ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ
Al Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat,
Ini berkaitan dengan Dakwa ketiga, iaitu hujah bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar seorang Rasul. Buktinya adalah baginda dapat membawakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang memang tidak ada dalam sejarah orang Arab. Namun, baginda boleh menyampaikannya dan ia adalah sama dengan kisah yang ada dalam kalangan Bani Israil. Oleh itu, ia bukan perkataan yang direka oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Di dalam ayat ini digunakan kalimah حَديثًا dan ini pun boleh menjadi isu juga. Terutama kepada orang yang jahil dan sombong seperti golongan Anti-Hadith. Mereka kata Hadith yang sebenar adalah ayat Al-Qur’an, bukannya kata-kata Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menggunakan ayat ini dan beberapa ayat lain yang menggunakan istilah حَديث bagi Al-Qur’an. Malah di dalam Zumar:23 Allah ﷻ menggelarnya sebagai أَحسَنَ الحَديثِ,
اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an
Jadi kita kena jelaskan sedikit apakah maksud حَديث ini. Istilah Hadith (حَدِيث) mempunyai akar bahasa yang sangat unik. Memahami etimologinya akan menjelaskan mengapa Al-Qur’an (Kalam Allah) dan Sunnah (Kata-kata Rasulullah ﷺ) kedua-duanya menggunakan istilah ini.
Secara bahasa, Hadith berasal daripada kata dasar ح د ث yang membawa dua maksud utama:
1. Sesuatu yang Baharu (Al-Jadid). Lawan bagi Hadith ialah Qadim (Sesuatu yang sedia kala/lama). Ia dipanggil hadith kerana berita atau maklumat tersebut baru sahaja sampai atau disampaikan kepada pendengar yang sebelumnya mereka tidak ketahui. Malah kalau ‘zaman moden’, di dalam bahasa Arab adalah حديث. Kalau kemalangan, ia adalah حادثة kerana ia baru terjadi.
2. Percakapan atau Berita (Al-Khabar). Sesuatu yang diucapkan dan dipindahkan daripada seorang penyampai kepada pendengar. Di dalam Bahasa Arab, percakapan ada beberapa jenis, seperti كلام dan juga حَدِيث. Dan حَدِيث digunakan jikalau perkataan itu baharu.
Jadi, kenapa Al-Qur’an disebut “Hadith”? Walaupun Al-Qur’an adalah Kalam Allah yang bersifat Qadim (pada zat Allah), ia disebut sebagai Hadith kerana:
-
- Berita Baharu: Al-Qur’an membawa berita-berita tentang umat terdahulu, hari kiamat, dan hukum-hakam yang “baharu” bagi telinga manusia ketika ia diturunkan. Kebanyakan manusia ketika itu tidak mengetahuinya.
- Kesan yang Segar: Ayat-ayat Al-Qur’an sentiasa terasa “baharu” dan segar setiap kali dibaca, tidak pernah usang walaupun diulang ribuan kali.
Kenapa kata-kata Rasulullah ﷺ juga disebut “Hadith”? Secara istilah teknikal, hadith merujuk kepada apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi ﷺ sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan (takrir), atau sifat baginda. Sekarang kalau disebut hadith, kebanyakan daripada kita terus terfikir tentang makna ini, bukan? Kerana itulah penggunaan yang lebih banyak digunakan. Sebab penggunaan istilah ini untuk Rasulullah ﷺ:
-
- Pembeza dengan Al-Qur’an: Pada awal Islam, istilah “Hadith” digunakan secara khusus untuk membezakan antara wahyu matlu (Al-Qur’an) dengan kata-kata manusiawi Nabi ﷺ agar tidak bercampur aduk.
- Penyampaian Berita: Para sahabat menyampaikan “berita” tentang apa yang mereka lihat dan dengar daripada Nabi ﷺ kepada orang lain. Proses “bercerita” ini dipanggil tahdith (تحدث). Dan kalau anda ada belajar hadith, di permulaan setiap hadith itu ketika menyampaikan sanad perawi, selalunya kita akan baca حَدَّثَنَا (telah meriwayatkan kepada kami).
Jadi, kalimah حَديثًا boleh sahaja digunakan untuk Al-Qur’an dan boleh sahaja digunakan untuk kata-kata Rasulullah ﷺ. Namun begitu, cuma di dalam penggunaan biasa, ia selalunya merujuk kepada kata-kata Nabi ﷺ tetapi ia bukanlah secara eksklusif. Jadi jangan tidak tahu pula selepas ini.
Kembali kepada maksud حَديثًا يُفتَرىٰ. Ia bukanlah sesuatu yang direka-reka. Bayangkan seseorang disuruh untuk bercerita, dan dia bercerita mengikut imaginasinya, itu adalah حَديثًا يُفتَرىٰ. Al-Qur’an bukan begitu. Ia adalah berita benar yang Allah ﷻ sampaikan dan tentulah Allah ﷻ tidak reka-reka akan sesuatu. Kalau manusia buat cerita, kalau ia daripada kisah benar, selalunya ditambah gula dan garam agar kedengaran hebat, bukan? Bukan begitu daripada kisah yang Allah ﷻ sampaikan. Allah ﷻ sampaikan kisah yang benar-benar berlaku, tidak ada penambahan. Dalam masa yang sama, Allah ﷻ hendak perli golongan Yahudi dan Nasrani yang juga ada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini di dalam kitab-kitab mereka dan penceritaan mereka, tetapi mereka tidak memberikan kisah yang benar. Mereka ada ubah, mereka ada tambah sesuka hati mereka sahaja.
Kalimah (يُفْتَرَىٰ) berasal daripada akar kata (فرى) yang bermaksud: Mengada-adakan secara dusta / Rekaan / Fitnah. Dalam konteks ini, ia bermaksud sesuatu cerita yang sengaja dicipta atau direka-reka oleh manusia. Akan tetapi, kalimat yang digunakan bukanlah حَديثًا يُفتَراً tetapi حَديثًا يُفتَرىٰ di mana يُفتَرىٰ itu di dalam bentuk fi’il mudhari‘. Kalau dua-dua isim (حَديثًا يُفتَراً) maka ia diterjemahkan sebagai perkataan yang direka. Namun, apabila ia di dalam bentuk حَديثًا يُفتَرىٰ, ia bermaksud perkataan yang TIDAK langsung boleh direka. Ia bersamaan dengan banyak hujah di dalam Al-Qur’an yang berkali-kali mengatakan Al-Qur’an ini bukan rekaan, tidak boleh ditiru oleh manusia mahu pun jin, walaupun mereka bekerjasama untuk melakukannya.
Sedikit lagi tentang kalimah يُفتَرىٰ. Kalimah asal فرى digunakan untuk perbuatan menukar sesuatu kepada bentuk yang lain. Contohnya, kita memotong kulit binatang dan menjadikannya kasut. Akan tetapi, apabila kalimah فرى ditambah menjadi افترى (wazan yang berbeza), ia bermaksud lebih lagi, seperti berlebihan menggunting kulit itu sampai menjadikannya rosak. Dari segi bahasa, kalimah افترى adalah satu perbuatan yang mengambil daripada kisah yang benar, kemudian ditambah sana dan sini menjadikan sesuatu kisah yang lain. Ini seperti filem, bukan? Ada filem yang berasaskan kisah benar, tetapi tukang buat skrip tambah sana dan sini sampai ia tidak lagi menjadi kisah yang asal. Dalam erti kata yang lain, kita telah menipu bukan kalau kita افترى?
Jadi di sini, Allah ﷻ hendak menekankan yang kisah-kisah di dalam Al-Qur’an secara umumnya dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidak mungkin kisah yang direka. Tidak mungkin sama sekali. Perhatikan Allah ﷻ sebut tentang hal ini di hujung di dalam Ayat 111, selepas kisah itu selesai disampaikan. Bukan di awal surah. Bayangkan begini: Katakan seseorang hendak menjual sesuatu barang, maka dia akan kata barang dia baik, tunjuk gambar brosur, tunjuk testimoni kepada orang yang belum menggunakan lagi barang itu. Kalau kita sudah beri seseorang itu menggunakan barang itu dan kita tanyakan kepadanya, “Amacam barang ini? Baik tak?” Jadi ini lebih hebat kerana orang itu telah gunakan barang itu. Maka begitulah dengan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Allah ﷻ ceritakan dahulu dan kemudian Allah ﷻ beritahu: Takkan kisah ini kisah rekaan kot… begitu punya hebat kisah ini!
Perhatikan Allah ﷻ menggunakan kalimah ما sebagai النَّافِيَةُ (penolakan) di sini dan bukan لا. Kalimah ما lebih kuat daripada لا, di mana ما digunakan apabila hendak menolak kata-kata atau pandangan seseorang. Jadi apabila ما yang digunakan di sini, ia memberi isyarat bahawa ada yang mengatakan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam surah ini adalah rekaan, dan Allah ﷻ menolak kata-kata itu.. tidak, ia bukan rekaan manusia. Kalau hendak reka, pun tidak akan mampu. Nah, surah ini mulanya didengari oleh Quraisy Mekah yang tidak tahu apa-apa tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mungkin Mesir pun. Jadi, bagi mereka, mereka pertama kali mendengar kisah ini dan mereka tidak ada rujukan untuk membandingkan kisah itu. Akan tetapi, mereka tetap dapat mendengar bagaimana hebatnya kisah itu disampaikan oleh Allah ﷻ dalam bahasa yang tepat dan menarik.
Persoalan di sini, yang tahu kisah para Nabi itu, siapa? Itulah golongan Yahudi yang waktu itu berada di Yathrib (nama lama bagi Madinah). Ketika surah ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ masih lagi di Mekah dan tidak ada interaksi berhadapan dengan mereka lagi. Golongan Yahudi itu mesti terkejut apabila mendapat tahu orang Arab tahu tentang kisah para Nabi itu kerana ia terdapat dalam riwayat mereka. Dan apabila mereka membandingkan dengan kisah-kisah yang ada di tangan mereka, adakah ia sama? Tentu tidak. Mereka mungkin menuduh kisah yang Muhammad ﷺ sampai itu tidak benar, tidak sama dengan kisah yang mereka ada. Namun, Allah ﷻ dengan tegas mengatakan ما, ia bukan kisah rekaan manusia, bukan rekaan Nabi Muhammad ﷺ.
Dalam masa yang sama, Allah ﷻ memberi isyarat yang golongan Yahudi itu telah melakukan افترى iaitu telah menokok tambah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sehingga menjadi kisah yang lain. Kita sendiri boleh periksa hal ini jikalau kita baca kisah tersebut disampaikan di dalam kitab mereka. Digunakan kalimah افترى kerana mereka telah rosakkan, telah jadikan benda yang lain, telah memotong dengan teruk sekali sehingga menjadikan benda yang asalnya cantik menjadi buruk! Mereka telah merosakkan sejarah dan nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang di dalam Surah Yusuf ini Allah ﷻ sedang mengembalikan maruah para Nabi itu kepada keadaan yang sebenarnya.
Namun begitu, jikalau kamu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ tidak kira sama ada daripada Yahudi atau Nasrani, atau daripada Quraisy yang tidak pernah mendengar kisah itu, jikalau kamu membaca dan menekuni kisah ini dengan hati yang suci murni, kamu akan dapat rasa dengan yakin yang kisah yang di dalam Al-Qur’an inilah kisah yang benar.
Malah bukan mereka sahaja… Bagaimana dengan kita yang sudah lama tahu tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tetapi sekarang baru melihatnya di dalam tafsir dan tadabbur? Kisah yang kita dahulu sudah tahu apa yang terjadi, namun sekarang apabila kita kupas dan kita bentangkan, perkara yang kita tahu dahulu semakin terbuka kepada kita. Malah kita takkan habis mengkaji surah ini dan kisah ini kerana semakin lama kita mengkajinya, semakin terbuka ilmu-ilmu baru yang Allah ﷻ buka kepada kita.
Di dalam masa yang sama, sekarang ini ada pengkaji-pengkaji Al-Qur’an yang non-Muslim yang sedang mengkaji Al-Qur’an dan mencari kesalahan dan kesilapan di dalamnya. Mereka adalah sarjana yang bekerja keras dan bagi mereka, tentunya Al-Qur’an ini adalah rekaan. Ia hebat, tetapi bagi mereka ia tetap rekaan manusia. Kepada mereka ini juga Allah ﷻ dengan tegas mengatakan ما، ini bukan kisah rekaan. Kamu kaji sedikit lagi dan kamu akan dapati yang ia bukan rekaan. Masalah dengan mereka adalah mereka ini sudah ada prejudis terhadap agama Islam dan Al-Qur’an, mereka sudah ada keputusan bahawa Al-Qur’an ini rekaan, jadi kerana itu mereka mencari-cari kesalahan. Bagi mereka ini, Allah ﷻ ada berpesan di dalam Muhammad:24
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka adakah mereka sengaja tidak mentadabbur Al-Qur’an? Atau mungkinkah hati mereka telah terkunci rapat?”
Hati mereka telah terkunci rapat kerana mereka telah ada prejudis yang Al-Qur’an ini rekaan Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam Nisa’:82 Allah ﷻ menegur mereka dan suruh mereka berfikir:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Maka tidakkah mereka mentadabbur Al-Qur’an? Kalaulah Al-Qur’an itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati di dalamnya banyak perselisihan.”
وَلٰكِن تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ
akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya
Sekarang Allah ﷻ akan menyebut 4 kualiti yang ada pada Al-Qur’an. Ia bukan rekaan, tetapi ia adalah kebenaran dan sekarang akan dibuktikan. Yang pertama, ia adalah sama dengan apa yang ada di tangan Bani Israil zaman itu. Kalimat بَينَ يَدَيهِ secara literal: di antara dua tangannya. Jadi ia bermaksud yang di hadapan mereka, iaitu kitab yang ada di tangan mereka (Taurat dan Injil). Orang yang bertanya tentang kedatangan Bani Israil ke Mesir itu, mereka pun ada kitab dan soalan mereka dijawab dengan kisah ini, yang membenarkan apa yang mereka tahu. Jadi, mereka boleh rujuk sendiri dan pastikan bahawa ini bukanlah cerita rekaan. Ada golongan Ahli Kitab yang menangis apabila membaca Al-Qur’an kerana mereka nampak kebenaran yang di dalam Al-Qur’an sepertimana yang mereka tahu terdapat di dalam kitab mereka. Ini disebut di dalam Maidah:83
وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (daripada kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad ﷺ).
Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini terdapat di dalam Genesis 37-50. Kisah itu disampaikan dengan panjang lebar. Namun, tidaklah sama penegasan dan perjalanan cerita itu kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an. Kisah di dalam kitab mereka panjang cerita tentang fakta, secara kronologi tetapi Al-Qur’an lebih menegaskan tentang pengajaran. Agak membosankan kalau baca di dalam Genesis itu. Ternyata, memang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada di dalam kitab mereka.
Apabila Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah, baginda akan bersemuka dengan puak Yahudi di sana. Akan ada ayat-ayat yang lebih terperinci tentang sejarah Bani Israil. Akan tetapi semasa Nabi Muhammad ﷺ berada di Mekah lagi, mereka di sana telah mendengar tentang kisah-kisah mereka disampaikan oleh Allah ﷻ. Kandungan Al-Qur’an sebenarnya 2/3 daripada keseluruhannya telah diturunkan di Mekah. Dan orang Yahudi telah mendengar kisah tok nenek mereka disebut ketika itu. Macam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bunyamin dan abang-abang mereka itu adalah leluhur mereka. Ada 12 adik beradik semua sekali, bukan? Daripada 12 adik-beradik itulah mereka dibahagikan kepada 12 puak. Nama mereka Bani Israil dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itulah Israil! Maka sekarang Allah ﷻ beritahu kembali kisah para Nabi itu yang memang telah ada dalam sejarah hidup mereka. Jadi Allah ﷻ membenarkan (تَصديقَ) apa yang ada di tangan mereka.
Namun begitu, terdapat satu terjemahan تَصديقَ yang menarik. Ia bermaksud mengeluarkan yang benar daripada sejarah itu. Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam sejarah mereka, ada yang benar dan ada yang tidak benar (penipuan). Maka Allah ﷻ keluarkan mana yang benar dan tidak sentuh kisah yang tidak benar itu. Maknanya Allah ﷻ sekarang melakukan pemurnian/pemutihan terhadap kisah yang ada pada mereka.
Jadi, tidaklah Nabi Muhammad ﷺ menciplak kitab mereka itu. Allah ﷻ telah tegaskan yang kisah ini مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ (daripada berita-berita yang ghaib) seperti disebut di dalam Ayat 101
ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ
Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.
Bukti Nabi Muhammad ﷺ tidak ciplak:
1. Nabi Muhammad ﷺ seorang ummiy (tidak boleh menulis dan membaca) jadi tidak mungkin baginda boleh baca apa yang ada di dalam kitab mereka.
2. Kisah di dalam Al-Qur’an mengandungi fakta yang tidak ada di dalam kitab mereka. Antaranya kisah di dalam penjara dan dialog dengan Raja Mesir.
3. Kisah di dalam Al-Qur’an tidak sama dengan kisah di dalam kitab terdahulu. Antaranya kisah antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz. Al-Qur’an menegaskan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah, berbeza dengan apa yang disampaikan di dalam kitab mereka.
Jadi ada kisah di dalam kitab-kitab mereka dan kisah di dalam Al-Qur’an. Mana yang benar? Maka untuk menerima kisah yang benar, ia memerlukan orang yang أُولِي الأَلبابِ, iaitu mereka yang ada minda dan hati yang suci. Barulah dia boleh menilai mana kisah yang lebih bagus dan lebih menjaga nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mana kisah yang ada pengajaran di dalamnya.
وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ
dan penjelasan segala sesuatu,
Dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja ada kisah-kisah, pemurnian sejarah yang lama dahulu, namun ia ada penjelasan bagi ‘semua perkara’ (كُلِّ شَيءٍ). Maknanya, Al-Qur’an bukan sahaja memandang kepada masa lampau, tetapi juga menjelaskan tentang kehidupan yang di hadapan kita sekarang. Ia menjadi panduan bagi kehidupan kita. Ia tidak hanya terhad kepada perbincangan perkara yang telah berlaku zaman dahulu.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘semua perkara’? Kalau kita baca satu per satu, tidaklah Al-Qur’an menceritakan semua perkara tentang dunia, bukan? Contohnya, tidaklah Al-Qur’an menceritakan tentang sains sepenuhnya, tentang sejarah semuanya. Tidaklah Al-Qur’an sentuh tentang mikrobiologi, sosiologi, virus dan lain-lain bidang akademik. Ia tidak mengajar matematik dan geometri. Ajar tentang membuat roti canai pun tidak ada. Bukanlah Al-Qur’an ini buku akademik yang menceritakan semua, bukan?
Lalu, apakah maksudnya? Maksudnya, Al-Qur’an menceritakan semua yang manusia perlukan untuk memastikan bahawa Al-Qur’an ini adalah wahyu. Semua perkara yang penting tentang agama telah disentuh dalam Al-Qur’an. Benda yang paling penting ada dalam Al-Qur’an. Perkara yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan kita di dunia dengan baik ada di dalam Al-Qur’an ini.
Kita bayangkan sebuah suasana di mana anda datang dan bertanya tentang cara mengambil wudhu’. Saya pun jelaskan satu per satu sampai anda faham dan kemudian saya tanya: “Sudahkah saya jelaskan semuanya?” Anda pun jawab: “Ya, ustaz, ustaz dah jelaskan semuanya.” Semuanya? Saya ada cerita tentang alam, tentang ekonomi kah? Tidak, bukan? Tetapi saya sudah jelaskan semuanya tentang soalan awak tentang wudhu’, bukan? Adakah maklumat itu penting bagi awak? Adakah awak perlukan maklumat itu ketika itu? Ya, bukan? Bukankah saya telah jawab semua soalan awak? Mari kita berpatah balik ke awal surah ini di dalam Ayat 7.
لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.
Bukankah ada persoalan di situ? Soalan dikemukakan untuk mendapatkan penjelasan. Di akhir Surah, penjelasan telah diberikan untuk segala-galanya yang ditanya dan diperlukan, yang bermaksud semua yang telah diminta. Setiap isu yang anda ada dalam hidup, setiap kebimbangan yang anda ada, setiap tempat di mana anda memerlukan bimbingan, setiap kali anda terjebak dan tidak tahu apa yang betul untuk dilakukan, setiap kali anda putus asa dan mencari harapan, setiap kali anda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi ketakutan anda, bagaimana untuk menangani keputusasaan anda, setiap kali anda terluka oleh seseorang dan tidak tahu bagaimana menanganinya. Adakah Allah ﷻ membantu orang yang terluka oleh orang lain? Ya, lihat kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bukankah baginda terluka dengan begitu mendalam sekali oleh perbuatan anak-anaknya? Bagaimana anda hendak uruskan pengkhianatan? Bagaimana anda uruskan fitnah? Semua ini bukankah telah diceritakan dan dijelaskan?
Bagaimana anda menguruskan semua ini? Bagaimana anda menangani apabila orang melakukan perkara-perkara buruk kepada anda? Bagaimana anda boleh mencari kekuatan dalam? Allah ﷻ telah menjawab kepada semua soalan ini, mengenai perjuangan anda, rasa ingin tahu anda. Jadi maksudnya bukanlah pertanyaan tentang astronomi, bukan mengenai aerodinamik, bukan mengenai itu semua. Yang anda perlukan adalah tentang apa yang berlaku di dunia dan kesannya kepada anda, di dalam kompas moral anda, kompas rohani anda, perjuangan anda, ujian anda, naik dan turun anda di dalam kehidupan. Semua persoalan tentang kehidupan anda, yang anda perlukan, ada di dalam surah ini. Kerana Al-Qur’an bukannya buku sejarah, buku perubatan dan buku sains, tetapi ia buku kehidupan. Ya, Al-Qur’an ada sentuh semua perkara sedikit, tetapi yang lebih penting, ia adalah tentang kehidupan.
Sekarang kita hendak pecah dan kupaskan kalimah تَفصيلَ. Terjemahan ringkasnya adalah: penjelasan. Ia daripada kata dasar ف ص ل yang bermaksud mengasingkan; membezakan; had; bahagian; berlepas; buat keputusan; ditetapkan; bahagikan kepada bahagian; menjelaskan secara terperinci; memberi penjelasan; hakim; menceritakan sesuatu perkara secara terperinci; cerai susu; keluarga; kerabat. Daripada ini kita ada kalimah seperti مفصل yang bermaksud engsel, yang menghubungkan antara dua pintu. مفصل juga adalah bahagian yang memegang antara dua tulang dalam tubuh kita. Kalau daging dipotong dan dibahagikan ikut bahagian masing-masing, ia dipanggil فَصَّلَ.
Jadi kalimat ini ada kena-mengena dengan pemisahan, akan tetapi menyambung juga. Macam antara dua tulang itu, ia memisahkan satu tulang daripada tulang yang lain, tetapi bukankah tulang itu bersambung juga? Ia tidak terpisah, satu di sana, satu di sini. Konsep ini juga digunakan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Perhatikan di dalam Fussilat:3
كِتٰبٌ فُصِّلَت ءآيٰتُهُ
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu
Untuk menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ telah pisahkan setiap ayat satu persatu. Tetapi adakah setiap ayat itu tidak berkaitan? Tentu ia berkaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain. Kerana itu di dalam ilmu tafsir, kita kena lihat kepada ayat sebelum dan ayat selepasnya untuk memahami konteks sesuatu ayat itu.
Satu lagi kalimah yang menarik untuk kita bincangkan dan lebih memahami konsep ini adalah kalimah فِصالًا di dalam Baqarah:233
فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما
kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu
Kalimah فِصالًا adalah putus susu dengan anak. Ibu itu tidak lagi menyusukan anaknya itu; tetapi adakah putus terus hubungan ibu itu dengan anak? Jadi konsep pisah tetapi bersambung, tetap ada. Kalau kita perhatikan, kata dasar ini juga ada digunakan di dalam Ayat 94,
وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلعِيرُ
Tatkala kafilah itu telah ke luar (dari negeri Mesir)
Maknanya, abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bertolak meninggalkan Mesir, bukan? Akan tetapi, adakah mereka terus terputus hubungan dengan Mesir? Tidak. Mereka membawa barang-barang dari Mesir dan nanti mereka akan kembali ke sana kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyuruh mereka membawa keluarga mereka ke Mesir, bukan?
Di dalam Ayat 111, ia digunakan di dalam bentuk penjelasan. Ini kerana apabila kita hendak menjelaskan sesuatu, kita kena pisahkan setiap topik supaya dapat dibezakan antara satu sama lain. Kerana itu kalau kita belajar biologi contohnya, kita akan pisahkan antara tubuh, bahagian tangan, bahagian kaki dan sebagainya. Namun, adakah setiap bahagian itu betul-betul terpisah daripada badan? Tidak, bukan? Cuma untuk jelaskan, hendaklah dipisahkan satu persatu supaya nampak perbezaan dan ini memberi pemahaman kepada pelajar. Begitulah apabila kita mengajar, kita akan pisahkan konsep untuk senang difahami oleh pelajar. Kalau kita gaulkan semua sekali, tentu akan ada kekeliruan.
Maka di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, konsep yang banyak telah dipisahkan di dalam kisah-kisah di dalam setiap ayat. Ini supaya kita mudah faham dan kita terapkan di dalam kehidupan kita.
Konsep pisah dan bersambung juga terpakai antara kita dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita terpisah dengan baginda dari segi masa yang ribuan tahun dan kedudukan geografi yang jauh. Akan tetapi, setelah kita menekuni kisah baginda, bukankah kita terasa ada kaitan antara baginda dan kita? Apa yang baginda lalui, kadang-kadang kita juga lalui. Allah ﷻ telah menjadikan kisah baginda ini ada sahaja kaitannya dengan kita. Tentulah tidak semua, tetapi pasti ada.
Begitulah Al-Qur’an ini memandu kita di dalam kehidupan kita dengan memberikan berbagai-bagai konsep tentang kehidupan. Supaya kita dapat mengaplikasikan di dalam setiap sudut kehidupan kita yang berliku-liku. Allah ﷻ telah terangkan segalanya di dalam Al-Qur’an. Kerana inilah yang kita perlukan, bukan? Iaitu panduan hidup di dunia untuk membawa kita ke akhirat.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 27 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


