Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 3 – 7 (Golongan-golongan manusia)

Sifat Rahmah Allah Taala:

Seterusnya kita bincangkan tafsir bagi ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ.

Lafaz الرَّحْمَٰنِ bermaksud ‘Maha Pemurah’ dan ianya bermaksud Allah itu Maha Pemurah yang bersangatan yang meliputi seluruh alam. Allah memberi nikmat dan keperluan kehidupan kepada semua makhlukNya. Tidak kira sama ada makhluk itu Muslim atau tidak, beriman atau tidak, Allah beri nikmat.

Lafaz الرَّحِيمِ pula bermaksud ‘Maha Mengasihani’ yang hanya khusus untuk akhirat sahaja. Di akhirat nanti, Allah hanya bersifat belas kepada hambaNya yang taat sahaja. Ianya tidak diberikan kepada mereka yang tidak beriman.

Setiap hari kita diingatkan dengan dua sifat ini. Jangan kita terleka dengan sifat rahman Allah ini dan sangka yang ianya adalah sifat raheem dan sangka kita sudah selamat. Maksudnya, jangan kita sangka yang orang yang kaya raya itu tandanya Allah sayang dia lebih dari orang lain. Walaupun orang beri segala kesenangan kepada seorang manusia itu, tidaklah ia menjadi tanda yang Allah redha dan sayang kepadanya.

Untuk lebih memahami apakah perbezaan antara dua sifat ini, ulama’ telah membanding dua sifat ini dengan sifat kasih sayang ibubapa. Dua-dua ibu dan bapa sayang kepada anak mereka. Tapi sayang yang berlainan. Seorang ayah, walaupun dia sayang kepada anaknya, tapi dia boleh/sanggup tengok anaknya susah. Kerana dia tahu yang kesusahan itu adalah demi masa depan anaknya itu.

Tetapi kasih seorang ibu tidak begitu. Dia terlalu sayangkan anaknya sampai dia tidak sanggup melihat anaknya menderita langsung. Sebagai contoh, kalau ayah tahu yang anaknya susah di sekolah, dia biarkan sahaja. Tapi emak itu, kalau boleh tak mahu anaknya terus di sekolah yang susah. Dua-dua sifat ini kena ada dalam pentarbiahan seorang anak.

Kalau hanya ada kasih ayah sahaja, anak itu tentu akan susah hidupnya. Kalau ada kasih ibu sahaja, anak itu tentu jadi manja dan mungkin tidak dapat berjaya dalam hidupnya kerana dia tidak belajar erti susah kehidupan. Begitulah perumpamaan sifat Rahman Allah. Allah sanggup tengok hambaNya menderita dalam kehidupan dunia. Sebab itulah walaupun hambaNya itu amat disayangiNya, dia masih hidup susah di dunia.

Lihatlah kisah Nabi kita Muhammad, dari kecil sampai besar hidup dalam kesusahan. Tapi apabila di akhirat kelak sifat Raheem Allah seperti sifat sayang keibuan. Allah tidak akan biarkan hambaNya yang beriman mendapat sikit pun kesusahan, oleh itu akan dimasukkan hamba itu dalam syurga yang penuh kenikmatan.

 

Allah yang Memiliki Hari Pembalasan:

Seterusnya, tafsir ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Maksudnya, Allah sahaja yang memiliki Hari Pembalasan. Kalimah ٱلدِّينِ dalam ayat ini bermaksud ‘Pembalasan’. Seperti yang kita sudah terangkan, lafaz ٱلدِّينِ ada 4 makna di dalam Al-Qur’an. Dan dalam ayat ini, ia bermaksud ‘Pembalasan’.

Allah nak ingatkan kita tentang Hari Pembalasan dalam ayat ini. Sedangkan orang yang tak percaya Allah pun percaya yang dia akan mati. Adakah sesiapa yang percaya dia akan hidup kekal? Tentu tidak. Ini adalah jawapan kepada mereka yang kononnya hanya percaya kepada benda yang mereka boleh nampak sahaja. Ingatkan mereka yang mereka akan mati juga akhirnya. Tanya mereka: Agaknya nanti bagaimana mereka selepas mereka mati nanti. Adakah mereka benar-benar yakin yang mereka akan selamat?

Kononnya mereka tidak percaya wujudnya Tuhan kerana mereka tak nampak Tuhan. Tapi akal pun kita tak nampak, bukan? Adakah itu bermakna yang akal itu tidak ada? Jadi walaupun kita tak nampak akhirat, tapi mati itu pasti dan pembalasan selepas itu lagi pasti. Pada hari itu, Allah akan balas apa sahaja yang manusia telah lakukan semasa di dunia dulu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk.

 

Hanya Sembah dan Doa kepada Allah Sahaja:

Selepas kita kenal Allah dalam tiga ayat yang pertama ini, kita pun hendaklah Sembah Allah sahaja dan Doa kepada Allah sahaja. Inilah yang terdapat dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ. Ayat ini kita telah tafsirkan sebelum ini.

 

Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus:

Ayat seterusnya adalah اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Kita minta pimpinan kepada Allah dan pimpinan yang kita mahukan adalah kepada jalan yang lurus. Tapi apakah jenis hidayah yang kita harapkan dari Allah?

Perkataan ‘hidayah’ ini ada dua makna dalam Al-Qur’an.

– tunjuk jalan, dan
– pimpin.

Tapi, apakah bezanya antara kedua perkataan itu? Nampak macam sama sahaja. Dari segi bahasa Arab, kalau ada huruf jar seperti إلى selepas sesuatu kalimah itu, maka maksudnya ‘tunjuk jalan’. Kalau tidak ada huruf jar, maka ia bermaksud ‘pimpin’. Apakah bezanya?

Kalau ‘tunjuk’, ia hanya sekadar tunjuk/beritahu jalan sahaja. Sebagai contoh, kita bawa kereta dan kerana destinasi tujuan kita tidak biasa pergi, kita minta seseorang beritahu kita bagaimana cara dan jalan ke tempat itu. Dia pun ajar kita macam mana hendak ke sana. Ikut jalan apa, tanda apa kena lihat dan sebagainya. Kita pun bawa kereta berdasarkan petunjuk yang telah diberikan itu. Dalam hal ini, kita mungkin sampai dan kita mungkin sesat, bukan?

Tapi kalau ‘pimpin’, maksudnya dia bawa kita sampai ke tempat yang dituju. Dia masuk sekali dalam kereta dan berada bersama kita sampailah kita sampai ke destinasi kita. Inilah yang kita lebih suka, bukan? Maka, dalam Surah Al-Fatihah ini, hidayah yang dimaksudkan adalah ‘pimpin’. Inilah yang kita harapkan dari Allah. Kita minta Allah pandu kita sepanjang perjalanan.

Kenapa kita minta hidayah lagi sedangkan kita sudah beriman? Sebab kita bukan minta sekadar ditunjukkan jalan sahaja tapi kita nak Allah pimpin kita sampai ke syurga. Ulama’ tafsir kata ‘pimpinan’ dalam ayat ini adalah seumpama pimpinan ayah kepada anak yang baru belajar berjalan. Tentunya ayah itu sentiasa menjaga anaknya itu, kalau nampak nak rebah sahaja, ayahnya sudah pegang dan selamatkan dirikan balik.

Kita akan mendapat hidayah kalau dalam hati kita ada inabah. Maksudnya adalah ‘condong kepada kebenaran’. Orang yang ada inabah adalah mereka yang mahu kepada kebenaran. Ada keinginan dalam diri mereka untuk kenal Allah dan kenal agama. Mereka mahukan kebenaran walaupun kebenaran itu lain dengan apa yang mereka faham selama ini.

1. Sifat inabah adalah permulaan hidayah. Sebagai contoh, seseorang itu sudah mula ada keinginan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Maknanya dia mahu mengenali dan mendekati Allah.

2. Peringkat kedua, selepas di mula belajar, dia akan mula hidup dengan ikut syariat.

3. Peringkat ketiga, Allah akan uji dia. Ini terjadi apabila dia mula menyampaikan ajaran agama ini. Kalau dia duduk diam belajar, tidak jadi apa-apa. Tapi kalau mula dakwah, mula tabligh kepada orang lain, dia akan menghadapi tentangan dan ujian. Ujian itu sama ada dalam bentuk dalaman atau pun luaran. Kalau dalam bentuk dalaman, dia akan mula rasa malas dan sebagainya.

Kalau luaran, dia akan ditentang oleh kawan, keluarga, pemerintah dan sebagainya. Tujuan ujian ini adalah untuk tengok hamba itu ada kesungguhan atau tidak. Ini adalah perkara biasa kerana seperti kita tahu, para Nabi pun kena uji. Begitu juga dengan penyebar agama sepanjang zaman. Paling kurang kita akan kena tuduh sebagai ‘wahabi’.

4. Peringkat keempat akan diterima apabila seseorang itu tetap teguh dalam agamanya. Pertamanya, dugaan yang dihadapinya akan lebih besar lagi. Maka dia kena pohon keteguhan hati dari Allah.

Seterusnya, Allah akan berikan istiqamah ke dalam hatinya iaitu keyakinan yang sempurna. Ini dinamakan ‘Rabtul Qalbi’. Iaitu hati kita akan tetap berada dalam iman dan tidak akan goyah lagi. Selepas ini, tidak kira apa sahaja dugaan dan cubaan, dia akan tetap di atas iman. Inilah tahap yang kita mahu dan harap kita dapat capai.

Kedudukan yang tinggi ini, kita kena minta kepada Allah. Inilah yang kita minta kepada Allah dalam Surah Al-Fatihah ini. Allah tidak akan hampakan harapan hambaNya yang meminta kepadaNya.

Saidina Umar pernah berkata: kalau seseorang itu Allah telah beri taufik kepadanya untuk berdoa, maknanya Allah sudah hendak berikan apa yang dia minta itu. Kerana kalau Allah tidak mahu beri, Allah tak campakkan pun perasaan untuk meminta.

Segalanya kita kena minta kepada Allah. Oleh itu, elok guna tempat dan masa yang doa senang dimakbulkan. Dan lebih molek lagi kalau kita berdoa dengan lafaz doa yang Nabi sendiri ajar. Kalau belum tahu, bolehlah guna doa dengan bahasa kita sendiri.

Apakah kaitan perkara ini dengan Surah Al-Fatihah? Sebenarnya dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ini, terdapat permintaan kita kepada Robtul Qalbi yang telah disebutkan. Kita akan diberikan dengan apa yang kita doakan. Kalau yang kita minta adalah Robtul Qalbi, maka itulah yang Allah akan berikan. Kalau kita tidak minta, Allah tidak berikan.

Tapi bukankah kita melafazkan doa yang sama? Jadi tentu kita sudah dapat Robtul Qalbi itu kerana kita setiap hari doa, bukan? Kita kena faham yang orang mungkin menggunakan lafaz yang sama, tapi permintaan mereka tidak sama.

Sebagai analogi, seorang budak yang meminta duit, tentulah tidak sama jumlah wang yang dimintanya dengan seorang dewasa yang juga meminta duit. Seorang budak kecil, mungkin inginkan beberapa sen sahaja tapi seorang dewasa mungkin mengharapkan beberapa ratus ringgit. Mereka dua-dua ‘minta duit’, tapi harapan mereka lain.

Jadi yang diminta itu pun tahu apakah maksud yang meminta. Dan tentu Allah lebih tahu apa yang dalam hati kita.

Apakah maksud الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ? Ianya adalah satu jalan rohani, bukannya jalan yang kita lihat sehari-hari di depan mata kita. Jalan lurus inilah yang wajib kita minta kepada Allah. Ianya bermaksud jalan yang mengikut amalan yang soleh dan akidah yang betul. Inilah definisi jalan yang lurus seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Kita akan membincangkan perkara ini apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.

 

Jalan Orang-orang Yang Telah Diberi Nikmat:

Ayat seterusnya adalah ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ  yang bermaksud jalan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah. Ada empat golongan yang dimaksudkan, seperti yang Allah sebut dalam Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat ini, disebut empat golongan itu:

1 Para Nabi. Kita tidak ada ikhtiar untuk jadi Nabi. Yang kita boleh jadi adalah ‘pengikut-pengikut Nabi’. Yang tiga lagi boleh untuk kita usahakan untuk mencapainya.

2. Siddiqeen. Pengikut setia para Nabi.

3. Syuhada. Golongan pejuang.

4. Orang-orang yang Soleh. Iaitu mereka yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi.

 

Golongan-golongan yang Derhaka:

Kalimat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ – Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat. Ada 4 golongan ini yang dimaksudkan dalam Al-Qur’an.

Kalimat المَغضوبِ عَلَيهِم – Yang dimurkai adalah golongan Yahudi dan musyrikin. Ini adalah dua golongan yang amat susah untuk diperbetulkan. Kerana mereka degil sungguh. Mereka bukannya tidak tahu, tapi degil dan degil itu tiada ubatnya melainkan dia sendiri yang sedar.

Kalimat الضّالّينَ  – Golongan yang sesat. Yang dimaksudkan adalah Nasara dan munafiqin. Ini adalah jenis golongan yang kufur jahil. Mereka tidak ada ilmu dan kerana itu senang ditipu.

Semua empat golongan ini dihuraikan dalam Al-Qur’an dengan panjang lebar di dalam banyak surah. Kita kena tahu ciri-ciri mereka supaya kita jangan jadi macam mereka.  Takut kita ada perangai mereka. Sebagai contoh, takut kita mengutuk bangsa Yahudi tapi tak perasan kita pun ada perangai mereka.

Surah Baqarah banyak menceritakan kesesatan bangsa Yahudi.

Surah Ali Imran pula banyak menyentuh kesesatan Nasara.

Surah an-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan munafikin.

Surah Al-Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan munafik.

Kemudian Surah Al-An’am dan Al-A’raf pula adalah tentang golongan musyrikin. Iaitu golongan yang mendakwa ikut Nabi, tapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka itu musyrik (menduakan Allah atau salah satu sifat-sifat Allah).

Itulah semua surah-surah awal dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat  غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Kita kena belajar dan periksa diri kita takut takut ada sifat-sifat mereka ada dalam diri kita.

Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tapi ada dua jenis kesesatan.

Yang dimurkai itu bukan kerana dia jahil atau cuai dalam belajar. Bahkan dia belajar tapi dia degil. Telah sampai maklumat yang benar dan dia pun sudah faham tapi dia degil untuk terima. Begitulah golongan Yahudi seperti yang telah disebut dalam hadis. Mereka tahu kebenaran tapi tolak.

Sampai sekarang mereka belajar isi Al-Qur’an tapi sebab nak lawan Islam. Dan begitulah juga Musyrikin Mekah. Mereka boleh faham Al-Qur’an kerana ianya dalam bahasa mereka tapi mereka tolak juga.

Golongan Sesat الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Macam golongan sufi dan tarekat yang kononnya nak dapat agama cara pintas. Mereka tak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bidaah mereka. Mereka mencari Tuhan dan hendak merapatkan diri dengan Tuhan tapi dengan cara yang salah.

Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadis. Allah sudah ajar ciri-ciri Tuhan dan cara untuk mendekatkan diri dengan cara yang benar tapi mereka nak pakai cara sendiri – akhirnya mereka sesat.

Tapi mereka ini lebih baik sikit dari golongan yang pertama. Sebab mereka mungkin boleh boleh diajak belajar dan bila mereka sudah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita nak kena ajak mereka belajar sahaja dahulu.

Akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini pun semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tapi golongan  Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal.

Tentang sikap mereka terhadap Islam ini, Allah sebut dalam Maidah:82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Masyarakat Islam kita yang ada fahaman syirik pun macam itu juga. Mereka akan menentang jalan sunnah. Memang susah sangat mereka nak terima sunnah. Ini adalah kerana sudah ada fahaman syirik dalam diri mereka.

Syirik ini memang susah keluar dari manusia apabila sudah masuk. Kita yang sudah terima sunnah ini pun kenalah berhati-hati. Nabi telah ajar kita doa supaya kita diselamatkan dari fahaman dan dari melakukan syirik. Maknanya, walaupun kita sudah belajar, kita kena doa diselamatkan kerana kita bukan kebal.

Zaman Nabi pernah para sahabat telah berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri masuk Islam.

Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka jadi sesat itu sebab malas belajar sahaja. Maka kita kena heret mereka datang belajar. Maknanya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, jadi jangan malas belajar.

Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tapi belajar kitab Injil. Iaitu kitab yang salah. Macam orang kita yang belajar juga, tapi kitab yang salah, sampai salah faham dalam agama. Macam-macam dan berjenis-jenis kitab mereka telah buka dan belajar, tapi Tafsir Al-Qur’an dan Syarah Hadis mereka tidak sentuh lagi pun.

Soalan: kenapa tidak disebut munafiqin dalam golongan-golongan ini? Mereka juga dikira sebagai lembut sedikit kerana mereka boleh terima sedikit sebanyak agama Islam. Macam munafik zaman Nabi, mereka duduk dengan Nabi dan sahabat, bergaul bersama mereka, siap solat belakang Nabi.

Zahirnya mereka nampak seperti menerima Islam tapi batinnya tidak Islam. Masih ada yang tak cuci lagi dalam diri mereka. Tetapi, kerana mereka sanggup duduk dengan Rasulullah dan para sahabat yang mukmin, mereka lama kelamaan boleh terima juga terima Islam. Ini kerana mereka terus duduk bersama Nabi, terus dengar Al-Qur’an, maka lama-lama mereka masuk Islam juga akhirnya.

Sebab itu tidak disebut nama mereka satu persatu. Kerana mereka ada yang sudah berubah dan Allah tidak mahu memalukan mereka. Kalau dahulu mereka munafik, maka itu dulu dan Allah boleh ampunkan.

Allahu a’lam. Tammat sudah Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah ini. Boleh sambung baca tafsir yang ijmali tentang surah ini lagi di sini.

Kemaskini: 13 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Daurah Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat 3 – 7 (Golongan-golongan manusia)”

  1. Alhamdulillah, syukran Ustaz atas ilmu yang sangat bermanfaat ini, Smoga ustaz terus diberi kemudahan, kesihatan dan limpah ramat Allah, mohon izin untuk belalar Ilmu ini.

    Like

  2. Terima Kasih ustaz Alhamdulillah, hari ni dapat menghabiskan tafsir al-Fatihah. Walaupun baru pertama kali betul-betul membaca Kitab Tafsir ini, tetapi rasa makin banyak yg perlu diusahakan utk dipelari lagi.
    Jutaan terima kasihh ustaz, semoga diberikan kemudahan, kesihatan dah Rahmat utk ustaz dapat menerbitkan naskah ini dlm bentuk buku pula pd masa hadapan. Amin..

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s