Tafsir Surah Maryam Ayat 7 – 11 (Nabi Zakaria dapat anak)

Ayat 7: Maka, Allah telah memakbulkan doa Nabi Zakaria dan Allah telah berfirman:

يا زَكَرِيّا إِنّا نُبَشِّرُكَ بِغُلامٍ اسمُهُ يَحيىٰ لَم نَجعَل لَهُ مِن قَبلُ سَمِيًّا

Sahih International

[He was told], “O Zechariah, indeed We give you good tidings of a boy whose name will be John. We have not assigned to any before [this] name.”

Malay

(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorang pun yang senama dengannya”.

يَا زَكَرِيَّا

Wahai Zakaria,

Allah terus jawab doa Nabi Zakaria. Kalau kita lihat pada ayat ini, tidak ada perkataan lain langsung antara doa Nabi Zakaria dan jawapan Allah ini. Tidak ada pun perkataan seperti perkataan قال yang biasa kita lihat. Ini menunjukkan betapa cepatnya Allah makbulkan doa baginda. Allah makbulkan dengan cepat kerana doa Nabi Zakaria yang tepat dan kena caranya.

إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ

Sesungguhnya Kami memberi berita gembira kepada kamu dengan seorang anak;

Berita itu disampaikan semasa baginda sedang solat.

Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

اسْمُهُ يَحْيَىٰ

yang namanya Yahya;

Dari sini kita tahu yang nama Nabi Yahya itu bukan Nabi Zakaria yang beri, tapi Allah sendiri yang beri. ‘Yahya’ bermaksud ‘yang hidup’. Nabi Zakaria kata baginda sudah tua, isterinya tak boleh dapat anak, tapi dapat ‘hidup’ juga akhirnya.

Kita selalunya menamakan anak kita dengan nama orang baik-baik dari zaman dahulu. Kita namakan anak-anak kita seperti Bilal, Aisyah, Sumayyah, Hamzah, Ali, Hassan, Hussein dan lain-lain lagi individu soleh dan solehah zaman dahulu. Ianya sebagai doa kita supaya anak-anak kita jadi seperti mereka juga.

Dan nama itu menjadi sebagai motivasi kepada anak kita. Supaya apabila mereka tahu nama mereka diambil dari mana, mereka akan berusaha untuk menjadi seperti individu itu juga.

Atau nama itu sendiri ada doa di dalamnya. Macam kita namakan anak kita Husna, supaya anak itu jadi seorang yang baik. Itu adalah harapan kita dalam memberi nama itu dan semoga Allah menjadikan mereka seperti apa yang kita hajatkan.

Tapi apabila Allah sendiri yang berikan nama itu, maka dia akan menjadi apakah maksud nama itu. Apa sahaja maksud sebenar Yahya itu, dia akan menjadi seperti orang yang Allah maksudkan.

لَمْ نَجْعَلْ لَهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا

yang belum pernah aku jadikan nama yang serupa dengannya;

Allah beritahu yang tidak ada lagi orang yang bernama Yahya sebelum itu. Nabi Yahya adalah orang yang pertama yang bernama Yahya.

Dari segi bahasa, سَمِيًّا diambil dari katadasar yang س م و bermaksud ‘ketinggian’. Jadi, ini boleh bermaksud, Allah berikan nama anak Nabi Zakaria itu dengan nama yang berkedudukan tinggi. Lebih tinggi lagi dari apa yang Zakaria harapkan dan doakan. Juga bermaksud, tidak pernah orang yang ada kualiti seperti apa yang Nabi Yahya ada.

Perkataan ‘ism’ – nama – juga datang dari katadasar yang sama dengan perkataan س م و itu. Maka ada dua makna سَمِيًّا itu. Mungkin juga bermakna tidak ada orang yang bernama sebegini, atau ketinggian sifat Nabi Yahya. Kita boleh pakai dua-dua makna.

Satu lagi makna adalah tidak ada lagi kejadian seperti ini sebelum itu. Iaitu seorang lelaki dan perempuan yang tua dapat melahirkan anak. Ataupun ia juga boleh bermaksud, tidak ada manusia yang sepertinya sebelum itu. Kerana istimewanya Nabi Yahya itu. Jadi, ada tiga maksud yang boleh diambil dari kata سَمِيًّا itu. Allahu a’lam.

Apabila doa dilakukan dengan baik dan dengan cara yang tepat, maka Allah akan memakbulkan doa itu. Allah tidak kira dengan halangan yang ada. Memang ada sunnatullah (hukum alam) dalam alam ini. Seperti contoh, api akan membakar, pisau akan melukakan dan ibubapa yang tua tidak boleh melahirkan anak. Tapi semua itu bukan halangan kepada Allah.

Allah boleh ubah sunnatullah itu jika Dia mahu. Kerana sunnatullah itu, Dia juga yang buat. Dan apabila doa dilakukan dengan betul, maka Allah boleh ubah. Jadi, kalau ikut sunnatullah, Nabi Zakaria dan isterinya tidak sepatutnya dapat anak pada usia yang sebegitu dan keadaan isterinya yang sebegitu, tapi Allah makbulkan juga.


Ayat 8: Apabila manusia sudah dapat berita gembira, sama ada dapat projek atau dapat kerja, tentu mereka akan bertanya bila mereka akan dapat kerja itu. Ini kerana memang manusia itu bersifat gopoh. Begitu juga dengan Nabi Zakaria sebab dia gembira sangat. Dia hendak tahu lebih lagi. Maka, ini adalah soalan yang Nabi Zakaria tanya kepada Allah:

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلامٌ وَكانَتِ امرَأَتي عاقِرًا وَقَد بَلَغتُ مِنَ الكِبَرِ عِتِيًّا

Sahih International

He said, “My Lord, how will I have a boy when my wife has been barren and I have reached extreme old age?”

Malay

Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”

قَالَ رَبِّ

Ya Rabbku!

Kata-kata Nabi Zakaria ini adalah kerana baginda rasa gembira sangat. Dia nak Allah berkomunikasi dengan dia lagi. Katakanlah kita dapat jumpa orang yang kita sayang sangat, takkan kita nak cakap sekejap sahaja dengan dia. Tentu kita akan tanya dia macam-macam lagi supaya dia terus duduk lama dengan kita.

Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria berkata terus dengan Allah. Walaupun waktu itu yang datang memberitahu kepada baginda adalah malaikat, tapi Nabi Zakaria terus bercakap dengan Allah. Apakah yang kita boleh ambil dari ini?

Kita tidak perlu kepada perantaraan untuk bercakap dengan Allah. Kerana Allah dengar kata-kata kita. Maka kita boleh terus sahaja bercakap dengan Allah. Nabi Zakaria faham hal ini. Tapi orang kita tak faham – kalau nak berdoa, mereka akan minta orang lain yang doakan. Mereka rasa kena juga guna perantara dalam doa.

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلَامٌ

Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak;

Nabi Zakaria tanya bagaimana cara dia boleh dapat anak? Kita pun biasa juga tanya macam itu. Sebab kita tidak tahu ilmu ghaib, jadi kita hendakkan kepastian. Yang salahnya, masyarakat kita ada yang kata kalau nak dapat anak, beri salam dan sedekah Fatihah kepada Nabi Zakaria.

Padahal, kita sendiri baca dalam ayat ini, Nabi Zakaria minta anak kepada Allah. Lalu bagaimana kita minta kepada Nabi Zakaria? Adakah Nabi Zakaria boleh tolong kita untuk dapatkan anak? Sedangkan dia sendiri minta kepada Allah?

Kata أَنَّىٰ menunjukkan rasa terkejut macam tidak percaya.

Qur’an menggunakan perkataan غُلَامٌ. Dalam kisah kelahiran Nabi Isa, apabila Maryam juga terkejut dengan berita bahawa dia akan mendapat anak, perkataan yang digunakan dalam ayat Qur’an berkenaan kisah itu menggunakan perkataan ‘walad’, bukan غُلَامٌ. Apakah bezanya dari dua perkataan itu? Tentu ada perbezaannya.

Apabila Maryam diberikan berita gembira dari Allah, Allah menggunakan perkataan ‘kalimat’. Tapi apabila berita gembira diberikan kepada Nabi Zakaria, perkataan غُلَامٌ digunakan iaitu dalam ayat ke-7 dalam surah ini. Maka, Qur’an meneruskan penggunaan kata yang sama.

وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا

sedangkan isteriku adalah seorang yang sampai sekarang belum pernah lagi berjaya melahirkan anak?

Kebanyakan terjemahan menggunakan perkataan ‘mandul’. Tapi seperti kita telah belajar sebelum ini, perkataan mandul tidak sesuai digunakan dalam maksud عَاقِرًا ini.

وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا

dan aku sendiri pula telah melepasi tahap umur yang sangat lanjut?

Kalimah عِتِيًّا bermaksud ‘telah melampaui had’. Ada juga digunakan perkataan yang sama dalam Surah Mulk. Iaitu digunakan perkataan عُتُوٍّ dalam ayat ke Mulk:21. Dalam ayat itu, orang kafir telah melampaui had dalam kesesatan mereka. Dalam Surah Maryam ini, Nabi Zakaria mengaku bahawa baginda telah terlalu tua kerana baginda sudah lepas tahap umur yang sesuai untuk mendapat anak.

Mari kita bincangkan kenapa Nabi Zakaria masih lagi tanya, padahal berita tentang kedatangan anak itu datang sendiri dari Allah. Bagaimana seorang Nabi seperti baginda boleh mempersoalkan pula berita dari Allah – (disampaikan oleh malaikat)?

Kita kena faham, pertanyaan Nabi Zakaria ini adalah kerana baginda hendak mendapatkan maklumat lanjut. Bukanlah baginda tidak percaya. Macam juga kita, apabila dapat surat kemasukan universiti, tentu kita amat suka. Baca surat tawaran itu sampai sepuluh kali. Kita tidak terus simpan macam ia tidak ada apa-apa makna, bukan? Kita hendak beritahu orang lain. Jumpa sesiapa sahaja kita akan cerita. Sebab kita sedang suka sangat.

Sama juga dengan Nabi Zakaria; baginda suka sangat dan baginda hendak bercakap-cakap lagi berkenaan dengan berita gembira itu. Kalau kita tahu kita dapat anak sahaja, kita tak sabar nak cerita kepada orang. Dapat scan sahaja, kita nak tunjuk kepada orang lain. Padahal kita tak faham pun scan itu. Tapi sebab kita suka sangat sampai kita nak tunjuk merata-rata.

Sama juga dengan kisah bagaimana Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah bagaimanakah Allah menghidupkan yang mati? Allah tanya adakah baginda tidak percaya? Nabi Ibrahim kata baginda bukan tidak percaya, tapi baginda hendak tahu lagi. Maka Nabi Zakaria pun hendak tahu bagaimana cara baginda akan dapat anak itu? Kerana baginda sudah tua dan isterinya pula belum pernah dapat anak. Contohnya: Adakah Allah akan mudakan baginda balik? Atau akan diberikan isteri yang muda?


Ayat 9: Allah jawab. Mungkin jawapan itu melalui malaikat.

قالَ كَذٰلِكَ قالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَقَد خَلَقتُكَ مِن قَبلُ وَلَم تَكُ شَيئًا

Sahih International

[An angel] said, “Thus [it will be]; your Lord says, ‘It is easy for Me, for I created you before, while you were nothing.’ ”

Malay

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.”

قَالَ كَذَٰلِكَ

Katanya: seperti kamu sekarang;

Baginda akan mendapat anak dalam keadaan baginda dan isterinya sekarang. Tak perlu diubah diri mereka. Kerana mungkin Nabi Zakaria tertanya-tanya: adakah apabila Allah hendak memberikan anak kepadanya, adakah Allah akan menjadikannya muda kembali? Kerana Allah boleh sahaja menjadikan manusia muda kembali.

Atau adakah Allah akan memberikannya isteri yang lain kerana isterinya sendiri tidak pernah melahirkan anak? Cara bertanya itu menunjukkan lemahnya baginda, mengharapnya baginda kepada pemberian Allah. Berminat sangat hendak tahu bagaimana cara baginda akan dapat anak.

Tapi Allah jawab bahawa tidak perlu diubah apa-apa. Allah boleh baiki peranakan isterinya. Allah boleh beri kekuatan bersetubuh kepada dirinya kembali. Kerana Dia itu adalah Allah yang Maha Berkuasa.

قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ

Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu;

Untuk mencipta Nabi Yahya itu mudah sahaja bagi Allah. Tidak perlu pelik dengan kejadian itu. Allah menggunakan perkataan رَبُّ dalam ayat ini. Kerana hendak mengingatkan bahawa Allahlah yang menjadikan dan memelihara kita.

Senang sahaja bagi Allah untuk berbuat apa-apa. هَيِّنٌ bermaksud sesuatu yang amat mudah bagi pembuatnya untuk buat. Tidak memerlukan usaha pun. Kerana kalau senang, perkataan ‘yaseer’ digunakan. هَيِّنٌ adalah sesuatu yang lebih mudah dari senang.

Ingatlah bahawa ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ketika mereka sedang ditindas oleh kafir musyrik di Mekah. Mereka waktu itu mengharapkan sangat pertolongan dari Allah. Dan dengan menurunkan ayat-ayat ini, Allah nak ingatkan kepada Nabi Muhammad bahawa lihatlah sebagaimana Dia telah tolong Nabi Zakaria, maka Dia juga akan menolong Nabi nanti. Allah memberitahu kepada Nabi bahawa Dia tidak melupakan hal keadaan Nabi Muhammad ketika itu.

Allah beri contoh seterusnya:

وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ قَبْلُ

sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu;

Allah ingatkan yang Dia lah juga yang telah menciptakan Nabi Zakaria dan segala makhluk-makhluk yang lain.

وَلَمْ تَكُ شَيْئًا

sedang engkau pada masa itu belum apapun;

Sebelum itu Nabi Zakaria belum jadi manusia pun lagi. Jadi, hendak cipta manusia yang baru, tidak ada masalah bagi Allah.

Ingatlah bahawa kita semua ini diadakan di dunia ini dari tidak apa-apa. Waktu itu pun Allah boleh buat, tambahan pula kalau hendak menjadikan sesuatu dari seorang ibu dan seorang bapa? Kalau nak kira mudah, lagi mudah kalau begitu. Tapi pada Allah, semua itu sama sahaja, senang sahaja bagi Allah.

Perkataan yang digunakan adalah تَكُ. Sepatutnya dari segi bahasa, perkataan yang biasanya digunakan adalah تكن. Penggunaan kedua-duanya adalah benar dalam bahasa Arab. Kadang-kadang huruf ن boleh dibuang. Tapi kenapa Allah buang dalam ayat ini? Kerana hendak menunjukkan bahawa kamu dulu Zakaria, belum apa-apa lagi seperti juga ن itu tidak ada apa-apa makna. Kamu belum jadi apa-apa, kemudian Allahlah yang menjadikan kamu.

Kelahiran Nabi Yahya ini adalah satu kelahiran yang ajaib. Kerana ibubapanya dua-dua sudah tua sangat. Tapi selepas ini kita akan belajar lagi tentang kelahiran yang lagi ajaib, iaitu kelahiran Nabi Isa dari ibu yang masih dara dan tiada bapa.

Jadi, Allah telah membuka sedikit minda kita bagaimana Allah mampu melakukan apa sahaja. Mula-mula Allah cerita tentang kelahiran yang ajaib sedikit kemudian kejadian yang lebih ajaib lagi.


Ayat 10: Apabila telah dapat berita gembira, soalan seterusnya dari Nabi Zakaria adalah bilakah baginda akan dapat anak? Ini menunjukkan para Nabi tidak tahu ilmu ghaib. Mereka juga ada kelemahan-kelemahan seperti manusia lain. Bukanlah disebabkan mereka itu Nabi, mereka tahu perkara ghaib. Allah sahaja yang tahu perkara ghaib.

Maka, tidak layak kita jadikan mereka sebagai ‘perantaraan’ dalam doa kita kepada Allah. Sebagai contoh, ada manusia yang minta kepada Nabi Zakaria untuk mintakan pula kepada Allah untuk memberikan anak kepada mereka. Jadi, kalau kita hendak anak, maka minta terus kepada Allah. Tak perlu perantaraan.

قالَ رَبِّ اجعَل لي آيَةً ۚ قالَ آيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلاثَ لَيالٍ سَوِيًّا

Sahih International

[Zechariah] said, “My Lord, make for me a sign.” He said, “Your sign is that you will not speak to the people for three nights, [being] sound.”

Malay

Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”, Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.

قَالَ رَبِّ

Nabi Zakaria berkata, “Ya Rabbku!

Nabi Zakaria masih lagi mahu berkomunikasi dengan Allah. Maka ada soalan lagi yang baginda hendak tanya.

اجْعَلْ لِي آيَةً

Jadikanlah aku suatu tanda;

Macam juga kita kalau dapat projek, kita nak tahu bilakah kita akan dapat offer letter untuk projek itu? Kalau dapat kerja, bila boleh dapat surat tawaran kerja? Sebab kita mahukan kepastian.

Begitu juga kalau ada sesuatu tarikh yang kita anggap penting sangat, kita akan menunggu-nunggu bilakah akan sampai kepada hari itu. Sebagai contoh, katakanlah kita akan tamat pengajian di universiti, kita akan tanda dalam kalender kita dan akan kira berapa hari lagi sampai kita akan keluar dari universiti itu. Kerana kita tak sabar-sabar lagi nak keluar dan memulakan hidup yang baru. Begitu jugalah dengan Nabi Zakaria. Baginda hendak dapatkan kepastian, bilakah baginda akan dapat anak itu?

Satu lagi sebab kenapa Nabi Zakaria tanya ini adalah kerana baginda hendak meneruskan pertanyaan kepada Allah kerana dia dapat berkomunikasi dengan Allah.

قَالَ آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ

Allah berkata: tanda kamu adalah kamu tidak boleh berkata-kata dengan manusia

Ulama berpendapat, lidahnya kaku tidak dapat berkata-kata selama tiga hari. Ini akan menjadi tanda yang isterinya sudah mengandung.

ثَلَاثَ لَيَالٍ

selama tiga malam;

Dalam Ali Imran:41 disebut ‘tiga hari’. Dalam surah Maryam ini, permulaan surah ini adalah bagaimana Nabi Zakaria merayu-rayu kepada Allah. Maka, keadaan adalah seperti suasana kegelapan, jadi Qur’an meneruskan tema itu dengan menggunakan kalimah ‘malam’. Maksudnya tiga hari dan tiga malam baginda tidak dapat bercakap dengan orang (bukan tiga malam sahaja).

Tapi, dalam Surah Ali Imran, tema surah itu adalah dalam keceriaan, maka Qur’an meneruskan tema keceriaan itu dengan menggunakan perkataan ‘hari’.

سَوِيًّا

sedangkan kamu sihat

Tidak ada masalah dengan Nabi Zakaria, cuma baginda tidak boleh bercakap dengan manusia waktu itu. Itulah tanda yang Allah berikan kepada baginda.

Ini mengajar kepada kita, walaupun kita ada segala kelengkapan untuk bercakap, tapi jika Allah tidak benarkan kita bercakap, kita pun tidak boleh nak bercakap. Begitu jugalah dengan perkara-perkara yang lain. Kita mungkin sangka kita ada kudrat untuk melakukan sesuatu, tapi kalau Allah tidak benarkan, kita tidak akan dapat melakukannya.


Ayat 11:

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا

Sahih International

So he came out to his people from the prayer chamber and signaled to them to exalt [ Allah ] in the morning and afternoon.

Malay

Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu dia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

Maka keluarlah Nabi Zakaria berjumpa kaumnya;

Iaitu baginda berjumpa dengan kaum Bani Israil yang duduk berdekatan dengannya. Manusia sedang menunggunya kerana baginda adalah imam kepada mereka.

مِنَ الْمِحْرَابِ

dari mihrab;

Ini adalah mihrab yang berada di dalam Masjid BaitulMaqdis. Mihrab adalah satu tempat yang digunakan untuk berzikir. Kalau zaman sekarang, ada manusia yang buat bilik bertapa. Tapi apa yang Nabi Zakaria buat itu adalah syariat Nabi-nabi dahulu. Syariat Nabi Muhammad tidak ada amalan bertapa. Yang kita ada adalah iktikaf dalam masjid. Jadi, tidak perlu nak bertapa lagi.

Tapi, ada ajaran-ajaran yang terlebih sampai mengajar manusia bertapa di gunung, di gua, di dalam kubur pun ada juga. Dengan harapan yang salah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Padahal, bukankah kalau iktikaf di masjid itu lebih elok lagi? Kerana itulah ajaran Nabi.

Ada juga yang memberikan alasan bertapa sebegitu kerana Nabi dulu pun bertahannuth di Gua Hira’. Tapi, bilakah Nabi buat begitu? Selepas baginda jadi Nabi atau sebelum baginda jadi Nabi? Selepas Nabi diangkat jadi Nabi, adakah baginda buat lagi amalan tahannuth itu? Apa yang Nabi buat semasa di Gua Hira’ itu pun kita tidak pasti kerana tidak pernah sampai kepada kita melalui jalan yang sahih apakah yang Nabi buat semasa di sana. Jadi, apakah sunnah yang kita hendak ambil dari amalan Nabi itu? Orang kita kalau buat amalan itu, hanya agak-agak sahaja atau mereka mendapat amalan dari syaitan sahaja.

Kalimah الْمِحْرَابِ dari katadasar ح ر ب – perang. Digunakan perkataan ‘perang’ di sini kerana di situlah orang yang beribadat sedang ‘berperang’ dengan syaitan dan nafsu mereka.

Hendaklah dibezakan perkataan الْمِحْرَابِ ini dengan mihrab yang kita ada pada zaman sekarang. Zaman sekarang, apabila disebut mihrab, ianya merujuk kepada tempat imam berdiri semasa jadi imam. Itu lain dari mihrab zaman Nabi Zakaria.

فَأَوْحَىٰ إِلَيْهِمْ

Maka dia memberi isyarat kepada mereka;

Waktu itu baginda beri isyarat sahaja kepada mereka kerana baginda tidak boleh bercakap waktu itu.

Perkataan أَوْحَىٰ diambil dari katadasar  و ح ى – wahy. Dari segi bahasa, ia bermaksud mesej yang disampaikan dengan cepat dan secara senyap atau cara rahsia. Tidak pasti bagaimanakah cara Nabi Zakaria beri mesej kepada kaumnya itu. Ada yang mengatakan bahawa baginda menggunakan bahasa isyarat atau tulis atas tanah atau atas kertas.

أَنْ سَبِّحُوا

hendaklah mereka bertasbih

Baginda telah diberikan dengan berita gembira bahawa akan lahir anaknya yang akan meneruskan tugas-tugasnya. Tapi baginda tidak melupakan umatnya yang ada bersamanya waktu itu. Baginda masih meneruskan tugas menyampaikan dakwah kepada mereka.

Baginda memang menunggu Allah mengurniakan kepada baginda seorang anak yang dapat meneruskan usaha menyebarkan agama kepada umat. Dan sekarang Allah telah memberitahu kepada baginda bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak seperti yang dipintanya. Tapi lihatlah bagaimana baginda terus menjalankan apa yang baginda boleh buat dalam menyebarkan agama.

Baginda tidak tunggu anak itu lahir baru nak buat. Begitu jugalah kita. Kita memang kadang-kadang simpan niat yang besar untuk belajar agama, contohnya. Kita kata dalam hati kita, kalaulah kita ada masa yang panjang, kita nak belajar sungguh-sungguh agama ini. Nak ambil cuti kerja setahun untuk pergi ke Pakistan, Mesir atau Madinah nak belajar agama. Keinginan kita adalah untuk faham betul-betul agama yang telah diturunkan Allah ini.

Tapi janganlah kita tunggu ada masa yang begitu baru kita nak belajar agama. Kita belajarlah setakat yang kita mampu lakukan dalam masa sekarang. Boleh pergi mana-mana kelas yang mengajar agama dengan betul, yang mengajar tafsir Qur’an, mengajar hadis dan sebagainya. Sudah ada banyak tempat nak belajar di negara kita ini. Tidak perlu pergi jauh-jauh lagi pun sudah boleh belajar.

Cuma kena pandai pilih manakah tempat yang mengajar dengan betul. Sebab kalau salah pilih, maka yang diajar adalah benda-benda yang salah. Yang diajar adalah benda-benda kecil sahaja, yang penting-penting tidak diajar. Yang diajar cuma kitab-kitab karangan manusia, tapi makna-makna Qur’an tidak diajar, kata-kata Nabi tidak disentuh. Maka, akan semakin jahil lah kita kalau begitu. Hendaklah cari kelas pengajian yang mengajar sunnah yang betul-betul sunnah.

Begitu juga, kita pun ada simpan dalam hati kita niat yang baik – kalau kita jadi kaya, kita akan bina masjid, kita akan buat rumah anak yatim dan sebagainya. Tapi kita sekarang tidak kaya-kaya lagi. Adakah kita tunggu nak jadi kaya baru kita nak sedekah dan infak kepada manusia? Buatlah apa yang termampu dalam masa sekarang.

Begitu juga kalau kita sudah ada ilmu yang sedikit. Sampaikan kepada manusia lainnya. Tidak perlu tunggu sudah habis belajar, sudah jadi alim, sudah jadi ustaz, sudah jadi maulana baru nak mengajar. Ajarlah mana yang kita sudah tahu. Sebab kalau nak tunggu bila sudah habis belajar, tak tahu bila lagi kita akan sampai ke tahap itu.

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi-pagi dan petang-petang;

Baginda nasihat mereka untuk bertasbih kerana baginda sendiri pun buat begitu juga dan sekarang baginda menyuruh kaumnya juga berbuat demikian.

Selepas itu, maka lahirlah Yahya. Kisah itu tidak disebut kerana dipotong. Qur’an tidak menceritakan dengan satu persatu. Qur’an bukanlah satu novel yang menceritakan setiap perkara satu persatu. Qur’an hanya menyebut perkara-perkara yang penting sahaja.

Maka, kalau ayat-ayat Qur’an itu kita baca, maka kita tahulah bahawa ianya adalah penting kerana Allah telah masukkan ayat-ayat itu dalam Qur’an. Kalau tak penting, Allah tak masukkan. Maka kita tahu setiap ayat dalam Qur’an ada pengajaran yang hendak disampaikan.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Disember 2017


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s