Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (3) (Ikut Rasul tinggal Syirik)

أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌

aku dan orang-orang yang mengikutiku

Frasa ini membawa implikasi yang luar biasa. Ayat itu boleh difahami sebegini: “Aku menyeru kepada Allah. (Dan) di atas wawasan aku (berdiri) dan sesiapa yang mengikutiku.” (أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي عَلَىٰ بَصِيرَةٍ). Implikasinya sangat mendalam: Baseerah bukan sahaja asas untuk berdakwah, tetapi ia adalah asas kepada keseluruhan identiti seorang Muslim. “Berdiri di atas wawasan” adalah definisi sebenar seorang pengikut Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an sering mencela mereka yang tidak mempunyai asas, dengan menyatakan mereka “tidak berdiri di atas apa-apa pun” (لَيْسُوا عَلَىٰ شَيْءٍ). Bagi seorang Muslim, Baseerah adalah asas yang sah bagi kewujudannya.

Siapakah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى itu? Yang pertama tentunya para sahabat yang mula-mula beriman dan berjuang menegakkan agama Islam dengan Rasulullah ﷺ. Allah ‎ﷻ memilih para sahabat untuk mendampingi Nabi ﷺ, menegakkan agama, dan menyebarkan risalah. Mereka adalah orang-orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit berpura-pura, paling lurus petunjuknya, dan paling baik keadaannya. Mereka dipilih Allah ‎ﷻ untuk menjadi penolong agama-Nya dan pendamping Nabi-Nya. Para sahabat memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Mereka adalah orang-orang yang paling dekat dengan Nabi ﷺ, paling mirip dengan baginda dalam perilaku, akhlak, dan keutamaan. Para sahabat berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk menegakkan Islam, menasihati umat, dan menyebarkan agama hingga Islam tersebar luas dan syirik serta kebatilan dihancurkan. Apa pentingnya bagi kita? Kita hendaklah belajar daripada mereka, buat apa yang mereka buat dan tinggalkan perkara yang mereka tidak buat dalam hal agama. Kalau mereka tidak sambut Maulidur Rasul, sudah kenapa kita memandai hendak sambut? Kalau mereka buat tidak tahu tentang Nisfu Sya’ban, maka kenapa kita pula berlebih-lebihan pula?

Kemudian kalimah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى menghubungkan kita zaman sekarang secara langsung dengan Rasulullah ﷺ pada tahap yang lebih intim. Mengikut baginda, bukan sekadar meniru perbuatan luaran (sunnah), tetapi juga berkongsi asas dalaman yang sama. Apabila kita berusaha membina wawasan kita sendiri tentang agama ini, kita sebenarnya sedang berusaha untuk memiliki setitis daripada lautan Baseerah yang dimiliki oleh baginda. Oleh itu, wawasan ini adalah satu cabaran dan seruan. Untuk benar-benar menjadi pengikut sejati, seseorang mesti berusaha untuk membangunkan pemahaman yang mendalam tentang agamanya, bukan hanya mengamalkannya secara ritual atau tradisi.

Frasa ini mengajak kita untuk mengikut Sunnah Rasulullah. Jarak masa kita dengan baginda beribu tahun, akan tetapi ayat ini menghubungkan kita dengan baginda. Kalau kita makan dengan tangan kanan, kita berhubung dengan baginda; begitu juga kalau kita masuk tandas dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan, itu juga menghubungkan kita dengan baginda. Ketika melakukannya, kita ingat yang aku buat begini kerana Rasulullah ﷺ yang suruh, Rasulullah ﷺ buat begini dan aku hendak ikut cara baginda. Dan ada banyak lagi Sunnah-sunnah baginda yang kita boleh pelajari. Semua itu menghubungkan kita dengan baginda. Tidakkah kita mahu berhubung dengan baginda? Baginda sudah ada Baseerah, takkan kita tidak mahu ada sedikit daripada Baseerah yang baginda ada itu?

Perhatikan frasa dalam ayat ini: “Aku dan sesiapa yang mengikutiku“. Dari sudut retorik, pengulangan perkataan ana (aku) memberi penekanan yang sangat kuat. Ia seperti berkata, “Sayalah yang mengajar bahasa Arab dan pembantu saya juga.” Ini berbeza daripada sekadar berkata, “Saya dan pembantu saya mengajar bahasa Arab.” Pengulangan “saya” itu menegaskan peranan utama dan kemudiannya menyertakan orang yang lain ke dalam misi yang sama.

Apakah maksudnya? Maksudnya, orang yang bersama dengan baginda itu bukan sahaja bersama baginda di atas jalan itu, tetapi mereka juga bersama-sama baginda mengajak orang lain ke atas jalan itu. Ia bermaksud sesiapa yang benar-benar memilih untuk menjadi pengikut Rasulullah ﷺ secara automatik telah mendaftar untuk satu misi: misi menyeru manusia kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukan satu pilihan tambahan; ia adalah komitmen yang tersirat dan aktif. Menjadi pengikut bukan sekadar amalan peribadi yang pasif. Ia adalah satu pengisytiharan bahawa anda kini membawa obor yang sama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Anda juga adalah seorang penyeru, pendakwah kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ

dan Maha Suci Allah, 

Ada muqaddar (penambahan perkataan) di dalam ayat ini: “Aku akan sentiasa kata Allah ‎ﷻ yang maha suci.” Ertinya, ini adalah kalimah pernyataan yang menyucikan Allah ‎ﷻ, mengagungkan-Nya, dan membesarkan-­Nya daripada semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, ibubapa, isteri, pembantu atau penasihat. Mahasuci dan Mahatinggi Allah ‎ﷻ daripada memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya. Mensucikan Allah ‎ﷻ daripada segala sifat yang lemah.

 

Maksud Tasbih

Kita sering mengulang-ulang zikir, doa, dan ayat-ayat suci. Kalimah seperti “Subhanallah” meluncur dengan laju di bibir, tetapi pernahkah kita berhenti seketika dan bertanya: “Apakah sebenarnya yang saya lafazkan?” Kadang-kadang, makna yang paling mendalam tersembunyi di sebalik frasa yang paling biasa kita gunakan. Maka di dalam kalimah tasbih ini terkandung kebijaksanaan yang luar biasa. 

“Subhanallah” sering diterjemahkan sebagai “Maha Suci Allah”, tetapi makna sebenarnya jauh lebih mendalam. Kata akarnya س ب ح bermaksud berenang atau terapung. Bayangkan sebuah objek yang terapung di atas air, tidak tenggelam. Inilah konsep Subhanallah yang kita boleh bayangkan. Ia bukan sekadar pengakuan pasif tentang kesempurnaan Allah ‎ﷻ. Sebaliknya, ia adalah satu penegasan aktif untuk menolak sebarang sifat kekurangan atau ketidaksempurnaan daripada dikaitkan dengan-Nya. Ia adalah satu ikrar untuk secara proaktif melindungi konsep ketuhanan daripada sebarang pencemaran.

Apabila kita menyebut “Subhanallah”, kita sebenarnya sedang membuat satu pengisytiharan yang menyeluruh: “Aku berikrar bahawa aku tidak akan sekali-kali mengatakan atau membayangkan apa-apa sahaja tentang Allah yang kurang daripada sempurna. Rahmat-Nya sempurna, perancangan-Nya sempurna, apa sahaja… kalau berkenaan DiriNya…. adalah sempurna. Petunjuk-Nya sempurna malah apa sahaja, jika ia dinisbahkan kepada-Nya, pasti sempurna. Jika ia datang daripada-Nya, ia semestinya sempurna…” Ia adalah satu komitmen untuk melihat segala yang datang daripada Allah ‎ﷻ sebagai sesuatu yang sempurna, dan kita secara aktif menolak untuk mengaitkan sebarang kecacatan kepada-Nya.

Jadi, ia bukan sekadar zikir kosong yang dilakukan kebanyakan orang, subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. tetapi tidak faham pun yang disebutnya. Hanya sebutan di mulut dan bibir sahaja, dengan nada yang lemah longlai rasa sekejap lagi hendak tidur sahaja. Malah ada yang melanggar kalimah itu kerana melakukan syirik terhadap Allah ‎ﷻ! Kerana kalau kita melakukan syirik, maka kita telah merendahkan kedudukan Allah ‎ﷻ sama seperti makhluk! Subhanallah maksudnya berlawanan dengan syirik, tetapi mereka buat pula syirik! 

 

Merendahkan diri

Ayat 108 ini bermula dengan banyak penekanan pada diri: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku“, “aku menyeru”, “aku dan sesiapa yang mengikutiku“. Penekanan pada peranan “aku” ini sangat kuat. Namun, sejurus selepas penekanan ini, Al-Qur’an meletakkan kalimah Subhanallah. Mengapa? Ia berfungsi sebagai pengimbang yang amat penting. Ia adalah peringatan segera bahawa walaupun peranan si penyeru itu besar, kesempurnaan mutlak hanya milik Allah ‎ﷻ.

Al-Qur’an secara konsisten meletakkan Rasulullah ﷺ pada kedudukan manusia yang paling mulia, tetapi pada masa yang sama, sentiasa menegaskan bahawa Allah ‎ﷻ jauh lebih tinggi. Nabi Muhammad ﷺ juga adalah manusia dan ada kesalahan yang baginda lakukan dan Allah ‎ﷻ akan terus menegur baginda. Jadi ini penting untuk difahami untuk mengelakkan bahaya pendewaan. Umat terdahulu, kerana cinta yang mendalam terhadap Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, telah mengangkatnya ke taraf Tuhan. Bayangkan betapa besar risiko itu bagi umat Islam, yang rasa cintanya kepada Nabi Muhammad ﷺ begitu meluap-luap. Kerana tidak faham perkara inilah, memang sudah ramai umat Islam yang mendewakan Rasulullah ﷺ, bukan? Malah ada ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Allah!

Pengajaran praktikalnya amat jelas: bagi sesiapa sahaja yang berkongsi ilmu agama hari ini, kalimah Subhanallah adalah benteng melawan ego. Ia menghalang diri daripada perasan hebat sangat. Ia adalah peringatan untuk sentiasa merendah diri dan memastikan fokus sentiasa kembali kepada Allah ‎ﷻ, bukan kepada diri sendiri.

 

Sifat Allah

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, perkataan “Allah” bukanlah sesuatu yang asing. Penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab juga menggunakannya. Malah di Malaysia juga ada golongan Kristian yang tanpa segan silu hendak menggunakan Nama Allah bagi Tuhan mereka. Jadi, apabila Nabi ﷺ berkata “aku menyeru kepada Allah,” apa yang membezakan seruan baginda? Allah yang mana yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam ayat ini?

Jawabnya terletak pada kalimah Subhanallah. Seruan Islam bukan sekadar seruan kepada “Tuhan”, tetapi seruan kepada Tuhan yang Maha Sempurna (Subhan), yang bebas daripada sifat-sifat kemanusiaan (seperti berdendam, menyesal, atau berat sebelah) yang sering digambarkan dalam kepercayaan lain. Ia tidak sama dengan tuhan-tuhan mereka yang memiliki sifat-sifat manusia seperti cemburu, benci, takut, berdendam dan sebagainya. Itu bukan Allah yang sebenar.

Perbuatan Tasbih ini juga menghalang kita daripada memandai mengatakan tentang Allah ‎ﷻ daripada fikiran kita sendiri. Ini boleh terjadi kepada kita yang tidak belajar tentang sifat-sifat Allah, kemudian kita sendiri buat pandai mengatakan Allah ‎ﷻ begitu dan begini. Ini amatlah salah kerana yang kita reka itu adalah fikiran kita tentang sifat-sifat manusia yang kita tempekkan kepada Allah ‎ﷻ, sedangkan Allah ‎ﷻ tidak begitu! Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang bukan makhluk. Jadi kita kena tahu sifat-sifat Allah daripada apa yang Dia sendiri beritahu tentang Diri-Nya di dalam Al-Qur’an dan sifat-Nya yang Rasulullah ﷺ terangkan kepada kita. Maknanya, kena ada sandaran kepada wahyu.

Frasa “menyeru kepada Allah” itu sendiri adalah satu istilah payung yang merangkumi segalanya. Ia bukan sekadar “menyeru kepada kepercayaan”, tetapi menyeru kepada Allah ﷻ sebagai destinasi akhir yang nyata. Ia adalah seruan ke satu jalan yang memuncak dengan pertemuan literal bersama Allah ﷻ, di mana wajah-wajah akan bercahaya melihat-Nya. Ia merangkumi seruan kepada hidayah, kedamaian, keselamatan, dan syurga, kerana semua jalan kebaikan ini akhirnya menuju kepada-Nya.

 

وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

Lawan kepada Tasbih adalah syirik kerana fahaman dan perbuatan syirik itu telah merendahkan kedudukan Allah (sama ada meninggikan kedudukan makhluk ke tahap Allah…. atau merendahkan kedudukan Allah ke tahap makhluk). Maka untuk menguatkan lagi tasbih tadi, sekarang ditambah lagi dengan mengatakan baginda tidak akan melakukan syirik!

Ini adalah pernyataan yang agak kuat kerana ia disebut kepada golongan Musyrikin Mekah yang mengamalkan syirik. Jadi ia adalah satu penolakan kepada mereka dan ini adalah pernyataan yang berani sekali. Bayangkan ketika hampir semua orang di Mekah ketika itu mengamalkan syirik, kita kata kita tolak! Ini kerana agama syirik itu adalah seperti agama negeri itu dan kalau kita menolaknya, seumpama kita menolak kerakyatan tempat itulah, bukan? Namun, baginda sebut juga kerana itulah yang Allah ‎ﷻ suruh baginda lakukan. Maka bagi kita juga jangan takut menolak kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita. Mana yang salah kita sebut sahaja ia salah, jangan takut dengan penerimaan orang yang mendengarnya.

Inilah pegangan dan perjuangan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita telah menyebutkan kaitan antara Nabi Muhammad ﷺ dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mengajak meninggalkan syirik adalah dakwah mereka zaman berzaman. Allah ‎ﷻ sebut di dalam An’am:79 kata-kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan bagaimana dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda sebut pula di dalam Yusuf:38 

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيءٍ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. 

Ternyata menentang syirik dan mengajak manusia meninggalkan syirik adalah perbuatan para Rasul zaman berzaman. Maka amat menyedihkan apabila masyarakat Islam sekarang sudah berlembut dengan syirik. Ada yang melakukan ibadah kepada makhluk, ada yang berdoa kepada makhluk, ada yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada pembantu dan sebagainya. Ini amatlah membimbangkan dan kita tahu kenapa ini terjadi. Kerana masyarakat Muslim sudah jauh daripada wahyu…. malah ia dianggap asing sama sekali. Yang dipegang sekarang adalah kata-kata manusia sahaja tanpa disandarkan kepada wahyu. Al-Qur’an ini hanya dibaca-baca tanpa memahami apakah maksudnya. Jangan kata hendak belajar tafsirnya, tengok terjemahannya pun tidak dilakukan!

Ramai yang perasan mereka itu telah beriman, telah menggunakan nama Islam, memakai jubah, solat, puasa, pergi Umrah dan Haji dan lain-lain lagi. Namun, adakah mereka benar-benar tidak melakukan syirik? Ingat lagi Ayat 106?

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُّشرِكونَ
Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah.

Maka, sekali lagi Allah ‎ﷻ mengingatkan Rasulullah ﷺ untuk menekankan tentang syirik ini dengan kalimah وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ supaya kita benar-benar meninggalkan syirik ini kerana ia amat buruk sekali! Malangnya, ramai sekali tidak tahu apa itu syirik, bukan? Maka kenalah belajar bersungguh-sungguh sampai tahu mana Tauhid dan mana Syirik.

Di dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ berkata bahawa baginda tidak akan melakukan syirik. Dalam ayat ini, Nabi ﷺ tidak berkata ‘kami’ seperti dalam ayat yang lain. Walaupun tadi ada ayat وَمَنِ اتَّبَعَني (dan yang mengikutku), tetapi baginda tidak sebut tentang iman orang lain kerana akidah adalah perkara dalam hati. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengiyakan akidah yang ada dalam diri para sahabat dan orang lain kerana akidah ini mestilah diperiksa sendiri dan pastikan tidak ada syirik sendiri. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berkata yang pengikut baginda tidak melakukan syirik kerana baginda tidak tahu apa yang dalam hati pengikut baginda, sahabat baginda.

Begitu juga dengan kita, kita kena belajar apakah tauhid dan syirik seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an, dan pastikan bahawa akidah kita dan akidah Al-Qur’an adalah sama. Kena sentiasa periksa akidah dan iman kita sama ada selari dengan Al-Qur’an ataupun tidak.

Hanya melalui satu ayat, kita telah mengembara melalui lapisan-lapisan makna; daripada psikologi dakwah, komitmen seorang pengikut, falsafah ketuhanan, hinggalah kepada benteng melawan ego. Ia menunjukkan betapa kayanya dan padatnya setiap kalimah dalam Al-Qur’an. Ia mengajar kita bahawa menjadi seorang Muslim yang berkesan bukan hanya tentang apa yang kita katakan, tetapi bagaimana kita memahaminya, menghayatinya, dan menyampaikannya dengan Baseerah dan kerendahan hati.

Setelah melihat kedalaman makna ini, apakah kalimah biasa yang lain yang akan anda renungkan dengan pandangan yang baharu?

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber.

1. Apakah implikasi frasa “di atas wawasan (Baseerah)” terhadap identiti seorang Muslim?

2. Siapakah golongan pertama yang dimaksudkan sebagai “orang-orang yang mengikutiku” dalam ayat ini?

3. Bagaimanakah seseorang Muslim pada zaman sekarang boleh menghubungkan diri secara intim dengan Rasulullah SAW menurut teks?

4. Apakah kesan retorik pengulangan perkataan “Ana” (Aku) dalam ayat ini?

5. Mengapakah menjadi pengikut Rasulullah SAW dianggap sebagai satu pendaftaran automatik untuk misi dakwah?

6. Secara etimologi, apakah makna akar kata “Subhanallah” dan bagaimanakah ia digambarkan secara visual?

7. Mengapakah kalimah “Subhanallah” diletakkan sejurus selepas penekanan terhadap peranan “Aku” (si penyeru)?

8. Apakah perbezaan antara konsep “Allah” dalam Islam dengan konsep tuhan dalam kepercayaan lain yang disebut dalam teks?

9. Mengapakah Nabi Muhammad SAW menggunakan pernyataan “Aku” dan bukannya “Kami” apabila merujuk kepada penolakan terhadap syirik?

10. Apakah kaitan antara dakwah Nabi Muhammad SAW dalam ayat ini dengan perjuangan Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf AS?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Baseerah (Wawasan)
Pemahaman dan persepsi mendalam yang menjadi asas sah bagi kewujudan serta identiti seorang Muslim dan pendakwah.
Tasbih
Penegasan aktif (melalui kalimah Subhanallah) untuk menyucikan Allah daripada segala sifat kekurangan, kecacatan, atau keserupaan dengan makhluk.
Syirik
Perbuatan merendahkan kedudukan Allah dengan menyertakan tandingan, pembantu, atau menyifatkan Allah dengan sifat-sifat lemah makhluk.
Sunnah
Perbuatan atau cara hidup Rasulullah SAW yang menghubungkan para pengikut dengan baginda merentasi zaman.
Muqaddar
Penambahan perkataan yang tersirat dalam struktur ayat untuk melengkapkan kefahaman makna (contoh: “Aku akan sentiasa kata…”).
Musyrikin
Golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, yang ditentang oleh para Rasul dari zaman Nabi Ibrahim hingga Nabi Muhammad SAW.
Dawah
Misi menyeru manusia kepada Allah yang menjadi komitmen tersirat bagi setiap pengikut Rasulullah SAW.
S-B-H (س ب ح)
Akar kata bagi tasbih yang membawa maksud asal berenang atau terapung, melambangkan pemeliharaan konsep ketuhanan agar tidak “tenggelam” dalam pencemaran sifat makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (2) (Cara Berdakwah)

أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ

aku mengajak kepada Allah 

Apabila Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk berkata, “قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي” (Katakanlah, “Inilah jalanku“), frasa itu membawa makna yang jauh lebih mendalam. Ungkapan “ini jalanku” menunjukkan bahawa baginda sudah pun berada di atas jalan tersebut, bukan sekadar menunjuk ke arahnya dari kejauhan. Bayangkan perbezaannya: berkata “itu jalanku” adalah seperti menunjuk ke satu matlamat masa depan. Tetapi dengan berkata “ini jalanku” adalah seperti seseorang yang sedang berjalan di atas sebuah laluan, dan sambil berjalan, baginda mengajak (أَدعُوٓاْ) orang lain untuk turut serta. Ia adalah satu tindakan yang sedang berlaku, satu demonstrasi yang hidup. Kalau kita dapat bayangkan, seseorang yang sudah berada dan berjalan di atas satu jalan, dan di masa yang sama dia mengajak yang lain untuk mengikutinya. Dan jalan itu menuju ke mana? Kepada Allah ‎ﷻ! 

Wawasan ini mengubah konsep dakwah secara total. Ajakan Rasulullah ﷺ bukanlah kepada suatu set idea atau falsafah, tetapi kepada satu perjalanan yang sudah terbukti dan sedang dilalui. Lebih penting lagi, ia adalah jemputan menuju destinasi, bukan kepada dirinya sendiri. Baginda tidak berkata, “Ikutlah aku,” tetapi “Aku mengajak kamu kepada Allah.” أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌. Ajakan ini bukan untuk memuja peribadinya, tetapi untuk bersama-sama menuju destinasi agung: Allah ﷻ. Iaitu jalan La ilaaha Illallah, Tauhid kepada Allah ﷻ sahaja. 

Kalimah “إِلَى ٱللَّهِ” dalam ini bermakna bahawa segala urusan, tujuan, dan seruan dalam dakwah adalah hanya kepada Allah semata, bukan kepada selain-Nya. Para mufassir menjelaskan bahawa “إِلَى ٱللَّهِ” menunjukkan keikhlasan dan penyerahan total dalam beribadah dan berdakwah, serta menegaskan bahawa semua perkara pada akhirnya kembali kepada Allah untuk diputuskan dan diberi balasan. Penjelasan daripada tafsir menyebutkan:”إلى الله وحده لا إلى أحد غيره. تصير الأمور: أي ترجع وتنتهي جميع الأمور للقضاء فيها والحكم والفصل.” Ertinya: “Kepada Allah saja, tidak kepada selain-Nya. Semua urusan kembali dan berakhir kepada-Nya untuk diputuskan dan ditetapkan hukum serta keputusannya.” Akan tetapi, bagaimana kita tahu ketetapan Allah dan kehendak Allah jikalau kita tidak belajar wahyu Al-Qur’an?

Dan yang lebih menarik lagi, tidak ada maf’ul bihi di dalam kalimah ini. Hanya disebut mengajak sahaja, namun tidak disebut siapa yang diajak? Tidak ada أدعوكم (aku mengajak kalian) atau أدعو الناس (aku mengajak manusia) atau yang lain-lain. Ia dibiarkan tergantung ‘aku mengajak’ dan dibiarkan luas begitu. Ia terbuka kepada mereka yang mendengar (sama ada mahu ikut atau tidak), kepada mereka yang belum mendengar lagi, tetapi akan mendengar nanti; yang dekat dengan baginda, yang jauh dengan baginda; sesiapa sahaja. Tidak terhad kepada orang tertentu, masa dan zaman tertentu, tempat tertentu; sesiapa dan semua diajak! Ketika baginda menyebut ayat-ayat ini, baginda hampir keseorangan dengan para sahabat yang tidak ramai mana pun. Akan tetapi dakwah dan ajakan baginda ini didengar dan sampai sekarang umat Islam adalah agama kedua terbesar di dunia dan berterusan bertambah ahlinya. Bayangkan keadaan baginda ketika itu, tetapi baginda adalah Nabi dalam sejarah yang paling ramai pengikut, bukan?

Dan satu lagi yang menarik adalah Nabi ﷺ menyebut ‘jalan’ sebelum ini yang baginda telah berada di atasnya – هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maknanya, untuk selamat, kena ikut jalan itu. Kalau ikut jalan lain, itu bukan jalan baginda dan jalan yang lain itu tidak akan selamat. Oleh kerana yang betul-betul benar adalah Nabi Muhammad ﷺ, maka kita kena ikut jalan baginda. Ini menolak fahaman seperti sufi tarekat yang kata, jalan Allah itu banyak…. macam hendak pergi ke Kelantan, ikut jalan Grik boleh, ikut jalan Terengganu pun boleh….asalkan sampai ke Kelantan…” Itu mengarut! Kerana kalau hendak jalan yang selamat, kena berada di atas jalan serta mengikut jalan yang diikuti oleh Rasulullah ﷺ! Sekiranya memandai-mandai memilih jalan lain, entah ke mana perginya, dan sebab itulah orang sufi tarekat ini pening sudah pemikiran mereka!

Dan kalau kita perhalusi lagi, baginda suruh ikut jalan yang baginda lalui itu, bukannya ikut baginda. Baginda tidak boleh selamatkan manusia, tetapi jalan itu sebenarnya yang membawa kepada Allah ‎ﷻ dan kepada kesejahteraan. Ini berbeza dengan fahaman Kristian yang kata jalan ke arah keselamatan hanya melalui Jesus (Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Nabi Muhammad ﷺ tidak disuruh berkata begitu, tetapi disuruh mengajak kepada jalan. Bukannya dengan bertawasul kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan memberi salam kepada baginda, sedekah Fatihah kepada baginda, kononnya supaya baginda kenal dan menghargai orang yang buat begitu dan nanti baginda akan selamatkan! Tidak! Kalau hendak ikut Nabi dan selamat seperti baginda, kena ikut jalan bagindalah. Dan untuk itu, kena belajar apakah jalan baginda itu dan ikut seperti apa yang baginda lakukan. Bukannya berharap kepada batang tubuh baginda!

Jangan lupa yang kata-kata ini adalah arahan wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ terus kepada baginda, dan ini adalah tugas baginda. Memang baginda sayang kepada umat dan baginda hendak semua umat baginda selamat. Namun, permulaannya adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Kita juga diajak untuk berdakwah kepada manusia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fussilat:33

وَمَن أَحسَنُ قَولًا مِّمَّن دَعا إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صٰلِحًا
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, 

Cuma bagi manusia selain Rasulullah ﷺ, kita ada diletakkan syarat: وَعَمِلَ صٰلِحًا. Maka, ada suruhan utama, iaitu kena berdakwah, tetapi di dalam masa yang sama ada suruhan kedua iaitu mengerjakan amal soleh. Cuma mengerjakan amal soleh itu jatuh nombor dua, jadi ia adalah suruhan supaya kita bersungguh-sungguh mengamalkan amalan soleh itu, namun ia tetap arahan kedua. Kerana kadangkala kita tidak mampu mengerjakan sepenuhnya amalan soleh itu, tetapi jangan pula kerana tidak mampu kita meninggalkan dakwah.

Namun begitu, kepada Nabi Muhammad ﷺ, tidak disuruh baginda mengerjakan amal soleh di sini; ia tidak sama dengan arahan kepada kita. Kepada Nabi ﷺ, disebut هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku) yang memberi isyarat yang baginda sudah pun mengerjakan amal soleh itu; baginda sudah lulus! Sekarang ajak sahaja.

 

عَلىٰ بَصيرَةٍ

dengan hujah yang nyata,

Bagi kebanyakan kita, iman adalah sesuatu yang diwarisi, diterima sebagai sebahagian daripada tradisi keluarga, Islam keturunan. Bagi yang lain, ia adalah sebuah perjalanan peribadi yang sunyi kerana dia sahaja yang beriman dalam keluarganya. Namun, bagaimana jika iman sejati bukanlah suatu perasaan tenteram di dalam hati, tetapi satu pendirian yang teguh di atas bukti yang nyata? Sekarang kita dijemput untuk menilai semula asas keyakinan kita. Adakah kita hanya mengikut sahaja fahaman dan amalan leluhur kita (tok nenek)? Ayat ini melukiskan gambaran iman sebagai sebuah perjalanan yang aktif, bertenaga, dan yang paling penting, berpijak di atas wawasan yang jernih. Ia bukan sekadar kepercayaan, tetapi sebuah keyakinan yang disengajakan.

Begitulah agama Islam ini, ia adalah agama yang unik. Kalau agama lain, mereka pun ada ‘iman’ dan kepercayaan mereka juga, tetapi mereka kena percaya sahaja tanpa boleh dijelaskan dengan akal yang waras. Jikalau mereka bertanya tentang sesuatu permasalahan kepada paderi atau sesama mereka, mereka akan dimarah balik, akan disuruh percaya tanpa bertanya soalan! Ini seperti masyarakat kita yang hanya membuta tuli mengikut sahaja fahaman dan amalan tok nenek. Yang kadangkala ada juga ustaz yang apabila diminta dalil bagi fahaman atau amalan, akan dimarah balik dan dituduh wahabi! Ini terjadi sebab ustaz itu sendiri tidak ada dalil dan dia pun ikut-ikut sahaja orang dulu (masyarakat atau tok gurunya yang  mengajar). Agama Islam yang sebenar tidak begitu. Agama kita ini ada dalil dan berlandaskan akal yang sihat. Kita tidak disuruh percaya membabi buta.

Namun, apa beza dengan kita yang juga mengikuti ajaran terdahulu seperti Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka juga orang terdahulu daripada kita, bukan? Apa beza dengan orang yang pakai ikut sahaja orang terdahulu? Bezanya adalah mereka itu tidak ada بَصيرَةٍ, iaitu mata hati. Sedangkan para Nabi terdahulu itu di atas baseerah (mata hati). Mata hati ini bukan mata penglihatan kita. Lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, walaupun buta matanya, namun mata hatinya tidak buta. Kita memang kena ikut ajaran para Nabi dan kita lakukan dengan mata terbuka, bukannya ikut membabi buta!

Sekiranya kita kembali kepada analogi berkenaan Rasulullah ﷺ yang di atas jalan, bayangkan jalan yang berliku. Ia berliku kerana jalan itu tidak dibiarkan begitu sahaja oleh syaitan. Ini sepertimana yang Allah ‎ﷻ beritahu dalam A’raf:16-17

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (١٦) ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ (١٧)
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17) 

Jadi, jalan ini bukanlah jalan yang sentiasa tenang tanpa gangguan kerana syaitan sendiri sudah berjanji akan mengganggu kita jika kita berada di atas jalan ini. Bayangkan sebuah jalan berliku, yang kadangkala kita tidak nampak apa yang di hadapan kita, kadang ada banyak pokok yang melindungi kita dari jalan kita, kadang waktu malam dan kita tidak nampak; ketika itu kita memerlukan panduan, bukan? Oleh itu, kenalah ada panduan, seperti kompas atau GPS yang menetapkan kita di atas jalan kita itu. Dan kita telah lihat contoh panduan seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat Yusuf:24

وَلَقَد هَمَّت بِهِۦ‌ۖ وَهَمَّ بِهَا لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ مِن عِبَادِنَا ٱلمُخلَصِينَ
Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada panduan baginda, kita pun ada panduan kita yang membimbing kita. Kita tidak boleh menggunakan alasan segala gangguan  yang mendatang itu kerana kita sudah ada panduan. Kita tidak boleh kata oh zaman sekarang susah, ramai sangat orang yang mengajak kita ke arah kebinasaan, atau apa-apa sahaja alasan. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan keluarga kita, kawan-kawan sekeliling kita, kerajaan, ahli politik dan sesiapa sahaja.

 

Maksud Baseerah

Jadi apakah بَصِيرَةٍ ini? Kalimah “بَصِيرَةٍ” (baseerah) dalam ayat ini memiliki beberapa tafsiran dari para ulama:

  1. Ilmu, Keyakinan, dan Hujjah yang Jelas
    Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran). Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Jadi, baseerah adalah ilmu dan keyakinan yang kukuh serta bukti yang nyata dalam berdakwah. Bagi kita apa? Ia adalah Al-Qur’an, jadi berdakwah mestilah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an.

  2. Pengetahuan Mendalam dan Pemahaman Hati
    Dalam Lisan al-Arab, baseerah diertikan sebagai “عقيدة القلب” (keyakinan hati) dan “اسم لما اعتقد في القلب من الدين وتحقيق الأمر” (nama bagi apa yang diyakini dalam hati tentang agama dan penegasan perkara). Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah pemahaman mendalam yang berakar di hati.

  3. Cahaya dan Kekuatan Hati untuk Melihat Kebenaran
    Sebahagian ulama menyebut baseerah sebagai “قوة في القلب تدرك بها المعقولات” (kekuatan di hati yang dengannya seseorang memahami hal-hal yang masuk akal). Ini seperti analogi mata yang melihat secara fisik, maka baseerah adalah “mata hati” yang melihat kebenaran.

  4. Tingkat Tertinggi daripada Ilmu
    Disebutkan juga bahawa baseerah adalah “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata).

  5. Pembeza antara Kebenaran dan Kebatilan
    Sheikh al-Tusi menafsirkan baseerah sebagai “المعرفة التي يميز بها بين الحق والباطل في الدين والدنيا” (pengetahuan yang membedakan antara kebenaran dan kebatilan dalam agama dan dunia).

Kesimpulannya, “بَصِيرَةٍ” dalam ayat ini bermaksud ilmu, keyakinan, dan hujjah yang jelas, serta kekuatan hati yang mampu membezakan kebenaran daripada kebatilan, sehingga seseorang berdakwah kepada Allah ‎ﷻ dengan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam, bukan sekadar ikut-ikutan atau tanpa dasar.

Dan menarik apabila baginda disuruh menyebut بَصِيرَةٍ yang bermaksud ‘penglihatan’. Baginda tidak menyebut perkataan lain seperti ‘dalil’, ‘hujah’ dan lain-lain. Apabila digunakan kalimah penglihatan, seolah-olah baginda sudah melihat sendiri. Baseerah bukan sekadar dalil atau bukti, tetapi mencakup ilmu, keyakinan, pemahaman mendalam, dan hujjah yang jelas. Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ menafsirkan “على بصيرة” sebagai “على يقين وحق” (di atas keyakinan dan kebenaran).

Ibn ‘Ashur رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutnya baseerah sebagai “الحجة الواضحة” (hujjah yang jelas). Sementara ‘dalil’ hanya bermakna bukti atau argumen, baseerah adalah ilmu yang meresap ke dalam hati dan menghasilkan keyakinan serta pemahaman yang mendalam. Menurut Ibn al-Kamal dan al-Raghib, baseerah adalah “قوة للقلب المنور بنور القدس ترى حقائق الأشياء وبواطنها بمثابة البصر للنفس” (kekuatan hati yang diterangi cahaya ilahi, yang melihat hakikat dan batin sesuatu seperti mata melihat yang lahir).

Ini menunjukkan bahawa baseerah adalah kemampuan hati untuk memahami kebenaran secara mendalam, bukan sekadar mengetahui dalil secara lahiriah. Said bin Wahf al-Qahthani رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut baseerah sebagai “أعلى درجات العلم التي تكون نسبة العلوم فيها إلى القلب كنسبة المرئي إلى البصر” (tingkatan tertinggi ilmu, di mana hubungan ilmu dengan hati seperti hubungan objek yang terlihat dengan mata). Ini menegaskan bahawa baseerah adalah ilmu yang benar-benar diyakini dan dirasakan, bukan sekadar diketahui secara teori.

 

Menyematkan Keyakinan dalam Diri

Maka ini mengajar kita kena percaya kepada agama ini dengan بَصيرَةٍ (pandangan mata hati) dengan penuh yakin dan keyakinan tidak akan datang melainkan dengan ilmu. Jadi kena belajar, luangkan masa untuk menelaah agama ini. Kita kena percaya dalam hati dengan bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama, kita nampak apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi. Apa yang disebut di dalam Al-Qur’an berlaku di hadapan mata kita, menguatkan lagi iman kita terhadap Al-Qur’an. Sebagai contoh, kita akan baca dalam Al-Qur’an ini hujah-hujah penolakan daripada manusia dan kita sendiri perhatikan itulah yang umat manusia cakap sekarang!

Dan manusia yang paling yakin dengan Allah ﷻ adalah Rasulullah ﷺ sendiri. Nabi Muhammad ﷺ sudah berjumpa dengan Allah ‎ﷻ, dan baginda pernah lihat malaikat. Jadi, apa yang disebut oleh baginda adalah benda yang benar, bukan khayalan. Maka kita kena belajar dalil-dalil yang Nabi ﷺ sampaikan, bukannya kata-kata tok guru semata. Guru apabila mengajar, kena beri dalil sekali. Bukannya dengar dia gebang, “tok guru saya ajar”, “ulama’ sudah lama bincang”, tetapi tidak disebut pun nama ulama’, “ada dalam kitab”, tetapi entah kitab mana kita pun tidak tahu. Jangan lagi senang percaya kata-kata orang walaupun mereka itu digelar ‘ustaz’, malah ‘ulama’ sekalipun melainkan mereka berikan sekali dengan dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah.

 

Baseerah dalam Dakwah

Sekarang kita disuruh untuk mengatakan yang kita ajak kepada Allah ‎ﷻ berdasarkan penglihatan yang jelas, bukan dengan mata tertutup. Apabila mereka minta dalil, kita berikan. Mereka minta bukti; kita beri. Ini kerana agama Islam ini bukan agama buta hati, hanya mengikut sahaja. Ia adalah agama yang  berdasarkan bukti.

Kalimat عَلىٰ بَصيرَةٍ juga bermaksud agama kita ini diajar dengan jelas. Kita tidak berselindung kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan agama Islam ini. Yang mengajar sorok-sorok adalah golongan sesat kerana mereka tahu apa yang mereka ajar itu tidak ada dalil dan mengarut. Ini kita boleh lihat pada ajaran sufi tarekat yang terpaksa merahsiakan apa yang mereka ajar kepada anak murid. Apabila mereka ajak anak murid mereka, mereka suruh rahsiakan, kerana mereka kata, “orang lain tidak faham”. Yang sebenarnya, kerana ajaran mereka itu mengarut! Begitu juga dengan Syiah yang sampai terpaksa melakukan taqiyah (menipu) kerana takut mereka akan dilawan kerana memang mereka ajar itu adalah ajaran yang salah.

Ayat “…aku menyeru kepada Allah ‎ﷻ di atas ‘baseerah'” ini sangat penting. Perkataan “عَلَىٰ بَصِيرَةٍ” (di atas wawasan atau bukti yang jelas) adalah antitesis (lawan) kepada konsep kepercayaan buta. Baseerah adalah bukti yang jelas, meyakinkan, dan muktamad; ia adalah keyakinan yang begitu kukuh sehingga seolah-olah kita dapat melihat kebenaran itu dengan mata kepala sendiri.

Secara tatabahasa, penggunaan kalimah عَلَىٰ (di atas) sangat penting. Ayat ini tidak menggunakan بِبَصِيرَةٍ (“dengan wawasan”), tetapi عَلَىٰ بَصِيرَةٍ (“DI ATAS wawasan”). Ini membawa perbezaan yang besar. Ia bermaksud baseerah bukan sekadar alat yang kita gunakan untuk berdakwah; ia adalah tapak, asas, dan landasan tempat kita berdiri. Seluruh keyakinan kita berpijak di atasnya. Ini sangat berbeza dengan sikap para penyembah berhala yang berkata, “Kami hanya mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukan.” Sebaliknya, Islam meraikan teladan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berani menolak tradisi bapanya kerana baginda “membuka matanya” dan mencari kebenaran berasaskan bukti. Malah, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, ketika diuji di sebalik pintu yang terkunci, diselamatkan kerana baginda telah melihat burhan (bukti) daripada Tuhannya — satu manifestasi baseerah dalam keadaan yang paling getir.

Wawasan ini sangat berkuasa kerana ia menunjukkan bahawa Islam mengalu-alukan persoalan, kajian, dan pencarian bukti sebagai jalan menuju keyakinan sejati. Ia bukan agama yang meminta pengikutnya menutup mata, tetapi yang meminta mereka untuk membukanya seluas-luasnya. Maka ini mengajar kita cara berdakwah kepada manusia mesti dengan baseerah. Apa maksudnya? Dakwah Bukan Sekadar “Syarahan”. Ia Adalah Seni Memahami Manusia.

Ramai yang menyangka dakwah itu sekadar menyampaikan ucapan yang telah dihafal. Namun, ayat ini memperkenalkan konsep Baseerah, iaitu celik mata hati atau pandangan yang mendalam. Ia bukanlah alat, tetapi intipati kebijaksanaan (hikmah) dan kemuncak seni retorik (balaghah). Ia adalah keupayaan untuk memahami realiti, keadaan, dan latar belakang seseorang, lalu menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling berkesan. Baseerah adalah keupayaan untuk:

1. Menyesuaikan Mesej Mengikut Individu: Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ pernah ditanya soalan yang sama oleh orang yang berbeza: “Apakah amalan terbaik?” Jawapan baginda berbeza-beza setiap kali, mengikut orang yang bertanya. Kepada seseorang itu, baginda mungkin menyarankan untuk berbakti kepada ibu bapa; kepada yang lain, mungkin jihad. Ini adalah baseerah dalam tindakan. Baginda melihat keadaan rohani dan keperluan unik setiap individu, lalu memberikan nasihat yang paling relevan untuk mereka.

2. Memahami Konteks Semasa: Kita kena gunakan bahasa yang mudah difahami oleh pendengar. Kalau dengan orang kampung, lain bahasa yang kita gunakan dengan pelajar universiti. Ini adalah satu bentuk baseerah moden, iaitu menggunakan kebijaksanaan untuk menjadikan mesej lebih mudah diakses tanpa menggadaikan prinsip. Dakwah yang berkesan bukanlah tentang “memuntahkan” apa yang kita tahu. Ia adalah tentang kebijaksanaan untuk melihat siapa di hadapan kita dan menyampaikan kebenaran dengan cara yang paling menyentuh hati mereka. Kalau kita tahu latarbelakang mereka, pengalaman mereka, pendidikan mereka dan apa yang mereka suka, maka kita boleh gunakan maklumat itu untuk memberi nasihat yang lebih tepat kepada mereka. 

 

Sauh Hidup

Dengan ada baseerah ini, hidup kita akan lebih tenang. Dalam Teori Hierarki Keperluan Maslow, Maslow menyebut tentang keperluan asas manusia. Selain keperluan fizikal yang paling utama, manusia memerlukan rasa aman. Antara rasa aman itu adalah seseorang yang memiliki tempat tinggal yang tetap. Kalau berpindah randah, seseorang itu rasa dia tidak ada tempat yang tetap.

Ini kita boleh lihat dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Secara fizikalnya, baginda sentiasa berada di tempat asing: dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, tinggal di rumah Al-Aziz dan kemudian telah dipenjarakan. Baginda sentiasa jauh dari “rumah”. Namun, “rumah” dan sauhnya yang sebenar adalah baseerah—wawasannya yang jelas tentang Tuhannya. Hubungan inilah yang menjadi tempatnya berlindung. Baseerah inilah yang memberikan rasa selamat dan ketenangan (sakinah), tidak kira apa pun keadaan luaran yang melanda. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ra’d:28 

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Kita kena ingat yang kita ada Allah ‎ﷻ. Jadikanlah Allah ‎ﷻ sebagai sauh kita, tempat kita berharap, tempat kita mengadu. 1. Ya Allah!…. Ia adalah sauh (anchor) spiritual yang mengikat seseorang kepada asal-usulnya. Lebih mendalam lagi, ia mengembalikan kita ke “rumah” asal kita. Sebelum kita dilahirkan ke dunia ini, roh kita berada bersama Allah ‎ﷻ. Maka, dengan mengingati Allah ‎ﷻ dan berpijak atas baseerah, hati kita sebenarnya sedang “pulang ke rumah” — sumber ketenangan yang paling hakiki. Kalau di dunia, kita akan tenang di rumah kita, tempat asal kita, bukan? Jadi dari segi spiritual, kita dahulu duduk di mana, sebelum kita lahir ke dunia? Bukankah dengan Allah ‎ﷻ? Kerana itu, kita akan tenang kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ! Ini seperti disebut di dalam A’raf:172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. 

Baseerah itu bukan untuk baginda sahaja tetapi kepada mereka yang mengikut baginda juga. Ini kerana agama kita ini bukannya ‘blind faith’ sahaja. Agama ini ada segala bukti. Namun malangnya ramai orang kita yang mengikut sahaja membuta tuli sepanjang masa. Mereka tidak memikirkan tentang dalil-dalil yang ada dan kerana itu iman mereka tidak mantap. Sedangkan Al-Qur’an inilah baseerah untuk kita. Setiap kali kita membacanya, ia menguatkan  iman kita.

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah perbezaan makna antara ungkapan “ini jalanku” dengan “itu jalanku” dalam konteks dakwah Rasulullah SAW?
2. Mengapakah teks menyatakan bahawa seruan dakwah Rasulullah SAW adalah “kepada Allah” dan bukannya kepada peribadi baginda?
3. Jelaskan kepentingan ketiadaan maf’ul bihi (objek yang diajak) dalam kalimah “aku mengajak” dalam ayat ini.
4. Bagaimanakah ayat ini menyanggah fahaman yang mengatakan terdapat banyak jalan untuk menuju kepada Allah?
5. Apakah perbezaan antara konsep keselamatan dalam Islam dengan fahaman Kristian mengikut huraian teks?
6. Mengapakah baseerah (mata hati) dianggap lebih utama daripada sekadar mengikut tradisi nenek moyang atau “Islam keturunan”?
7. Apakah yang dimaksudkan dengan dakwah bukan sekadar “syarahan” tetapi merupakan “seni memahami manusia”?
8. Bagaimanakah gangguan syaitan digambarkan dalam perjalanan di atas jalan yang lurus?
9. Jelaskan kaitan antara baseerah dengan ketenangan jiwa (sakinah) yang dialami oleh Nabi Yusuf AS semasa diuji.
10. Mengapakah seorang guru atau pendakwah dilarang mengajar secara bersembunyi atau tanpa dalil yang jelas?

 

Glosari Istilah Kunci

Amal Soleh: Perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan mengikut syariat dan merupakan bukti praktikal kepada keimanan seseorang.

Baseerah (بَصِيرَةٍ): Secara literal bermaksud “penglihatan”, tetapi dalam konteks agama merujuk kepada mata hati, ilmu yang mendalam, keyakinan yang kukuh, dan hujah yang jelas yang membezakan antara hak dan batil.

Burhan (بُرهَان): Bukti atau tanda yang sangat jelas daripada Tuhan yang mampu memalingkan seseorang daripada kemungkaran, seperti yang diberikan kepada Nabi Yusuf AS.

Dalil: Bukti, hujah, atau argumen yang menjadi sandaran bagi sesuatu hukum atau kepercayaan dalam agama.

Ila Allah (إِلَى ٱللَّهِ): Bermaksud “kepada Allah”; menunjukkan bahawa destinasi dan matlamat akhir segala urusan, ibadah, dan dakwah adalah semata-mata untuk Allah SWT.

Maf’ul Bihi: Istilah tatabahasa Arab yang merujuk kepada objek atau sasaran yang dikenakan perbuatan; dalam ayat ini, ketiadaannya menunjukkan dakwah bersifat sejagat.

Sakinah: Ketenangan hati dan jiwa yang dianugerahkan Allah kepada orang-orang beriman, terutamanya semasa menghadapi ujian.

Sauh Spiritual (Anchor): Perumpamaan bagi hubungan yang kukuh dengan Allah yang mengikat seseorang kepada asal-usul rohnya, memberikan kestabilan dalam mengharungi cabaran hidup.

Taqiyah: Konsep dalam ajaran Syiah yang merujuk kepada tindakan menyembunyikan kepercayaan atau menipu untuk mengelakkan ancaman, yang dikritik dalam teks sebagai tanda ajaran yang tiada dalil.

Tauhid: Konsep mengesakan Allah (La ilaaha Illallah) sebagai teras utama dalam ajaran Islam dan matlamat dakwah para Nabi.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (1) (Inilah jalanku, aku berpegang dengannya)

DAKWAH DENGAN ILMU DAN KEBIJAKSANAAN

Yusuf Ayat 108: Ayat ini adalah salah satu ayat yang mungkin merupakan ayat terpenting di dalam surah ini. Ia pendek, tetapi mengandungi banyak pengajaran di dalamnya yang kita harap kita boleh telusuri. Kita takkan dapat memahami keseluruhan daripadanya kerana setiap ayat adalah seperti satu lautan yang dalam yang kita tidak akan dapat menggalinya. Kalau kita perhatikan ahli tafsir, atau para asatizah yang menyampaikan tafsir Al-Qur’an, kita boleh perhatikan mereka menyampaikan perkara yang berbeza-beza. Mereka tidak berselisih, tetapi setiap daripada mereka melihat satu-satu ayat itu dari perspektif yang berbeza. Kerana itu kalau kita dapat mengambil daripada banyak kupasan, pemahaman kita akan lebih mendalam.

Ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada tauhid. Kalau mereka leka dengan kehidupan mereka dan masih tidak mahu beriman sepenuhnya walaupun kita telah sampaikan kepada mereka, ajak mereka, jelaskan kepada mereka, maka beritahu ini kepada mereka:

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “This is my way; I invite to Allāh with insight, I and those who follow me. And exalted is Allāh; and I am not of those who associate others with Him.”

(MALAY)

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku,

Ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Banyak kali kita bertemu kalimah قُل (katakanlah) di dalam Al-Qur’an. Sebenarnya setiap ayat Qur’an ini baginda Nabi ﷺ mesti sampaikan, akan tetapi kenapa Allah ﷻ suruh lagi baginda beritahu? Ini adalah kerana ia adalah sesuatu yang penting dan kalimah قُل memberitahu kita yang ia adalah amat penting. Jadi Nabi Muhammad ﷺ disuruh oleh Allah ﷻ untuk beritahu sahaja mereka yang degil itu: “Inilah jalan aku”. Kena cakap dengan yakin. Mudah sahaja kata-kata ini. Beritahu kepada mereka bahawa kita ada pendirian; sama ada mereka ikut atau tidak mahu ikut, kita sudah ada pendirian kita yang mantap.

Kadangkala, frasa yang paling ringkas dan pendek menyimpan makna yang paling mendalam. Dalam lautan hikmah Al-Qur’an, terdapat mutiara-mutiara yang tersembunyi di dalam beberapa patah perkataan sahaja, menanti untuk direnungi. Di sini, satu frasa pendek yang diucapkan oleh lidah Nabi Muhammad ﷺ atas perintah Allah: قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي (Katakanlah, inilah jalanku.) Di atas kertas, ia kelihatan seperti satu kenyataan yang mudah. Namun, di sebalik tiga perkataan ini terkandung pengajaran yang sangat relevan tentang identiti, warisan, dan keyakinan diri yang amat diperlukan pada hari ini.

Ayat ini tidak dimulakan dengan “Inilah jalanku,” tetapi dengan satu perintah: “Katakanlah” (قُلْ). Perkataan ringkas ini mengubah segala-galanya. Dengan sifat rendah diri yang luar biasa, Nabi Muhammad ﷺ pastinya lebih cenderung untuk berkata, “Inilah jalan Allah.” Menyandarkan jalan itu kepada dirinya sendiri (jalanku) adalah satu kenyataan yang sangat berani dan menonjolkan diri, sesuatu yang asing bagi keperibadian baginda. Malah banyak sahaja ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut (Jalan Allah). Namun, kali ini baginda disuruh untuk sebut: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maka, perintah قُلْ ini bukan sekadar kata pembuka. Ia adalah satu dorongan ilahi yang ‘memaksa’ Nabi ﷺ untuk membuat pengisytiharan peribadi ini. Baginda tidak ada pilihan lain melainkan cakap seperti yang telah diarahkan itu. Ia memberikan dua perkara yang sangat penting:

1. Kewibawaan Ilahi: Ia menegaskan bahawa Nabi ﷺ hanyalah penyampai. Apa yang bakal diucapkan bukanlah lahir daripada ego, tetapi satu kebenaran daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sendiri yang memberi baginda kuasa untuk berkata, “Ini adalah jalanku.”

2. Perlindungan Ilahi: Bayangkan seorang pengembara yang berjalan (سبيل) sendirian di padang pasir, pasti dia menjadi sasaran yang paling mudah. Apabila Nabi ﷺ berkata, “Inilah jalanku”, baginda berdiri sendirian menentang arus masyarakatnya. Kalau seseorang hendak bercakap besar, maka dia kenalah ada sokongan, bukan? Walau bagaimanapun, ketika Nabi ﷺ cakap begini, baginda boleh dikatakan seorang diri sahaja kerana para sahabat pun lemah ketika itu. Namun, dengan adanya قُلْ, imej seorang yang terdedah berubah menjadi seseorang yang paling dilindungi di dunia, kerana Allah ﷻ berada di belakangnya.

 

Perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) dalam ayat ini boleh ditafsirkan sebagai rujukan kepada sesuatu yang telah berlalu. Memandangkan ayat ini berada di penghujung Surah Yusuf, “Ini” seolah-olah merujuk kepada keseluruhan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baru sahaja diceritakan tidak lama sebelum ini. Apabila Nabi Muhammad ﷺ berkata, “Inilah jalanku,” baginda seolah-olah menyatakan, “Kisah perjuangan Yusuf itu adalah jalanku juga.” Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji di dalam menegakkan agama Allah, Nabi Muhammad ﷺ juga begitu. Kedua-dua mereka di dalam perjalanan menuju Allah ‎ﷻ. Walaupun kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berlaku ribuan tahun dahulu, ia sama sahaja dari segi perjalanan mereka.

Namun, hubungannya jauh lebih mendalam. Ia adalah warisan perjuangan dalam keterasingan. Rangkaian keturunan ini bermula daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan akhirnya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perhatikan sesuatu yang unik: moyangnya, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, berdiri seorang diri menentang kaumnya. Cicitnya, Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, juga terasing seorang diri di Mesir. Kedua-dua mereka menghadapi ujian keterasingan yang dahsyat, satu pengalaman yang tidak dilalui oleh Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan cara yang sama. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji dengan api untuk baginda meninggalkan agama baginda dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji dengan ‘api’ nafsu ketika digoda oleh isteri Al-Aziz. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang sahaja beriman ketika itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga seorang diri dikelilingi oleh orang kafir. Mereka tidak ada sokongan daripada orang sekeliling. Ini tidak sama dengan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka dikelilingi oleh orang-orang beriman.  Jadi kaitan antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat rapat dan kerana itu apabila menyebut leluhur baginda di dalam Ayat 38, baginda tidak sebut nama bapanya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi memulakan dengan menyebut nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. 

Kini, Nabi Muhammad ﷺ yang juga memulakan dakwahnya seorang diri di Mekah, sekarang diperintahkan untuk menyambung rantaian warisan spiritual ini. Dan kaitan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun kita boleh lihat sangat rapat. Baginda juga mula berdakwah seorang diri tanpa bantuan daripada sesiapa yang beriman. Baginda menentang penyembahan berhala seperti juga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada juga disebut riwayat mencuri berhala, bukan?

Maka Nabi Muhammad ﷺ menjadikan kisah-kisah para Rasul sebelum baginda sebagai panduan untuk baginda. Malah terdapat banyak kisah para Nabi di dalam Al-Qur’an yang menceritakan perjalanan hidup mereka dan ujian yang telah mereka terima. Dan ia sama sahaja dengan apa yang Rasulullah ﷺ hadapi. Kalau para Rasul itu dituduh menipu, dituduh sesat, dituduh ahli syair, baginda juga begitu. Baginda juga diingatkan yang baginda meneruskan urusan dakwah mereka. Baginda perlu mengikut contoh mereka seperti disebut di dalam An’am:90

فَأُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِه
“Mereka (para nabi) itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka itu, hendaklah engkau ikut…”

“Inilah jalanku” adalah satu pengakuan bahawa jalan baginda adalah kemuncak kepada legasi para Nabi terulung yang berdiri teguh walaupun bersendirian. Ia bukan jalan baru, tetapi jalan yang telah dilalui oleh jiwa-jiwa terhebat, kini disempurnakan dalam diri baginda. Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ مَثَلِي وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِي، كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ، إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ، وَيَعْجَبُونَ لَهُ، وَيَقُولُونَ: هَلَّا وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ؟ قَالَ: فَأَنَا اللَّبِنَةُ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ»
“Perumpamaan aku dan Nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah bangunan, lalu dia mempercantik dan memperindahnya, kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang pun mengelilingi bangunan tersebut dan merasa kagum, lalu mereka berkata: ‘Alangkah baiknya jika batu bata ini diletakkan?’ Baginda bersabda: ‘Akulah batu bata tersebut, dan akulah penutup para nabi.’

(Sahih Bukhari No. 3535 dan Muslim No. 2286)

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ merujuk kepada ‘jalan’ itu, ia merujuk kepada semua jalan para Nabi yang dikumpulkan dan sekarang ia disempurnakan dengan baginda.

Kalau baginda dan para Nabi dahulunya majoriti berseorangan, maka bagaimana dengan kita sekarang? Populasi Muslim di dunia sekarang agak banyak (25% daripada populasi dunia, agama kedua teramai di dunia dan peratusan peningkatan yang paling banyak). Akan tetapi, masih ramai lagi yang tinggal di negara orang kafir dan mereka rasa keseorangan, tanpa rakan-rakan penyokong, buat berbincangan dan beribadah bersama-sama. Jadi, mereka yang berada dalam situasi ini dapatlah merasakan sedikit sebanyak apa yang dirasai oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi yang lain.

Para Nabi itu hidup di zaman ketika setiap suku menguasai keputusan setiap orang di dalam suku mereka. Segala keputusan dan pilihan semestinya terpakasa mengikut apa yang telah biasa dipegang oleh ahli suku itu. Jadi, bukan senang hendak menerima Islam, ya, kerana itu adalah satu keputusan yang sangat besar. Kalau sesiapa yang memilih Islam ketika itu, mereka itu dipandang serong dan boleh dipulau oleh suku mereka. Jangan sangka ia adalah pilihan mudah seperti memilih baju sahaja. Dan begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat ketika itu. Jadi keputusan memilih jalan wahyu itu adalah berat, namun Allah ‎ﷻ mengajar Rasulullah ﷺ untuk berkata: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku), yang tetap aku akan pilih walaupun suku aku, keluarga aku, kawan aku tidak suka dengan pilihanku ini. Namun, tidak mengapa, kerana bukan aku seorang sahaja yang baru memilih jalan ini, tetapi zaman berzaman orang sebelum aku telah memilih dan melalui jalan ini. Dan aku akan ikut mereka.

Bukan masuk Islam sahaja menjadi serong; kalau sudah Muslim pun, boleh menjadi serong juga, bukan? Iaitu kalau memilih manhaj Islam yang lain daripada kebanyakan orang. Di waktu manusia biasa mengikut amalan dan fahaman tok nenek, kalau kita hendak memilih jalan yang selari dengan Sunnah, bukankah kita dituduh sebagai Wahabi, sesat, pemecah belah umat… dan sebagainya? Ramai bukan yang sedang melalui dilema ini. Ramai yang gagal dan takut dengan pandangan manusia dan takut untuk menyebarkan pandangan Sunnah ini. Kerana puak yang menentang Sunnah ini masih ramai lagi dan mereka amat jahat; mereka tidak berhujah dengan wahyu, hujah dan akal, tetapi dengan emosi. Hujah mereka tidak ada, tetapi maki hamun dan sumpah seranah sahaja. Akibatnya, ramai yang takut dengan ejekan mulut ini, macamlah ejekan itu boleh mencederakan mereka. Namun begitulah, rasa keterasingan itu tetap ada walaupun sudah berada di dalam agama Islam!

Tafsiran kedua bagi perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) ialah ia merujuk kepada masa kini. Dari sudut ini, mesejnya menjadi sangat relevan dalam konteks sosial. Nabi Muhammad ﷺ hidup dalam kalangan kaum Quraisy. Baginda berkongsi segala-galanya dengan mereka: bahasa yang sama, makanan yang sama, pakaian yang sama. Jika ada gambar dari zaman itu, kita mungkin tidak dapat membezakan antara seorang mukmin dan seorang kafir dari segi penampilan. Kalau ada orang merakam gambar Abu Jahal, mungkin kita sangka dia adalah seorang Sheikh besar agaknya! Baginda berkongsi budaya dan makanan yang sama. Namun, pengisytiharan “Inilah jalanku” menjadi satu garisan pemisah yang jelas. Ia menegaskan bahawa walaupun seribu satu perkara kelihatan sama, ada satu perkara asas yang membezakan baginda: jalannya.

Ini mengajar kita bahawa identiti seorang Muslim tidak ditentukan oleh penanda budaya luaran; bukan pakaian, bahasa, atau resepi makanan. Bukan juga bahasa yang dituturkan. Sebaliknya, ia ditentukan oleh keyakinan moral dan rohani yang membentuk prinsip dan haluan hidupnya.

Kita sebagai manusia yang hidup di dalam masyarakat, ada masa kita terpaksa ikut cara pakaian, cara cakap, adat dan kebiasaan dalam sesuatu masyarakat itu. Kerana kita takut dipandang asing, bukan? Apabila menyedari bahawa jalan kita berbeza dengan orang lain, manusia sering terjerumus ke dalam salah satu daripada dua kesilapan ekstrem:

1. Mengasingkan Diri: Menolak sepenuhnya budaya sekeliling dan membina tembok, menganggap semua yang datang dari luar adalah haram.
2. Menggadaikan Prinsip: Terlalu ingin menyesuaikan diri sehingga sanggup berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam yang asas.

Islam tidak mengajar kedua-duanya. Ia mengajar jalan tengah. Seorang Muslim boleh mengambil apa sahaja yang baik daripada mana-mana budaya sambil berpegang teguh pada nilai teras Islam tanpa rasa malu. Kita mesti mempunyai prinsip tanpa terikut-ikut dengan orang lain. Kenapa hendak kena ikut orang lain? Menjadi lebih Islamik bukan bermakna memakai jubah atau pakaian budaya tertentu. Prinsip berpakaian telah ditetapkan dalam Al-Qur’an, tetapi budaya itu sendiri tidak wajib diikuti. Islam tidak ada uniform ya, asalkan sopan dan menutup aurat, itu sudah OK. Tidak salah kalau memakai pakaian orang Barat, orang Cina, orang Arab. Jangan pula kata pakaian orang Barat itu pakaian kafir pula, itu sudah salah faham kalau begitu. Islam adalah agama yang paling boleh diadaptasi dengan mana-mana budaya kerana ia tidak ada uniform tertentu, bahasa tertentu dan budaya tertentu. Malah kalau budaya bangsa yang baru menerima Islam itu tidak berlawanan dengan Islam, ia masih boleh diamalkan, tidak ada masalah. Bukanlah orang yang masuk agama Islam kena cakap Arab, kena pakai pakaian Arab dan tukar nama Arab!

Kita tidak ada masalah hidup di dalam mana-mana masyarakat dan budaya (yang tidak bertentangan dengan Islam). Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hidup di dalam istana Mesir. Baginda menjadi sebahagian daripada masyarakat itu tetapi tidak pernah menggadaikan prinsipnya. Dan prinsip itu di dalam minda dan hati kita, bukannya pada pakaian dan penampilan kita. Maka kita pula janganlah perasan yang kalau pakai jubah dan serban, automatik kita sudah dikira ikut agama yang benar. Belum tentu lagi, kerana kena rujuk juga dengan wahyu. Masalahnya ramai yang tertipu dengan pakaian seseorang, bukan? Sebab itu ramai orang kita tertipu dengan pakaian dan perawakan golongan Habib, yang memakai serban besar dan jubah sentiasa, tetapi apa yang mereka bawa adalah sesat belaka. Ini kerana orang kita tidak pandai menilai. Dengan pakaian pun boleh tertipu!

Selain itu, kenalah ada prinsip yang teguh di atas ajaran Islam. Jangan nampak Islamik, tetapi sebenarnya tidak. Bayangkan di negara kita ini makanan halal senang dicari, masjid dan surau di mana-mana, azan berkumandang, senang sahaja memakai tudung dan menutup aurat tanpa pandangan serong. Maknanya Islam sangat senang diamalkan di sini, bukan? Akan tetapi rasuah masih banyak, penipuan di serata tempat, dan malangnya ia dilakukan oleh orang Islam. Malah golongan agamawan pun banyak yang menipu, yang meliwat dan merogol pun ada sekarang. Jadi di mana Islamnya? Adakah setakat pandai baca Al-Qur’an dengan tajwid mendayu-dayu, tetapi menipu-menipu juga! Ini yang kita tidak mahu. Negara yang ramai dengan orang Islam tidaklah semestinya Islamik. Lebih-lebih lagi kalau pemahaman Islam itu pakai tangkap muat sahaja.

Negara kita ini kita kata negara Islam, namun kadangkala hendak mengamalkan Islam yang sebenar pun susah. Kalau kita orang yang pergi solat berjemaah setiap waktu, itu yang dipandang pelik, bukan? Kalau kita tidak mahu membazir di majlis perkahwinan, itu yang ditegur oleh makcik bawang; kalau kita menasihati kesalahan orang lain dalam agama, kita disindir: “Eleh, macam ustaz pulak dia ni!”; kalau kita hendak kembali kepada ajaran Sunnah, kita dituduh Wahabi dan hendak memecah-belahkan masyarakat!

Apabila Nabi Muhammad ﷺ menyebut سَبِيلِىٓ (jalanku), bukanlah bermaksud jalan itu jalan yang baginda buat. Ia tetap jalan Allah (سَبِيلِ اللَّهِ), tetapi baginda berjalan di atas jalan itu. Macam kita kata “Jalan aku ini ke rumah engkau lagi cepat…” bukanlah bermaksud jalan itu bapak kita yang buat. Maksudnya, kita sedang melalui jalan itu. Jadi apabila Rasulullah ﷺ sebut سَبِيلِىٓ kita boleh yakin yang itu adalah jalan Allah, yang Allah ‎ﷻ tetapkan untuk kita lalui. Baginda tidak mungkin akan reka jalan yang baru. Dan kita mestilah mengikut jalan yang Nabi ﷺ berada di atasnya. Jangan pula ikut ada orang kata: “Kalau Nabi ke kanan dan tok guru ke kiri…aku akan ikut ke kiri…” Ini mengarut sangat!

Mengisytiharkan dengan yakin, “Inilah jalanku,” selalunya datang dengan harga yang mahal. Cabaran terbesar sering kali tidak datang daripada orang asing, tetapi daripada mereka yang paling rapat seperti keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai harapan berbeza untuk kita. Sebagai contoh perhatikan kisah Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi gambaran yang paling tajam. Baginda adalah seorang anak muda yang genius, seorang bintang harapan yang sedang digilap untuk menjadi pemimpin besar kaumnya. Mereka telah melaburkan segala harapan dan aspirasi ke dalam dirinya. Apabila baginda memilih jalan kenabian, menyampaikan wahyu, menegur kesalahan masyarakat, kaumnya meluahkan kekecewaan yang menusuk kalbu. Ini seperti disebut di dalam Hud:62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا ۖ أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ
Kaum Tsamud berkata: “Hai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan. Apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami”.

Sebaliknya, apabila Nabi Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan wahyu kepada mereka dan menolak agama kebiasaan mereka, lalu baginda telah ditolak. Ketika itu dunia mungkin melihatnya sebagai satu kekecewaan, di sisi Allah ‎ﷻ, ia adalah satu kemuliaan. Berdiri teguh di atas jalan kebenaran adakalanya bermakna kita terpaksa menghancurkan harapan manusia untuk memenuhi harapan Tuhan.

Jadi frasa “Inilah jalanku” bukan sekadar tiga patah perkataan biasa. Ia adalah satu pengisytiharan yang padat dengan keyakinan, sarat dengan warisan para anbiya’, dan merupakan satu panduan untuk membina identiti yang seimbang. Ia mengajar kita untuk berdiri dengan perlindungan Allah ‎ﷻ, menyedari bahawa jalan kita adalah kesinambungan legasi yang mulia, dan berani untuk menjadi berbeza secara berprinsip tanpa perlu mengasingkan diri daripada dunia. Dalam dunia yang sentiasa cuba menentukan siapa kita, bagaimanakah kita boleh berdiri teguh dan dengan yakin berkata, “Inilah jalanku?”

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah kepentingan kalimah “Qul” (Katakanlah) yang memulakan ayat 108 ini?
2. Mengapakah penggunaan frasa “jalanku” (sabili) dianggap unik berbanding frasa “jalan Allah” yang lebih lazim digunakan?
3. Bagaimanakah perkataan “ini” (hadzihi) dikaitkan dengan keseluruhan Surah Yusuf?
4. Huraikan dua perkara penting yang diberikan oleh perintah “Qul” kepada Nabi Muhammad s.a.w.
5. Apakah persamaan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Yusuf a.s. menurut teks tersebut?
6. Jelaskan perumpamaan “batu bata” dalam hadis yang dipetik berkaitan dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w.
7. Bagaimanakah identiti seorang Muslim ditentukan mengikut tafsiran ayat ini?
8. Apakah dua kesilapan ekstrem yang sering dilakukan oleh manusia apabila menyedari jalan hidup mereka berbeza dengan masyarakat sekeliling?
9. Mengapakah kisah Nabi Saleh a.s. dijadikan contoh tentang cabaran dalam berpegang kepada kebenaran?
10. Apakah maksud sebenar di sebalik pernyataan Nabi bahawa Islam itu “jalanku” (sabili)?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Targhib
Ajakan atau dorongan yang bertujuan untuk menarik minat seseorang ke arah tauhid dan keimanan.
Basirah
Hujjah yang nyata, ilmu yang mendalam, atau kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah kepada Allah.
Sabili
Bermaksud “jalanku”; merujuk kepada pegangan, agama, dan sistem hidup yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Tauhid
Konsep mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain (lawan kepada syirik).
Mushrikin
Golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam ibadah atau keyakinan.
Manhaj
Sistem, kaedah, atau jalan yang diikuti dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Legasi/Warisan
Rangkaian perjuangan berterusan daripada para nabi terdahulu (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub, Yusuf) yang disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sunnah
Jalan atau amalan yang selari dengan ajaran dan cara hidup Nabi Muhammad s.a.w.
Keterasingan
Keadaan berdiri sendirian dalam mempertahankan kebenaran di tengah-tengah masyarakat yang menentang atau tidak memahami.
Wahyu
Petunjuk langsung daripada Allah (Al-Quran) yang menjadi sumber mutlak bagi jalan (sabil) para Nabi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 107 (Terlalu fokus sampai lalai)

Yusuf Ayat 107:

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ أَو تَأتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لَا يَشعُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?

(MALAY)

Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

 

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ

Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,

Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab pada mereka? Semasa mereka di dunia lagi Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada mereka.

Maksud “غَـٰشِيَةٌ” secara bahasa adalah sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Ia merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia. Ia daripada kata dasar غ ش ي yang bermaksud menutupi, datang kepada sesuatu, begitu banyak, tudung. Azab ini datang secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya (seperti banjir besar kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau jeritan suara yang membinasakan kaum Thamud).

Namun, perhatikan kalimah غَـٰشِيَةٌ adalah di dalam bentuk muannath (feminin) kerana ada ةٌ di dalam kalimah ini. Dalam kaedah bahasa Arab, benda yang bersifat menyelubungi atau meliputi secara menyeluruh sering diletakkan dalam bentuk feminin. Azab ini diibaratkan seperti awan atau kegelapan malam yang “menutup” manusia dari segala arah sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Penggunaan Ta Marbutah (ة) di hujung kalimah tidak semestinya menunjukkan jantina “perempuan”, tetapi boleh berfungsi sebagai mubalaghah (untuk menunjukkan tahap yang sangat tinggi/dahsyat). Ini sama seperti kalimah ‘allamah (عَلَّامَةٌ) yang bermaksud orang yang “sangat berilmu”, jadi kalimah غَـٰشِيَةٌ membawa maksud azab yang sangat dahsyat dan menutup rapat ruang mangsanya. Maka ia menunjukkan ia adalah amaran keras supaya manusia tidak merasa aman daripada bencana duniawi yang boleh datang secara tiba-tiba sebagai balasan atas keingkaran mereka. Begitulah istimewanya Bahasa Arab ini; hanya dengan penambahan satu huruf sahaja ia memberi maksud yang lebih lagi kepada sesuatu kalimah itu.

Akan tetapi jangan kita sangka jenis غَـٰشِيَةٌ ini seperti awan gelap, turun azab dari langit, puting beliung dan sebagainya sahaja. Ia boleh sahaja dalam bentuk kematian seseorang yang kita bergantung kepadanya, kemalangan yang menyebabkan kita tidak boleh bergerak bebas lagi, mungkin kita jatuh bangkrap, ditahan oleh SPRM, penyakit yang tidak nampak jalan sembuhnya.

Apa kaitan golongan Bani Israil dengan ayat ini yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kaitkan kerana kisah di dalam Surah Yusuf ini adalah tentang Bani Israil, jadi kita kena kaitkan juga. Beberapa contoh kekalahan Yahudi pada zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat adalah sebagai berikut:

1. Pengusiran Bani Qainuqa‘ dari Madinah. Bani Qainuqa‘ adalah kelompok Yahudi pertama yang secara terang-terangan melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ setelah Perang Badar. Mereka melakukan provokasi terhadap seorang wanita Muslim, sehingga terjadi pembunuhan dan akhirnya Rasulullah ﷺ mengepung mereka selama lima belas hari. Akhirnya, mereka menyerah dan diusir dari Madinah menuju Syam, serta harta mereka diambil oleh kaum Muslimin.

2. Pengusiran Bani Nadhir. Bani Nadhir berencana membunuh Rasulullah ﷺ ketika baginda datang ke tempat mereka untuk meminta bantuan membayar diyat. Allah ‎ﷻ mengabarkan rencana jahat mereka kepada Nabi ﷺ, sehingga baginda mengepung mereka dan memerintahkan mereka keluar dari Madinah. Harta dan kebun kurma mereka juga diambil oleh kaum Muslimin.

3. Kekalahan dan hukuman Bani Quraizhah. Bani Quraizhah melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ ketika Perang Ahzab (Khandaq) dengan membantu musuh. Setelah perang berakhir, Rasulullah ﷺ mengepung mereka dan akhirnya mereka menyerah. Para lelaki Bani Quraizhah dihukum mati, sementara wanita dan anak-anak mereka dijadikan tawanan, serta harta mereka dibahagi di antara kaum Muslimin.

4. Penaklukan Khaibar. Khaibar adalah benteng Yahudi terbesar di utara Madinah. Rasulullah ﷺ dan para sahabat mengepung dan menaklukkan benteng-benteng Khaibar setelah perlawanan sengit. Kaum Yahudi Khaibar akhirnya menyerah dan diizinkan tetap tinggal dengan syarat memberikan separuh hasil pertanian mereka kepada kaum Muslimin.

Perhatikan bagaimana Allah ‎ﷻ membalas rancangan jahat mereka terhadap Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Tidakkah ini sama seperti rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap baginda? Dan rancangan jahat terhadap Nabi Muhammad ﷺ pun akan dibalas juga terhadap Musyrikin Mekah nanti. Tema غَـٰشِيَةٌ ini banyak disebut di dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Ada orang yang rasa mereka kuat sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang rasa mereka mengusai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan boleh berbuat apa sahaja. Dan begitu juga dengan Musyrikin Mekah. Nanti mereka akan dikuasai dan diliputi oleh perasaan malu dan azab daripada Allah ‎ﷻ.

Begitulah peringatan kepada kita. Jangan kita ingat apabila kita ada kuasa, kita boleh sewenang-wenangnya menghentam orang, berbuat zalim dengan orang lain. Nanti Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu. Kalau kita jenis orang yang lalai terhadap ancaman Allah ‎ﷻ, maka kita akan dengan bermudah-mudahan melakukan kezaliman kepada orang lain tanpa rasa bersalah.

Jadi, di sini kita belajar satu dosa sebenarnya, iaitu dosa rasa aman daripada Azab Allah ‎ﷻ! Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mulk:16

ءَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ
Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?

Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada berbuat salah sahaja atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa. Ingatlah yang kita sekarang duduk aman dan selesa di muka bumi ini kerana jaminan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak goyangkan bumi ini, mudah sahaja bagi-Nya. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah ‎ﷻ.

Namun kepada mereka yang ingkar kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.

Di sini kita dapat tahu ada satu dosa batin, iaitu merasa aman dalam berbuat dosa. Kalau buat perkara mungkar sendiri sudah berdosa, tetapi kalau berasa aman dengannya, itu adalah dosa tambahan. Berapa ramai yang aman-aman sahaja membuat dosa, tidak ingat Allah ‎ﷻ, tidak ingat akhirat? Mereka berbuat dosa seolah-olah mereka tidak akan mati sampai bila-bila, seolah-olah tidak ada akhirat. Kerana itu, Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ pernah berkata bahawa orang beriman itu apabila mereka melakukan kebaikan pun mereka tetap takut kerana entah Allah ﷻ menerima amalnya atau tidak; akan tetapi orang tidak beriman itu buat dosa pun aman tenang sahaja.

Merasa aman daripada azab Allah (الأمن من عذاب الله) adalah dosa besar dalam Islam. Hal ini terjadi kerana sikap merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ menunjukkan kelalaian, kesombongan, dan kurangnya rasa takut kepada Allah ‎ﷻ, serta bertentangan dengan sifat seorang mukmin yang seharusnya selalu berada antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Dalam “شرح العقيدة الطحاوية” [Syarah Aqidah Tahawiyah] dijelaskan bahawa merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ dan berputus asa daripada rahmat-Nya adalah dua hal yang sangat berbahaya dan keduanya dapat mengeluarkan seseorang dari Islam jika diyakini secara mutlak. Allah ‎ﷻ memperingatkan dalam A’raf:99

أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ ۚ فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخٰسِرونَ
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Sikap ini berbahaya kerana dapat membuat seseorang lalai daripada ketaatan, terus-menerus dalam maksiat, dan tidak takut akan hukuman Allah ‎ﷻ. Kesimpulannya, merasa aman daripada azab Allah ‎ﷻ adalah dosa besar dan termasuk sifat tercela yang harus dihindari oleh setiap Muslim. Seorang mukmin seharusnya selalu berada di antara rasa takut akan azab Allah ‎ﷻ dan harapan akan rahmat-Nya.

 

أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Kalau sebelum ini tentang azab ketika di dunia, sekarang azab di akhirat pula. Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan membetulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat. Mungkin semasa di dunia, mereka selamat daripada غَـٰشِيَةٌ, hidup mereka senang lenang sahaja kerana Allah ‎ﷻ memberikan berbagai-bagai nikmat dan kelebihan kepadanya. Mungkin seseorang itu mengamalkan rasuah, tetapi SPRM tidak datang kejar dia, maka dia rasa selamat dan berani buat lagi. Ada orang menipu, tetapi lidah dia tidak kena petir pun. Allah ‎ﷻ bagi hidup dia senang sahaja sampai dia jadi leka. Tapi, jangan dia sangka dia akan selamat daripada satu lagi غَـٰشِيَةٌ iaitu الغاشِيَةِ seperti yang disebut di dalam Surah Al-Ghasyiah.

Perhatikan perbezaan antara  غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ. Kalimah الغاشِيَةِ adalah penambahan ال yang bermakna ia adalah sesuatu yang khusus, yang dikenali. Itulah Hari Kiamat nanti yang semuanya akan hancur dan tidak akan ada yang terselamat langsung! Kadangkala kita dapat peringatan daripada Allah ‎ﷻ dalam bentuk غَـٰشِيَةٌ supaya kita dapat membetulkan diri kita supaya kita selamat pada الغاشِيَةِ nanti.

Perhatikan kalimah بَغتَةً ditambah dengan ta’ marbootah (ة) untuk menguatkan lagi kalimah itu. Ini adalah seperti perbincangan kita tentang kalimah غَـٰشِيَةٌ sebelum ini. Ia akan datang secara mengejut, tanpa tanda. Ia akan datang tiba-tiba, yang tidak pernah dirasai terkejutnya itu selama ini. Maknanya hebat sangat kedatangannya itu. Memang Allah ‎ﷻ bila mengenakan azab, ia akan datang dengan kejutan, tanpa pemberitahuan. Di dalam ayat-ayat lain, dikatakan ketika sedang berniaga, sedang waktu Dhuha, sedang di rumah dan sebagainya. Sebagai contoh lihat A’raf:98

أَوَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا ضُحًى وَهُم يَلعَبونَ
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

Tujuannya adalah Allah ‎ﷻ hendak menambah azab yang dikenakan itu kerana sekiranya ia datang dengan amaran, ia tidaklah sehebat azab yang datang secara tiba-tiba, bukan?

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kena kaitkan dengan mereka kerana Surah Yusuf ini tentang kisah mereka. Bukankah mereka itu perasan yang mereka itu anak-anak Tuhan dan mereka pasti akan selamat dan tidak masuk ke neraka? Dan kalaulah dimasukkan pun, hanya untuk beberapa hari sahaja?  Allah ‎ﷻ berfirman tentang sangkaan mereka ini di dalam Ma’idah:18,

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَىٰ نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ ۚ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم ۖ بَلْ أَنتُم بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: ‘Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya’.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika demikian, mengapa Dia menyeksa kamu dengan dosa-dosa kamu?’ (Tidak), bahkan kamu adalah manusia (biasa) di antara manusia lain yang diciptakan-Nya…”

Dan Allah ‎ﷻ berfirman yakinnya mereka akan selamat di dalam Baqarah:80

وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Dan mereka berkata: ‘Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan selama beberapa hari yang tertentu sahaja.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?’

Adakah kita juga rasa kita selamat? Dalam sebuah eksperimen psikologi yang terkenal (“The Invisible Gorilla” (Gorila yang Tidak Kelihatan) yang dijalankan oleh Christopher Chabris dan Daniel Simons pada tahun 1999), sekumpulan peserta diminta untuk menonton video pendek dan mengira bilangan hantaran bola keranjang di antara pemain yang memakai baju putih. Semasa mereka begitu fokus dengan tugasan itu, sesuatu yang aneh berlaku: seorang individu yang memakai kostum gorila berjalan perlahan-lahan melintasi skrin, berhenti di tengah, menepuk dadanya, dan kemudian berjalan keluar. Hasilnya mengejutkan—majoriti besar peserta langsung tidak perasan akan “gorila” tersebut. Apakah kaitan eksperimen aneh ini dengan kehidupan kita? Dan apakah ‘gorila’ yang mungkin kita terlepas pandang setiap hari?

Fenomena yang ditunjukkan dalam eksperimen itu dikenali sebagai inattentional blindness atau “buta kerana tidak prihatin”. Ia adalah kecenderungan psikologi manusia di mana apabila kita terlalu menumpukan perhatian pada satu perkara, kita boleh menjadi buta kepada perkara lain, walaupun ia sangat jelas dan berada tepat di hadapan mata kita.

Apakah kaitannya dengan agama? Sebagaimana di dalam ujian itu, insan beragama juga boleh begitu terlatih dalam ritual sehingga terlepas pandang mesej kemanusiaan yang menjadi intipati agama itu sendiri. Seseorang boleh menjadi terlalu fokus pada aspek teknikal — seperti mengkaji hukum-hakam, tatacara ibadah, atau analisis tatabahasa kitab suci — sehingga mereka buta terhadap isu etika dan keadilan yang berada tepat di hadapan mereka. Mereka mungkin tidak nampak ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap orang lain yang berada di hadapan mata mereka sendiri. 

Satu lagi kajian yang lebih membimbangkan melibatkan radiologis — pakar yang tugasnya adalah untuk mengesan kelainan yang sangat kecil pada imbasan perubatan. Apabila imej kecil seekor gorila diletakkan di dalam imbasan x-ray paru-paru, 83% daripada pakar ini gagal melihatnya. Fikiran mereka begitu terlatih untuk mencari satu jenis maklumat (seperti lesi atau tumor) sehingga mereka secara mental terlepas pandang sesuatu yang sangat luar biasa tetapi tidak dijangka. Fenomena ini bukan sekadar keanehan psikologi; ia mendedahkan bagaimana kepakaran dan fokus yang mendalam boleh menjadi sejenis titik buta yang berbahaya.

Di dalam Ayat 105 kita telah lihat golongan yang melihat sahaja tanda pada alam tetapi mereka buat tidak tahu. 

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Kali ini di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut mereka tidak perasan pun: وَهُم لَا يَشعُرُونَ (sedang mereka tidak menyedarinya). Maka begitu jugalah dengan eksperimen gorila ini, memberikan contoh bagaimana manusia apabila fokus kepada sesuatu subjek, mereka tidak nampak subjek lain lagi. Begitulah kalau manusia fokus kepada dunia, maka mereka lupa kepada akhirat dan tanda-tanda yang mengingatkan mereka kepadanya. Jadi, ini mengajari kita untuk membuka mata dan memperhatikan sekeliling akan tanda-tanda yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita sebagai peringatan. 

Dan perkara ini juga boleh terjadi kepada ‘orang agama’. Kita mungkin belajar dan mengajar tentang agama dan kita fokus kepada perincian hukum itu dan ini, perincian tentang nahu dan balaghah bahasa Al-Qur’an dan sebagainya, kadangkala kita terlupa dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ada saudara mara kita yang memerlukan bantuan, kepada orang yang dibuli, kepada isteri yang memerlukan belaian kasih kita dan apa-apa sahaja hal dalam kehidupan kita; hanya kerana kita fokus kepada ilmu. Mendalami ilmu itu memang penting, tetapi kalau ia tidak diamalkan dalam kehidupan kita, itu adalah sesuatu yang menyedihkan.

Dan bagaimana dengan kejadian demi kejadian yang berlaku di sekeliling kita? Sebagai contoh, ada orang di sekeliling kita yang jatuh sakit, meninggal, ditimpa kemalangan dan sebagainya. Bukankah itu tanda yang hidup ini rapuh dan Allah ‎ﷻ boleh berikan apa sahaja musibah kepada kita? Bukankah kematian  yang berlaku kepada orang lain itu boleh sahaja datang kepada kita bila-bila masa? Adakah kita rasa aman? أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ (Apakah mereka merasa aman daripada kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka?) Bukankah semua yang terjadi itu menjadi tanda kepada kita untuk memerhatikan kehidupan kita? Adakah ia selari dengan agama? Adakah ia selari dengan akhlak yang mulia?

Satu lagi ‘gorila’ yang sering kita terlepas pandang ialah akibat daripada perbuatan kita sendiri. Ini adalah sejenis ‘buta kerana tidak prihatin’ yang berbeza — bukan disebabkan oleh tumpuan yang mendalam pada tugasan lain, tetapi akibat tindakan sengaja dan berulang kali mengabaikan sesuatu sehingga ia seolah-olah lenyap daripada kewujudan psikologi kita. Fikirkan satu analogi seorang pelajar yang terus berkata, “Nanti saya buat” setiap kali tugasan diberikan. Pada mulanya, ia adalah penangguhan yang disedari tetapi selepas mengabaikan peringatan berkali-kali, tugasan itu seolah-olah “hilang daripada fikiran mereka”. Mereka tidak lagi memikirkannya, sehinggalah hari peperiksaan tiba dan mereka terkejut, sama sekali tidak bersedia.

Analogi ini selari dengan kehidupan rohani kita. Apabila kita berulang kali mengabaikan tanda-tanda atau peringatan daripada Tuhan, kita mula membina rasa selamat yang palsu. Kita mula percaya bahawa hari perhitungan tidak akan pernah tiba. Rasa selamat ini diperkuatkan lagi apabila tiada akibat serta-merta yang menimpa kita. Contoh: “Aku berbohong tetapi lidah saya tidak disambar petir… Nampaknya aku terlepas, tidak ada apa-apa pun.” Sikap ini membuatkan kita semakin selesa dalam kelalaian, tanpa menyedari bahaya yang sedang menghampiri.

Akhir sekali, kita perhatikan susunan وَهُم لا يَشعُرونَ. Kalimah هُم (mereka) itu kalau tidak ada, terjemahan itu pun sudah lengkap. Ia boleh jadi begini dan ia telah lengkap: أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَلا يَشعُرونَ. Maksud ‘mereka’ sudah ada di dalam kalimah يَشعُرونَ (mereka menyedari). Jadi, kalimah هُم adalah tambahan dan ia mempunyai makna yang mungkin tidak jelas bagi sesetengah orang. Ia menegaskan kepada kita yang mereka sahaja yang tidak perasan, sedangkan ada sahaja orang yang perasan. Sepertimana analogi pelajar yang lalai belajar dan tidak perasan tentang peperiksaan yang ‘tiba-tiba’ datang baginya. Sedangkan pelajar lain tahu sahaja kerana guru sentiasa mengingatkan mereka. Sebaliknya, pelajar lalai itu sahaja yang sibuk bermain game, sibuk berpeleseran.

Jadi, ayat 107 ini memberikan amaran keras tentang rasa selamat yang palsu ini. Ia menyebutkan dua jenis akibat yang boleh menimpa mereka yang terus-menerus mengabaikan tanda-tanda Tuhan:

1. Hukuman yang menyelubungi (ghashiyah) di dunia ini: Ini adalah hukuman yang datang meliputi seseorang dalam kehidupan ini. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk — bencana ekonomi, tragedi keluarga, krisis politik, atau apa sahaja musibah yang boleh menjadi ghashiyah. Ia bukanlah hukuman terakhir, tetapi “rasa” atau pra-tonton kecil daripada akibat penuh perbuatan kita.

2. “Saat” (as-sa’ah) yang datang secara tiba-tiba (baghtatan): Ini merujuk kepada Hari Kiamat itu sendiri, yang akan datang tanpa sebarang amaran — secara mengejut dan tidak dijangka. Apabila ia tiba, tiada lagi ruang untuk persediaan.

Ironinya amat jelas: orang yang merasa paling selamat adalah orang yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar. Mengapa? Kerana mereka adalah yang paling tidak bersedia. Tumpuan mereka pada keseronokan duniawi, penangguhan, dan rasa selamat yang palsu telah membutakan mereka daripada realiti akhir yang pasti akan datang.

Apakah pengajaran kepada kita? Jangan kita salah sangka yang peringatan ini bagi orang kafir sahaja. Ia juga untuk kita orang Muslim kerana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu juga Muslim, bukan? Malah mereka itu anak seorang Nabi! Lihat, anak Nabi pun boleh lalai, apatah lagi kita. Terutama sekali kalau kita tidak beringat-ingat dan lupa, malah menjauhkan diri daripada peringatan wahyu. Bermula daripada satu eksperimen psikologi yang mudah, kita dapat melihat satu kecenderungan mendalam dalam diri manusia: kita boleh terlepas pandang perkara yang paling penting dan paling jelas apabila tumpuan kita berada di tempat lain. Sama ada kita terlalu fokus pada ritual sehingga mengabaikan etika, atau terlalu sibuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat, kita semua berisiko menjadi buta kepada “gorila” dalam hidup kita.

Kita semua mempunyai fokus, keutamaan, dan gangguan kita sendiri. Persoalannya ialah: Apakah ‘gorila’ yang jelas tetapi tersembunyi dalam hidup anda sekarang, yang menuntut perhatian anda?

 

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas:

Bahaya Dosa “Merasa Aman” daripada Azab: Merasa aman semasa melakukan maksiat (Al-Amnu min ‘adhab Allah) adalah satu dosa besar kerana ia menunjukkan kesombongan, kelalaian, dan kurangnya rasa takut kepada Allah ‎ﷻ. Seorang mukmin seharusnya sentiasa berada di antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Azab Dunia yang Menyelubungi (Ghashiyah): Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab yang meliputi manusia secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Azab ini tidak semestinya dalam bentuk bencana alam, tetapi boleh hadir dalam bentuk kematian orang tersayang, kemalangan, kebangkrapan, atau penyakit kronik.

Fenomena “Buta Kerana Terlalu Fokus” (Inattentional Blindness): Apabila manusia terlalu menumpukan perhatian kepada urusan dunia, mereka boleh menjadi “buta” terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ yang jelas di hadapan mata.

Kecenderungan “Titik Buta” dalam Beragama: Orang yang mendalami agama juga berisiko menjadi buta terhadap isu etika, keadilan, dan tanggungjawab sosial (seperti mengabaikan kebajikan isteri atau keluarga) jika mereka hanya fokus kepada aspek teknikal, ritual, atau teori ilmu semata-mata.

Kedatangan Kiamat yang Mendadak: Hari Kiamat (As-Sa’ah) akan datang secara tiba-tiba (baghtatan) tanpa sebarang amaran atau tanda bagi mereka yang lalai. Pada waktu itu, sudah terlambat untuk memperbaiki amal atau bertaubat.

Rasa Selamat yang Palsu: Kelewatan azab atau ketiadaan balasan serta-merta (seperti tidak disambar petir selepas berbohong) bukan bermakna seseorang itu selamat, tetapi ia adalah perangkap kelalaian yang membuatkan manusia terus selesa dalam dosa sehingga hari perhitungan tiba.

Kekuasaan Bukan Jaminan Keselamatan: Memiliki kuasa atau kedudukan tinggi tidak bermakna seseorang boleh melakukan kezaliman sesuka hati. Sebagaimana rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum Yahudi di Madinah akhirnya dibalas oleh Allah ‎ﷻ, kezaliman masa kini juga akan menerima akibatnya.

Dunia Hanya Jaminan Sementara: Keamanan dan keselesaan yang kita nikmati di muka bumi hanyalah atas jaminan dan ihsan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berkuasa untuk menggoncangkan ketenangan tersebut pada bila-bila masa jika Dia menghendaki.

 

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Apakah maksud literal dan tafsiran bagi kalimah غَـٰشِيَةٌ (ghashiyah) dalam konteks ayat 107?

2. Bagaimanakah penambahan Ta Marbutah (ة) pada hujung kalimah غَـٰشِيَةٌ mengubah atau menguatkan maknanya?

3. Berikan dua contoh غَـٰشِيَةٌ yang boleh berlaku dalam kehidupan moden, seperti yang dihuraikan dalam teks.

4. Mengapakah “merasa aman dari azab Allah” (الأمن من عذاب الله) dianggap sebagai satu dosa besar dalam Islam?

5. Apakah perbezaan utama antara istilah غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ dari sudut bahasa dan makna?

6. Terangkan bagaimana Allah membalas rancangan jahat Bani Israil pada zaman Rasulullah ﷺ, yang menjadi contoh غَـٰشِيَةٌ dalam sejarah.

7. Apakah kaitan antara eksperimen psikologi “The Invisible Gorilla” dengan kelalaian manusia terhadap tanda-tanda kebesaran Allah?

8. Bagaimanakah fokus yang mendalam terhadap sesuatu perkara, seperti yang ditunjukkan oleh kajian radiologis, boleh menyebabkan “titik buta” dalam kehidupan beragama?

9. Apakah kepentingan penambahan kalimah هُم dalam frasa وَهُم لا يَشعُرونَ (sedang mereka tidak menyedarinya)?

10. Menurut teks, siapakah golongan yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar dan mengapa?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
غَـٰشِيَةٌ (Ghashiyah)
Sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia, datang secara menyeluruh sehingga tidak dapat melarikan diri.
مُبَالَغَةٌ (Mubalaghah)
Satu kaedah dalam bahasa Arab di mana penambahan huruf (seperti Ta Marbutah) digunakan untuk menunjukkan sesuatu pada tahap yang sangat tinggi, dahsyat, atau keterlaluan.
Ta Marbutah (ة)
Huruf di hujung kalimah feminin dalam bahasa Arab. Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai mubalaghah untuk menguatkan makna kalimah seperti غَـٰشِيَةٌ dan بَغْتَةً.
الأمن من عذاب الله (Al-Amnu min ‘adzabillah)
Dosa besar iaitu “merasa aman dari azab Allah”. Ia merujuk kepada sikap lalai, sombong, dan kurang rasa takut kepada Allah sehingga selesa dalam melakukan maksiat.
خَوْف (Khauf)
Rasa takut terhadap azab Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin.
رَجَاء (Raja’)
Rasa harap terhadap rahmat Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin, diseimbangkan dengan khauf.
السَّاعَةُ (As-Sa’ah)
“Saat itu”, merujuk secara spesifik kepada Hari Kiamat.
بَغْتَةً (Baghtatan)
Secara mendadak, mengejut, tiba-tiba, tanpa sebarang tanda atau amaran.
الغاشِيَةِ (Al-Ghashiyah)
Istilah khusus dengan ال yang merujuk kepada Hari Kiamat yang akan meliputi dan menghancurkan segala-galanya tanpa terkecuali.
Inattentional blindness (Buta kerana tidak prihatin)
Fenomena psikologi di mana seseorang menjadi buta atau tidak perasan kepada sesuatu yang jelas kelihatan kerana terlalu fokus kepada tugasan atau perkara lain.
وَهُم لَا يَشعُرُونَ (Wa hum laa yash’uruun)
Frasa yang bermaksud “sedang mereka tidak menyedarinya”. Penambahan هُم (mereka) menegaskan bahawa hanya golongan yang lalai sahaja yang tidak sedar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 105 – 106 (Iman bercampur Syirik)

Yusuf Ayat 105: Ayat syikayah (rungutan) daripada Allah ‎ﷻ. Pernahkah anda terfikir bagaimana iman seseorang boleh rosak secara senyap tanpa disedari? Atau mengapa ada orang yang kelihatan percaya kepada Tuhan, tetapi cara hidup mereka seolah-olah jauh daripada-Nya? Jawapan kepada persoalan rumit ini mungkin tersembunyi di dalam Surah Yusuf, khususnya dalam ulasan ayat 105 hingga 107. Ayat-ayat ini mendedahkan apa yang boleh kita panggil sebagai “anatomi iman yang rosak” — satu proses menurun yang menunjukkan bagaimana kepercayaan yang tulen boleh tercemar dari dalam.

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a sign within the heavens and earth do they pass over while they, therefrom, are turning away.

(MALAY)

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ

Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi

Allah ‎ﷻ mengutuk  mereka yang tidak mahu menerima kebenaran: entah berapa banyak tanda-tanda di langit dan bumi yang mereka nampak, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja. Mata mereka boleh melihat akan tetapi mata hati mereka buta! Mereka terus melihat keindahan dunia yang indah ini dan ramai yang takjub. Akan tetapi tidakkah mereka memikirkan, kalau alam ini hebat, tentu yang menjadikannya lebih hebat lagi!

Di sini Allah ‎ﷻ sedang memujuk Nabi Muhammad ﷺ. Sebelum ini telah disebut yang ramai menentang apa yang disampaikan oleh baginda. Tentulah baginda sedih. Sekarang di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beritahu baginda yang bukan waktu itu sahaja mereka menentang kebenaran dan tanda-tanda yang disampaikan kepada mereka, akan tetapi sudah lama mereka menolak tanda-tanda pada alam. Mereka itu bukan sahaja menolak Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ﷻ pun mereka sudah pernah tolak!

Mereka bukan sahaja menolak ءَايَةٍ Al-Qur’an yang baginda sampaikan, mereka juga telah menolak ءَايَةٍ pada alam. Ini kerana kalimah ءَايَةٍ bermaksud ‘tanda-tanda’. Para mufassir menjelaskan bahawa ayat ini merujuk kepada banyaknya bukti, tanda kebesaran, dan kekuasaan Allah ﷻ yang terdapat di langit dan bumi, seperti matahari, bulan, bintang, awan, hujan, gunung, laut, tumbuhan, haiwan, dan pelbagai fenomena alam. Semua ini adalah dalil yang jelas tentang keesaan Allah ﷻ, kekuasaan-Nya, dan kesempurnaan sifat-sifat-Nya. Allah ﷻ berfirman di dalam Jathiyah:3-6

إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ. وَفِي خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan dirimu dan pada binatang-binatang yang berserakan (di bumi) terdapat tanda-tanda bagi kaum yang menyakini.”

Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut: “Allah mengkhabarkan tentang kelalaian kebanyakan manusia daripada berfikir tentang ayat-ayat Allah dan dalil-dalil tauhid yang terdapat pada ciptaan-Nya di langit dan bumi, seperti bintang-bintang, planet-planet, gunung, lautan, tumbuhan, haiwan, dan pelbagai jenis makhluk. Mereka melihat semua ini tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya”.

Alam ini sangatlah hebat yang dikaji takkan pernah habis oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Ada yang kaji serangga, ada yang kaji tanah, ada yang kaji langit dan macam-macam lagi. Semakin terserlah kehebatan alam ini yang disusun sangatlah indah  yang sepatutnya menjadikan pengkajinya dan sesiapa yang belajar tentangnya sepatutnya bertanya: “Siapa yang buat semua ini dengan sempurna?” Ia akan membawa kepada pencarian Tuhan yang Satu yang menjadikan alam ini.

Kemudian segala sesuatu di dalam alam itu ada undang-undangnya, ada pasang dan surutnya, ada laluan yang perlu diikuti oleh binatang, bintang dan segalanya. Itu baru makhluk yang tidak ada akal, mereka pun ada undang-undang dan laluan, takkan kita manusia yang lebih hebat ini tidak ada peraturan? Maka kita akan sedar yang hidup kita ini ada aturannya, dan aturan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ.

 

يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ

yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Banyak sekali tanda-tanda yang ada, namun ramai yang lalu begitu sahaja, tidak beri perhatian pun. Apabila digunakan kalimah عَلَيها (di atasnya), maknanya mereka memang nampak sungguh kebenaran itu tetapi tidak mengendahkannya kerana kalau lalu tepi, mungkin boleh kata tidak nampak, tetapi kalau lalu dari ‘atas’, takkan tidak nampak?

Satu lagi, perhatikan kalimat عَنها di dalam ayat ini. Kalau susunan biasa, sepatutnya ia menjadi وهم معرضون عنها. Akan tetapi, apabila kalimah عَنها diawalkan (istilahnya adalah taqdim), maka ia memberi makna yang lebih lagi. Maknanya, mereka khusus berpaling daripada tanda-tanda yang Allah ‎ﷻ beri. Yang benda lain, mereka perasan, tetapi peringatan daripada Allah ‎ﷻ sahaja yang mereka buat tidak tahu. Mereka lalu sahaja tanpa memikirkan, kerana yang mereka fikirkan adalah bagaimana hendak memenuhkan perut mereka, bagaimana hendak menguasai manusia, bagaimana hendak ambil itu dan ini daripada orang lain. Mereka hanya memikirkan kelangsungan hidup mereka sahaja, bagaimana cara untuk memenuhi kehendak nafsu sahaja. Mereka leka dengan benda lain. Macam anak kita yang duduk dalam kereta, tetapi sibuk main dengan handphone dan mereka tidak tengok pun keindahan alam di luar.

Macam sekarang manusia boleh lihat entah berapa banyak kebenaran di hadapan mata mereka, sebagai contoh, mereka boleh baca dan dengar ayat-ayat Al-Qur’an yang membenarkan apa yang mereka sendiri sudah tahu, tetapi mereka tengok sahaja, tidak mahu faham dan tadabbur. Mereka tidak mahu mendekati Al-Qur’an. Begitulah ramai dalam kalangan manusia yang degil. Kebenaran di hadapan mata pun masih tidak mahu terima lagi. Jangan kata orang Yahudi, umat Islam yang tidak mengendahkan ajaran tafsir Al-Qur’an pun begitulah juga.

Allah ‎ﷻ memulakan huraian-Nya dengan menyatakan betapa banyak tanda-tanda kebesaran-Nya di langit dan di bumi yang dilalui oleh manusia setiap hari, tetapi mereka sengaja berpaling daripadanya. Persoalannya, mengapa? Adakah bukti-Nya tidak mencukupi?

Jawapannya ialah tidak! Punca sebenar kebutaan rohani ini bukanlah kekurangan bukti, tetapi kerana manusia terlalu sibuk dan asyik dengan diri sendiri. Mereka hidup dalam apa yang boleh dianggap sebagai “kewujudan haiwan” — satu kehidupan yang tumpuannya hanya pada makanan, tempat tinggal, dan pembiakan. Apa bezanya kita dengan binatang kalau kita fikir itu sahaja? Apabila fikiran dipenuhi dengan keinginan untuk mengumpul lebih banyak kekayaan, mendapatkan kuasa, atau memenuhi tuntutan nafsu, maka “diri” menjadi pusat alam semesta. Akibatnya, segala tanda kebesaran alam semesta yang lain akan terlepas pandang.

Ayat ini juga merupakan satu bentuk hiburan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ seolah-olah berkata bahawa penolakan manusia terhadap baginda bukanlah satu kegagalan atau “kritikan terhadap baginda”. Mereka itu telah lama hidup dalam keadaan lalai, terus mengabaikan tanda-tanda Tuhan jauh sebelum wahyu diturunkan lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Muhammad ﷺ, penolakan puak Yahudi setelah diberitahu dengan kisah benar tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, bukan perkara baru bagi mereka. Memang mereka semenjak dahulu lagi sudah buat perkara yang sama. Mereka bukan tidak pernah lihat tanda-tanda kebenaran itu, mereka lihat tetapi memang hati mereka jenis ‘degil’.

Kisah yang sedang dibincangkan adalah kisah mereka, kisah salah seorang Nabi agung mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah ini adalah permulaan kepada sejarah mereka kerana mereka digelar Bani Israil (anak-anak Israil – Nabi Ya’qub) dan sekarang kita mempelajari tentang merekalah! Kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kisah anak-anaknya, bukan? Walaupun surah ini yang pertama didengari oleh puak Quraisy Mekah, akan tetapi puak Yahudi sudah disentuh, bukan? Ketika itu, Nabi Muhammad ﷺ masih lagi di Mekah, akan tetapi tidak lama lagi, baginda akan berhijrah ke Yathrib dan akan menemui mereka bersemuka! Tetapi buat masa ini mereka telah disinggung dengan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Mereka juga punca pemuka Quraisy bertanyakan tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan sekarang telah diberikan kisah itu seperti yang mereka sarankan. Telinga mereka sepatutnya sudah naik tinggi untuk mendengar apa yang akan disampaikan oleh baginda? Apa yang ada di dalam kisah itu?

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berkait rapat dengan bangsa Bani Israil juga sebenarnya di zaman Rasulullah itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Bunyamin) tidak disayangi oleh abang-abang itu kerana mereka berdua daripada ibu yang berlainan. Dan bukankah Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (datuk bagi bangsa Arab) tidak disukai oleh puak Yahudi kerana Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ibu yang berbeza? Ibu Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Hajar, seorang wanita berketurunan Qibti (Mesir), yang merupakan hamba kepada Sarah (hamba yang dihadiahkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh Raja Mesir) dan kemudian diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai isteri. Ibu Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula adalah Sarah, isteri utama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sarah adalah anak perempuan kepada Betuel bin Nahor dan berasal daripada keluarga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disukai kerana daripada ibu yang berlainan, maka keturunan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga tidak dipandang oleh Bani Israil kerana baginda daripada isteri Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain. Mereka mengulangi kesilapan yang sama oleh tok nenek mereka! Banyak lagi kesalahan mereka yang nanti akan Allah ‎ﷻ wahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ di dalam Surah Baqarah apabila baginda berhijrah nanti.

Allah ﷻ kata banyak sahaja tanda-tanda pada alam ini. Dan bagi Bani Israil, mereka telah dapat banyak tanda-tanda istimewa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Kita baca dalam Al-Qur’an tentang awan yang menaungi mereka, air dari batu, Manna dan Salwa dan bermacam-macam lagi. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Hajj:46 

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَتَكونَ لَهُم قُلوبٌ يَعقِلونَ بِها أَو آذانٌ يَسمَعونَ بِها ۖ فَإِنَّها لا تَعمَى الأَبصٰرُ وَلٰكِن تَعمَى القُلوبُ الَّتي فِي الصُّدورِ
maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.

Jadi, yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam ini adalah kerana buta hati sahaja. Lihat apa Allah ﷻ kata tentang mereka yang sebegini di dalam Ali Imran:179?

وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لّا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لّا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لّا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعٰمِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغٰفِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Bagaimana pula dengan kita? Sangat mudah untuk melihat relevansi konsep ini hari ini. Betapa kerap kita terganggu oleh skrin telefon bimbit sehingga kita terlepas pandang keajaiban awan di langit, kerumitan seekor serangga, atau keindahan matahari terbenam—semua tanda yang sepatutnya mengingatkan kita kepada Pencipta. Kelalaian inilah yang menjadi pintu pertama kepada kerosakan iman. Sepatutnya alam ini mendekatkan kita kepada Allah ﷻ seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran:190-191

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ. الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, dan ketika berbaring, dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka’.”

Ramai manusia hanya memikirkan perut mereka sahaja. Tapi kita boleh perhatikan ada segelintir yang fikiran mereka lebih tinggi dan memikirkan tentang orang lain di persekitaran mereka, tentang kebersihan alam, tentang binatang yang semakin pupus. Inilah jenis orang yang walaupun mereka bukan Muslim, tapi kita boleh lihat mereka mempertahankan kebajikan rakyat Palestin yang jauh daripada mereka. Ada yang menjadi pemimpin kerana hendak memperjuangkan ideologi itu dan ini kerana mereka yakin dengan ideologi mereka.

Namun begitu, Islam bukan hanya memikirkan tentang dunia sahaja. Islam mengajak kita berfikir lebih tinggi lagi. Ya, betul, Islam juga membincangkan tentang kebajikan, kebersihan dan lain-lain itu juga, namun Islam lebih, lebih lagi. Islam mengajak kita memikirkan bukan hanya visi di dunia sahaja, tetapi kena memikirkan visi di akhirat juga.


 

Yusuf Ayat 106: Masih lagi syikayah (rungutan) daripada Allah ﷻ. Ini adalah ayat yang amat penting untuk kita hayati. Bukan semua orang Islam boleh dikira beriman sempurna walaupun mereka telah Muslim. Ini sepatutnya ayat yang mengejutkan kita dan menyedarkan kita akan suatu perkara yang amat penting.

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُّشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of them believe not in Allāh except while they associate others with Him.

(MALAY)

Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).

 

Ini mungkin pembongkaran yang paling mengejutkan dalam ayat-ayat Surah Yusuf ini. Setelah menyatakan bahawa kebanyakan manusia lalai sebelum ini di dalam Ayat 103, sekarang Allah ﷻ berfirman: “Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan-Nya (dengan sembahan-sembahan lain).” Maknanya, sudah beriman… tetapi syirik. Eh, bagaimana pula? 

Fikirkan betapa dahsyatnya kenyataan ini. Ia bermakna, walaupun dalam kalangan minoriti yang berjaya melepasi halangan kelalaian dan benar-benar beriman, majoriti daripada mereka masih mencampurkan iman mereka dengan syirik. Kita sedang bercakap tentang “majoriti daripada minoriti”. Sudahlah yang beriman dengan Allah ﷻ itu tidak ramai, daripada yang tidak ramai itu pula, kebanyakan daripada mereka membuat syirik pula!

Tapi sebelum kita meneruskan lagi, kena faham bahawa syirik bukan sekadar menyembah berhala yang diperbuat daripada batu itu. Jangan sempitkan pemahaman kita pula. Syirik itu boleh merangkumi kepercayaan bahawa Allah ﷻ mempunyai anak, pembantu, atau orang-orang suci yang boleh menjadi perantara antara kita dengan-Nya. Contoh klasik ialah kaum Quraisy di Mekah. Mereka percaya kepada Allah ﷻ sebagai Pencipta, tetapi pada masa yang sama, menyembah ‘tuhan-tuhan kecil lain’ sebagai perantara. Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa Musyrikin Mekah itu kenal Allah ﷻ dan juga mereka menyembah Allah ﷻ. Ini seperti disebut di dalam Luqman:25, Allah ﷻ menyatakan bahawa jika ditanya siapa pencipta alam, mereka akan menjawab “Allah”:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?'” Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’…”

Tapi di dalam masa yang sama, mereka berkata para malaikat adalah anak-anak Allah ﷻ dan mereka berdoa kepada para malaikat untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ kerana kononnya Allah ﷻ pasti makbulkan kerana para malaikat itu anak-anak perempuan-Nya. Maka kalau kita pun bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, maka tidak ada jauh bezanya kita dengan Musyrikin Mekah itu! Kerana ada yang sangka Allah ﷻ ada beri kuasa kepada sesetengah entiti seperti wali, Nabi dan malaikat. Ada yang berkata bahwa Allah ﷻ telah melantik wali yang mengurus alam ini dan mereka menentukan apa yang terjadi dalam alam ini. Ini adalah fahaman mengarut sahaja. 

Satu lagi contoh yang lebih halus datangnya dari konteks Surah Yusuf sendiri, iaitu masyarakat Mesir. Apabila raja dan rakyatnya melihat kebijaksanaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka mengakui bahawa Tuhannya adalah “hebat” dan “benar”. Mereka pun ada yang ‘masuk’ Islam dan menyembah Allah ﷻ juga. Namun, mereka tidak meninggalkan tuhan-tuhan pagan mereka. Mereka hanya menambah “Allah” ke dalam senarai tuhan mereka yang sedia ada—satu contoh sempurna bagaimana seseorang boleh “beriman” sambil melakukan syirik.

Kebanyakan manusia (termasuk yang mengaku Muslim) tidak percaya sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Dalam mereka kata mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, mereka juga melakukan syirik. Inilah masalah yang besar kepada orang Islam – kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik itu. Mereka tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah‘. Mereka terima Allah ﷻ sebagai Tuhan dan mereka beriman dengan-Nya. Tapi dalam mereka percaya kepada Allah ﷻ, mereka percaya juga kepada bomoh, kepada hantu, kepada jin, kepada tok guru, kepada wali yang mereka sendiri lantik dan macam-macam lagi kepercayaan salah masyarakat Muslim yang jauh dari wahyu. Maka orang Islam kena belajar sampai mereka tahu apa itu syirik supaya mereka boleh tinggalkan. Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka buat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka sangka Nabi, wali dan malaikat itu akan membantu mereka nanti di akhirat kalau Allah ﷻ marah. Kerana mereka kata semasa mereka di dunia, mereka selalu puji, seru, sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Datang dari mana fahaman ini pun kita tidak tahu kerana ia tidak ada di dalam agama. Syaitan yang reka fahaman ini dan ramai manusia menerima sahaja fahaman sesat ini.

Sekarang kita kaitkan ayat ini dengan Bani Israil kerana memang kita baru sahaja belajar tentang sejarah mereka. Apa kaitan kesyirikan dengan Bani Israil? Mereka itu telah mengambil ahli agama mereka sebagai tuhan seperti disebut di dalam Tawbah:31

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهُبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan juga (mereka menyembah) Al-Masih putera Maryam; padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.”

Allah ﷻ mengutuk Yahudi dan Nasara kerana menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai Tuhan. Begitulah juga yang terjadi kepada golongan Muslim yang sesat. Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain daripada Allah ﷻ. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama’ dan rahib-rahib itu seperti mereka sembah Allah ﷻ. Kita pun lihat tidaklah mereka buat seperti itu, maka bagaimana pula?

Terdapat sebuah hadith yang menjelaskan perkara ini, iaitu kisah seorang lelaki yang hampir memeluk Islam, namanya Addi bin Hatim, tetapi beliau belum jelas tentang agama Islam. Apabila beliau mendengar ayat ini, beliau berkata ketika beliau beragama Nasrani, mereka tidak menyeru dan memuja ulama’ dan rahib mereka.

Nabi ﷺ beritahu, tidakkah dia mengikut hukum yang difatwa oleh ahbar dan rahib itu? Addi mengaku kata memang ada. Maknanya, penganut itu mengikut sahaja fatwa yang ahli agama mereka beri sebagaimana mereka mengikut arahan Tuhan. Maka ulama’ mereka itu seolah-olah sudah sama kedudukan dengan Tuhan sehingga boleh menetapkan hukum pula. Golongan awam hanya mengikut sahaja walaupun ajaran mereka itu dan hukum yang mereka keluarkan tidak mengikut kehendak Allah ﷻ.

Masyarakat kita pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah daripada wahyu atau hanya pendapat mereka. Ramai dalam kalangan kita tidak teliti tentang perkara ini.

 

Berhala Paling Bahaya Adalah Berhala yang Ada di Dalam Diri.

Daripada syirik luaran, kita beralih kepada bentuk yang lebih tersembunyi dan berbahaya: itulah “berhala psikologi” yang wujud di dalam diri kita. Kemarahan, nafsu, kesombongan, atau ketamakan seseorang boleh menjadi “tuhan” mereka. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Jathiyah:23,

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
“Maka pernahkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan dia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan ia mengetahui, dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya, serta mengadakan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Mengapa kamu tidak mahu beringat?”

Ini bukan tentang membuat kesilapan secara tidak sengaja, kerana semua manusia melakukan kesilapan. Ini adalah tentang satu keadaan di mana seseorang secara sedar dan sengaja membenarkan perasaannya untuk “mengatasi apa yang Allah katakan”. Apabila seseorang itu tahu perintah Allah tetapi memilih untuk mengikut hawa nafsunya, dia pada hakikatnya telah mendirikan nafsunya itu sebagai autoriti yang setara dengan Tuhan. Dia mungkin tidak pernah sujud kepada patung, tetapi dia sujud kepada nafsunya setiap hari.

Apabila seseorang mula menuhankan hawa nafsunya, ia secara semula jadi akan membawa kepada pandangan yang bengkok tentang Allah . Pandangan yang menyimpang ini kemudiannya akan mewujudkan satu rasa selamat yang palsu.

Bagaimana ia berlaku? Apabila seseorang itu mula memilih dan hanya berpegang pada sifat-sifat Allah yang disukainya, contohnya sifat Maha Penyayang (Al-Wadud) atau Maha Pengampun (Al-Ghafur). Mereka memegang erat sifat-sifat ini sambil sengaja mengabaikan sifat-sifat Allah yang lain, seperti Maha Berkuasa (Al-Aziz), Maha Adil (Al-Adl), atau Maha Memerhati (Al-Basir). Maka jadilah orang yang tiada rasa bersalah apa pun yang mereka buat, malah mereka memberi justifikasi kepada dosa mereka itu. 

Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah ﷻ (khauf dan raja’) yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Khauf bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Raja’ bermaksud mengharap kepada rahmat dan keampunan Allah ‎ﷻ serta yakin bahawa Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
“Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.“

Kepercayaan yang tidak seimbang akan melindungi mereka daripada rasa bersalah dan ketakutan terhadap akibat perbuatan mereka. Mereka fikir, “Tidak mengapa jika aku terus melakukan maksiat ini, Allah kan Maha Pengampun…? Dia pasti faham…” Harapan palsu ini membuatkan mereka berasa kebal, seolah-olah mereka telah mencipta satu versi Tuhan dalam fikiran mereka yang tidak akan menghukum mereka. Dan di sinilah Allah ﷻ memberikan amaran di dalam ayat seterusnya yang menakutkan: “Maka apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka…?”

Apa peristiwa yang telah kita pelajari dalam Surah Yusuf ini tentang hal ini? Perhatikan kembali apa yang telah dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Bukankah mereka itu anak-anak Nabi, maka tentunya mereka itu beriman kepada Allah ﷻ, bukan? Kita sudah banyak kali baca mereka menggunakan nama Allah. Akan tetapi mereka itu telah kalah dengan nafsu mereka sendiri. Mereka tentunya tahu apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka tetap melakukannya juga.

 

Syirik Kecil

Selain syirik yang besar, ada juga syirik yang dikategorikan sebagai syirik kecil. Ini berdasarkan kepada hadith,

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ”. قَالُوا: وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: “الرِّيَاءُ”
Daripada Mahmud bin Labid, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Iaitu Riya’ (menunjuk-nunjuk).”

Musnad Ahmad: hadis 23630; Al-Mu’jam al-Kabir oleh Al-Thabarani: No. hadis 4301; Al-Sunan al-Kubra oleh Al-Baihaqi: Jilid 10, ms. 222.

Para ulama hadith telah menyemak rantaian perawi (sanad) hadith ini dan memberikan penilaian berikut:

  • Syeikh Syuaib al-Arna’uth: Dalam takhrij beliau terhadap Musnad Ahmad, beliau menyatakan sanad hadith ini adalah Jayyid (baik/kuat).
  • Syeikh al-Albani: Dalam kitab beliau Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (No. 951), beliau menilai hadith ini sebagai Sahih.

Selain riya’ (yang berkaitan dengan hati), para ulama juga menyenaraikan beberapa perkara lain sebagai syirik kecil berdasarkan hadis-hadis lain seperti:

  1. Sum’ah: Melakukan ibadah supaya “didengari” dan dipuji oleh orang lain.
  2. Bersumpah selain nama Allah: Contohnya, bersumpah dengan nama nenek moyang atau nama makhluk lain secara sengaja.
  3. Ungkapan “Atas Kehendak Allah dan Kehendakmu”: Nabi ﷺ pernah menegur seorang lelaki yang berkata begitu dan menyuruhnya berkata: “Atas kehendak Allah semata-mata.”
  4. Memakai tangkal: Jika seseorang percaya tangkal itu sendiri yang memberi bekas (tanpa izin Allah, ia menjadi syirik besar; jika dianggap sebagai asbab sahaja, ia tetap syirik kecil).

 

 

Kuiz Uji Kefahaman (Jawapan Ringkas)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Ayat syikayah (rungutan) dari Allah seperti yang dinyatakan dalam pengenalan kepada ayat 105 dan 106?

2. Menurut tafsir ayat 105, mengapakah ramai manusia “berpaling” daripada tanda-tanda kebesaran Allah di langit dan di bumi walaupun mereka melihatnya?

3. Apakah yang dimaksudkan dengan “kewujudan haiwan” dan bagaimana ia menyebabkan seseorang terlepas pandang tanda-tanda kebesaran Allah?

4. Bagaimanakah ayat 105 menjadi satu bentuk penghiburan kepada Nabi Muhammad SAW?

5. Apakah kaitan antara sikap abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda dengan sikap Bani Israil terhadap Nabi Ismail?

6. Apakah maksud sebenar “buta” yang disebut dalam tafsir ini, merujuk kepada firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 46?

7. Apakah pembongkaran yang paling mengejutkan dalam ayat 106 mengenai orang yang beriman?

8. Bagaimanakah kaum Musyrikin Mekah boleh dianggap “beriman kepada Allah” tetapi dalam masa yang sama melakukan syirik?

9. Apakah yang dimaksudkan dengan menjadikan ulama dan rahib sebagai “tuhan-tuhan selain Allah”, berdasarkan hadis Addi bin Hatim?

10. Apakah “berhala psikologi” dan bagaimanakah hawa nafsu boleh menjadi tuhan seseorang?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Ayat (ءَايَةٍ)
Bermaksud ‘tanda-tanda’. Merujuk kepada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah, sama ada ayat-ayat Al-Qur’an atau tanda-tanda yang terdapat pada alam seperti matahari, bulan, gunung, dan haiwan.
Ayat Syikayah
Ayat yang mengandungi rungutan atau keluhan dari Allah mengenai sikap manusia yang ingkar atau lalai.
Ahbar dan Rahib
Istilah yang merujuk kepada pendeta-pendeta dan rahib-rahib (ahli ibadat) dalam kalangan Yahudi dan Nasrani.
Bani Israil
Bermaksud anak-anak Israil (gelaran bagi Nabi Ya’qub). Merujuk kepada bangsa Yahudi.
Berhala Psikologi
Satu bentuk syirik yang tersembunyi dan berbahaya yang wujud di dalam diri seseorang, seperti kemarahan, nafsu, kesombongan, atau ketamakan yang dijadikan “tuhan”.
Buta Hati
Keadaan di mana hati seseorang tidak dapat memahami, melihat, atau mendengar kebenaran dan tanda-tanda kebesaran Allah, walaupun pancaindera fizikalnya berfungsi.
Hawa Nafsu
Keinginan dalaman atau perasaan seseorang. Apabila seseorang secara sedar mengikut hawa nafsunya melebihi perintah Allah, dia telah menjadikannya sebagai tuhan.
Kewujudan Haiwan
Suatu gaya hidup yang tumpuannya hanya pada keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pembiakan, tanpa memikirkan tujuan penciptaan yang lebih tinggi.
Khauf (الخوف)
Rasa takut kepada Allah kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Ia perlu diseimbangkan dengan Raja’.
Mu’ridun (مُعرِضونَ)
Orang-orang yang berpaling atau tidak mengendahkan sesuatu, dalam konteks ayat ini, mereka yang berpaling daripada tanda-tanda kebesaran Allah.
Raja’ (الرجاء)
Harapan kepada rahmat dan keampunan Allah serta keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Ia perlu diseimbangkan dengan Khauf.
Riya’ (الرِّيَاءُ)
Bermaksud menunjuk-nunjuk. Ia adalah perbuatan melakukan ibadah dengan niat untuk dilihat dan dipuji oleh manusia, dan dikategorikan sebagai Syirik Kecil.
Sum’ah
Melakukan ibadah supaya “didengari” dan dipuji oleh orang lain. Ia disenaraikan sebagai salah satu contoh Syirik Kecil.
Syirik (شِرْك)
Perbuatan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Ia merangkumi penyembahan berhala, kepercayaan bahawa Allah mempunyai anak atau pembantu, serta menggunakan perantara seperti wali atau nabi dalam berdoa.
Syirik Kecil (الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ)
Bentuk syirik yang tidak mengeluarkan seseorang dari Islam tetapi merupakan dosa besar. Contohnya termasuk Riya’, Sum’ah, bersumpah dengan selain nama Allah, dan memakai tangkal dengan kepercayaan ia adalah asbab.
Tadabbur
Perbuatan merenung, memikirkan, dan menghayati makna ayat-ayat Al-Qur’an untuk mengambil pengajaran daripadanya.
Tawasul
Amalan menggunakan perantara (seperti Nabi, wali, atau malaikat) dalam berdoa kepada Allah. Teks ini membayangkan tawasul yang salah menyerupai amalan Musyrikin Mekah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)