Maidah Ayat 90: Kalau sebelum ini telah disebut tentang larangan mengharamkan yang halal, sekarang disebut tentang perkara haram yang tidak boleh dilakukan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, indeed, intoxicants, gambling, [sacrificing on] stone alters [to other than Allāh], and divining arrows are but defilement from the work of Satan, so avoid¹ it that you may be successful.
- The prohibition understood from the word “avoid” is stronger than if Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) had merely said, “Abstain.” The former requires distancing oneself from anything remotely related to these practices.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar,
Ini adalah hukum pengharaman arak. Ramai yang sudah tahu bahawa ia sememangnya haram, tetapi masih ada lagi yang mencuba mengelak untuk lari daripada hukum ini. Pelbagai hujah yang mereka gunakan.
Antaranya mereka kata, kalau minum sedikit dan tidak memabukkan, maka ia tidak haram. Atau ada yang kata kalau tidak salat, tidak mengapa kalau mahu diminum arak itu. Dan berbagai-bagai lagi hujah yang pelik yang digunakan oleh manusia. Itu semua kerana tidak mahu taat kepada hukum Allah ﷻ. Sedangkan dalam ayat ini, dengan jelas mengatakan yang arak itu haram. Tidak kira pada masa bila pun, ia adalah haram.
Dari segi bahasa, kalimah الخَمرُ daripada kalimah خمرُ yang bermaksud ‘penutup’. Jadi, dari sini kita boleh tahu sifat arak itu yang menutup minda dan akal manusia. Apabila diminum, boleh menyebabkan mabuk sehingga akal tidak tahu apa yang mereka buat dan apa yang dikatakan oleh mulut mereka.
Khamr asal sebenarnya bermaksud arak perahan anggur. Tetapi bukan itu sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Apa sahaja yang memabukkan dikira haram, tidak kira daripada bahan apa ia diperbuat:
وَرَوَى مُسْلِمٌ عَنْ أَبِي الرَّبِيعِ، عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كُلُّ مُسكر خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ، وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمنها وَلَمْ يَتُبْ مِنْهَا لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ”.
Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Rafi’, daripada Hammad ibnu Zaid, daripada Ayyub, daripada Nafi’, daripada Ibnu Umar yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Dan barangsiapa minum khamr, lalu mati dalam keadaan masih kecanduan khamr dan belum bertaubat daripada perbuatannya itu, maka kelak di akhirat dia tidak dapat meminum khamr (di syurga).
(HR. Muslim No. 2003, daripada Ibnu Umar رضي الله عنه)
Terdapat banyak sekali keburukan daripada arak ini yang menyebabkan keluarga, masyarakat dan negara boleh menjadi porak peranda disebabkan olehnya. Allah ﷻ tahu apakah yang buruk untuk diri kita, maka Allah ﷻ telah mengharamkannya supaya kita tidak lagi terjerumus ke dalam masalah-masalah itu.
Dan kita perlu ingat, bahawa arak itu bukan sahaja diharamkan untuk diminum sahaja, tetapi ada banyak lagi kesalahan yang melibatkannya. Seperti yang disebut dalam hadith:
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: لعن رسُول الله صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرةً: عاصرها، ومعتصرها، وشاربها، وحاملها، والمحمولة إليه، وساقيها، وبائعها، وآكل ثمنها، والمشتري لها، والمشتراة له. أخرجه الترمذي وابن ماجه
“Rasulullah ﷺ melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarnya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.(HR . Tirmidzi No. 1295, Ibnu Majah No. 3381, daripada Anas رضي الله عنه. Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Talhrij Misykatul Masabih No. 2707. Hasan menurut Al-Wadi’ie dalam Sahih Musnad No. 59)
Maka, jangan kita terlibat langsung dengan arak. Sebab itulah dalam ayat ini, lafaz yang digunakan adalah فَاجتَنِبوهُ (maka jauhilah ia), bukan ‘jangan buat’. Bila dikatakan menjauhinya, maka jangan ada kena mengena langsung dengannya.
Perkara yang haram seperti arak juga tidak boleh diperniagakan:
حَدِيثٌ آخَرُ: قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَعْلَى، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنِ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ؛ أَنَّ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ وَعْلَة قَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ عَنْ بَيْعِ الْخَمْرِ، فَقَالَ: كَانَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدِيقٌ مِنْ ثَقِيفٍ -أَوْ: مِنْ دَوْسٍ-فَلَقِيَهُ يَوْمَ الْفَتْحِ بِرَاوِيَةِ خَمْرٍ يُهْدِيهَا إِلَيْهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَهَا؟ ” فَأَقْبَلَ الرَّجُلُ عَلَى غُلَامِهِ فَقَالَ: اذْهَبْ فَبِعْهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا فُلَانُ، بِمَاذَا أَمَرْتَهُ؟ ” فَقَالَ: أَمَرْتُهُ أَنْ يَبِيعَهَا. قَالَ: “إِنَّ الَّذِي حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا”. فَأَمَرَ بِهَا فَأُفْرِغَتْ فِي الْبَطْحَاءِ.
Hadith diriwayatkan oleh Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Ya’la, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, dari Al-Qa’qa’ ibnu Hakim; Abdur Rahman ibnu Wa’lah mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Abbas mengenai masalah menjual khamr. Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab bahawa dahulu Rasulullah ﷺ mempunyai seorang teman daripada Bani Saqif atau Bani Daus. Rasulullah ﷺ bersua dengannya pada hari kemenangan ke atas kota Mekah, pada waktu itu dia membawa sebalang khamr yang hendak dia hadiahkan kepada Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah telah mengharamkannya?” Maka lelaki itu datang kepada pelayannya dan berkata kepadanya, “Pergilah, dan juallah khamr ini.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Fulan, apakah yang kamu perintahkan kepada pelayanmu?”Lelaki itu menjawab, “Saya perintahkan dia untuk menjualnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya sesuatu yang diharamkan meminumnya diharamkan pula memperjual belikannya. Lalu Rasulullah ﷺ memerintahkan agar khamr itu ditumpahkan, kemudian ditumpahkan di Batha.
(HR. Ahmad No. 2824, disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth dan Ahmad Syakir)
Nota: Mungkin timbul satu persoalan tentang bolehkan khamr digunakan sebagai ubat? Pendapat yang kuat mengatakan tidak boleh sama sekali kerana daripada hadith Nabi ﷺ sendiri, baginda mengatakan bahawa khamr itu bukanlah ubat, malah ia adalah penyakit.
Dan kalau ada yang mengatakan ia termasuk dalam perkara darurat, ketahuilah pengubatan bukanlah termasuk dalam perkara darurat. Boleh rujuk perbahasan itu di sini.
Arak diharamkan kerana ada banyak keburukan padanya. Akal yang sihat pun boleh faham perkara ini. Kerana itulah dalam tahun 1920-an, Kerajaan Amerika pernah mengharamkan arak (Prohibition Act). Akan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan mendapat tentangan yang kuat dalam masyarakat. Ini kerana mereka tidak ada iman.
Sedangkan masyarakat Arab jahiliyah pada masa dahulu pun biasa meminum arak. Namun Islam mengambil pendekatan mengharamkannya dengan cara berperingkat. Tidaklah terus diharamkan tetapi mendidik mereka untuk menolak sedikit demi sedikit.
Peringkat pertama: Arak itu ada kelebihan, tetapi keburukan lebih banyak. Ini disebut dalam Baqarah:219
Peringkat kedua: Tidak boleh minum arak apabila hendak salat. Ini disebut dalam Nisa’:43
Peringkat ketiga: Larangan terus di dalam ayat Maidah:90 ini.
وَالمَيسِرُ
dan berjudi
Apakah maksud judi? Ramai yang keliru dan banyak persoalan tentang perkara ini. Ia adalah satu perlumbaan untuk mendapatkan sesuatu yang menyebabkan kegembiraan bagi satu pihak dan kekecewaan kepada pihak yang lain pula. Maknanya terdapat pertaruhan dan mesti ada yang kalah dan ada yang menang. Satu pihak untung dan satu pihak rugi (zero sum game).
Ia juga boleh dikira hangus duit pertaruhan. Contohnya, ada masuk pertandingan memancing dan dikenakan letak duit dahulu. Itu dikira judi walaupun niatnya hanyalah sebagai permainan, buat untuk suka-suka sahaja. Ia dianggap sebagai judi kerana orang itu akan hilang wang pertaruhannya itu. Dan wang itulah pula yang dijadikan sebagai hadiah kemenangan nanti. Memang orang selalu orang letak nama ‘pertandingan’. Namun begitu, tidak kiralah nama apa yang diletakkan, tetapi kalau mengandungi unsur judi, maka ia dikira sebagai judilah juga.
Ini tidak sama dengan ‘cabutan bertuah’ kerana tidak ada kerugian pada mana-mana pihak. Ini adalah kerana pekedai yang mengeluarkan duit sendiri yang menawarkan hadiah kepada sesiapa yang mendapat hadiah cabutan bertuah itu. Orang yang menang itu pula tidak meletakkan sebarang duit pun sebagai pertaruhan. Oleh itu, ia tidak merugikan sesiapa, malah ada yang untung sahaja. .
وَالأَنصابُ
dan berhala
Perkara ketiga yang dilarang dalam ayat ini adalah penyembahan patung berhala atau benda-benda yang dipuja seperti gambar. Ramai manusia yang membuat gambar roh dan Nabi, dan pelbagai gambar atau patung untuk dijadikan sebagai tempat pemujaan.
Asalnya ia dijadikan sebagai peringatan kepada orang yang baik-baik, yang alim, yang warak semasa hidup mereka. Atau dijadikan sebagai peringatan kepada kejadian yang penting pada zaman dahulu. Namun lama kelamaan, ia telah bertukar sifat sehingga orang yang kemudian menjadikan makam bagi tempat itu dan menyembah atau memujanya.
Ini adalah kerana kejahilan manusia dan syaitan akan sentiasa meniupkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang mula-mula buat patung, gambar atau tugu itu tidaklah menyembah sebagai ilah, tetapi keturunan yang datang kemudian yang menjadikan ia lebih lagi.
Inilah masalah jika manusia memang mempunyai akidah yang lemah. Mereka akan terpesona dengan sesuatu perkara itu dan mula menyembah atau menganggapnya istimewa.
Oleh kerana itu, kita tidak boleh menghormati sesuatu benda itu berlebihan. Sebagai contoh, patung kanak-kanak memang secara dasar memang dibenarkan, tetapi jangan kita hormati anak patung itu. Kita kenalah baling, pijak ia supaya tidak ada rasa kasih sayang berlebihan kepadanya.
Itulah sebabnya dilarang untuk menggantung gambar sesiapa pun di rumah atau di kedai kerana katakanlah kita menggantung gambar datuk kita, sebagai memperingati dia sahaja tetapi jika rumah kita terbakar, dan kita mendapati gambar datuk kita itu selamat sahaja, apa yang kita rasa? Maka, untuk keselamatan dan menjaga akidah, tidak perlulah digantung gambar di rumah kita. Kalau ada, silalah turunkan dan simpan dalam album sahaja (sebagai kenang-kenangan).
Jika akidah kita molek, tidaklah berasa apa-apa, tetapi kalau akidah ada masalah, tentu dia akan berkata gambar datuk itu ada keramat (atau datuk kita itu ada keramat). Begitu jugalah kalau digantung gambar-gambar pemimpin yang banyak dilakukan sekarang. Kalau tidak jadi apa-apa, memang selamatlah, tetapi katakanlah kalau ada kejadian pelik dan gambar orang itu ada di situ? Entah apalah nanti dikatakan orang.
Ada empat perkara yang diharamkan dalam ayat ini: arak, judi, berhala dan mengundi nasib. Dalam banyak-banyak ini, berhala itu jelas haram hukumnya, bukan? Allah ﷻ meletakkannya sekali dengan tiga perkara yang lain itu untuk memberitahu: semua itu adalah perkara yang buruk dan berdosa. Semua itu dosa besar maka jangan diperkecilkan.
حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة ومحمد بن الصباح قالا حدثنا محمد بن سليمان بن الأصبهاني عن سهيل عن أبيه عن أبي هريرة قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مدمن الخمر كعابد وثنTelah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Muhammad bin As Shabah keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman bin Al Ashbahani dari Suhail dari Ayahnya dari Abu Hurairah dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Pecandu khamer seperti penyembah berhala.”
(Sunan Ibn Majah (3366))
Status: sahih
وَالأَزلٰمُ
dan mengundi nasib dengan panah,
Iaitu mencari untung nasib dengan mencampak benda-benda. Asal azlam ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu keseimbangan dan tidak diberi hujung kerana ia bukan digunakan untuk memanah). Alat ini biasa golongan zaman dahulu digunakan untuk mengundi nasib. Mereka akan menggunakan anak panah itu sebagai cara untuk membuat keputusan pemilihan.
Mengundi nasib dengan anak panah ini berbeza dengan undian perjudian kerana itu telah disebut dalam bab maysir sebelum ini. Perhatikan kata mengundi ‘nasib’, jadi yang diundi itu adalah nasib, bukan menang atau kalah dalam berjudi.
Istilah itu merupakan terjemahan daripada kata bahasa Arab: AZLAM. Azlam adalah bentuk jamak daripada zulam atau zalam. Memang sering diterjemahkan dengan istilah mengundi nasib dengan anak panah. Tetapi yang terjadi sesungguhnya bukan bab perjudian, melainkan mengundi pilihan hidup dengan menggunakan anak panah.
Disebutkan bahawa ketika masa jahiliyyah, apabila seseorang dalam keadaan bingung atas pilihan-pilihan hidup, mereka bukannya melakukan salat istikharah seperti ajaran Rasulullah ﷺ, tetapi mendatangi para dukun untuk meminta nasihat. Lalu dukun akan melakukan pengundian dengan mengocok anak panah. Di tiap-tiap hujung anak panah itu dituliskan: Kerjakan – Jangan Kerjakan – Ulangi (kosong pada anak panah itu).
Anak panah dengan panjang yang sama itu dikumpulkan di dalam satu bekas. Lalu dikeluarkan salah satunya tanpa dilihat. Jika keluar tulisan ‘kerjakan’, maka perkara itu akan dikerjakan. Namun jika tertulis ‘jangan kerjakan’, maka perkara tersebut tidak akan dilakukan. Jika keluar yang tidak bertuliskan apa-apa, undian nasib tadi akan diulang.
Kira-kira kalau di masa kita ini mirip orang menghitung kad ‘ya’ atau ‘tidak’. Jadi tidak semestinya ditetapkan: “Nah! Perbuatan seperti inilah yang dikatakan dengan mengundi nasib dengan anak panah”.
Illat (penyebab) keharamannya adalah percaya kepada tahayul (khurafat) dengan meninggalkan pertimbangan akal yang sihat. Mereka hanya serahkan sahaja kepada nasib dan ini tidak bagus. Sedangkan Allah ﷻ sudah berikan kita akal untuk menilai sesuatu perkara itu patut dilakukan ataupun tidak.
Akan tetapi, ada juga pengundian yang dibenarkan. Bukanlah semua haram. Katakanlah ada pembahagian harta seperti rumah kepada empat orang. Semua rumah itu sama sahaja, tetapi tidak tahu siapa akan mendapat rumah yang mana. Maka dalam hal ini boleh menggunakan cara pengundian.
رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ
adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan.
Semua perkara yang disebut di atas adalah perbuatan yang berdosa di sisi Allah ﷻ. Ia tidak patut dilakukan oleh seorang yang beriman dan ada akal yang waras.
Itu semua adalah daripada ajaran syaitan. Mereka yang mengajar manusia untuk membuat semua perkara itu kerana mereka suruh manusia lawan Tuhan. Jika sudah mula buat, maka akan susah untuk keluar daripada perbuatan itu.
Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa rijsun ertinya perbuatan yang dimurkai (Allah ﷻ) dan termasuk perbuatan syaitan. Menurut Sa’id ibnu Jubair, erti rijsun ialah dosa. Sedangkan menurut Zaid ibnu Aslam disebutkan bahawa makna rijsun ialah jahat, termasuk perbuatan syaitan. Kesimpulannya, ia adalah perbuatan berdosa dan hendaklah ditinggalkan.
فَاجتَنِبوهُ
Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu
Setelah kita tahu keburukan semua perkara itu, maka hendaklah kita jauhi dan jangan cebur diri. Jangan ada kena mengena langsung. Bukan sahaja kita tidak buat, malah jangan mendekati langsung kerana jika sudah buat, susah untuk meninggalkannya.
Itu semua perkara yang jelas haram maka tidak boleh menghalalkannya. Nama mungkin berubah dari masa ke semasa, tetapi hukum haram tetap haram. Sebagai contoh, ada yang letak nama arak dengan nama ‘tuak’ dan sebagainya; ada yang letak perjudian sebagai ‘sports toto’, cabutan bertuah, pertandingan memancing dan sebagainya, tetapi jika ia mengandungi unsur judi, ia masih juga dikategorikan sebagai judi dan tetap haram hukumnya.
لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
agar kamu mendapat kejayaan.
Moga-moga dengan kita meninggalkan langsung dan tidak mendekati perkara-perkara yang telah diharamkan itu, dapatlah kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Maknanya untuk berjaya dunia dan akhirat mestilah tinggalkan semua perkara di atas.
Maidah Ayat 91: Sebelum ini telah disebut bagaimana perbuatan yang diharamkan di atas adalah daripada perbuatan syaitan. Kita kena sedar yang syaitan tidak ada kebaikan yang mereka akan bawa kepada kita.
Tidak akan ada keberkatan pada benda yang mereka ajar dan tidak ada jaminan kebaikan di akhirat. Maka hendaklah kita menjauhkan diri kita sejauh-jauhnya. Maka kenalah tahu cara-cara syaitan menipu kita. Kena belajar ‘talbis Iblis’ (belitan Iblis).
إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلوةِ ۖ فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Satan only wants to cause between you animosity and hatred through intoxicants and gambling and to avert you from the remembrance of Allāh and from prayer. So will you not desist?
(MALAY)
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka adakah kamu hendak berhenti?
إِنَّما يُريدُ الشَّيطٰنُ أَن يوقِعَ بَينَكُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
Syaitan sangat ingin menjerumuskan manusia ke dalam perbalahan dan kebencian. Mereka menggunakan arak dan perjudian untuk mencapainya. Mereka lakukan itu kerana mereka tidak puas hati dengan umat manusia.
Maka mereka akan hasut manusia untuk berbalah dan benci sesama sendiri sampai boleh jadi perbunuhan. Jika dilihat daripada statistik, tempat yang ada dijual arak, akan ada masalah di tempat itu. Kalau dibandingkan sebelum ada penjualan arak dan selepas arak, memang ada bezanya.
فِي الخَمرِ وَالمَيسِرِ
lantaran khamar dan berjudi itu,
Senjata yang mereka banyak gunakan adalah lebih-lebih lagi pada arak dan judi. Apabila manusia melibatkan diri dengan arak dan judi, manusia akan berkata sesuatu perkara yang boleh menyebabkan perkelahian. Ini kerana apabila minum arak sampai mabuk, akal yang sihat sudah tiada lagi waktu itu. Mulut akan lepas cakap sahaja dan ini bahaya dan boleh menyebabkan pergaduhan sehingga boleh mengakibatkan terjadinya pembunuhan.
Begitu juga dengan perjudian. Apabila berjudi, pasti akan ada seseorang yang akan mengalami kerugian, mungkin kehilangan harta serta duit yang banyak. Ini akan menyebabkan dia sanggup melakukan apa-apa sahaja yang akan merosakkan diri sendiri dan masyarakat. Ibn Qatadah رحمه الله mengatakan, orang Arab Jahiliyah jika berjudi, ada yang bertaruh dengan segala hartanya, termasuk anak isteri sekali.
Oleh itu, di sini jelas sekali menunjukkan arak dan judi akan menyebabkan terjadinya masyarakat yang ganas. Jika kerajaan yang pandai, mereka akan mengharamkan dua perkara ini. Namun apakan daya, hasil cukai daripada keduanya juga banyak.
وَيَصُدَّكُم عَن ذِكرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلَوٰةِ
dan menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan sembahyang;
Bukan itu sahaja, perbuatan arak dan judi juga akan menghalang manusia daripada mengingati Allah ﷻ. Apabila sudah meminum arak dan bermain judi, tidaklah mereka akan ingat kepada Allah ﷻ lagi.
Lebih-lebih lagi syaitan hendak menjauhkan manusia daripada salat. Salat adalah perbuatan minimum mengingati Allah ﷻ. Jika kita tidak ingat Allah ﷻ sepanjang masa pun, tentu kita akan ingat Allah ﷻ semasa salat, bukan? Tetapi kalau asyik sibuk minum arak dan main judi, tidaklah mereka itu akan salat.
Syaitan juga akan menghalang manusia daripada melakukan salat. Ini adalah antara pertama kali mereka akan menghasut manusia. Kita lihatlah agama terdahulu sebelum kita seperti Yahudi dan Nasara. Dua agama itu sebenarnya ada ibadah salat juga. Akan tetapi kita pun lihat mereka tidak salat sekarang.
Bagaimana dengan masyarakat Islam kita sendiri? Ramai yang salat, tetapi ramai juga yang tidak salat. Dan amat menyedihkan apabila mereka boleh selamba sahaja bila tidak salat. Langsung tidak mempunyai rasa malu atau bersalah. Orang yang di sekeliling mereka pun seolah-olah boleh terima kalau ada yang tidak salat. Ia sudah jadi perkara yang biasa sahaja. Adakah anda kenal dalam kalangan anda yang tidak salat? Rasa dapat agak, tentu sekali ada, bukan?
فَهَل أَنتُم مُنتَهونَ
maka adakah kamu hendak berhenti?
Setelah diberitahu segala hujah-hujah itu, Allah ﷻ tanya, adakah kamu mahu berhenti daripada arak dan judi? Ini soalan retorik sahaja, kerana memang kena berhenti pun. Allah ﷻ telah memberikan amaran, kalau buat juga, maka akan menyebabkan perkara-perkara yang telah disebut tadi terjadi.
Sepatutnya kerajaan di negara Islam tidak ada dua perkara ini. Patutnya ia diharamkan sudah lama lagi. Kalau terdapat mereka yang daripada agama lain pun, mereka sepatutnya tidak dibenarkan minum arak dan berjudi. Perbuatan ini sebenarnya memang diharamkan dalam agama mereka juga.
Saya teringat satu perdebatan di Parlimen. Ada Ahli Parlimen Melayu yang mempertahankan arak dan judi. Hujahnya, ia budaya bagi orang yang bukan Islam, maka kenalah dibenarkan. Seorang Ahli Parlimen Non-Muslim bangun dan membalas: ia bukan budaya agama mereka, tetapi perbuatan orang jahat dalam kalangan mereka!
Maidah Ayat 92: Arak dan judi wajib ditinggalkan kerana ia adalah larangan Allah ﷻ dan Rasul.
وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَاحذَروا ۚ فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And obey Allāh and obey the Messenger and beware. And if you turn away – then know that upon Our Messenger is only [the responsibility for] clear notification.
(MALAY)
Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-(Nya) dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
وَأَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul
Segala hukum yang telah disebut adalah daripada Allah ﷻ yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Kena taat pada semua hukum yang melibatkan semua perkara dalam kehidupan.
وَاحذَروا
dan berhati-hatilah kamu semua
Hendaklah kita berwaspada dalam kehidupan supaya jangan ada perkara yang boleh bercanggah dengan hukum. Jangan derhaka kepada Allah ﷻ dengan menolak hukum-Nya. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada hukum halal dan haramnya. Maka hendaklah kita belajar supaya kita tahu apakah hukum sesuatu perbuatan itu.
فَإِن تَوَلَّيتُم فَاعلَموا أَنَّما عَلىٰ رَسولِنَا البَلٰغُ المُبينُ
Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami, hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
Tetapi jika berpaling juga daripada peringatan ini, kena tahulah yang tugas Rasul itu tidaklah memaksa sebaliknya tugas baginda adalah untuk menyampaikan sahaja sejelas mungkin.
Rasulullah ﷺ sudah menjalankan tugas baginda menyampaikan agama kepada manusia. Baginda tidak terkesan kalau kita tidak mengikut nasihat baginda. Yang terkesan adalah kita sendiri.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 November 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an