Tafsir Surah Anfal Ayat 9 – 12 (Allah ‎ﷻ beri rasa mengantuk)

Anfal Ayat 9: Ini adalah sebab yang ketiga kenapa Allah ‎ﷻ yang sepatutnya menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Senario di sini adalah apabila sudah berhadapan dengan musuh.

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you asked help of your Lord, and He answered you, “Indeed, I will reinforce you with a thousand from the angels, following one another.”

(MALAY)

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

 

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم

Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan bersungguh-sungguh kepada Tuhanmu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, ketika mereka hampir berperang dengan tentera Musyrikin Mekah itu, mereka telah berdoa kepada Allah‎ ﷻ untuk memberikan kemenangan kepada pihak Islam. Sememangnya jika dilihat kepada hadith tentang kejadian ini, Rasulullah ﷺ sahaja yang berdoa. Akan tetapi para sahabat juga mengaminkan doa itu, maka kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk jamak.

Maknanya, kemenangan mereka itu pun sebenarnya kerana mereka meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dengan qudrat mereka sahaja, tentu mereka tidak mampu untuk berbuat apa-apa sahaja.

Lafaz تَستَغيثونَ datang daripada lafaz yang bermaksud meminta air hujan yang sesuai iaitu air hujan yang turun tepat pada masanya, dengan kadar hujan yang secukupnya kerana kalau hujan banyak sangat turun, boleh menyebabkan rosak pula tanaman dan musim tengkujuh pula, bukan? Daripada katadasar yang sama, kita dapat kalimah seperti istighasah.

Oleh itu, istighasah itu bermaksud meminta doa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi bantuan dengan kadar dan pada masa yang sesuai. Istighasah adalah pengharapan yang tinggi kepada kuasa yang lebih tinggi daripada kita. Perlulah diingatkan, di dalam Islam, pengharapan itu hanyalah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Oleh itu, tidak boleh istighasah kepada Nabi, wali dan malaikat. Tidak boleh istighasah kepada ahli kubur seperti yang diajar oleh puak Habib yang telah datang ke Malaysia dan membawa ajaran syirik kepada masyarakat kita.

 

فَاستَجابَ لَكُم

lalu diperkenankan-Nya bagimu: 

Allah ‎ﷻ telah menyahut doa mereka itu. Harf ف yang digunakan menunjukkan terus sahaja Allah ‎ﷻ makbulkan permintaan mereka.

Lafaz استَجابَ bukan sahaja bermaksud menjawab tetapi menjawab dengan memberi apa yang diminta kerana kalau setakat jawab sahaja, ada kemungkinan, jawapan itu adalah ‘tidak’.

قَالَ الْبُخَارِيُّ: “بَابُ شُهُودِ الْمَلَائِكَةِ بَدْرًا “: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ رِفاعة بْنِ رَافِعٍ الزُّرَقي، عَنْ أَبِيهِ -وَكَانَ أَبُوهُ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ -قَالَ: جَاءَ جبريلإِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا تَعُدُّونَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيكُمْ؟ قَالَ: ” مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِينَ” -أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا -قَالَ: “وَكَذَلِكَ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا مِنَ الْمَلَائِكَةِ.

Imam Bukhari رحمه الله dalam Bab “Kesaksian para Malaikat dalam Perang Badar” mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Jarir, daripada Yahya ibnu Sa’id, daripada Mu’az ibnu Rifa’ah ibnu Rafi* Az-Zuraqi Ar-Rizqi, daripada ayahnya, sedangkan ayahnya adalah salah seorang yang ikut dalam Perang Badar. Ayahnya menceritakan bahawa Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada Nabi ﷺ, lalu bertanya, “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi Perang Badar?” Nabi ﷺ menjawab, “Pasukan yang terdiri atas kaum Muslim yang paling pilihan,” atau kalimat yang serupa. Jibril عليه السلام berkata, “Demikian pula malaikat yang ikut dalam Perang Badar.”

(HR. Bukhari no. 3992)

 

أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِّنَ المَلىٰئِكَةِ مُردِفينَ

“Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia membantu dengan memberi seribu malaikat yang turun berturut-turut mengikut bilangan orang kafir. Sebenarnya tidak perlu dihantar ramai tentera malaikat pun. Ketika Jibril عليه السلام mengangkat penempatan kaum Luth dulu, beliau hanya menggunakan satu sayapnya sahaja. Namun Allah ‎ﷻ beritahu bilangan kerana manusia suka kepada bilangan yang banyak.

Lafaz مُردِفينَ bermaksud sesuatu yang berturut-turut seperti jatuhan domino kalau kita tolak satu sahaja domino itu. Ia memberi isyarat kepada pasukan tentera yang berlapis-lapis. Malaikat itu datang berturutan satu selepas yang lain.  Bahawa di belakang setiap malaikat ada malaikat lagi, ertinya sebahagian daripada mereka datang sesudah sebahagian yang lainnya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو نُوحٍ قُرَاد، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّار، حَدَّثَنَا سِمَاكٌ الحَنَفي أَبُو زُميل، حَدَّثَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ حَدَّثَنِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أَصْحَابِهِ، وَهُمْ ثَلَاثُمِائَةٍ ونَيّف، وَنَظَرَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ فَإِذَا هُمْ أَلْفٌ وَزِيَادَةٌ، فَاسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ، وَعَلَيْهِ رِدَاؤُهُ وَإِزَارُهُ، ثُمَّ قَالَ: ” اللَّهُمَّ أَيْنَ مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي، اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ فَلَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ أَبَدًا”، قَالَ: فَمَا زَالَ يَسْتَغِيثُ رَبَّهُ [عَزَّ وَجَلَّ] وَيَدْعُوهُ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ، فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَرَدَّاهُ، ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ، فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ، عَزَّ وَجَلَّ: {إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلائِكَةِ مُرْدِفِينَ} فَلَمَّا كَانَ يَوْمَئِذٍ وَالْتَقَوْا، فَهَزَمَ اللَّهُ الْمُشْرِكِينَ، فقُتِل مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا وَأُسِرَ مِنْهُمْ سَبْعُونَ رَجُلًا

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Nuh Qirad, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, telah menceritakan kepada kami Sammak Al-Hanafi Abu Zamit, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abbas, telah menceritakan kepadaku Umar ibnul Khattab رضي الله عنه yang mengatakan bahawa ketika Perang Badar Nabi ﷺ memandang kepada semua sahabatnya yang saat itu berjumlah tiga ratus orang lebih. Nabi ﷺ juga memandang kepada pasukan kaum musyrik, ternyata jumlah mereka seribu orang lebih. Kemudian Nabi ﷺ menghadapkan dirinya ke arah kiblat —saat itu baginda memakai kain selendang dan kain sarungnya— lalu berdoa: Ya Allah tunaikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika golongan kaum Muslim ini binasa, maka Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini selama-lamanya. Nabi ﷺ terus-menerus memohon pertolongan kepada Tuhannya dan berdoa kepada-Nya sehingga kain selendangnya terlepas daripada pundaknya. Lalu Abu Bakar رضي الله عنه datang menghampirinya dan memungut kain selendangnya, kemudian disandangkan di tempatnya, dan Abu Bakar رضي الله عنه tetap berdiri di belakangnya. Kemudian Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan apa yang telah dijanjikan­-Nya kepadamu.” Maka Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: (Ingatlah) ketika kalian memohon pertolongan kepada Tuhan kalian, lalu diperkenankan-Nya bagi kalian, “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kalian dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Al-Anfal: 9) Maka setelah terjadi pertempuran di antara kedua pasukan, dan Allah ‎ﷻ mengalahkan pasukan kaum musyrik—sehingga tujuh puluh orang daripada mereka gugur, sedangkan tujuh puluh orang lainnya tertawan.

(HR. Muslim no. 1763, Ahmad no. 208

Di dalam ayat ini disebut seribu malaikat. Akan tetapi di dalam ayat 124 dan 125 Surah Ali Imran disebut tiga ribu dan lima ribu pula. Kenapakah ada tiga bilangan yang berlainan?

Janji asal semasa permulaan perang adalah seribu malaikat namun apabila tentera Muslim mendapat berita yang ada bantuan tambahan akan datang menyertai tentera Musyrikin Mekah yang diketuai oleh Kurz ibn Jabir al-Fihri, para sahabat telah goyang. Maka Allah ‎ﷻ berikan janji baru dengan ditambah dua ribu lagi tentera malaikat.

Janji ketiga dengan lima ribu malaikat itu adalah jikalau tentera musuh menyerang dengan tiba-tiba dari arah yang tidak diketahui, maka Allah ‎ﷻ menjanjikan dengan lima ribu malaikat pula.


 

Anfal Ayat 10:

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم ۚ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh made it not but good tidings and so that your hearts would be assured thereby. And victory is not but from Allāh. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

(MALAY)

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ

Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira

Allah ‎ﷻ menurunkan bala tentera malaikat itu sebagai berita gembira sahaja kepada umat Islam. Maknanya, mereka menang bukannya kerana turunnya para malaikat itu. Allah ‎ﷻ berikan para malaikat itu kerana hendak menggembirakan hati mereka serta memberi bersemangat sahaja. Ini kerana apabila mereka tahu ada malaikat yang menolong mereka, turun sekali bersama dengan mereka, tentu hati para pejuang itu gembira dan bersemangat untuk berperang.

 

وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم

dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya.

Tujuan keduanya adalah supaya hati mereka tenteram kerana ada asbab iaitu asbab untuk kemenangan mereka. Ini adalah kerana manusia memerlukan asbab (penyebab) untuk kemenangan. Mereka berasa yang apabila ada malaikat yang membantu, tentulah harapan untuk mereka menang lebih tinggi. Sedangkan Allah ‎ﷻ tidak perlu pun untuk memberikan malaikat untuk memenangkan mereka.

Allah ‎ﷻ memberikan ketenangan kepada mereka kerana ketenangan penting dalam berperang. Kalau dalam keadaan tenang, manusia menjadi hebat. Kalau kelam kabut dan dalam keadaan rasa rendah diri, tidak yakin, maka ia tentu memberi kesan kepada gerak laku mereka.

Walaupun malaikat telah diturunkan, itu tidaklah menidakkan tanggungjawab manusia untuk berperang. Mereka tetap kena berperang juga. Tidaklah mereka duduk melihat sahaja malaikat bunuh musuh. Ini seperti orang yang meminta pertolongan orang lain menukar tayar keretanya. Takkan dia lihat sahaja, tentulah kena tolong, bukan?

 

وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ

Dan tidaklah kemenangan itu melainkan dari sisi Allah. 

Kita kena faham, kemenangan sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ, bukan kerana malaikat yang membantu. Sekiranya Allah ‎ﷻ mahu memenangkan umat Islam, tanpa turunkan malaikat pun boleh menang. Ini telah terjadi pun dalam sejarah Islam, seperti Perang Ahzab apabila Allah ‎ﷻ memenangkan umat Islam tanpa bantuan malaikat pun. Pada waktu itu Allah ‎ﷻ berikan angin sahaja untuk memusnahkan musuh.

Kita kena yakin, kemenangan itu semua ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Bukannya oleh manusia, bukannya atas kelengkapan peperangan, bilangan tentera, strategi yang bagus dan apa sahaja.

 

إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha perkasa, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan-Nya kalau Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan.

Allah ‎ﷻ maha bijaksana untuk menentukan siapakah yang akan diberi kemenangan. Rancangan Allah ‎ﷻ adalah rancangan yang terbaik. Walaupun kalah, tentu ada kelebihan dan pengajaran di dalamnya.

Habis Ruku’ 1 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 11: Ini adalah sebab keempat kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan perang itu. Sebelum ini telah disebut yang pejuang Muslim di Badr meminta bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Sekarang kita akan baca apakah jenis-jenis bantuan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when He overwhelmed you with drowsiness [giving] security from Him and sent down upon you from the sky, rain by which to purify you and remove from you the evil [suggestions] of Satan and to make steadfast your hearts and plant firmly thereby your feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya kaki(mu).

 

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِّنهُ

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya,

Apabila ada kalimah إذ di awal ayat, ia sebenarnya ringkasan kepada kalimah أذكروي (ingatlah) iaitu Allah ‎ﷻ suruh sahabat kenang kejadian itu. Mereka yang berada di sana dahulu. Bagi kita, sekarang kita yang sedang membacanya sebagaimana yang Allah‎ ﷻ hendak sampaikan kepada kita.

Kenanglah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan mereka satu pemberian nikmat dalam bentuk rasa mengantuk. Bayangkan, dalam perang boleh timbul rasa mengantuk sedangkan mereka sedang menghadapi mati. Mereka sedar yang mereka boleh mati bila-bila masa sahaja, bukan? Sepatutnya, tentu ada perasaan gelisah yang amat sangat. Tambahan pula, pelbagai kemungkinan yang mereka sedang hadapi – kekalahan, kecederaan, kekalahan.

Walaupun tentunya perasaan mereka gundah gulana, dalam kerisauan, namun Allah ‎ﷻ lelapkan mata mereka. Semua tertidur sama ada mahu atau tidak, kecuali Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ mengaturkan ketenangan dalam hati manusia dengan cara itu. Selepas itu mereka rasa amat tenang, bagai bukan menghadapi peperangan pun. Ia seumpama ubat bius sampaikan boleh tertidur. Apabila tidur, maka mereka mendapat rehat dan badan menjadi lebih segar.

Ia menjadi satu nikmat daripada Allah ‎ﷻ kerana para sahabat ketika itu sedang takut. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh berikan ketenangan ini sampaikan ia menjadi satu tanda para pejuang Islam dibantu oleh Allah ‎ﷻ di mana kalau mereka ada rasa mengantuk, maka itu adalah petanda baik. Tidaklah semua mengantuk itu baik pula. Kalau mengantuk semasa sedang salat atau di dalam kelas, ini tidaklah baik pula. Itu daripada syaitan.

Ini semua adalah daripada Qudrat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia buat begitu, maka biarlah Dia yang bahagikan ghanimah. Allah ‎ﷻ menekankan lafaz مِنهُ (daripada-Nya) sebagai mengingatkan bahawa pemberian itu daripada Allah. Kalau kita hendak buat sendiri, buat-buat mengantuk, tidak akan boleh.

Lafaz يُغَشّيكُمُ bermaksud mereka diselubungi dengan secara penuh. Pada ketika itu mereka semuanya terus rasa mengantuk dan lafaz النُّعاسَ itu bermaksud bahagian pertama daripada rasa mengantuk iaitu peringkat sebelum tidur lagi. Atau, kita boleh katakan, tidur ringan. Pada waktu ini, selalunya manusia akan berasa tenang sangat sebab waktu itu kepala tidak memikirkan benda lain, hanya fikir hendak tidur sahaja. Kalimah النُّعاسَ ini lebih kurang sama dengan kalimah سِنَةٌ di dalam Ayat Kursi.

Para pejuang Islam itu diberi ketenangan hati dan mereka diselubungi dengan rasa mengantuk sebagai ketenangan semasa orang lain gelisah. Oleh kerana Allah‎ﷻ  sahaja yang boleh memberikan ketenangan, maka hendaklah berharap ketenangan daripada Allah ‎ﷻ.

Abu Talhah mengatakan bahawa dia termasuk salah seorang yang terkena rasa mengantuk itu dalam Perang Uhud, dan sesungguhnya pedangnya sampai terjatuh berkali-kali daripada tangannya. Bila pedangnya jatuh, maka dia memungutnya; dan bila jatuh lagi, dia memungutnya kembali. Dan sesungguhnya dia melihat pasukan kaum muslim menelentangkan tubuh mereka, sedangkan mereka berada di bawah lindungan perisai masing-masing.

Di dalam kitab Sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ ketika dalam Perang Badar berada di dalam khemah kecilnya dengan Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه —sedang berdoa— terkena rasa mengantuk, kemudian baginda terbangun seraya tersenyum dan bersabda:

“أَبْشِرْ يَا أَبَا بَكْرٍ، هَذَا جِبْرِيلُ عَلَى ثَنَايَاهُ النَّقْعُ” ثُمَّ خَرَجَ مِنْ بَابِ الْعَرِيشِ، وَهُوَ يَتْلُو قَوْلَهُ تَعَالَى: {سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ}

Bergembiralah, hai Abu Bakar, ini Malaikat Jibril datang (dengan mengenderai kuda) yang pada kedua sisinya berterbangan debu-debu. Kemudian Nabi ﷺ keluar (berangkat) melalui pintu Al-Arisy seraya membacakan firman-Nya: Golongan (kaum musyrik) itu pasti akan dikalahkan, dan mereka akan mundur ke belakang. (Al-Qamar: 45)

(HR. Bukhari no. 3953)

 

وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِّنَ السَّماءِ ماءً

dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit 

Ini merupakan sebuah lagi pemberian daripada Allah ‎ﷻ, Dia juga telah menurunkan air dari langit dalam bentuk hujan. Puak kafir Mekah telah sampai dulu di Badr dan mereka telah mengambil tempat yang amat strategik – tempat yang tinggi dan berdekatan dengan sumber air. Manakala puak Muslim pula mendapatkan tempat di kawasan rendah dan berpasir. Ini disebut dalam ayat 42 surah ini juga. Maka puak mukmin dalam kepayahan. Untuk jalan pun susah seperti susahnya kita berjalan dan berlari di pantai, bukan?

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan untuk memudahkan umat Islam, tanah yang berpasir menjadi keras dan mendap memudahkan pergerakan mereka. Dalam masa yang sama, air pun mereka dapat kerana mereka sebelum itu duduk di kawasan yang jauh dari sumber air. Dalam masa yang sama juga, air hujan itu juga jatuh kepada puak musyrikin dan menyebabkan tanah yang mereka pijaki itu menjadi lecak dan susah untuk mereka bergerak.

 

لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

untuk menyucikan kamu dengan hujan itu

Air hujan itu juga menyucikan mereka. Badan mereka menjadi segar kerana sekarang mereka sudah mendapat sumber air. Pada waktu itu puak musuh yang duduk berdekatan dengan sumber air. Dengan air itu umat Islam dapat mengangkat hadas mereka dan melakukan ibadat.

Ini penting bagi mereka kerana mereka akan menghadapi musuh dalam peperangan dan mereka mahu melakukan ibadat dahulu supaya dengan itu dapatlah tenang hati mereka. Juga ada yang sampai tidur dan mimpi basah. Maka mereka rasa tidak sedap hati kalau tidak mandi.

Ini juga ada pengajaran kepada kita. Umat Islam hendaklah membersihkan diri luar dan dalam. Badan kena bersih, hati pun kena bersih juga daripada sifat-sifat terkeji.

 

وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطٰنِ

dan menghilangkan daripada kamu gangguan-gangguan syaitan

Maksudnya, Allah ‎ﷻ menghilangkan bisikan syaitan yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak menolong mereka. Syaitan membisikkan pelbagai hasutan untuk menyebabkan mereka hilang rasa keyakinan diri dengan  apa yang mereka lakukan itu. Dengan pemberian air hujan itu, Allah ‎ﷻ memberikan isyarat yang Allah ‎ﷻ ada bersama mereka dan Allah ‎ﷻ redha dan memberikan pertolongan kepada mereka. Begitulah was-was daripada syaitan telah dihilangkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Nabi ﷺ ketika berangkat menuju medan Badar dan sampai padanya, lalu turun beristirehat. Saat itu pasukan kaum musyrik berada di dalam posisi yang antara mereka dan mata air terdapat banyak gundukan pasir, sedangkan keadaan pasukan kaum muslim sangat lemah, lalu setan menyusupkan rasa kebencian di dalam hati mereka dan membisikkan godaannya di antara mereka seraya mengatakan, “Kalian mengakui bahwa diri kalian adalah kekasih-kekasih Allah, dan di antara kalian terdapat Rasul-Nya, tetapi kaum musyrik ternyata dapat mengalahkan kalian dalam menguasai mata air; sedangkan kalian, salat pun kalian kerjakan dalam keadaan berjinabah.”

Maka Allah ‎ﷻ menurunkan hujan kepada pasukan kaum muslim, iaitu hujan yang cukup lebat, sehingga kaum muslim beroleh minum dan dapat bersuci. Allah ‎ﷻ pun menghilangkan godaan syaitan daripada mereka, dan tanah yang berpasir itu setelah terkena hujan menjadi padat dan kuat, sehingga orang-orang dengan mudah dapat berjalan di atasnya, begitu pula haiwan-haiwan kenderaan mereka; lalu pasukan kaum muslim maju menuju ke arah pasukan kaum musyrik. Kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan bala bantuan kepada Nabi-Nya dan kaum mukmin dengan seribu malaikat. Malaikat Jibril turun bersama lima ratus malaikat di suatu sisi, sedangkan di sisi lain turun Malaikat Mikail dengan membawa lima ratus malaikat lagi.

(AR. Ibnu Jarir 9/195, sahih)

 

وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم

dan untuk menguatkan hatimu

Semua itu dapat meneguhkan hati mereka untuk menghadapi musuh. Hati mereka jadi memusat untuk berperang dan menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Tidaklah fikir bermacam-macam perkara yang tidak patut lagi kerana mereka telah yakin dengan sebenar-benar yakin yang Allah ‎ﷻ bersama mereka.

 

وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ

dan memperteguh dengannya kaki(mu).

Dengan segala pemberian itu, Allah ‎ﷻ meneguhkan kaki mereka supaya tidak lari dari medan perang. Dari segi fizikal, dengan air itu tanah tempat mereka pijak menjadi kejap dan sesuai untuk berjalan padanya. Dari segi emosi pula, hati mereka menjadi tenang dan bersemangat untuk menghadapi musuh.


 

Anfal Ayat 12: Ini adalah sebab yang kelima kenapa Allah ‎ﷻ yang layak untuk membahagikan pemberian harta rampasan perang itu.

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when your Lord inspired to the angels, “I am with you, so strengthen those who have believed. I will cast terror into the hearts of those who disbelieved, so strike [them] upon the necks and strike from them every fingertip.”¹

  • By which they grasp and manipulate their weapons. Also interpreted as “all extremities,” i.e., their hands and feet.

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

 

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلىٰئِكَةِ أَنّي مَعَكُم

(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ suruh mengingati kembali. Ini tentang Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada para malaikat untuk memberitahu kepada umat Islam (melalui Nabi ﷺ): sesungguhnya Allah ‎ﷻ bersama mereka. Maka Nabi ﷺ beritahu para sahabat yang malaikat bersama mereka. Dengan itu hati mereka menjadi lebih tetap dan tenang kerana mereka tahu yang malaikat ada bersama mereka memberi bantuan.

Maksud Allah ‎ﷻ bersama itu bukanlah bermaksud duduk di tepi pula, tidak. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ memberi bantuan. Ini seperti orang kata: “Kami bersama Najib!” Tidaklah pula ia bermaksud mereka duduk sekali dalam penjara dengan Najib, bukan?

Dari sini kita tahu yang Allah ‎ﷻ sentiasa bersama orang-orang beriman. Sama ada dalam keadaan biasa, lebih-lebih lagi dalam peperangan.

 

فَثَبِّتُوا الَّذينَ ءآمَنوا

maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”.

Allah ‎ﷻ suruh malaikat berikan ilham yang baik-baik kepada puak Mukmin yang akan menghadapi musuh supaya mereka tidak berundur ke belakang. Allah ‎ﷻ suruh para malaikat teguhkan pendirian orang Mukmin supaya meneruskan usaha mereka untuk berperang itu. Atau beri keteguhan itu dengan berperang bersama dengan golongan Mukmin ketika itu.

 

سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, 

Allah ‎ﷻ sendiri kata yang Dia akan campakkan kepada orang kufur itu, perasaan takut dan gerun terhadap umat Islam. Mereka akan takut untuk menghadapi umat Islam dalam peperangan itu. Mereka menjadi tidak yakin untuk berperang. Semasa mereka keluar dari Mekah mereka yakin sangat, tetapi apabila berdepan dengan umat Islam, mereka menjadi gementar.

Ini juga bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila musuh takut, maka senanglah untuk mengalahkan mereka.

 

فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ

maka penggallah kepala mereka

Allah ‎ﷻ beri kata semangat kepada mereka: pancunglah leher puak musyrikin itu. Jangan takut dengan mereka. Jangan bagi belas kasihan. Kenapakah sampai penggal terus? Ini supaya mereka itu dimatikan terus kerana mereka itu golongan penentang terkuat kepada Islam. Mereka itu tidak ada harapan lagi untuk beriman, maka layaknya bagi mereka adalah mati sahaja.

Ini mengajar kita bahawa halal untuk membunuh darah orang-orang yang menentang dakwah agama Islam dalam peperangan. Namun harus diingatkan yang mestilah mengikut syarat-syarat peperangan. Untuk memulakan perang, kenalah ada arahan daripada pemerintah (Khalifah). Jangan pula salah faham dan ambil tindakan sendiri pula.

 

وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ

dan pancunglah tiap-tiap hujung jari mereka.

Allah ‎ﷻ suruh keratlah jari jemari pihak musuh itu. Allah ‎ﷻ sebut leher dan jari disebabkan dua tempat itu dijadikan sebagai sasaran kerana itulah dua kekuatan musuh. Apabila tidak ada jari, itu adalah tanda kelemahan supaya mereka jadi lumpuh dan tidak dapat melawan lagi. Ini kerana kalau jari sudah tiada, maka sudah tidak dapat memegang senjata lagi.

Juga boleh bermaksud setiap sendi tulang mereka, bukan hanya pada jari mereka sahaja.

Mungkin Allah ‎ﷻ berikan kata semangat ini kepada umat Islam atau arahan kepada malaikat. Namun yang pasti, ia adalah kata-kata semangat untuk disampaikan kepada umat Islam. Jangan takut dengan musuh dan terus mara dalam peperangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 September 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment