Tafsir Surah Tawbah Ayat 127 – 129 (Natijah meninggalkan majlis ilmu)

Ayat 127:

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ نَظَرَ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ هَل يَراكُم مِن أَحَدٍ ثُمَّ انصَرَفوا ۚ صَرَفَ اللَّهُ قُلوبَهُم بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whenever a sūrah is revealed, they look at each other, [saying], “Does anyone see you?” and then they dismiss themselves. Allāh has dismissed their hearts because they are a people who do not understand.

(MALAY)

Dan apabila diturunkan satu surah, sebahagian mereka memandang kepada yang lain (sambil berkata): “Adakah seseorang dari (orang-orang muslimin) yang melihat kamu?” Sesudah itu mereka pun pergi. Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

 

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ

Dan apabila diturunkan satu surah,

Ini adalah tentang golongan munafik yang duduk bersama dengan Nabi dan para sahabat yang lain. Mereka itu tidak beriman, tapi duduk dan bergaul dengan para mukmin, berlakon beriman juga. Mereka solat bersama sahabat dan Nabi, dan mereka juga duduk dalam majlis pengajian Nabi Muhammad.

Dan waktu itu wahyu masih turun lagi, maka adalah kemungkinan waktu mereka duduk dalam majlis baginda, ada ayat Qur’an yang turun.

 

نَظَرَ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ

sebahagian mereka memandang kepada yang lain

Dan apabila duduk dalam mana-mana majlis Nabi dan waktu itu turun ayat Qur’an yang baru, masing-masing dari kalangan orang munafik itu memandang satu sama lain dalam majlis itu. Mereka akan memandang kawan-kawan mereka yang sealiran dengan mereka.

Mereka kenal sesama mereka dan kerana itu mereka memandang sesama sendiri. Mereka memandang dengan maksud, bukan pandang kosong sahaja. Macam kita juga, kalau dengan kawan, tengok sahaja sudah faham apa kawan nak sampaikan sebab sudah kenal lama.

 

هَل يَراكُم مِن أَحَدٍ

“Adakah seseorang dari (orang-orang muslimin) yang melihat kamu?”

Keadaan ini sama ada mereka bercakap dengan kawan mereka, atau mereka sampaikan maksud dengan pandangan mata sahaja: “adakah orang lain nampak kamu tak?”

Mereka tanya sebab mereka nak lari dari majlis itu. Mereka takut kalau orang lain perasan. Tapi orang lain tengok Nabi sahaja, tekun tumpukan perhatian kepada apa yang disampaikan oleh baginda. Mereka nak lari keluar kerana mereka gelisah takut dalam surah itu ada beritahu tentang mereka.

 

ثُمَّ انصَرَفوا

Sesudah itu mereka pun pergi.

Apabila mereka rasa tidak ada yang perasan kepada mereka, mereka pun beredar dari majlis itu secara perlahan-lahan. Mereka takut-takut kalau ada surah baru pula lagi. Kalau Nabi ada dapat wahyu baru, mereka tak mahu nak duduk lagi. Ini adalah kerana mereka amat takut kerana kalau turun masa mereka ada, susah mereka nanti. Ini adalah kerana mereka takut ayat-ayat Qur’an yang baru itu adalah berkenaan mereka.

 

صَرَفَ اللَّهُ قُلوبَهُم بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَفقَهونَ

Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Oleh kerana mereka lari dari majlis Nabi, Allah palingkan hati mereka. Allah palingkan terus mereka dari faham ayat-ayat Qur’an. Allah buat begitu kerana mereka tidak memahami kepentingan Qur’an. Allah telah palingkan hati mereka dari dahulu lagi kerana mereka tidak mahu memahami. Mereka memang tidak mahu memahami dan buat tidak kisah sahaja kepada wahyu. Ini adalah kerana mereka dari mula lagi tidak mahu beriman.

Kalau zaman sekarang, mereka ini adalah jenis yang tidak mementingkan pengetahuan agama. Mereka rasa, tidak perlu belajar pandai-pandai tentang agama. Kalau lagi pandai, lagi susah, jadi lagi pelik pula. Mereka rasa, kalau pandai agama, banyak benda tidak boleh buat.

Jadi mereka terus jadi jahil, ikut sahaja apa yang hati mereka kata dan suruh mereka buat. Tapi ingatlah, dalam ayat ini, Allah beritahu kalau berpaling dari majlis ilmu, Allah akan palingkan hati kita. Ini amat menakutkan sekali.


 

Ayat 128: Kita sudah sampai ke penghujung surah ini dan sekarang disebut targhib untuk berjuang. Surah ini tentang perang dan bukan untuk menceritakan rahmah Allah – dalam surah lain sudah banyak tentang rahmat Allah, tapi tidak dalam surah ini. Maka bayangkan, surah ini tidak dimulakan dengan Basmalah pun. Tapi Allah nak memberitahu kita yang Rasulullah itu adalah rahmah untuk kita.

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has certainly come to you a Messenger from among yourselves. Grievous to him is what you suffer; [he is] concerned over you [i.e., your guidance] and to the believers is kind and merciful.

(MALAY)

Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

 

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِن أَنفُسِكُم

Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri,

Sekarang Allah sedang menyebut tentang sifat-sifat Rasulullah. Allah mulakan dengan ingatkan bangsa Arab yang baginda itu datang dari bangsa mereka sendiri. Ini adalah satu nikmat besar dari Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain. Hal ini telah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s., seperti yang disitir oleh firman-Nya:

{رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولا مِنْهُمْ}

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri. (Al-Baqarah: 129)

 

عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم

berat terasa olehnya penderitaanmu, 

Terasa berat di hati baginda dengan apa yang ditanggung oleh orang Islam. Walaupun yang kena itu adalah orang lain, tapi baginda yang rasa berat. Itulah Allah hendak memberitahu kepada kita yang Rasulullah itu adalah rahmah bagi kita. Allah mengenangkan kepentingan kita kepada baginda dan betapa sayangkan baginda kepada kita. Sebagai contoh, kita pun tentu pernah baca bagaimana Nabi telah meminta Allah meringankan bilangan rakaat solat untuk kita.

Dan kita telah baca dalam surah ini juga bagaimana Nabi telah mengizinkan sesiapa sahaja yang datang kepada baginda untuk tidak menyertai Perang Tabuk, sampaikan baginda ditegur oleh Allah. Ini adalah kerana hati baginda amat lembut sekali.

Dalam hal agama, baginda cuba untuk memudahkan untuk umatnya. Di dalam hadis sahih disebutkan:

“إِنَّ هَذَا الدِّينَ يُسْرٌ” وَشَرِيعَتَهُ كُلَّهَا سَهْلَةٌ سَمْحَةٌ كَامِلَةٌ، يَسِيرَةٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهَا اللَّهُ تَعَالَى عَلَيْهِ.

Sesungguhnya agama ini mudah, semua syariatnya mudah, penuh dengan toleransi lagi sempurna. Ia mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah dalam mengerjakannya.

 

حَريصٌ عَلَيكُم

sangat menginginkan bagimu,

Baginda sangat suka kalau umat baginda beriman. Kerana baginda amat sukakan kebaikan untuk kita. Kalimah حَريصٌ bermakna, mahukan sangat kepada sesuatu sampai boleh dikatakan tamak. Begitulah Nabi terhadap kita, apa sahaja kebaikan yang baginda boleh berikan kepada umatnya, baginda akan lakukan.

 

بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَحيمٌ

amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Dan terhadap orang mukmin, baginda amat belas dan sangat sayang. Kalimah رَءوفٌ adalah apabila seseorang itu faham apa yang dilalui oleh orang lain. Dia terasa sangat apa yang dialami dan dihadapi oleh orang lain. Jadi dia faham sangat apa yang dilalui oleh kita. Ini bukan semua orang ada kebolehan ini.

Kadang-kadang kita cuba nak bayangkan kesusahan orang lain tapi kita tidak dapat nak faham sangat. Kerana itu, orang akan cari dan rapat dengan mereka yang ada sama masalah dengan mereka. Orang yang ada barah, lebih mudah berkomunikasi dengan orang yang ada barah juga kerana dua-dua mengalami masalah dan dugaan yang sama.

Kalau orang yang sihat, mereka tidak dapat rasa walaupun mereka cuba. Mereka cuma boleh simpati sahaja, tapi tidak boleh nak رَءوفٌ. Tapi Nabi Muhammad boleh dapat perasaan رَءوفٌ itu kerana Allah telah beri berbagai pengalaman dan musibah kepada baginda.

Sebagai contoh, baginda pernah kehilangan isteri, kehilangan anak berkali-kali. Dan banyak lagi musibah lain yang telah diberikan kepada baginda sebagai ujian dan pengalaman. Semua baginda telah lalui dalam kehidupan baginda dari kecil lagi. Jadi, kalau baginda sarankan kita bersabar, maka itu adalah dari pengamalan baginda.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang, kita dengar nasihat untuk sabar itu dari orang yang tidak ada masalah. Jadi dalam hati kita, kita cakap: “engkau bolehlah kata begitu, tidak kena kepada engkau…..” Tapi ingatlah yang Rasulullah memang telah lalui segala perkara itu dan bila baginda suruh kita sabar, hendaklah kita sabar.


 

Ayat 129:

فَإِن تَوَلَّوا فَقُل حَسبِيَ اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away, [O Muḥammad], say, “Sufficient for me is Allāh; there is no deity except Him. On Him I have relied, and He is the Lord of the Great Throne.”

(MALAY)

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.

 

فَإِن تَوَلَّوا

Jika mereka berpaling

Dan kalau sudah sifat Nabi macam itu tapi mereka berpaling juga, itu memang perangai yang amat teruk sekali. Bukanlah salah baginda dalam dakwah atau dalam bergaul dengan manusia lain. Memang kalau ada yang menolak ajakan baginda, itu adalah kerana degil sahaja, bukan kerana sebab lain.

 

فَقُل حَسبِيَ اللَّهُ

maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku;

Surah ini dinamakan juga sebagai Surah Bara’ah yang bermaksud meninggalkan orang kafir. Dan begitulah Rasulullah disuruh untuk katakan: cukuplah Allah bagi baginda. Ini adalah kerana tugas baginda (dan kita) hanya menyampaikan sahaja kepada manusia.

Kalau sesudah berkali-kali diberi peringatan dan ancaman, diajak kepada akidah tauhid dan amalan agama yang benar, tapi masih juga berpaling, katalah yang cukuplah Allah bagi kita. Kerana kita memang tidak perlukan iman mereka pun.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia. 

Dan sekarang Allah kembali kepada memperkatakan tentang tauhid. Inilah perkara yang paling penting sekali. Walaupun ia paling penting, tapi ramai yang tidak ambil peduli. Kerana itu pengajaran tauhid di negara ini selalu dikesampingkan. Sampai ramai orang kita yang jaga betul bahagian feqah, tapi bahagian tauhid ini mereka berani untuk buat perkara-perkara yang tidak jelas dari segi tauhid.

Dan kerana tidak faham tauhid, maka ramai yang buat amalan syirik tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana cara masyarakat kita belajar tauhid tidak betul. Sepatutnya ajaran tauhid diambil dari Qur’an tapi ramai hanya belajar Sifat 20 sahaja yang nampaknya tidak menjelaskan tentang tauhid dan syirik dengan benar.

Allah kembali menyebut tentang tauhid kerana inilah tujuan jihad. Tujuan dakwah dan tujuan jihad sampai membawa kepada peperangan dengan manusia lain adalah untuk menegakkan kalimah tauhid di dunia ini. Kena sampaikan tauhid kepada manusia, supaya manusia sembah dan doa kepada Allah sahaja. Jadi berjihad adalah untuk menegakkan tauhid, bukannya kerana hendakkan tanah baru atau harta ghanimah.

Dengan tujuan menegakkan tauhidlah yang menyebabkan Rasulullah menjalankan jihad dan tugas itu disambung oleh para sahabat dan khalifah-khalifah selepas mereka. Dan kita juga kena jalankan tugas menyampaikan tauhid ini kepada manusia. Buat masa sekarang, jihad perang tidak ada, tapi kita masih tetap kena jalankan jihad lisan. Kita kena sampaikan kepada manusia kalimah tayyibah (kalimah tauhid) ini.

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ

Hanya kepada-Nya aku bertawakkal

Kita cuma boleh berusaha sahaja, tapi dalam semua perkara, Allah sahaja yang menentukan sama ada berjaya atau tidak. Tapi yang penting adalah usaha kita itu. Kita dibalas bukan atas kejayaan, tapi atas usaha kita.

Kalau kita berdakwah, sama ada orang yang didakwah itu terima atau tidak, kita sudah dapat pahala kerana menjalankan dakwah itu; kalau kita berperang, sama ada kita menang atau tidak, kita sudah dapat pahala yang besar.

Maka, berjaya atau tidak dalam dakwah, dalam jihad, semuanya kita serahkan kepada Allah kerana kita kena tawakkal kepada Allah. Tawakkal adalah penyerahan kepada Allah setelah kita berusaha untuk melakukan sesuatu.

 

وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.

Allah memiliki Arasy, makhluk yang terbesar sekali. Arasy itu di kedudukan yang paling tinggi. Ini adalah sebagai isyarat bahawa Allah menguasai segala alam ini dan berada di tempat yang tinggi. Semua makhluk — mulai dari langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada pada keduanya serta segala sesuatu yang ada di antara keduanya— berada di bawah ‘Arasy dan tunduk patuh di bawah kekuasaan Allah Swt.

Pengetahuan (ilmu) Allah meliputi segala sesuatu, kekuasaan-Nya menjangkau segala sesuatu, dan Dialah yang melindungi segala sesuatu. Pengumuman Surah Bara’ah ini dibuat di tempat yang paling utama di bumi, iaitu di Kaabah, tapi jangan lupa yang pengumuman itu datang dari Allah yang berada di Arasy yang tertinggi sekali.

Penutup:

Surah Tawbah ini adalah surah yang berlainan sekali dengan surah-surah yang lain. Ini adalah kerana ianya memperkatakan tentang perang dan ramai yang tidak suka bercakap tentang perkara ini. Dan memang susah untuk menyebutnya, tambahan pula di waktu-waktu yang sensitif sekarang ini, apakala nama Islam dikaitkan dengan terrorisme dan keganasan.

Tapi kita tetap kena sampaikan kerana ianya adalah misi kita sebagai umat Islam. Kita kena sampaikan mesej dari Allah ini dan kita tidak perlu malu nak ceritakan apa yang ada dalam Qur’an. Kita kena taat kepada mesej ini. Jadi, walaupun orang tidak suka, kita kena jujur dan kena sampaikan.

Jangan lihat tentang perang sahaja dalam surah ini. Ya, memang surah ini memperkatakan tentang peperangan, tapi bukan itu sahaja mesej di dalamnya. Ianya juga mengandungi mesej penting untuk reformasi masyarakat. Dan itulah yang telah dilakukan oleh Nabi kita, Muhammad SAW.

Allahu a’lam. Tamat Surah Tawbah. Sambung ke surah seterusnya, Surah Yunus.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s