Pengenalan:
Surah ini diturunkan dalam Peringkat Ke-2 Kenabian. Sekitar tahun 4 – 6 di Makkah. Kaitan persamaan dan perbezaan dengan surah sebelum ini, Surah Syams:
1. Dalam Surah Asy-Syams, siang disebut dahulu, tetapi dalam surah ini, malam disebut dahulu.
2. Dalam Surah Asy-Syams, disebut bahawa malam menutup’nya’ – dan kita tahu bahawa ‘nya’ dalam ayat itu adalah merujuk kepada cahaya matahari. Tetapi dalam surah ini, hanya dikatakan ‘malam dan yang ia tutupi’, tanpa disebut apakah yang ia tutupi.
Dari Surah Asy-Syams, kita dapat agak bahawa yang ditutupi itu juga adalah cahaya matahari. Maka, seperti Allah ﷻ suruh kita merujuk kepada Surah Asy-Syams juga dalam membaca surah ini. Maka ini adalah isyarat kaitan yang amat kuat antara surah ini dan Surah Asy-Syams.
3. Surah Asy-Syams berkisar tentang perbezaan akidah antara manusia, sedangkan Surah al-Layl pula tentang perbezaan amal. Kalau akidah berbeza, tentulah amalan pun berbeza juga.
4. Apabila dikatakan malam menutup siang (وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ), ianya disebut dalam fi’il mudhari’ (present tense) (يَغشىٰ dalam bentuk fi’il mudhari’). Tetapi apabila disebut siang yang memperlihatkan matahari dengan jelas (وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ), ianya disebut dalam bentuk fi’il madhi (past tense) kerana جَلّىٰ adalah dalam bentuk fi’il madhi.
Dalam Al-Qu’ran, apabila digunakan fi’il madhi, ianya menunjukkan ‘ketentuan’, ‘kepastian’ atau ‘keseluruhan’. Tapi apabila digunakan fi’il mudhari’, ia menunjukkan sebahagian atau sesuatu yang tidak lengkap. Kenapa begini?
Kerana kalau malam terjadi, ia tak tutup matahari atau siang terus, kerana ada sikit-sikit lagi cahaya dari matahari – iaitu dari bulan – maknanya tidak lengkap. Sebaliknya apabila siang terjadi, tiada langsung kesan malam, semua akan jadi terang habis.
Ini menjelaskan kenapa Al-Qu’ran menggunakan fi’il yang berlainan. Ini adalah perkara yang halus yang hendak disampaikan. Menunjukkan keindahan bahasa Al-Qu’ran yang tepat dengan apa yang berlaku. Ini sebahagian dari ilmu balaghah.
5. Dalam Surah Asy-Syams, disebut tentang langit dan bumi. Dalam Surah al-Layl, disebut tentang lelaki dan perempuan pula. Langit dan bumi ada perbezaan sifat, seperti juga perbezaan sifat antara lelaki dan perempuan. Akan tetapi dua-dua pasangan itu menghasilkan sesuatu apabila bersama.
Langit dan bumi bergabung menghasilkan tanaman di muka bumi dan lelaki perempuan apabila bersama akan menghasilkan keturunan. Jadi walaupun ianya berbeza, tetapi bila bergabung ia akan menjadikan sesuatu.
6. Dalam Surah Asy-Syams, Allah ﷻ berkata-kata dalam kata ganti ketiga (ghaibah). Tapi dalam Surah Al-Layl, Allah ﷻ bercakap dalam kata ganti kedua (mukhatab) – Ini bermaksud Allah ﷻ bercakap terus kepada kita. Apakah kepentingan perbezaan ini?
Kalau bercakap dalam pihak ketiga, ianya dalam bentuk umum sahaja. Tetapi apabila dalam kata ganti kedua, ia lebih berbentuk peribadi dan lebih rapat. Maknanya ada nasihat yang terus diberikan kepada penerima wahyu ini.
Maknanya, pengajaran itu untuk kita yang sedang membaca Al-Qur’an. Jangan kata untuk orang lain pula. Kerana kalau digunakan dalam kata ganti ketiga, kita mungkin kata: “ah, ini untuk orang lain, tidak kena mengena dengan aku.”
7. Dalam Surah Asy-Syams, Allah ﷻ berkata bahawa manusia telah diberikan dua jenis fitrah: kesedaran tentang kebaikan dan kesedaran tentang keburukan. Ini adalah naluri dalaman yang Allah ﷻ telah berikan (fitrah).
Dalam Surah Al-Layl, Allah ﷻ berkata tentang orang yang walaupun tahu tentang keburukan, tetapi masih lagi nak ikut keburukan itu. Begitulah manusia, walaupun mereka sudah tahu mana yang salah, tetapi mereka masih buat juga lagi. Allah ﷻ menegur mereka yang sebegitu dalam surah ini.
8. Dalam Surah Asy-Syams, Allah ﷻ berkata tentang penyucian jiwa (nafs) iaitu tentang pembersihan dalaman. Dalam Surah Al-Layl pula Allah ﷻ bercakap tentang usaha luaran. Jadi, Surah Asy-Syams tentang penyakit hati, dan Surah Al-Layl tentang penyakit amalan.
9. Dalam Surah Asy-Syams, Allah ﷻ berkata tentang beruntunglah mereka yang membersihkan hatinya. Dalam Surah Al-Layl, Allah ﷻ mengajar tentang bagaimanakah hendak membersihkan hati itu.
10. Dalam Surah Asy-Syams, disebut tentang mereka yang tidak melakukan yang sepatutnya iaitu mereka telah mengotorkan jiwa mereka. Dalam surah ini Allah ﷻ menceritakan apakah yang mereka telah lakukan sampai telah mengotorkan diri nafs mereka. Jadi Surah Al-Layl ini menyambung apa yang telah disentuh dalam Surah Asy-Syams.
11. Dalam Surah Asy-Syams, ianya tentang kaum Tsamud yang engkar kepada Nabi Saleh عليه السلام dan Allah ﷻ. Dalam surah ini, ianya tentang orang yang merasa cukup: istaghna. Mereka rasa cukup, sampai tidak perlukan kepada orang lain dan Allah ﷻ lagi. Jadi ini adalah tentang harta kekayaan.
Biasanya, orang yang ada harta dan kaya, mereka rasa kehidupan mereka sudah cukup, tidak perlu sesiapa lagi kerana mereka rasa mereka semua sudah ada. Tetapi mereka lupa yang harta itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Dalam surah ini, kepada mereka yang rasa sudah cukup itu, Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa وَإِنَّ لَنا لَلآخِرَةَ وَالأولىٰ “Sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan dunia”
12. Ada orang yang rasa mereka mendapat hidayah kerana usaha ibadat mereka. Dan kerana mereka banyak buat ibadah, mereka sangka mereka telah selamat. Allah ﷻ mengingatkan mereka dalam surah ini, bahawa hidayah itu dari Allah ﷻ, bukan hasil usaha kita, apabila Allah ﷻ berfirman: إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ Sesungguhnya ke atas Kamilah untuk memberi petunjuk”.
Petunjuk itu kita kena minta berterusan. Sebab itu kita asyik minta petunjuk dalam Surah Fatihah – ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ. Jangan kita rasa selamat tetapi sentiasalah berharap dengan Allah ﷻ untuk beri hidayah dan taufik.
13. Dalam surah ini akan disebut tentang mereka yang berpaling dari ajaran Al-Qur’an: الَّذي كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ “Yang telah mendustakan kebenaran dan berpaling ingkar”. Dalam Surah Asy-Syams, telah disebut tentang mereka yang membunuh unta mukjizat فَكَذَّبوهُ فَعَقَروها فَدَمدَمَ عَلَيهِم رَبُّهُم بِذَنبِهِم فَسَوّاها.
Tetapi bagaimana pula dengan Musyrikin Mekah, apakah kesalahan mereka? Mereka juga telah melakukan kesalahan kepada mukjizat juga. Iaitu mukjizat dalam bentuk Al-Qur’an kerana Al-Qur’an juga adalah mukjizat. Apa kesalahan yang mereka telah lakukan? – mereka berpaling darinya.
Kaum Tsamud disuruh menjauhkan diri dari unta dan mereka kufur. Musyrikin Mekah sebaliknya disuruh mendekatkan diri dengan Al-Qur’an, tetapi mereka menjauhkan diri pula. Unta itu kena tinggalkan, sebaliknya dengan Al-Qur’an, jangan tinggalkan tetapi sepatutnya kena dekatkan diri dengan Al-Qur’an.
14. Dalam Surah Asy-Syams, Nabi Saleh عليه السلام yang memberi peringatan kepada mereka supaya jangan kacau unta itu. Kerana kalau kacau, akan menyebabkan mereka kena azab. Dalam Surah Al-Layl ini, Allah ﷻ sendiri yang beri peringatan tentang azab api neraka.
Maka amaran ini lebih kuat dari kata-kata amaran dari seorang Rasul. Jadi, kena sedarlah, walaupun ancaman dan peringatan itu diberikan melalui Nabi, tapi ianya datang dari Allah ﷻ.
15. Dalam Surah Asy-Syams, disebutkan tentang ‘ashqa’ – orang yang paling buruk. Dalam Surah Al-Layl, disebutkan tentang apakah yang terjadi kepada ‘ashqa’ itu. Akan diberitahu yang mereka akan dimasukkan ke neraka.
16. Kepada orang yang yang paling malang seperti disebut dalam Surah Asy-Syams, Allah ﷻ beritahu yang mereka dikenakan dengan hukuman dimasukkan ke dalam neraka. Sebaliknya kepada orang yang baik, mereka akan dinaikkan darjat oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak sebut dengan jelas, maknanya banyak sangat yang mereka akan terima nanti sampaikan tidak dapat disebut.
17. Dalam Surah Balad disebut bukit yang susah untuk didaki. Tetapi dalam surah ini Allah ﷻ kata yang perjalanan itu akan dimudahkan.
18. Orang yang kaya sangka kedudukan mereka tinggi kerana kekayaan mereka, seperti disebut dalam Surah Asy-Syams, tetapi dalam Surah Al-Layl, Allah ﷻ beritahu yang mereka yang infak hartalah yang berada di kedudukan yang tinggi.
Oleh itu, kita boleh lihat yang selalu diulang-ulang dalam surah ini adalah tentang kekayaan harta. Kita akan belajar kenapakah perkara ini penting dan bahaya kepada manusia.
Kita juga akan diajar supaya bersihkan diri kita dengan memperbetulkan pandangan kita terhadap harta dan kekayaan. Memang tidak ada salah memiliki harta, tetapi boleh jadi bahaya kalau harta itu sudah masuk ke dalam hati sampaikan kita cinta (hubb) kepada dunia.
Dalam ayat-ayat Al-Qur’an, Allah ﷻ tidak marah memiliki harta, tetapi Allah ﷻ tegur kerana manusia ‘cinta’ hubb kepada harta itu. Itu kalau sampaikan mereka melupakan langsung untuk melakukan persediaan kepada akhirat. Itulah masalah yang banyak dihadapi oleh manusia. Jadi kerana itu topik ini diulang-ulang banyak kali dalam surah ini.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang usaha manusia membawa akibat. Ia menghasilkan buah yang berbeza.
Ayat 1 ini adalah sumpah Allah ﷻ yang pertama dalam surah ini.
وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Layl: The Night.
By the night when it covers¹
- With darkness.
(MALAY)
Demi malam apabila menutupi (cahaya siang),
Tidak disebut dalam ayat ini apakah yang diselubungi oleh malam itu, akan tetapi kalau mengikut surah sebelum ini, ianya bermaksud menyelubungi cahaya matahari. Maknanya untuk memahami satu-satu ayat, Allah ﷻ menyuruh kita merujuk kepada surah yang lain.
Ini mengajar kita yang Allah ﷻ menyuruh kita menggunakan akal dan pengetahuan kita. Allah ﷻ tidak beritahu semua perkara, maka kena pakai akal dan kajian untuk mendapatkan maklumat dan melakukan kajian. Inilah salah satu keindahan Al-Qur’an, supaya kita jadi orang yang berfikir.
Kalimah يَغشىٰ bermaksud menyelubungi seperti yang telah disebut. Tetapi ia juga memberi isyarat kegelapan kufur. Oleh itu, apabila Allah ﷻ menyebut tentang cahaya siang, Dia memberi isyarat kepada cahaya wahyu yang menghilangkan kegelapan kufur yang menyelubungi manusia sebelum itu.
Ayat 2: Sumpah kedua.
وَالنَّهارِ إِذا تَجَلّىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] the day when it appears
(MALAY)
Dan siang apabila ia lahir terang-benderang;
Juga tidak disebut apakah yang ditunjukkan dengan jelas. Kita kena tengok surah sebelum surah ini, jadi kita faham bahawa yang dimaksudkan adalah cahaya matahari. Cahaya siang itu juga isyarat merujuk kepada cahaya dakwah.
Allah ﷻ menarik perhatian kita kepada perbezaan antara malam dan siang. Malam mengambil masa untuk menjadi – dari waktu asar membawa ke senja, kemudian maghrib dan bermula kegelapan pun sikit-sikit. Maknanya tidak terus gelap terus, bukan? Tetapi siang, terus terjadi dengan cepat. Apabila cahaya matahari keluar sikit sahaja, terus mula nampak cahaya. Terus hilang malam itu dengan datangnya cahaya matahari.
Begitulah juga dengan cahaya Islam. Cepat sungguh ia merebak. Kegelapan kemungkaran yang terjadi telah mengambil masa yang lama untuk menjadi, sedikit demi sedikit manusia menjadi kafir, bukannya terus jadi kafir. Beratus tahun masyarakat Arab berada dalam kegelapan mungkar tapi Islam hanya mengambil masa 23 tahun sahaja untuk menghilangkan kemungkaran itu.
Ayat 3: Kegelapan itu Allah ﷻ yang buat dan cerah pun Allah ﷻ yang buat juga. Apa lagi yang Allah ﷻ cipta? Ini adalah sumpah ketiga.
وَما خَلَقَ الذَّكَرَ وَالأُنثىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] He who created the male and female,
(MALAY)
dan penciptaan laki-laki dan perempuan,
Dan demi Yang menciptakan makhluk jantan dan betina. Iaitu Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang Dialah yang menciptakan segalanya termasuk jantina lelaki dan perempuan.
Kalimah ‘ما’ juga boleh bermaksud ketakjuban kejadian alam yang ada dua elemen itu – alangkah hebatnya Yang menjadikan lelaki dan perempuan itu! Ini bermaksud kalimah ما itu adalah dalam bentuk ma mawsoolah – hebat sekali yang menjadikan lelaki dan wanita itu. Alangkah hebatnya.
Kalimah ما itu juga boleh dalam bentuk ma masdariyah – merujuk kepada kejadian lelaki dan perempuan itu sendiri. Hendak menekankan betapa hebat sekali kejadian lelaki dan perempuan itu.
Sebenarnya, dari segi bahasa kalimah الذَّكَرَ وَالأُنثىٰ bukan hanya digunakan kepada lelaki dan perempuan (manusia) sahaja tetapi untuk semua jenis kehidupan. Semua yang ada jantan dan betina – seperti binatang, pokok dan lain-lain. Seperti yang kita tahu, Allah ﷻ menjadikan semua makhluk dalam dunia ini berpasang-pasangan.
Dan malah dunia ini sendiri ada pasangannya – pasangan kepada dunia ini adalah akhirat nanti. Kerana itu kita pasti yang akhirat itu ada. Kerana takkan dunia ini begini sahaja? Takkan habis begitu sahaja, bukan?
Jadi kerana Allah ﷻ telah jadikan pasangan untuk setiap perkara, maka kita kena hargai pasangan-pasangan yang ada itu. Kerana kehidupan dalam dunia memerlukan pasangan masing-masing. Sepertimana juga seorang lelaki memang perlu kepada wanita.
Sebagai contoh, wanitalah yang menenangkan mereka, begitu juga wanita memerlukan lelaki dalam hidup mereka. Kalau tidak ada salah satu, maka mereka akan ada kekurangan sedikit sebanyak. Pasangan saling memerlukan antara satu sama lain dan bukan hanya terhad kepada jenis manusia sahaja. Segala perkara dalam kehidupan ini ada pasangan dan memerlukan pasangan masing-masing. Kalau tidak ada pasangannya, ia tidak dapat berfungsi dengan baik.
Sebagai contoh, bayangkan kalau malam sahaja yang ada, siang tiada – tentu susah untuk kita bekerja, bukan? Bayangkan juga kalau perempuan tidak ada, lelaki sahaja yang ada, maka tidak adalah zuriat dalam dunia ini. Kita memerlukan pasangan lawan kita. Seperti kita telah lihat dalam surah sebelum ini, perkara ini kena ada keseimbangan, barulah lengkap hidup ini.
Ayat 4: Inilah jawabul qasm surah ini, selepas diberikan sumpah-sumpah tadi.
إِنَّ سَعيَكُم لَشَتّىٰ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, your efforts are diverse.
(MALAY)
sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.
Ayat 1 – 3 adalah sumpah dari Allah ﷻ. Selepas sumpah, ada jawab kepada sumpah itu. Iaitu apakah yang hendak ditekankan oleh Allah ﷻ. Inilah ayat selepas sumpah itu. Inilah perkara penting dalam surah ini. Dan selepas ini ayat 5 – 11 akan menceritakan dengan lebih panjang lagi apakah usaha manusia itu.
Allah ﷻ hendak menekankan yang sesungguhnya amal usaha manusia ada berbagai-bagai. Ada yang baik dan ada yang tidak. Dan apabila berbeza, balasan di akhirat juga berbeza-beza. Kalau baik dibalas baik; kalau tidak baik, dibalas dengan azab di neraka.
Allah ﷻ bercakap terus dalam ayat ini kepada puak Quraisy. Namun ada juga yang mengatakan كم dalam ayat ini merujuk kepada semua manusia. Maka, kita pun kena ambil perhatian dari pendapat ini kerana ayat ini ditujukan kepada kita juga.
Kalimah سَعى bermaksud bergerak deras untuk melakukan sesuatu dalam usaha kita. Maknanya, usaha yang bersungguh-sungguh. Seperti kita sai’e di Mekah, ada berlari-lari sikit, bukan? Begitulah apabila kita sedang melakukan sesuatu yang penting, kita akan bergerak dengan cepat. Tidak sampai tahap berlari tapi bergerak dengan agak laju.
Kalimah سَعى itu boleh juga merujuk keduniaan dan untuk akhirat juga. Dua-dua boleh menggunakan kalimah ini. Maknanya, ada yang berusaha keras untuk dunia dan ada yang berusaha keras untuk akhirat. Kalau dalam dunia, ramai yang mahu jadi kaya maka mereka berusaha keras. Tapi sebenarnya kita juga boleh jadi kaya di akhirat kelak. Kalau ikhlas kepada Allah ﷻ, maka seseorang itu akan berusaha keras untuk menghantar pahala ke akhirat dan nanti, dia akan menjadi ‘kaya’ di akhirat.
Bagaimana dengan dunia? Tidak salah untuk kita ada harta di dunia, cuma jangan cinta sangat dalam hati kita kepada harta sampai menghalang kita dari berbuat kebaikan. Kita kena lebih berusaha untuk akhirat daripada dunia. Kerana akhirat itu akan kekal dan dunia ini sementara sahaja.
Kalimah شَتّىٰ bermaksud: merata-rata tempat, tidak di satu sahaja. Asalnya ia adalah satu tetapi sudah terpecah merata-rata. Sudah terbahagi ke beberapa bahagian. Ini merujuk kepada manusia seluruhnya. Dulu kita semua adalah di bawah satu agama tapi sekarang sudah berpecah kepada bermacam-macam agama.
Allah ﷻ mengatakan kita berpecah dari segi agama. Dulu asalnya, semua orang adalah Muslim belaka. Ingat kembali apakah agama Nabi Adam عليه السلام dan anak beranaknya? Tentulah mereka juga mengamalkan agama Islam kerana hanya ada satu agama sahaja dalam dunia ini yang sah.
Akan tetapi lama kelamaan agama manusia sudah berubah. Orang Islam menjalankan usaha untuk mengikut suruhan Allah ﷻ. Tapi sebaliknya, orang kafir menentang suruhan Allah ﷻ, mereka berusaha untuk melemahkan agama Islam.
Ia juga bermaksud manusia semuanya mempunyai kerja dan pegangan dan usaha masing-masing. Semua dengan usaha dan pekerjaan masing-masing. Tidak sama semuanya.
Ayat sebelum ini pula tentang jantan dan betina. Itu pun perpecahan dan perbezaan juga. Allah ﷻ hendak menerangkan kepada kita bahawa kita hidup dalam dunia tidak sama pegangan, ada sahaja perbezaan. Janganlah kita hairan kalau ada orang yang berlainan fahaman dan amalan dengan kita kerana memang itu adalah lumrah manusia. Yang penting kita kena lihat di pihak manakah kita. Adakah kita di pihak yang benar dan melakukan amalan yang benar atau tidak?
Ini juga adalah peringatan kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah, bahawa manusia itu macam-macam jenis dan fahaman. Maka jangan hairan sangat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi