وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ
dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
Sekarang kita sampai kepada frasa yang terakhir dalam surah ini. Al-Qur’an mengandungi banyak rahmat daripada Allah ﷻ. Jadi kalau kita mahukan rahmat daripada Allah ﷻ, rujuklah Al-Qur’an. Untuk mengambil manfaat daripadanya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi apa rahmat sebenarnya? Kita selalu sebut-sebut seperti juga kita sebut Al-Qur’an itu petunjuk tetapi kita telah jelaskan yang ia bukanlah sesuatu yang mudah disebut sahaja tanpa difahami.
Kita amat mengharapkan rahmat daripad Allah ﷻ. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Akan tetapi kita hanya dapat memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah ﷻ. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat daripada Allah ﷻ. Ini jelas daripada hadith Rasulullah ﷺ,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim No. 5042)
Ada banyak cara disebut untuk mendapatkan rahmat, antaranya dengan mendengar dan belajar maksud Al-Qur’an seperti disebut di dalam A’raf:204
وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
Begitulah pentingnya pelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana ia mengandungi banyak sekali rahmat yang tidak terkira. Allah ﷻ sendiri telah beritahu di dalam Isra’:82
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.
Sekali lagi disebut di dalam Yunus:57
يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Bagaimana kita boleh cuba memahami rahmah ini? Mari kita bincangkan tentang rahim seorang ibu. Ada kaitan antara Rahmah (kasih sayang) dan Rahim (organ kandungan ibu). Ia adalah salah satu keajaiban bahasa Arab yang paling menyentuh jiwa. Hubungan ini bukan sekadar kebetulan linguistik, tetapi ia adalah satu Tafṣīl (perincian) tentang bagaimana Tuhan memperkenalkan sifat-Nya kepada manusia.
Dari sudut bahasa, perkataan Rahmah (رحمة) dan Rahim (رحم – kandungan) berasal daripada akar kata yang sama, iaitu ر ح م. Dalam sebuah Hadith Qudsi yang sangat masyhur, Allah ﷻ berfirman:
قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللَّهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ، وَشَقَقْتُ لَهَا اسْمًا مِنِ اسْمِي، فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ
“Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Akulah Allah, dan Akulah Ar-Rahman. Aku telah menciptakan Ar-Rahm (rahim/hubungan kekeluargaan), dan Aku telah memecahkan (mengambil) untuknya satu nama yang terbit daripada nama-Ku. Maka sesiapa yang menyambungnya (silaturrahim), Aku akan menyambung (rahmat-Ku) dengannya; dan sesiapa yang memutuskannya, Aku akan memutuskan (rahmat-Ku) daripadanya.'”
Sunan Abu Daud No. 1694 dan Sunan al-Tirmidzi No. 1907. Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai Hadith Hasan Sahih; Al-Adab al-Mufrad (Imam al-Bukhari No. 53)
Apakah persamaan sifat Rahim dan rahim seorang ibu?
1. Perlindungan Total. Sebagaimana bayi dalam rahim dilindungi daripada gegaran dan bahaya, Rahmah Allah meliputi hamba-Nya daripada kehancuran. Sebagaimana bayi dalam rahim itu tidak sedar, begitu juga manusia tidak sedar segala rahmah dan kasih sayang Allah ﷻ menjaga kita. Allah ﷻ menjaga kita tanpa kita sedari pun. Sekarang ada kemalangan kenderaan yang sedang berlaku tetapi anda selamat sahaja. Ada gempa bumi di merata tempat, tetapi anda sekarang tenang-tenang sahaja. Ada orang yang dijangkiti penyakit, tetapi anda sihat-sihat sahaja. Inilah rahmah Allah kepadamu.
2. Pemberian Tanpa Syarat. Bayi dalam rahim menerima oksigen dan zat di dalam rahim ibunya tanpa perlu meminta atau bekerja. Begitulah Rahmah Allah; Dia memberi nafas dan rezeki kepada semua, termasuk yang belum beriman. Kebanyakan manusia tidak minta pun, tetapi Allah ﷻ tetap beri.
3. Kesempitan yang Menghidupkan. Rahim itu sempit, tetapi di situlah kehidupan bermula. Begitu juga ujian hidup; ia mungkin terasa sempit, tetapi di sebaliknya ada Rahmah yang sedang membentuk jiwa kita. Kita mungkin hanya nampak rahmah Allah apabila kita diberi dengan nikmat, kita diberi dengan perlindungan. Akan tetapi rahmah Allah datang kepada kita dalam berbagai bentuk. Ada kalanya ia datang dalam bentuk ujian dan kesusahan.
4. Hubungan yang Tidak Terputus. Tali pusat menghubungkan ibu dan anak. Begitu juga “tali” Rahmah yang menghubungkan hamba dengan Penciptanya.
Semua makhluk mendapat rahmah sebenarnya, manusia atau haiwan, beriman atau kufur, baik atau jahat, berjanggut atau tidak, menutup aurat atau tidak, semuanya dapat rahmah Allah. Kerana kalau tidak dapat rahmah, sudah lama mereka mati. Akan tetapi, bagi orang beriman, ada rahmah tambahan yang tidak ada tolok bandingnya. Apakah ia? Allah ﷻ berfirman di dalam Rahman:1-3
ٱلرَّحۡمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (٢) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣)
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)
Lihat susunan ayat ini. Allah ﷻ sebut Dia beri Al-Qur’an dulu, kemudian baru sebut nikmat kita dijadikan. Kalau ikut susunan kita, tentulah kita dijadikan – kemudian baru diberikan dengan Al-Qur’an, bukan? Namun, ayat ini tidak mengikuti susunan kronologi, tetapi susunan keutamaan. Apabila Allah ﷻ sebut Dia jadikan kita, segala nikmat kehidupan seperti makan, minum, pasangan, keselamatan termasuk di dalam kategori ini. Akan tetapi, segala nikmat itu tidak dapat mengatasi nikmat mendapat Al-Qur’an dan diberi kefahaman Al-Qur’an. Kita sedar tentang nikmat kehidupan pun setelah kita mengenal Al-Qur’an, bukan? Kerana di dalam Al-Qur’an barulah kita sedar yang segala pemberian Allah ﷻ adalah kerana Allah ﷻ sayang kepada kita. Bagi kita, kita rasa nikmat itu biasa sahaja, kita entitled kepada segala nikmat itu. Seolah-olah kita memang layak mendapat segala nikmat ini, tanpa sedar diri ini adalah sekadar hamba yang hina tiada apa-apa jika tiada rahmat daripada Allah ﷻ.
Jadi Al-Qur’an ini mengandungi rahmat. Namun, kalau kita baca Al-Qur’an, adakah jelas rahmat Allah? Sekali baca, tidak nampak sangat. Kerana di dalamnya Allah ﷻ menceritakan tentang neraka, tentang kaum yang dimusnahkan zaman berzaman. Allah ﷻ bercerita tentang ujian itu dan ini. Mana rahmatnya? Ada yang tidak faham hal ini. Sampaikan, ada yang murtad kerana apabila mereka baca Al-Qur’an, mereka rasa ini Tuhan yang garang, ganas dan tidak sayang makhluk, sebab asyik cerita neraka sahaja, azab sahaja.
Itulah sebabnya tidak cukup untuk belajar memahami Al-Qur’an melalui baca terjemahan sahaja. Kalau kita belajar tafsir, kita akan tahu bahawa Allah ﷻ menceritakan tentang segala azab itu semua adalah sebagai peringatan kepada kita. Dan memberi peringatan itu sendiri adalah Rahmat! Kalau kita tidak tahu, tentulah kita akan langgar sahaja, bukan? Maka dengan Rahmat-Nya, Allah ﷻ beritahu siap-siap kalau tidak buat itu dan ini, maka balasannya adalah neraka yang orang berdosa akan dimasukkan ke dalamnya. Bayangkan kalau ada ribut yang akan datang, adakah kita akan senyapkan sahaja daripada orang yang kita sayang? Tentu tidak, bukan? Kita akan beritahu akan ada ribut yang akan datang supaya dia membuat persiapan untuk menyelamatkan diri.
Kalau kita jahil dan otak sempit, kita mungkin nampak rahmah itu dalam bentuk yang sedap dan senang sahaja. Cuba bayangkan seorang ibu yang menegur kesalahan anak yang degil, yang tidak mahu belajar. Mungkin ibu itu merotan anak itu, marah pada anak itu, tidak membenarkannya bermain lagi di luar rumah. Adakah itu ibu yang tidak sayang anak? Orang otak sempit mungkin fikir begitu. Kerana mereka itu marah kepada Allah ﷻ yang menghukum hamba yang berdosa. Kerana itu, mereka marah kepada Allah ﷻ yang selalu bercerita tentang azab dan tentang neraka. Otak mereka ini otak budak-budak sahaja, kerana budak-budak juga marah ibu mereka yang cuba mendisiplinkan mereka, bukan?
Dunia ini adalah ujian. Dunia ini juga ada undang-undang. Ada hukum alam seperti graviti dan ada hukum tindak balas. Sebagai contoh, kalau tidak jaga alam, maka alam akan rosak, hidup akan susah. Begitu juga kalau buat dosa, ada kesannya kepada diri kita. Allah ﷻ tidak menghalang kita daripada membuat kerosakan, membuat dosa; akan tetapi Allah ﷻ telah beritahu awal-awal yang kalau buat dosa, ada kesannya. Bukannya Allah ﷻ tidak beritahu dan tiba-tiba ngap Dia belasah kita.
Sayang dan kasih kepada seseorang bukannya dengan memberikan sahaja segala apa yang orang yang dikasihi itu minta. Kerana ada benda yang tidak sesuai diberikan kepada semua. Kalau kita anggap orang sayang kepada kita itu akan memberi apa sahaja yang kita minta, maka itu adalah pemahaman kasih sayang yang salah, yang bengkok. Dan kita telah belajar tentang kasih yang bengkok dalam Surah Yusuf ini, bukan? Tentang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hendak mencuri kasih sayang bapa mereka daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; tentang isteri Al-Aziz yang hendak merosakkan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana terlalu sayang kepadanya dan mahukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dirinya walaupun dengan cara yang salah. Ini semua adalah pemahaman kasih sayang dan cinta yang bengkok. Yang malangnya dipegang oleh ramai manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak menjadikan wahyu sebagai panduan hidup. Mereka menurut apa yang nafsu mereka cakap sahaja. Mereka sangka apa yang nafsu minta itu tentu bagus, mereka tidak tahu tentang nafsu kerana, kerana apa? Sekali lagi, kerana jauh daripada wahyu Allah. Jauh daripada wahyu Allah akan menjadikan manusia bodoh sangat.
Kerana itu, ramai yang mengeluh hidup mereka susah, ujian mereka tidak berhenti, mereka dizalimi dan berbagai lagi kepayahan hidup. Mereka mula rasa Allah ﷻ tidak sayang mereka, atau lebih teruk, Tuhan tidak ada! Dek kerana itu, ramai yang menjadi ateis. Mereka lihat kesusahan dalam hidup ini dan mereka kata: “Takkan ada Tuhan yang sanggup buat begitu, Tuhan mesti tidak ada!” Ini kerana mereka lihat pada mata luaran sahaja. Maka bagi kita orang Muslim, kita ada kisah-kisah seperti kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang mengajar kita bahawa hidup ini tidak semestinya indah sepanjang masa. Lihatlah ujian yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hadapi; adakah dengan segala ujian yang baginda hadapi itu bermakna Allah ﷻ tidak sayang kepada baginda? Takkan Allah ﷻ tidak sayang baginda, namun semua ujian itu adalah untuk mempersediakan baginda.
Sedia untuk apa? Mungkin anda akan jawab, sediakan baginda untuk menjadi Raja Mesir dan menyelamatkan rakyat Mesir daripada mati kebuluran, bukan? Ya, itu setakat di dunia sahaja. Namun, ada yang lebih penting lagi. Perhatikan apa kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Ayat 101,
أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.
Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut: وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ. Bukannya ٱلدُّنيَا sahaja tetapi yang lebih penting adalah ٱلأَخِرَةِ. Kerana itu, sambungan doa baginda adalah تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ. Ini kerana Allah ﷻ mempersediakan baginda untuk menghadapi kebaikan di akhirat. Dunia ini sementara sahaja, namun akhiratlah tempat yang lebih penting bagi kita. Yang kita selalu sibuk adalah kesenangan di dunia sahaja, sedangkan sepatutnya kita lebih patut prihatin tentang keadaan dan nasib kita di akhirat kelak.
Kita jarang nampak perkara ini, tetapi yang memberi pencerahan kepada kita adalah Al-Qur’an. Ini seperti kita yang melihat dari tempat yang rendah; tentu kita tidak nampak banyak. Namun, kalau kita naik ke bukit yang tinggi, maka kita akan nampak lebih jauh dan lebih banyak. Maka begitulah Al-Qur’an meninggikan kita dan memberikan pandangan yang berbeza bagi kita. Allah ﷻ berfirman di dalam Mujadilah:11
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۢ
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Ilmu apa yang diperlukan dan dimaksudkan di dalam ayat ini? Itulah ilmu wahyu daripada Allah ﷻ. Apabila kita selalu meneliti ayat-ayat Al-Qur’an ini, maka ia akan memberi pemahaman tentang bagaimana Allah ﷻ mendidik dan menjaga kita. Kerana itulah, jangan kita lihat Al-Qur’an ini sebagai kitab hukum hakam sahaja, buat itu dan jangan buat ini sahaja, sebaliknya lihatlah Al-Qur’an ini sebagai pemberi pencerahan kepada kita. Yang membimbing kehidupan kita setiap saat.
Namun begitu, siapakah yang akan dapat pemahaman ini? Allah ﷻ kata لِقَومٍ يُؤمِنُونَ. Adakah orang tertentu sahaja? Tidak, kerana Allah ﷻ gunakan kalimah قَومٍ di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia boleh jadi sesiapa sahaja. Bukannya Allah ﷻ menggunakan kalimah القوم yang bermaksud golongan tertentu sahaja. Jadi anda, saya, sesiapa sahaja boleh mendapat pemahaman ini.
Dan yang lebih cantik lagi, Allah ﷻ menggunakan kalimat لِقَومٍ يُؤمِنونَ dan bukannya لِقَومٍ مؤمِنونَ. Kalimah يُؤمِنونَ adalah di dalam bentuk fi’il mudhari‘. Kalimah قَومٍ nakirah dan kalimah يُؤمِنونَ pula mudhari‘, jadi ia menjadi satu kalimah yang agak kompleks. Ini kerana fi’il mudhari‘ adalah sesuatu yang tidak lengkap. Contohnya, fi’il mudhari‘ digunakan jikalau saya sedang makan, dan ini bermakna saya belum habis makan lagi. Saya masih lagi makan dan sedang menghabiskan makanan saya, bukan? Jadi kalimat قَومٍ يُؤمِنونَ bermaksud bukanlah orang yang telah lengkap beriman, telah pasti imannya, telah tetap imannya, tetapi ia merujuk kepada orang yang mahu beriman, masih lagi bertatih-tatih memperbaiki imannya. Kadang-kadang imannya naik, tetapi kadang-kadang ia turun. Kemudian naikkan kembali dengan melakukan amal kebaikan. Ini adalah kita yang masih lagi tergoda dengan keindahan keduniaan, namun masih berharap supaya Allah ﷻ membaiki iman kita, tetapkan iman kita. Maknanya kita yang sedang berusaha, orang yang ‘mahu’ beriman, bukannya telah pasti beriman.
Oleh itu, Al-Qur’an ini bukanlah untuk golongan wali sahaja, golongan yang sudah kuat imannya, tetapi Al-Qur’an ini untuk kita. Kita yang masih lagi berusaha untuk memperbaiki iman kita. Maka janganlah ada yang berkata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi golongan awam. Memang golongan awamlah yang kena belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi pandai sikit agama ini. Kepada kita inilah Al-Qur’an menjadi هُدًى dan رَحمَةً. Dan memang kita perlukan dua perkara ini.
Jadi kalimah لِقَومٍ يُؤمِنونَ (bagi orang yang mahu beriman) menjadi satu jemputan, ajakan kepada orang-orang yang mahu beriman. Allah ﷻ sedang menjemput, marilah baca dan cuba fahami apa yang Dia sampaikan kepada kita. Mungkin asalnya tidak faham, namun lama-kelamaan, Allah ﷻ akan beri kefahaman itu. Yang penting kita kena ada usaha.
Allah ﷻ menjemput kepada apa? Kepada keamanan. Kerana kalimah يُؤمِنونَ daripada ا م ن yang daripadanya lahir beberapa pecahan kata:
-
- Amn (أمن): Ketenteraman, hilangnya rasa takut, rasa selamat.
- Amanah (أمانة): Kepercayaan, integriti, sesuatu yang dititipkan untuk dijaga.
- Iman (إيمان): Membenarkan dengan hati, mengakui kebenaran, memberi keamanan.
- Mu’min (مؤمن): Orang yang beriman, DAN juga salah satu Nama Allah (Al-Mu’min) yang bermaksud Maha Pemberi Keamanan.
Jadi sebenarnya perbuatan “beriman” membawa maksud “memberi keamanan kepada diri sendiri”. Aman daripada Kegelisahan (Mental): Orang yang beriman meletakkan pergantungan kepada Allah ﷻ (Tawakal). Apabila dia percaya ada kuasa yang Maha Besar menjaga urusannya, secara automatik rasa takut dan bimbang (khauf) akan terhapus. Dia juga akan rasa aman daripada Azab (Spiritual): Iman menjadi perisai yang menyelamatkan hamba daripada huru-hara hari akhirat. Allah ﷻ berfirman di dalam An’am:82 tentang hubungan iman dan aman ini
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat Keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Ini membawa kita kepada psikologi kegembiraan. Bolehkah kita berasa gembira tanpa rasa aman? Ada orang yang cuba menutup ketidakamanan itu dengan bermain game, berjalan ke sana sini, menonton Netflix dan sebagainya. Dan mereka kata mereka gembira. Namun, adakah mereka benar-benar gembira? Mereka hanya menutup sahaja kesedihan dalaman yang mereka ada. Apa yang mereka tidak ada? Mereka tidak memiliki iman yang memberi keamanan. Dan dari mana datang iman itu? Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus:57
يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Perhatikan apa yang disebut Allah ﷻ tentang Al-Qur’an di dalam ayat ini. Perhatikan, Allah ﷻ mengatakan Al-Qur’an adalah مَّوعِظَةٌ (nasihat). مَّوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Dan kemudian Allah ﷻ menambahkan dengan mengatakan Al-Qur’an itu شِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ (penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada). Jadi, Al-Qur’an bukanlah kitab yang mengajar sejarah sahaja, hukum hakam sahaja; tetapi Al-Qur’an adalah penyembuh penyakit dalam hati kita. Siapa yang tahu tentang hati kita? Allah ﷻlah yang menjadikan kita dan hati kita, dan Allah ﷻ tahu apa masalah yang ada di dalam hati kita. Maka Allah ﷻ juga ada penyembuhnya.
Dan selepas itu Allah ﷻ menyebut dua perkara yang sama seperti disebut di dalam Ayat 111 ini, iaitu sifat Al-Qur’an sebagai هُدًى وَرَحمَةٌ. Dan yang lebih menarik lagi adalah ayat selepasnya (Ayat 58) iaitu Allah ﷻ berfirman,
قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan)”.
Perhatikan kalimah فَليَفرَحوا (hendaknya mereka bersukacita). Kita sedang sebut tentang kegembiraan, bukan? Maka inilah sahaja satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah ﷻ menyebut tentang bergembira. Hanya dengan menggunakan Al-Qur’an yang dapat menyembuhkan hati kita, barulah kita boleh benar-benar mendapat kegembiraan sejati. Dan ini sangat berharga, sangat berharga kerana Allah ﷻ sambung, هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ (ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan). Manusia menghimpun bermacam-macam hal seperti kekayaan, pengikut, pingat dan segalanya, akan tetapi itu tidak layak dibandingkan dengan kegembiraan yang Allah ﷻ beri dengan Al-Qur’an ini.
Manusia menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghilangkan kegelisahan di dalam hati mereka. Antaranya yang selalu manusia lakukan adalah dengan menonton filem, bukan? Kerana selama sejam dua itu kita menghilangkan diri di dalam kisah-kisah rekaan itu. Akan tetapi, apa bezanya dengan kisah di dalam Al-Qur’an? Antaranya kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita baru habiskan ini. Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja kisah tentang umat terdahulu, akan tetapi ia tentang kita, bukan? Kerana apabila kita baca kisah mereka, kita bandingkan dengan diri kita, kerana ada kaitan antara mereka dan kita. Kita kena ambil pengajaran daripada pengalaman mereka. Jadi ini bukan rekaan, kisah main-main yang kita tonton di dalam filem.
Kerana itulah Allah ﷻ kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini bukan kisah kosong. Pertamanya untuk siapa? لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ (bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci) dan kemudian Allah ﷻ bagi ia untuk siapa lagi? لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dua golongan ini adalah golongan yang sama sahaja. Ini kerana orang yang Ulul-Albab bukanlah bermakna orang yang sudah hebat imannya; mereka masih orang yang sedang memperbaiki iman mereka. Mereka orang yang di dalam perjalanan; masih jauh lagi perjalanan mereka. Namun, mereka sudah memulakan perjalanan itu.
Maka hendaklah kita memberi perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ia adalah pemberian rahmat daripada Allah ﷻ. Bayangkan, bagi umat yang terdahulu yang menentang Nabi mereka, Allah ﷻ musnahkan mereka. Sebaliknya bagi Quraisy Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan umat manusia sekarang, Allah ﷻ tidaklah musnahkan lagi. Sebaliknya Allah ﷻ memberi Al-Qur’an kepada kita untuk mendidik kita. Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan kita, bukan? Sebagaimana guru sekolah menggunakan kekerasan seperti merotan apabila pelajar nakal, Allah ﷻ juga boleh buat begitu. Namun ada guru yang tidak merotan anak murid mereka sebaliknya hanya memberi nasihat yang lembut. Maka begitulah juga Allah ﷻ menasihat kita dengan menggunakan Al-Qur’an ini. Tidakkah itu rahmat?
Maka sekarang lengkaplah segala topik Surah Yusuf ini. Ayat 111 ini adalah sebagai penutup kepada apa yang telah disebut di awal surah. Allah ﷻ berfirman di dalam Ayat 1-3:
الٓرۚ تِلۡكَ ءَايَـٰتُ ٱلۡكِتَـٰبِ ٱلۡمُبِينِ (١) إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (٢) نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (٣)
Alif, Laam, Raa`. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Qur’an yang menyatakan kebenaran. (1) Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kalian memahaminya. (2) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Qur’an ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah daripada orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. (3)
Pada permulaan, Allah ﷻ sebut نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ (Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah) dan di penghujungnya Allah ﷻ sebut ia bukan setakat kisah sahaja akan tetapi فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (di dalam kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini penting kerana di dalam kisah-kisah itu kita belajar ujian demi ujian yang diterima oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Semua itu membawa kepada pengakhiran yang baik dan indah. Orang yang أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ akan dapat menilai bahawa ujian di dalam kehidupan juga adalah cara Allah ﷻ menguji kita dan di penghujungnya ada pengajaran. Jadi mereka akan tenang sahaja dengan ujian dan musibah yang mereka terima.
Di permulaan, Allah ﷻ menyebut لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (supaya kalian memahaminya). Di hujung surah, Allah ﷻ sebut siapa yang akan memikirkannya iaitu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ (orang-orang yang mempunyai akal yang suci).
Di permulaan surah, Allah ﷻ menekankan hal-hal yang menekankan kejelasan iaitu ٱلۡمُبِينِ (menjelaskan kebenaran), قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا (Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab) dan sekarang Allah ﷻ sebut di penghujungnya yang akan memahaminya adalah أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ.
Kita telah sebut tentang Komposisi Cincin di dalam Ayat 3. Dan sekarang telah lengkap cincin bagi surah ini seperti di bawah.
Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat sahaja.
- Apakah maksud linguistik bagi kalimah Ibrah (عِبرَةٌ) dan bagaimanakah ia berkaitan dengan air mata?
- Mengapakah kalimah Qasas (قَصَصِ) digunakan dalam bentuk mufrad (tunggal) walaupun merujuk kepada banyak kisah nabi?
- Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Ulul Albab menurut huraian teks?
- Jelaskan mengapa Al-Qur’an disebut sebagai Hadith (حَديثًا) walaupun ia merupakan kalam Allah yang sedia kala (Qadim).
- Bagaimanakah teks membuktikan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak meniru atau “ciplak” kisah Nabi Yusuf daripada kitab Bani Israil?
- Apakah maksud konsep “bercerai tetapi bersambung” dalam konteks kalimah Tafsil (تَفصيلَ)?
- Sebutkan dua daripada empat syarat utama untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk (Hudan) dalam kehidupan.
- Apakah perkaitan antara sifat Rahmah (kasih sayang) Allah dengan organ kandungan ibu (Rahim)?
- Mengapakah peringatan tentang azab dan neraka dalam Al-Qur’an juga dianggap sebagai satu bentuk rahmat?
-
Bagaimanakah kalimah Yu’minun (يُؤمِنونَ) memberi harapan kepada orang awam yang imannya masih belum sempurna?
Glosari Istilah Utama
|
Istilah
|
Definisi
|
|---|---|
|
Ibrah (عِبرَةٌ)
|
Pengajaran yang mendalam; secara literal bermaksud menyeberangi atau berpindah dari penglihatan zahir kepada kefahaman batin.
|
|
Ulul Albab (أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ)
|
Golongan yang memiliki akal yang suci dan matang; “Albab” bermaksud isi atau teras buah yang melambangkan hakikat kebenaran.
|
|
Hadith (حَديثًا)
|
Berita, percakapan, atau sesuatu yang baharu; digunakan untuk merujuk kepada Al-Quran dan juga kata-kata serta perbuatan Nabi ﷺ.
|
|
Tafsil (تَفصيلَ)
|
Penjelasan yang terperinci; proses memisahkan bahagian-bahagian ilmu supaya jelas perbezaannya namun tetap saling berhubungan.
|
|
Hudan (هُدًى)
|
Petunjuk; dalam bentuk isim masdar yang menunjukkan Al-Quran itu adalah zat petunjuk itu sendiri secara mutlak.
|
|
Rahmah (رَحمَةً)
|
Kasih sayang dan belas kasihan; sifat Allah yang memberi perlindungan, rezeki, dan pengampunan kepada makhluk-Nya.
|
|
Tadabbur (تَدَبُّر)
|
Perenungan yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk memahami maksud dan mengambil pengajaran bagi tujuan amalan.
|
|
Fitrah (فِطْرَة)
|
Sifat asal manusia yang suci sejak lahir, yang cenderung kepada kebenaran dan ketauhidan sebelum dipengaruhi faktor luar.
|
|
If-tara (افترى)
|
Mengada-adakan dusta atau melakukan rekaan; merujuk kepada perbuatan mengubah kisah benar menjadi palsu.
|
|
Amn (أمن)
|
Ketenteraman atau rasa selamat; akar kata bagi “Iman” yang membawa maksud bahawa beriman itu memberi keamanan kepada jiwa.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.
Kemaskini: 26 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


