Ringkasan Tafsir Surah Yusuf

Terdapat keindahan dalam kisah tentang Nabi Yusuf dalam surah ini. Mari kita lihat satu persatu:

Seperti kita baca, di awal surah ini disebut tentang mimpi Nabi Yusuf tentang bulan, matahari dan bintang-bintang sujud kepada baginda. Dan kemudian kita diberikan dengan banyak lagi kisah-kisah lain. Semua kisah-kisah itu satu persatu mengarah kepada penyelesaian kepada mimpi baginda yang pertama itu.

Kita telah membaca tentang ‘telaga’ dan ‘penjara’. Itulah adalah dua tempat yang Nabi Yusuf telah dimasukkan. Maknanya, baginda telah dimasukkan ke dalam kegelapan sebanyak dua kali.

  1. Kegelapan yang pertama adalah kerana benci dan satu kerana cinta. Abang-abangnya memasukkannya ke dalam telaga kerana mereka benci kepadanya; dan baginda dimasukkan ke dalam penjara kerana cinta isteri menteri kepadanya.
  2. Kegelapan yang pertama itu, baginda keluar sebagai hamba dan dari kegelapan yang kedua, baginda keluar sebagai menteri.

Indah sekali dua percanggahan ini dari apa yang terjadi. Tahulah kita bahawa semua yang terjadi adalah dalam iradah Allah.

Ada dua kali disebut tentang abang-abang baginda keluar dari tempat tinggal mereka. Sekali untuk bawa Nabi Yusuf keluar dan sekali lagi untuk bawa Bunyamin keluar.

  1. Pada pertama kali abang-abangnya itu keluar, seorang adik mereka berkurang (Nabi Yusuf a.s.). Dan pada kali kedua, seorang lagi adik mereka berkurang iaitu semasa mereka ke Mesir.
  2. Pada kali pertama, mereka memang berniat hendak meninggalkan adik mereka, tapi kali kedua, niat mereka tidak begitu. Walaupun mereka memang tidak berniat meninggalkan adiknya kali kedua tapi Allah tetap juga jadikan begitu. Allah buat apa yang Dia nak buat.

Ada dua kali abang-abang itu berbincang semasa mereka:

  1. Kali pertama mereka berbincang macam mana nak membuang seorang adik mereka (Nabi Yusuf)
  2. Dan kemudian mereka mengadakan satu lagi perbincangan untuk menyelamatkan seorang lagi adik (Bunyamin).

Pada kali pertama itu, mereka berbincang kerana mereka rasa ayah mereka lebih sayang kepada satu adik; kali kedua adalah untuk menyelamatkan diri mereka dari dibenci oleh ayah mereka.

Ada dua jenis cinta yang memusnahkan dalam surah ini. Kerana cinta yang salah itu dan tidak terkawal, telah menyebabkan kemusnahan: satu, kasih anak kepada ayah dan kedua, kasih wanita cinta kepada lelaki.

  1. Kerana cinta yang salah, terlalu mengharapkan cinta dari ayah, adik beradik itu telah sanggup membuang seorang adik mereka yang mereka rasa menghilangkan kasih ayah mereka kepada mereka. Mencari cinta ayah tidaklah salah, tapi tidaklah sampai menyakiti orang lain.
  2. Kerana terlalu cintakan Nabi Yusuf, isteri menteri itu telah sanggup memberi tekanan kepada baginda; kemudian telah sanggup memasukkan baginda ke dalam penjara.

Begitulah kalau cinta yang tidak terkawal. Ada orang yang ada masalah emosi dan psikologi yang sanggup melakukan perkara-perkara yang di luar tabii manusia yang normal. Hanya kerana hendak mendapatkan kasih orang yang mereka cinta.

Dalam kedua-dua kejadian itu ada rancangan yang terlibat untuk mendapatkannya. Dan kedua-dua rancangan itu melibatkan rancangan yang jahat. Abang-abang Nabi Yusuf merancang dengan teliti untuk meninggalkan baginda dalam telaga – mereka menipu ayah mereka, mereka tinggalkan adik mereka dan buat alasan yang menipu; isteri menteri itu telah menunggu masa suaminya tidak ada, kunci semua pintu dan telah menerkam Nabi Yusuf.

Dan kedua-dua kisah itu ada melibatkan ‘baju’ baginda. Dan dalam kedua-dua kisah itu, baju itu telah menceritakan perkara yang sebenar:

  1. Abang-abang itu telah bawa pulang baju Nabi Yusuf kepada ayah mereka, Nabi Ya’kub. Baju itu berlumuran darah dan mereka kata Nabi Yusuf telah dimakan serigala. Tapi walaupun baju itu berlumuran darah, tapi ianya tidak koyak pun (kalau serigala yang serang dan makan, tentu baju itu juga koyak).
  2. Dalam kes isteri menteri dan Nabi Yusuf, baju juga memainkan peranan yang penting. Baju baginda telah koyak dan seorang saksi dari rumah itu suruh mereka periksa baju itu: koyak di hadapan atau koyak di belakang. Ternyata baju itu koyak di belakang, menunjukkan wanita itulah yang menarik baju itu dari belakang – menunjukkan Nabi Yusuf sebenarnya lari dari wanita itu, bukannya menerkam wanita itu.

Surah ini terus bermula dengan kisah berkenaan Nabi Yusuf. Allah tak kenalkan pun siapa Nabi Yusuf itu. Begitulah kadang filem sekarang pun dimulakan dengan kejadian akhir dulu, macam surah ini juga. Ataupun sepanjang kisah disampaikan, kita mula berkenalan sikit demi sedikit dengan siapakah Nabi Yusuf a.s. itu.

Begitu juga Allah tak kenalkan pun siapakah abang-abang baginda juga, tapi kita boleh agak dari awal-awal lagi yang abang-abang  mereka tidak baik akhlak mereka kerana Nabi Ya’kub tidak benarkan Nabi Yusuf menceritakan tentang mimpi baginda itu. Dan kemudian memang kita belajar apa yang mereka lakukan terhadap baginda.

Watak utama dalam surah ini tentunya  Nabi Yusuf. Sepanjang surah ini ianya berkenaan baginda walaupun menceritakan orang  lain. Ada banyak kisah dan semuanya berkait dengan baginda. Satu persatu kita dihidangkan dengan kisah yang menarik. Apabila Nabi Yusuf sudah di Mesir, kisah di kampung tentang Nabi Ya’kub dan anak-anak yang lain tidak disebut lagi. Dan kemudian timbul balik apabila ada interaksi dengan Nabi Yusuf.

Tema yang disentuh dalam surah ini tentunya sesuatu yang paling penting untuk diberi perhatian. Allah menekankan berulang ulang kali yang Allahlah yang dominan dalam setiap perkara, kecil atau besar. Ini kita boleh lihat dalam ayat 21 dan disentuh dalam semua kisah dalam surah ini.

وَاللَّهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ.

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Allah berkuasa penuh dalam mengawal. Kalau manusia yang mengawal, selalu orang yang mengawal itu sentiasa ada di sisi yang dikawal. Allah pula memang sentiasa mengawal, tapi kita tidak nampak Allah ada. Kita tidak perasan yang ada ‘tangan Allah’ dalam mengawal kerana Allah لَطيفٌ dalam perbuatanNya seperti yang disebut dalam ayat 100

إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ.

Sesungguhnya Tuhanku amat halus tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya;

Maksudnya Allah memang mengawal tapi dalam masa yang sama Allah amat halus perbuatanNya sampaikan kita tidak perasan. Walaupun kita tak perasan, tapi semua yang berlaku adalah dalam urusan Allah. Lihatlah bagaimana kawan penjaranya lupa untuk beritahu kepada Raja, menteri lupa keluarkan Yusuf dan semua sekali perkara-perkara kecil. Semuanya itu adalah dalam perancangan Allah semata-mata.

Allah buat semua perkara dan Dia mengurus semua kejadian dalam alam ini. Mungkin kadang-kadang ada yang kata: “kenapa Allah tak urus macam yang aku hendak? Kenapa Allah tidak buat yang baik-baik sahaja? Kenapa ada kesengsaraan dalam dunia ini?” Dan sebagainya lagi kata-kata hati manusia. Jadi ini ada masalah dalam kalangan manusia yang tidak faham.

Jadi untuk menjawab persoalan ini, ada dua sifat lagi yang disebut dalam surah ini yang mengimbangkan dua sifat tadi (غالِبٌ dan لَطيفٌ).

Ini disebut dalam ayat 6:

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah beritahu yang Dia عَليمٌ dan حَكيمٌ. Allah maha tahu apa yang berlaku dan Dia maha tahu apa yang kita sedang lalui. Tidak ada apa yang berlaku yang Dia tidak tahu. Dan apa yang Dia benarkan terjadi adalah dalam rancanganNya yang maha bijaksana. Kita sahaja tidak tahu kenapa sesuatu perkara itu terjadi. Dan tiga kali disebut tentang sifat عَليمٌ حَكيمٌ dalam surah ini – di awal, tengah dan akhir – di tempat yang kisah yang penting dan kritikal. Ini menunjukkan kepentingan perkara ini.

  1. Di masa awal dalam 6 di atas – Allah hendak memberi harapan kepada Nabi Yusuf.
  2. Di dalam ayat 83  diulang sekali lagi. Ini adalah selepas Nabi Ya’kub menerima berita yang Bunyamin telah ditangkap di Mesir. Baginda menyerahkan kepada Allah kerana Allah itu العَليمُ الحَكيمُ. Baginda sedar yang segala ujian adalah atas kebijaksanaan Allah.
  3. Sekali lagi dua sifat ini diulang dalam 100. Ini adalah selepas baginda dapat berjumpa dengan keluarganya, selepas segala masalah dan dugaan baginda selesai. Baginda mengaku bahawa segala apa yang terjadi, segala dugaan yang baginda dan keluarganya hadapi itu adalah atas perancangan Allah yang العَليمُ الحَكيمُ. Baginda menyebut sebagai pernyataan syukur baginda kepada Allah.

Oleh itu ada 4 sifat Allah (غالِبٌ, لَطيفٌ, عَليمٌ dan حَكيمٌ) yang penting yang kita telah sentuh dalam surah ini. Inilah yang kita patut ingat tentang Allah dalam masa-masa susah. Boleh dikatakan itulah 4 sifat yang kita perlu fahami dan ingat sentiasa. Dan dalam ayat 100 itu disebut semua sekali sifat-sifat ini, tapi satu sifat itu (غالِبٌ) disebut dalam bentuk isyarat sahaja. Kerana bila Allah sebut sifat لَطيفٌ, itu sudah termasuk sifat غالِبٌ itu.

Satu lagi tema surah ini adalah tentang kualiti yang setiap Muslim kena ada untuk menangani masa-masa susah. Di dalam ayat 68, Allah memuji Nabi Ya’kub:

وَإِنَّهُ لَذو عِلمٍ لِما عَلَّمناهُ 

Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya.

Dalam ayat ini, ilmu dan pengetahuan disebut. Apakah yang Nabi Ya’kub tahu? Itulah 4 sifat yang telah disebut di atas (غالِبٌ, لَطيفٌ, عَليمٌ dan حَكيمٌ). Kalau manusia dapat terima dan hayati empat sifat Allah itu, maka akan senanglah untuk menghadapi hidup. Memang tidaklah kehidupan kita senang sentiasa, tapi kita akan lebih tabah untuk menghadapinya dan tidaklah kita teruk sangat.

Nabi Ya’kub tidak mengeluh kerana baginda sudah tahu tentang mimpi Nabi Yusuf itu dan baginda tahu yang mimpi itu akan menjadi kenyataan. Oleh itu baginda telah bersabar dan baginda menunggu sahaja bilakah ia akan terjadi. Baginda yakin kerana baginda tahu yang itu adalah wahyu dan ianya pasti akan terjadi – tunggu masa sahaja.

Dan sifat yang kedua, ilmu sahaja tidak cukup. Selain dari ilmu, kita kena ada tawakal. Dan sifat ini disebut dalam ayat 67

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَعَلَيهِ فَليَتَوَكَّلِ المُتَوَكِّلونَ

kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri

Oleh itu, ini adalah dua perkara (عِلمٍ dan تَوَكِّل) yang perlu ada dalam diri manusia untuk capai kehebatan.

Apakah kehebatan yang dimaksudkan? Itulah maqam ‘ihsan’. Dalam kisah Nabi Yusuf ini selalu diulang-ulang dan selalu disebut tentang ‘muhsin’ (orang yang ada ihsan). Ihsan bermaksud orang yang berhati baik. Inilah kehebatan yang kita kena capai dan lawan kepada ihsan adalah buat salah, iaitu ‘zalim’.

Tapi tidaklah boleh terus dapat maqam ihsan itu. Kena lalui proses dahulu. Pertama, kena ada ilmu dan tawakal. Dari ‘ilmu’ dan’ tawakal’ akan keluar ‘taqwa’ dan ‘sabar’. Ini disebut dalam ayat 90:

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik

Maka, dari sini kita dapat tahu, yang bahan untuk dapat ihsan adalah dengan taqwa dan sabar. Maksud ‘taqwa’ itu adalah menjaga diri dari melakukan dosa dan taat kepada syariat. Nabi Yusuf kena uji dengan berbagai-bagai dugaan kerana baginda nak jaga diri baginda dari buat dosa. Kerana hendak menjaga diri baginda dari buat dosa, maka baginda telah dikenakan dengan ujian dan setiap kali itu juga baginda bersabar.

Dan sabar itu bukan dalam masa susah sahaja, tapi dalam setiap keadaan, termasuk dalam keadaan ada kelebihan – ingat lagi bila abang-abang dia kutuk dia (semasa mereka tidak tahu yang mereka sedang berhadapan dengan baginda)? Waktu itu baginda boleh sahaja nak kenakan abang-abang baginda, mungkin marah mereka, tapi baginda bersabar sahaja.

Surah ini mengajar kita bahawa ada ‘rancangan manusia’ dan ada ‘rancangan Allah’. Allah suka kita merancang. Lihatlah bagaimana Allah puji apa yang Nabi Ya’kub lakukan (menasihati anak-anaknya untuk masuk Mesir dari pintu berlainan). Baginda tetap berusaha dalam setiap perkara walaupun baginda tahu yang Allah taqdirkan setiap perkara; baginda tidaklah serahkan kepada Allah sahaja.

Kita tetap berusaha, tapi apabila rancangan kita gagal kerana Allah tidak taqdirkan begitu, waktu itu serahkan sahaja kepada Allah. Dan ada masanya, kadang-kadangan rancangan kita dan rancangan Allah sama dan kita kena bersyukur kerana terjadi seperti yang kita hendak. Dan kalau tak sama, kita tahulah yang Allah itu غالِبٌ (mengalahkan) terhadap apa sahaja yang kita lakukan. Dan kita kena redha dan terima yang rancangan Allah tentu lebih baik.

Ada tiga pengajaran tentang kehidupan yang kita boleh ambil dari surah ini:

  1. dugaan – kita tidak dapat nak elak dari menerima ujian dan dugaan hidup. Lihatlah bagaimana seorang Nabi pun kena uji, seorang budak pun kena uji, seorang ayah yang tua pun kena uji. Maka ujian adalah perkara biasa dalam hidup. Kalau kita dapat terima perkara ini, maka tidaklah kita mengeluh sangat bila kita dikenakan dengan ujian. Kerana kita tahu semua orang kena uji, termasuklah kita juga.
  2. pembalasan – pembalasan yang utama adalah di akhirat nanti. Akan tetapi, pembalasan di dunia pun ada juga. Lihatlah bagaimana balasan baik yang Nabi Yusuf a.s. terima. Itu adalah kalau Allah benarkan.
  3. taubat – selagi hidup, pintu taubat masih terbuka. Abang-abang Nabi Yusuf telah buat kesalahan kepada dua orang Nabi (Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub), sedangkan mereka itu sendiri anak seorang Nabi. Jadi tentu mereka tahu yang apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka tetap lakukan juga. Mereka telah melakukan kesalahan besar, tapi pintu taubat masih terbuka walaupun telah lama. Oleh itu kita tahulah yang sebagai manusia selagi tidak mati, masih ada lagi peluang untuk bertaubat. Maka jangan lepaskan peluang, jangan rasa Allah tak terima taubat sebab sudah banyak sangat dosa.

Para Nabi itu menjadi ikutan bagi kita. Dan kita ada banyak sifat Nabi yang kita boleh belajar dari surah ini. Kita telah belajar banyak sifat-sifat manusia dalam surah ini – ada sifat orang jahat dan ada sifat orang yang baik. Ada banyak karektor dalam surah ini tapi yang paling penting adalah Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub. apa yang kita boleh belajar dari mereka? Apakah sifat Nabi Ya’kub?

  • Baginda pandai menilai. Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf pendek sahaja sebut tentang mimpi baginda (matahari, bulan dan bintang sujud kepada baginda) dan Nabi Ya’kub sudah tahu apa yang akan terjadi dan apa makna mimpi itu dan apa kesannya kalau abangnya yang lain dapat tahu tentang mimpi itu.
  • Sedar tentang realiti semasa. Baginda kenal siapa anaknya yang baik dan mana yang tidak. Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang yang bijak. Tidaklah baginda perasan semua anaknya baik-baik belaka walaupun anak-anak baginda sendiri.
  • Seorang yang sensitif – walaupun baginda redha dengan apa yang terjadi, tapi ujian yang melibatkan anaknya telah menyebabkan baginda menangis sampai buta, tapi dalam masa yang sama baginda sabar. Maknanya, kalau menangis itu, tidaklah bermaksud tidak redha dan sabar. Ini adalah kerana kalau hati kita lembut, kita mudah tersentuh. Ini juga bermaksud, sabar itu tidaklah kena bunuh perasaan kita. Kita masih boleh jadi sedih sebagaimana Nabi Muhammad juga menangis apabila anaknya meninggal. Cuma kita kena pandai jaga emosi kita supaya jangan terlebih.
  • Baginda bijak dan tidak senang ditipu. Apabila anak-anak bawa balik baju Nabi Yusuf yang berlumuran darah, apabila baginda nampak baju itu tidak koyak, dia sudah tahu bahawa anaknya menipu.
  • Ada deria rasa hati yang kuat. Apabila keluar sahaja anak-anaknya dari Mesir dengan baju Nabi Yusuf, baginda sudah dapat rasa kehadiran Nabi Yusuf.
  • Baginda pandai buat rancangan tapi dalam masa yang sama, baginda sedar taqdir Allah. Kita tidaklah menyerah kepada taqdir sahaja, tapi kena berusaha untuk membuat rancangan.

Maka itulah sifat Nabi Ya’kub yang kita boleh cuba untuk ikut. Dan apakah pula sifat Nabi Yusuf yang kita boleh belajar dari surah ini?

  • Kerendahan hati – baginda tidak sombong dari kecil lagi. Baginda seorang yang merendah diri. Baginda bercakap baik dengan ayahnya dan berbaik-baik dengan abang-abangnya.
  • Kuat moral – baginda berusaha untuk menjaga diri baginda dari melakukan dosa. Tapi dalam masa yang sama, baginda sedar yang baginda boleh terjatuh dalam dosa bila-bila masa. Tidaklah baginda rasa angkuh yang baginda tidak mungkin buat dosa. Baginda sedar yang baginda juga ada nafsu. Baginda sedar yang baginda adalah manusia.

Kita pun kena tahulah kelemahan dan kekuatan kita. Kita kena tahu yang kita semua ada nafsu dan sedar yang ia boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Apabila kita sedar perkara ini, maka kita bolehlah berhati-hati. Tidaklah kita bermain-main dengan perkara yang boleh menyebabkan kita gagal. Kalau nafsu kita kepada perempuan itu tinggi, maka kita janganlah berkumpul dan bermesra dengan mereka.

  • Kuat menjalankan dakwah – lihatlah bagaimana apabila ada peluang sahaja, baginda akan terus sampaikan dakwah – lihatlah dakwah baginda dalam penjara.
  • Keyakinan diri – baginda tidak malu untuk sampaikan agama. Dan yakin dengan kemampuan dan kelebihan baginda sampai baginda meminta dilantik sebagai menteri kewangan. Oleh itu, kita kena sedar yang ada masa kita kena rendahkan diri kita dan ada masa kita kena yakin dan kena letak diri kita di hadapan kerana memang kita layak.
  • Sedar kepentingan maruah – dalam baginda mempertahankan dan membersihkan nama baik baginda, baginda tidak malukan maruah tuannya kerana tuannya itu yang telah jaga baginda dari kecil; baginda juga sedar tentang kepentingan maruah sampaikan baginda tidak ambil peluang untuk dapat keluar dari penjara, dengan maruahnya masih tercalar. Baginda hanya mahu keluar setelah kesnya didengari dan dibuat keputusan oleh Raja. Baginda juga menjaga maruah abang-abangnya dan tidak memburukkan mereka.

Apakah kaitan kisah Nabi Yusuf ini dengan perjuangan dakwah Nabi Muhammad?

  • Nabi Yusuf cuba mengikut jejak langkah ayahnya Nabi Ya’kub – Nabi Muhammad pula melakukan perkara yang sama dengan datuknya Nabi Ibrahim a.s.
  • Nabi Yusuf telah ditolak oleh abang-abangnya – Nabi menerima nasib yang sama dengan kaum baginda.
  • Nabi Yusuf dihalau dari tempat tinggalnya – begitu juga dengan Nabi Muhammad yang dihalau dari Mekah, juga tempat tinggal baginda.
  • Nabi Yusuf akhirnya menguasai abang-abangnya – begitu juga Nabi Muhammad apabila dapat menguasai Mekah.
  • dan banyak lagi persamaan antara mereka.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Yusuf yang amat menarik ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah ar-Ra’d.

Kemaskini: 28 Mac 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Ringkasan Tafsir Surah Yusuf”

Leave a comment