Tafsir Surah al-Fajr Ayat 1 – 5 (Apakah 10 malam itu?)

Pengenalan:

Di hujung Surah al-Ghasyiyah terdapat ancaman dari Allah ﷻ yang akan menghisab segala apa yang dilakukan oleh manusia (ثُمَّ إِنَّ عَلَينا حِسابَهُم). Maknanya, kalau Allah ﷻ tanya sahaja, kenapa begini dan begitu, maka itu adalah bahaya kerana itu tanda tidak selamat. Yang selamat kalau dibaca sahaja seperti yang disebut dalam Insyiqaq:8.

Mereka yang mendapat hisab yang teruk adalah mereka yang ada masalah semasa di dunia, tidak taat dan tidak beriman sempurna. Allah ﷻ beritahu yang masalah dengan manusia berkenaan agama ini adalah kerana hubbud-dunya (cinta dunia). Dan Allah ﷻ akan memberitahu penyelesaian kepada masalah itu, iaitu dengan cara mendampingkan diri dengan Allah ﷻ.

Oleh itu, di permulaan surah ini mengajar tentang rawatan kepada penyakit cinta dunia, iaitu luangkan masa dengan amalan untuk rapatkan diri dengan Allah ﷻ dan jangan lalai leka dengan dunia. Jadilah seperti Abd Rahman bin Auf dan Saidina Umar رضي الله عنهما, walaupun mereka kaya dan berkuasa, tetapi mereka selamat kerana mereka tidak putus hubungan dengan Allah ﷻ. Mereka bukan tidak menggunakan harta, tetapi mereka menggunakan dunia mengikut peraturan syari’at, jadi dapat dunia banyak pun tidak mengapa.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang orang berakal boleh faham dalil adanya Hari Pembalasan.

Ayat 1 ini adalah sumpah pertama dari Allah ﷻ dalam surah ini.

وَالفَجرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fajr: The Dawn.

By the dawn

(MALAY)

Demi fajar,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajr. Sekali lagi kita lihat secara ringkas kenapa Allah ﷻ bersumpah dalam Al-Qur’an:

    1. Untuk mengambil perhatian mereka yang tidak mahu mendengar. Allah ﷻ hendak beritahu apa yang akan disampaikan adalah penting, maka kena dengar.
    2. Allah ﷻ hendak kita memikirkan tentang perkara yang dijadikan sebagai sumpah itu. Ianya sebagai pembuka kepada apa yang akan disebutkan selepas ini yang ada kena mengena dengan apa yang digunakan sebagai sumpah. Oleh itu, apabila Allah ﷻ bersumpah dengan fajr, Allah ﷻ hendak suruh kita berfikir tentang fajr.

Kalimah فجر asalnya bermaksud sesuatu yang mengoyak, dan waktu fajar itu dinamakan al-fajr kerana ia mengoyak kegelapan malam dengan kedatangan cahaya siang. Seperti yang kita tahu, di waktu ini ada Solat Subuh. Ia adalah waktu yang hanya orang Muslim beriman sahaja yang bangun untuk mengadap Tuhannya. Sedangkan ramai yang gagal untuk bangun Solat Subuh waktu ini.

Inilah waktu yang paling bening bagi seorang Muslim untuk beribadat dan bermunajat kepada Tuhannya (selain dari waktu sahur). Kalau tidak beriman sungguh, susah untuk bangun melakukan fardhu yang satu ini. Dalam hal ini kita lemah dari binatang kerana kita boleh lihat bagaimana binatang pun akan bangun kerana itu adalah fitrah mereka. Mereka tidak mempunyai pilihan. Tetapi manusia yang Allah ﷻ beri akal dan nafsu, susah pula untuk bangun.

Fajar adalah penting kerana ianya adalah permulaan kepada hari itu. Waktu itulah manusia dan binatang akan mula bangun untuk memulakan hari mereka. Manusia dengan cara mereka dan binatang dengan cara mereka. Dan pada waktu itu sudah bermulalah bunyi kesibukan termasuk bunyi binatang dan ketahuilah yang bunyi binatang itu juga adalah tasbih mereka kepada Allah ﷻ. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak tahu bahasa mereka.

Mufassirin cuba untuk menjelaskan kenapakah Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajar ini, apakah kelebihan waktu ini dan apakah isyarat yang hendak disampaikan?

Ada yang kata Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajar kerana ia membawa isyarat kepada hidup sesudah mati. Kerana tidur adalah satu bentuk kematian sebenarnya dan Allah ﷻ hidupkan kita balik pada waktu fajar. Maka setiap kali kita bangun selepas kita tidur, itu adalah isyarat kepada kehidupan semula selepas mati nanti yang akan dialami oleh semua orang.

Allah ﷻ mengingatkan kita kepada kematian setiap malam dengan adanya tidur. Memang kita sebenarnya ‘mati’ semasa kita tidur dan kerana itu ada doa yang Nabi ﷺ ajar bagaimana bersyukur kepada Allah ﷻ yang menghidupkan kita sesudah mati.

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit.
[HR. Bukhari dalam Fathul Bari no. 11/113 dan Muslim no. 4/2083]
Ruj. Hisnul Muslim: Dr. Saied Ali Wahf al-Qahthani

Lihatlah bagaimana dalam doa itu pun kita kata kita ‘mati’ waktu tidur itu. Kerana doa itu bukan: syukur kepada Allah ﷻ kerana ‘menjagakan’ aku kembali selepas tidur. Tidaklah digunakan begitu, malah digunakan kalimah yang kita mati semasa kita tidur malam tadi. Kita waktu itu mati kerana Allah ﷻ telah tarik sebahagian dari roh kita dari tubuh. Dan apabila sampai waktu untuk bangun, Allah ﷻ pulangkan balik roh itu ke tubuh kita.

Fajr juga adalah sebagai isyarat kepada cahaya kebenaran yang akan sampai kepada umat Islam. Seperti yang kita tahu, surah ini diturunkan di Mekah dan Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa dakwah Islam ini akan tersebar ke seluruh dunia sebagaimana cahaya matahari tersebar ke segenap pelusuk dunia.

Ada juga mufassirin mengatakan bahawa pagi di dalam ayat ini adalah pagi Yaumun Nahr iaitu pagi pada 10 Dzulhijjah (Hari Raya Haji). Hari itu jemaah haji melontar Jamrah, iaitu sebahagian dari amalan ibadah Haji. Ini berkaitan dengan ayat seterusnya selepas ini.

Ada juga yang kata, ini adalah waktu fajr pada setiap 10 hari awal dari bulan Dzulhijjah. Ini dikuatkan dengan hadis di dalam kitab Sahih Bukhari di mana telah disebutkan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما secara marfu’:

مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ”.

“Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad di jalan Allah?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu”. [HR at-Tirmizi no. 688, Abu Daud no. 2082 dan Ibn Majah no. 1717; Ibnu Hibban no. 3853]

Imam at-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan sahih gharib. Manakala Ibnu Hibban pula meriwayatkan lafaz dari jalur Jabir bin Abdillah رضي الله عنهما. Lafaz-lafaz ini menguatkan lagi lafaz sahih Imam al-Bukhari pada hadis ” الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ “.

Catatan: Hari yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah hari 1-10 Dzulhijjah.

Yang penting pada waktu fajr dalam hari-hari itu (sama ada hari ke 10 atau setiap dari 10 hari itu), itulah waktu yang doa makbul. Maka carilah peluang untuk berdoa waktu itu. Mereka yang berilmu, akan peka untuk mencari waktu-waktu untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Mereka terkesan dengan waktu-waktu itu kerana ianya berkenaan agama dan nasib mereka di akhirat, dan tidaklah mereka asyik memikirkan tentang dunia sahaja.


 

Ayat 2: Sumpah yang kedua.

وَلَيالٍ عَشرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] ten nights¹

  • Usually interpreted as the first ten nights of the month of Dhul-Ḥijjah.

(MALAY)

dan malam yang sepuluh,

 

Dan demi 10 malam. Tidak ada ال makrifah dalam ayat ini jadi tidak ditetapkan mana satu set sepuluh malam yang tertentu. Oleh itu ada dua pendapat utama tentang malam yang sepuluh itu. Dua pendapat yang jumhur mengatakan yang ianya adalah 10 malam terakhir dari Ramadhan dan satu lagi pendapat: sepuluh malam pertama dari DzulHijjah.

Walaupun begitu, ada juga pendapat-pendapat lain seperti pendapat yang mengatakan ianya adalah sepuluh malam pertama dan sepuluh malam yang terakhir setiap bulan kerana waktu itu nampak bulan dengan jelas. Kenapa ada banyak pendapat pula? Kenapa tidak ada satu kata putus? Ulama membenarkan perkara ini kerana tidak ada ال makrifah pada kalimah لَيالٍ yang menyebabkan ianya terbuka.

Malam-malam ini adalah penting sebab Allah ﷻ bersumpah dengannya. Sangatlah penting dan berkat sekali untuk berbuat ibadat di hari-hari yang sepuluh ini. Rasulullah ﷺ berpuasa pada hari-hari itu (dari bulan DzulHijjah). Ini adalah hari-hari yang Allah ﷻ suka jikalau hambaNya memperbanyakkan ibadat.

Kita telah sebutkan dua pendapat jumhur tentang 10 malam itu (dari Ramadhan dan dari DzulHijjah). Mufassir memikirkan pula kenapakah malam-malam itu penting? Ada yang mengatakan kerana malam dari Ramadhan itu adalah salah satu hari dari Lailatul Qadr dan waktu itulah turunnya Al-Qur’an. Dan permulaan turun Al-Qur’an itu adalah misi permulaan dakwah tauhid dari Rasulullah ﷺ. Jadi ada kelebihan sejarah juga di situ.

Sementara itu, pendapat kedua yang mengatakan ianya adalah sepuluh malam pertama dari DzulHijjah pula, mengatakan kepentingan sejarah dari bulan DzulHijjah itu adalah kerana Mekah telah dibuka pada permulaan bulan Haji itu. Dari Pembukaan Mekah itulah Islam mula tersebar luas kalau dibandingkan dengan waktu-waktu lain.

Oleh itu, pendapat pertama merujuk kepada permulaan dakwah baginda dan yang pendapat kedua merujuk kepada penyempurnaan dakwah baginda apabila ramai penduduk Makkah dan masyarakat Arab masuk Islam selepas Pembukaan Mekah.


 

Ayat 3: Sumpah yang ketiga.

وَالشَّفعِ وَالوَترِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the even [number] and the odd

(MALAY)

dan demi yang genap dan yang ganjil,

 

Dan demi yang genap dan yang ganjil. Kalimah شَّفعِ bermaksud ada bersama dengan orang lain (berpasang). Kalimah yang biasa kita dengar adalah syafa’at, sebab itu orang yang memberi syafa’at itu bermohon supaya Allah ﷻ beri belas kasihan kepada orang lain dengan mengatakan ‘orang ini dengan aku’.

Semua ciptaan Allah ﷻ adalah berpasangan (kanan dan kiri, malam dan siang, lelaki dan perempuan dan sebagainya). Oleh itu, kalimah الشَّفعِ dikatakan merujuk kepada seluruh makhluk, kerana semua makhluk dicipta berpasangan.

Dan kalau yang genap merujuk kepada semua makhluk, maka ‘yang ganjil’ merujuk kepada Allah ﷻ yang hanya satu tidak ada pasangan. Ini adalah pendapat para sahabat, dan walaupun begitu, ada banyak pendapat lain lagi.

Allah ﷻ memang ganjil dan kerana itu Allah ﷻ suka nombor yang ganjil. Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui riwayat Abu Hurairah, dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رِوَايَةً قَالَ لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

Abu Hurairah secara periwayatan, dia berkata; “Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu, tidaklah seseorang menghafalnya melainkan ia akan masuk surga, dan Dia adalah Witir dan menyukai yang ganjil.”[Sahih Bukhari no. 5931, Sahih Muslim no. 2677]

Memang ada lagi pendapat lain. Sebagai contoh, mufassirin ada yang mengatakan yang genap adalah hari kesepuluh bulan DzulHijjah dan yang ganjil adalah hari kesembilan, iaitu hari wuquf di Arafah. Pendapat ini adalah kesinambungan dari pendapat yang mengatakan sepuluh malam yang dimaksudkan adalah sepuluh hari dari bulan DzulHijjah.

Kita tidak akan dapat menghargai sesuatu yang ganjil tanpa dibandingkan dengan pasangannya. Setiap yang genap ada pasangan, dan yang ganjil adalah satu dari pasangan itu, kerana setiap pasangan terdiri dari dua yang ganjil, bukan?

Sebagai contoh, bulan adalah pasangan matahari, tetapi matahari itu sendiri sudah hebat dan ada kelebihannya, bukan? Lelaki dan wanita adalah pasangan tetapi lelaki juga ada kelebihan dan wanita pun ada kelebihan juga. Kita tidak akan dapat memahami matahari kalau tidak dibandingkan dengan bulan; dan kita tidak dapat memahami lelaki kalau tidak dibandingkan dengan wanita. Maka, kena lihat kepada keduanya sekali.

Apakah kaitan sumpah ini dengan sumpah-sumpah yang lainnya? Kalau kita lihat dalam surah-surah sebelum ini, telah disebut bagaimana manusia tidak percaya dengan adanya Hari Kebangkitan. Ini adalah kerana mereka lihat satu dari pasangan sahaja, iaitu mereka lihat dunia sahaja tanpa melihat pasangannya, akhirat. Oleh kerana itu, mereka sibuk dengan urusan dunia, tetapi tidak beramal untuk persediaan kepada akhirat.

Begitulah juga masalah dengan golongan atheist atau Freethinker. Masalah dengan atheist yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, mereka susah hendak percaya kerana mereka nampak banyak ketidakadilan dalam dunia ini.

Sebagai contoh, bagaimana dengan pembunuh yang kejam? Dia bunuh banyak orang, tetapi dia kalau dia ditangkap oleh kerajaan, paling banyak dia hanya dibalas bunuh sekali sahaja. Tentunya ini tidak adil, bukan? Dan bagaimana dengan orang baik di dunia, tetapi mereka tidak mendapat balasan baik di dunia ini – hidup mereka susah, mereka mungkin kena bunuh, ada yang kena caci, ada yang miskin, mereka tidak ada kuasa dan berbagai lagi kekurangan yang mereka hadapi.

Ini pun nampak macam tidak adil – bagaimana mereka mendapat nasib yang malang sedangkan mereka itu orang yang baik-baik? Maka ini adalah persoalan yang ada di benak sesetengah manusia.

Maka jawapannya adalah hari akhirat nanti. Kerana di akhirat nanti, akan diberikan keadilan dengan sepenuhnya. Kerana Allah ﷻ Maha Adil dan Dia pasti akan tegakkan keadilan. Cuma keadilan sempurna akan tertegak di akhirat sahaja. Di sana nanti, yang jahat akan dibalas dengan apa yang mereka layak dapat – kalau seorang pembunuh itu, dia akan dibunuh berkali-kali (tetapi dia tidak akan mati).

Dan mereka yang baik akan dibalas dengan segala kebaikan yang mereka lakukan selama mereka di dunia. Maka kita kena percaya kepada akhirat juga, jangan lihat kepada dunia yang di depan mata kita sahaja. Kerana takkan Allah ﷻ tidak adil. Kalau kehidupan di dunia ini habis begitu sahaja, maka ini boleh dijadikan hujah yang Allah ﷻ tidak adil pula, sedangkan Allah ﷻ Maha Adil.

Akhir sekali, terdapat satu lagi tafsir bagi maksud yang genap dan ganjil ini: ia merujuk kepada doa selepas sembahyang yang genap dan sembahyang yang ganjil. Jadi, pendapat ini mengatakan yang ‘genap dan ganjil’ itu merujuk kepada solat. Kerana ada solat yang genap seperti Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak dan ada solat yang ganjil, iaitu Solat Maghrib. Maka ini mengajar kita untuk mengambil peluang untuk berdoa selepas setiap kali solat. Ini adalah kerana doa selepas solat adalah makbul.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ:حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ -هُوَ الطَّيَالِسِيُّ-حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ عِمْرَانَ بْنِ عِصَامٍ: أَنَّ شَيْخًا حَدَّثَهُ مِنْ أَهْلِ الْبَصْرَةِ، عَنْ عِمْرَانِ بْنِ حُصَيْنٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِل عَنِ الشَّفْعِ وَالْوَتْرِ، فَقَالَ: “هِيَ الصَّلَاةُ، بَعْضُهَا شَفْعٌ، وَبَعْضُهَا وَتْرٌ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Daud At-Tayalisi, telah menceritakan kepada kami Hammam, dari Qatadah, dari Imran ibnu Isam, bahawa seorang syeikh dari ulama’ Basrah pernah menceritakan kepadanya sebuah hadis dari Imran ibnu Husain, bahawa Rasulullah ﷺ pernah ditanya tentang makna asy-syaf’u dan al-watru. Maka baginda menjawab: Maksudnya adalah solat, sebahagian darinya ada yang genap (rakaatnya) dan sebahagian yang lain ada yang ganjil. [HR at-Tirmizi (Jami’ no. 3342) dan Ahmad (Musnad no. 19919)]

Maka, jangan lepaskan peluang untuk berdoa selepas solat (juga di dalam solat). Cuma doa selepas solat itu hendaklah dilakukan sendirian sahaja. Kerana doa beramai-ramai selepas solat tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat (tidak ada dalil hadis yang sahih atau pun dhaif).

Maka amalan imam dan makmum masyarakat kita yang berdoa selepas solat beramai-ramai itu adalah amalan bidaah. Memandai sahaja dilakukan oleh orang kita. Ini kerana mereka beramal tanpa ikut dalil, tetapi ikut akal mereka sahaja.

Maka mereka tidak mengambil peluang berdoa seperti yang dikehendaki. Ini adalah kerana setiap manusia ada keperluan sendiri. Ada yang sakit, ada yang ada masalah tidak ada anak, dan macam-macam lagi masalah masing-masing. Sedangkan imam itu kalau dia doa, tentulah dia doa yang standard sahaja. Tidaklah ada disebut keperluan-keperluan makmum yang lain.


 

Ayat 4: Ini adalah sumpah yang terakhir dalam surah ini.

وَاللَّيلِ إِذا يَسرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night when it passes,

(MALAY)

dan malam bila berlalu.

 

Dan malam, apabila ia berlalu sedikit demi sedikit. Kalimah يَسرِ bermaksud ‘berjalan di malam hari’. Sebenarnya malam tidak berjalan, tetapi orang yang berjalan di malam hari. Akan tetapi malam itu seolah-olah akan berlalu pergi apabila sampainya waktu fajar.

Walau apapun yang kita buat, malam itu tetap juga akan berlalu dan siang pasti akan datang. Ini adalah kerana manusia tidak berkuasa langsung kepada masa kerana hanya Allah ﷻ yang berkuasa ke atas masa. Kalau tidak percaya, cubalah tahan masa itu kalau boleh.

Perjalanan masa yang berlalu pergi ini sebagai isyarat akan kedatangan Hari Kiamat. Masa akan berlalu dan kita semakin hampir kepada Hari Kiamat itu. Maka kenalah kita bersedia dengan segala persediaan yang kita boleh buat. Janganlah leka sahaja dengan perkara-perkara dunia sampai lupa kepada akhirat pula.

Oleh itu, ayat ini berkaitan dengan masa dan ia berpasangan dengan ayat pertama yang juga berkaitan dengan masa (waktu Fajr). Sedangkan ayat 2 dan 3 pula berkait sesama sendiri (kerana ada hari yang ganjil dan genap). Kaitan ayat pertama dan ayat ke 4 ini amat berkait rapat kerana apabila malam berjalan dan berlalu pergi, maka kita tahu tidak lama lagi adalah waktu fajar. Dan setiap hari akan berlaku perkara ini, sampailah kepada hari kiamat nanti.

Mufassirin juga mengatakan bahawa ini adalah malam kesepuluh dari bulan Dzulhijjah di mana malam itu akan berlalu dan jemaah haji juga akan bergerak menuju ke Muzdalifah pada malam itu.

Ada juga yang mengatakan yang ini merujuk kepada hujung malam, iaitu waktu sahur. Waktu ini juga adalah waktu yang makbul doa. Sampaikan ada hadis yang mengatakan bagaimana Allah ﷻ turun ke langit dunia pada waktu ini untuk memakbulkan doa sesiapa sahaja yang berdoa.

Rasulullahu bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.[HR. Bukhari no. 6940 dan Muslim no. 2/175].

Maka apabila kita tahu tentang perkara ini, maka ambillah segala kesempatan yang disebut dalam ayat-ayat ini. Cari waktu-waktu yang makbul doa. Tidaklah perlu pergi sampai ke Mekah baru hendak berdoa sedangkan masa makbul doa ini ada sahaja setiap hari dan setiap tahun. Mereka yang bijak dalam agama, akan mengambil peluang-peluang itu.

Balaghah: ya’ mahzoofah (huruf ya’ yang dihazafkan).

Sepatutnya ada ya dalam kalimah يَسرِ menjadi يسري dan bukannya يَسرِ sahaja. Ini adalah kerana ya’ di dalamnya adalah ya’ asli, memang patut ada. Tetapi apabila hazf (dihilangkan), ia bermaksud ‘berterusan’.

Jadi ini adalah malam yang tidak akan datang semula, terus habis dan hilang. Jadi ‘malam’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah malam biasa seperti pada masa sekarang yang datang dan pergi. Ia memberi isyarat kepada akhirat. Kerana apabila sudah bermula akhirat nanti, sudah tidak ada malam lagi di syurga.

Kenapa tidak ada malam di syurga nanti? Kerana bukankah malam masa rehat? Oleh kerana ahli syurga hanya kena menikmati nikmat sahaja, maka tidak perlu tidur. Kalau ada malam kena tidur, sudah rugi satu waktu untuk menerima nikmat di syurga pula.

Malam memang diperlukan sekarang semasa di dunia kerana kita kena rehat dari penat. Tetapi ahli syurga tidak penat-penat. Sudahlah tidak penat, kalau tidur, sudah rugi masa pula beberapa lama tidak menikmati nikmat. Maka tidak ada tidur.

Sedangkan, untuk ahli neraka pun tidak ada siang kerana tidak ada rehat dari seksa. Tidak ada cahaya di neraka, keadaan sentiasa gelap sahaja. Maka tidak ada waktu untuk ada rehat dari seksaan. Kerana kalau ada tidur, ada rehat dari kena seksa pula. Sedangkan Allah ﷻ hendak seksa mereka sepanjang waktu.

Jadi kalimah اللَّيْلِ dalam ayat ini bukan malam dunia, tetapi malam di akhirat kelak. Maknanya ikut pendapat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan hari kiamat.

Nota tambahan : ‘Sakinah’ (ketenangan) itu ada apabila ada malam, keluarga dan rumah. Jadi kalau hendak tenang sempurna, kena berkumpul tiga perkara itu pada satu masa. Maka kena duduk di rumah dan cari bahagia dan ketenangan di rumah bersama keluarga, bukan cari bahagia di luar rumah. Jadi jangan melepak malam-malam di kedai mamak bersembang dengan kawan hingga larut malam. Sepatutnya kena duduk di rumah dengan keluarga.


 

Ayat 5: Ayat ini adalah penutup kepada sumpah-sumpah di atas. Memang sumpah-sumpah itu adalah sumpahan yang besar. Ianya berkenaan waktu-waktu di mana doa-doa akan makbul. Semasa kita berdoa pada waktu-waktu itu, kita kena yakin dengan doa itu dan kena yakin yang doa itu diterima oleh Allah ﷻ.

Kita kena tahu yang Allah ﷻ sudah bersedia untuk menerima doa itu kerana kalau tidak, Allah ﷻ tidak beri taufik untuk kita berdoa pun. Jadi, apabila kita berdoa waktu itu, memang Allah ﷻlah yang menggerakkan kita untuk berdoa. Kalau Dia yang sudah gerakkan hati kita untuk berdoa, maka tentulah Dia sudah bersedia untuk memakbulkannya.

Maka, selepas Allah ﷻ sebut sumpah-sumpah itu, apa Allah ﷻ kata tentang sumpah-sumpah itu?

هَل في ذٰلِكَ قَسَمٌ لِّّذي حِجرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is there [not] in [all] that an oath [sufficient] for one of perception?¹

  • Based upon the following verses, what has been sworn to by Allāh is that He will certainly punish the disbelievers.

(MALAY)

Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.

 

Ini terjemahan yang senang sikit faham: Apakah tidak cukup di dalam semua sumpah itu, keterangan yang boleh diakui oleh mereka yang teguh akalnya?

Allah ﷻ menggunakan perkataan حِجرٍ yang asalnya bermaksud batu, kerana batu melambangkan keteguhan. Selain itu, orang Arab juga menggunakannya untuk merujuk kepada akal, kerana akal adalah penahan diri kita dari melakukan perkara yang salah, dari melakukan perkara yang bodoh. Orang yang buat benda teruk itu sebenarnya tidak berakal. Otak sahaja ada, tetapi ‘akal’ tidak ada.

Untuk menghalang kita dari melakukan perkara yang buruk, memerlukan sesuatu yang kukuh dan teguh (batu). Kita memang memerlukan akal yang teguh, kerana kalau kita tidak ada akal, tentu kita sudah lama pegang api yang akan menyakitkan dan merosakkan kita. Akan tetapi kita tidak akan buat perkara itu kalau kita waras, kerana akal akan menahan kita dari buat benda bodoh macam itu.

Begitu juga, akal yang sihat dan baik akan dapat menahan kehendak hati yang buruk. Kerana nafsu akan sentiasa sahaja mahukan berbagai-bagai perkara dan ada masanya perkara yang dikehendaki oleh nafsu itu adalah perkara yang buruk dan salah di sisi agama.

Maka akallah yang dapat menahan nafsu itu seperti batu yang menahan kenderaan di jalanan. Ia adalah keteguhan yang menghalang mereka dari melakukan kesalahan. Iaitu tidak ikut emosi sahaja, tetapi berupaya berfikir sebelum melakukan sesuatu.

Maka, telah banyak sumpahan yang diberi di atas dan sumpah-sumpah di atas itu tidak cukupkah lagi untuk mereka yang ada akal yang waras? Maknanya, Allah ﷻ suruh kita berfikir tentang sumpah-sumpah itu. Fikirkan tentang apa yang Allah ﷻ telah sebut dalam sumpah itu dan carilah maksud yang tersirat. Kalau orang yang ada akal, tentu dia akan faham.

Sebenarnya, jarang Allah ﷻ suruh kita memikirkan sumpah-sumpah melainkan Allah ﷻ sebut sahaja. Allah ﷻ sebut sahaja sebelum masuk kepada perkara-perkara yang lain. Tetapi kali ini Allah ﷻ menarik perhatian kita semula kepada sumpah-sumpah yang telah diberi.

Maknanya, ada kepentingan dalam sumpah-sumpah itu yang kita kena ambil perhatian sangat. Mereka yang ada akal yang teguh sahaja akan dapat memahami tentang sumpah-sumpah itu. Memang ayat-ayat itu pendek sahaja tetapi ada banyak pengajaran di dalamnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s