Pengenalan:
Dalam Surah Zalzalah sebelum ini, telah disebut bagaimana bumi akan bergoncang dengan kuat (gempa) dan ia akan mengeluarkan segala kisah yang ia telah simpan selama hari ini, iaitu ia akan mengadu tentang perbuatan manusia selama manusia hidup di atasnya zaman berzaman.
Sekarang Surah Al-Adiyaat berpatah balik ke belakang sebelum kejadian gempa bumi itu dan menjelaskan kenapakah bumi marah sangat? Apakah yang telah manusia lakukan selama ini?
Kerakusan manusia, kesan perlakuan mereka, sikap tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi perbuatan buruk manusia telah menyebabkan bumi marah. Akhirnya bumi bergegar dengan kuat dan akhirnya akan hancur, melemparkan apa yang di dalam perutnya selama hari ini.
Apabila bumi bergegar dengan kuat, manusia akan tanya: ما لَها (kenapa jadi begini?) – Zalzalah:3 – maka bumi akan menceritakan satu persatu apa yang manusia dan jin telah lakukan di atasnya. Iaitu segala dosa-dosa dan perkara buruk yang manusia lakukan. Surah ini akan menerangkan apakah kesalahan yang manusia telah lakukan.
Surah ini juga akan menerangkan bagaimana manusia itu amat teruk sekali – Allah telah berikan segala-galanya, tapi mereka tidak mensyukuri nikmat itu, asyik tidak puas hati sahaja dengan apa yang mereka ada.
Surah al-Aadiyat ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:
Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia
بسم ا الرحمن الرحيم
Aadiyaat Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama. Dalam perenggan ini, Allah memberitahu yang Dia telah tundukkan makhluk lain untuk kegunaan manusia. Namun ada manusia yang enggan tunduk kepada Allah.
Allah mula menceritakan tentang kuda dan bagaimana kuda itu sanggup buat kerja untuk tuan dia. Kuda itu sanggup berlari laju mengikut arahan tuannya, sampai keluar suara letih yang boleh kedengaran.
وَٱلعَـٰدِيَـٰتِ ضَبحًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-‘Aadiyāt: The Racers.
By the racers, panting,¹
i.e., the horses of those fighting for Allāh’s cause as they race to attack the enemy.
(MALAY)
Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah,
Allah memulakan surah ini dengan Sumpah [kita tahu dari hurf waaw (“wa” َو sebagai isyarat yang ini adalah satu sumpah) Jadi ini adalah salah satu dari surah-surah yang dimulakan dengan sumpah. Kita telah banyak menyebut tentang konsep sumpah dalam Al-Qur’an dan kita cuma ulangkan secara ringkas sahaja di sini:
Objek yang dijadikan sebagai sumpah itu dipanggil muqsam bihi – dalam ayat ini, objek/muqsam bihi itu adalah kuda perang itu.
Apabila ada muqsam bihi, kena ada muqsam alaihi – subjek kepada sumpah itu. Dalam Al-Qur’an, muqsam bihi itu ada kena mengena dengan muqsam alaihi itu – kedua-duanya berkait. Kerana Allah tentu memilih muqsam bihi yang sesuai dan bersebab kenapa Allah gunakan objek itu sebagai sumpah. Tujuannya adalah untuk menyediakan pembaca Al-Qur’an kepada subjek yang akan disebut.
Ini adalah pendapat yang kuat walaupun ada yang kata muqsam bihi dan muqsam alaihi itu tidak berkaitan. Nanti kita akan jelaskan apakah kaitan antara muqsam bihi dan muqsam alaihi dalam surah ini. Ianya sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Secara asasnya, memang banyak digunakan kalimah sumpah dalam Al-Qur’an. Dua sebab utama digunakan sumpah adalah:
1. apabila yang berkata itu serius; menekankan apa yang akan disampaikan.
2. untuk menarik perhatian pendengar, terutama kepada pendengar yang dirasakan tidak percaya atau tidak mahu dengar. Jadi kena tarik perhatian mereka. Oleh itu, dimulakan kata-kata dengan berkata sesuatu yang pendengar itu suka.
Dalam kes ini, Musyrikin Mekah tidak mahu dakwah dari Nabi, maka Allah gunakan qosam/sumpah untuk menarik perhatian mereka.
Oleh itu, 5 ayat pertama dari surah ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat Arab untuk mendengar apa yang hendak dikatakan – oleh itu digunakan kisah yang boleh menarik perhatian mereka. Antaranya, tentang kenderaan kegemaran mereka, tentang perang, pertarungan dan sebagainya. Allah gunakan perkara yang mereka suka dan penting bagi mereka.
Ini dilakukan untuk mendapatkan perhatian mereka. Kita kena ingat yang mereka tinggal di padang pasir, mereka pula jenis orang yang gasar, senang berperang, mereka suka berkelahi dan senang nak bergaduh, bukan? Seperti juga kita, mereka juga ada alat hiburan mereka, tapi tentulah lain daripada kita. Kerana mereka tidak ada filem dan game untuk mengisi masa lapang mereka.
Antara yang mereka gunakan sebagai penghibur mereka adalah puisi-puisi. Begitu jugalah kalau kita zaman sekarang, ada artis yang menyanyi mendendangkan puisi-puisi dalam bentuk nyanyian. Pada zaman dulu, mereka ada penyair-penyair yang membacakan dan melantunkan bacaan puisi dan syair mereka. Mereka akan bacakan dan dalam usaha untuk menarik perhatian pendengar mereka, mereka kena bercerita tentang perkara yang orang nak dengar, bukan?
Dan salah satu perkara yang mereka amat suka adalah peperangan – ini umpama action movies dalam filem zaman sekarang. Dan mereka memang suka dengar kisah berkenaan perkara ini. Selain dari itu, mereka juga suka kenderaan macam kita zaman sekarang suka kereta. Tapi pada zaman dulu kudalah yang mereka suka. Dan kisah kuda dan peperanganlah yang Allah gunakan untuk Allah menarik perhatian mereka.
Jadi, kalau kita lihat ayat pertama ini, Allah sedang mula menceritakan tentang situasi peperangan di mana kuda digunakan dalam kisah itu. Kisah ini akan menjadi semakin menarik dari ayat ke ayat. Ianya bermula dengan sebut tentang kuda sahaja.
Kalimat َواْلَعاِديَاِت َضْبًحا ini adalah sumpah pertama. Kalimah اْلَعاِديَاِت diambil dari katadasar ع د و yang antara lain bermaksud permusuhan. Ianya memberi isyarat bagaimana seseorang sedang menyerang seseorang di dalam pertempuran kerana permusuhan antara mereka. Mereka fokus dalam serangan mereka, tidak lihat kiri dan kanan lagi tapi memandang ke hadapan kerana mereka sedang menyerang.
Kepada orang Arab yang mendengar kalimat ini, ianya seperti mendengar pembukaan kepada kisah perang dan ianya sudah menarik perhatian. Kerana ianya adalah permulaan kepada serangan dalam perang.
Kalimah اْلَعاِديَاِت yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kuda perang betina. Kuda perang betina lebih disukai oleh orang Arab waktu itu kerana kuda betina lebih laju dan lebih tangkas. Jadi, ianya macam kereta sport yang amat suka digunakan oleh orang-orang kaya sekarang; dan ianya adalah dalam bentuk jam’u qilla; maksudnya bilangan yang ramai tapi kurang dari sepuluh. Jadi ini adalah satu pasukan penyerang yang kecil yang dapat bergerak laju dan dapat menyerang dengan cepat. Macam pasukan gerila sekarang.
Mufassir juga mengatakan, kalimah اْلَعاِديَاِت juga memberi isyarat dari segi bahasa yang ianya memang dimaksudkan untuk melakukan apa yang sepatutnya ia lakukan – maknanya memang kuda-kuda itu dilatih untuk digunakan dalam peperangan. Ini adalah kerana ianya dalam bentuk isim fa’il.
Ini macam kereta sport yang memang telah dicipta untuk dibawa dengan laju di lebuhraya, bukan untuk disimpan di dalam garaj sahaja. Jadi اْلَعاِديَاِت itu akan digunakan untuk memenuhi potensinya (perang).
Kalimah ضَبحًا bermaksud helaan bunyi nafas. Ianya digunakan dalam ayat ini dalam bentuk adjektif untuk menerangkan bagaimana kuda-kuda itu berbunyi semasa melepaskan nafas mereka dengan laju kerana mereka sedang berlari dengan laju. Kalau kita biasa tengok filem, kalau tayang kuda-kuda sedang berlari dengan laju, kita dapat bayangkan bagaimana bunyi kuda-kuda itu, bukan?
Jadi, orang Arab yang sedang membaca dan mendengar ayat ini, mereka sedang membayangkan kuda-kuda itu sedang berlari dengan laju, fokus dengan bunyi nafas kuda-dua itu yang sedang bernafas dengan laju dan mengeluarkan bunyi kuda yang kita dapat bayangkan itu.
Kalimah ضَبحًا ini juga memberi isyarat bahawa kuda-kuda itu sedang bergerak dan mereka sedang fokus dan tidak berehat pun. Kerana tujuan mereka di depan dan mereka tidak akan berhenti selagi mereka belum menyelesaikan tugas mereka.
Yang menariknya lagi, pakar bahasa Arab mengatakan, kalimah ضَبحًا ini asalnya tidak digunakan untuk kuda, tapi untuk serigala. Ia digunakan untuk kuda sebagai tambahan sahaja. Ini adalah kerana sifat serigala dalam menyerang itu amat ganas dan laju. Jadi, apabila digunakan juga kalimah ضَبحًا kepada kuda, maka kita kena bayangkan bagaimana kuda-kuda itu menyerang musuh mereka sama seperti serigala menyerang mangsa mereka.
Rasanya kita mungkin boleh bayangkan bagaimana serigala menyerang kerana kita sudah biasa tengok dalam TV, bukan? Satu sifat serigala adalah, mereka akan serang mangsa mereka yang bilangan kurang dari mereka, lebih lemah dari mereka. Mereka akan serang dengan ganas dan kalahkan terus mangsa mereka dengan segera dan kerana itu mereka akan memilih mangsa yang lebih lemah dari mereka.
Jadi sekarang bayangkan pasukan berkuda yang disebut dalam ayat ini pun begitu juga. Bayangkan bagaimana satu pasukan berkuda yang bergerak dengan laju yang lebih kuat dari mangsa mereka dan mereka akan memusnahkan pasukan lawan mereka dengan mudah.
Aadiyaat Ayat 2: Dalam ayat 1, pasukan berkuda itu dalam perjalanan ke tempat serangan. Sekarang disebut mereka itu memecut dengan laju sehingga terbit percikan api dari kaki kuda-kuda itu.
فَٱلمُورِيَـٰتِ قَدحًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the producers of sparks [when] striking¹
- Their hoofs while galloping over rocky terrain.
(MALAY)
dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),
Hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sumpah sebelumnya. Kalau hurf و yang digunakan, ianya tidak sama kerana ianya mungkin membawa sumpah yang baru yang tidak berkaitan dengan ayat sebelumnya.
Kalau kita bandingkan dengan qosam dalam Surah Mursalaat – kita akan dapat lihat bagaimana ada qosam yang bersambung dan ada yang baru. Tapi dalam semua qosam surah ini dari ayat 1 – 5, semua qosamnya bersambung, menunjukkan ianya adalah satu kisah sahaja.
Lagi satu contoh, kita boleh lihat qosam dalam Surah at-Teen dimulakan dengan huruf و menunjukkan bahawa setiap ayat tidak bersambung terus, memberi isyarat yang ianya tidak berterusan tapi kisah atau perkara yang berlainan. Jadi, dalam Surah at-Teen itu, ada tiga sumpah yang berbeza, tapi dalam Surah Aadiyat ini, ianya satu sumpah yang panjang.
Kalimah المورِياتِ juga adalah dalam bentuk ism fa’il (pelaku). Ia juga adalah dalam bentuk jamak muannas (feminine), kerana ianya adalah kuda yang telah disebut dalam ayat pertama. Sekarang disebut bagaimana kuda-kuda itu berlari sampai menyebabkan api keluar dari percikan kaki kuda-kuda itu.
Kalimah المورِياتِ dari katadasar و ر ي yang bermaksud perbuatan yang menyebabkan api keluar. Ada banyak jenis kalimah yang digunakan dalam bahasa Arab dan juga Al-Qur’an untuk mengeluarkan api. Sampaikan ada lebih kurang 10 kalimah digunakan dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh, dalam Yaasin:80 disebut satu cara.
الَّذي جَعَلَ لَكُم مِنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذا أَنتُم مِنهُ توقِدونَ
Tuhan yang menjadikan untukmu api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) dari kayu itu
Tapi dalam ayat Yaasin:80, kalimah yang digunakan adalah lain dari kalimah yang digunakan dalam Surah Aadiyat ini. Katadasar و ر ي juga digunakan dalam kalimah تورونَ dalam ayat Waqi’ah:71
أَفَرَأَيتُمُ النّارَ الَّتي تورونَ
Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu).
Oleh itu, kita boleh tahu dari ayat yang digunakan di atas, و ر ي bermaksud mengeluarkan api dengan menggosok dua benda antara satu sama lain (sama ada batu, kayu, benda kering dan sebagainya) sampai boleh memercikkan api dari perbuatan itu.
Oleh itu, dalam ayat Aadiyat ini, Allah hendak menceritakan lagi tentang kuda-kuda itu. Pergerakan kuda itu telah menyebabkan percikan api. Ini adalah kerana pada kaki kuda-kuda itu ada ladam dari besi dan apabila ladam itu memijak batu di bumi dengan kuat, maka ia akan menyebabkan percikan api. Jadi macam kaki mereka mengeluarkan api di belakang mereka – ianya satu pemandangan yang amat hebat sekali! Ia menambahkan kehebatan ayat ini.
Kalimah قَدحًا bermaksud pukulan yang amat kuat. Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.
Allah sudah sebut dua perkara, jadi mari kita bayangkan sebentar suasana yang telah disebut itu: ada pasukan berkuda yang kurang dari 10, sedang bergerak dengan laju di padang pasir yang luas, bunyi nafas kuda boleh kedengaran.
Mereka tidak berhenti pun untuk berehat, mereka sedang fokus dalam pergerakan mereka, mereka sedang memecut dengan laju sampaikan hentakan kaki kuda-kuda itu sangat kuat sampaikan menyebabkan percikan api pada bumi. Mereka tidak takut kerana mereka tahu yang mereka akan menyerang mangsa yang lebih lemah dari mereka, maka mereka amat yakin.
Aadiyaat Ayat 3: Kuda-kuda itu sanggup menyerang pada waktu subuh atas arahan tuannya, padahal itu adalah waktu tidur.
فَٱلمُغِيرَٲتِ صُبحًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the chargers at dawn,¹
- While the enemy is unaware.
(MALAY)
dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,
Seperti yang kita telah sebut tadi, hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sebelumnya. Jadi ini adalah sebahagian dari sumpah/qosam yang panjang.
Kalimah المُغيراتِ dari katadasar غ ي ر yang bermaksud ‘serangan’. Kalau dalam dua ayat sebelum ini, ianya tentang perjalanan mereka ke tempat tujuan mereka. Dan sekarang mereka telah sampai. Ianya bermaksud serangan yang kuat, dan jenis serangan dari atas. Sekarang mereka yang menyerang itu berada tinggi di atas kuda, di atas dari mangsa mereka.
Kalimah المُغير adalah dalam bentuk ism faa’il, pembuat yang melakukan sesuatu. Apabila menggunakan format ism faa’il, ia memberi isyarat yang mereka itu telah dikenali dengan sifat itu. Maknanya, mereka sudah biasa buat.
Kalimah صُبحًا (waktu subuh) ini pula adalah dalam bentuk maf’ul fiihi. Maknanya, mereka menyerang waktu subuh, tapi kenapa serang masa subuh? Ini menghairankan kerana kalau nak serang hendap, selalunya dilakukan pada malam hari, atau pada waktu gelap. Tapi mereka serang waktu subuh pula, iaitu pada waktu orang sudah mula bangun dan sudah bersedia kalau untuk mempertahankan diri.
Mereka serang masa subuh kerana mereka hendak mangsa serangan mereka itu tahu yang mereka datang. Waktu mereka dalam perjalanan itu mereka boleh dilihat dari jauh kerana debu-debu yang berterbangan sebagai tanda mereka datang.
Walaupun kedatangan mereka dapat diketahui awal, tapi mereka tidak kisah kerana mereka tidak takut. Kerana mereka tahu mereka lebih kuat dan mereka yakin akan dapat mengalahkan musuh. Sedangkan kalau serang hendap selalunya serang waktu gelap. Ini kerana memang mereka tidak kisah, seperti pepatah: ‘Just like the wolf doesn’t fear to hunt his prey in the open.’
Kita kena faham kisah dalam ayat-ayat ini. Kisah ini adalah tentang kumpulan bandit yang menyerang puak yang lemah. Memang ada mufasir yang kata ini adalah tentang para sahabat yang menyerang musuh mereka dalam jihad. Akan tetapi kita pegang kepada pendapat yang kata pendapat ini tidak kuat.
Pertama, kerana ini adalah Surah Makkiyah dan para sahabat waktu itu tidak dibenarkan berperang lagi.
Keduanya, kita boleh lihat setakat yang kita sudah baca, subjek surah ini bukan tentang orang Muslim, tapi tentang orang bukan Muslim. Kerana orang Muslim tidak menyerang orang yang lemah sebegitu. Mereka yang berpendapat kata ayat ini adalah tentang orang Muslim adalah kerana pada fahaman mereka, kalau Allah gunakan sesuatu sebagai sumpah, tentu ianya tentang yang baik.
Jadi, pada mereka, tentunya yang diceritakan ini tentang orang Muslim, kalau tidak, tentulah Allah tidak akan menggunakan kisah mereka sebagai sumpah. Akan tetapi hujah yang menolak mengatakan, tidak semestinya perkara yang baik sahaja yang dijadikan sebagai sumpah.
Aadiyaat Ayat 4: Kuat sangat menyerang, sampai kuda-kuda itu menyebabkan debu berterbangan.
فَأَثَرنَ بِهِۦ نَقعًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Stirring up thereby [clouds of] dust,
(MALAY)
maka ia menerbangkan debu,
Sebelum ini, kalimat yang digunakan adalah dalam bentuk fa’il (kata nama) dan sekarang kalimat yang digunakan dalam bentuk fi’il (kata kerja) pula, menunjukkan bahawa apa yang mereka sedang lakukan telah meningkat.
Kalimah فَأَثَرنَ (Huruf ن dalam ayat ini dinamakan nun an-niswa – هنّ jamak untuk muannas) – merujuk kepada kuda-kuda betina sebelum ini. Ia dari kata أثار yang bermaksud ‘menaikkan’. Tapi menaikkan apa?
Kalimah نَقعًا bermaksud – debu tanah. Tapi ada 3 kalimah yang digunakan dalam Al-Qur’an untuk debu:
– Naq’a
– Ghabara
– Habaa [al manthoorah]
Tapi نَقعًا khusus digunakan dalam bahasa Arab apabila sesuatu bergerak dengan laju sampai menyebabkan tinggal kesan debu yang naik ke udara. Macam kereta, kuda dan sebagainya yang bergerak di padang pasir. Apabila sudah bergerak dan sudah lepas, masih nampak habuk-habuk itu di udara.
Kalimah بِهِ (dengannya). Apakah ‘nya’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ia mungkin merujuk kepada:
– merujuk kepada tempat. Oleh itu, serangan itu kuat sekali sampaikan tempat itu naik debu-debunya. Sampaikan pandangan pun jadi samar kerana dihalang oleh debu-debu itu.
– merujuk kepada debu itu sendiri. Ini menakjubkan kerana waktu subuh, tanah masih basah lagi dan selalunya bila tanah lembab, habuk susah nak naik, bukan? Tapi ayat ini hendak memberitahu, walaupun tanah masih lembab, tapi debu masih naik juga lagi kerana hebat sekali serangan itu.
– boleh juga merujuk kepada hentakan kaki kuda-kuda itu yang menyebabkan debu-debu naik ke udara.
– Ini adalah pendapat yang lain sikit dari yang lain. Abu Ubaydah berpendapat kalimah نَقعًا bermaksud menaikkan suara. Ini pun tidaklah lari jauh, kerana apabila debu-debu berterbangan, maka mereka semua kena jerit supaya suara mereka didengar.
Aadiyaat Ayat 5: Ini adalah ayat sumpah terakhir dalam surah ini. Akan berakhir kisah tentang kuda-kuda itu. Bayangkan, sanggup kuda itu masuk ke tengah musuh menghadapi senjata lawan. Padahal waktu itu kalau masuk, boleh menyebabkan kematian tapi kuda itu buat juga kerana kuda itu taat kepada tuannya.
فَوَسَطنَ بِهِۦ جَمعًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Arriving thereby in the center¹ collectively,
- i.e., penetrating into the enemy ranks during a surprise attack.
(MALAY)
dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,
Kalimah وَسَطنَ dari kalimah و س ط (tengah), jadi kalimah فَوَسَطنَ bermaksud pasukan yang menyerang itu menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang. Dalam kisah ini, pasukan berkuda yang telah disebut dari ayat pertama lagi itu, telah masuk menyerbu ke tengah-tengah pihak yang diserang.
Kalimah بِهِ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mungkin merujuk kepada debu yang berterbangan. Oleh itu, mereka ambil peluang dari pandangan samar kerana debu itu untuk masuk terus ke dalam tengah pihak lawan. Mereka bukan serang dari tepi lagi seperti biasa, tapi terus masuk ke dalam. Ini adalah tindakan yang bahaya dan berani. Kenapa?
1 – Secara logik, tentu yang diserang sudah nampak kedatangan pihak berkuda itu kerana mereka datang dengan debu yang berterbangan (boleh dikesan dari jauh). Jadi ini telah memberi peluang kepada pihak yang diserang itu untuk bersedia dengan pedang, lembing dan sebagainya. Oleh itu, bahaya kalau serang dengan terus masuk ke tengah.
Selalunya dalam perang macam ini, tidaklah masuk terus ke tengah – kerana kena hati-hati. Kalau serang dari tepi, mereka jaga bahagian depan sahaja, tapi apabila sudah masuk ke tengah, mereka kena kepung pula dan kena kawal depan, tepi dan belakang sekali. Walaupun tindakan mereka itu bahaya, tapi ayat ini kata mereka masuk semua sekali ke tengah-tengah.
2 – Dari ayat ini, kita dapat ambil maklumat bahawa mereka semua masuk sekali, tidak ada yang tinggal di belakang. Kalau peperangan biasa, selalunya satu pihak akan serang sikit-sikit dan ada yang menunggu di belakang sebagai pasukan bantuan. Akan tetapi seperti yang disebut di permulaan awal surah ini, bilangan mereka pun sikit, jadi tidak sesuai juga kalau mereka berpecah kepada dua kumpulan pula.
Dan ini dikuatkan dengan kalimah جَمعًا yang bermaksud ‘semua sekali’. Tidak ada pasukan yang tinggal di belakang untuk mengawal atau sebagai pasukan bantuan. ‘Semua sekali’ itu boleh juga bermaksud pasukan yang menyerang dan diserang dua-dua berperang sesama sendiri.
3 – Tindakan mereka itu bahaya kerana debu akan berterbangan dan keadaan akan jadi samar, tidak nampak sangat. Tapi mereka masuk juga.
Sudah habis lima ayat ini untuk ambil perhatian mereka yang membaca dan mendengar. Kita katakan ini adalah ayat-ayat sebagai menarik perhatian sahaja, kerana tidak ada ajaran agama lagi pun, hanya menceritakan sahaja. Oleh itu, apa yang hendak disampaikan?
Yang hendak disampaikan adalah ayat-ayat selepas ini. Memang perkara penting disampaikan selepas ayat-ayat sumpah/qosam. Selepas minat pembaca/pendengar telah ditarik, mereka hendak mendengar apa yang hendak diceritakan, barulah Allah sambung ayat-ayat pengajaran di dalam ayat-ayat seterusnya.
Bagaimana dengan anda, anda sudah berminat untuk mendengar apa yang Allah akan sampaikan seterusnya?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 19 November 2021
Rujukan:
Maulana Hadi