Ayat 178: Kita sudah masuk bahagian kedua Surah Baqarah. Bahagian pertama sebelum ini tentang tauhid dan risalah. Bahagian kedua ini sampai akhir adalah tentang umur munazimah dan umur muslihah dan juga ada tentang jihad dan infak.
Maka, selepas ini, dalam Surah Baqarah ada empat perkara yang akan dibincangkan:
1. Umur muslihah
2. Umur munazimah
3. Jihad
4. Infak
Ayat yang kita akan baca ini adalah jenis yang dipanggil umur munazimah: iaitu cara-cara untuk mendapatkan kesempurnaan hidup di antara manusia. Ayat ini berkenaan dengan hukum Qisas dan Diyat. Bagi orang Yahudi, hanya ada Qisas sahaja dalam hukum agama mereka. Kepada Nasara, hanya ada Diyat sahaja.
Dalam ayat 177 sebelum ini, ia adalah tentang taqwa – taqwa itu menjaga diri daripada melakukan kesalahan yang tidak disukai Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar bagaimana menjaga hubungan dengan masyarakat pula. Ia amat penting untuk dijaga supaya tidak terjadi pembunuhan yang berleluasa dalam masyarakat.
Sebenarnya, kalau manusia telah menerima ayat 177 (Ayatul Birr) itu, tidaklah perlu dijalankan hukum seperti hukum Qisas ini. Namun Allah ﷻ tahu bahawa manusia ini banyak jenis. Ada manusia yang banyak masalah maka berlaku juga pembunuhan di kalangan manusia. Maka kena ada hukum kalau terjadi pembunuhan.
Ayat 178 – 188 adalah berkenaan hukum Qisas, Wasiat, Rasuah dan lain-lain.
Umur munazimah dalam Surah Baqarah ini dimulakan dengan hal kehakiman. Sepatutnya umat Islam tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun ada juga yang terjadi kerana ada yang degil dan sebagainya. Maka kena ada sistem untuk menghentikan perkara itu daripada berlarutan sampai boleh menyebabkan peperangan.
Maka kena ada pengadilan yang dapat memuaskan hati manusia dan ia mesti adil supaya tidak berpanjangan lagi perkara itu. Kalau tidak adil, masalah akan berpanjangan kerana akan ada yang tidak berpuas hati dan mahu membalas dendam. Apabila itu berlaku, ada yang membalas dendam lebih daripada yang sepatutnya. Dari seorang sahaja yang mati, boleh sampai terjadi dua orang atau lebih akan mati apabila ada yang balas dendam.
Dari berkelahi satu kampung boleh menjadi satu negeri bermasalah. Kalau jadi begitu, negara kita sendiri hancur dari dalam, tidak perlu orang kafir serang kita pun. Hal duit manusia boleh maafkan lagi, tetapi bab nyawa manusia sanggup mati untuk mempertahankan dan membalas dendam.
Maka kena ada undang-undang yang adil. Yang penting, hujungnya kita kena bersatu supaya kita dapat menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ ٱلقِصَاصُ فِى ٱلقَتلَىۖ ٱلحُرُّ بِٱلحُرِّ وَٱلعَبدُ بِٱلعَبدِ وَٱلأُنثَىٰ بِٱلأُنثَىٰۚ فَمَن عُفِىَ لَهُ ۥ مِن أَخِيهِ شَىءٌ فَٱتِّبَاعُۢ بِٱلمَعرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيهِ بِإِحسَـٰنٍ۬ۗ ذَٲلِكَ تَخفِيفٌ مِّن رَّبِّكُم وَرَحمَةٌ۬ۗ فَمَنِ ٱعتَدَىٰ بَعدَ ذَٲلِكَ فَلَهُ ۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ
O you who have believed, prescribed for you is legal retribution for those murdered – the free for the free, the slave for the slave, and the female for the female. But whoever overlooks from his brother anything, then there should be a suitable follow-up and payment to him with good conduct. This is an alleviation from your Lord and a mercy. But whoever transgresses after that will have a painful punishment.
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
Wahai orang-orang yang beriman;
Kita juga termasuk dalam ayat ini kerana kita adalah orang-orang yang beriman. Maka mereka yang mengaku beragama Islam, kena ikuti undang-undang ini.
Ia juga memberitahu kita yang undang-undang ini hanya akan diterima pakai oleh mereka yang benar-benar beriman sahaja kerana kalau tidak beriman, mungkin mereka rasa undang-undang rekaan manusia yang lebih baik daripada apa yang Allah ﷻ telah tetapkan.
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ
difardhukan ke atas kamu hukum Qisas;
Inilah undang-undang keadilan. Qisas ini termasuk dalam salah satu hukum hudud. Ia adalah tentang bunuh balas yang sama rata. Kena ada persamaan dari segi balas bunuh. Ini ada diterangkan selepas ini. Maklumat lanjut kena belajar fiqah di mana akan diterangkan dengan panjang lebar.
فِي الْقَتْلَى
dalam kes pembunuhan;
Ayat ini menerangkan tentang Qisas dengan cara pendek sahaja, oleh itu bagaimana cara menjalankannya, Nabi ﷺ telah menjelaskan mana yang tidak jelas. Kita juga boleh lihat bagaimana amalan para sahabat untuk kita lebih memahaminya. Dan ulama’ telah banyak beri penjelasan bagaimana perkara ini dijalankan di negara yang hendak mengamalkan undang-undang Islam.
الْحُرُّ بِالْحُرِّ
Orang merdeka dengan merdeka;
Kalau membunuh itu seorang yang merdeka, maka dibalas bunuh orang yang merdeka itu juga. Ia bukan bermakna, kalau dibunuh seorang yang merdeka daripada satu kaum, kena cari seorang yang merdeka dari kaum yang membunuh itu juga. Bukanlah begitu, sebaliknya kena cari orang yang membunuh itu.
Ini kerana kalau kita lihat dari perkataan yang digunakan, ada tambahan ال sebelum setiap perkataan itu. Ini bermaksud orang yang spesifik. Ia adalah orang yang sama. Tidak boleh kalau seorang yang merdeka membunuh seseorang, dia suruh diambil nyawa seorang hamba pula. Atau diganti dengan orang lain pula. Entah yang membunuh itu ketua kaum dan dia boleh paksa orang lain untuk jadi galang ganti dia pula. Ini tidak boleh sama sekali.
Ini penting untuk diketahui kerana ini pernah terjadi semasa zaman Jahiliyyah dulu. Yang membunuh seorang merdeka, tetapi apabila tiba masa balas bunuh, dia serahkan nyawa hamba pula. Tidak pasal-pasal, hamba yang tidak bersalah itu yang dibunuh.
وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ
Hamba dengan hamba;
Tidak boleh diganti dengan hamba yang lain. Kena diambil nyawa hamba yang membunuh juga.
وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ
Perempuan dengan perempuan;
Kalau yang membunuh itu seorang perempuan, perempuan itu yang perlu dibunuh kembali.
Dalam ayat ini, ada yang keliru. Ada yang sangka, kalau yang dibunuh itu orang merdeka, maka yang kena dibunuh orang merdeka pula. Bukan begitu. Takkan kalau yang membunuh itu seorang hamba, dan yang dibunuh pula orang merdeka, kena cari balas bunuh orang merdeka pula. Yang kena bunuh adalah hamba yang membunuh itulah.
Hukum Qisas ini akan memberi kepuasan kepada ahli keluarga yang dibunuh. Adalah penting untuk diberi pilihan kepada ahli keluarga untuk membalas balik kerana dengan cara itu, kerana ia boleh memuaskan hati ahli keluarga. Kerana pembunuh ahli keluarganya dibunuh balik. Ini adalah fitrah dalam diri manusia. Kalau tidak dibenarkan, maka akan tersimpan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga itu.
Malangnya, inilah yang terjadi dalam undang-undang bukan Islam pada hari ini. Ada yang telah disahkan telah membunuh, tetapi mereka tidak dibunuh, mereka hanya dipenjarakan sahaja (atau dikenakan denda sahaja). Apabila ini berlaku, tidak akan rasa aman dalam diri keluarga mereka yang dibunuh. Itu bukan keadilan.
Yang disebut di atas adalah cara bunuh balik atau balas bunuh. Islam ada tiga cara bagaimana satu pembunuhan itu dibalas.
Pertama, dengan bunuh balik.
Kedua, dengan bayar diyat.
Ketiga, dengan memberi maaf.
Mana satukah yang hendak dipakai? Keputusan ada di tangan ahli keluarga.
فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ
Barangsiapa yang mendapat kemaafan daripada keluarga waris si mati apa pun;
Apabila telah disabitkan kesalahan pembunuh itu, hakim akan tanya kepada waris, apakah yang mereka hendak buat. Ada waris yang memberi maaf kepada pembunuh, maknanya diberi maaf daripada diambil nyawanya. Pembunuh itu memang sudah bunuh orang, tetapi keluarga yang dibunuh tidak memilih untuk balas bunuh tetapi hendak meminta gantirugi ataupun dimaafkan terus. Ada maaf seratus peratus dan ada maaf yang kena bayar denda.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan lafaz أَخِيهِ (saudaranya) kerana orang Islam adalah saudara seagama. Oleh kerana memikirkan yang kita semua satu agamalah yang menyebabkan waris si mati itu boleh beri maaf.
Itu kalau tentang hilang nyawa. Dalam Hukum Qisas juga, ada balas balik yang tidak melibatkan kehilangan nyawa. Sebagai contoh dalam feqah telah ditetapkan, kalau kemalangan dan terputus jari satu – lima ekor unta perlu dibayar oleh penyebab kemalangan. Kalau tidak, jarinya pula yang akan dipotong.
Dan kalau gigi sebatang pun lima ekor unta juga. Maknanya semua telah ada harga yang diletakkan oleh undang-undang Islam. Semua diceritakan dalam kitab hadith dengan terperinci. Dan dijelaskan oleh ulama’ feqah. Kalau hamba abdi, diyat yang dikenakan adalah 50% daripada diyat orang merdeka.
Maknanya, kita kena berjaga-jaga dalam perjalanan kehidupan kita supaya jangan sampai kita menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Kerana kita kena balas balik atau kena denda kalau kita tsabit menyebabkan kemalangan itu. Maknanya, tidaklah lepas begitu sahaja. Bila kita tahu ada denda yang tinggi, tentulah kita akan berhati-hati dalam tindak tanduk kita.
Kalau orang yang melakukan kesalahan itu tidak dapat bayar dengan itu, keluarga dia yang kena bayar. Jadi, ahli keluarga pun kena ambil tahu keadaan saudara mara mereka. Sebab mereka juga kena bertanggungjawab di atas perbuatan ahli keluarga mereka. Namun sekarang kerana cara ini tidak diamalkan, orang kita tidak buat kisah apa yang dilakukan oleh ahli keluarga mereka. Itu kerana kita tidak faham undang-undang Islam.
فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ
maka hendaklah disusuli dengan cara makruf;
Kemaafan itu hendaklah disusuli dengan cara yang makruf. Maka wali si mati itu kena susuli kemaafan itu dengan tuntutan yang makruf. Jangan maafkan tetapi tuntut ganti rugi 200 juta. Mati hidup balik pun pembunuh itu tidak boleh bayar.
Makruf itu bermaksud tuntutan itu kena sesuai dengan pembunuh. Dan kena sesuai dengan masyarakat. Kena tengok sama ada dia boleh bayar atau tidak. Antara sebab dikenakan bayaran ganti rugi itu adalah supaya pembunuh itu menyesal dan tidak melakukannya lagi. Tapi kalau dia memang tidak mampu bayar, memang tidak ke mana.
وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحسَـٰنٍ۬ۗ
dan hendaklah ditunaikan pembayaran kepada penerima sebaik-baiknya;
Pembunuh itu pula kena tunaikan dengan cara ihsan. Kena bayar dengan cara baik. Dia pun sudah setuju hendak bayar jadi jangan tidak beri pula. Dan jangan dia beri dengan cara tidak sepatutnya, dengan cara kurang ajar, bayar pakai duit 5 sen dan sebagainya.
Pembunuh itu yang kena bayar sendiri kalau dia mampu. Mungkin waris si mati minta sebanyak seratus ekor unta dalam harga 1.5 Juta Ringgit. Iaitu bagi yang mati tersalah bunuh. Seperti kemalangan, 50 ekor dari 100 ekor unta mesti unta betina yang bunting. Kalau tidak boleh dibayar, kena ambil daripada kalangan lelaki dari keluarga dia yang lelaki. Bermula dengan ayah, kemudian adik beradik lelaki, atuk, bapa saudara dan seterusnya.
Kalau tidak boleh bayar, kena masuk jel semua sekali. Kena cari duit untuk bayar daripada keluarga lelaki termasuk sepupu sepapat pun. Kena kutip cari sampai cukup. Asalkan lelaki, mereka akan kena bayar.
Maka dengan ini golongan lelaki keluarga itu pun akan beringat supaya jangan jadi lagi sebab mereka kena sekali bayar. Mereka kena berjaga-jaga dengan ahli keluarga mereka kerana mereka tahu yang kalau ada ahli keluarga mereka buat pasal, mereka pun terbabit susah sama.
ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَّبِّكُمْ
Yang demikian itu adalah keringanan dari Tuhan kamu;
Makna Allah ﷻ ‘meringankan’ adalah diberi pilihan kedua dan ketiga untuk keluarga yang dibunuh. Mereka boleh memilih untuk mengambil diyat atau mereka boleh memaafkan terus kerana cara yang sepatutnya adalah dengan balas bunuh. Namun Allah ﷻ beri kelonggaran dan keringanan.
وَرَحْمَةٌ
dan sifat belas;
Kerana hukum asalnya adalah kena bunuh balik tetapi Allah ﷻ memberikan jalan keluar kerana sifat Rahmah-Nya. Allah ﷻ sayang kepada makhlukNya dan banyak Allah ﷻ permudahkan dalam soal hukum hakam.
فَمَنِ اعْتَدَىٰ
Sesiapa yang melampaui batas;
Ini terjadi kalau selepas keluarga itu meminta diyat, dan apabila sudah dibayar diyat itu, kemudian dibunuh juga pembunuh itu. Jadi, pembunuh kedua ini tidak ada hukum diyat kepadanya. Maknanya, dia kena bunuh balas sahaja kerana dia telah melampaui batas.
بَعْدَ ذَٰلِكَ
selepas keputusan itu
Jangan melampau batas selepas keputusan sudah dibuat dan semua pihak telah setuju. Maka kena dapatkan persetujuan daripada semua pihak. Kerana itu, keputusan untuk tidak balas bunuh mestilah didapatkan daripada semua ahli keluarga. Kalau seorang sahaja tidak setuju, maka ia tidak akan terjadi.
فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ
bagi mereka azab yang pedih
Sesiapa yang tidak ikut keputusan selepas itu akan mendapat azab yang pedih. Jangan setelah keputusan dibuat, pergi bunuh pula pembunuh asal itu.
Ayat 179: Sekarang Allah ﷻ bertitah kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas kerana tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan dalam negara. Dan keamanan negara dapat ditegakkan apabila hukum Allah ﷻ dijalankan.
Allah ﷻ beritahu yang ada kebaikan di dalam hukum Qisas. Malangnya, kerana kita tidak ikut saranan Allah ﷻ inilah yang menyebabkan institusi negara menjadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan kepada mereka.
وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ
And there is for you in legal retribution [saving of] life, O you [people] of understanding, that you may become righteous.
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ
Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;
Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh hidup yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Begitulah indahnya hukuman yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Namun guru sekarang kebanyakannya hanya bercerita tentang hukum puasa, salat, wudh’u dan sebagainya. Hanya berulang-ulang diajar bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Maka ramai yang jahil akan bab ini.
Maknanya masyarakat kita banyak tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid sangka mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.
Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan Pemaafan yang utama. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut untuk mengambil nyawa orang lain. Jadi kerajaan jangan terus pergi kepada Diyat dan minta ahli keluarga maafkan terus. Mereka hendaklah diberi pilihan bunuh si pembunuh.
Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan.
Oleh itu, Allah ﷻ menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, namun dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.
يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ
wahai orang-orang yang berfikiran waras
Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini. Kamu telah dinaikkan jadi pemimpin maka kenalah gunakan langkah bijak amalkan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.
Allah ﷻ telah beri banyak pengajaran dan hukum kepada kita supaya kita ambil tahu. Tujuannya supaya kita dapat menjaga hukum dan dengan itu kita dapat menyelamatkan diri kita dan negara daripada porak peranda.
Ayat 180: Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sedikit kesulitan dengan ayat ini kerana ada ulama’ berpendapat yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan. Ia adalah tentang Hukum Wasiat.
Apabila terjadi kematian, antara perkara yang penting yang perlu diberi perhatian adalah tentang pembahagian harta pusaka dan tentang wasiat. Ini penting untuk menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta.
Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Al-Qur’an. Dalam ‘ayatul birr’, ia adalah tentang individu (apa yang individu kena buat). Kemudian dalam Qisas, ia adalah tentang menjaga keamanan negara. Al-Qur’an menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, daripada individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang situasi yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.
كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا ٱلوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ وَٱلأَقرَبِينَ بِٱلمَعرُوفِۖ حَقًّا عَلَى ٱلمُتَّقِينَ
Prescribed for you when death approaches [any] one of you if he leaves wealth [is that he should make] a bequest for the parents and near relatives according to what is acceptable – a duty upon the righteous.
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.
كُتِبَ عَلَيْكُمْ
Ditetapkan ke atas kamu
Ia adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini.
إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ
ketika telah sampai (tanda-tanda) kematian salah seorang dari kamu,
Iaitu apabila sudah sampai isyarat-isyarat hendak mati. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah. Maka wasiat mesti dilakukan sebelum mati.
إِنْ تَرَكَ خَيْرًا
jika dia ada meninggalkan harta,
Selalunya, seseorang itu mempunyai sedikit sebanyak harta yang telah dikumpulkannya. Harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan mengikut apa yang telah diajar oleh Allah ﷻ, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga.
Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali. Maka kena berhati-hati dalam hal harta juga.
الْوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ
hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya
Jika dia akan meninggalkan harta, dia kena pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.
Ini terjemahan pertama ayat ini: seseorang yang hampir mati kena wasiat supaya hartanya dibahagikan mengikut faraid. Ini kerana penerima pusaka (ahli keluarga) tidak boleh menerima wasiat. Maka dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu mengikut hukum Faraid.
Jangan pula ikut cara lain seperti pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.
وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ
dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang makruf;
Ayat ini adalah antara ayat yang dikatakan telah dimansukhkan kerana ada ayat lain yang berkata wasiat kepada penerima pusaka sudah tiada kerana telah dimansukhkan dengan ayat yang lain. Ini kerana ibu bapa memang akan terima pusaka pun. Ayat ini yang mula-mula diturunkan sebelum ayat yang mengatakan penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat.
Namun begitu, ayat ini masih boleh digunakan jikalau wasiat itu ditujukan kepada ahli keluarga yang bukan Islam kerana jikalau ada antara ahli keluarga yang bukan Islam, mereka tidak berhak menerima pusaka daripada orang Islam. Tetapi kalau anak yang telah masuk Islam hendak memberikan wasiat kepada ahli keluarganya yang tidak Islam, masih boleh lagi iaitu dengan cara wasiat.
Maka, mansukh ayat itu adalah secara teknikal sahaja. Sekarang pun ada lagi kes seperti ini. Masih banyak yang masuk Islam daripada keluarga Cina atau Hindu atau agama lain. Maka mereka boleh menggunakan ayat ini untuk memberikan wasiat kepada ahli keluarga mereka.
Jadi, ini adalah tafsiran kedua bagi ayat ini. Dua tafsir ini sahaja yang ada. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat (kena pesan bagi ingat) supaya ahli keluarga ikut Hukum Faraid.
Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir, masih boleh wasiat harta kepada mereka. Namun kena ingat yang ia hanya boleh diwasiatkan kepada asbabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tetapi tidak boleh terima disebabkan berlainan agama. Janganlah wasiat kepada orang lain pula.
Ada juga pendapat yang kata boleh wasiat kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, kepada anak tiri, anak angkat, malah kepada orang lain pun. Mungkin dia hendak beri kepada mana-mana persatuan contohnya.
Perkataan لْمَعْرُوفِ bermaksud boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, namun setakat 1/3 dari keseluruhan hartanya. Tidak boleh lebih dari itu. Ini difahami dari hadis.
Penerima pusaka tidak boleh terima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah kerana hukum pembahagian harta pusaka sudah ada dalam ayat Al-Qur’an yang lain.
Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak mengikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Sebagai contoh, ada negeri yang mengamalkan pembahagian harta mengikut Adat Perpatih. Maka, ketahuilah bahawa adat perpatih itu adalah syirik kufur kepada Allah ﷻ kerana mereka memberikan harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah menolak beberapa ayat Al-Qur’an. Tetapi kerana tidak mementingkan ayat Al-Qur’an, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.
Kalau harta itu diberi semasa hidup, tidak termasuk dalam harta pusaka (ini dipanggil hibah). Kalau hendak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Jadi kalau hendak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu sudah hendak mati baru teringat hendak beri.
Namun begitu, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda tanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?” Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya.
Kerana kata-kata terakhir yang kita sebut akan dipegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan hendak ingat tentang harta benda sahaja.
حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ
Ini adalah satu ketetapan ke atas orang-orang yang bertaqwa;
Ini adalah tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah ﷻ. Mereka akan jaga tentang pembahagian harta supaya ikut undang-undang yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari daripada perjalanan mencapai taqwa.
Ayat 181: Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ﷻ beri penekanan dalam hal ini.
Wasiat tentunya cuma boleh dijalankan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas tanggungjawab orang yang mendengarnya. Tetapi Allah ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.
فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Then whoever alters the bequest after he has heard it – the sin is only upon those who have altered it. Indeed, Allah is Hearing and Knowing.
Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ
Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;
Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu.
فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ
maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;
Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang menipu itu. Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak.
إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;
Allah ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Manusia lain mungkin tidak tahu kita menipu, tapi Allah ﷻ dengar sahaja setiap apa yang telah berlaku.
عَلِيمٌ
Maha Mengetahui;
Allah ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ﷻ Maha Mengetahui.
Ayat 182:
فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
But if one fears from the bequeather [some] error or sin and corrects that which is between them, there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ
Barangsiapa yang takut terhadap orang yang hendak memberi wasiat itu;
Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu. Ada yang mendengar menjadi saksi, tapi dia nampak wasiat itu tidak benar, tidak adil.
جَنَفًا
tidak adil;
Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, contohnya ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid.
Atau mungkin pemberi wasiat itu hendak memberikan harta dengan secara tidak adil – dia hendak beri salah seorang lebih daripada orang lain contohnya.
أَوْ إِثْمًا
atau orang itu memang hendak buat dosa;
Mungkin ada yang hendak beri wasiat itu jahil. Jadi, dia buat wasiat dengan perkara yang salah. Contohnya, dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti.
Atau, dia wasiatkan lebih dari 1/3 dari hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.
فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ
maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;
Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu kena cari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar. Tidaklah semua wasiat kena diikuti. Kena periksa dengan hukum Allah ﷻ juga.
فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ
maka tidak berdosalah ke atasnya;
Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Memang itu yang dia patut lakukan. Jangan panjangkan kesalahan yang telah dilakukan oleh pelaku wasiat itu.
إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.
Ingatlah bahawa Allah ﷻ itu Maha Menerima Ampun dari hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.
Habis Ruku’ 22 dari 40 surah ini
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 6 Januari 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan