasan hebat sangat wahai manusia.

Ini menyentuh satu ironi rasa tidak selamat yang menjelma sebagai keangkuhan. Saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah contoh bagi perkara ini — keangkuhan mereka berakar umbi daripada rasa tidak selamat yang mendalam tentang kasih sayang bapa mereka. Mereka rasa rendah jadi mereka mahu menaikkan kedudukan mereka dengan berlaku zalim terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Corak ini berulang di seluruh masyarakat manusia. Mereka tidak mempunyai jati diri dan untuk menaikkan jati diri mereka, mereka melakukan sesuatu yang boleh menampakkan mereka hebat, bukan? Jadi mereka menindas orang lain, menghina orang lain, berbuat zalim kepada orang lain dan bermacam-macam lagi. Itu semua adalah psikologi dalaman manusia untuk menaikkan jati diri mereka yang lemah. 

Perintah untuk memerhatikan bagaimana bangsa terdahulu berakhir menghubungkan ayat ini kepada pelbagai petikan awal dalam Surah Yusuf di mana akibat daripada tindakan ditonjolkan — seperti kesudahan saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas rancangan mereka gagal, kehinaan isteri menteri yang cuba hendak menggunakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, nasib para tahanan dalam penjara, dan akhirnya penyatuan semula yang menunjukkan hikmah ilahi. Tema aaqibah (kesudahan) berjalan di seluruh Surah ini yang menjadi pengajaran kepada kita semua. Segala perbuatan kita ada kesannya. 

Kalimah عاقِبَةُ daripada kata dasar ع ق ب yang bermaksud “mengikuti di belakang” atau “datang kemudian”. Seperti seseorang yang berjalan, tumitnya akan mengikuti langkah kakinya. Ia juga adalah sesuatu yang melekat seperti daging dan tendon yang melekat kepada tulang dan susah untuk dibuang (sebab itu boleh buat sup tulang). Kalau kita masak sesuatu dan hangit, maka bahan yang tertinggal di dalam bahagian bawah periuk yang susah dibuang itu dipanggil aqba.

Kalimah عاقِبَةُ digunakan di dalam Al-Qur’an merujuk kepada sesuatu yang tinggal selepas kita, yang melekat, yang tidak boleh dibuang. Ia kesan daripada perbuatan kita semasa di dunia ini yang ada akibatnya. Ia tidak hilang begitu sahaja. Nanti akan ketemu nanti kesannya di akhirat kelak. Musyrikin Mekah tidak mahu mempercayai adanya hari kebangkitan kerana mereka tidak mahu fikir akibat daripada perbuatan mereka semasa mereka hidup. Mereka hendak ia hilang begitu sahaja, tetapi ia tidak akan berlaku. Mereka akan kena hadap kesan akibatnya nanti.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap manusia sedang dalam perjalanan menuju ke arah عاقِبَةُ. Persoalannya bukanlah sama ada akan ada kesan daripada kehidupan kita, tetapi apakah rupa kesan tersebut. Kerana kesan akibat pasti akan ada. Namun, persoalannya adalah: Adakah ia akan menjadi seperti runtuhan bangsa yang dimusnahkan yang berfungsi sebagai amaran kepada orang lain? Atau adakah ia akan menjadi amal soleh dan iman yang membawa kepada negeri akhirat yang lebih baik serta kekal selama-lamanya?

 

وَلَدارُ الآخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذينَ اتَّقَوا

dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. 

Namun begitu, ayat ini tidak membiarkan kita hanya dengan ketakutan. Pemusnahan bangsa-bangsa terdahulu bukanlah keseluruhan ceritanya. Bagi mereka yang mempunyai تَقْوَىٰ (kesedaran ketuhanan, sentiasa mengingati Allah ﷻ), ada sesuatu yang jauh lebih baik menanti: iaitu tempat tinggal yang kekal abadi.

Ini adalah teguran kepada para penentang. Mereka mungkin ada kelebihan keduniaan: kekayaan, kuasa, banyak pengikut. Tapi itu bukanlah hebat mana kalau dibandingkan dengan kelebihan dan balasan abadi bagi orang yang beriman. 

Janji bahawa “negeri akhirat adalah lebih baik” bagi mereka yang bertaqwa memberikan kelegaan dan motivasi. Ia memberi harapan kepada kita yang tidak ada apa-apa di dunia ini. Dan ia memberi peringatan kepada mereka yang berkuasa dan merasa hebat di dunia. Tidak kira betapa hebatnya tamadun duniawi, ia tetap bersifat sementara dan akan menjadi runtuhan ditelan zaman. Sebaliknya rumah yang kekal di akhirat (syurga) mempunyai dua kualiti yang tidak dapat ditandingi oleh apa pun di dunia ini: ia lebih baik dari segi kualiti (خَيرٌ) DAN ia tidak pernah rosak (أَبقىٰ). Allah ‎ﷻ berfirman di dalam A’la:17

وَالآخِرَةُ خَيرٌ وَأَبقىٰ
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Rujukan kepada دارُ الآخِرَةِ (negeri akhirat) yang lebih baik mengulang tema awal tentang kepuasan yang tertangguh dan keadilan muktamad. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menanggung kesusahan selama bertahun-tahun untuk mendapatkan kesudahan yang “lebih baik” — baik di dunia ini mahupun yang dijanjikan di akhirat kelak. Saudara-saudaranya yang mencari keuntungan segera (dengan menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) akhirnya menghadapi kesudahan yang tidak pernah mereka jangkakan. Keuntungan segera itu tidak berharga, tetapi negeri akhiratlah yang kita patut buat persediaan. Negeri akhiratlah yang kita kena kejar keberuntungan di sana. 

Manusia ramai menolak wahyu dan kebenaran yang disampaikan oleh para Nabi kerana tidak mahu meninggalkan keuntungan dunia yang sementara. Mereka mahu kebaikan di dunia, mereka tidak mahu kehilangan nikmat-nikmat dunia. Ini kerana kadang-kadang mereka lihat, kalau ikut agama berlandaskan wahyu ini, banyak yang mereka akan rugi – mereka tidak boleh zalim dan menindas orang lain, tidak boleh menipu dalam perniagaan, tidak boleh mencuri daripada orang dan sebagainya. Maka Allah ‎ﷻ beritahu, akhirat itu lebih baik daripada apa yang mereka tinggalkan dari bahagian dunia. Dunia itu tidak bernilai apa-apa kalau dibandingkan dengan kelebihan akhirat. Tidak rugi kalau tinggalkan kelebihan dunia itu.

 

أَفَلا تَعقِلونَ

Maka tidakkah kalian memikirkannya?

Allah ‎ﷻ tanya lagi: Kenapa kamu tidak menggunakan akal untuk berfikir? Mana yang mereka mahu? Kelebihan dunia yang sedikit dan tidak kekal ini, atau kelebihan akhirat yang lebih banyak dan berkekalan sampai bila-bila?

Apakah ‘akal’? Secara bahasa, akal bukan sekadar “fikiran”, tetapi ia adalah “ikatan”. Ia daripada Akar Kata (ع – ق – ل). Akar kata عَقَلَ (‘aqala) pada asalnya bermaksud mengikat atau menahan. Kata terbitan yang paling masyhur dalam konteks fizikal adalah:

    • Al-‘Iqal (العِقَال): Tali yang digunakan oleh orang Arab untuk mengikat kaki unta agar ia tidak lari atau merayau. Kemudian mereka mengikat tali itu di kepala mereka untuk menyimpan. Dari sinilah kita boleh melihat orang Arab memakai shimagh mereka dengan tali pada kepala. Dulu ia dipanggil Iqal, namun sekarang ia dipanggil Igal.
    • Al-Ma’qil (المَعْقِل): Kubu pertahanan yang “menahan” musuh daripada masuk.

Mengapa “Fikiran” dipanggil “Akal”? Ulama bahasa (seperti Ar-Raghib al-Asfahani) menjelaskan mengapa daya fikir manusia dipanggil akal kerana ia berfungsi seperti tali unta. Ia mengikat dan menahan pemiliknya daripada melakukan perkara yang tidak sopan, bodoh, atau mengikut Hawa Nafsu. Jadi, orang yang ada akal itu mampu menahan diri: Seseorang yang berakal (‘aqil) adalah orang yang mampu menahan emosinya agar tidak bertindak melulu.

Oleh itu, akal manusia itu fungsinya “menahan” nafsu dan bukannya sekadar “berfikir” sahaja. Kejelasan intelektual yang sebenar memerlukan kawalan emosi. Akal yang perlu memandu emosi dan bukan sebaliknya. Apabila manusia dikuasai oleh emosi seperti kemarahan, ketakutan, ketamakan atau mana-mana emosi yang meluap-luap, minda tidak dapat berfungsi dengan baik. Ketika itu, akal dipandu, diseret dan digunakan oleh nafsu. Analoginya, kalau kita menunggang kuda, kita mesti menggunakan tali kendali, bukan? Ini menggambarkan keperluan untuk mengawal emosi tanpa mematikannya — emosi itu perlu tetapi mesti dibimbing tanpa dibiarkan begitu sahaja. Kita yang hidup dalam zaman moden yang ramainya mahukan kepuasan segera dan terikut-ikut dengan dorongan emosi sangat memerlukan hikmah ini. Bayangkan, kuda yang tidak dikawal akan menjatuhkan penunggangnya. 

Emosi ini bahaya tuan-tuan. Allah ‎ﷻ telah beri amaran tentang emosi menjadi tuhan seperti disebut di dalam Furqan:43

أَرَءَيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكونُ عَلَيهِ وَكيلًا
Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?,

Ayat ini menunjukkan bahaya utama pemuasan emosi yang melampau. Ini kalau kita ikut sahaja kehendak nafsu tanpa kekangan. Antaranya ikut kehendak nafsu untuk bergembira. Buat apa sahaja asalkan gembira, tidak kira halal haram. Apabila merasa bahagia menjadi matlamat tertinggi, maka kebahagiaan telah menjadi tuhan! Apabila anda mengikut setiap dorongan hati, dorongan tersebut yang mengawal anda dan bukannya anda yang mengawal mereka. Ini adalah lawan kepada aql — ia adalah jahiliyyah (kejahilan) sebenarnya.

Manusia akan menghadapi masalah kalau emosi mereka tidak dikawal oleh akal. Lihatlah golongan remaja yang tidak mampu merenungkan soalan yang bermakna (contohnya, apa tujuan mereka hidup, ke mana mereka akan pergi nanti selepas mati dan sebagainya) adalah kerana emosi mereka yang “tidak terkawal”. Mereka hendak bergembira sahaja, ikut kehendak hati mereka sahaja. Ia merujuk kepada psikologi perkembangan dan cabaran pertumbuhan rohani dalam kalangan belia. Sebab itu, kebanyakan kita lihat mereka kebingungan sahaja rupanya, bukan? Apabila perasaan berleluasa ke pelbagai arah, pemikiran peringkat tinggi menjadi mustahil. Ini juga terpakai kepada orang dewasa yang dorongan hati mereka kekal tidak terkawal. Ini jenis manusia yang mengikut nafsu sahaja. 

Ayat ini menyediakan pentas bagi petikan akhir Surah (Ayat 110 – 111) yang akan membincangkan apabila pertolongan Allah ‎ﷻ datang kepada para Rasul dan bagaimana Al-Qur’an itu berfungsi sebagai pengajaran serta peringatan terakhir. Corak yang ditetapkan ialah: Rasul-rasul diutus, mereka ditolak, kaum mereka dimusnahkan, dan sisa peninggalan kekal sebagai tanda — tidakkah kalian akan belajar daripada ini sebelum terlambat?

Perhatikan bahawa ini adalah salah satu keadaan yang jarang berlaku dalam Al-Qur’an Ayat Makkiyah di mana Allah ﷻ menyapa orang kafir secara langsung dengan kata ganti nama orang kedua. Biasanya, Allah ‎ﷻ bercakap tentang mereka dalam kata ganti nama orang ketiga. Akan tetapi di sini, mesej itu menjadi lebih peribadi dan lebih langsung, seolah-olah membawanya lebih dekat kepada diri sendiri: “Tidakkah kalian mahu berfikir? Tidakkah kalian mahu menggunakan intelek kalian?” “Otak itu hendak letak di mana?” Dari segi bahasa, ini adalah ayat jenis mukhattab – Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan golongan Musyrikin Mekah. Allah ‎ﷻ terus menegur mereka secara langsung kali ini. Ini adalah kerana ada penekanan yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan kepada mereka yang degil itu.

Ayat ini menggunakan teknik retorik yang canggih yang dipanggil iltifat (peralihan), iaitu pertukaran antara menyapa Nabi ﷺ dan bercakap tentang orang-orang kafir. Iltifat ini adalah sebahagian daripada Ilmu Balaghah. Selama ini Allah ‎ﷻ berfirman kepada Nabi ﷺ tetapi secara berterusan merujuk kepada kaum Quraisy dalam orang ketiga (yang Allah ﷻ selalu sebut sebagai “mereka” sahaja tanpa disebutkan siapa yang dimaksudkan). Perhatikan kalimah-kalimah seperti يَسِيرُواْ, kemudian يَنظُرُواْ dan akhir sekali قَبلِهِم. Itu semua tentang pihak ketiga. Ini mewujudkan kesan penjarakan — Allah ﷻ sangat murka kepada mereka sehingga Dia tidak mahu memuliakan mereka dengan sapaan langsung, sebaliknya bercakap tentang mereka seolah-olah mereka tidak hadir walaupun mereka boleh mendengar. Tentulah mereka mendengar kerana mereka sedang mendengar bacaan ayat-ayat Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ. Teknik ini kita boleh lihat di seluruh petikan-petikan akhir Surah Yusuf. Anda boleh perhatikan daripada ayat 103 di mana Allah ﷻ sedang menegur Musyrikin Mekah sebenarnya. Allah ﷻ bukan bercakap kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tentang mereka!

Namun di sini tiba-tiba terdapat peralihan dramatik di penghujungnya dengan bacaan أَفَلا تَعقِلونَ (tidakkah kalian semua berfikir), yang tiba-tiba bertukar daripada bercakap tentang pihak ketiga (mereka) kepada orang kedua (kamu semua). Ini tentunya mengejutkan pendengar — mereka yang menyangka mereka hanya berada di latar belakang dengan selamat, tiba-tiba mendapati diri mereka disapa/ditegur secara langsung. Ia seperti seorang guru yang sedang membincangkan “segelintir pelajar” yang menipu dalam peperiksaan dan kemudian tiba-tiba memanggil satu nama yang khusus. Ini mewujudkan rasa tidak selesa bagi mereka yang bersalah kerana sekarang namanya telah disebut! Sebelum itu, dia tenang-tenang sahaja sebab dia sangka dia selamat, bukan dia yang dimaksudkan. Namun tiba-tiba bam! Namanya disebut! Ini memberi kesan yang tepat dan mendalam. Kerana kalau asyik sebut tentang orang lain sahaja… ramai yang perasan mereka selamat, bukan? Maka ia memberikan aplikasi sejagat untuk semua pembaca merentas zaman. Sebab ia bukan hanya untuk Musyrikin Mekah sahaja akan tetapi kita pun termasuk juga. Jangan perasan kita selamat!

Berikut adalah pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf ayat 109 dalam bentuk poin:

Sejarah sebagai Guru Kehidupan: Mengembara di muka bumi bukan sekadar untuk melancong atau hiburan, tetapi bertujuan untuk melihat dan mengambil pengajaran daripada kesudahan umat-umat terdahulu yang menolak kebenaran.

Kerapuhan Kuasa Duniawi: Kekuatan ekonomi, ketenteraan, atau kemajuan teknologi (seperti Piramid Mesir) tidak dapat menyelamatkan sesebuah tamadun daripada penghakiman Allah ‎ﷻ jika mereka berlaku zalim.

Konsep Aaqibah (Kesudahan): Setiap perbuatan manusia mempunyai kesan yang melekat (seperti sisa makanan di dasar periuk) yang tidak akan hilang dan perlu dihadapinya di akhirat kelak.

Keutamaan Akhirat: Negeri akhirat adalah jauh lebih baik dari segi kualiti dan lebih kekal abadi bagi orang yang bertaqwa berbanding keuntungan dunia yang sementara.

Fungsi Sebenar Akal: Akal bukan sekadar untuk berfikir, tetapi berfungsi sebagai “tali pengikat” yang menahan manusia daripada bertindak melulu mengikut hawa nafsu atau emosi yang tidak terkawal.

Bahaya Menjadikan Emosi sebagai Tuhan: Apabila kebahagiaan atau dorongan hati menjadi matlamat tertinggi tanpa batasan halal dan haram, manusia sebenarnya telah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan mereka.

Teguran Terhadap Kelalaian: Sifat lalai (mu’ridun) dalam memerhatikan tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ, sama ada pada alam kosmik mahupun runtuhan sejarah, adalah punca manusia gagal mendapat hidayah.

Akauntabiliti Peribadi: Peralihan bahasa dalam ayat ini daripada menceritakan “mereka” (pihak ketiga) kepada menyapa “kamu” (pihak kedua) menunjukkan bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk menggunakan akal mereka.

Kuiz Pemahaman: Soalan Jawapan Pendek

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

No.
Soalan
1
Apakah tujuan sebenar soalan retorik Allah tentang pengembaraan di muka bumi dalam ayat ini?
2
Mengapakah keadaan kaum Arab Mekah pada waktu itu dianggap ironi dari segi sikap kesombongan mereka?
3
Jelaskan fungsi tatabahasa huruf Fa (ف) dalam perkataan fayanzuru mengikut konteks ayat ini.
4
Bagaimanakah teks membezakan antara melihat dengan “mata kepala” berbanding “mata hati” semasa melawat runtuhan sejarah?
5
Apakah mesej politik yang ingin disampaikan melalui kemusnahan empayar besar seperti Mesir kuno?
6
Terangkan kaitan antara rasa tidak selamat (insecurity) dengan keangkuhan berdasarkan contoh saudara-saudara Nabi Yusuf.
7
Apakah maksud literal dan kiasan bagi istilah Aaqibah (kesudahan) menurut etimologi bahasa Arab?
8
Mengapakah golongan Musyrikin Mekah enggan mempercayai hari kebangkitan?
9
Apakah dua kualiti utama “Negeri Akhirat” yang menjadikannya lebih baik daripada dunia?
10
Bagaimanakah teknik Iltifat (peralihan kata ganti nama) memberi kesan psikologi kepada pendengar ayat ini?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Aaqibah (عاقِبَةُ)
Kesudahan atau kesan yang tinggal selepas sesuatu perbuatan; sesuatu yang melekat dan tidak boleh dibuang.
Aql (عقل)
Secara bahasa bermaksud “ikatan” atau “tahanan”; daya fikir yang berfungsi menahan pemiliknya daripada melakukan perkara bodoh atau mengikut hawa nafsu.
Iltifat (التفات)
Teknik retorik dalam Ilmu Balaghah yang melibatkan peralihan kata ganti nama (contoh: dari “mereka” kepada “kamu”) untuk menarik perhatian pendengar.
Taqwa (تَقْوَىٰ)
Kesedaran ketuhanan atau keadaan sentiasa mengingati Allah ﷻ yang membawa kepada perlindungan daripada azab-Nya.
Al-Iqal (العِقَال)
Tali yang digunakan oleh orang Arab untuk mengikat kaki unta agar tidak lari; akar kata yang sama dengan “Aql”.
Al-Ma’qil (المَعْقِل)
Kubu pertahanan yang berfungsi menahan atau menghalang musuh daripada masuk.
Jahiliyyah (جهلية)
Keadaan kejahilan yang berlaku apabila manusia mengikut setiap dorongan hati dan hawa nafsu tanpa kekangan akal.
Darul Akhirah (دارُ الآخِرَةِ)
Negeri akhirat atau tempat tinggal yang kekal abadi selepas kehidupan di dunia.
Khayrun wa Abqa (خَيرٌ وَأَبقىٰ)
Sifat akhirat yang bermaksud “lebih baik” dari segi kualiti dan “lebih kekal” kerana tidak akan rosak.
Mu’ridhun (مُعرِضُونَ)
Golongan yang lalai atau berpaling daripada tanda-tanda kekuasaan Allah walaupun mereka melaluinya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 109 (Cara Allah ﷻ hantar para Rasul) Part 1

PARA RASUL ALLAH

Yusuf Ayat 109: Di sini Allah ‎ﷻ beritahu kenapa para Nabi dipilih dalam kalangan manusia juga. Ini adalah kerana ada yang persoalkan kenapa Rasul dalam kalangan manusia — kenapa tidak dihantar sahaja malaikat? Jadi ayat ini menangani dua bantahan terhadap kedudukan para Rasul. Allah ﷻ menetapkan bahawa rasul sentiasa رِجَالًا (lelaki) iaitu manusia, bukan malaikat. Dan mereka sentiasa مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ (dalam kalangan penduduk bandar/pekan) iaitu penduduk tempatan, bukan orang asing.

وَمَآ أَرسَلنَا مِن قَبلِكَ إِلَّا رِجَالاً نُّوحِىٓ إِلَيهِم مِّن أَهلِ ٱلقُرَىٰٓ‌ۗ أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم ۗ وَلَدَارُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَواْ‌ۗ أَفَلَا تَعقِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent not before you [as messengers] except men to whom We revealed from among the people of cities. So have they¹ not traveled through the earth and observed how was the end of those before them? And the home of the Hereafter is best for those who fear Allāh; then will you not reason?

  • Those who deny Prophet Muḥammad ().

(MALAY)

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka bepergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?

 

وَمآ أَرسَلنا مِن قَبلِكَ إِلّا رِجالً

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki 

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ, para Rasul yang diutuskan pun adalah dalam kalangan manusia. Jadi memang sunnatullah adalah dihantar manusia sebagai Nabi untuk manusia juga. Takkan hendak hantar malaikat untuk mendidik manusia pula? Ayat ini menangani bantahan berulang kali daripada kaum Quraisy tentang Nabi Muhammad ﷺ — mengapa Allah ‎ﷻ menghantar seorang lelaki biasa, seseorang yang mereka kenali, seseorang yang berjalan di pasar-pasar, sebagai pesuruh-Nya? Ini seperti disebut di dalam Furqan:7

وَقالوا مالِ هٰذَا الرَّسولِ يَأكُلُ الطَّعامَ وَيَمشي فِي الأَسواقِ ۙ لَّولا أُنزِلَ إِلَيهِ مَلَكٌ فَيَكونَ مَعَهُ نَذيرًا
Dan mereka berkata: “Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?

Hujah ini selalu digunakan oleh penentang wahyu dan dinukilkan di dalam Al-Qur’an. Antara lain adalah Mukminun:24

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.

Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih hebat, mungkin malaikat atau seseorang yang mempunyai sifat luar biasa. Allah ‎ﷻ menjawab dengan menetapkan bahawa ini sentiasa menjadi jalan-Nya — semua Rasul sepanjang sejarah adalah lelaki dalam kalangan kaum mereka sendiri. 

Ayat ini meneruskan tema daripada Ayat 108 di mana Nabi ﷺ  diperintahkan untuk mengisytiharkan jalannya dan tauhidnya, serta menyatakan secara jelas bahawa baginda tidak seperti orang musyrik. Ayat 109 ini menyusul dengan menenangkan baginda bahawa baginda tidak sendirian dalam pendirian ini — semua Rasul terdahulu berdiri berasingan daripada masyarakat mereka dengan cara yang sama, bersatu hanya melalui wahyu yang mereka terima. Kalimah رِجالً bermaksud seorang lelaki, berseorangan sahaja membawa dakwah Tauhid. 

Ada perbincangan lain tentang ayat ini. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ mengutus rasul-rasul-Nya hanyalah dalam kalangan kaum lelaki, bukan kaum wanita. Demikianlah menurut pendapat jumhur ulama’, seperti yang ditunjukkan oleh konteks ayat yang mulia ini. Disebutkan bahawa Allah ‎ﷻ tidak memberikan wahyu kepada seorang wanita pun dalam kalangan anak Adam, iaitu wahyu yang mengandungi hukum. Antara hikmahnya:

    • Ketabahan Fizikal & Mental: Tugas dakwah memerlukan seseorang berhadapan dengan penentangan kaum, peperangan, dan perjalanan yang jauh. Semua ini lebih patut dihadapi oleh seorang lelaki dan bukannya wanita.
    • Kepimpinan: Tugas seorang Rasul merangkumi menjadi imam solat dan pemimpin masyarakat, yang mana tanggungjawab ini diletakkan di bahu lelaki.

Pelantikan lelaki sebagai Rasul juga adalah nikmat daripada Allah ‎ﷻ. Kenapa? Bayangkan kalau dilantik wanita jadi Rasul? Kalau Rasul itu wanita, tentu payah kerana nanti datang haid pula, kebiasaan emosi mereka tidak stabil. Merajuk pun kuat, nanti sekiranya ditolak ajakan dakwah nanti pasti tarik muka pula. Kalau hendak berhujah pun, tidak berapa pandai, melainkan guna senjata airmata sahaja nanti, bukan?

Ia juga adalah pujian kepada Rasulullah ﷺ. Dalam bahasa Arab, terdapat perbezaan antara الذكور (lelaki dari sudut biologi) dan رِجَالاً (lelaki dari sudut sifat dan kualiti).

1. “Rijal” sebagai Simbol Ketabahan (Syaja’ah)

Seorang Nabi bukan hanya lelaki, tetapi dia adalah “Rijal”—iaitu susuk yang memiliki keteguhan hati yang luar biasa. Dakwah para Nabi di Al-Qura (pusat tamadun) memerlukan kekuatan untuk:

    • Berhadapan dengan raja yang zalim (seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Penguasa Mesir).
    • Sabar menghadapi ejekan manusia yang berkata mereka hanya “manusia yang berjalan di pasar”.

Kesan penggunaan kata ini menunjukkan bahawa para Nabi adalah individu yang “tahan banting” dan tidak goyah oleh badai penentangan.

2. Menunjukkan Kepimpinan dan Tanggungjawab

Kalimah Rijal sering dikaitkan dengan Qiwamah (kepimpinan dan perlindungan). Dengan menggunakan istilah رِجَالاً, Allah ‎ﷻ ingin menegaskan bahawa tugas Kenabian memerlukan:

    • Kewibawaan: Untuk memimpin umat dan memberikan Bayan (penjelasan) yang jelas.
    • Keberadaan di Medan: Seorang Rijal tidak bersembunyi. Mereka turun ke masyarakat, ke pasar, dan ke pusat kota untuk menyampaikan kebenaran secara terang-terangan.

Ayat ini juga menjadi dalil bagi pendapat yang mengatakan tiada Rasul dalam kalangan bangsa jin. Isu sama ada terdapat Nabi atau Rasul dalam kalangan jin dibahaskan oleh para mufassir. Terdapat dua pandangan utama, namun pendapat yang dominan menafikan kewujudan Nabi atau Rasul daripada bangsa jin. Sebahagian besar ulama’ (majoriti) menyatakan bahawa tiada Nabi atau Rasul daripada jin, dan semua Nabi atau Rasul adalah dalam kalangan manusia. Mereka menggunakan Ayat 109 ini sebagai dalil kerana kalimah رِجالً yang digunakan. Dan رِجالً adalah lelaki daripada golongan manusia, bukan jin.

Akan tetapi terdapat pandangan sebahagian mufassir (minoriti) yang berpendapat Allah ‎ﷻ pernah mengutus Rasul daripada bangsa jin, tetapi pandangan ini tidak menjadi arus perdana. Sebagai contoh, ada yang disebut bahawa Allah ‎ﷻ pernah mengutus kepada bangsa jin seorang Rasul dalam kalangan mereka yang bernama “يوسف”. Namun, pandangan ini dinilai oleh ulama lain sebagai khilaf tidak muktabar, kerana ia bertentangan dengan zahir ayat dan dengan Ayat 109 dan pandangan majoriti.

Walaupun tidak ada Nabi daripada jin, jin tetap menerima risalah melalui para Rasul manusia, khususnya Nabi Muhammad ﷺ. Banyak tafsir menjelaskan bahawa jin mendengar Al‑Qur’an, lalu kembali kepada kaum mereka sebagai نذر (pemberi peringatan), bukan sebagai rasul yang diutus oleh Allah ‎ﷻ. Menurut sumber-sumber yang ada, bangsa jin pada zaman sekarang belajar agama melalui manusia, khususnya para ulama, para dai, dan orang beriman yang menyampaikan ajaran Islam. Jin yang beriman akan datang mendengar bacaan, majlis ilmu, zikir, atau dakwah manusia, lalu menyampaikan kepada kaum mereka.

 

نوحيٓ إِلَيهِم مِّن أَهلِ القُرىٰ

yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri-negeri.

Bukan sahaja dihantar manusia kepada manusia, Allah ‎ﷻ akan hantar  Rasul kepada أَهلِ القُرىٰ (penduduk tempat itu). Maksudnya, tidaklah Allah ‎ﷻ menghantar Rasul melainkan dari tempat itu juga, kerana Rasul itu akan menggunakan bahasa masyarakat itu. Takkan hantar Rasul dari tempat lain kerana susah pula untuk berkomunikasi nanti.

Kedua, mesti orang dari kawasan itu kerana mereka yang faham dengan situasi itu. Kalau setakat hendakkan sama bahasa, sebenarnya boleh sahaja orang luar belajar bahasa penduduk itu, bukan? Namun, untuk menjadi Rasul yang efektif, kenalah berasal dari kawasan itu juga supaya Rasul itu sudah tahu apakah budaya mereka, sejarah mereka, dan apa yang mereka lalui di tempat itu. Ini supaya tidak ada sebab untuk penduduk di situ menolak Rasul itu atas alasan bahawa Rasul adalah orang luar. Supaya jangan penduduk negeri itu berhujah: “Kau mana tahu keadaan kami di sini dan masalah kami…”

Oleh kerana itu, kita boleh perhatikan fenomena linguistik dan fenomena sosiologi yang berlaku di sini. Allah ﷻ memberitahu kita di tempat lain iaitu di dalam Ibrahim:4

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ
“Kami tidak mengutus mana-mana rasul melainkan dengan bahasa kaumnya”

Namun begitu, kita telah sebutkan tadi bahawa sekadar bertutur bahasa seseorang tidak mencukupi. Seorang warga asing boleh mempelajari bahasa penduduk tempatan. Akan tetapi, untuk benar-benar berhubung dengan manusia, kita memerlukan lebih daripada sekadar kosa kata dan tatabahasa. Kita perlu memahami budaya mereka, sejarah mereka, pemikiran mereka, perjuangan mereka, dan konteks mereka. Itulah sebabnya para Rasul sentiasa dari dalam komuniti tersebut. Mereka memahami dari mana orang ramai itu berasal. Mereka bukan orang luar yang memaksakan konsep asing. Orang ramai tidak boleh mengetepikan mereka dengan berkata: “Siapakah ini yang membawa idea asing? Dia tidak memahami masyarakat kita. Dia tidak mempunyai penghargaan terhadap budaya kita. Dia menganggap agama asingnya lebih baik daripada tradisi kita.”

Rasul tersebut tentunya mengenali masyarakat mereka secara mendalam kerana dia adalah salah seorang daripada mereka. Inilah perbezaan antara bertutur bahasa seseorang dengan bertutur bahasa harian (lingo) mereka. Kita boleh sahaja mempelajari sesuatu bahasa di mana-mana, tetapi untuk mengetahui lingo, iaitu simpulan bahasa, rujukan budaya, dan anggapan yang tidak diucapkan, kita mestilah berasal dalam kalangan orang itu sendiri.

Frasa مِن أَهلِ القُرىٰ (dalam kalangan penduduk bandar) menghubungkan kembali kepada keseluruhan naratif kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Surah ini. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang warga asing (datang dari Kan’an) yang kemudiannya menjadi warga Mesir, seorang yang akhirnya dilihat oleh orang ramai sebagai salah seorang daripada mereka, malah lebih setia kepada negara mereka berbanding penduduk asal. Ini kerana baginda sampai menjadi menteri di Mesir, bukan? Ini menunjukkan yang para Nabi, walaupun pada mulanya dianggap orang luar, akhirnya sebati dalam komuniti mereka. Mereka tetap dianggap sebagai penduduk negeri itu, dan maka itu layak memberi dakwah kepada penduduk di situ. 

Untuk perbincangan seterusnya, kita kena jelaskan apa maksud القُرىٰ. Yang dimaksudkan dengan istilah القُرىٰ di dalam ayat ini ialah kota, bukan daerah pedalaman atau kampung yang penduduknya sedikit. Memang suasana di kota tidak sama kalau dibandingkan dengan penduduk daerah pedalaman. Orang-orang yang tinggal di daerah yang ramai lebih mudah untuk diajak berkomunikasi daripada orang-orang yang tinggal di daerah pedalaman. Ini kerana mereka lebih memahami bahasa dan perbincangan yang lebih tinggi sedikit. Oleh kerana itu, mereka itu lebih kuat agamanya kalau dibandingkan dengan orang pedalaman. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menyebutkan dalam firman-Nya di dalam Tawbah:97

الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ
Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya.

Orang-orang Badwi itu maksudnya yang tinggal di pedalaman, padang pasir, yang hidup nomad berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat, tidak ada tempat tinggal yang tetap. Kalau kita perhatikan, Nabi-nabi yang besar dan utama memang diutus ke pusat-pusat tamadun manusia; sebagai contoh, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir (kuasa besar pada zamannya), Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula berpindah-pindah antara penempatan utama zaman itu, dan Nabi-nabi lain ke komuniti yang signifikan pada zaman mereka. Para ulama tafsir (seperti Imam Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ) menjelaskan mengapa Rasul dipilih daripada penduduk القُرىٰ (bandar/negeri) dan bukannya penduduk pedalaman (ahlul badiyah atau yang kita biasa guna – badwi):

    • Kematangan Akal: Penduduk bandar atau negeri yang menetap biasanya lebih matang, tenang, dan mempunyai santun budi pekerti. Mereka tidak gasar seperti penduduk pedalaman yang cakap main lepas sahaja.
    • Kefasihan Bahasa: Mereka memiliki lisan (bahasa) yang lebih jelas untuk menyampaikan bayan (penjelasan), selari dengan ayat Ibrahim:4 yang telah dikongsikan di atas. Kosa kata mereka banyak, jadi senang hendak bawa berbincang.
    • Penyebaran Ilmu: Bandar atau pekan adalah pusat pertemuan manusia, memudahkan dakwah tersebar ke kawasan lain.

Jadi apa maksud القُرىٰ? Mesir dirujuk secara eksplisit dalam Surah ini melalui kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan kadangkala disebut sebagai الْقَرْيَةَ (jamak: القُرىٰ) dan ada juga disebut ٱلمَدِينَةِ. Perhatikan di dalam Ayat 82, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut Mesir sebagai الْقَرْيَةَ, 

وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ الَّتِي كُنَّا فِيهَ
“Dan tanyalah (penduduk) negeri (al-Qaryah) tempat kami berada di situ,

Akan tetapi di dalam Ayat 30 Allah ‎ﷻ menggunakan istilah ٱلمَدِينَةِ pula,

وَقَالَ نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ
Dan wanita-wanita di kota berkata

Jadi untuk memahami maksud القُرىٰ, kita kena rujuk kepada Arab Klasik. Jangan kita rujuk kepada bahasa Arab moden sekarang kerana القُرىٰ yang mufradnya الْقَرْيَةَ digunakan untuk kampung sahaja sekarang (kita orang Melayu pun sebut kariah, bukan?). Tapi kenapa sekejap الْقَرْيَةَ dan sekejap ٱلمَدِينَةِ pula? Al-Qur’an menggunakan bahasa yang tepat, bukan? Jadi tidak sewenang-wenang Allah ‎ﷻ sekejap tukar begitu sahaja, jadi tentu ada penjelasannya, bukan? Kerana itu kalau Allah ‎ﷻ hendak sebut betul-betul kampung, istilah badiyah yang digunakan seperti disebut di dalam Yusuf:100

وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ مِنۢ ٱلبَدوِ
dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir

Secara etimologi (bahasa), قَرْيَةَ berasal daripada kata dasar ق ر ي yang antaranya bermaksud mengumpul. Maka, apa sahaja tempat yang menjadi pusat pengumpulan manusia, sama ada ia kecil atau sebuah kota raya yang besar, boleh dipanggil sebagai قَرْيَةَ. Jadi ia bukan terhad kepada kampung sahaja.

Ulama’ ada menjelaskan perbezaan الْقَرْيَةَ dan ٱلمَدِينَةِ dari sudut pandang:

    1. Al-Madinah: Merujuk kepada aspek fizikal dan geografi (bangunan, keluasan, kemajuan, pusat pentadbiran).
    2. Al-Qaryah: Merujuk kepada aspek sosial dan penduduk (komuniti manusia yang tinggal di dalamnya). Itulah sebabnya dalam Yusuf: 82, mereka kata “Tanyalah qaryah itu”, kerana yang boleh ditanya adalah penduduknya, bukan bangunan fizikalnya.

Jadi, apabila Al-Qur’an merujuk kepada tempat fizikal, digunakan istilah ٱلمَدِينَةِ; apabila merujuk kepada penduduk tempat itu, digunakan istilah الْقَرْيَةَ. Ia merujuk kepada penduduk yang mempunyai kesamaan di dalam bentuk agama, kesukaan, kenegaraan. Kerana itu apabila Al-Qur’an menyebut azab yang dikenakan, istilah القُرىٰ yang digunakan, kerana tempat itu tidak bersalah; penduduk yang tinggal di situ yang bersalah. Mereka bersatu dalam  kesesatan, jadi memang patut dihancurkan semua sekali tanpa tinggal kesan. Oleh kerana itu ada contoh di mana Allah ‎ﷻ sebut yang dimusnahkan adalah manusianya, akan tetapi tempat itu dibiarkan begitu sahaja dan orang lain boleh melihat kesan peninggalannya; ini seperti di dalam A’raf:92 tentang kaum Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu.

Maknanya tempat tinggal mereka itu masih tetap berdiri lagi, cuma tidak nampak kesan mereka pernah didiami. Contoh lain adalah Mesir sendiri pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ keluarkan Fir’aun dan seluruh pengikutnya dan membenamkan mereka di dalam laut. Mesir kemudian didiami dan digunakan oleh orang lain. 

Lagi pun, kita pun tahu yang Mesir bukan tempat yang biasa. Jadi tidaklah patut kalau kita kata ia ‘kampung’ sahaja. Piramid Mesir telah wujud selama kira-kira 1,000 tahun sebelum zaman Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengikut anggaran sejarah. Sampai sekarang, pakar sejarah masih lagi mengkaji sejarah Mesir dan mereka masih lagi kebingungan tentang banyak perkara. Oleh itu, struktur besar ini pastinya terkenal di seluruh dunia purba, mewakili kemuncak pencapaian seni bina manusia. Kaum Quraisy pasti menyedari tentang tamadun Mesir dan negara-negara lain yang telah musnah seperti Aad dan Thamud, yang runtuhannya kekal kelihatan di landskap bumi Arab. Perintah untuk mengembara dan memerhati runtuhan menghubungkan ayat ini kepada konteks masyarakat Arab ketika itu di mana sisa-sisa kaum Thamud dan kaum lain yang musnah boleh dilihat di sepanjang laluan perdagangan. Kaum Quraisy adalah pedagang yang sering melalui laluan ini dan pasti melewati tapak-tapak purba tersebut. Runtuhan tersebut berfungsi sebagai bukti fizikal tentang kekuasaan Allah ‎ﷻ untuk memusnahkan tamadun yang gagah.

Begitulah para Rasul dihantar ke bandar-bandar. Seperti yang kita telah lihat, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dihantar ke Mesir, Nabi Muhammad ﷺ dihantar ke Mekah. Namun  begitu, bagaimana pula dengan Nabi seperti Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dihantar ke Kan’an, tempat yang bukan bandar, tetapi pekan kecil sahaja? Di sini kita kena bincangkan perbezaan antara Nabi dan Rasul.

Perbezaan antara Nabi dan Rasul adalah salah satu topik asas dalam ilmu Tauhid. Walaupun kedua-duanya adalah insan pilihan yang menerima wahyu, terdapat perbezaan khusus dari segi skop tugas dan syariat yang dibawa. Berikut adalah perbezaan utamanya:

1. Definisi dan Syariat

Nabi: Seorang lelaki pilihan yang menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ untuk dirinya sendiri atau untuk meneruskan syariat Rasul sebelumnya. Dia tidak membawa kitab suci atau syariat baru.

Rasul: Seorang lelaki pilihan yang menerima wahyu dengan syariat baru dan diperintahkan untuk menyampaikannya kepada umatnya (terutamanya umat yang menentang atau belum mengenal kebenaran).

2. Skop Tugasan (Tabligh)

Nabi: Diutus kepada kaum yang sudah beriman untuk menguatkan syariat yang sedia ada. Contohnya, para Nabi Bani Israil yang diutus selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjalankan hukum Taurat.

Rasul: Diutus kepada kaum yang ingkar, kafir, atau sesat untuk membawa ajaran baru atau melakukan perubahan besar dalam syariat.

Dalam ilmu akidah, terdapat satu kaedah: “Setiap Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi itu adalah Rasul.” Jika kita lihat semula Ayat 109 ini, yang digunakan adalah kalimah أَرسَلنَا (Kami utus), yang biasanya merujuk kepada Rasul. Jadi ini menjawab persoalan kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dihantar ke Mesir manakala Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dihantar ke Kan’an. Kedudukan mereka tidak sama.

Di sini kita nampak hikmah mengapa Rasul dipilih daripada penduduk Al-Qura (bandar/negeri):

  • Kerana Rasul tugasnya berat — iaitu berhadapan dengan kaum yang menentang.
  • Pusat tamadun (bandar) adalah tempat berhimpunnya golongan cendekiawan dan penentang yang hebat, maka Rasul memerlukan Lisan Qaum (bahasa) yang sangat kuat dan Hikmah yang tinggi untuk mematahkan hujah mereka. Berdebat dengan orang bandar yang berpendidikan tidak sama dengan berdebat dengan orang kampung, bukan? Orang bandar sudah terbuka kepada dunia luar dan mungkin telah mengetahui tentang prinsip agama-agama yang ada di dunia. Jadi, para Rasul perlu mempunyai kekuatan yang lebih dan kerana itulah Allah ‎ﷻ memberikan mereka mukjizat yang hebat.

Terdapat ironi sejarah yang ketara dalam tindakan Allah ‎ﷻ mengutus pesuruh terakhir-Nya ﷺ ke Mekah, yang bukan merupakan kuasa besar dunia seperti Rom, Parsi, Mesir, China atau India pada masa itu. Ia agak terpencil di padang pasir Arab, namun dari tempat yang “tidak penting” ini, Islam tersebar menjadi pusat intelektual dan budaya bagi sebahagian besar dunia bertamadun dalam masa satu generasi. Pemikiran hebat daripada tamadun purba Parsi, Rom, India dan Afrika menjadi ulama Islam yang mempelajari Al-Qur’an yang datang dari “tempat tanpa nama” ini.

Akan tetapi Mekah itu sememangnya merupakan sebuah pekan/bandar bagi masyarakat Arab ketika itu. Oleh sebab itulah dakwah Sunnah hendaklah diterapkan di kawasan pekan terlebih dahulu. Apabila orang pekan/bandar sudah terima, maka, ia senang diterima di kawasan pedalaman kerana selalunya orang pedalaman mengikut perkara yang berlaku di pekan/bandar. Sebagai contoh, sudah menjadi kebiasaannya fesyen bermula di pekan dan kemudian orang pedalaman akan mengikut sahaja. Ini kerana orang di pedalaman selalunya akan ikut orang yang datang dari bandar/pekan.

Para Rasul itu ya memang manusia, namun mereka bukanlah manusia biasa. Yang membezakan mereka dengan manusia lain adalah kerana mereka telah diberikan dengan wahyu daripada Allah ‎ﷻ yang membimbing mereka. Dan dengan wahyu itulah mereka dikehendaki menyampaikannya kepada umat manusia. Manusia memerlukan petunjuk daripada Allah ‎ﷻ dan ia datang dalam bentuk wahyu yang disampaikan melalui para Rasul.

Struktur ayat ini meletakkan نوحيٓ إِلَيهِم (Kami wahyukan kepada mereka) di tengah-tengah antara رِجالً (lelaki) dan مِن أَهلِ القُرىٰ (daripada penduduk bandar). Kedudukan ini adalah sengaja — ia adalah satu-satunya perkara yang membezakan Nabi daripada orang biasa, namun mereka tetap terhubung dengan orang ramai di kedua-dua sisi wahyu tersebut.

Manusia – رِجالً

Wahyu – نوحيٓ إِلَيهِم

Kembali kepada manusia – مِن أَهلِ القُرىٰ

Para Nabi kekal sebagai manusia sepenuhnya dan terhubung sepenuhnya dengan komuniti mereka, tetapi wahyu mengubah pandangan (basirah) mereka. Mereka mahukan yang terbaik untuk kaum mereka, tetapi apa yang mereka fahami sebagai “yang terbaik” kini dipandu oleh bimbingan ilahi dan bukannya melihat kepada keperluan sosial semata-mata. Ia mengajar kita bahawa kalau kita mahukan kebaikan untuk masyarakat kita, kita hendaklah berpandukan kepada wahyu Allah ‎ﷻ. 

 

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf ayat 109:

Sunnatullah dalam Melantik Rasul: Allah ‎ﷻ menetapkan bahawa semua Rasul sepanjang sejarah adalah daripada kalangan manusia (lelaki) dan bukannya malaikat. Ini bertujuan supaya mereka boleh menjadi contoh teladan yang praktikal bagi manusia lain.

Hikmah Pemilihan Lelaki (Rijal): Rasul dipilih dalam kalangan lelaki kerana tugas dakwah yang berat memerlukan ketabahan fizikal, mental, serta kepimpinan untuk berhadapan dengan penentangan dan mengetuai masyarakat.

Kepentingan Konteks Tempatan: Rasul diutus dalam kalangan penduduk bandar atau negeri (Ahl al-Qura) supaya mereka faham akan bahasa, budaya, sejarah, dan pemikiran masyarakat setempat. Ini memudahkan komunikasi dan mengelakkan dakwah ditolak atas alasan membawa “idea asing”.

Pusat Tamadun sebagai Hub Dakwah: Allah ‎ﷻ memilih pusat-pusat tamadun (bandar) sebagai tempat pengutusan Rasul kerana penduduknya biasanya lebih matang akal, fasih berbahasa, dan bandar merupakan pusat pertemuan manusia yang memudahkan penyebaran ilmu ke kawasan lain.

Wahyu sebagai Pembeza Utama: Perkara tunggal yang membezakan seorang Nabi dengan manusia biasa adalah wahyu yang diterimanya. Walaupun mereka manusia sepenuhnya, pandangan hidup mereka dibimbing oleh petunjuk ilahi, bukan sekadar keperluan sosial semata-mata.

Ibrah daripada Sejarah: Manusia diperintahkan untuk mengembara dan memerhatikan kesudahan tamadun terdahulu yang mendustakan Rasul. Runtuhan fizikal (seperti di Mesir) menjadi bukti kekuasaan Allah ‎ﷻ memusnahkan bangsa yang gagah namun ingkar.

Keutamaan Negeri Akhirat: Ayat ini menegaskan bahawa negeri akhirat adalah jauh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa berbanding kenikmatan dunia yang bersifat sementara.

Tuntutan Menggunakan Akal: Allah ‎ﷻ menutup ayat ini dengan persoalan retorik agar manusia menggunakan akal fikiran untuk merenung kebenaran wahyu dan pengajaran sejarah demi kebaikan diri mereka sendiri.

Kuiz Kefahaman: Soalan Jawapan Pendek

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Mengapakah Allah ‎ﷻ mengutuskan para Rasul dalam kalangan manusia dan bukannya malaikat?

2. Jelaskan perbezaan antara istilah “Zukur” dan “Rijal” dalam konteks ayat ini.

3. Kenapakah para Rasul dipilih daripada kalangan “Ahl al-Qura” (penduduk bandar/pekan)?

4. Apakah perbezaan penggunaan istilah “Al-Qaryah” dan “Al-Madinah” menurut sudut pandang ulama tafsir?

5. Mengapakah seorang Rasul perlu berasal daripada kaum yang sama dengan penduduk tempatan?

6. Bagaimanakah kedudukan golongan jin dalam menerima risalah dakwah menurut teks tersebut?

7. Apakah dua hikmah utama di sebalik pelantikan lelaki sebagai Rasul menurut jumhur ulama?

8. Bagaimanakah Al-Quran menggambarkan sifat orang Arab Badwi (penduduk pedalaman) berbanding penduduk bandar?

9. Terangkan perbezaan asas antara seorang Nabi dan seorang Rasul.

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada struktur ayat yang meletakkan “Wahyu” di antara “Manusia” dan “Penduduk Bandar”?

Glosari Istilah Utama

Ahl al-Qura: Merujuk kepada penduduk bandar atau pekan yang menetap; pusat tamadun manusia.

Badiyah / A’rab: Penduduk pedalaman atau dusun di padang pasir (Arab Badwi) yang hidup nomad.

Basirah: Pandangan mata hati atau kefahaman mendalam yang dipandu oleh bimbingan ilahi.

Bayan: Penjelasan atau keterangan yang jelas dan fasih.

Lisan Qaum: Bahasa kaum; merujuk kepada bahasa dan dialek tempatan yang digunakan oleh para Rasul untuk berkomunikasi.

Nabi: Lelaki pilihan yang menerima wahyu daripada Allah, namun biasanya mengukuhkan syariat yang sedia ada.

Nuzur: Pemberi peringatan; merujuk kepada peranan jin yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum mereka.

Qiwamah: Kepimpinan, perlindungan, dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu lelaki.

Rasul: Utusan Allah yang membawa syariat baru atau kitab suci kepada kaum yang ingkar atau sesat.

Rijal: Istilah bagi lelaki yang menekankan kualiti sifat seperti ketabahan, keberanian, dan kewibawaan.

Sunnatullah: Ketentuan atau jalan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sepanjang sejarah manusia.

Wahyu: Kalam Allah atau bimbingan ilahi yang disampaikan kepada para Nabi dan Rasul.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)