Tafsir Surah Zalzalah Ayat 3 – 5 (Bumi bagi laporan)

Ayat 3: Apabila kejadian gempa bumi yang amat kuat itu, ini adalah kata-kata manusia yang terkejut sangat dengan kejadian itu:

وَقَالَ ٱلإِنسَـٰنُ مَا لَهَا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And man says,¹ “What is with it?” –

  • In terror and amazement.

(MALAY)

dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini)?”,

 

Waktu itu manusia yang ramai-ramai akan jadi terkejut sangat-sangat, sampaikan dia terlupa segala peringatan yang telah diberikan oleh pendakwah tentang hari yang sedang terjadi itu. Mereka akan tertanya-tanya apakah yang sedang terjadi kepada bumi itu, sedangkan mereka sudah sepatutnya tahu pun yang itu adalah Hari Kiamat yang telah dijanjikan dan diperingatkan kepada mereka.

Walaupun telah diingatkan berkali-kali, tapi manusia tetap akan terlupa dan itulah sifat الإِنسانُ. Kalimah manusia itu diambil dari kalimah nasiya yang bermaksud pelupa. Dan kalimah الإِنسانُ itu dari katadasar أ ن س yang bererti “jinak” ertinya, manusia selalu menyesuaikan diri (adaptasi) dengan keadaan yang baru di sekitarnya. Dia sudah biasa dengan keadaan di dunia ini, maka kalau ada perkara yang mengejutkan, mereka akan terkejut.

Mereka terlupa langsung apa yang mereka telah diingatkan tentang Hari Kiamat dan bagaimana bumi akan hancur segalanya. Memang manusia sebenarnya sudah tahu pun kerana sudah diberitahu berkali-kali semasa di dunia, tapi memang manusia memang jenis pelupa. Mereka lupa kerana terkejut sangat. Kerana memang kalau kita terkejut sangat, kadang-kadang kita lupa juga.

Allah menggunakan kalimah الإِنسانُ dalam ayat ini. Kalimah الإِنسانُ berbeza dengan kalimah النّاسُ yang juga bermaksud ‘manusia’ dan digunakan dalam ayat 6 nanti. Ini adalah kerana النّاسُ itu dalam sighah (bentuk) jamak dan الإِنسانُ dalam bentuk mufrad. Ini memberi isyarat yang mereka nanti akan berseorangan, bersendirian walaupun ramai orang lain waktu itu.

Waktu itu memang ramai sekali manusia kerana semua makhluk akan dibangkitkan sekali, tapi insan itu akan rasa seorang diri sahaja. Mereka kena hadapi masalah mereka bersendirian, tidak boleh berharap kepada orang lain; tidak boleh menyorok dalam jemaah yang ramai. Mereka tidak ketinggalan.

Dalam ayat yang lain, ada disebut lagi perkataan mereka selain dari dalam ayat ini. Sila lihat dalam Yaasin:52

قالوا يا وَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَرقَدِنا

“Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”.

Ini adalah kerana mereka terkejut sangat dengan kekecohan yang terjadi pada hari itu dan mereka rasa mati mereka di dalam kubur lagi bagus dan selesa kalau dibandingkan dengan keadaan Hari Kiamat itu. Dan waktu itu orang yang beriman akan berkata:

ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ

Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

Ini bermakna, ada dari kalangan manusia yang sedar dan ingat apakah hakikat hari itu. Mereka ingat bahawa kebangkitan semula itu memang telah diberitahu dalam wahyu, jadi mereka tidak terkejut.

Maka dalam ayat 3 Surah Zalzalah ini, yang kehairanan dan berkata [kenapa dengan dunia itu] adalah orang-orang kafir. Kerana orang beriman tidak berkata begitu. Orang yang beriman sedar apa yang sedang berlaku.


 

Ayat 4: Ayat 4 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir surah ini. Ia memberitahu kita bahawa bumi menjadi saksi atas amal manusia.

يَومَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخبارَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, it will report its news

(MALAY)

pada hari itu bumi menceritakan beritanya,

 

Kalimah يَومَئِذٍ merujuk kepada hari kiamat itu.

Kalimah تُحَدِّثُ berasal daripada katadasar ح د ث yang bermaksud memberitahu seseorang tentang sesuatu perkara. حدث bermaksud perkara baru yang terjadi yang tidak ada sebelum itu. Oleh itu, حَدَّث (tambahan syaddah pada huruf د) bermaksud memberitahu perkara baru yang orang yang diberitahu itu tidak tahu.

Atau, ia juga boleh bermaksud memberitahu perkara yang orang yang diberitahu itu sudah lupa. Jadi bila dia dengar, macam dia pertama kali dengar.

Atau, ia juga boleh bermaksud, memberitahu sesuatu maklumat itu dengan penuh kepada pendengar kerana pendengar itu tidak ada maklumat penuh sebelum itu. Mungkin dia tahu tapi dia tidak dapat maklumat lengkap, jadi kita bagi maklumat penuh kepadanya.

Nanti akan ada maklumat yang akan diberitahu oleh bumi nanti. Yang terlupa tentangnya akan diberitahu dan yang tidak ada maklumat penuh akan tahu dengan penuh waktu itu. Bumi akan beritahu segala apa yang telah dilakukan oleh manusia. Dan maklumat itu amat mengejutkan manusia, kerana mereka seolah-olah baru pertama kali dengar perkara itu.

Bumi akan memberitahu أَخبارَها – (beritanya). Kalimah أَخبارَ dari katadasar  خ ب ر (berita). Tapi ada kata lain yang juga digunakan untuk ‘berita’, iaitu نَّبَإِ seperti yang digunakan dalam Surah an-Naba’. Kenapa ada perbezaan penggunaan kalimah?

Mari kita lihat bezanya. Kalimah نَّبَإِ bermaksud berita tentang sesuatu perkara yang kalau tidak diberitahu, orang yang diberitahu itu tidak akan dapat tahu. Ianya adalah berita baru dan tidak dapat diketahui melainkan diberitahu. Ianya adalah perkara yang tidak dapat dicapai langsung secara normal. Kerana itulah kalimah ‘Nabi’ diambil dari نَّبَإِ kerana mereka menyampaikan maklumat perkara ghaib yang manusia memang tidak akan dapat ketahui dengan cara sendiri.

Antaranya, berita tentang Hari Kiamat dan tentang kejadian di akhirat. Manusia biasa memang tidak akan dapat ketahui perkara ini kerana ianya adalah perkara ghaib. Kalimah نَّبَإِ juga boleh jadi maklumat tentang perkara yang sudah lepas, perkara yang sedang terjadi dan perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

Sedangkan, خبر adalah untuk berita atau maklumat yang boleh didapati sendiri. Atau sesuatu yang boleh dijangkakan kerana tidaklah pelik sangat. Sebagai manusia biasa, ada maklumat-maklumat yang kalau kita tahu, tidaklah hairan sangat kerana ianya adalah normal sahaja.

Sebagai contoh, gempa bumi seperti yang disebut dalam ayat ini, kita pun boleh bayangkan, kerana ianya biasa terjadi, kita biasa dengar atau baca, sebab itu tidak digunakan kalimah نَّبَإِ dalam ayat ini.

Lagi satu, خبر hanya boleh digunakan untuk maklumat atau berita yang lepas dan masa sekarang – tidak ada berita atau maklumat tentang perkara yang akan terjadi di masa hadapan. Kalau berita yang diberitahu itu adalah tentang masa hadapan, maka ianya adalah salah satu dari نَّبَإِ.

Oleh kerana itulah, kalimah خبر amat sesuai digunakan dalam ayat ini. Begitulah tepatnya penggunaan kalimah di dalam Al-Qur’an. Kita boleh kaji dan apabila kita kaji, kita akan nampak bagaimana tepat penggunaannya.

Oleh itu, kalimat تُحَدِّثُ أَخبارَها (menceritakan beritanya) adalah untuk berita yang telah berlaku di masa lepas dan digunakan kalimah تُحَدِّثُ kerana walaupun ianya adalah berita lepas, tapi kerana ianya tidak disangka, maka mereka yang mendengarnya seperti terkejut kerana mereka tidak sangka. Juga kerana mereka memang telah terlupa apa yang mereka telah lakukan dulu.

Ulama’ membincangkan bagaimanakah pula bumi boleh memberitahu tentang sejarah lepas? Ibn Mas’ud mengatakan yang memang bumi akan bercakap kerana ia akan mendapat suara. Sekarang memanglah bumi tidak berkata-kata, tapi ia akan diberikan kebolehan berkata-kata waktu itu. Bumi akan berkata sendiri kepada manusia dan/atau kepada Allah.

Waktu itu bumi akan mengadu kepada Allah tentang apa yang dilakukan oleh manusia dan jin dari mula mereka duduk di bumi sampailah ke hari itu. Ini adalah pendapat Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Dan ini tidak mustahil kerana Allah boleh sahaja jadikan bumi boleh bercakap sepertimana Allah juga yang memberikan kebolehan manusia untuk berkata-kata.

Kita pun sudah belajar bagaimana ada benda yang kita tidak sangka akan berkata-kata, tapi bercakap juga seperti tangan, kaki dan kulit. Nabi pernah bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ -وَقَالَ التِّرْمِذِيُّ وَأَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ النَّسَائِيُّ، وَاللَّفْظُ لَهُ: حَدَّثَنَا سُوَيد بْنُ نَصْرٍ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ الْمُبَارَكِ-عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي أَيُّوبَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي سُلَيْمَانَ، عَنْ سَعِيدٍ المقْبُرِي، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا} قَالَ: “أَتَدْرُونَ مَا أَخْبَارُهَا؟ “. قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “فَإِنَّ أَخْبَارَهَا أَنَّ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ وَأَمَةٍ بِمَا عَمِل عَلَى ظَهْرِهَا، أَنْ تَقُولَ: عَمِلَ كَذَا وَكَذَا، يَوْمَ كَذَا وَكَذَا، فَهَذِهِ أَخْبَارُهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak; dan Imam Turmuzi mengatakan juga Abdur Rahman An-Nasai, sedangkan lafaz hadis berikut menurut apa yang ada padanya, bahawa telah menceritakan kepada kami Suwaid ibnu Nasi”, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnul Mubarak, dari Sa’id ibnu Abu Ayyub, dari Yahya ibnu Abu Sulaiman, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. membaca firman-Nya: pada hari itu bumi menceritakan beritanya. (Az-Zalzalah: 4) Lalu Rasulullah Saw. bersabda, “Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan ‘dengan beritanya’?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya berita bumi ialah bila ia mengemukakan persaksian terhadap setiap hamba laki-laki dan perempuan tentang apa yang telah dikerjakannya di atas permukaannya. Bumi mengatakan bahawa Fulan telah mengerjakan anu dan anu di hari anu. Demikianlah yang dimaksudkan ‘dengan beritanya’. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan, sahih, garib.


 

Ayat 5:

بِأَنَّ رَبَّكَ أَوحىٰ لَها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Because your Lord has inspired [i.e., commanded] it.

(MALAY)

kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

 

Kalimah أَوحىٰ selalunya diterjemahkan sebagai ‘wahyu’. Dari segi bahasa, ia dari katadasar و ح  ي yang bermaksud: memberi isyarat kepada seseorang secara rahsia, supaya orang lain tidak tahu. Oleh itu, dari segi bahasa, ia boleh digunakan dalam Al-Qur’an bukan untuk wahyu sahaja. Sebagai contoh, lihat dalam Maryam:11

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

Maka dia (Nabi Zakariya) keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu dia memberi isyarat kepada mereka; hendaklah kamu bertasbih di waktu pagi dan petang.

Ayat ini memberitahu bagaimana Nabi Zakariya keluar dari tempat sembahyangnya dan menyuruh pengikut baginda untuk bertasbih pagi dan petang. Tapi kalau kita lihat dari kisah sebelum ayat ini, baginda tidak boleh berkata-kata selama tiga hari tiga malam. Oleh itu, bagaimanakah baginda menyampaikan arahan itu kepada mereka?

Dalam ayat ini, digunakan kalimah فَأَوحىٰ yang seperti juga digunakan dalam ayat 5 Zalzalah ini. Dalam kisah Nabi Zakariya itu, baginda memberi isyarat tangan kepada mereka. Dengan isyarat itu, mereka tahu apa yang mereka kena lakukan.

Sekarang lihat contoh lagi di dalam Qasas:7

أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.

Dalam ayat ini, Allah telah ‘mewahyukan’ kepada ibu Nabi Musa a.s. Tapi ibu baginda bukanlah seorang Nabi, jadi tidaklah seperti yang Allah wahyukan kepada para Nabi. Jadi, maksud أَوحَينا di dalam ayat ini adalah: ‘Kami ilhamkan’ – maksudnya, Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa.

Bukan sahaja Allah menggunakan أَوحىٰ, tapi syaitan pun menggunakan kaedah yang sama: Sila lihat dalam Al-An’am:121

وَإِنَّ الشَّياطينَ لَيوحونَ إِلىٰ أَولِيائِهِم لِيُجادِلوكُم

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu;

Maksud لَيوحونَ adalah syaitan itu akan membisikkan, memberi isyarat dan memberi maklumat kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Sama-sama tahu apa yang hendak dilakukan.

Baik, setelah membincangkan dengan panjang lebar tentang maksud ‘wahi’ dalam ayat Zalzalah ini, kita cuma hendak memberitahu bahawa Allah telah memberi isyarat kepada bumi untuk keluarkan khabar seperti yang telah disebut.

Kalau kita lihat kepada kalimat رَبَّكَ أَوحىٰ لَها (Tuhanmu memberi ilham kepada bumi). Allah tidak kata “Aku beri ilham kepada bumi” kerana Allah menjauhkan DiriNya dari arahan itu kerana hendak menunjukkan kemurkaan Allah kepada apa yang telah dilakukan oleh kebanyakan dari manusia. Kerana kebanyakan manusia melakukan dosa-dosa yang banyak.

Satu lagi dari dari segi bahasa: lihat pada kalimah أَوحىٰ لَها (diilhamkan untuknya). Dari segi bahasa, yang sepatutnya digunakan adalah أَوحىٰ إليها (diilhamkan kepadanya). Hurf jar إلى adalah hurf jar yang selalu digunakan kalau berkenaan dengan wahi, seperti digunakan dalam أَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ (Kami ilhamkan kepada ibu Musa). Ini adalah kerana ilham itu adalah satu arahan selalunya. Oleh itu, kalimat أَوحىٰ لَها sebenarnya agak pelik dan kita perlu kaji dan lihat keindahan dan kehebatan kenapa digunakan kalimat itu dalam bentuk itu.

Hurf jar ل selalunya digunakan apabila Allah memberi keizinan. Oleh itu, Allah gabungkan dua perkara dalam ayat أَوحىٰ لَها. Allah beri ‘arahan’ dan dalam masa yang sama, Allah beri ‘izin’. Allah gunakan konsep hazf (menghilangkan) dalam ayat ini. Memang sesuatu yang menarik yang digunakan dalam Al-Qur’an. Kalau arahan dari Allah kita faham, tapi kenapa Allah beri keizinan pula?

Ini adalah kerana bumi itu memang hendak meluahkan apa yang ada dalam hatinya tentang entah berapa lama manusia telah berbuat kerosakan di atas muka bumi ini. Maka Allah berikan keizinan kepada bumi untuk meluahkan perasaannya yang telah dipendam sekian lama.

Sekarang selagi belum Kiamat, bumi hanya dapat tengok sahaja apa yang sedang dilakukan manusia dan tidak dapat berkata apa-apa kerana Allah tidak beri kebolehan bercakap lagi kepada bumi. Bumi terpaksa bersabar dengan perbuatan makhluk di atasnya. Tapi nanti akan sampai masa apabila bumi dibenarkan untuk menyampaikan apa yang telah berlaku di atasnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Zalzalah Ayat 3 – 5 (Bumi bagi laporan)”

  1. Assalaamualaikum tuan. Sedikit pertanyaan kenapa kah kalimah ta ha da dibariskan sehingga berbunyi tuhaddasu ah ba raha. Sepatutnya tuhaddisu.

    Like

    1. Rupanya ramai ada masalah pembacaan Qur’an. Sila lihat bahawa tanda itu di’bawah’ tanda sabdu, jadi ianya adalah ‘tanda bawah’ (kasrah). Kalau awak tak nampak, maknanya banyak lagi ayat-ayat lain awak silap baca. Dan bukan awak sahaja, dah tiga orang yang saya tanda perkara sebegini. itu yang tanya, yang tidak tanya, buat senyap sahaja?

      Beza baris atas atau pun bawah dilihat samada ianya di atas atau di bawah sabdu. penulisan berkomputer selalunya begitu.

      Like

      1. Terima kasih atas penjelasan tuan. Saya sebenarnya khuatir jadi kebanyakan ayat saya baca dlm hati. Mungkin selepas ni tuan boleh buat satu ruangan penjelasan atau penerangan cara membaca tulisan arab komputer.

        Like

  2. Apapun terima kasih tuan kerana menyediakan wadah pembelajaran tafsir ini. Usaha dan jasa tuan hanya Allah lah yg dpt membalasnya.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s