Tafsir Surah al-Maidah Ayat 85 – 89 (Larangan berpantang makanan)

Maidah Ayat 85: Ini adalah jenis ayat Tabshir Ukhrawi (berita gembira dengan pembalasan baik di akhirat).

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh rewarded them for what they said¹ with gardens [in Paradise] beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. And that is the reward of doers of good.

  • i.e., their admission and acceptance of the truth and commitment to Allāh’s religion (Islām).

(MALAY)

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalamnya. Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan (yang ikhlas keimanannya).

 

فَأَثٰبَهُمُ اللهُ بِما قالوا

Maka Allah memberi mereka pahala terhadap perkataan yang mereka ucapkan, 

Allah balas perkataan mereka kerana iktikad mereka pun begitu juga. Mereka bukan cakap sahaja, tapi mereka pegang dalam hati mereka apa yang mereka katakan. Dan mereka teruskan dengan masuk Islam dan beramal dengan kebaikan dan taat kepada hukum Allah. Maka Allah balas mereka dengan syurga.

 

جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, 

Allah masukkan ke dalam kebun-kebun syurga. Nikmat yang ada dalam syurga itu amat banyak sekali sampaikan tidak dapat dijelaskan. Allah cuma jelaskan yang ada sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga itu untuk kegunaan ahli syurga.

Ini memberi isyarat kepada keindahan dan kenikmatan kerana orang-orang Arab itu amat sukakan kepada air kerana tempat mereka tidak banyak air. Jadi kalau ada sungai di tempat tinggal, itu memang nikmat besar sangat.

 

خٰلِدينَ فيها

sedang mereka kekal di dalamnya.

Kalau duduk di syurga itu sekejap sahaja, tidaklah nikmat sangat. Tapi Allah janji yang mereka akan kekal di dalam syurga itu. Dan memang sesiapa yang masuk syurga akan kekal di dalamnya. Tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

 

وَذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Dan itulah balasan (bagi) orang-orang yang berbuat kebaikan

Itu adalah balasan bagi mereka yang memiliki hati yang baik. Walaupun mereka baru kepada Islam, tapi mereka itu memang sudah orang yang baik. Orang yang baik sebelum masuk Islam, mereka akan terus kekal baik selepas masuk Islam.

Begitulah kalau golongan Kristian itu sudah kenal agama Islam dan wahyu dari Allah. Akan tetapi kalau kita tidak sampaikan kepada mereka wahyu Allah ini, lalu bagaimana mereka hendak tahu? Adakah kita sudah jalankan tugas kita untuk sampaikan dakwah kepada mereka?


 

Maidah Ayat 86: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieved and denied Our signs – they are the companions of Hellfire.

(MALAY)

Dan orang-orang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.

 

وَالَّذينَ كَفَروا

Dan orang-orang kafir

Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang menerima kebenaran wahyu; bagaimana pula kalau mereka yang kufur – menutup kebenaran yang sudah sampai kepada mereka?

 

وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

serta mendustakan ayat-ayat Kami,

Dan apabila sampai wahyu Allah kepada mereka, mereka kata itu semua dusta belaka, mereka tidak mahu terima. Apa yang akan dibalas kepada mereka?

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni neraka.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan apabila dikatakan mereka ashabun jaheem, itu maksudnya mereka akan kekal dalam neraka itu, tidak keluar sampai bila-bila.

Sekian Ruku’ 11 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 87: Ini ayat untuk nafi ‘syirik amali’ (perbuatan syirik), iaitu ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan. Dan ada yang halalkan perkara yang Allah‎ ﷻ telah haramkan.

Dan perkara yang selalu berlaku adalah dalam hal pemakanan. Kita kena ingat, mana makanan yang Allah sudah halalkan, tidak boleh diharamkan dengan berpantang. Kalau seseorang itu pernah berpantang, dia kena batalkan pantangnya itu dengan serta merta – wajib dia kena makan sebagai isyarat untuk batalkan pantangnya itu.

Perkara ini perlu disentuh kerana sebelum ini di dalam ayat 82, ada disebut tentang rahib. Dalam ayat itu seperti ada pujian terhadap mereka. Dan kita pun tahu kehidupan mereka ini pelik sedikit, iaitu mereka menolak nikmat dunia. Takut ada pula yang ikut cara hidup mereka yang salah itu. Maka disentuh dalam ayat ini tentang kesalahan menolak nikmat dunia dengan mengharamkan ke atas diri.

Mengharamkan makan jenis-jenis makanan juga ada dalam masyarakat kita. Ia hendaklah ditinggalkan. Contohnya, katakanlah sebelum ini, dia telah diberikan peringatan agar tidak memakan ikan kekacang dan buluh betong hanya kerana dia berketurunan Wan atau Nik (di Kelantan). Maka, dia haruslah membatalkan pantangnya itu dengan memakan ikan kekacang dan bulu betong.

Jadi ayat ini ada kena mengena dengan berpantang. Asalnya tentang pengharaman makanan oleh orang syirik tetapi kita pun tersangkut juga dalam hal ini. Ini kerana orang Melayu kita banyak yang berpantang atas sebab-sebab tertentu – kerana bersalin, kerana mengamalkan ilmu khas, kerana keturunan dan sebagainya. Itu semua adalah perbuatan haram dan salah satu daripada syirik amali.

Kita tidak boleh berpantang kalau tanpa sebab yang haq, melainkan jika doktor sendiri yang mengatakan tidak boleh makan atas sebab kesihatan. Maka, jangan lagi kita berpantang dan ajar masyarakat kita berpantang kerana itu amalan itu boleh menyebabkan syirik amali.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not prohibit the good things which Allāh has made lawful to you and do not transgress. Indeed, Allāh does not like transgressors.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللهُ لَكُم

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita supaya jangan memandai-mandai mengharamkan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kepada kita. Pengharaman telah diletakkan dalam nas Al-Qur’an dan Hadith dan jangan kita berlebihan pula daripada yang telah ditetapkan oleh nas.

Umumnya, sekurang-kurangnya ada tiga cara sesuatu perkara yang halal diharamkan oleh manusia:

1. Kepercayaan. Dia percaya sesuatu benda itu haram.
2. Dengan kata-kata iaitu apabila seseorang mengisytiharkan yang dia tidak akan makan sesuatu jenis makanan yang halal.
3. Secara praktikal. Dia tidak percaya pun makanan itu haram, dan dia tidak cakap apa-apa pun, tetapi dia tidak makan satu jenis makanan yang halal.

Dalam kes 1 itu, kalau dia percaya sesuatu itu haram sedangkan ia halal (setelah diperiksa dengan alim ulama’), maka ini adalah perbuatan kufur kerana menentang hukum Allah ‎ﷻ.

Dalam situasi ke 2, ia juga berdosa. Ini adalah sumpah yang salah dan perlu ditamatkan. Oleh kerana dia telah bersumpah, maka dia kena batalkan sumpah itu dengan membayar kiffarah.

Dalam situasi ke 3, ia bergantung. Jika dia rasa ia adalah sesuatu yang baik bagi agamanya, maka ia berdosa (dosa bid’ah) dan perlu ditinggalkan pantang itu kerana syarak tidak memerintahkannya tetapi dia memandai buat, jadi ini adalah ghuluw dalam hal agama. Ini seperti yang dilakukan oleh sesetengah golongan tarekat. Mungkin tok guru ada suruh jangan makan binatang bernyawa untuk naik maqam. Ini adalah perbuatan mengarut.

Namun begitu, jika kerana berpantang itu atas pilihan dirinya sendiri kerana dia tidak suka rasanya, atau kerana ia tidak baik bagi kesihatannya, maka ia tidak mengapa. Contohnya orang yang ada darah tinggi digalakkan supaya jangan memakan ‘binatang berkaki empat’.

Hukum asal, segala perkara dalam dunia ini adalah halal melainkan ada dalil untuk mengharamkannya. Nas hanya mengharamkan beberapa perkara sahaja. Selain daripada itu, hukum tentangnya adalah harus. Jadi, lebih banyak perkara yang halal daripada yang haram.

Malangnya, ada orang kita yang suka mengharamkan banyak perkara padahal tidak ada nas pun. Senang-senang sahaja mereka mengharamkan sedangkan ia halal. Ingatlah yang Islam bukanlah untuk mengharamkan sahaja. Itu bukanlah mentaliti Islam. Allah ‎ﷻ hendak memudahkan hidup kita di dunia dan ini dan perkara yang diharamkan adalah kerana ia mendatangkan keburukan kepada kita.

Ada yang hendak menolak nikmat dunia atas sebab hendak menjaga hati kononnya. Takut terpedaya dengan nikmat dunia. Namun ini adalah ghuluw. Nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah untuk kita nikmati. Kita boleh menikmati nikmat dunia Allah dan kemudian kita bersyukur. Syukur itu tinggi nilainya, ia lebih bernilai daripada nikmat yang sedang diterima itu. Allah ‎ﷻ suka kita menikmati pemberian-Nya dan kemudian bersyukur.

Yang mana Allah ‎ﷻ telah haramkan, maka haramlah untuk kita, dan mana yang tidak disebut, maka halallah untuk kita. Dan kalau ada perkara yang nampak samar-samar, maka terpulang kepada kita. Kita kena nilai dengan akal yang waras dan lihatlah kepada kebaikan dan keburukan perkara itu. Kalau setelah kita kaji ia  adalah buruk untuk kita, maka janganlah kita makan.

 

وَلا تَعتَدوا

dan janganlah kamu melampaui batas. 

Dan jangan melampau batas syariat dengan mengharamkan yang halal dan halalkan yang haram.

Daripada Masruq yang menceritakan, “Ketika kami sedang berada di rumah Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه, dihidangkan kepadanya air susu perahan. Lalu ada seorang lelaki (daripada para hadirin) yang menjauhi. Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata kepadanya, “Datanglah!” Lelaki itu berkata, ‘Sesungguhnya aku telah mengharamkan diriku meminumnya.’ Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, ‘Datanglah dan minumlah, dan bayarlah kifarat sumpahmu,’ lalu Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه membacakan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kalian. (Al-Maidah: 87), hingga akhir ayat. Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Imam Hakim telah meriwayatkan atsar ini di dalam kitab Mustadraknya melalui jalur Ishaq ibnu Rahawaih, daripada Jarir, daripada Mansur dengan sanad yang sama. Kemudian Imam Hakim mengatakan bahwa atsar ini sahih dengan syarat Syaikhain (Bukhari dan Muslim), tetapi keduanya tidak mengetengahkannya.

Bukan dalam perkara makan sahaja kita tidak boleh melampau, tetapi dalam banyak perkara lain. Ini kita telah sentuh di dalam perbincangan surah ini tentang ‘ghuluw’.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan daripada Siti Aisyah رضي الله عنها bahawa pernah ada segolongan mereka dalam kalangan sahabat Rasulullah ﷺ bertanya kepada isteri-isteri Nabi ﷺ tentang amal perbuatan Nabi ﷺ yang bersifat peribadi. Maka sebahagian daripada para sahabat itu ada yang berkata, “Aku tidak akan makan daging.” Sebahagian yang lain mengatakan, “Aku tidak akan mengahwini wanita.” Dan sebahagian lagi mengatakan, “Aku tidak tidur di atas tilam.”Ketika hal itu sampai kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda:

“مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَقُولُ أَحَدُهُمْ كَذَا وَكَذَا، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأَنَامُ وَأَقُومُ، وَآكُلُ اللَّحْمَ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي”.

Apakah gerangan yang dialami oleh kaum, seseorang daripada mereka mengatakan anu dan anu, tetapi aku puasa, berbuka, tidur, bangun, makan daging, dan berkahwin dengan wanita. Maka barang siapa yang tidak suka dengan sunnah (tuntunan)ku, maka dia bukan daripada golonganku. Sahih Muslim (1401)

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tidak suka perbuatan yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Malangnya, ramai yang buat begitu. Dan apa yang selalu terjadi adalah dalam pemakaian ‘pantang’. Ini termasuk di dalam perkara yang melampau batas.

Selalunya selepas bersalin, bidan akan beritahu kepada wanita yang baru bersalin, beberapa jenis makanan yang pantang untuk dimakan. Dan kebanyakan orang kita akan ikut sahaja tanpa usul periksa. Ini juga termasuk dalam pengharaman kepada perkara yang halal.

Mereka kata ia bukanlah ‘haram’, tetapi ‘pantang’ sahaja. Namun itu cuma penggunaan terma yang berbeza, dari segi hakikatnya, ia tetap pengharaman kepada perkara yang halal. Dan ini termasuk dalam perkara yang melampau.

Jika pantang itu tidak dapat dijelaskan, tetapi hanya cuma mengikut kata-kata orang sahaja, maka ini memerlukan pemerhatian yang lebih. Mungkin ada yang alergik dengan sesuatu pemakanan itu, tetapi tidaklah semestinya semua orang alergik pula. Ini kerana lain badan, lain pula reaksi penerimaan sesuatu pemakanan itu. Kita tidak boleh pukul rata dengan menyenaraikan semua jenis makanan pantang itu sesuai untuk semua.

Contoh nasihat berpantang yang biasa diberikan ialah “Jangan makan telur/ayam/ikan nanti gatal dan luka bentan”. Jika hendak diikutkan, makanan yang disenaraikan itu adalah sumber protein. Maka jika mahu mengelakkan daripada memakan makanan tersebut adalah kurang logik malah mungkin melambatkan proses luka bersalin kerana badan wanita yang baru lepas bersalin amat memerlukan protein. Seperti juga terdapat larangan untuk ibu-ibu dalam pantang agar tidak minum air dengan kadar yang banyak sebab bimbang akan mengakibatkan urat saraf kembang. Ini juga adalah pantang larang yang tidak berasas kerana ketika dalam pantang lah badan wanita memerlukan air yang lebih terutama badan ibu perlu menghasilkan susu bagi keperluan bayi yang baru dilahirkan.

Jika pantang itu boleh dijelaskan dari sudut akal, maka ia boleh diterima. Mungkin melalui pemerhatian doktor atau pengalaman individu itu sendiri yang mengatakan ia tidak elok untuk kesihatan wanita yang baru bersalin, atau mungkin membawa kesan kepada bayi yang disusukan, maka bolehlah jika kita tidak memakannya. Apa-apa pun, yang penting haruslah menjaga pemakanan yang seimbang. Sedar mana yang baik dan tidak untuk badan kurniaan Allah ‎ﷻ ini. Jangan keterlaluan di dalam berpantang sehingga mengundang murka Allah ‎ﷻ pula nanti.


 

Maidah Ayat 88: Sebaliknya Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan perkara yang Allah ‎ﷻ telah halalkan kerana Allah ‎ﷻ telah menjadikannya untuk kegunaan kita. Maka ia adalah nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan hendaklah kita gunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ sudah berikan kepada kita, bukan?

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And eat of what Allāh has provided for you [which is] lawful and good. And fear Allāh, in whom you are believers.

(MALAY)

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

 

وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللهُ حَلٰلًا طَيِّبًا

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepadamu,

Kita kena iktikad bahawa semua makanan adalah halal dan boleh dimakan kecuali kalau diharamkan dengan nas. Ia mencakupi apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah halalkan dan baik dari segi pemilikan. Maksudnya, kita memiliki makanan itu dengan cara baik, bukan barang curi. Dan keduanya, hendaklah disembelih dengan cara benar.

Ayat ini tidaklah memberitahu kepada kita yang kita mesti makan semua makanan yang halal, kerana mungkin juga kita tidak sukakan makanan itu. Kadang-kadang ada makanan halal tetapi tidak kena dengan tekak kita, maka kita tidak ada selera untuk memakannya. Mungkin kerana kita tidak biasa makan semenjak kecil lagi. Jika situasi begitu tidak mengapalah kalau kita tidak makan, cuma janganlah kita kata ia tidak boleh dimakan.

Satu lagi hukum yang kita kena tahu, kalau selama hari ini kita pernah berpantang atas sesuatu makanan, maka wajib kena makan walaupun sekali. Itu adalah untuk memutuskan pantang kita itu. Makan sedikit pun tidak mengapa.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa makanan yang halal adalah baik untuk kita. Dalam masa yang sama, ada makanan yang halal, tetapi tidak baik untuk kita iaitu jika kita ada penyakit, maka akan ada jenis-jenis makanan yang kita tidak boleh makan setelah dinasihati oleh doktor.

Ataupun, kalau kita makan makanan itu, terus kita sakit. Maka, tidak mengapalah kalau kita tidak mahu makan. Ia tetap halal, dan orang lain boleh makan makanan itu, cuma kita sahaja yang tidak boleh makan.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ

dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

Bertaqwa itu bermaksud jaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan kepada kita. Jangan tambah dan jangan kurang. Itu pun kalau kamu rasa kamu beriman kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bahawa taqwa dan iman itu tidak sama.

Orang yang beriman, belum tentu lagi dia bertaqwa kerana iman itu setakat percaya sahaja, tetapi taqwa itu maksudnya dia taat sekali kepada hukum yang Allah‎ ﷻ telah tetapkan.


 

Maidah Ayat 89: Allah ‎ﷻ yang buat ketetapan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Dan kita sebagai hamba tidak ada hak untuk menukar ketetapan Allah ‎ﷻ kerana perbuatan menghalalkan dan mengharamkan adalah hak Allah ‎ﷻ. Jangan kita mengambil tugas Allah ‎ﷻ pula.

Dan kalau kita buat juga, kita telah kufur atas ‘syirik amali’ – kita telah mengamalkan sesuatu yang syirik – kita telah mengambil hak Allah ‎ﷻ, maksudnya kita telah mensyirikkan Allah ‎ﷻ.

Sebelum ini ayat tentang tidak boleh mengharamkan memakan perkara yang halal. Jadi, mungkin ada yang telah bersumpah untuk tidak makan sesuatu makanan. Atau dia telah bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang harus. Jika kita telah bersumpah, maka kita mestilah menunaikan sumpah itu. Namun hanyalah dalam perkara yang harus sahaja.

Maknanya tidak boleh kita bersumpah untuk melakukan perkara yang haram. Dan kalau kita sumpah dan langgar sumpah itu, dikenakan membayar kaffarah. Kaffarah adalah denda yang kita bayar untuk menutup dosa. Istilah ini ramai yang agak keliru kerana terkeliru dengan ‘kifarah’.

Kifarah bererti balasan Allah  ﷻ ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan. Kaffarah dari sudut bahasa (al-Kafru) bermaksud ‘menutup’. Dinamakan kaffarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah ‎ﷻ.

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh will not impose blame upon you for what is meaningless¹ in your oaths, but He will impose blame upon you for [breaking] what you intended of oaths. So its expiation² is the feeding of ten needy people from the average of that which you feed your [own] families or clothing them or the freeing of a slave. But whoever cannot find [or afford it] – then a fast of three days [is required]. That is the expiation for oaths when you have sworn. But guard your oaths.³ Thus does Allāh make clear to you His verses [i.e., revealed law] that you may be grateful.

  • i.e., what is sworn to only out of habit of speech or what one utters carelessly without true intent.
  • i.e., that for a deliberate oath.
  • i.e., do not take oaths indiscriminately or swear to do that which is sinful, requiring expiation.

(MALAY)

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

 

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud

Allah ‎ﷻ tidak menghukum manusia dengan sumpahan yang tiada niat. Ada orang yang cakap sahaja di mulut tetapi dia tidak berniat dalam hati. Ini adalah kerana kebiasaan orang Arab yang suka bersumpah, tetapi mereka tidak berniat sangat. Itu hanya cakap-cakap kosong sahaja. Ini juga telah disebut dalam Baqarah:225.

Sebagai contoh, mereka kata begini: “Wallahi, aku takkan bercakap dengan kamu lagi”; “Wallahi aku akan bunuh kamu….”; “Wallahi, aku lapar sangat jadi aku nak makan semua atas meja ini…” dan sebagainya. Ia bergantung kepada niat. Mungkin dia cakap itu semasa dia marah dan tidak berfikir apa yang dia cakap.

Ini tidak sama dengan ‘sumpah palsu’. Sumpah palsu sebagai contoh dia telah melakukan sesuatu, tetapi dia bersumpah dia tidak melakukannya. Tidak ada kaffarah bagi hal ini. Dia kena bertaubat kerana menipu sedangkan dia tahu dia telah menipu.

Dan jika dia tersilap maklumat dan bersumpah atas maklumat itu, pun tidak ada kaffarah. Sebagai contoh, ada yang datang dan beritahu sesuatu kepadanya. Dia sangka ia benar dan dia bersumpah kata ada orang datang dan beritahu aku begini, begini. Kemudian baru dia tahu yang maklumat itu tidak benar. Ini juga tidak ada kaffarah.

 

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ

tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja,

Tetapi Allah‎ ﷻ akan menghukum di atas niat manusia yang sengaja. Yang dia cakap dengan mulut, dan dia tekad dalam hati untuk menjalankannya. Antaranya yang orang kita biasa lakukan adalah bernazar.

Nazar itu sebenarnya tidak baik, dan tidak perlu dilakukan kerana ia merupakan sifat kedekut dengan Allah ‎ﷻ (kalau Allah ‎ﷻ beri apa yang dia hendak, baru dia akan buat itu dan ini.) Akan tetapi, kalau dia sudah bernazar, maka dia mesti menunaikannya. Sudah menjadi wajib baginya.

Masalahnya, banyak terjadi apabila perkara yang dia minta itu Allah ‎ﷻ berikan. Waktu itu mulalah ada hal yang tidak dapat dilakukan. Masa berjanji dia sedap mulut sahaja, tetapi sekarang mulalah sibuk hendak ‘lari’ daripada membayar janji itu dahulu. Ada perkara yang memang dia tidak mampu buat.

Maka ini adalah jalan penyelesaian bagi nazarnya dahulu. Dia kena bayar kaffarah sumpahnya semasa bernazar dahulu.

 

فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ

maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, 

Mungkin selepas dia telah bersumpah, dia menyesal kerana berkata begitu. Maka dia hendak melanggar sumpahnya itu, tidak mahu meneruskannya lagi. Maka kalau melanggar sumpah, dia dikenakan membayar kaffarah sebagai denda. Salah satu cara adalah memberi makan sepuluh orang miskin. Ada pendapat yang mengatakan dua kali makan.

 

مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم

iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, 

Iaitu memberi makanan daripada jenis yang biasa diberi makan kepada keluarga sendiri. Kalau nasi, nasi lah, kalau roti, roti lah. Kalau biasa makan dengan lauk, kena beri dengan lauk sekali. Kalau biasa makan beras gred A, maka beri makan beras gred A lah juga. Dia boleh sediakan makanan itu, atau dia boleh memberi wang sebagai ganti kepada makanan itu.

 

أَو كِسوَتُهُم

atau memberi pakaian kepada mereka

Atau, bagi pakaian kepada mereka yang miskin, sepertimana pakaian yang diberi kepada keluarga sendiri. Walaupun tidak disebut sepertimana pakaian keluarga sendiri, tetapi ia boleh difahami. Berapa orang? Sepuluh orang juga.

Ada juga pendapat yang mengatakan pakaian yang cukup iaitu yang menutup seluruh badan dan kaki (maknanya sepasang pakaian).

 

أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ

atau memerdekakan seorang budak.

Atau dia boleh memerdekakan hamba. Kalau hamba, bukanlah sepuluh orang, tetapi seorang sahaja.

Tiga pilihan di atas itu adalah jika dia mempunyai harta. Maka bolehlah dipilih daripada salah satu pilihan di atas. Bagaimana kalau seorang yang hendak melanggar sumpahnya itu tidak mempunyai harta?

 

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ

Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari.

Kalau tidak ada harta, gantinya adalah puasa tiga hari. Tetapi hendaklah cuba membayar dengan harta dahulu. Jika tidak boleh, barulah dengan berpuasa. Pendapat ulama’ seperti Imam Abu Hanifah رحمه الله mengatakan yang ia perlulah dilakukan berturutan.

 

ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم

Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah

Itulah empat jenis pilihan penebus kesalahan langgar sumpah. Kalimah حَلَفتُم (sumpah-sumpahmu) bermaksud apabila seseorang itu telah membuat komitmen di atas sumpahnya, iaitu dia benar-benar berniat atas sumpah itu, bukan cakap main-main.

 

وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم

Dan jagalah sumpahmu.

Jangan tinggalkan sumpah itu tanpa membayar kaffarah.

Yang sebaiknya, hendaklah jaga sumpah, jangan langgar. Kalau sudah bersumpah, mestilah menunaikannya. Ia bukanlah perkara main-main.

Dan lagi satu, dari awal lagi, jangan suka membuat sumpah yang akan menyusahkan diri sendiri juga nanti. Jangan kerana mulut, badan binasa. Mulut tu kena jagalah sikit. Kalau sudah kena bayar kaffarah itu, jangan marahlah sebab ia datang pun daripada kamu juga.

Jadi jangan senang hendak bernazar. Sebenarnya kita sepatutnya buat ibadah, kemudian baru kita berdoa. Bukannya nazar kalau diberikan sekian dan sekian, baru hendak buat ibadah.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur

Kita kena bersyukur kerana Allah ‎ﷻ sudah beri jalan untuk langgar dan untuk keluar daripada sumpah kita. Walaupun kena bayar kaffarah, tetapi itu lebih baik daripada kita tidak membuat apa-apa dan kemudian di akhirat nanti kita dihukum sebab melanggar sumpah kerana jika langgar sumpah, Allah ‎ﷻ akan murka. Sumpah bukan perkara yang boleh dibuat main.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s