An’am Ayat 128: Sekarang kita lihat salah satu daripada kesesatan masyarakat Arab dahulu. Mereka takut dengan jin dan mereka bimbang jika tidak ada hubungan baik dengan jin, maka jin boleh memudaratkan mereka. Daripada syair-syair Arab Jahiliyah ada banyak menyebut tentang salahfaham mereka tentang jin ini.
Mereka terlalu percayakan kelebihan jin sehngga mereka sanggup mengadakan upacara tertentu dengan jin. Dan kalau mereka pergi ke tempat yang baru mereka sampai, mereka akan minta pertolongan kepada jin tempat itu. Mereka ini telah memuja jin dan perkara ini perlu diperbetulkan maka Allah ﷻ menegur tentang perkara ini. Oleh itu, ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi.
وَيَومَ يَحشُرُهُم جَمِيعًا يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ قَدِ ٱستَكثَرتُم مِّنَ ٱلإِنسِۖ وَقَالَ أَولِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلإِنسِ رَبَّنَا ٱستَمتَعَ بَعضُنَا بِبَعضٍ وَبَلَغنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلتَ لَنَاۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
And [mention, O Muhammad], the Day when He will gather them together [and say], “O company of jinn, you have [misled] many of mankind.” And their allies among mankind will say, “Our Lord, some of us made use of others, and we have [now] reached our term, which you appointed for us.” He will say, “The Fire is your residence, wherein you will abide eternally, except for what Allah wills. Indeed, your Lord is Wise and Knowing.”
Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا
Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya
Sekarang Allah ﷻ menceritakan keadaan di akhirat kelak iaitu keadaan di Mahsyar. Waktu itu, semua sekali makhluk dikumpulkan di hadapan Allah ﷻ. Tidak ada yang tertinggal, sama ada makhluk itu beriman ataupun tidak. Ini adalah kerana perkataan جَمِيعًا digunakan dalam ayat ini, yang bermaksud ‘semua sekali’.
يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ
(dan Allah berfirman): “Hai golongan jin,
Lihatlah, tadi dikatakan Allah ﷻ mengumpulkan semua makhluk, tetapi sekarang disebut Allah ﷻ bercakap dengan golongan jin sahaja. Lebih tepat lagi, bukan hanya golongan jin sahaja, tetapi maksud مَعْشَرَ الْجِنِّ adalah jin dan mereka yang bersekongkol dengan jin. Itulah mereka yang berkawan dengan jin, meminta pertolongan dengan jin, berlindung dengan jin dan sebagainya.
Perkataan مَعْشَرَ itu berasal daripada katadasar ع ش ر yang bermaksud ‘sepuluh’. Ia adalah nombor yang besar, yang banyak. Maka, perkataan مَعْشَرَ bermaksud ‘kumpulan yang ramai’. Tetapi tidaklah ahli kumpulan itu hanya sepuluh sahaja. Ia telah menjadi maksud sekumpulan makhluk yang ramai.
Bukanlah semua yang dimarahi dalam situasi ini kerana ada juga jin Islam yang baik-baik dan tidak campur urusan manusia. Jin yang disebut di dalam ayat ini adalah jin yang berperangai syaitan.
Dalam ayat ini kata-kata Allah ﷻ adalah dalam bentuk kutukan, marah dan hendak ajar kita kesalahan yang mereka lakukan semasa di dunia. Kenapa Allah ﷻ fokus kepada mereka sahaja? Kerana mereka ada buat salah yang amat besar. Apakah kesalahan mereka itu?
قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الْإِنسِ
sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia”,
Jin-jin yang jahat telah banyak menyesatkan manusia dan pada hari akhirat itu mereka akan membawa bersama mereka golongan-golongan manusia yang telah diperdayakan itu. Mereka telah berjaya menangkap ramai golongan manusia untuk ikut sesat seperti mereka. Mereka ajar fahaman sesat, amalan dan wirid-wirid sesat sehinggalah mereka semuanya dimasukkan ke dalam neraka. Dan sekarang mereka dikumpulkan bersama untuk menerima nasib yang sama.
Memang bahaya mengamalkan wirid ajaran jin ini sampaikan jika sudah sebati dalam diri, boleh jadi gila. Sebab itu ada yang gila dan ada yang sakit dan ia memang susah diubati. Memang tunggu mati sahaja sebab sudah tidak boleh buat ap-apa lagi. Sebab itu janganlah dibuat dari awal lagi.
Ada dua makna yang kita boleh faham daripada perkataan اسْتَكْثَرْتُم itu. Perkataan itu berasal daripada katadasar ك ث ر yang bermaksud ‘banyak’. Pertama, ini bermaksud telah banyak golongan manusia yang disesatkan oleh jin itu.
Keduanya, ia bermaksud yang golongan jin itu telah melakukan banyak perkara untuk menyesatkan manusia. Macam-macam cara yang telah mereka gunakan dan ramai manusia telah tertipu dan terpedaya mengikuti golongan jin itu.
Cara syaitan menyesatkan manusia adalah dengan memberi ajaran yang salah kepada tok-tok guru dan kemudian guru-guru itu akan menyampaikan ajaran salah itu kepada anak murid mereka. Anak murid itu pula akan menyampaikan kepada orang lain pula. Cara mereka mengajar itu adalah dengan memberi bisikan ilham kepada golongan guru itu, atau mereka akan bisikkan terus ke telinga tok guru itu.
Atau dengan cara merasuk orang lain dan bercakap terus kepada manusia (melalui mulut orang yang dirasuk itu). Dia akan ajar itu dan ini dan beritahu ajaran-ajaran yang salah. Ini kita boleh lihat bagaimana perawat-perawat yang konon ‘Perawat Islam’ bercakap-cakap dengan jin. Hidup-hidup mereka telah ditipu oleh jin sehinggakan jin kata wahabi sesat pun ada golongan jahil yang percaya.
Telah ramai yang menceritakan bagaimana mereka dengar dengan nyata bisikan jin itu di telinga mereka. Mereka dengar-dengar sahaja tetapi tidaklah jelas seperti manusia yang bisik pula. Kalau tok guru itu tidak belajar ajaran tauhid, mereka akan kata yang berbisik kepada mereka itu adalah ‘wali Allah’. Mereka pun terlonjak suka kerana mereka sangka maqam mereka sudah tinggi sampai wali sendiri berbisik ke telinga mereka. Ini kerana yang datang kepada mereka itu datang berupa pakaian orang alim, pakai jubah serban dan sebagainya.
Padahal, yang datang itu sebenarnya jin yang mengelabui mata orang itu. Orang itu, selalunya jenis yang kuat beribadat. Ini kerana mereka diajar untuk berbuat banyak ibadat, tetapi mereka tidak disuruh untuk menuntut ilmu dengan banyak. Ibadat yang mereka amalkan pun selalunya adalah amalan-amalan bid’ah.
Ini adalah salah faham yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Mereka sangka, dengan beramal banyak, (selalunya yang diamalkan adalah zikir-zikir ajaran daripada guru mereka), mereka akan mendapat ilmu, selamat di akhirat dan sebagainya. Namun, yang sebenarnya, orang yang banyak ibadat tanpa ilmu itu adalah yang senang ditipu.
Maka ini adalah amat bahaya sekali. Kerana itulah kita tekankan kepentingan ilmu dalam beramal. Jangan hanya amal sahaja apa-apa yang diberi. Oleh itu, hendaklah diajar masyarakat kita tentang hal ini, sebagaimana para sahabat yang dahulunya duduk dalam jahiliyah dan mengamalkan berbagai ajaran karut, mereka tinggalkannya setelah masuk Islam. Kita pula terbalik, sudah lahir-lahir dalam Islam pun, ada lagi hendak mengamalkan ajaran karut marut daripada jin.
Satu cara lagi adalah di mana syaitan akan mencari sesiapa yang ada kualiti tertentu dan akan diajarkan kepadanya amalan sesat kepada orang itu melalui mimpi. Itulah sebabnya ramai orang yang tiba-tiba daripada orang biasa tiba-tiba boleh menjadi ‘alim’ katanya. Malah ada yang menjadi bomoh dan boleh mengubat orang. Padahal kita pun tahu daripada mudanya dia tidak belajar agama dan tidak belajar bagaimana untuk mengubat orang. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka bagaimana mereka boleh mengubat, boleh mengurut dan sebagainya. Mereka akan jawab mereka dapat daripada mimpi.
Kalau kita tanya kepada mereka siapakah yang datang dalam mimpi itu mereka akan jawab yang datang itu adalah ‘wali’. Dan kalau kita tanya siapakah nama wali itu, mereka pun tidak dapat jawab. Yang sebenarnya, yang datang dalam mimpi itu adalah jin.
Ataupun, ayat ini bermakna syaitan akan mencantikkan perbuatan-perbuatan dosa kepada manusia sampaikan manusia suka untuk berbuat dosa itu. Jin itu akan mengelabui mata orang itu. Maka ada orang yang tidak nampak pun kesalahan dosa bid’ah yang dilakukan. Mereka boleh bagi alasan kenapa perbuatan mereka itu tidak salah. Sebagai contoh, seorang penyanyi yang menggunakan kebolehan menyanyi itu untuk mencari rezeki.
Ataupun, syaitan akan mencantikkan kehidupan dunia kepada manusia sampaikan manusia leka untuk berbuat amal persediaan untuk akhirat, dek kerana leka dengan kesenangan dan keindahan dunia.
Malah banyak lagi cara dan helah yang digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia. Ini boleh dipelajari dalam kitab Talbis Iblis. Jin itu adalah makhluk yang hidup lama, maka banyak perkara mereka tahu. Mereka boleh nampak kita, kita sahaja yang tidak nampak mereka. Oleh sebab itu, mereka dapat mengkaji kehidupan kita. Dan mereka tahu manakah titik kelemahan kita, maka mudah untuk mereka masuk menyesatkan kita.
Mereka tahu bab mana yang kita lemah dan senang ditipu dan diheret ke arah kehinaan. Maka, kita kena tahu bagaimana cara Iblis dan syaitan bekerja supaya kita dapat mengelakkan diri daripada terus ditipu oleh mereka. Ini kerana cara mereka itu amat licik. Orang yang baik pun boleh tertipu dengan mereka.
وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُم مِّنَ الْإِنسِ
lalu berkatalah kawan-kawan rapat mereka daripada golongan manusia:
Allah ﷻ bercakap kepada jin tetapi kenapa manusia pula yang jawab? Kerana ayat-ayat ini hendak mengajar golongan manusia. Maka tidak perlu jawapan daripada jin. Allah ﷻ sebut tentang perbuatan manusia yang salah faham tentang jin yang mengambil manfaat daripada golongan jin itu. Pendapat daripada penulis kitab Ruh al Ma’ani pula mengatakan mereka itu hilang punca untuk menjawab, maka mereka senyap sahaja.
Golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah tok-tok guru, dukun, bomoh, pawang, guru silat dan lain-lain lagi termasuk guru-guru syeikh-syeikh tarekat. Tidak kira golongan mana asalkan ada hubungan rapat dengan jin. Mereka itu ramai yang telah disesatkan.
Namun bagaimana pula boleh berkawan dan rapat dengan jin? Jika dengan manusia, kita boleh nampak bagaimana rapatnya mereka dengan duduk sekali dan makan sekali. Tetapi bagaimana rapat dan ada hubungan dengan jin? Caranya adalah dengan mengikut ajaran daripada jin. Tidak perlu duduk dan makan bersama untuk ada hubungan dengan jin.
Mereka menjadi sesat kerana mereka mengamalkan ilmu yang salah yang diajar oleh golongan jin itu. Yang selalu terjadi adalah mereka mengamalkan tawasul. Dalam amalan mereka, selalunya mereka mesti akan bertawasul kepada seseorang. Sebelum mereka membaca zikir mereka, mereka akan bertawasul dahulu. Itulah yang bahayanya, kerana setiap kali mereka bertawasul, mereka mendapat seekor jin. Dalil bagi perkara ini ada dalam ayat Saba: 40.
Kadang-kadang, yang mengamalkan amalan salah itu pun tidak tahu yang mereka sebenarnya memanggil jin. Mereka senang ditipu (kerana tiada ilmu), mereka sangka mereka memanggil malaikat ataupun wali-wali. Namun sebenarnya yang berupa sebagai wali itu adalah jin. Mereka sahaja yang tidak tahu kerana mereka percaya dengan guru mereka yang telah mengajar mereka dahulu.
Guru mereka pun tidak tahu. Semuanya telah ditipu oleh jin. Sebab itu kalau kita beritahu mereka yang mereka telah memanggil dan berkawan dengan jin, mereka tidak mengaku kerana mereka tidak ada niat pun hendak berkawan dengan jin.
Beginilah kalau tidak tahu tentang jin. Ramai masyarakat kita salah faham dan takut sangat dengan jin. Ini kerana dengar-dengar cerita dongeng dan membaca tulisan-tulisan karut seperti novel ‘Bercakap dengan Jin’ tulisan Tamar Jalis itu. Apabila takut dengan jin, maka jin akan mengambil peluang untuk menipu orang itu. Begitu juga kalau sangka jin itu hebat boleh buat itu dan ini, maka dia pun akan ditipu oleh jin. Oleh kerana itulah ramai yang berkawan dan meminta pertolongan dengan jin.
Kita tidak boleh takut dengan jin dan jenis takut sebegini adalah takut yang syirik. Apabila takutlah yang menjadikan mereka meminta pertolongan kepada jin. Bukanlah semua jenis takut itu syirik. Kalau takut dengan orang yang hendak pukul kita, itu biasa sahaja. Tetapi kalau takut kepada jin, ia adalah syirik kerana ia takut kepada satu kuasa yang kita samakan dengan takut kepada Allah ﷻ.
Nanti mereka akan menyesal kerana berkawan dengan jin. Maka, apa mereka kata di akhirat kelak?
رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian (yang lain)
Mereka mengaku yang semasa mereka di dunia, dengan mereka berkawan dengan jin itu, mereka telah dapat macam-macam. Antaranya, mereka sudah boleh tangkap jin. Apabila ada orang kena rasuk, kena kacau, kena sawan dan sebagainya, mereka inilah yang dipanggil untuk mengeluarkan jin itu. Ada yang letak dalam botol, ada yang panah jin, ada yang tempek jin pada dinding, buang jin ke langit ketujuh dan macam-macam lagi.
Mereka jawab begini kerana mereka tidak sangka mereka buat amalan salah. Mereka rasa mereka tidaklah derhaka kepada Allah ﷻ. Mereka pun mendapat kebaikan mereka kata. Ini sama dengan kata-kata orang kita yang mengamalkan bid’ah dalam agama: ‘Benda baik, apa salahnya?’
Mereka kata mereka dapat manfaat. Kalau dengan Arab Jahiliyah itu, apabila mereka mengamalkan seruan tertentu, maka mereka percaya yang mereka telah selamat daripada diganggu. Mereka kata mereka selamat duduk di padang pasir sebab sudah merayu kepada ketua jin tempat itu supaya halang anak buahnya membuat kacau kepada mereka.
Mereka sangka mereka dapat buat begitu, padahal mereka bukan pun tahu sama ada mereka benar-benar tangkap jin itu kerana jin itu makhluk yang ghaib. Jin yang sudah merasuk kepada orang yang kena rasuk itu, pandailah dia buat-buat bunyi mengerang dan sebagainya.
Amalan-amalan itu adalah amalan yang salah. Macam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan semasa melakukan amalan buang jin itu. Terlalu banyak untuk kita tuliskan di sini. Ia adalah satu penulisan khas pula tentangnya. Apabila kita tegur, mereka pula yang marah kita. Mereka kata kononnya kita yang tidak tahu. Mereka kata amalan mereka itu ada dalam ‘kitab’. Memang ada, teapi bolehkah ‘kitab’ itu dipercayai?
Selain daripada itu, mereka mendapat upah yang banyak dengan mereka berkawan dengan jin itu. Antaranya mereka menjadi tukang ‘buang sial’, pulih semangat, buat tangkal pelaris dan sebagainya.
Mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana kepandaian mereka itu. Mereka ada yang dilantik sebagai pemimpin, mereka dihormati oleh masyarakat kerana masyarakat rasa mereka diperlukan. Mereka berbangga kerana apabila ada masalah dalam masyarakat, mereka akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.
Ada juga yang pandai meramal kononnya. Mereka meramal menggunakan maklumat yang dibekalkan oleh jin itu. Dengan jin itulah juga, ramai yang boleh mencari barang atau orang yang hilang. Mereka sangka mereka buat benda yang baik. Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah sihir. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar ilmu wahyu yang benar.
Mereka hanya rajin beramal, tetapi mereka tidak meluangkan masa untuk belajar wahyu. Yang mereka belajar hanyalah amalan-amalan karut itu. Ketahuilah yang untuk belajar sihir, memerlukan jin. Dengan menggunakan jin itulah, ramai yang sihir orang lain. Mereka menyusahkan hidup orang lain menggunakan sihir itu. Oleh kerana itulah, ahli sihir adalah manusia yang paling jahat. Mereka sanggup melakukan perkara yang jahat dan salah.
Ayat ini memberitahu bahawa manusia dan jin bersekongkol dan mereka mendapat kesenangan sesama mereka. Ini bermakna jin pun ada mendapat sesuatu dengan perhubungan mereka dengan manusia. Apakah yang jin dapat? Jin dapat sesatkan manusia. Dapat meramaikan golongan pengikut mereka. Ramailah yang ikut ajaran mereka dan mereka pun suka kalau begitu.
Itulah tujuan mereka. Memang sudah sumpah Iblis hendak menyesatkan manusia. Selain itu, mereka mendapat kebanggaan bila manusia merendahkan diri kepada mereka. Mereka itu sebenarnya hina jika dibandingkan dengan kita manusia, tetapi sukalah jin jika kita sanjung dan minta tolong kepada mereka.
Dalam ayat ini, manusia yang berkata itu mengaku kesalahan yang mereka telah lakukan dan mereka menyesal dengan perbuatan mereka itu. Tetapi, penyesalan waktu itu sudah terlambat. Tidak boleh buat apa-apa lagi.
وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا
dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami”.
Mereka mengatakan, semasa mereka sedang bergelumang dalam dosa itu, telah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Mereka hendak beritahu yang mereka tidak sempat untuk bertaubat sebab Allah ﷻ sudah matikan mereka.
Sekarang mereka merasa amat menyesal tetapi sudah terlambat. Sekarang baru mereka tahu yang perbuatan mereka itu salah (semasa di dunia jahil tidak tahu). Mereka hendak kata kononnya jika mereka dipanjangkan lagi hidup, tentu mereka sudah bertaubat. Itu adalah alasan dan kata-kata kosong sahaja.
قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم
Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu,
Inilah jawapan daripada Allah ﷻ kepada kata-kata mereka sebelum ini. Walaupun apa yang mereka kata itu, tidak dapat menyelamatkan mereka langsung. Tempat mereka adalah di neraka.
Kalimah مَثْوَاكُمْ diambil daripada katadasar ث و ي yang bermaksud tempat tinggal yang seseorang itu akan tinggal untuk satu jangka masa yang amat lama. Kalau dalam dunia, inilah tempat yang generasi demi generasi akan tinggal padanya. Tetapi apabila di Neraka nanti, mereka akan tinggal di sana pada jangkamasa yang sangat lama, sampaikan mereka akan rasa yang mereka telah duduk di sana generasi demi generasi.
Semasa di dunia ini, ada jin dan manusia yang bersekongkol bersama-sama maka di akhirat nanti mereka akan bersama-sama duduk di dalam neraka. Itulah balasan kepada mereka.
Ayat ini memberitahu kepada kita yang kita tidak boleh menggunakan jin. Jangan berkawan dengan mereka, minta tolong kepada tolong kepada mereka. Lihatlah, balasannya adalah neraka. Langsung tidak boleh menggunakan khidmat mereka, sama ada digunakan untuk kebaikan atau tidak. Sama ada hendak memusnahkan orang lain atau hendak tolong pun.
Menggunakan khidmat jin untuk berubat pun tidak boleh. Guna jin untuk lawan jin pun tidak boleh. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk umum. Tidak disebut untuk keburukan sahaja. Maknanya menggunakan jin adalah satu kesalahan sama ada untuk kebaikan ataupun tidak. Ini penting diberitahu, kerana ramai dalam masyarakat kita yang kata “Apa salahnya pakai jin untuk kebaikan?”.
Dan ada pula ustaz yang kata kononnya dalam Mazhab Syafi’iy boleh ‘bela’ jin. Ini adalah fahaman yang keliru. Memang ada ulama’ yang membincangkan boleh menggunakan khidmat jin (bukan bela jin macam bela anak pula) tetapi itu bukanlah membenarkannya pula. Perbincangannya panjang dan akhirnya memang bukan jin itu untuk dibela dan digunakan.
Bagaimana kita boleh menggunakan jin itu sedangkan jin tu ghaib? Kita tidak tahu mereka itu Islam ataupun tidak (mereka bukannya ada IC untuk kita periksa Muslim atau tidak). Mereka adalah makhluk yang suka dan pandai menipu. Maka jangan terlibat langsung dengan jin. Gunalah cara lain untuk selesaikan masalah kita. Kalau kena rasuk dengan jin pun, ada cara-cara lain yang telah diajar dalam agama untuk menyelesaikannya.
Ketahuilah yang tidak ada hubungan langsung antara jin dan manusia. Kali terakhir adalah semasa zaman Nabi Sulaiman عليه السلامsahaja. Itu adalah kerana memang Nabi Sulaiman عليه السلام telah diberikan mukjizat untuk mengawal jin.
خٰلِدِينَ فِيهَا
kamu kekal di dalamnya,
Itulah balasan kepada mereka yang menggunakan jin – kekal dalam neraka! Adakah berbaloi menggunakan jin dalam dunia dan balasannya kekal dalam neraka?
إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ
kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)”.
Daripada lafaz ayat ini, seperti membawa maksud bahawa boleh jika Allah ﷻ mahu mengeluarkan mereka dari neraka itu. Tetapi adakah ini yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada berbagai pendapat tentang perkara ini yang dibincangkan oleh mufassir.
Satu pendapat adalah: ‘mungkin’ itu bermaksud keluar daripada api sahaja tetapi masuk tempat lain dalam neraka kerana Neraka itu bukanlah azabnya api sahaja. Ada lagi azab-azab yang lain.
Dan ada pendapat lain yang kata Allah ﷻ tidak berkehendak untuk mengeluarkan mereka dari Neraka pun. Memang Allah ﷻ kata boleh Allah ﷻ hendak keluarkan, tetapi Allah ﷻ tidak berniat untuk mengeluarkan mereka. Ayat pun kata: ‘kalau Allah hendak’ dan jawapannya Allah ﷻ tidak hendak. Sebab dalam potongan ayat selepas ini tidak disebut sifat Allah al-Ghafir (pengampun). Ini memberi isyarat bahawa taubat mereka tidak diterima. Lagi pun Allah ﷻsudah berjanji di dalam ayat yang lain yang Allah ﷻ tidak akan mengampunkan dosa syirik.
إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Oleh kerana tidak digunakan asma’ sifat Allah al-Ghafir, maka ini memberi isyarat kepada kita yang Allah ﷻ tidak menerima taubat mereka. Mereka akan kekal di dalam neraka.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang berlaku. Allah ﷻ tahu isi hati manusia dan apakah akidah mereka. Maka hukuman yang Allah ﷻ berikan kepada mereka di akhirat kelak adalah tepat dan mereka memang patut kena.
An’am Ayat 129: Ini adalah jumlah ta’liliyah, Allah ﷻ beritahu kenapa ada manusia boleh mendapat faedah daripada golongan jin. Allah ﷻ membenarkannya kerana mereka sendiri sudah zalim dan sudah menolak kebenaran.
وَكَذٰلِكَ نُوَلِّى بَعضَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعضَۢا بِمَا كَانُواْ يَكسِبُونَ
And thus will We make some of the wrongdoers allies of others for what they used to earn.
Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).
وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا
Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain
Kalimah وَكَذَٰلِكَ (dan demikian itu) merujuk kepada situasi jin dan manusia yang bersekongkol yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Oleh kerana mereka ramai bersekongkol dan bekerjasama antara satu sama lain, maka ramailah yang menjadi teman rapat masing-masing.
Kalimah نُوَلِّي berasal daripada perkataan و ل ي yang ada banyak maksud. Ia boleh membawa maksud perkataan ‘wilayah’ yang bererti ‘kepimpinan’. Ini bermaksud yang zalim menjadikan yang zalim juga sebagai pemimpin mereka. Atau, sesiapa yang berbuat zalim, Allah ﷻ akan meletakkan orang zalim sebagai pemimpin mereka. Ini kerana Allah ﷻ akan berikan pemimpin yang zalim sebagai balasan kepada orang zalim iaitu orang zalim akan diberikan azab dengan azab daripada tangan orang zalim yang lain.
Imam Razi رحمه الله berkata rakyat yang zalim akan diberikan dengan pemerintah yang zalim. Oleh itu, untuk tidak mendapat pemimpin yang zalim, maka rakyat hendaklah berlaku adil. Di dalam kitab Ruh al Ma’ani ada disebut yang ayat ini menjadi dalil yang jika manusia meninggalkan ajaran wahyu, Allah ﷻ akan melantik pemimpin yang zalim ke atas mereka sebagai balasan kepada mereka.
Satu lagi maksud adalah Allah ﷻ memberikan kuasa satu pihak kepada pihak yang lain, iaitu jin menguasai akal fikiran dan menundukkan manusia yang menjadi golongannya. Sebab itu kita boleh lihat ada golongan yang kalau kita beri hujah atau dalil apa sahaja, mereka tetap hendak beramal dengan amalan sesat mereka. Ini kerana syaitan sudah menguasai akal mereka dan hidayah tidak dapat masuk.
Kalimah نُوَلِّي juga boleh bermaksud ‘kawan rapat’. Mereka berkawan dan sentiasa saling membantu sesama mereka. Ini bermaksud, yang zalim akan berkawan dengan yang zalim. Begitulah dalam dunia ini, sifat yang sama akan tertarik sesama sendiri. Maka bertambahlah sifat zalim mereka kerana mereka akan menggalakkan kezaliman sesama sendiri. Kita tentu akan mengikut perangai kawan kita juga.
Satu lagi tafsir adalah manusia dan jin akan dikumpulkan bersama dengan golongan mereka. Waktu di Mahsyar nanti pengumpulan bukanlah berdasarkan kepada bangsa dan negara, tetapi berdasarkan akidah dan amalan. Bagi yang berakidah dan beramalan yang syirik, mereka akan dikumpulkan bersama nanti.
Ada pula golongan yang mengatakan boleh untuk kita menggunakan jin untuk berkhidmat dengan kita kerana kononnya mereka menggunakan dalil sebagaimana Nabi Sulaiman عليه السلام pun ada menggunakan khidmat jin di dalam kerajaan baginda.
Itu adalah hujah yang salah kerana Nabi Sulaiman عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ supaya kelebihan yang ada pada baginda itu tidak diberikan kepada orang lain. Ini bermakna kebolehan untuk mengawal jin untuk menjadikan mereka sebagai hamba hanyalah ada pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Sebab itu pada satu hari, apabila seekor jin telah mengganggu Nabi Muhammad ﷺ, baginda telah menangkap jin itu tetapi apabila baginda teringat akan doa Nabi Sulaiman عليه السلام maka baginda telah melepaskan jin itu.
Ini menunjukkan kebolehan untuk menggunakan jin sebagai hamba dan pekerja kita sudah tiada lagi. Ia telah berhenti pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun tidak menggunakan jin, lalu bagaimana kita boleh kata yang kita boleh mengawal jin?
Dalam Al-Qur’an, perkataan ‘zalim’ selalu digunakan untuk bermaksud ‘syirik’. Oleh itu, ini bermakna, orang yang mengamalkan syirik juga akan mempunyai sahabat dan kawan dalam kalangan yang berbuat syirik juga. Maka, kita kena ajar kepada masyarakat supaya menerima dan mengamalkan tauhid supaya mereka tidak terjerumus dalam keadaan ini. Jangan biarkan mereka terus berkawan dengan orang yang mengamalkan syirik.
بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
disebabkan apa yang mereka usahakan.
Mereka terjerumus dalam keadaan yang teruk ini kerana perbuatan mereka yang salah. Antaranya, mereka mengamalkan ajaran yang salah yang diajar oleh guru-guru mereka. Mereka juga selalu melakukan tawasul dalam doa-doa mereka dan amalan-amalan mereka.
Allah ﷻ membalas perbuatan salah mereka itu dengan diberikan dengan teman rapat yang menjerumuskan mereka semakin dalam ke lembah kehinaan. Maka balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka yang salah memilih amalan dan ilmu yang dipelajari.
Habis Ruku’ 15 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 April 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Maariful Qur’an