Anfal Ayat 4: Ayat Tabshir (berita gembira). Disebutkan balasan yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar beriman.
أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those are the believers, truly. For them are degrees [of high position] with their Lord and forgiveness and noble provision.
(MALAY)
Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.
أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا
Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.
Mereka yang ada lima sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini, barulah termasuk sebagai golongan mukmin sebenar. Dalaman dan luaran mereka menunjukkan mereka itu benar-benar beriman. Jika setakat kata diri seorang mukmin, tetapi sifat-sifat itu tidak ada, jangan bermimpilah.
Allah ﷻ menekankan kepentingan sifat-sifat itu dengan penggunaan lafaz حَقًّا (benar-benar) dalam ayat ini. Merekalah itu sebenar-benar orang beriman, Allah ﷻ memberi cap itu kepada mereka – alangkah indahnya kalau kita pun termasuk dalam golongan ini juga.
Namun kita pun tidak akan dapat tahu yang kita ini beriman sepenuhnya atau tidak. Dalam kitab al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Imam Abu Hayyan al-Tauhidi mencatat sebuah kisah tentang Imam Hasan al-Bashri رحمه الله yang ditanyakan keimanannya oleh seseorang. Berikut kisahnya:
سأل رجل الحسنَ البصري: أمؤمن أنت؟ فقال: إن كنت تريد قول الله عزّ وجلّ: آمَنَّا بِاللهِ وَمَا أُنزِلَ إِليْنَا (البقرة: ١٣٦)، فنعم، به نتناكح ونتوارث ونحقن الدماء. وإن كنتَ تريد قول الله تعالي: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبُهُمْ (الأنفال: ٢)، فنسأل اللهَ أن نكون منهم
Seseorang bertanya kepada (Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله: “Apakah kau orang yang beriman?”
(Imam) Hasan al-Bashri رحمه الله menjawab: “Jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ‘azza wa jalla (QS. Al-Baqarah: 136): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami,” maka (jawabannya adalah) iya. (Kerana) dengan (apa yang diturunkan-Nya itulah) kita menikah, mewariskan dan melindungi (tumpahnya) darah. (Namun), jika yang kau maksud (dengan beriman adalah) firman Allah ta’ala (QS. Al-Anfal: 2): “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka,” maka kita (perlu) memohon kepada Allah agar kita (bisa) termasuk (dalam golongan) itu.” (Imam Abu Hayyan al-Tauhidi, al-Bashâ’ir wa al-Dzakhâ’ir, Beirut: Dar Shadir, 1988, juz 1, h. 62)
Oleh itu kita kenalah berdoa dan berharap dan berusaha bersungguh-sungguh. Jangan perasan yang kita sudah beriman sebenar.
لَّهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم
Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya
Di akhirat kelak, mereka akan mendapat banyak darjat di sisi Tuhan. Ahli syurga itu sebahagiannya mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada sebahagian yang lain, maka orang yang berada di atas kedudukan yang tinggi dapat melihat orang yang kedudukannya berada di bawahnya.
Akan tetapi, orang yang berada di tingkatan bawah tidak berpandangan pun ada yang lebih utama daripada dirinya. Kerana itulah di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“إِنَّ أَهْلَ علِّيين لَيَرَاهُمْ مَنْ أَسْفَلُ مِنْهُمْ كَمَا تَرَوْنَ الْكَوْكَبَ الْغَابِرَ فِي أُفُقٍ مِنْ آفَاقِ السَّمَاءِ”، قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، تِلْكَ مَنَازِلُ الْأَنْبِيَاءِ، لَا يَنَالُهَا غَيْرُهُمْ؟ فَقَالَ: “بَلَى، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ رِجَالٌ آمَنُوا بِاللَّهِ وَصَدَّقُوا الْمُرْسَلِينَ”
Sesungguhnya ahli ‘Illiyyin (syurga yang paling tinggi) benar-benar dapat dilihat oleh orang-orang yang ada di bawah mereka, sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang jauh berada di ufuk langit yang sangat luas. Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, syurga ‘Illiyyin itu tentu kedudukan para nabi, dan tidak dapat diraih oleh selain mereka.” Rasulullah ﷺ menjawab: Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, bahkan (termasuk pula) orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.
Kenapa disebut beberapa darjat? Seperti juga orang kita di dunia ini, kadang-kadang ada yang dapat banyak pingat kepujian dari negara dan daripada sultan. Begitulah juga di akhirat nanti, ada orang mukmin yang mendapat darjat seorang penderma, seorang yang suka membaca Al-Qur’an, darjat suka berpuasa dan sebagainya.
وَمَغفِرَةٌ
dan ampunan
Mereka akan mendapat keampunan. Orang yang beriman, tidak semestinya dia tidak ada dosa. Setiap manusia akan berdosa. Cuma dosa mereka itu adalah dosa-dosa kecil sahaja dan Allah ﷻ akan mengampunkan segala dosa mereka itu sampai tidak perlu dimasukkan ke dalam neraka. Inilah harapan kita.
وَرِزقٌ كَريمٌ
serta rezeki (nikmat) yang mulia.
Mereka akan mendapat rezeki dari sisi Tuhan mereka. Di dunia pun kita memang ada mendapat rezeki juga, tetapi di akhirat nanti, mereka yang memasuki syurga akan mendapat rezeki yang كَريمٌ (yang mulia). Ada yang menafsirkan rizqun kareem itu sebagai syurga.
Ini adalah tahap rezeki yang tertinggi. Tentunya tidak sama dengan rezeki yang diberikan semasa di dunia. Segala nikmat rezeki yang di dunia ini adalah seperti sampel sahaja untuk nikmat yang lebih hebat di akhirat kelak. Bezanya seperti handphone sebenar dengan handphone plastik sampel di kedai handphone itu sahaja.
Oleh itu, ada tiga perkara yang dijanjikan kepada mukmin sejati. Lihat kembali di mana tiga jenis perkara yang disyaratkan kepada mereka iaitu: tentang hati, tentang perbuatan fizikal dan tentang harta. Ketiga perkara ini dibalas dengan tiga balasan:
Bab hati dibalas dengan kedudukan tinggi di sisi Allah ﷻ
Bab amalan fizikal dibalas dengan keampunan
Bab harta dibalas dengan balasan rezeki yang mulia
Anfal Ayat 5: Ini adalah sebab pertama kenapa Allah ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Bermula daripada ayat ini kita akan belajar sejarah tentang Perang Badr seperti yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Mungkin kita sudah tahu serba sedikit tentang Perang Badr ini, tetapi mari kita lihat apa yang Allah ﷻ hendak kita tahu daripada firman-Nya sendiri.
كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[It¹ is] just as when your Lord brought you out of your home [for the battle of Badr] in truth, while indeed, a party among the believers were unwilling,
- Referring to a dispute which occurred among the Muslims over distribution of war booty.
(MALAY)
Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan haq, padahal sesungguhnya sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,
كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ
Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkan kamu dari rumahmu dengan kebenaran,
Kalimah كما adalah kalimah yang digunakan untuk membandingkan sesuatu dengan sesuatu. Namun apakah yang Allah ﷻ hendak bandingkan di sini? Ulama’ tafsir berbeza pendapat sampaikan ada berbelas pendapat. Kita sebutkan beberapa sahaja di sini:
1. Sebagaimana mereka tidak ada hak untuk menentukan keputusan untuk berperang atau tidak, maka mereka tidak ada hak untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu. Allah ﷻ yang menentukan kedua-duanya. Allah ﷻ yang telah menyebabkan mereka berperang pada mulanya.
2. Di peringkat awal, ada yang tidak bersetuju dengan perang itu tetapi setelah diperintah oleh Allah ﷻ untuk mereka berperang, mereka nampak pentingnya perang itu setelah kejayaan dicapai. Maka begitu jugalah dengan pembahagian harta rampasan itu. Pada peringkat awal, ramai yang tidak berpuas hati. Walau bagaimanapun kemudiannya apabila keputusan itu ditentukan oleh Allah ﷻ, mereka semuanya akan taat dan berpuas hati.
3. Pendapat ini merujuk kepada ayat 4 sebelum ini yang menjanjikan balasan kepada Mukmin yang sebenar. Ia adalah sesuatu yang tidak nampak lagi, bukan? Akan tetapi percayalah kepada janji Allah ﷻ. Sebagaimana Dia telah menjanjikan kejayaan di Badr dan telah menjadikan ia realiti, maka begitu jugalah dengan janji-Nya untuk memberi balasan kepada mereka.
Daripada ayat ini, seolah-olah Allah ﷻ memberitahu kita yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ keluar dengan kehendaknya sendiri, tetapi ia atas arahan daripada Allah ﷻ. Ini adalah sesuatu yang hebat kerana menunjukkan yang memang Nabi Muhammad ﷺ taat sepenuhnya kepada arahan daripada Allah ﷻ.
Sebenarnya Tuhanlah yang telah memaksa umat Islam itu keluar dari rumah mereka untuk berperang di Badr, dengan tujuan untuk menzahirkan kebenaran. Itulah maksud بِالحَقِّ. Maka Allah ﷻ yang memaksa mereka keluar sebenarnya. Ini adalah kerana, Nabi Muhammad ﷺ asalnya hendak keluar dengan tujuan untuk menyekat kafilah perniagaan Abu Sufyan sahaja, tetapi yang boleh jadi berperang itu kerana Allah ﷻ yang tentukan. Oleh itu, berperang itu bukan kehendak asal Nabi ﷺ dan umat Islam. Oleh kerana Allah ﷻ yang rancangkan, maka Allah ﷻlah yang layak untuk bahagikan harta.
Mereka yang mendapat harta rampasan perang itu, amat sayang dan berkeinginan kepada harta itu. Ini adalah kerana susah untuk mereka mendapatkannya. Bukannya mereka dapat daripada berniaga dan sebagainya, tetapi mereka bertaruh nyawa. Maka kalau tidak kena cara pembahagian itu, tentu akan ada yang marah.
Sebab itu Allah ﷻ kata Dia yang akan bahagikan sendiri. Kalau kamu yang buat keputusan untuk bahagikan sendiri, nanti mereka pula yang akan berperang sesama sendiri kerana akan ada yang tidak puas hati, bukan? Kalau ikut logik, tentulah kita boleh bahagikan sendiri, tetapi Allah ﷻ tahu yang perkara ini adalah perkara sensitif, maka Allah ﷻ tidak membiarkan pada keputusan manusia.
Allah ﷻ menggunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini. Mengingatkan kita kepada sifat tarbiyah (salah satu maksud rabb) Allah ﷻ yang hendak mengajar umat Islam dan membina jati diri mereka.
وَإِنَّ فَريقًا مِّنَ المُؤمِنينَ لَكٰرِهونَ
padahal sesungguhnya sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu tidak menyukainya,
Semasa umat Islam diberitahu yang mereka disuruh berperang dengan tentera Musyrikin Mekah yang dipimpin oleh Abu Jahal, ada segolongan dalam kalangan umat Islam yang sangat-sangat tidak suka dengan keputusan itu. Mereka itu orang mukmin (lihat Allah ﷻ masih iktiraf mereka mukminin), tetapi mereka rasa yang itu bukanlah keputusan yang baik.
Maka, keputusan untuk keluar itu bukanlah atas kehendak semua umat Islam asalnya. Memang ramai yang tidak suka berperang dan Allah ﷻ telah sebutkan pun di dalam firman-Nya yang lain:
{كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ}
Diwajibkan atas kalian berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kalian benci. Boleh jadi kalian membenci sesuatu padahal ia amat baik bagi kalian; dan boleh jadi kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian; Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.
Allah ﷻ sudah berikan isyarat dalam Surah Baqarah itu yang mereka ada yang tidak suka berperang, tetapi sebenarnya peperangan itu baik bagi mereka. Sama jugalah dengan berperang dengan Musyrikin Mekah itu – mereka sangka ikut logik, ia adalah sesuatu yang tidak bagus, tetapi Allah ﷻ lebih tahu.
Maka, ketika hendak keluar itu, mereka tidak sepakat tetapi Allah ﷻ yang suruh juga mereka keluar. Akhirnya mereka telah keluar dan telah memenangi perang itu serta dapat mengumpul harta rampasan. Namun Allah ﷻ mengingatkan semula, mereka keluar itu adalah atas keputusan Allah ﷻ. Oleh itu, sepatutnya serahlah kepada Allah ﷻ sahaja untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu.
Namun begitu kenapa mereka berat hati hendak keluar berperang? Seolah-olah para sahabat itu ada masalah pula. Maka kita kena ketahui keadaan pada masa itu. Antara sebab-sebab yang kita boleh sebutkan setakat yang kita tahu:
1. Waktu itu adalah bulan Ramadhan. Tentunya mereka dalam kepenatan.
2. Rancangan perang tidak dilakukan dari awal. Ia adalah rancangan secara tiba-tiba menyebabkan para sahabat tidak bersedia.
3. Rasulullah ﷺ pun tidaklah mengatakan jihad di Badr ini wajib. Ia terpulang kepada sesiapa yang hendak dan sanggup menyertainya.
4. Rasulullah ﷺ mengatakan sesiapa yang ada kenderaan, boleh sertai jihad itu. Ramai daripada mereka yang tidak ada kenderaan. Ada yang kenderaan yang mereka boleh gunakan kena dapatkan dari kampung sebelah. Mereka meminta izin waktu untuk mendapatkannya. Akan tetapi tidak ada waktu untuk melakukan perkara itu. Maka ramai yang tidak dapat sertai kerana tidak ada kenderaan. Mereka hanya ada 70 unta dan terpaksa berkongsi unta. 3 orang berkongsi satu unta bergilir-gilir termasuklah Rasulullah ﷺ. Sahabat yang berkongsi dengan baginda segan dan suruh sahaja baginda duduk terus atas unta, tetapi baginda tidak mahu.
5. Rancangan asal adalah untuk menangkap kafilah perniagaan sahaja, bukannya batalion tentera.
6. Sikap normal manusia biasa yang takutkan kematian.
Oleh itu, sikap sesetengah para sahabat (bukan semua) yang keberatan untuk keluar berperang itu sebenarnya “valid” sahaja. Kalau kita dalam keadaan mereka pun tentu sudah lari entah ke mana. Akhirnya mereka tetap ikut juga berperang bersama Rasulullah ﷺ walaupun asalnya mereka keberatan.
Anfal Ayat 6:
يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ وَهُم يَنظُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Arguing with you concerning the truth after it had become clear, as if they were being driven toward death while they were looking on.
(MALAY)
mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata (bahawa mereka pasti menang), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebab kematian itu).
يُجٰدِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ
mereka membantahmu tentang kebenaran sesudah nyata
Mereka yang tidak suka keluar berperang untuk melawan dengan tentera Musyrikin Mekah itu telah membantah pada mulanya. Inilah ujian Rasulullah ﷺ di mana telah dibantah oleh umatnya sendiri. Bagi orang beriman apabila telah jelas tentang kebenaran, mereka tidak sepatutnya membantah. Maka Allah ﷻ menegur umat Islam ketika itu.
Keputusan untuk berperang itu dilakukan setelah mereka keluar ke Badr dengan tujuan untuk menyekat rombongan perniagaan Abu Sufyan. Apabila keputusan untuk berperang itu dikeluarkan, mereka ingin pulang ke Madinah apabila diberitahu yang rombongan Abu Sufyan sudah tiada.
Mereka itu tidaklah membantah seperti faham biasa kita, tetapi mereka sebenarnya memberi cadangan. Ia terjadi dalam bentuk mesyuarat. Memang Nabi ﷺ akan bertanyakan pendapat para sahabat dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka. Di situ ada antara umat Islam yang tidak mahu ada peperangan.
Kita kena faham, ada perbezaan antara puak Muhajirun dan Ansar. Puak Muhajirun telah melalui masa-masa yang keras di Mekah dan mereka telah diuji dengan berbagai-bagai dugaan yang besar setelah mereka beriman dengan Nabi ﷺ. Akan tetapi puak Ansar adalah mereka yang baru masuk Islam. Maka Nabi ﷺ kena dapatkan persetujuan daripada mereka. Walaupun ada yang sudah setuju, tetapi ada juga yang tidak suka berperang.
Namun begitu, Allah ﷻ mengingatkan semula yang mereka berhujah itu setelah nyata ada keputusan daripada Allah ﷻ yang akan ada peperangan dan mereka pasti akan menang. Maknanya telah jelas yang peperangan akan terjadi kerana keputusan itu bukanlah daripada Nabi ﷺ sendiri tetapi daripada Allah ﷻ sendiri. Mereka pun tahu, tetapi ada juga yang berhujah lagi.
Sebenarnya kelakuan mereka ini normal sahaja bagi manusia tetapi oleh kerana mereka itu statusnya adalah sahabat kepada Rasulullah ﷺ, maka kriteria yang dikenakan kepada mereka lebih tinggi daripada manusia biasa. Maka nampak tidak molek pula apabila mereka membantah Rasulullah ﷺ dalam hal ini.
كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ
seolah-olah mereka dihalau kepada kematian,
Kenapa mereka tidak setuju? Kerana mereka rasa seolah-olah Allah ﷻ suruh mereka mati. Mereka berasa bagaikan berserah diri untuk mati sahaja kerana hati mereka tidak bersedia. Ini sebenarnya perkara biasa sahaja kerana memang sifat manusia takut mati.
Walau bagaimanapun Allah ﷻ yang mentaqdirkan mereka tetap juga keluar untuk berperang itu. Kalau ikut hati mereka, tidaklah jadi berperang dan tidaklah ada harta rampasan perang. Oleh kerana itu, mereka tidaklah patut hendak menentukan pembahagian itu kerana mereka sendiri pun tidak mahu berperang pada asalnya.
وَهُم يَنظُرونَ
sedang mereka melihat
Mereka berkata begitu kerana mereka sendiri sudah melihat tanda-tanda mati. Ini adalah kerana peperangan itu bagaikan melihat kematian yang berada di hadapan mata. Ini kerana mereka tahu yang tentera yang mereka akan hadapi itu adalah lebih besar dan lebih lengkap dari segi kelengkapan perang berbanding dengan mereka. Mereka sudah berasa tidak yakin akan memenangi peperangan itu dan akhirnya mereka rasakan pasti akan mati sahaja.
Begitulah juga yang telah dikatakan oleh sebahagian daripada tentera Jalut yang sedang menghadapi tentera Talut. Kisah itu telah disebut dalam Surah Baqarah ayat 249.
فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ
Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.
Surah itu telah dibacakan awal lagi kepada mereka kerana ia diturunkan sebelum dikeluarkan arahan perang. Allah ﷻ telah sebut kisah itu kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat kepada mereka yang mereka akan berperang. Allah ﷻ juga mengingatkan tentang pertolongan-Nya di dalam ayat itu:
قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.
Maka, tujuan Allah ﷻ keluarkan ayat ini adalah untuk mengingatkan mereka yang mereka dulu bukan semuanya mahu berperang pun. Allah ﷻ juga yang memaksa mereka berperang. Maka apabila sudah menang dan sudah mendapat harta rampasan perang, berilah keputusan pembahagian harta itu kepada Allahﷻ .
Anfal Ayat 7:
وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Remember, O believers], when Allāh promised you one of the two groups¹ – that it would be yours – and you wished that the unarmed one would be yours. But Allāh intended to establish the truth by His words and to eliminate the disbelievers
- i.e., either the caravan of Quraysh or their army.
(MALAY)
Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu, tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir,
وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم
Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu daripada dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu,
Allah ﷻ mengingatkan mereka yang berperang itu bukanlah atas strategi mereka dari awal untuk berperang, tetapi itu semua daripada perancangan Allah ﷻ. Yang mereka rancangkan asalnya adalah untuk menyekat rombongan perniagaan sahaja.
Allah ﷻ telah memberikan dua pilihan kepada mereka pada waktu itu. Mereka boleh menghadapi salah satu daripada dua kumpulan: rombongan perniagaan Abu Sufyan atau tentera Mekah. Ketika Allah ﷻ beri pilihan itu, Allah ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ yang pilihan mana pun yang mereka pilih, mereka akan menang.
Kenapa Allah ﷻ tidak terus sahaja arahkan menyerang antara salah satu daripada dua kumpulan musuh itu? Ia adalah sebagai ujian kepada umat Islam waktu itu. Untuk mereka pandai melihat kepada tujuan yang lebih besar, untuk menjadi berani dan apa-apa sahaja yang Allah ﷻ hendak latih mereka. Allah ﷻ lebih tahu kenapa Dia berikan ujian ini kepada mereka.
وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم
sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah yang untukmu,
Pada waktu itu ada antara mereka yang sangat ingin yang tidak ada kelengkapan peranglah yang menjadi milik mereka. Lafaz غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ bermaksud ‘yang tidak ada senjata’. Dari segi literal, ia bermaksud ‘tidak ada duri’.
Mereka berharap mereka akan mengejar kafilah perniagaan Abu Sufyan kerana itu adalah lebih senang kerana bilangan kafilah Abu Sufyan itu ada sekitar 40 orang sahaja, tanpa senjata lengkap. Maka senang sahaja untuk dikalahkan berbanding dengan tentera dari Mekah yang berjumlah lebih daripada seribu orang dengan kelengkapan perang. Tambahan pula kafilah itu sedang membawa harta yang banyak. Dikatakan yang pada waktu itu ada 50 ribu dinar bersama mereka. Ini adalah jumlah yang amat banyak. Semua penduduk Mekah ada bahagian dalam harta ini. Memang manusia tetap ingin kepada harta walaupun mereka itu beriman.
وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ
tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayat-Nya
Namun begitu, sebenarnya Allah ﷻ hendakkan yang lain daripada apa yang mereka mahu. Allah ﷻ mahu kebenaran dizahirkan. Maksud dengan kalimah-Nya adalah dengan perintah-Nya.
Maksud kedua bagi ‘kalimah’ adalah taqdir kauniah (ketentuan Allah ﷻ dalam hal yang berlaku dalam dunia). Sekiranya mereka pergi mengejar kafilah Abu Sufyan dan mereka berjaya pun, itu tidaklah menzahirkan apa-apa sangat kerana mereka ramai dan memang boleh mengalahkan rombongan perniagaan itu. Maka, peristiwa itu tidaklah menjadi sesuatu yang hebat sangat pun.
Namun Allah ﷻ hendak tunjukkan sesuatu yang lebih hebat daripada itu. Allah ﷻ hendak memenangkan mereka walaupun mereka berhadapan dengan tentera yang lebih ramai daripada mereka. Kalau mereka menang dengan tentera yang lebih besar, barulah akan terbukti kebenaran. Barulah orang lain akan membuka mata mereka.
Oleh itu, walaupun Allah ﷻ beri pilihan kepada mereka, Allah ﷻ sebenarnya hendak mereka berperang dengan tentera Mekah itu.
وَيَقطَعَ دابِرَ الكٰفِرينَ
dan memusnahkan orang-orang kafir,
Allah ﷻ mahu mereka berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu kerana Allah ﷻ mahu membinasakan keturunan orang yang menentang Islam. Sekiranya mereka mahukan harta, itu boleh dicari waktu lain, tetapi yang menentang mereka itu lebih penting untuk dihapuskan.
Ini kerana yang datang dalam kalangan tentera Mekah itu adalah ketua-ketua penjahat dan Allah ﷻ mahu mematikan mereka. Maksud asal دبر adalah hujung (seperti dubur adalah hujung tubuh kita). Maksudnya Allah ﷻ hendaklah menghapuskan semua ketua pemuka Musyrikin Mekah supaya tidak ada anak-anak kafir daripada keturunan mereka. Ini adalah kerana lafaz دابِرَ bermaksud belakang tubuh seseorang. Ia membawa maksud keturunan seseorang. Allah ﷻ memusnahkan pemuka penjahat itu sekali dengan keturunan mereka supaya Musyrikin Mekah menjadi lemah. Semua ini adalah perancangan Allah ﷻ.
Anfal Ayat 8:
لِيُحِقَّ الحَقَّ وَيُبطِلَ البٰطِلَ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That He should establish the truth and abolish falsehood, even if the criminals disliked it.
(MALAY)
agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.
لِيُحِقَّ الحَقَّ
agar Allah menetapkan yang hak
Allah ﷻ hendak menegakkan kebenaran dengan perang itu supaya kebenaran nampak jelas. Semua akan nampak walaupun tentera Islam itu sedikit, tetapi mereka dibantu oleh Allah ﷻ sehingga dapat mengalahkan tentera yang lebih besar dan lebih lengkap daripada mereka. Allah ﷻ mahu tunjukkan manakah pihak yang benar.
وَيُبطِلَ البٰطِلَ
dan membatalkan yang batil
Allah ﷻ hendak membasmikan kebathilan iaitu kesyirikan. Allah ﷻ hendak menunjukkan supaya semua manusia tahu yang mereka yang syirik itu adalah puak yang bathil, yang salah. Abu Jahal pun telah berdoa di Kaabah untuk Allah ﷻ berikan kemenangan kepada ‘pihak yang benar’, maka Allah ﷻ akan beri kemenangan kepada pihak yang benar, dan dengan itu Dia akan zahirkan siapakah yang bathil.
Kemudiannya golongan Musyrikin Mekah telah malu besar dan kedudukan mereka telah jatuh di mata penduduk sekitar. Mereka telah datang dengan lebih ramai tentera yang lebih berpengalaman, dengan kenderaan yang lebih banyak, kelengkapan perang yang hebat, akan tetapi tetap kalah. Selepas itu mereka menerima lagi kekalahan demi kekalahan.
Maka inilah dua tujuan perang itu. Bukannya kerana hendakkan harta rampasan perang. Allah ﷻ menegur mereka supaya jangan sibuk sangat dengan harta itu.
وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ
walaupun orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya.
Tentu sekali golongan kafir itu tidak suka dengan kekalahan itu. Akan tetapi keputusan Allah ﷻ tidak boleh disangkal lagi. Allah ﷻ telah memastikan akan zahirkan kebenaran dengan memberikan kemenangan kepada pihak yang benar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Sep 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Maariful Qur’an