وَهُدًى
dan petunjuk
Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk untuk kita hadapi kehidupan kita di dunia ini. Dan kita selalu sebut tentang Al-Qur’an menjadi petunjuk bagi kita; namun adakah kita memahaminya? Atau adakah kita hanya sebut sahaja tanpa memahaminya dengan lebih mendalam?
Pertamanya, kita lihat penggunaan kalimah هُدًى di sini. Kalimah هُدًى adalah dalam bentuk isim masdar (kata terbitan). Allah ﷻ tidak menggunakan kalimah dalam bentuk fi’il يَهْدِي (memberi petunjuk) sebaliknya Allah ﷻ terus kata هُدًى (petunjuk). Untuk susunan biasa, kita katakan: ‘Al-Qur’an memberi petunjuk’ tetapi bukan itu yang Allah ﷻ gunakan, sebaliknya Allah ﷻ menggunakan: Al-Qur’an petunjuk. Ini ada menyentuh balaghah sedikit. Sekiranya يَهْدِي yang digunakan, ia menunjukkan perbuatan yang terikat dengan masa. Ia bermaksud “sedang atau akan memberi petunjuk”. Sedangkan apabila digunakan هُدًى yang di dalam bentuk Isim Masdar, ia menunjukkan sifat jati diri atau hakikat sesuatu.
Dalam kaedah bahasa Arab, menggunakan Masdar untuk menyifatkan sesuatu dipanggil sebagai bentuk Mubalaghah (hyperbole). Sebagai contoh: Jika anda kata “Zaid itu adil (Aadil)”, itu sifat biasa. Tetapi jika anda kata “Zaid itu adalah Keadilan (Adlun)”, ia bermaksud seluruh diri Zaid itu melambangkan keadilan. Begitu juga dengan Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak hanya kata Al-Qur’an itu “memberi petunjuk” (Haadin), tetapi Al-Qur’an itu adalah “Hudan” (Ibu bagi segala petunjuk). Segala hidayah terpancar daripadanya. Oleh itu, apabila Allah ﷻ menyifatkan Al-Qur’an sebagai هُدًى, ia bermaksud Al-Qur’an itu adalah “Petunjuk” itu sendiri. Ia bukan sekadar “alat” yang memberi petunjuk kadang-kala, tetapi zatnya, hurufnya, dan maknanya adalah sumber hidayah yang mutlak dan tidak berubah oleh masa.
Bagaimana kita boleh memahami perkara ini? Bagaimana cara Al-Qur’an memberi petunjuk itu?
Baik, kita pun tahu di dalam dunia ini terdapat banyak bidang seperti perubatan, perundangan, psikologi, ekonomi, politik, sosial, dan banyak lagi. Setiap bidang ini ada pakarnya, bukan? Ada sumber rujukannya seperti buku, laporan kajian, contohnya. Ada bahagian Sejarah, Bahasa, Sains dan sebagainya. Selain daripada bidang-bidang ini, kalau kita pergi ke kedai buku, ada bahagian agama atau spiritual, bukan? Di antara rujukannya adalah kitab Al-Qur’an. Al-Qur’an diletakkan di situ kerana kalau masuk bahagian perubatan tidak boleh, bahagian perundangan pun tidak boleh, bukan? Akan tetapi siapakah Penulis Al-Qur’an sebenarnya? Allah ﷻ adalah Penulisnya. Ada manusia dan buku tentang perubatan, tetapi Allah ﷻ lah penyembuh. Ada yang pakar dalam psikologi tetapi Allah ﷻ yang mencipta otak dan minda dan emosi kita ini, bukan? Jadi, segala ilmu yang ada dalam dunia ini, Allah ﷻ lebih pakar daripada yang paling pakar, bukan?
Allah ﷻ memberikan jenis petunjuk yang menerangi. Ia menerangi semua bidang yang lain. Sebagai contoh, ia menerangi pemikiran kita mengenai politik. Ia menerangi pemikiran kita mengenai penjagaan diri mahupun kesihatan mental. Al-Qur’an memberi bimbingan rohani yang benar-benar membantu kita mendapatkan arah yang betul dalam mana-mana bidang. Ia memberikan pandangan yang memastikan bahawa bidang tersebut mempunyai tujuan dan arah yang baik. Ini kerana semua bidang penyelidikan dan kajian manusia seumpama pedang bermata dua. Contohnya anda boleh belajar fizik dan mencipta perkara yang luar biasa seperti kereta, tetapi di dalam masa yang sama, anda boleh boleh juga mencipta bom nuklear, bukan? Jadi sains itu buta. Ia tidak mempunyai arah sejak dari mula lagi. Oleh itu, supaya ia mempunyai arah yang selamat, maka kena ada panduan daripada Al-Qur’an.
Kitalah yang kena memandu sains itu. Wahyu akan mengajar bagaimana menggunakan sains dalam cara yang benar-benar memberi manfaat kepada manusia. Tanpa panduan wahyu, sains boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Psikologi juga boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza, terapi boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Ini kerana ia tidak mempunyai cahaya yang perlu dipatuhi. Ini bahaya kerana apabila ia tidak ada panduan, ia boleh menjadi sesuatu yang buruk, gelap. Jadi semua bidang memerlukan cahaya, dan cahaya itu ialah cahaya wahyu Allah, iaitu petunjuk. Jadi agama bukanlah kena cerita lengkap tentang sains, psikologi, perubatan dan sebagainya, tetapi cukup sebagai pemandu dan pemberi cahaya sahaja.
Ramai yang sudah mula hendak menggunakan Al-Qur’an sebagai sumber panduan hidup, ramai yang sudah mula menyertai kelas tafsir Al-Qur’an dan memulakan halaqah pengajian dan tadabbur. Alhamdulillah, manusia semakin kenal Al-Qur’an dan sudah ada usaha untuk membumikan Al-Qur’an kepada masyarakat Islam di Malaysia ini. Sebelum kita mula menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup, ada beberapa syarat yang kita boleh perhatikan. Ini adalah petikan daripada tulisan Amin Ahsan Islahi. Ini bukanlah proses cara belajar tetapi persediaan hati sebenarnya. Persediaan sebelum kita mula belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an.
1. Kemurnian Niat
Keikhlasan niat adalah yang paling utama daripada semua syarat yang lain. Ini bermakna seseorang harus membaca dan mempelajari tafsir Al-Qur’an hanya untuk mendapatkan bimbingan daripadanya dan bukan untuk apa-apa maksud yang lain. Maknanya kita hendaklah memurnikan niat kita, jaga niat kita jangan terpesong. Mungkin menjaga niat ini perkara biasa sahaja bagi kebanyakan orang, akan tetapi kalau kita tidak berhati-hati, niat kita mungkin boleh tertukar. Jika seseorang mempunyai tujuan lain dalam fikiran, dia bukan sahaja akan dilucutkan daripada keberkatan Al-Qur’an, tetapi dia juga boleh dijauhkan daripada Al-Qur’an, malah lebih jauh dari sebelum ini.
Sebagai contoh, jika niat seseorang itu mengkaji Al-Qur’an untuk menjadi seorang ahli tafsir supaya dia boleh mendapat kemasyhuran dan kepentingan keduniaan, dia mungkin mencapai sasaran ini, maka dia tidak akan sampai kepada kefahaman sebenar Al-Qur’an. Begitu juga, jika seseorang mengkaji Al-Qur’an untuk mempertahankan hujah yang dia telah pegang sebelum itu lagi, dia mungkin berjaya menang menggunakan hujah itu setelah diputarbelitkan, dan dia mungkin menang berdebat, tetapi harga yang dia kena bayar adalah dia tidak akan dapat memahami Al-Qur’an sepenuhnya. Dan dia tidak akan dibimbing dengan Al-Qur’an. Nampak bagaimana niat boleh berubah?
Sekarang kita ada banyak kumpulan, bukan? Setiap kumpulan, sekolah, madrasah, mazhab, mempertahankan fahaman mereka menggunakan Al-Qur’an. Setiap kumpulan rasa merekalah yang paling benar, paling mempertahankan agama Islam ini, paling tersyurga sekali. Mereka sudah hafal mana ayat yang menyokong kumpulan mereka, yang mereka akan bacakan di setiap perdebatan. Namun, bayangkan kalau pihak lawan tiba-tiba memberikan ayat Al-Qur’an yang menjatuhkan pegangan mereka? Bagaimanakah sikap mereka ketika itu? Adakah mereka tetap berpegang dengan kumpulan dan ustaz yang menjadi pegangan, atau ketika itu Al-Qur’an menjadi pembimbing? Ketika itulah kita semua diuji sama ada untuk mempertahankan kumpulan atau mempertahankan iman.
Sebenarnya kita kena pegang apa yang Al-Qur’an kata. Pegangan kumpulan kita, mazhab kita, ustaz dan guru kita, boleh sahaja berubah-ubah. Kita tidak disuruh fanatik kepada mana-mana kumpulan. Kefanatikan itu akan menjerumuskan ke lembah kehinaan. Guru kita mungkin sahaja tersilap kerana mereka juga manusia. Maka jangan pertahankan sangat manusia yang mungkin mereka pun tidak mempertahankan anda. Yang terlebih penting adalah iman yang perlu dijaga, Al-Qur’an perlu ditinggikan melebihi mana-mana kumpulan. Kumpulan anda tidak ada apa-apa nilai sebenarnya berbanding Al-Qur’an. Kita kena ada kefahaman ini dahulu sebelum berhujah dan berdebat. Kerana perdebatan bukanlah mempertahankan kumpulan sendiri, tetapi hendak mencari kebenaran!
Allah ﷻ telah menghadiahkan Al-Qur’an sebagai kitab bimbingan dan telah memupuk keinginan untuk mendapatkan bimbingan dalam setiap jiwa. Oleh itu jika seseorang mengkaji Al-Qur’an daripada keinginan untuk mendapatkan bimbingan, dia akan meraih hasil mengikut usaha yang dikeluarkan dan tentunya dengan bantuan Allah ﷻ. Akan tetapi jika dia berhasrat kerana motif lain, pada dasarnya, dia juga akan mendapat apa yang dia cari. Ini kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah:26
يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا
Dia menyesatkan ramai orang, dan Dia memberi hidayah kepada ramai orang
Bayangkan, ada orang boleh menjadi sesat dek kerana Al-Qur’an! Bila? Apabila tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai pembimbing tetapi hanya digunakan sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan pemahaman sendiri. Kemudian, selepas menerangkan prinsip ini, Allah ﷻ sambung di dalam ayat yang sama:
وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ
Tetapi Dia tidak menyesatkan, kecuali orang-orang yang ingkar.
Ini bermakna Allah ﷻ hanya menyesatkan mereka yang menyimpang daripada jalan yang betul. Jika seseorang menyembah berhala sedangkan dia berada di dalam Ka’bah, maka dia tidak layak untuk mengenali rahsia Tauhid. Jika seseorang berminat untuk mengumpul duri walaupun ada bunga, maka dia tidak layak diberkati dengan wangian bunga. Jika seseorang kerana sifat buruknya menganggap ubat sebagai penyakit, maka dia tidak layak mendapat nikmat kesihatan; sebaliknya dia berhak untuk menjadi lebih sakit lagi. Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah:16
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
Bagi yang sedang membaca tulisan ini dan saya yang sedang menulis tafsir ini, memang kita sudah memulakan perjalanan untuk memahami Al-Qur’an. Kita telah meluangkan masa untuk menulis, belajar, berbincang, dan sebagainya. Mungkin telah banyak ayat-ayat yang kita telah pelajari dan kita menambah pemahaman kita dari semasa ke semasa. Akan tetapi, kalau kita tidak jaga hati kita, ada kemungkinan niat kita bukan lagi untuk mendapatkan petunjuk, tetapi setakat belajar sahaja. Boleh faham? Memang belajar itu penting, tetapi belajar ini adalah jalan untuk mendapat bimbingan dan hidayah. Belajar bukanlah matlamat utama. Bukan untuk kita beritahu kepada orang: “Aku sudah habis belajar tafsir 30 juzuk sekian dan sekian…” Bukan! Kena ingat yang tujuan kita adalah untuk menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pembimbing kita. Jadi kena ada niat di dalam hati: “Ya Allah, Engkau bimbinglah aku dengan Al-Qur’an ini….”
Ada yang belajar Al-Qur’an supaya mereka boleh mengajar Al-Qur’an nanti. Jadi niatnya pada Al-Qur’an, apa? Untuk mengajar! Bukannya untuk mendapatkan hidayah. Jadi boleh nampak bagaimana niat kita boleh terpesong? Kita bukanlah kata jangan mengajar pula, namun kena ingat yang niat asal kita bukan untuk mengajar, tetapi untuk mendapat hidayah. Macam saya asalnya bukan untuk mengajar, bukan juga menulis untuk orang lain. Asalnya saya hendak buat nota untuk diri saya sahaja. Kemudian saya diminta pula untuk menulis dan kemudian diminta pula untuk mengajar. Saya kena jaga hati saya supaya niat asal untuk mendapat hidayah itu terpelihara. Mengajar itu adalah sekunder sahaja kerana memang ada kebaikan dalam kita mengajar. Ini kerana apabila kita mengajar, maka kita memaksa diri kita untuk belajar terlebih dahulu, bukan? Ia memaksa kita untuk memahami dengan lebih mendalam kerana tidak tahu pelajar akan tanya apa nanti kepada kita, maka kita bersiap sedia sudah belajar dengan mendalam.
Kadang-kadang manusia memang melakukan perkara yang nampak mulia, akan tetapi sebenarnya niat boleh lari. Sebagai contoh, ramai orang menghafal Al-Qur’an, sama ada di Sekolah Tahfiz atau buat secara persendirian. Ini memang amalan mulia, namun kena periksa balik, apakah niat kita menghafal Al-Qur’an? Adakah kerana hendak mendapat hidayah atau kerana semata-mata menghafal? Sebenarnya apa tujuan kita menghafal Al-Qur’an? Kita sepatutnya menghafal Al-Qur’an supaya kita siap ada Al-Qur’an di dalam dada kita. Yang apabila kita hendak baca (untuk dapatkan hidayah), tidaklah kita perlu buka mushaf, baru boleh baca. Kita mahukan setiap saat mudah untuk kita rujuk Al-Qur’an supaya ia boleh membimbing kita. Bukannya menghafal itu niat asal, boleh faham? Bukannya hendak menjadi hafiz supaya nanti boleh jadi Imam Tarawih (dan buat content transition), bukan supaya dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan supaya boleh beri syafaat kepada 10 orang, bukan supaya dapat kerja mengajar hafazan pula. Tujuan kita menghafal adalah supaya Al-Qur’an dekat dengan hati kita. Malangnya, dek kerana tidak faham perkara inilah, Sekolah Tahfiz dan pelajar tahfiz setakat hafal sahaja, namun apa yang mereka hafal pun mereka tidak tahu. Setakat menjadi burung tiong yang ulang sahaja apa yang mereka dengar.
Adakah kita tidak boleh mengharap pahala baca Al-Qur’an? Adakah kita tidak boleh beri syafaat dengan Al-Qur’an? Adakah kita tidak boleh mengajar Al-Qur’an? Tak bolehkah kita ambil berkat dengan Al-Qur’an? Semua itu boleh, tetapi itu adalah niat sekunder. Niat utama kita telah ditetapkan oleh Allah ﷻ di dalam Surah Fatihah lagi apabila kita minta setiap hari: اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ ( Tunjukilah kami jalan yang lurus) dan Allah ﷻ telah menjawab permintaan itu dengan memberikan keseluruhan Al-Qur’an kepada kita dan permintaan kita telah dijawab di dalam Surah Baqarah Ayat 2 ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ (Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa). Kemudian Allah ﷻ sambung seterusnya dengan ayat demi ayat untuk memenuhi permintaan kita kepada hidayah tadi.
Begitulah orang yang terpesong niatnya seumpama pergi ke taman bunga, tetapi mengambil duri bunga sahaja. Adalah benda yang dia dapat, namun adakah itu yang utama? Selain menghafal, satu lagi adalah belajar tajwid. Ya, silakan belajar, tetapi bukan itu tujuan asal kita dengan Al-Qur’an. Tujuan asal kita adalah untuk mendapat hidayah daripadanya dan kerana ia mulia, maka tentulah kita hendak membacanya dengan cara yang terbaik. Namun, tidak perlulah sampai 20 tahun belajar tajwid sahaja. Kalau sudah pencen, tidak perlulah belajar tajwid sangat sebab belajar tajwid itu adalah ketika muda. Apabila sudah pencen, kenalah lebih luangkan masa untuk memahami Al-Qur’an kerana semua tahu selepas pencen, jangka hayat tidak lama.
Amat senang sekali niat ini tersasar. Mungkin ia bermula dengan tujuan untuk mendapatkan hidayah, namun semakin kita tumpukan kepada ilmu, akhirnya mungkin ilmu sahaja yang kita dapat, tetapi bukan hidayahnya. Maka, kita kena ingatkan diri kita sekali-sekala. Di dalam kita mendalami ilmu tafsir Al-Qur’an ini, kita kena tanya diri kita: “Apakah pengajaran bagi kita di dalam ayat ini?” Kerana kita boleh bincangkan pendapat ulama’ itu dan ini, kita boleh bincangkan secara mendalam dari segi bahasa, namun akhirnya yang kita mahu dan perlukan adalah hidayah. Kadang-kadang kita terlalu mengejar ilmunya, kita terlupa hidayahnya.
Apabila kita menerima Al-Qur’an sebagai hidayah, ini bermakna kita kena biarkan Al-Qur’an membimbing kita dan membetulkan perjalanan kehidupan kita. Al-Qur’an tunjuk ke kanan, kita ke kanan; Ia tunjuk ke kiri, kita ke kiri, bukan? Maknanya kita ikut apa yang Al-Qur’an arahkan. Akan tetapi kalau kita sudah ada pandangan sendiri, dan kita ‘memaksa’ Al-Qur’an ikut kehendak kita, pandangan kita, ini bermakna tidaklah menjadikan Al-Qur’an sebagai pemandu, bukan? Allah ﷻ perli mereka yang buat hal ini di dalam Hujurat:16
قُل أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم وَاللهُ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليم
Katakanlah: “Apakah kamu akan mengajar kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?”
Bayangkan, Allah ﷻ pula kena ikut fahaman kita! Bagaimana ini terjadi? Contohnya, ada golongan yang menari bila berzikir. Apabila kita minta dalil, kelam kabutlah mereka cari dalil, petik selagi boleh. Antaranya mereka kata ada dalil dalam ayat Ali Imran:191
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring
Sedangkan ini bukanlah dalil zikir menari! Beribu tahun, orang yang membaca ayat ini tidak terfikir pun yang ini adalah dalil surah kita menari ketika zikir! Tiba-tiba kamu ‘memaksa’ ayat ini untuk membenarkan perbuatan bid’ah kamu itu! Mereka ini memang golongan yang telah terbalik; sepatutnya Al-Qur’an yang membimbing mereka, tetapi mereka pula yang membimbing Al-Qur’an!
2. Keunggulan Al-Qur’an
Syarat kedua untuk mengkaji Al-Qur’an dan menjadikan ia sebagai panduan hidup, ialah ia harus diakui sebagai perkataan yang paling tinggi sebelum seseorang memulakan perjalanan untuk memahaminya. Maknanya, belum belajar lagi pun sudah menerima Al-Qur’an itu yang paling tinggi. Jika seseorang tidak menerima hakikat tentang nilai Al-Qur’an yang tinggi dan kepentingan Al-Qur’an, seseorang itu tidak akan bekerja keras seperti yang diperlukan untuk memahami khazanah Al-Qur’an.
Mungkin ada yang rasa ini tidak masuk akal kerana belum mula pun mengkaji Al-Qur’an. Kalau sudah kaji, barulah dapat tahu ia hebat, bukan? Tetapi pendapat ini bukanlah salah sama sekali, malah ia merupakan sikap yang sangat waras dan logik. Lagipun, Al-Qur’an mempunyai sejarah yang luar biasa dan sudah dikenali sebagai sesuatu yang hebat pun, jadi tidak salah kalau kita sudah ada pandangan sebegini terhadap Al-Qur’an.
Kesan daripada Al-Qur’an telah terbukti sejak sekian lama, ia telah berjaya mengubah minda dan ideologi manusia zaman berzaman. Selain itu, berjuta-juta manusia di dunia tidak menganggapnya hanya sebuah buku, sebaliknya mereka menganggapnya sebagai Kalam Allah, perkataan yang diwahyukan daripada Allah ﷻ sendiri, Tuhan yang mencipta kita semua. Mereka mengakui ia sebagai perkataan yang tidak boleh ditiru oleh makhluk, sama ada manusia atau jin, dan mereka tidak akan dapat berbuat demikian selama-lamanya walaupun manusia dan jin itu bersatu tenaga untuk menghasilkannya.
Ia adalah kitab yang diagungkan pada masa lalu dan masa kini dan yang dipandang tinggi sejak sekian lama. Oleh itu, tidak syak lagi ia mempunyai kepentingan yang khas dan seseorang boleh memahaminya dengan tepat hanya jika seseorang itu mempunyai penghormatan yang layak terhadapnya dan bersetuju dengan kepentingannya di dalam kehidupan. Jika seseorang tidak mempunyai idea tentang kepentingan kitab ini, mustahil bagi seseorang itu untuk merenungkannya dengan mendalam seperti yang diperlukan.
Perumpamaan: Sekiranya telah diketahui bahawa sebidang tanah itu mengandungi emas dan sejumlah besar emas telah digali daripadanya, maka tidak salah kalau kita membuat anggapan bahawa lebih banyak emas akan diperoleh pada penggalian selanjutnya. Adakah kita akan berhenti menggali tanah itu? Tentu tidak, bukan? Malah apa sahaja sumber yang dibelanjakan untuk mendapat manfaat daripada sekeping tanah yang sedemikian adalah berbaloi, bukan? Memang untuk mendapatkan hasil emas dari tanah, juga ilmu bermanfaat dari Al-Qur’an, memerlukan usaha, tenaga dan masa. Ia tentunya tidak akan datang dengan mudah, hanya dengan bergoyang kaki sahaja. Kenapa kita meluangkan masa, tenaga dan usaha kita? Kerana kita telah yakin yang ia khazanah yang amat-amat berharga! Khazanah itu bukan buat orang tertentu sahaja, seperti tuan guru, pak sheikh, ustaz, orang Arab, orang itu dan ini… bukan! Ia boleh sahaja digali oleh sesiapa sahaja yang berkehendak. Allah ﷻ tidak pernah menghadkan pemahaman Al-Qur’an ini kepada orang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja boleh mengambil manfaat daripadanya.
Namun begitu, jika lombong itu dianggap sebagai kosong sahaja, iaitu jika ia digali, hanya arang batu atau batu kapur sahaja yang akan dijumpai, maka hanya boleh ada dua kemungkinan sahaja: sama ada tiada sesiapa pun yang akan membuang masa menggalinya; atau jika seseorang menggalinya, mungkin ada hasil lain yang dia harapkan (bukan keuntungan).
Perkara ini disebut kerana terdapat beberapa salah faham mengenai Al-Qur’an yang berleluasa dalam kalangan manusia yang tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada Al-Qur’an. Salah faham ini terdapat dalam kalangan orang yang beriman dan juga yang mendustakan Al-Qur’an. Yang menafikan kepentingan Al-Qur’an mungkin mengakui ada beberapa pembaharuan yang telah dibawa oleh kitab ini di zaman dahulu. Namun, pada pandangan mereka, masa itu telah berlalu. Bagi mereka, kitab ini mungkin telah berguna untuk Arab Badwi yang hidup di zaman mudah, tetapi ia tidak cukup berguna untuk menangani isu-isu kompleks hari ini.
Bagi orang-orang yang beriman pula, ada yang menganggap Al-Qur’an sebagai kod doktrin yang menjelaskan hukum hakam agama, dan selepas itu, jika masih ada apa-apa kepentingan Kitab ini, ia adalah dari sudut memberi berkat sahaja. Sebahagian daripada mereka hanya menganggap Al-Qur’an sebagai koleksi nasihat sahaja. Ramai pula menganggap ia sebagai instrumen untuk memindahkan ganjaran pahala bacaan kepada orang-orang yang telah mati, dan ada juga yang menganggap ia untuk mengurangkan penderitaan kematian (ketika nazak).
Selain itu, ramai orang menggunakannya sebagai penghalau hantu dan untuk menyingkirkan bencana dan kemalangan. Ini sama seperti orang Kristian yang menyimpan Injil dalam poket mereka, malang sekali, ramai juga umat Islam yang telah mengamalkan sikap yang sama. Umat Islam yang sebegini mempunyai salah faham mengenai Al-Qur’an dan mereka tidak akan mampu mengambil faedah sebenar daripada Al-Qur’an. Mereka seperti orang yang diberikan dengan meriam untuk merobohkan kubu musuh tetapi mereka menganggapnya hanya boleh membunuh nyamuk sahaja dan mula membunuh nyamuk dengannya.
Al-Qur’an itu sangat bermakna. Apakah maksudnya? Apa-apa dalam Al-Qur’an tidak ada yang remeh. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an hanya sebagai tambahan. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an yang tidak relevan. Setiap bahagiannya, setiap perkataan, setiap frasa, setiap ceritanya, setiap hukum hakam, semuanya bermakna bagi kita. Allah Pencipta langit dan bumi, mahu kita tahu tentang Al-Qur’an ini. Ada orang yang kata bagus Al-Qur’an ini dan baguslah kalau ada yang belajar, tetapi bagi saya tidaklah. Ini adalah satu keputusan yang silap kerana mengandaikan Al-Qur’an hanya untuk sesetengah orang sahaja. Setiap hari, badan kita memerlukan air dan kita tidak boleh kata “Alhamdulillah saya sudah minum tahun lepas”. Takkan begitu? Allah ﷻ menciptakan setiap tubuh manusia memerlukan air berulang kali. Menarik sekali, Allah ﷻ membandingkan Al-Qur’an dengan air seperti disebut di dalam Ra’d:17
أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌۢ بِقَدَرِهَا فَٱحْتَمَلَ ٱلسَّيْلُ زَبَدًۭا رَّابِيًۭا…
“Allah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu mengalir air itu di lembah-lembah mengikut ukurannya (kadarnya) masing-masing, maka arus itu membawa buih yang terapung-apung…”
Takkan kita hendak kata kita tidak perlukan air? Takkan kita hendak kata sesekali sahaja kita minum air? Setiap hati kita memerlukan Al-Qur’an sepertimana setiap hari kita memerlukan air. Oleh sebab itu, setiap hari kita mesti memikirkan Al-Qur’an.
3. Tekad untuk hidup mengikut Al-Qur’an
Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat ketiga yang paling penting adalah untuk mempunyai tekad yang kukuh untuk mengubah diri mengikut arahan Al-Qur’an. Kita sudah tahu yang Al-Qur’an itu memberi petunjuk, bukan? Jadi kita mula menyedari bahawa Al-Qur’an membersihkan idea-idea, cara kita melihat dunia, cara kita melihat betul dan salah, cara kita melihat apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Fikiran anda mengenai sejarah, mengenai budaya, tentang bangsa-bangsa, fikiran kita tentang kebaikan dan kejahatan, dan fikiran mengenai diri kita sendiri sepatutnya dipandu oleh Al-Qur’an.
Kita akan dapati Al-Qur’an bukan sahaja mengajar sesuatu, malah juga menuntut. Menuntut apa? Menuntut perubahan daripada kita! Kerana Al-Qur’an bukanlah sebuah buku feel-good yang bila baca buat suka-suka sahaja, tetapi ia memberi pengajaran yang menegur kita untuk berubah. Lainlah kalau kita ini malaikat yang tidak perlu berubah apa-apa. Kita yang dilahirkan sebagai manusia, mesti adalah sesuatu yang Al-Qur’an tegur untuk berubah.
Maka hendaklah kita mengubah kehidupannya mengikut acuan Al-Qur’an ini dan ini bukanlah mudah bagi semua orang. Apabila seseorang belajar secara mendalam Kalamullah ini, dia akan merasakan bahawa apa yang dituntut daripada hamba adalah sama sekali berbeza daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dia akan sedar bahawa bukan sahaja cita-cita dan pemikirannya sendiri berbeza daripada Al-Qur’an, tetapi juga urusan dan hal ehwal sosialnya telah melepasi had yang dibenarkan oleh Al-Qur’an. Dia akan sedar bahawa dalaman dan luaran dirinya bercanggah dengan Al-Qur’an. Cara bercakap dia pun mungkin kena diubah apabila dia bercakap dengan orang lain, berinteraksi dengan keluarga dan kawan.
Selepas menyedari perbezaan ini, seorang pencari kebenaran akan bersungguh-sungguh membuat keputusan dan berazam bahawa apa sahaja keadaan, dia akan cuba menyesuaikan dirinya mengikut acuan yang Al-Qur’an tetapkan. Ini hendaklah dilakukan dengan mengorbankan segala-galanya dan mungkin menanggung pelbagai kesusahan serta mengatasi setiap halangan yang menghalang jalan ke arahnya, berusaha sedaya upaya untuk membentuk dirinya mengikut kehidupan yang dibayangkan oleh Al-Qur’an.
Namun begitu, seseorang yang tidak mempunyai kehendak dan kekuatan tidak akan boleh mengisi jurang yang besar antara Al-Qur’an dan dirinya. Ini kerana apabila belajar dan mendalami Al-Qur’an, Al-Qur’an akan menunjukkan di mana dirinya sekarang dan apakah kedudukan dirinya yang sepatutnya. Semoga dia sedar bahawa perubahan itu tidak boleh dilakukan dalam sehari, sebaliknya dia kena cuba. Dia juga yang meminta hidayah, bukan? Nah, sekarang Allah ﷻ sudah berikan.
Malangnya, ramai yang gagal kerana kebanyakkannya merasakan bahawa jika mereka cuba mengubah kepercayaan dan cita-cita mereka mengikut kehendak Al-Qur’an, mereka perlu menjalani perubahan mental yang luar biasa. Merea fikir seandainya mereka membentuk kelakuan dan adab mengikut acuan Al-Qur’an, mereka terpaksa mengasingkan diri daripada masyarakat. Mereka takut akan terpaksa memberikan komitmen yang besar kepada objektif yang ditetapkan oleh Al-Qur’an. Bukan sahaja perlu meninggalkan semua kepentingan dan kesenangan, malah mungkin juga perlu menanggung kesusahan yang teruk seolah-olah mereka menjalani hukuman penjara atau bahkan dihukum kerana kepercayaan. Ini kerana perubahan itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka sendiri, tetapi orang sekeliling juga akan merasainya. Jadi orang sekeliling akan memandang pelik, kerana sudah tidak boleh lagi bersama-sama berbuat dosa, tidak boleh lagi mengutuk orang, ghibah dan sebagainya. Pendek kata, perubahan besar yang berlaku membuatkan mereka terpinggir, sudah tidak geng lagi dengan masyarakat sekeliling.
Mereka juga takut jika mereka meneliti cara kewangan seperti dalam cahaya kriteria Al-Qur’an yang menunjukkan mana yang halal dan haram, mereka bukan sahaja perlu melepaskan semua kemewahan dan keselesaan hidup yang dimilikinya, tetapi mereka juga mungkin tidak dapat memenuhi keperluan minimum kehidupan.
Tidak semua orang mampu menghadapi kehidupan yang bergelora; hanya mereka yang mempunyai moral yang sangat tinggi dan tekad yang tegas sahaja yang boleh menghadapi dugaan kehidupan ini. Terdapat mereka yang lemah akal yang sentiasa mematuhi keinginan nafsu mereka, walaupun mereka mungkin mengakui bahawa jalan Al-Qur’an adalah satu-satunya jalan yang betul, tetapi pada masa yang sama, sangat sukar untuk diikuti. Ada juga golongan munafik yang mengikut sifat pengecut mereka sebagai cita-cita dan kepura-puraan sebagai iman. Mereka lebih rela mengikuti nafsu mereka daripada hidup dengan cara Al-Qur’an telah tetapkan.
Sesetengah orang ada yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atas alasan tidak berdaya dan terpaksa berbuat demikian kerana dugaan kehidupan. Sesetengah daripada mereka menutup kebenaran dengan kepalsuan dengan bantuan tafsiran yang mengelirukan dan diputarbelitkan. Sesetengah orang mencari perlindungan dengan mengatakan mereka mengikut keadaan semasa untuk mensahihkan semua perbuatan mereka yang salah. Ada yang cuba memutarbelitkan makna Kitab Ilahi seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi di dalam Taurat. Ada yang cuba mencari jalan tengah antara iman dan kufur, iaitu mereka hanya mengikuti sebahagian sahaja Al-Qur’an yang mereka dapati sesuai dengan keinginan mereka sendiri dan mereka mengabaikan apa yang bertentangan dengan kehendak mereka.
Semua cara ini adalah helah daripada syaitan dan siapa yang ikut akan dibawa terus kepada kebinasaan. Satu-satunya jalan keselamatan ialah apabila seseorang cuba menyesuaikan diri mengikut dekri Al-Qur’an dengan mengorbankan semua yang diperlukan dalam hal ini. Kesungguhan ini telah diuji oleh Tuhan dalam masa yang lama zaman berzaman kepada umat sebelum kita. Jika seseorang berjaya melepasi ribut ujian ini, dia akan mendapat nikmat. Jika sebuah pintu telah ditutup untuknya, Allah ﷻ boleh membuka pintu-pintu yang banyak lagi. Jika seluruh masyarakat membuang beliau, masyarakat lain mengalu-alukan beliau. Jika suatu tempat enggan memberi perlindungan kepada beliau, yang lain akan menerima beliau dengan tangan terbuka. Begitulah firman Allah ﷻ di dalam Ankabut:69
وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ
Dan orang-orang yang berusaha untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.
Apabila arahan untuk berubah datang daripada Al-Qur’an, kita akan dapati tiga jenis orang. Sekarang kena tentukan mana satu yang kita akan masuk antara tiga golongan ini:
1. Mereka ini adalah yang tidak kira berapa banyak dugaan yang akan dihadapi untuk berubah, dan berapa banyak ia menyakitkan dirinya, dia akan buang perasaan susah, emosinya yang bergelora, keinginan nafsu yang tidak sihat, ketagihan apa-apa sahaja, tarikan apa sahaja, ketakutan, kebimbangan, tekanan di luar, tekanan di bahagian dalam, dia tidak hiraukan dan dia akan anggap itu semua kecil sahaja. Dia akan jadikan komitmen kepada Allah ﷻ dan Al-Qur’an yang lebih besar. Firman Allah ﷻ lebih tinggi daripada semua perasaan itu semua. Dia akan cuba sedaya upaya untuk membuat perubahan. Mereka ini adalah orang-orang yang merasakan kemanisan iman yang bermakna dengan mempunyai petunjuk daripada Allah ﷻ. Mereka merasakan kemanisan bimbingan. Mereka adalah beberapa orang yang bertuah. Semoga Allah ﷻ menjadikan kita semua daripada mereka.
2. Kumpulan kedua ialah orang yang melihat Allah ﷻ mahukan perubahan yang begitu banyak dan dia tidak sanggup. Dia tahu perkara itu baik dan memandang tinggi orang yang berjaya melakukannya, tetapi untuk dia sendiri, dia rasa tidak mampu. Dia takut dengan penerimaan keluarganya, dia takut menghadapi cemuhan daripada kawan-kawannya. Dia hendak semuanya sama seperti dahulu sahaja. Dia takut dibuang kerja, dia takut ekonominya merudum. Dia takut kehilangan kasih sayang. Dia teringin berubah, dia tahu perubahan itu bagus, tetapi dia rasa dia tidak mampu. Dia bukannya menolak Al-Qur’an kerana dia tahu memang apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu benar-benar belaka.
Ini ialah dusta yang dia buat terhadap dirinya sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah ﷻ. Kita tidak sedar bahawa Allah ﷻ mengatakan Allah ﷻ tidak meletakkan beban kepada sesiapa kecuali bahawa mereka boleh membawanya. Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah:286
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Jika Allah ﷻ memberi petunjuk kepada anda dengan petunjuk yang indah ini, jika Allah ﷻ membebankan anda dengan permintaan ke arah perubahan, Allah ﷻ tidak akan meletakkan beban itu kepada anda jika Dia tahu anda tidak mampu. Jika anda tidak mampu, permintaan ini tidak akan diletakkan pada anda. Oleh itu, apabila anda berpaling kepada Allah ﷻ dan berkata, “Allah, apa yang Engkau minta terlalu banyak. Ia terlalu keras, ia terlalu sukar”, ini ialah dusta terhadap diri sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah ﷻ. Jangan tergolong di dalam golongan ini.
Kena sedar bahawa apa-apa sahaja tujuan yang elok memerlukan usaha dan melibatkan kesukaran dan kadangkala kesakitan. Hendak sihat? Kena beriadah. Hendak jadi ahli sukan berjaya? Lagilah kena berlatih kuat. Hendak jadi doktor? Kena susah belajar. Mungkin anda akan hilang kawan. Tidak mengapa, kerana anda akan dapat kawan yang lebih baik daripada mereka. Allah ﷻ berfirman di dalam Maryam:96
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.
3. Ini mungkin golongan paling teruk. Dia sudah tahu apa yang Al-Qur’an mahu dia lakukan dan dia tidak mampu seperti golongan ke 2 di atas. Akan tetapi di dalam masa yang sama, dia tidak mahu kelihatan seperti tidak ikut Al-Qur’an. Jadi dia buat apa? Dia mengubah interpretasi Al-Qur’an itu ikut seperti apa yang dia kehendaki! Mereka kena jadi kreatif sedikitlah sebab Al-Qur’an ini memang sudah jelas. Jadi kalau hendak ubah Al-Qur’an ikut kehendak sendiri, kena bersilat sikit. Mereka akan ambil ayat-ayat yang mereka suka dan itulah yang mereka ulang-ulang dan abaikan ayat-ayat yang lain. Allah ﷻ berfirman tentang mereka ini di dalam Saff:7
وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.
Allah ﷻ kata وَمَن أَظلَمُ kerana mereka inilah yang paling zalim, paling teruk kerana tidak ada yang lebih berdusta daripada mereka kerana mereka berdusta atas nama Allah! Mereka kata ini dan itu Allah ﷻ suka, kerana mereka yang tafsir ikut nafsu mereka sendiri.
4. Tadabbur
Memikirkan Kitab Ilahi adalah syarat keempat yang paling penting untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, yang Al-Qur’an sendiri menyebut berulang kali antaranya di dalam Muhammad:24,
أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?
Untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an dan menjadikannya sebagai panduan hidup kita, bukannya sekali baca terus boleh faham. Tidak cukup dengan hanya membaca terjemahan sahaja kerana tidak faham pun kalau setakat membaca terjemahan. Jangan perasanlah anda telah faham Al-Qur’an kalau setakat baca terjemahan sahaja. Sebaliknya, ia adalah usaha permulaan. Kena ada usaha tadabbur, fikir, refleksi terhadap ayat-ayatnya.
Bukanlah kita kata kena jadi ulama’ pula, bukan. Ulama’ buat tafsir, kita sebagai bukan ulama’, kena tadabbur. Tadabbur ini datang selepas kita belajar tafsir, dan tafsir itu telah dikupas oleh para alim ulama’. Sekarang ramai yang baca Al-Qur’an, belajar tafsir, hafal Al-Qur’an, tetapi tidak faham apa yang mereka baca dan hafal. Apa Allah ﷻ kata tentang mereka di dalam Jumu’ah:5
مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu; dan Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim.”
Para sahabat Nabi merupakan orang-orang yang paling pertama dinasihati dalam Al-Qur’an. Kita kena ikut contoh mereka. Mereka berfikir dan membincangkan Al-Qur’an dan yang paling hebat di antara mereka dalam memahami Al-Qur’an ialah orang-orang yang paling banyak merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka membentuk kumpulan halaqah untuk mengkaji Al-Qur’an di mana mereka akan membincangkan ayat-ayat Al-Quran secara kolektif. Rasulullah ﷺ suka dengan apa yang mereka lakukan ini. Selepas baginda, semua Khulafa’ ur Rashidin, terutamanya Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menunjukkan minat yang berterusan dengan kumpulan-kumpulan sebegitu dan dengan orang-orang yang telah menjadi mahir dalam Al-Qur’an.
Membaca tanpa memahami Al-Qur’an semata-mata demi mendapatkan berkat bukanlah jalan sahabat Nabi. Mereka tidak melakukan perkara ini. Membaca tanpa faham ini wujudnya kemudian, iaitu apabila orang mula menganggap Al-Qur’an hanyalah kitab yang bertuah tanpa mereka melihat ia sebagai panduan yang benar. Al-Qur’an kemudiannya hanya digunakan untuk melembutkan penderitaan kematian dan untuk memindahkan ganjaran pahala kepada orang mati; daripada digunakan untuk mendapatkan bimbingan sebagai sumber perubahan dalam kehidupan. Ia akan hanya dibaca apabila ada melakukan salah laku supaya ia boleh memberkati salah laku itu. Orang ramai juga mula menggunakannya sebagai alat pengusiran hantu untuk melindungi mereka.
Ada orang yang tidak pandang pun kepentingan mempelajari makna ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang beranggapan segala apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini telah ada dalam ilmu aqeedah dan mereka telah belajar Sifat 20. Al-Qur’an mengandungi hukum hakam dan ulama’ telah bincangkan di dalam ilmu fiqh. Jadi pada mereka, tidak perlu mempelajari tafsir Al-Qur’an. Sebab itu banyak yang apabila berdakwah, ajak orang belajar ilmu Fardhu Ain. Fardhu Ain sahaja? Mereka sangka itu sudah cukup agaknya. Malang sekali cetek pengetahuan mereka. Mereka telah merendahkan ilmu dan khazanah yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka hanya baca di dalam solat sahaja, ambil berkat sahaja, kalau ada majlis perkahwinan atau pembukaan madrasah, barulah baca ayat-ayat suci Al-Qur’an.
Situasi sebegini amat menyedihkan sekali kerana masyarakat kita telah merendahkan kepentingan Al-Qur’an. Ada yang menyimpan mushaf di dalam kereta dan di bawah bantal sebagai perlindungan daripada syaitan; ada yang menggantungkan ayat-ayat Al-Qur’an di kereta; ada yang menggantung khat di rumah dan pejabat. Itu sahaja fungsi Al-Qur’an bagi mereka? Alangkah sedihnya. Ada yang memasang audio Al-Qur’an sebagai muzik latar sahaja. Kemudian buat kerja yang tidak kena-mengena, bukan mereka dengar pun! Begitu kurang ajarnya mereka terhadap Al-Qur’an, Kalam Allah!
Al-Qur’an mungkin satu-satunya buku di dunia yang mengatakan di dalam banyak tempat bahawa ia boleh menjadi benar-benar bermanfaat hanya apabila ia diperhatikan maknanya dan dibincangkan. Namun malangnya ia juga adalah buku yang sentiasa dibaca dengan mata tertutup. Orang ramai membaca Al-Qur’an sambil menutup fikiran mereka sehingga tidak memberi kesan dengan apa yang di dalamnya.
5. Penyerahan kepada Allah ﷻ
Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat kelima ialah apabila tidak memahami mana-mana ayat, hendaklah menyerahkan kesukaran untuk memahami ayat-ayatnya kepada Yang Maha Kuasa dan meminta bimbingan-Nya.
Memang kadangkala apabila kita baca Al-Qur’an, baca terjemahan dan mungkin baca tafsirannya, kita tidak faham. Mungkin ada yang kata kenapa ayat ini tidak jelas? Kenapa berpusing-pusing? Pada mereka susah sangat ayat ini. Mengkritik Al-Qur’an apabila tidak memahaminya adalah sikap yang tidak patut sama sekali. Kalau kita tidak faham, bukanlah salah Allah dan Al-Qur’an, tetapi kita yang lemah akal! Kita yang ada kekurangan!
Kadang-kadang, seseorang menemui kalimah-kalimah yang berat dan gagal untuk memahaminya. Mungkin syaitan pun masuk jarum dan kata buang masa sahaja belajar maksudnya, ‘Engkau takkan faham’. Mungkin ada yang rendah diri dan kata agaknya tahap pemikiran aku tidak boleh hendak mencapainya, ulama’ sahaja boleh faham, jadi aku baca sahajalah tanpa faham. Ini adalah pemahaman salah! Kalau dengan mana-mana buku lain, kalau tidak faham apa maksud penulis, kita boleh tinggalkan buku itu; tetapi tidak dengan Al-Qur’an ini. Kita tidak boleh meninggalkannya.
Pendekatan yang betul dalam keadaan ini ialah seseorang harus terus berdoa kepada Yang Maha Kuasa untuk bantuan-Nya dan teguh dalam berpegang kepada Al-Qur’an. Jika seseorang menghafal mana-mana ayat Al-Qur’an, dia perlulah membacanya perlahan-lahan semasa solat malam. Minta dengan Allah ﷻ supaya beri kita kefahaman ayat-Nya itu. Al-Qur’an ialah Allah ﷻ yang berbicara kepada kita. Sekarang kitalah yang kena berbicara pula kepada Allah ﷻ dan berkata: “Ya Allah. Ayat ini aku tak boleh faham. Bukalah pintu kefahaman kepadaku. Biar aku faham maksud-Mu di sini. Aku akan cuba untuk merenungkan yang terbaik daripada keupayaan aku, aku akan mencari ilmu daripada mereka yang memilikinya, aku akan siasat dan siasat. Tetapi Allah, aku tahu satu-satunya yang boleh membuka pintu ilmu dan membuka pintu panduan dan membuka pintu kebijaksanaan ialah Engkau. Allah, bukakan pintu ini untukku, aku merayu kepada-Mu.”
Kalau anda beli buku dan anda tidak faham apa yang penulis itu tulis, adakah anda berpeluang telefon penulis buku itu dan tanya apa maksud dia? Penulis tidak mempunyai masa untuk anda tetapi Penulis semua penulis, iaitu Allah ﷻ sendiri, telah menjemput anda untuk pergi dan bertanya kepada-Nya. Pergilah bertanya kepada Allah ﷻ sendiri. Kalau tidak faham sesuatu, pergilah minta kepada Allah ﷻ. Dengan kehendak Allah ﷻ, kesukaran memahami akan reda dan seseorang itu akan diberkati dengan cahaya Al-Qur’an. Doa berikut juga amat berguna dalam keadaan sedemikian:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (Nabi Adam) dan anak hamba perempuan-Mu (Hawwa’). Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, Qadha-Mu (takdir dan ketetapan-Mu) kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (terbaik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, semoga Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan selainnya. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani rahimahullah)
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 26 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


