Ayat 9: Apakah yang akan terjadi pada hari yang manusia akan dibangkitkan semula?
يَومَ تُبلَى السَّرائِرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The Day when secrets will be put on trial,¹
- i.e., exposed, examined and judged.
(MALAY)
Pada hari dinampakkan segala rahsia,
Pada hari yang segala rahsia yang dijaga selama itu akan dikeluarkan. السَّرائِرُ adalah rahsia yang memang dijaga dengan baik sekali. Ini tidak sama dengan kalimah سر yang bermaksud rahsia sahaja. Kalimah السَّرائِرُ ini adalah rahsia yang dijaga sampai tidak mahu sesiapa pun tahu, walau macam mana pujuk hendak tahu pun, orang itu tidak akan memberitahunya.
‘Rahsia’ juga adalah salah satu dari tema surah ini. Dan kita pun tahu bagaimana manusia banyak rahsia. Banyak perkara yang dilakukan oleh persatuan, parti politik, kerajaan dan sebagainya dan mereka rahsiakan daripada orang awam. Kadangkala kita dapat tahu sesetengah rahsia yang terbongkar, kita pun terkejut dengan apa yang telah dilakukan. Kita tidak sangka ada manusia yang sanggup melakukan perkara yang terkutuk seperti yang dilakukan mereka. Tetapi begitulah manusia.
Kerana mereka tidak mahu rahsia mereka terbongkar, manusia amat menjaga segala rahsia itu. Tetapi akhirnya akan terbongkar juga di akhirat nanti. Segala rahsia mereka akan dibogelkan.
Ini memberi peringatan kepada kita, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan. Walaupun kita terselamat dari diketahui oleh orang kerana kita pandai simpan, tetapi akan sampai masanya, segala rahsia yang kita jaga bermati-matian itu, akan terbongkar juga. Dan kalau kesalahan yang kita lakukan, kita akan dibalas dengan balasan azab yang setimpal.
Ayat 10: Lalu apa terjadi apabila segala rahsia telah dikeluarkan?
فَما لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلا ناصِرٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then he [i.e., man] will have no power or any helper.
(MALAY)
maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatan pun dan tidak (pula) seorang penolong.
Pada hari itu manusia tidak mempunyai kekuatan dan penolong. Penolong amat penting di hari akhirat nanti. Tetapi orang kafir tidak mempunyainya. Dalam Surah al-Burooj sebelum ini, telah disebut tentang tentera yang membunuh orang-orang mukmin dan dimasukkan ke dalam lubang berapi. Mereka ada kekuatan waktu itu, tolong menolong sesama sendiri. Tetapi di akhirat kelak mereka tidak ada penolong langsung.
Kita memerlukan kekuatan untuk menyimpan rahsia kita. Di akhirat nanti segala rahsia akan terbongkar kerana sudah tidak ada kekuatan untuk menyimpannya.
Kalau kita tidak kuat, maka kita memerlukan pertolongan orang lain untuk menjaga rahsia kita. Di akhirat juga tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka.
Ayat 11: Ini adalah sumpah lagi dari Allah ﷻ. Ayat 11 – 14 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu di dalam perenggan ini yang Al-Qur’an bukan gurauan.
وَالسَّماءِ ذاتِ الرَّجعِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
By the sky which returns [rain]
(MALAY)
Demi langit yang memulangkan
Allah ﷻ menggunakan langit sekali lagi sebagai sumpah. Demi langit yang ‘memulangkan’. Memulangkan apa? Allah ﷻ menyebut salah satu sifat langit yang memulangkan apa yang sampai kepadanya. Sebagai contoh, langit memulangkan air yang turun dalam bentuk hujan dan kembali naik menjadi wap dan naik ke atas dan kemudian diturunkan kembali air yang sama dalam bentuk hujan. Jadi ada kitaran naik dan turun.
Satu lagi adalah apabila memulangkan radiasi dari ozon dan signal satelit. Ini semua adalah proses lantunan yang berlaku pada langit dan ianya berlaku berulang-ulang kali.
Ayat 12: Sumpahan lagi. Tadi dengan langit, sekarang dengan bumi pula.
وَالأَرضِ ذاتِ الصَّدعِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] the earth which cracks open,¹
- With the growth of plants.
(MALAY)
dan bumi yang mempunyai rekahan,
Dan Allah ﷻ bersumpah demi bumi yang mempunyai sifat merekah. Apabila bumi merekah, ia dapat menerima air dari langit dan cahaya matahari yang membolehkan proses fotosintesis berlaku dan menumbuhkan tumbuhan.
Allah ﷻ membuat analogi kejadian manusia dengan pertumbuhan tanaman. Ini adalah kerana kedua-dua melibatkan air dan memerlukan air untuk kelangsungan hidup. Manusia memerlukan air mani dan tumbuhan memerlukan air hujan. Kedua-duanya menerima air dan dua-dua hidup dan mati.
Ayat 13: Sudah ada dua sumpah di atas tadi. Setiap sumpah ada jawabal qasm dan ini adalah jawabal qasm kepada dua sumpah itu.
إِنَّهُ لَقَولٌ فَصلٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, it [i.e., the Qur’ān] is a decisive statement,
(MALAY)
sesungguhnya Al Qur’an itu benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak dan yang bathil.
Yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Sumpah Allah ﷻ sebelum ini adalah hendak menekankan tentang Al-Qur’an. Sesungguhnya Al-Qur’an itu bersifat فَصلٌ iaitu membezakan antara satu perkara dengan perkara yang lain, membezakan yang benar dan salah.
Allah ﷻ menjadikan analogi air hujan itu seperti wahyu yang masuk ke hati manusia seperti air hujan masuk ke dalam tanah dan menyuburkan tanah itu. Dan memang ada dalam hadis bagaimana Nabi ﷺ menggunakan air sebagai analogi kepada ilmu. Ini terdapat dalam Bab Kelebihan Orang Yang Berilmu Dan Mengajarkan `Ilmu Pengetahuannya, Kitab Sahih Bukhari.
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلاءِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتِ الْكَلا وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لا تُمْسِكُ مَاءً وَلا تُنْبِتُ كَلا فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ قَالَ أبو عَبْد اللَّهِ قَالَ إِسْحَاقُ وَكَانَ مِنْهَا طَائِفَةٌ قَيَّلَتِ الْمَاءَ قَاعٌ يَعْلُوهُ الْمَاءُ وَالصَّفْصَفُ الْمُسْتَوِي مِنَ الارْض.ِ
Muhammad Bin al-‘Ala’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammad Bin Usamah telah meriwayatkan kepada kami daripada Buraid Bin `Abdullah daripada Abu Burdah daripada Abu Musa daripada Nabi ﷺ, sabdanya: “Perbandingan petunjuk dan `ilmu yang Allah utuskan aku membawanya adalah seperti hujan yang lebat yang menimpa bumi. Di antara bumi itu ada yang Naqiyah (subur), ia menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput. Di antaranya ada yang Ajadib (yang hanya menampung air), ia menampung air tetapi tidak menyerap air. Maka Allah memanfaatkan tanah itu kepada manusia, mereka dapat minum dan memberi minum kepada ternakan mereka serta bercucuk tanam daripada air itu. Hujan yang turun itu menimpa sebahagian tanah yang lain, ia merupakan Qi’an (tanah gersang), tanah itu tidak dapat menampung air ataupun menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Itulah perbandingan orang yang mendalam `ilmunya tentang agama Allah. Allah memberi manfaat kepadanya dengan apa yang Allah utuskan aku membawanya lalu dia mendapat `ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Dan juga, perbandingan dengan orang yang tidak mengangkat langsung kepalanya terhadap `ilmu dan petunjuk yang dibawa olehku itu, dia tidak menerima petunjuk yang Allah utuskan kepadaku.
Abu `Abdullah berkata: Ishaq berkata dari Abu Usamah: “Di antara tanah itu ada sekumpulan tanah yang menerima air, tanah lapang yang menakung air, dan tanah rata di bumi”. [Sahih Bukhari no. 79; Sahih Muslim no. 2282]
Dalam hadis di atas, air itu umpama wahyu dan tanah itu adalah manusia. Ada manusia yang baik dan menerima wahyu dan menyampaikan kepada manusia lain. Ada yang hanya dapat memanfaatkan untuk dirinya sahaja dan ada yang langsung tidak memberi manfaat.
Ayat 14: Masih lagi tentang Al-Qur’an.
وَما هُوَ بِالهَزلِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And it is not amusement.
(MALAY)
dan sekali-kali bukanlah ia senda gurau.
Dan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu bukan perkara olok-olok. الهَزلِ adalah sesuatu yang tidak bernilai. Dan ia juga boleh bermaksud kata yang sia-sia.
Al-Qur’an itu bukanlah bacaan ringan sebagai halwa telinga sahaja. Ia juga bukan hanya untuk memberi pengetahuan sahaja tetapi adalah untuk digunakan sebagai panduan hidup. Al-Qur’an bukanlah sebagai penghibur sahaja kepada manusia untuk didengari sahaja. Memang ia sedap didengar dan lebih baik dari musik dan lagu. Tetapi bukanlah itu tujuan Al-Qur’an diturunkan.
Malangnya ramai dari kalangan kita yang buat itu sahaja. Iaitu memang mereka baca dan dengar Al-Qur’an tetapi sebagai halwa telinga sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak faham dan kerana itu tidak dapat hendak amalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu kerana mereka tidak belajar.
Akhirnya mereka baca sebagai sekadar entertainment sahaja, sesuatu yang menarik sahaja, tetapi bukan hendak amalkan sebagai panduan hidup. Jadi, itu bukanlah sepatutnya kita lakukan terhadap Al-Qur’an itu. Kita kena belajar tafsir Al-Qur’an dan fahami apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an dan amalkan. Kemudian sebarkan kepada orang lain.
Ayat 15: Ayat 15 – 17 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ memberitahu yang orang kafir hanya lepas bebas sementara sahaja di dunia.
إِنَّهُم يَكيدونَ كَيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, they are planning a plan,
(MALAY)
Sesungguhnya mereka itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya.
‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah musuh-musuh Islam yang hendak menjatuhkan Islam dengan berbagai cara. Sesungguhnya mereka menjalankan rancangan jahat secara rahsia. Kalimah yang digunakan adalah كيد dan ini tidak sama dengan مكر yang juga bermaksud perancangan.
Kalimah كيد bermaksud perancangan rahsia. Ini bertepatan dengan tema surah ini yang banyak tentang kerahsiaan.
Kalimah مكر pula bermaksud rancangan untuk memperdayakan pihak musuh yang sangka mereka akan menang, tetapi akhirnya menyebabkan mereka kalah.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ membuka rahsia yang memang musuh ada buat rancangan jahat untuk menjatuhkan Islam. Ini pasti kerana Allah ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini. Sebagai contoh, memang Musyrikin Mekah ada buat rancangan untuk membunuh Nabi Muhammad ﷺ untuk mematikan terus agama Islam.
Dan dari ayat ini kita dapat tahu bahawa ada banyak kumpulan yang ingin membuat sesuatu kepada Nabi ﷺ, bukan satu kumpulan sahaja. Tetapi mereka tidaklah bersatu. Begitulah dengan kumpulan-kumpulan kufur. Mereka buat rancangan bersendirian tetapi mereka sendiri tidak bersatu. Mereka pun ada perbalahan dan perbezaan pendapat antara mereka.
Ayat 16: Kalau pihak musuh ada buat perancangan, tidakkah ini membahayakan umat Islam? Allah ﷻ jawab dalam ayat ini.
وَأَكيدُ كَيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But I am planning a plan.
(MALAY)
Dan Aku pun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya.
Mereka merancang sedangkan Allah ﷻ juga merancang. Allah ﷻ tidak letak perkataan إِنَّ (sesungguhnya) seperti dalam ayat sebelum ini, kerana kalau ada kalimah إِنَّ, menunjukkan bahawa ada usaha yang diperlukan. Tentunya Allah ﷻ tidak memerlukan usaha kerana senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukan apa sahaja.
Tidak perlu susah kalau Allah ﷻ hendak buat dan rancangan Allah ﷻ pasti berjaya. Rancangan mereka banyak dan macam-macam tetapi rancangan Allah ﷻ satu sahaja. Rancangan mereka belum tentu berjaya, tetapi rancangan Allah ﷻ pastinya berjaya.
Jadi ini sebagai tasliah (pujukan) untuk Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Memang musuh ada buat rancangan tetapi biarkan mereka buat rancangan, jangan takut. Kerana Allah ﷻ pun ada rancangan juga. Kita kena tawakal kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tetap akan memenangkan agamaNya dan tidak biarkan orang mukmin dalam kekalahan.
Ayat 17: Ayat takhwif.
فَمَهِّلِ الكافِرينَ أَمهِلهُم رُوَيدًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So allow time for the disbelievers. Leave them awhile.¹
- i.e., Do not be in haste for revenge, for you will see what will become of them.
(MALAY)
Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.
فَمَهِّلِ الكافِرينَ
Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu
Selepas Allah ﷻ sebut tentang perancangan yang dibuat orang kafir untuk menjatuhkan Islam, Allah ﷻ beritahu kepada Nabi ﷺ untuk beri peluang kepada mereka. Allah ﷻ kata: Oleh itu berilah sedikit masa lagi kepada mereka.
Kalimah تمهل digunakan apabila kita memberi masa tambahan untuk beri peluang kepada orang. Sebagai contoh, beri masa tambahan untuk seseorang bayar hutang. Kalimah إمهل juga bermaksud biarkan sahaja secara keseluruhan. Maknanya beri peluang kepada mereka.
Bagaimana boleh jadi begitu? Padahal Nabi ﷺ dan orang mukmin sedang diseksa masa itu? Bagaimana pula Nabi ﷺ yang diminta untuk beri peluang kepada kaum kafir? Sedangkan permintaan ini selalunya dikatakan kepada mereka yang sedang berkuasa, bagaimana hendak kata yang Nabi Muhammad ﷺ sedang berada dalam kedudukan berkuasa waktu itu?
Maksudnya, Allah ﷻ minta Nabi ﷺ jangan doakan kebinasaan mereka lagi. Ini seperti doa Nabi Nuh عليه السلام dan para Rasul lain عليهم السلام yang menyebabkan kemusnahan kaum mereka. Sebab kalau Nabi Muhammad ﷺ doa, Allah ﷻ akan makbulkan dan akan musnahlah bangsa Arab.
Maknanya, doa Nabi ﷺ itu adalah senjata Nabi ﷺ dan kalau Nabi ﷺ doa sahaja, Allah ﷻ akan buat apa yang baginda minta, iaitu hancurkan mereka. Ini menunjukkan bahawa kekuatan sebenarnya ada pada Nabi ﷺ. Memang secara fizikal tidak nampak, tetapi sebenarnya kekuatan ada pada Nabi ﷺ.
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ tangguhkan berdoa untuk kemusnahan mereka kerana Allah ﷻ sudah ada rancangan untuk menjatuhkan mereka. Jadi jangan risau kerana Allah ﷻ akan buat apa yang patut.
Dan Allah ﷻ juga mahu memberi peluang kepada ramai Musyrikin Mekah untuk beriman. Memang pada peringkat awal mereka menentang (atau tidak kisah tentang Islam) akan tetapi sedikit demi sedikit ramai yang masuk Islam. Dan akhir sekali, berbondong manusia masuk Islam semasa Pembukaan Mekah nanti.
Ayat ini menunjukkan kekuatan pada doa. Bukan Nabi ﷺ sahaja boleh berdoa tetapi kita pun ada doa juga. Kalau kita nampak lemah, jangan kita rasa rendah sangat, kerana kita ada doa. Allah ﷻ dengar doa kita dan kalau Allah ﷻ mahu, Dia boleh makbulkan.
أَمهِلهُم رُوَيدًا
iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.
Beri peluang bukan sehingga akhir, tetapi seketika sahaja. Kalimah رُوَيدًا bermaksud ‘sekejap sahaja lagi’ (ini isim tasghir). Ini kerana Allah ﷻ sudah rancang untuk puak Muslim berhijrah, nanti akan ada Perang Badr, Uhud dan macam-macam lagi yang akan berlaku. Akhirnya tidak lama lagi, kemenangan akan diberikan kepada puak Muslim semasa Pembukaan Mekah pada tahun 10 Hijrah.
Nota: dalam keseluruhan surah ini, Allah ﷻ hanya berkata-kata kepada Nabi ﷺ sahaja. Langsung tidak bercakap kepada orang kafir. Ini adalah sebagai penghinaan kepada mereka. Tidak layak Allah ﷻ berkata kepada mereka. Ini menunjukkan Allah ﷻ sangat murka dengan mereka.
Ayat-ayat dalam surah-surah selepas ini adalah tentang tauhid. Akan banyak ditekankan tentang tauhid dan perkara-perkara yang menghalang kepada manusia untuk menerima tauhid, iaitu dunia. Allah ﷻ tahu manusia tolak tauhid kerana terlalu sayangkan dunia maka Allah ﷻ beritahu apakah hakikat dunia itu. Ini supaya manusia sedar dan tidaklah tertipu dengan dunia lagi.
Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-A’la.
Kemaskini: 30 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi