Ayat 109:
وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
Many of the People of the Scripture wish they could turn you back to disbelief after you have believed, out of envy from themselves [even] after the truth has become clear to them. So pardon and overlook until Allah delivers His command. Indeed, Allah is over all things competent.
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ ٱلۡكِتَـٰبِ
Tersangat ingin kebanyakan daripada ahli kitab itu
Allah ﷻ menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Ini adalah fahaman majoriti dari mereka. Kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.
لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِّنْ بَعْدِ إِيمَـٰنِكُم كُفَّارًا
kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;
Memang mereka suka kalau umat Islam kembali kafir kerana mereka tidak sukakan Islam. Ini kesinambungan daripada ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad ﷺ itu adalah untuk orang Islam murtad dan kembali kafir.
Mereka hendak umat Islam menjadi sangsi dengan agama Islam. Ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tetapi mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Yang keliru adalah mereka yang jahil dengan agama sendiri.
Golongan Yahudi itu mengkaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri senang menjadi sasaran orang Yahudi. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawab.
Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu kepada kita, kenapa mereka masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri?
Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan.
حَسَدًا
kerana hasad dengki mereka;
Mereka hendakkan kita menjadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana hasad dengki. Mereka tidak mahu orang Islam maju kerana kalau Muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur.
Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Al-Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau begitu. Bayangkan perkara ini disebut dalam bahagian Surah Baqarah yang awal pula.
Awal-awal lagi Allah ﷻ sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Al-Qur’an. Maka, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.
مِّنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ
dari sisi diri mereka sendiri
Perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka. Hati mereka busuk dengan kebencian kepada umat Islam dan agama Islam. Hati mereka sendiri yang ada masalah sebenarnya. Sekarang Allah ﷻ telah membongkar perasaan mereka itu.
مِّنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ
selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;
Iaitu setelah nyata kebenaran Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tahu Al-Qur’an itu adalah benar, tetapi kerana Al-Qur’an itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, maka mereka tidak berpuas hati, mereka tidak boleh terima.
Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka sudah tahu kebenaran, tetapi tidak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka.
فَاعْفُوا
Jangan kamu peduli;
Allah ﷻ suruh kita jangan pedulikan mereka. Biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah ﷻ dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah ﷻ untuk memerangi mereka, biarkan sahaja mereka.
وَاصْفَحُوا
dan biarkanlah mereka;
Jangan terus hukum mereka lagi. Berpaling dari mereka dan tidak payah tumpukan perhatian kepada mereka. Jangan buat tindakan apa-apa terhadap mereka. Teruskan seperti biasa iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah ﷻ.
حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ
sehingga datang keputusan Allah;
Biarkan mereka sehingga datang keputusan yang lain daripada Allah ﷻ. Iaitu apabila datang perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena teruskan urusan berdakwah kepada mereka.
Maka bukanlah berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah ﷻ datangkan undang-undang baru tentang perintah jihad. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi jangan bergaduh dengan puak-puak Yahudi itu. Dan perintah jihad sudah datang selepas ayat ini seperti Taubah:5
فَاقتُلُوا المُشرِكينَ حَيثُ وَجَدتُموهُم وَخُذوهُم وَاحصُروهُم وَاقعُدوا لَهُم كُلَّ مَرصَدٍ
maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah di tempat pengintaian.
Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tidak mengikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama kerana Yahudi itu memang jenis akan menampakkan kesalahan mereka di khalayak ramai nanti. Nanti akan sampai masa apabila Allah turunkan ayat untuk menghalau orang Yahudi dari Madinah.
Maka umat Islam diberitahu yang tidak bolehlah terus berperang dengan mereka. Tambahan pula di Mekah umat Islam sudah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja.
Maka kena bersabar dan duduk dahulu setahun dengan aman di Madinah dan buat perjanjian dengan puak Yahudi itu. Tetapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu akan pasti mungkir janji. Maka waktu itu nanti tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang sudah tahu perangai mereka.
Kalau sekarang, kita kena tunggu sehingga umat Islam ada kekuatan semula. Sekarang kita amat lemah dan tidak dapat hendak buat apa-apa kepada golongan Yahudi ini. Kita lemah pun kerana kita jauh dari wahyu.
إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.
Jangan takut yang perasaan dengki mereka itu akan memudharatkan kita. Allah ﷻ yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah ﷻ akan menjaga kita dari mereka. Walaupun mereka berniat tidak baik kepada umat Islam, tetapi mereka tidak dapat menghancurkan Islam. Maka kita kena serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ.
Ayat 110: Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi ﷺ sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad menentang Quraish yang menyeksa mereka. Tetapi Allah ﷻ jawab jangan lagi balas tindakan jahat mereka, sebaliknya dirikanlah salat dan keluarkanlah zakat.
Tetapi zakat dalam bentuk mengeluarkan harta, hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan yang zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah ﷻ.
Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta. Iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok di manakah ayat itu diturunkan.
وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
And establish prayer and give zakah, and whatever good you put forward for yourselves – you will find it with Allah. Indeed, Allah of what you do, is Seeing.
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
وَأَقِيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ
Dan dirikanlah solat;
Semasa di Mekah, sahabat dirikan salat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam رضي الله عنه. Mereka hanya boleh salat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah.
Tidak pasti bagaimana mereka salat pada waktu itu kerana belum lagi mendapat syariat salat ketika itu iaitu sebelum Nabi ﷺ isra’ mi’raj. Mereka mungkin salat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang masih lagi diamalkan di kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tetapi ada lagi yang mereka amalkan lagi.
Antara maksud dirikan salat adalah: hubungan manusia dengan Allah ﷻ hendaklah didirikan dan dijaga. Maka kena belajar betul-betul cara melakukan salat dengan betul dan ikut seperti sunnah yang Nabi telah ajar. Ini adalah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat kelak, tapi malangnya ramai yang masih ada masalah lagi dengan ibadah yang utama ini.
وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَۚ
dan keluarkanlah zakat;
Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas. Maka kena belajar fiqh zakat, jangan langsung tidak apa itu zakat. Jangan sangka zakat itu zakat fitrah yang diberi semasa Ramadhan sahaja. Ramai masyarakat kita jahil tentang perkara itu. Jadi mereka culas dalam bab bayar zakat.
Salat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh ibadah dan amalan yang besar. Tetapi bukanlah hanya dua perkara ini sahaja yang Allah ﷻ suruh kita buat. Ia disebut sebagai mewakili segala rukun Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru tahu keseluruhan agama. Jangan ambil sedikit-sedikit sahaja.
Sebelum ini disebut tentang sikap orang kafir terhadap kita dan pada peringkat permulaan, kita disuruh untuk memaafkan mereka dan bersikap sabar. Dalam bersabar dan tidak membalas kejahatan mereka terhadap kita, maka hendaklah kita melakukan ibadah. Kita hendaklah menguatkan dalaman kita dahulu. Kita kena isi kekuatan ruhaniyah kita sebelum diarahkan untuk berjihad. Kerana kalau berjihad tapi kekuatan ruhaniyah tidak ada, maka itu bahaya bagi kita.
وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِّنْ خَيْرٍ
Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;
Yang ‘didahulukan’ adalah ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah ﷻ. Maksudnya: melakukan amal-amal yang soleh.
Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita ‘hantar’ ia dahulu ke hadapan dan kita akan bertemu nanti dengan ibadah kita itu yang menanti kita di sana.
تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ
tentulah kamu akan mendapat balasan pahala dari Allah;
Allah ﷻ akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ia tidak akan hilang. Bila kita di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan amalan-amalan kita itu. Allah ﷻ akan balas berkali-kali ganda dari apa yang kita telah lakukan.
إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;
Allah ﷻ sentiasa melihat apakah yang kita lakukan. Apabila Allah ﷻ lihat, maknanya Allah ﷻ akan balas segala perbuatan itu. Allah ﷻ tahu sama ada perbuatan kita itu adalah ikhlas ataupun tidak. Sama ada harta yang kita keluarkan itu adalah haram ataupun tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah ﷻ lihat semuanya.
Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya.
Memang ada kemungkinan itu. Tetapi Allah ﷻ juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam supaya tidak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah tetapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah ﷻ.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengingatkan kita tentang apakah yang lebih penting daripada memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah ﷻ. Yang penting adalah kita kena terus beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.
Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tidak jihad dan lawan mereka pada waktu itu, maka lemahlah kita. Tetapi Allah ﷻ sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tetapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Contohnya, kena ada Khalifah seluruh dunia untuk keluarkan arahan jihad.
Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badr. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, sudah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah ﷻ hendak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk membuat amal yang boleh mendatangkan pahala.
Jadi ini termasuk juga apalah sikap kita terhadap teori konspirasi yang selalu kita terbaca di sana sini. Berbagai-bagai teori kita dengar. Tapi selalunya memang susah untuk dipercayai kerana tidak ada bukti-bukti. Baiklah, kalau pun ia benar ada, apa yang kita boleh lakukan? Tidak ada apa. Yang penting kita kena jaga ibadah kita, lakukan apa yang patut kita lakukan dan lebih dari itu, kita serah sahaja kepada Allah ﷻ.
Ayat 111: Yahudi kata Islam itu sia-sia dan penganutnya tidak akan masuk syurga.
وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
And they say, “None will enter Paradise except one who is a Jew or a Christian.” That is [merely] their wishful thinking, Say, “Produce your proof, if you should be truthful.”
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.
وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ
Dan mereka berkata: Tidak akan masuk syurga;
Kepada Ahli Kitab, Islam adalah agama yang sesat, jadi Muslim tidak akan masuk syurga. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan orang Islam sebenarnya menyembah Tuhan Bulan. Pernah keluar dalam makalah dakwah mereka tentang “Moon God” ini.
Malah sekarang, ada di kalangan mereka yang mengatakan kita menyembah syaitan. Apa-apa pun, pada mereka, orang Islam akan masuk neraka. Mereka tidak akan mengiktiraf agama Islam.
إِلَّا مَنْ كَانَ هُودً
melainkan sesiapa yang dari agama Yahudi
Bagi Yahudi, yang akan masuk syurga hanyalah orang yang beragama Yahudi sahaja.
أَوْ نَصَـٰرَىٰۗ
atau agama Nasrani;
Bagi Nasrani pula, tentu mereka kata yang akan masuk syurga hanya Nasara sahaja. Mereka kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Yahudi kata Yahudi sahaja yang masuk syurga. Nasrani pula kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga.
Atau ia juga boleh bermaksud mereka mengatakan yang akan masuk syurga hanyalah Yahudi atau Nasrani. Memang mereka tidak sebulu (Yahudi kata Nasrani tidak benar dan Nasrani pula kata Yahudi tidak benar) – ini kita akan belajar dalam ayat 113 nanti. Namun, apabila kedua-dua mereka menghadapi Islam, mereka boleh pula berkata yang masuk syurga adalah sama ada Yahudi atau Nasrani, tetapi Muslim tidak akan masuk syurga.
Ini cara mereka hendak melemahkan akidah orang Islam. Yahudi kata syurga itu hanya untuk Yahudi dan Nasara kata syurga itu hanya untuk Nasara. Mereka cakap begitu kerana hendak melemahkan umat Islam. Mereka beri macam-macam hujah dan dengan cara inilah, ramai umat Islam yang murtad. Mereka cakap dengan berbagai-bagai cara penipuan mereka dalam dakwah sampaikan ramai umat Islam tertipu dengan dakwah mereka. Terutama mereka yang tidak mendalami agama sendiri.
Tetapi, ada kalangan kita tidak berani hendak kata bahawa orang Yahudi dan Kristian itu akan masuk neraka sebab kita takut kita dikatakan jumud pula. Maka, macam-macam cara kita cuba beri sebagai dalil ada kebarangkalian mereka masuk syurga juga.
Padahal, kepada ahli agama mereka, senang sahaja mereka mengatakan orang Islam akan masuk neraka. Ingatlah, agama yang hanya diredhai Allah ﷻ adalah agama Islam. Kalau selain dari agama Islam, tidak akan masuk syurga. Maka tidak salah kalau kita kata mereka itu akan masuk neraka.
Maka salah kalau ada orang selain Muslim mati, kita katakan ‘Rest in Peace’; mereka takkan berehat dalam alam barzakh dan di akhirat. Mereka itu memang ahli neraka sampai bila-bila dan mereka tidak ada tenang dari semenjak mereka mati lagi.
Cuma janganlah kita mengutuk atau mengejek mereka. Dalam ayat sebelum ini, kita disuruh supaya فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا dengan mereka. Iaitu untuk memaafkan mereka dan biarkan dahulu mereka. Begitulah akhlak kita yang sepatutnya dengan mereka dan dengan orang beragama lain. Jangan pandang serong terhadap mereka.
Mereka tidak masuk Islam itu adalah kerana dakwah belum sampai kepada mereka. Atau mereka tidak didakwah dengan cara yang baik. Maka kerana itu mereka belum nampak keindahan Islam. Lebih-lebih lagi kalau mereka melihat perangai orang Islam yang buruk.
Memang banyak dari kalangan kita yang berperangai buruk dan ini tidak dapat dinafikan. Kadang-kadang perangai orang Islam tidak melambangkan agama Islam yang murni. Ini kerana kita tidak mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya. Kita bukan sahaja memandang serong dengan orang bukan Islam, dengan orang Islam pun kita pandang serong. Maka orang bukan Islam kalau tengok Muslim, tidak akan menyangka Islam ini adalah agama yang baik.
Ingatlah bahawa orang bukan Islam ada yang masuk Kristian kerana kebaikan budi yang ditunjukkan oleh mubaligh Kristian. Mereka pandai mengambil hati orang yang bukan Islam. Mereka tidak perlu membawa mesej Injil, tetapi mereka membawa kebaikan budi mereka sahaja. Tetapi kita tidak dapat membawa mesej Al-Qur’an kepada mereka kerana telah ditutup nafsu mereka untuk terima Al-Qur’an kerana perangai kita yang tidak molek.
Mereka hanya boleh memurtadkan orang yang jahil dalam agama dan mereka yang mahukan dunia sahaja. Ini kerana ada manusia yang seperti semut hendakkan gula. Jangan kata non-Muslim, ramai orang Islam yang masuk Kristian kerana termakan budi dengan kebaikan orang-orang Kristian di gereja.
Oleh kerana mereka faham perangai manusia, mubaligh Kristian pun memberikan kenikmatan dunia kepada mereka. Mereka tambah dengan berkata agama mereka lebih mudah untuk masuk syurga. Mereka kata boleh terus masuk syurga sebab Nabi Isa عليه السلام sudah mengorbankan dirinya dibunuh di salib supaya segala dosa umat diampunkan.
Oleh kerana dakyah sebegini, maka ramailah yang murtad dan masuk Kristian – duit dapat, agama pun mudah pula.
تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ
Itu adalah angan-angan kosong mereka;
Allah ﷻ beritahu yang anggapan mereka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja. Tidak ada bukti yang mengatakan mereka pasti akan masuk syurga. Ia adalah khayalan mereka sahaja kerana dakwaan itu tidak berasas dan tidak ada dalil.
قُلْ هَاتُوا بُرهَـٰنَڪُم
Katakan (kepada mereka): bawa mari dalil bukti kamu;
Allah ﷻ suruh kita cabar mereka untuk bawakan bukti yang mengatakan hanya mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka tidak akan dapat berikan bukti.
Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa dalam hal agama, perlu bawa bukti dan dalil dari sumber yang boleh dipercayai. Tidak boleh memakai kata-kata manusia yang berangan-angan sahaja. Macam ada yang kata “Takkan Allah ﷻ tak beri pahala perbuatan amalan ibadat kita ini, walaupun Nabi ﷺ tak pernah buat”.
Itu juga adalah angan-angan kosong. Tidak ada langsung bukti dan dalil yang boleh dibawa. Mereka sendiri tahu bahawa sesuatu amalan bidaah itu Nabi ﷺ tidak buat. Tetapi mereka berangan yang Tuhan akan menerima amalan itu dan memberikan pahala kepada mereka.
Dalam hal agama, kena ada bukti. Jadi jangan kelam kabut kalau ada orang yang mempersoalkan tentang Al-Qur’an. Allah ﷻ sendiri sudah cabar mereka untuk buat sesuatu yang seperti Al-Qur’an. Maka jikalau mereka mencabar Al-Qur’an, itu adalah cabaran bagi kita untuk mempertahankan Al-Qur’an.
Kita pun kena tunjukkan bukti, bukan sedap hendak minta bukti dari orang lain sahaja. Untuk mengeluarkan bukti itu, kita tentu akan lebih mengkaji tentang Al-Qur’an dan akan mendapat lebih kepercayaan kepada Al-Qur’an akhirnya. Yang penting, kita kena jawab menggunakan ilmu, bukan emosi.
Ayat ini mengajar bahawa kita perlu jawab dengan menggunakan hujah dan dalil sahih. Bukan dengan mengangkat suara dalam perdebatan. Kalau ada yang mengangkat suara, kita tahu bahawa mereka berbuat begitu kerana mereka tidak ada hujah.
إِنْ كُنْتُمْ صَـٰدِقِينَ
sekiranya kamu benar;
Jangan cakap sahaja, kena berikan bukti kalau betul kita benar.
Ayat 112: Allah ﷻ menjelaskan perkara yang sebenar tentang siapakah yang akan masuk syurga.
بَلىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ أَجرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Yes [on the contrary], whoever submits his face in Islam to Allah while being a doer of good will have his reward with his Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ
Bahkan yang sebenarnya sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah;
Yang sebetulnya, yang masuk syurga adalah mereka yang 100% serah diri untuk taat kepada Allah ﷻ, tidak kira golongan mana dan mereka itu mengharapkan redha Allah ﷻ. Memang perkataan ‘Islam’ itu maknanya ‘serah diri’. Maka kena serah diri sepenuhnya, bukan sedikit-sedikit.
Sebagai contoh, katakanlah kita serahkan hadiah berbentuk kain kepada seseorang, tetapi kita kata: kita beri kain itu kepada orang itu, kecuali sehelai benang dari kain itu. Kalau kita buat begitu, ia tidak dikira sebagai ‘serah’ sebab kita tidak beri sepenuhnya. Maka, kita kenalah taat seluruhnya kepada Allah ﷻ dengan mengikut semua hukum bukan setengah-setengah.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘wajah’ tetapi yang dikehendaki sebenarnya semua anggota.
Ada pentafsir yang mengatakan bahawa أَسْلَمَ وَجْهَهُ bermaksud ‘sujud’ kerana kita sujud dengan wajah kita, bukan? Bani Israil juga sebenarnya ada juga sujud dalam ibadat mereka. Tetapi mereka telah meninggalkannya kerana mereka telah lama ubah agama mereka. Mungkin ada sedikit yang masih mengamalkannya tetapi sedikit sangat.
Ia juga merujuk kepada orang merendahkan egonya. Ini kerana selalunya apabila disebut ‘wajah’, ia merupakan imbalan kepada ego.
وَهُوَ مُحْسِنٌ
Dan dia dalam keadaan muhsin;
Iaitu menyerah diri dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Maknanya, tiada syirik khofi (syirik yang tersembunyi). Kadang-kadang, seseorang itu beramal tetapi tidak ikhlas, kerana ada syirik di dalam hatinya.
Contoh syirik hati itu adalah riak, ujub – berasa pandai, berasa diri cantik, sangka ibadat dia paling banyak dan sebagainya. Atau mereka takabbur dalam percakapan. Atau mereka ada perasaan hasad dengki, buruk sangka dan cemburu.
Semua itu adalah syirik yang tidak nampak dalam penglihatan kita. Itulah sebabnya ia disebut syirik khofi – iaitu syirik yang tersembunyi. Kenapa ia dipanggil syirik? Ini kerana kita mengharapkan pujian manusia padahal pujian yang kita patut harapkan hanya dari Allah ﷻ sahaja.
Kalimah مُحْسِنٌ juga diambil dari kata ‘ihsan’. Daripada satu hadith yang dinamakan juga ‘Hadith Jibrail’, Ihsan bermaksud melalukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah ﷻ sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah ﷻ sedang melihat kita dan segala perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa memerhatikannya.
Perlu juga kita tambah di sini, amalan yang baik juga adalah amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Jikalau amalan itu adalah rekaan manusia, ia bukanlah amalan yang ihsan, tetapi amalan bidaah. Oleh itu, walaupun kalau seseorang itu ikhlas seikhlas-ikhlasnya dalam melakukan ibadat, namun dalam masa yang sama dia melakukan ibadat yang bidaah, ia masih tidak diterima kerana tidak mencukupi syarat.
فَلَهُ أَجْرُهُ
kepadanyalah pahala
Mereka yang beramal dengan ikhlas dan beramal dari amalan yang soleh, akan mendapat balasan pahala.
عِنْدَ رَبِّهِ
dari sisi Tuhannya.
Pahala yang baik itu dari sisi Allah ﷻ, dari pemberian Allah ﷻ. Inilah kaedah Allah ﷻ yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang beramal menepati syaratNya, akan diberi pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya Allah ﷻ melihat bangsa seseorang itu, tetapi dari amalnya.
Dari pembacaan kita di atas, ada dua syarat untuk kita mendapat pahala dari sisi Allah ﷻ: pertama, amalan itu mestilah ikhlas, dan keduanya ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ. Bukan amalan bidaah. Kalau ia hanya ikhlas, tetapi bukan yang ihsan, ia tidak akan diterima.
Dan kalau ia adalah amalan ihsan, tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Kena memenuhi dua-dua syarat itu. Seperti dalam hadith berikut:
Rasulullah ﷺ bersabda,
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)
وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ
dan tidaklah takut ke atas mereka
Mereka tidak akan ada rasa takut; Atau bermaksud mereka tidak perlu takut pada hari akhirat kelak kerana mereka akan selamat. Dalam erti kata lain: tidak ada apa yang perlu ditakuti atas mereka.
Lihatlah bagaimana perubahan penggunaan ayat dalam ayat ini: Di bahagian pertama, Allah ﷻ menggunakan penggunaan kata mufrad (singular): وَجْهَهُ (wajahnya), وَهُوَ (dia – seorang), فَلَهُ أَجْرُهُ (untuknya pahala – seorang juga), عِنْدَ رَبِّهِ (di sisi Tuhannya – seorang juga).
Tetapi di bahagian kedua, Allah ﷻ mengubah penggunaan kata dalam bentuk jamak (plural): عَلَيْهِمْ (atas mereka), وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (mereka tidak akan bersedih). Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam kita hendak mengamalkan ajaran agama yang sebenar dan yang sunnah, kadang-kadang kita berseorangan dalam menjalankannya.
Kadang-kadang kita seorang sahaja yang berdakwah mengajak manusia lain mengikuti kita. Tetapi kemudiannya, Allah ﷻ akan memberikan kawan kepada kita dalam perjuangan dakwah ini. Sama ada kita mendapat kawan semasa kehidupan dunia, atau jika tidak, kita akan mendapat kawan di akhirat kelak.
وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
dan tidaklah mereka berdukacita;
Iaitu mereka tidak akan berdukacita apabila mereka masuk syurga nanti. Walaupun keluarga mereka tidak masuk syurga, mereka tidak akan berasa dukacita. Ini kerana Allah ﷻ akan beri mereka lupa tentang ahli keluarga mereka yang tidak dapat masuk syurga. Sebab kalau mereka ingat, mereka akan berdukacita pula. Padahal syurga bukanlah tempat untuk berdukacita.
Maka, Allah ﷻ akan beri mereka lupa kepada ahli keluarga mereka yang tidak masuk syurga. Bukan mereka sendiri yang lupa, tetapi Allah ﷻ yang menyebabkan mereka lupa.
Ia juga bermaksud, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia yang mereka sayang ini.
Dari segi bahasa, apabila dikatakan mereka tidak akan berdukacita, bermaksud akan ada manusia yang akan berdukacita nanti di akhirat nanti. Itu adalah orang-orang yang tidak mahu mengikut arahan Allah ﷻ. Iaitu mereka yang tidak mengendahkan agama.
Habis Ruku’ 13 dari 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 31 Mei 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Assalam,
Maaf tuan, saya ingin bertanya:
Terdapat golongan Jin yang beriman kepada Allah seperti dalam ayat ini:
Surah Jin Ayat 11:
وَأَنّا مِنَّا الصّٰلِحونَ وَمِنّا دونَ ذٰلِكَ ۖ كُنّا طَرائِقَ قِدَدًا
Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.
Apakah hubungan antara Jin dan Iblis? Adakah Jin keturunan Iblis atau cucu cicit Iblis? Jika benar, ada juga-lah keturunan Iblis yang beriman kepada Allah walaupun Iblis adalah makhluk yang sesat lagi menyesatkan.
Maafkan saya jika soalan ini agak pelik dan aneh. tkasih.
LikeLike