Tafsir Surah al-Qaari’ah Ayat 1 – 5 (Peringkat Pertama)

Pengenalan:

Surah ini adalah takhwif (penakutan) kepada golongan zalim. Ia diturunkan di awal Peringkat Kenabian. Iaitu semasa dakwah secara sulit lagi (tiga tahun pertama Kenabian).

Surah al-Qari’ah ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

Allah menukarkan dan selang selikan antara topik surah-surah itu. Sekejap tentang Akhirat dan kembali kepada kisah amalan di dunia dan kembali pula kepada kisah Akhirat.

Oleh itu, Surah Qaari’ah ini adalah tentang Hari Akhirat. Kalau tidak ambil pengajaran dari Surah Aadiyat sebelum ini, maka akan mendapat nasib malang di akhirat dan Allah menceritakan tentang kesusahan yang akan dialami di akhirat nanti kepada mereka yang zalim dan berdosa.

Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, telah disebut tentang perangai manusia yang tidak  menghargai segala nikmat yang Allah telah berikan, dan mereka telah engkar dengan arahan Allah. Maka kalau mereka bijak dan pandai, sepatutnya mereka sudah tukar perangai mereka; tapi kalau tidak, mereka akan bertemu dengan al-Qaari’ah yang akan dijelaskan sebentar sahaja lagi. Allah banyak beri amaran dalam surah ini.

Dan selepas Surah Qaari’ah ini, nanti dalam Surah at Takathur sekali lagi Allah menyebut tentang kehidupan dunia dan bagaimana manusia berkejaran untuk mendapatkan harta dan kemewahan sampai lupa untuk bersedia untuk akhirat.

Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, Allah telah beritahu yang apa yang ada dalam hati mereka akan dikeluarkan – ini akan diterangkan dengan panjang lagi dalam surah ini. Di dalam Surah Aadiyat sebelum ini tidak diterangkan.

Surah Zalzalah and Qaari’ah kedua-duanya ada menyebut tentang ثقل dan ini adalah sebagai satu petunjuk kepada kaitan antara kedua surah ini.

Dalam Surah Zalzalah ada disebut: يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النّاسُ أَشْتَاتًا لّيُ َروْا أَعْمَالَهُمْ. Ianya tentang bagaimana manusia akan berpecah kepada golongan-golongan. Nanti akan disebut dalam Surah Qaari’ah nanti bagaimana mereka akan bertempiaran macam serangga berterbangan.

Secara ringkasnya, ada 4 peringkat bagaimana amalan kita akan dinilai di akhirat nanti:

1 – Kita akan diberikan dengan buku amalan kita
2 – Akan ditunjukkan apakah amalan kita
3 – Amalan-amalan itu akan ditimbang dan dinilai
4 – Penghakiman Allah akan dijalankan.

Surah Zalzalah telah menyebut tentang senarai amalan kita semasa di dunia, iaitu peringkat 2 (peringkat 1 telah disebut dalam surah-surah sebelum ini). Tapi peringkat penilaian amalan itu tidak disebut lagi dan akan disebut dalam surah ini.

Penilaian ini penting kerana kita mungkin lihat ada banyak sekali amalan ibadah kita semasa di dunia, tapi kadang-kadang ia tidak bernilai pun. Ia tidak bernilai kalau kita tidak melakukannya kerana Allah – maksudnya amalan itu tidak ikhlas. Jadi penilaian di akhirat itu akan menilai sama ada amalan itu bernilai atau tidak – sama ada jadi pahala atau jadi debu yang tidak berharga.

Dan Allah memang akan menilainya dan Allah layak untuk menilainya kerana Allah tahu apa yang dalam hati kita – Allah tahu apa niat kita semasa melakukan amalan itu – seperti yang telah disebut dalam Surah Zalzalah – وَحُصِّلَ ما فِي الصُّدورِ. إِنَّ رَبَّهُم بِهِم يَومَئِذٍ لَخَبيرٌ.

Jadi, surah ini akan menggabungkan perbincangan antara niat dan amalan.


 

Persamaan pada Ayat 1, Ayat 2, Ayat 3: Oleh kerana kalimah القارِعَةُ yang digunakan ada persamaan, jadi kita gabungkan sekali penerangan tentangnya. Lihatlah persamaannya:

الْقَارِعَةُ
مَا الْقَارِعَةُ
وَمَا أدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ

Kalimah القارِعَةُ diulang sebanyak tiga kali berturut-turut dalam surah ini. Ianya adalah dalam bentuk ism Fa’il/katanama yang membawa maksud pembuat, iaitu kata nama pembuat yang melakukan sesuatu. Dari segi bahasa, ianya bermaksud sesuatu yang menggoncang, memukul, merosakkan.

Kalimah القارِعَةُ dari katadasar ق ر ع yang bermaksud apabila dua benda berlanggaran sesama sendiri dengan kuat dan menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan. Kalau bunyi itu tidak kuat dan tidak mengejut, ianya bukanlah القارِعَةُ. 

Oleh itu, kalau dua kereta berlanggar dalam kemalangan, ia juga boleh dipanggil القارِعَةُ kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengejutkan mereka yang mendengar dan melihatnya. Begitu juga, ayat قرع على الباب bermaksud mengetuk pintu di malam hari, kerana kalau ada orang ketuk pintu rumah kita pada malam hari, tentu akan menyebabkan kita terkejut, bukan?

Oleh itu, kalimah القارِعَةُ digunakan untuk menyebut beberapa sifat Hari Kiamat kerana pada hari itu, hati manusia akan digoncang dengan teruk sekali kerana ketakutan. Al-Qariah adalah salah satu dari nama Hari Kiamat. Dan Allah menyebutnya sebanyak 3 kali untuk memberi lebih penekaran (takhfeem), lebih besar (ta’dheem) dan lebih menakutkan lagi.

Al-Qari’ah adalah nama lain dari hari kiamat, seperti Al-Haqqah, At-Tammah, As-Sakhkhah, Al-Ghasyiyah, dan lain-lainnya.

Banyak sekali perkara besar-besar yang akan terjadi pada Hari Kiamat nanti dan Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ sebagai satu penerangan tentang kejadian Hari Kiamat itu. Ini adalah kerana Allah hendak memberi kita sedikit penjelasan apakah yang akan terjadi nanti. Kenapa Allah gunakan kalimah القارِعَةُ ini?

Kelebihan menggunakan kalimah القارِعَةُ ini, seperti juga kalau kita dikejutkan dengan ketukan pintu rumah kita di malam hari, yang mengejutkan kita dari tidur nyenyak kita, begitulah juga dengan hari kiamat nanti, akan mengejutkan dan menakutkan kita. Kejadian yang terjadi pada Hari Kiamat akan menyebabkan kita terkejut sangat-sangat.

Begitulah seperti yang telah disentuh dalam Surah Zilzal – apabila manusia melihat bumi tergoncang dengan kuat, mereka akan berkata:

 مَا لَهَا [apakah ia?] (Zalzalah:3)

Mari kita lihat tafsiran satu persatu ayat dari surah القارِعَةُ ini.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama di mana gambaran Peringkat 1 Kiamat akan diceritakan. Peringkat 1 ini adalah tentang kehancuran dunia.

القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qāri‘ah: That Which Strikes or The Sudden Calamity, another name for the Resurrection.

The Striking Calamity –

(MALAY)

Hari Kiamat,

 

Dalam ayat ini ada satu kalimah sahaja – Al Qaari’ah. Ini bukan penggunaan biasa dalam bahasa Arab. Jadi apabila tidak disebut selain darinya, bermaksud ada kalimah yang dihazafkan (ditiadakan). Ini adalah konsep yang biasa digunakan dalam Al-Qur’an. Apakah kalimah itu?

Pendapat 1:
Ada yang mengatakan yang dihazafkan adalah pemberitahuan bahawa القارِعَةُ sedang mendekat, sedang datang, ianya pasti datang.

Pendapat 2:
Sebagai penekanan kepada kehebatan dan kesusahan pada hari itu. Ianya pendek sahaja kerana situasi yang mengejutkan sekali sampai tidak sempat nak sebut dengan penuh.

Sebagai contoh, kalau kita di dalam bangunan yang sedang terbakar, kalau kita nak beritahu orang lain untuk lari, kita tidak sempat nak sebut: “ada api dalam bangunan ini… mari kita keluar ramai-ramai…”, bukan? Tentu kita cuma menjerit: “Api!!, api!!” sahaja, bukan?

Kita cakap begitu kerana keadaan menakutkan dan kita hanya sampaikan yang perlu sahaja. Begitulah pendapat yang digunakan untuk menafsirkan ayat ini. Cuma sebut perkara yang mengejutkan itu sahaja, tapi memberikan maklumat panjang.


 

Ayat 2:

مَا القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What is the Striking Calamity?

(MALAY)

apakah hari Kiamat itu?

 

Ayat 1 itu telah membangkitkan satu persoalan kerana ianya satu ayat sahaja. Kalau dalam bahasa Arab, ini dipanggil mubtada’ dan selalunya mubtada’ akan diikuti dengan khabar yang akan menjelaskan apakah yang telah disebut.

Tapi Allah tidak terus sebut apakah القارِعَةُ itu. Allah biarkan tergantung sahaja menyebabkan kita yang mendengarnya akan tertanya-tanya. Dan Allah menyebut apakah yang ada dalam fikiran manusia tentangnya: مَا القارِعَةُ (apakah القارِعَةُ ini?)

Apabila sudah ada pertanyaan, tentunya memerlukan jawapan, bukan? Sekarang sudah ada keinginan tahu tahap tinggi. Akan tetapi Allah tidak terus beritahu, sebaliknya Allah beritahu yang kita tidak akan dapat tahu, tanpa Allah yang beritahu.


 

Ayat 3: 

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلقَارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Striking Calamity?

(MALAY)

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah hari Kiamat itu?

 

Allah memberikan soalan retorik dalam ayat ini: apa yang boleh menyebabkan kamu tahu apa itu القارِعَةُ? Ada carakah kamu boleh tahu sendiri? Tentu tidak ada. Perkara-perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Allah dengan cara wahyu. Kalau Allah tidak beritahu, kita pun tidak akan tahu. Kalau kita fikirkan macam mana pun, kita tidak akan tahu kerana ianya adalah perkara ghaib.

Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ dalam ayat ini untuk menerangkan kejadian Hari Kiamat – perkataan ini adalah perkataan yang biasa dalam bahasa Arab dan mempunyai makna yang mereka faham dan gunakan dalam bahasa harian mereka. Tapi kenapa Allah menyentuh ayat ini dan memberi isyarat yang mereka tidak tahu?

Lihat bagaimana Allah gunakan ayat وَما أَدراكَ مَا القارِعَةُ – padahal orang Arab boleh sahaja kata – “eh, kami tahu maksud القارِعَةُ ini”. Tapi Allah tetap kata yang mereka tidak akan tahu tanpa Allah yang beritahu. Tentu ini bukanlah القارِعَةُ yang mereka faham.

Jadi maknanya, Allah mengambil kalimah yang biasa digunakan dalam masyarakat Arab dan menjadikan ianya sebagai membawa maksud yang baru. Dalam erti kata lain, Allah menjadikan satu terma baru bagi orang Arab. Allah boleh buat perkara ini kerana Allah menguasai bahasa mana-mana pun.

Oleh itu, Allah boleh ambil satu kalimah yang membawa satu maksud, dan kemudian Allah boleh berikan maksud yang lebih mendalam kepada kalimah itu melalui Al-Qur’an. Oleh itu, boleh jadi sebelum Al-Qur’an, satu kalimah membawa maksud lain, tapi selepas digunakan oleh Al-Qur’an, ia ada maksud lain. Allah telah mengambil alih perkataan itu.

Sebagai contoh, kalimah ‘solah’ biasa digunakan dalam masyarakat Arab untuk membawa maksud ‘doa’, ‘ibadat’ dalam bentuk yang umum. Tapi melalui Al-Qur’an, Allah telah memberikan satu makna yang spesifik kepada kalimah ‘solah’ itu, yang mengandungi cara ibadat tertentu (qiyam, rukuk, sujud dan seterusnya).

Begitu juga dengan ibadat Haji – asalnya dalam bahasa Arab adalah untuk ziarah kepada tempat yang penting, tidak semestinya untuk Ka’bah sahaja. Tapi melalui Al-Qur’an, Allah telah menjadikan kalimah ‘Hajj’ untuk membawa maksud melakukan lawatan khusus ke Mekah untuk melakukan manasik haji.

Oleh itu, Allah boleh mengambil mana-mana kalimah dalam bahasa dan mengubah makna asalnya untuk selama-lamanya. Dan perkara ini biasa sahaja dalam dunia sekarang pun. Melalui penggunaan masyarakat, ada perkataan yang dahulu bermaksud lain, tapi kerana digunakan dalam maksud yang lain pada zaman sekarang, ianya sudah tidak sama lagi dengan maknanya yang asal dahulu.

Sebagai contoh, kalimah ‘khalwat’ dalam bahasa dulu bermaksud mendekatkan diri dengan Allah secara sendirian, tapi sekarang, apabila disebut ‘khalwat’, orang kita memahaminya sebagai berdua-duaan lelaki dan wanita di tempat yang sunyi jauh dari orang ramai. Jadi ia sudah membawa maksud yang negatif.

Oleh itu, kita dapat faham bagaimana kalimah القارِعَةُ yang asalnya bermaksud sesuatu yang menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan – menjadi satu kalimah yang merujuk kepada Hari Kiamat (kerana begitulah sifat Hari Kiamat nanti). Allah telah mengambil alih kalimah ini dan ianya tidak akan menjadi kalimah seperti yang difahami oleh masyarakat Arab sebelum disebut dalam Al-Qur’an ini.

Dan kalimah القارِعَةُ memang sesuai digunakan dalam Al-Qur’an untuk merujuk kepada Hari Kiamat kerana memang pada Hari Kiamat itu nanti, banyak benda akan berlanggaran sesama sendiri – bulan akan berlanggar dengan matahari, ia juga akan berlanggar dengan bumi, dan akan mengeluarkan bunyi amat kuat. Dan kita telah belajar dalam Surah Zalzalah bagaimana bumi ini akan bergegar dengan kuat sekali. Semua kejadian ini juga tentunya mengejutkan.

Oleh itu, susunan tiga ayat pertama surah ini:

Ayat 1: Ketukan yang kuat yang mengejutkan hati manusia.
Ayat 2: Manusia akan tertanya-tanya apakah yang terjadi?
Ayat 3: Apakah yang boleh memberitahu kita apakah kejadian itu?

Tiga ayat pertama ini telah menyebabkan orang tertanya-tanya apakah القارِعَةُ itu. Barulah Allah akan menjawabnya dalam ayat seterusnya nanti. Kalau kita lihat penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an, kalau Allah gunakan kalimat وَما أَدراكَ, (dalam bentuk past tense) Allah akan beri maklumat selepasnya.

Tapi kalau Allah gunakan kalimat وَما يُدريكَ (dalam bentuk present tense) seperti dalam Surah Abasa, Allah tidak akan memberikan maklumat selepas itu dan membiarkan sahaja ianya tergantung. Allahu a’lam kenapa Allah lakukan begitu.


 

Ayat 4: Sekarang Allah beri penerangan tentang apakah al-Qariah itu.

يَومَ يَكونُ النّاسُ كَالفَراشِ المَبثوثِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the Day when people will be like moths, dispersed,¹

  • The people will be as such after having been expelled from their graves.

(MALAY)

Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran,

 

Allah menggunakan kalimah النّاسُ dalam ayat ini kerana ia merujuk kepada seluruh manusia. Dalam ayat-ayat yang lain, ada kalanya Allah menggunakan kalimah الإِنسانَ seperti di dalam Surah al-Aadiyat sebelum ini. Ini adalah kerana kalau digunakan الإِنسانَ, ianya hendak merujuk kepada individu manusia secara mufrad – berseorangan.

Kali ini, Surah Al-Qaari’ah ini lebih sesuai digunakan kalimah النّاسُ kerana Allah hendak merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Kadang-kadang Allah guna الإِنسانَ dan kadang guna النّاسُ, bergantung kepada keadaan.

Kalimah الفَراشِ boleh bermaksud anai-anai, pepijat atau kelkatu yang akan melanggar lampu kalau kita pasang lampu. Allah hendak memberitahu yang manusia akan menjadi seperti kelkatu-kelkatu itu yang akan bertempiaran bergerak ke sana dan ke sini, dalam semua arah. Iaitu mereka akan مَبْثُوث – berpecah, ke sana dan ke sini, tidak ada arah tujuan.

Ini tidak sama macam burung yang berterbangan kerana kalau burung terbang, selalunya terarah penerbangan burung-burung itu. Kalau kita lihat serangga-serangga itu, ada banyak sekali dan semua bergerak bertempiaran, berlanggar sesama sendiri. Beginilah yang manusia akan alami, jadi kelam kabut dan ke sana ke sini apabila mendengar bumi kuat yang menakutkan pada Hari Kiamat nanti.

Oleh kerana manusia terlalu ramai, manusia akan berlanggar sesama sendiri pada waktu itu. Imaginasi perlanggaran itu sesuai dengan surah القارِعَةُ ini kerana salah satu maknanya adalah ‘perlanggaran’ seperti yang kita sudah sebut di pengenalan tadi. Keadaan amat kecoh sekali pada hari itu.

Keadaan ini terjadi apabila semuanya nanti keluar dari kubur masing-masing. Mereka akan bergerak ke sana dan ke sini, tapi akhirnya semua akan berhenti di salah satu tujuan – sama ada akan mendapat kebahagiaan sejati atau kesusahan yang berterusan dan kemusnahan.

Kalimah مَبْثُوث juga membayangkan kepada kita, bagaimana manusia waktu itu walaupun berada di satu tempat, tapi semua akan sibuk dengan hal sendiri sendiri sahaja. Ini seperti yang Allah sebut dalam ayat dalam surah yang lain tentang keadaan manusia pada hari itu:

يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
َوَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ
وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Orang berdosa ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya,
dan isterinya dan saudaranya,
dan kaum familinya yang melindunginya (di dunia).
Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Ma’arij:11-14

Waktu itu manusia sudah tidak menghiraukan siapa pun lagi. Mereka hanya memikirkan bagaimana agaknya untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka sampai sanggup untuk menebus diri mereka dengan keluarga mereka sendiri! Semoga kita terselamat dari termasuk ke dalam golongan mereka.


 

Ayat 5: Dan gunung ganang akan menjadi seperti bulu benang biri-biri yang diputar untuk dibuat kain. Kerana kalau lihat pada mesin itu yang memintal bulu-bulu kapas itu, kita akan nampak bagaimana bulu-bulu akan berterbangan.

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ المَنفوشِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the mountains will be like wool, fluffed up.¹

  • i.e., beginning to disintegrate.

(MALAY)

dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.

 

Kalimah العِهنِ – benang bulu kambing biri-biri yang berbagai warna. Dalam masyarakat Arab, benang bulu kambing biri-biri yang banyak digunakan kerana kapas susah untuk diperolehi.

Kalimah المَنفوشِ merujuk kepada perbuatan memproses bulu biri-biri itu untuk menjadikan ianya sebagai kain. Ianya akan dipukul-pukul dalam proses persediaan. Apabila ini dilakukan, tentulah akan berterbangan bulu-bulu halus.

المَنفوشِ
المَنفوشِ

Bayangkan Allah sekarang menyebut tentang gunung ganang yang kukuh dan teguh sekarang ini akan menjadi seperti bulu biri-biri yang akan berterbangan. Ini adalah kerana gunung ganang dari segala tempat yang berbagai warna itu akan berlanggaran sesama sendiri dan akan menjadi seperti debu yang berwarna warni seperti العِهنِ itu. Ayat yang hampir sama ada disebut dalam Ma’arij:9

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

dan gunung-gunung menjadi seperti bulu

Ayat dari Surah Ma’arij ini hampir sama tapi tidak ada kalimah المَنفوشِ dalam ayat ini. Dalam Surah Qaari’ah ini ada kalimah المَنفوشِ kerana ianya sesuai dengan tema surah ini – tentang sesuatu yang berlanggaran sesama sendiri. Allah gunakan kalimah yang sesuai dengan surah.

Lagi satu kalimah المَنفوشِ ini sesuai dalam tema surah ini kerana untuk bulu biri-biri, manusia akan pukul bulu-bulu itu untuk memprosesnya dijadikan kain. Dan bukankah surah ini ada berkenaan dengan pukulan (sebahagian dari makna القارِعَةُ) bukan? Begitu indah dan tepat sekali penggunaan kalimah-kalimah dalam Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Disember 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-Qaari’ah Ayat 1 – 5 (Peringkat Pertama)”

  1. Maaf tuan, saya keliru dengan maksud ayat 4, Surah Al-Qaari’ah
    يَومَ يَكونُ النّاسُ كَالفَراشِ المَبثوثِ
    iaitu tentang huraian “Keadaan ini terjadi apabila semuanya nanti keluar dari kubur masing-masing. Mereka akan bergerak ke sana dan ke sini, tapi akhirnya semua akan berhenti di salah satu tujuan – sama ada akan mendapat kebahagiaan sejati atau kesusahan yang berterusan dan kemusnahan.”
    Setahu saya suasana ini berlaku pada hari kebangkitan semula. Tetapi huraian ada menyebut perut bumi akan mengeluarkan semua yang ada termasuk manusia. Jadi adakah semua manusia akan mengalami dan merasai kengerian hari kiamat tersebut?
    Sekian, terima kasih.

    Like

    1. Yang merasai Hari Kiamat itu adalah orang yang hidup masa itu sahaja. Tapi nanti semua akan bangkit dari kubur masing-masing. Dari yang mula sekali lahir di dunia, sampailah yang akhir sekali mati hari kiamat nanti.

      Like

      1. Tuan, Allah menciptakan Malaikat dari cahaya, Iblis daripada api, Manusia daripada air mani (tanah) dan Adam daripada tanah. Bagaimana pula dengan Hawa? Mengikut huraian tafsiran dalam surah ..(maaf, terlupa) Hawa dijadikan SEPERTI tulang rusuk Adam bukannya DARI tulang rusuk Adam. Soalan saya, Hawa dicipta daripada apa?
        Maaf tuan, saya pernah bertanya soalan ini kepada tetapi saya tidak ingat di ruangan mana. Puas saya mencari tetapi tidak jumpa. Maaf tuan.

        Like

      2. Ada pendapat yang mengatakan memang Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam. Ini pendapat Tabari dan Hafiz Ibn Hajar.
        Tapi ada juga tafsir yang mengatakan Hawa (wanita) dicipta seperti tulang rusuk yang bengkok. Ini semua adalah penafsiran dari ayat Nisa’:1 dan dari hadis-hadis yang lain. Sama ada hendak mengambil secara literal atau tidak.

        Tidak salah kalau hendak mengambi pendapat Hawa dijadikan dari tulang Nabi Adam. Dan tidak salah juga untuk memilih yang selainnya. Ini bukanlah termasuk perkara dalam akidah. Dan kita tidak ditanya tentangnya.

        Tapi kalau memilih pendapat yang Hawa tidak dijadikan dari tulang, tidak pula disebut Hawa dijadikan dari apa pula. Allahu a’lam.
        Kalau memilih Hawa dijadikan dari tulang rusuk pula, kita pun tidak tahu apakah elemen yang menjadikan Hawa itu. Kedua pendapat ini di luar jangkauan akal kita yang terhad dan lemah.

        Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s