Tafsir Surah al-Ghasyiyah Ayat 17 – 26 (Lihat kepada unta)

Ayat 17: Ayat 17 – 20 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi Dalil Afaqi tentang kebenaran Hari Akhirat.

Kalau sebelum ini telah disebut yang ada dari golongan Musyrikin Mekah itu mengejek kata unta-unta mereka boleh makan tumbuhan berduri itu bukan? Mereka kata kalau unta boleh makan, maka mereka pun bolehlah makan makanan dalam neraka itu kalau mereka dimasukkan. Jadi sekarang Allah ﷻ sebut tentang unta pula.

أَفَلا يَنظُرونَ إِلَى الإِبِلِ كَيفَ خُلِقَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not look at the camels – how they are created?

(MALAY)

Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan,

 

Apakah mereka tidak يَنظُرونَ (merenung dengan teliti) bagaimana unta telah dijadikan? الإِبِلِ adalah kalimah yang selalu digunakan untuk unta. Orang kerana unta itu satu benda yang biasa di tanah Arab, maka mereka ada banyak kalimah untuk unta, tetapi الإِبِلِ adalah yang paling biasa.

Allah ﷻ suruh kita tengoklah bagaimana amat berguna sekali unta itu. Unta itu amat sesuai untuk digunakan di padang pasir. Unta kurang minum air dan makanan dan memang patut sebab di padang pasir tidak ada makanan dan air. Unta boleh simpan makanan sendiri di pundaknya dan kerana itu unta boleh bergerak lama di padang pasir tanpa makanan.

Selain dari itu, unta juga boleh beri susu kepada pemiliknya dan susunya menjadi sumber minuman. Sudahlah unta tidak banyak makan dan minum, boleh pula lagi beri minuman kepada tuannya.

Berkenderaan dengan unta juga selesa di atasnya kerana ia tinggi dan jauh dari percikan pasir dari bawah. Ia tegap berjalan di padang pasir kerana tapak kakinya besar dan sesuai berjalan di padang pasir. Daging unta juga boleh dimakan dan bulunya juga dapat dimanfaatkan.

Begitulah kelebihan unta dan macam-macam lagi kelebihan unta itu. Allah ﷻ jadikan unta amat sesuai untuk hidup dan berkhidmat kepada manusia yang hidup di padang pasir. Di tempat yang ada banyak padang pasir, Allah ﷻ letak binatang seperti unta untuk berkhidmat di sana. Memang berguna sungguh unta itu, tidaklah macam Musyrikin Mekah itu.

Sebelum ini telah disebut ada orang kafir mengatakan bahawa kalau unta pun boleh makan daun-daun pokok dan buah berduri untuk hidup, maka mereka pun boleh juga hidup dalam neraka macam itu. Allah ﷻ hendak beritahu, mereka tidak sama dengan unta-unta itu. Tubuh unta itu bolehlah hendak makan benda-benda pelik, tetapi perut manusia bukan boleh begitu. Jangan perasan hendak jadi unta pula.

Selain itu, Allah ﷻ memberi perbandingan bagaimana unta yang besar itu pun mengikut kata tuannya. Unta lagi kuat dari manusia pun tetapi kita boleh duduk di atasnya dan ikut arahan. Arahan pula berat – berjalan di padang pasir yang panas dan susah. Tidak macam orang kafir yang degil untuk ikut arahan Allah ﷻ.

Unta adalah binatang yang taat sampaikan budak pun boleh kawal unta itu. Dan kalau hendak naik atas unta pun senang kerana unta akan turun ke bawah tidak macam kuda yang tegak sahaja berdiri dan kita yang susah untuk naik kuda. Itulah perangai yang perlu diikuti oleh seorang mukmin – mendengar dan mengikut kata Tuannya (Allah ﷻ). Allah ﷻ tunjukkan kepada kita bagaimana hendak menjadi hamba yang baik dengan cara melihat unta itu.

Begitu juga, unta itu bersifat sederhana tetapi boleh ikut ke mana tuan dia arah. Unta itu tenang-tenang sahaja – tidaklah laju susah hendak kawal macam kuda, tidaklah perlahan sangat macam kura-kura, tidaklah bising macam keldai. Memang sesuai betul unta itu. Maka begitulah juga manusia, kena sederhanalah dalam dunia. Jangan berfikir hendak hidup mewah sahaja.


 

Ayat 18: Seorang manusia kena berfikir perkara-perkara yang tinggi, tidak fikir tentang dunia sahaja. Jangan fikir setakat mati sahaja, tetapi kena fikir macam mana hendak buat semasa dalam dunia sehingga boleh duduk senang dalam syurga, di kedudukan syurga yang paling tinggi sekali iaitu Jannatul Firdaus dan dapat jumpa Allah ﷻ. Oleh itu, Allah ﷻ suruh kita lihat kepada langit yang tinggi.

وَإِلَى السَّماءِ كَيفَ رُفِعَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the sky – how it is raised?

(MALAY)

Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?

 

Ayat sebelum ini Allah ﷻ suruh renung-renungkan kepada unta dan sekarang disuruh renung kepada langit pula: tidakkah mereka melihat langit dan bagaimana ianya telah ditinggikan? Ada banyak pengajaran dari langit.

Sudah banyak ayat tentang langit dalam surah-surah sebelum ini dan sekali lagi disebut dalam surah ini. Semasa atas unta itu, dalam perjalanan yang jauh di padang pasir, maka tengoklah langit itu dan fikirkan bagaimana ia akan hancur nanti apabila sampai masa kiamat.

Ingatlah: langit yang besar dan indah itu juga akan hancur, kita juga akan hancur satu hari nanti. Lalu apakah persediaan kita kepada hari yang pasti datang itu? Takkan hendak fikirkan tentang kehidupan dunia sahaja? Kita dan dunia tidak kekal. Tetapi dunia dan langit tidak ada tanggungjawab syari’at dan tidak kena soal di akhirat kelak; tetapi kita yang akan kena soal. Macam mana hendak jawab nanti?


 

Ayat 19: Selepas disuruh tengok langit, kita disuruh pula untuk tengok gunung.

وَإِلَى الجِبالِ كَيفَ نُصِبَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the mountains – how they are erected?

(MALAY)

Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?

 

Orang Arab yang paling awal menerima wahyu Al-Qur’an ini, mereka hidup di kawasan pergunungan. Jadi mereka amat rapat dengan gunung ganang dan mereka memang terpesona dengan kebesaran gunung ganang itu. Kerana itu Allah ﷻ suruh mereka merenung gunung ganang dan lihat bagaimana gunung ganang itu ditegakkan. Tidakkah gunung ganang itu nampak kukuh? Siapakah yang menjadikannya begitu? Tentulah Allah ﷻ.

Gunung ganang itu sekarang mungkin mereka tegak kukuh tetapi pada hari kiamat, ia akan bergoyang teruk dan kemudian hancur. Jadi kalimah نُصِبَ digunakan untuk keadaan sekarang (tegak) dan akan sampai satu masa nanti yang ia akan bergoyang.

Allah ﷻ juga suruh kita fikir-fikirkan sifat gunung ganang itu. Sifat gunung itu juga teguh dan tetap istiqamah. Maka ini juga sebagai isyarat kepada manusia untuk istiqamah dalam akidah dan amalan yang benar. Jangan goyang-goyang dan senang ditiup angin ke sana dan ke sini. Bila sudah pegang ajaran Tauhid dan ajaran Sunnah, kena terus tetap teguh. Tidak kisah orang kata apa, teruskan sahaja.


 

Ayat 20: Selepas tengok gunung, kena tengok bumi pula.

وَإِلَى الأَرضِ كَيفَ سُطِحَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the earth – how it is spread out?

(MALAY)

Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?

 

Dan lihatlah bumi bagaimana ia dihamparkan? Apabila dihamparkan seolah-olah permaidani buat kita, maka senanglah kita untuk hidup di atas bumi ini, untuk bergerak di dalamnya.

Kalimah سطح bermaksud ‘hamparan untuk bumbung’. Kenapa pula bumi ini dikaitkan dengan bumbung? Ini adalah kerana bumi akan menjadi bumbung kita nanti apabila kita mati dan duduk dalam tanah nanti. Sekarang memang bumi ada di bawah kita, tetapi nanti kita akan duduk di bawah pula.

Oleh itu lihatlah penggunaan ayat yang amat tepat sekali. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita ke mana kita akan pergi nanti, iaitu akan masuk dalam kubur juga. Maka bersedialah untuk masuk ke dalam kubur nanti. Jadi ayat ini ada peringatan kepada kematian juga.

Dalam ayat ini ada isyarat kepada sifat bumi itu: lihatlah kepada bumi itu, orang pijak pun dia masih tetap rendah diri. Itulah sifat bumi yang merendah diri ini adalah sifat yang kena ada pada manusia. Dalam dunia tidak boleh meninggi diri. Kita hidup bukan untuk menongkat langit.


 

Ayat 21: Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ suruh kita terus beri peringatan dengan menggunakan Al-Qur’an.

Selepas diberitahu tentang segala perkara itu, maka sampailah kepada apa yang perlu dilakukan. Sekarang Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beri peringatan dengan perantaraan wahyu. Ayat ini sebenarnya adalah tasliah kepada Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ diingatkan yang baginda hanya sebagai pemberi peringatan sahaja. Iaitu baginda tidak bertanggungjawab atas iman orang lain. Kalau mereka tidak beriman, ia bukan salah baginda.

فَذَكِّر إِنَّما أَنتَ مُذَكِّرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remind, [O Muḥammad]; you are only a reminder.

(MALAY)

Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.

 

Ayat ini adalah sambungan dari Surah A’la (Ayat 9) فَذَكِّر إِن نَفَعَتِ الذِّكرى. Maka sekarang Nabi Muhammad ﷺ dan kita umat baginda diingatkan untuk berilah peringatan kepada manusia.

Kemudian Allah ﷻ kata yang baginda sesungguhnya hanyalah pemberi peringatan sahaja. Baginda tidak ada kuasa boleh ubah hati manusia untuk ikut apa yang baginda sampaikan dan ajak itu.

Ini adalah ringkasan tugas Nabi ﷺ sebagai pemberi peringatan. Seperti kita telah sebut sebelum ini, Nabi ﷺ itu ada dua perkara utama yang baginda lakukan: sama ada Nabi ﷺ beribadah atau berdakwah sahaja sepanjang hidup baginda sebagai Rasul.

Sekali lagi tidak disebut objek apa yang perlu diingatkan, juga tidak disebut siapa yang perlu diingatkan. Maka yang paling penting kena ingatkan manusia kepada ajaran dalam Al-Qur’an. Dan ia juga adalah isyarat supaya terus beri peringatan sahaja kepada semua orang. Tidak perlu pilih-pilih siapa yang patut kita dakwah. Ingatkan sahaja, sama ada yang diingatkan itu suka atau tidak, mereka hendak buat atau tidak, mereka berubah sekarang atau lambat lagi, ia bukan dalam kuasa kita.

Maka kita diingatkan untuk tetap beri peringatan sahaja. Dan peringatan yang diberikan itu tidak terhad, maka ingatkan mereka tentang agama, tentang tauhid, tentang fitrah mereka yang telah kenal Allah  ﷻ sebelum lahir lagi. Tetapi yang paling penting, kena mulakan dengan ingatkan mereka kepada ajaran Al-Qur’an.

Kadang-kadang kita kena ingatkan kepada orang yang sudah tahu pun. Ini kerana mereka tahu, kita pun tahu, tetapi kadang-kadang kita semua malas, bukan? Macam pelajar, dia tahu dia kena belajar, kena ulangkaji, tetapi dia malas. Oleh kerana bukan dia tidak tahu, tetapi dia malas, maka kenalah ada orang yang nasihat dia, beri semangat kepada dia, tegur dia dan ingatkan dia apa yang dia kena buat.

Maka kita tidak perlu hendak pilih siapa yang kita hendak kena ingatkan. Jangan kata: “eh tak perlulah aku ingatkan dia… dia memang sudah tahu… ” Ini kita tidak perlu hendak kisah sangat. Kalau dia sudah tahu, maka ini adalah peringatan kepada dia. Kita bukannya tahu dia tahu atau tidak, bukan?

Lagi satu, kalau ada orang nasihatkan kita, beri peringatan kepada kita, janganlah berlagak sangat dengan berkata: “ala…. aku tahulah benda ni.. tak payahlah nak ingatkan aku… “. Janganlah berlagak sangat. Allah ﷻ sudah hantar orang ingatkan kamu, sudah cukup baik. Terima sahajalah dan ucapkan terima kasih kerana ingatkan. Entah-entah Allah ﷻ hantar peringatan dari orang lain kerana kita sudah lupa dan lalai.

Ingat peringatan dari unta-unta tadi? Allah ﷻ beri isyarat untuk kita rendahkan diri kita. Kalau ada orang beri peringatan, rendahkan diri, terima nasihat dari dia. Tidak kiralah, dari orang baru belajarkah, dari budakkah, dari anak murid sendirikah… tidak kisah peringatan itu dari siapa. Anggapkan sahaja ia adalah peringatan dari Allah ﷻ.


 

Ayat 22: Nabi ﷺ hanya boleh beri peringatan sahaja, bukan baginda boleh paksa orang lain untuk beriman.

لَستَ عَلَيهِم بِمُصَيطِرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are not over them a controller.

(MALAY)

Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka,

 

Dalam surah sebelum ini telah disebut mereka yang boleh menerima adalah mereka yang takut sahaja. A’la: 9 سَيَذَّكَّرُ مَن يَخشىٰ

Kalimah مُصَيطِرٍ adalah seorang yang berkuasa atas seseorang dan boleh kawal apa yang dilakukan oleh seseorang itu. Ia dari katadasar س ط ر (dalam mushaf huruf س ditukar menjadi ص) yang bermaksud menulis, melukis, bersihkan, menguruskan, memerintah, memantau. Ini macam warden dalam penjara yang mengawal banduan dalam jagaannya.

Allah ﷻ beritahu Nabi ﷺ yang baginda bukanlah berkuasa atas mereka seperti seorang diktator yang boleh memaksa mereka beriman. Ini adalah satu dalil bahawa tidak ada paksaan dalam Islam. Kita hanya boleh sampaikan sahaja dakwah kepada manusia dan tidak boleh hendak paksa orang lain beriman. Maka kerana itu kita tidak boleh kata agama Islam dikembangkan dengan mata pedang kerana memang Islam bukanlah agama paksaan. Allah ﷻ tidak mahu orang masuk Islam kerana terpaksa.

Ayat ini bukan untuk  merendahkan Nabi ﷺ tetapi sebagai tasliah (pujukan) kepada baginda kerana baginda mahu sangat kalau boleh menarik umatnya kepada Islam, kerana baginda sayang mereka. Tetapi Allah ﷻ kata, baginda memang tidak boleh paksa kerana baginda tidak berkuasa atas mereka. Jadi jangan baginda risaukan pasal mereka, terus buat kerja baginda sebagai pemberi peringatan sahaja.


 

Ayat 23: Begitulah, walaupun Nabi ﷺ telah beri peringatan dengan berbagai-bagai cara, tetapi  masih ramai juga yang menolak.

إِلّا مَن تَوَلّىٰ وَكَفَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

However, he who turns away and disbelieves –

(MALAY)

tetapi orang yang berpaling dan kafir,

 

Ini tentang mereka yang telah diberi peringatan tetapi mereka berpaling engkar. Akan ada sahaja yang akan menolak dakwah yang disampaikan. Dari dahulu sampai sekarang dan bila-bila pun. Jadi kita tidak perlu hairan sangat kalau ada orang tolak dakwah Tauhid dan Sunnah kita.

Tetapi kalimah إِلّا dalam ayat ini memusykilkan sedikit. Selalunya kalimah إِلّا bermaksud ‘melainkan’. Jadi ada tafsiran lain bagi ayat ini: ayat ini adalah pengecualian dari ayat sebelum ini. Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa pada hari itu, tetapi akan sampai masa di mana Nabi  ﷺ akan ada kuasa, iaitu semasa Pembukaan Mekah. Apabila baginda telah menawan Mekah, baginda ada kuasa untuk melakukan apa sahaja terhadap penduduk Mekah yang dulu tidak menerima dakwah baginda dan ada yang menentang, tetapi baginda akhirnya lepaskan sahaja mereka.


 

Ayat 24: Apa yang akan jadi kepada mereka yang engkar itu?

فَيُعَذِّبُهُ اللَّهُ العَذابَ الأَكبَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Allāh will punish him with the greatest punishment.

(MALAY)

maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar.

 

Allah ﷻ akan menyeksa mereka yang engkar itu dengan azab yang besar. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan namaNya dalam ayat ini. Maknanya ada penekanan dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia sendiri yang akan azab mereka. Ma sha Allah! Amat menakutkan!

Selain dari itu, kita tahu yang Allah ﷻ tekankan beratnya azab dalam ayat ini: Allah ﷻ gunakan kalimah فَيُعَذِّبُهُ yang bermaksud ‘Dia akan azab orang itu’. Ini sudah disebut tentang ‘azab’. Tetapi kemudian diulang sekali lagi perkataan العَذابَ itu!

Bukan itu sahaja, kemudian ditambah lagi kalimah الأَكبَرَ (amat besar). Ada sampai tiga kali penekanan tentang azab yang disebut dalam ayat ini sahaja! Maksudnya ini bukan azab biasa tetapi azab yang ‘besar’. Ini menunjukkan teruk sangat apa yang mereka akan kena itu.

Mereka kena azab itu adalah kerana mereka berpaling dari peringatan. Ada orang beri peringatan, tetapi mereka berpaling dan tidak mahu dengar. Ini kita dapat tahu dari huruf ف dalam kalimah فَيُعَذِّبُهُ itu. Menunjukkan kerana mereka berpaling dan kufur dari peringatan itulah yang menyebabkan mereka kena azab العَذابَ الأَكبَرَ.


 

Ayat 25: Mereka degil macam mana pun, akan bertemu Allah ﷻ juga akhirnya.

إِنَّ إِلَينا إِيابَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, to Us is their return.

(MALAY)

Sesungguhnya kepada Kami-lah kembali mereka,

 

Allah ﷻ beri peringatan dan penekanan dalam ayat ini. Ingatlah yang sesungguhnya kepada Allah ﷻlah mereka (dan kita juga) akan pulang. Perkataan إِيابَ bermaksud pulang yang terakhir. Ia dari katadasar  أ و ب yang bermaksud pulang, taubat, ulang.

Kalau kalimah رجع yang digunakan, itu bermaksud pulang berulang kali, sudah pulang tetapi boleh keluar lagi. Namun apabila digunakan إِيابَ, tidak ada keluar pergi mana lagi selepas itu.


 

Ayat 26: Apa akan jadi apabila mereka bertemu Allah ﷻ?

ثُمَّ إِنَّ عَلَينا حِسابَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, upon Us is their account.

(MALAY)

kemudian sesungguhnya kewajipan Kami-lah menghisab mereka.

 

Dan jangan mereka sangka mereka akan pulang begitu sahaja, tetapi mereka kena tahu yang mereka akan dihakimi atas segala amalan mereka semasa di dunia dahulu.

Sesungguhnya atas tanggungan Allah ﷻlah untuk mengira timbangan amal mereka. Kalau Allah ﷻ yang buat kiraan, habislah. Kerana ini bukan jenis pengiraan yang mudah. Ini bermaksud yang mereka akan ditanya atas amalan mereka dan bila ditanya, itu tandanya memang ada masalah.

Kerana kalau pengiraan yang senang seperti yang disebut dalam Inshiqaq:8 فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا, itu adalah pengiraan dengan malaikat sahaja. Iaitu kita baca sahaja dan tidak ditanya tentang sesuatu amalan itu. Kerana kalau ditanya sahaja, itu maknanya adalah masalah.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Fajr

Kemaskini: 27 November 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Ghasyiyah Ayat 17 – 26 (Lihat kepada unta)”

  1. saya ingin bertanya di mana tafseer surah 88 Al Ghaasyiyah ayat bagi ayat 1-16 ?
    Tiba2 keluar ayat 17 dan setrerusnya shj apabila dibuka.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s