Tafsir Surah Muhammad Ayat 9 – 14 (Siapakah Mawla?)

Ayat 9: Kenapa Allah ﷻ lakukan begitu kepada mereka?

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَرِهوا ما أَنزَلَ اللهُ فَأَحبَطَ أَعمٰلَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they disliked what Allāh revealed, so He rendered worthless their deeds.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (Al-Qur’an) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كَرِهوا ما أَنزَلَ اللهُ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah

Mereka ditimpakan dengan azab yang teruk kerana mereka benci dengan apa yang Allah ﷻ hantar. Kerana mereka tidak berkenan dengan wahyu yang Allah ﷻ turunkan dan sampaikan melalui Rasulullah ﷺ. Mereka berasa benci kepada kebenaran dan tidak mahu menerimanya. Oleh kerana itu, mereka tidak ikut wahyu tetapi ikut nafsu mereka sahaja.

Begitulah kita, jangan ada yang benci dengan wahyu. Kita hendaklah belajar wahyu itu sampai kita dapat kefahaman. Mungkin pada mulanya, kita tidak faham dan berasa pelik. Namun, kita mesti teruskan belajar supaya dapat memahaminya. Lama kelamaan, kalau kita buka hati kita dan teruskan belajar, kita akan cinta kepada wahyu. Ini penting kerana agama Islam ini mesti ikut wahyu.

Akan tetapi, malangnya ramai orang kita tidak kenal wahyu dan tidak berminat hendak belajar wahyu. Macam-macam mereka belajar, ilmu dunia dan juga ilmu agama juga, tetapi ilmu wahyu mereka tidak belajar lagi. Maka, kita hendaklah jadikan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini suatu yang dituntut supaya dapat belajar secara talaqqi.

 

فَأَحبَطَ أَعمٰلَهُم

lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.

Sekali lagi Allah ﷻ ulang tentang amal yang tidak bernilai langsung. Amal baik mereka menjadi kosong. Kita terjemah sebagai ‘amal baik’ kerana kalimah أَعمالَ bermaksud ‘amal baik’ dari segi bahasa. Jadi, Allah ﷻ memang katakan bahawa mereka ada melakukan amal kebaikan, tetapi itu tidak dikira kalau mereka tidak ikut Al-Qur’an, tidak terima ajaran Al-Qur’an.

Ayat ini menjawab persoalan yang ditimbulkan orang Islam sekarang. Ramai yang berkata bahawa mereka ada berkawan dengan orang bukan Islam dan mereka (orang bukan Islam itu) baik-baik sahaja. Mereka tanya: Kalau orang yang baik macam itu, takkan masuk neraka pula? Mereka tanya kerana mereka seperti tidak dapat menerima kawan-kawan mereka yang baik itu juga akan diazab di akhirat kelak.

Ingatlah bahawa kita tidak dapat hendak pastikan manakah yang baik atau tidak. Mungkin yang baik pada pandangan kita, tidak baik pada pandangan Allah ﷻ. Juga bagaimana kita hendak menerima mereka itu baik kalau mereka tidak menerima ajaran Al-Qur’an? Kita mungkin rasa sesuatu itu baik, tetapi tidak semestinya begitu.

Seperti juga ubat. Anak-anak kita berkata yang ianya tidak baik kerana rasa ubat itu yang pahit, sedangkan ibubapa pasti kata yang ianya baik. Jadi, akal kita tidak semestinya pasti manakah yang baik atau tidak. Kerana akal kita tidak mampu mencapai kebenaran yang haq. Baik atau tidak itu, kita hendaklah menilai dengan pandangan Allah ﷻ, bukan ikut pandangan kita semata.


 

Ayat 10: Ayat takhwif duniawi. Ayat 10 – 15 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu yang ‘mawla’ mujahidin hanyalah Allah ﷻ. Juga, orang kafir tidak ada mawla bagi mereka. Mawla bermaksud ‘pelindung’.

۞ أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ دَمَّرَ اللهُ عَلَيهِم ۖ وَلِلكٰفِرينَ أَمثٰلُها

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not traveled through the land and seen how was the end of those before them? Allāh destroyed [everything] over them,¹ and for the disbelievers is something comparable.

•i.e., destroyed them and all they owned.

(MELAYU)

Maka, apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka; Allah telah menimpakan kebinasaan ke atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.

 

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka;

Kalau mereka masih berdegil, Allah ﷻ memberi peringatan kepada mereka: tidakkah mereka hendak luangkan masa berjalan di bumi? Jalanlah sikit dan tengok apa yang terjadi kepada orang sebelum mereka. Iaitu umat-umat terdahulu yang telah dimusnahkan kerana mereka menolak agama? Kerana mereka menentang Rasul-rasul mereka?

Musyrikin Mekah itu kenal golongan yang terdahulu iaitu seperti Kaum ‘Aad dan Tsamud kerana mereka ada lalu di bekas penempatan mereka dalam musafir mereka. Mereka juga tahu kisah kaum-kaum itu. Maka Allah ﷻ hanya mengingatkan sahaja berkali-kali dalam Al-Qur’an kerana memang mereka juga sudah tahu.

 

دَمَّرَ اللهُ عَلَيهِم

Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka

Allah ﷻ telah menghancurkan golongan terdahulu daripada Musyrikin Mekah itu yang menolak tauhid dan menentang Rasul mereka. Maka, kenanglah kejadian itu. Ubahlah perangai jangan jadi seperti mereka itu.

Ayat ini (mengembara) ditujukan kepada orang-orang kafir kerana orang Islam dilarang untuk pergi ke tempat-tempat yang telah ditimpakan azab Allah ﷻ. Tempat sebegitu bukannya boleh pergi untuk melancong. Kerana ia pernah ditimpakan dengan azab dan ditakuti akan tertimpa kepada kita pula. Kalau kita terpaksa lalu juga di tempat sebegitu, kita hendaklah lalu dengan cepat sambil menangis.

Jadi, ianya hanya disarankan kepada mereka yang engkar kerana mereka degil. Katakan kepada mereka yang engkar itu: Kalau kamu tidak percaya dengan wahyu yang Allah ﷻ  turunkan ini, maka pergilah berjalan dan tengok bagaimana tempat-tempat yang Allah ﷻ telah musnahkan itu kerana memang Allah ﷻ kekalkan tempat-tempat itu untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada manusia yang degil. Ada dari tempat-tempat itu Allah ﷻ sebut juga di dalam Al-Quran ini.

 

وَلِلكٰفِرينَ أَمثٰلُها

dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu.

Dan bagi orang kafir degil, ada banyak lagi contoh sebagai pengajaran bagi mereka. Kalau mereka engkar, mereka akan jadi seperti itu juga. Ada banyak lagi kaum yang telah dimusnahkan dan mereka boleh jadikan sebagai contoh serta perumpamaan.

Allah ﷻ memberitahu kepada mereka bahawa kalau kafir degil engkar dengan apa yang telah disampaikan, maka begitulah yang mereka akan terima. Jadikanlah umat-umat terdahulu sebagai peringatan kepada diri sendiri.


 

Ayat 11: Ayat targhib kepada jihad. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia untuk melakukan jihad. Kerana jihad ini perlu dijalankan dan Allah ﷻ akan bantu umat Islam kalau terus melakukan jihad. Maka, jangan takut untuk melakukan jihad kerana Allah ﷻ adalah mawla kita.

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh is the protector of those who have believed and because the disbelievers have no protector.

(MELAYU)

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman

Allah ﷻ kekalkan tempat-tempat musuh Islam yang telah dihancurkan itu dan Allah ﷻ menceritakan kisah-kisah mereka di dalam Al-Qur’an supaya umat Islam yakin dengan janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ telah penuhi janjiNya untuk memusnahkan umat yang engkar dari dulu lagi.

Jadi, dengan membaca kisah-kisah itu, dapatlah kita yakin bahawa Allah ﷻ sahaja mawla kepada orang beriman. Allah ﷻ akan tetap membantu orang mukmin. Allah ﷻ akan beri perlindungan.

Kalimah ‘wali’ adalah seseorang yang mahu jaga dan lindung kita. Sedangkan ‘mawla’ pula adalah yang memang mampu dan sedang memelihara. Tidak semestinya wali dapat membantu orang lain walaupun dia hendak membantu, kerana ada orang yang hendak jaga, tetapi mungkin mereka tidak mampu hendak membantu mahupun melindungi.

 

وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Allah ﷻ menegaskan yang orang-orang kafir tidak ada mawla, mereka cuma ada wali sahaja. Namun, itu wali yang tidak ada kuasa dan tidak boleh diharapkan. Mereka juga tidak ada kuasa untuk melindungi orang yang mereka hendak beri pertolongan.

Ini adalah kerana semasa berperang dengan orang Islam, orang-orang kafir itu memohon pertolongan dari berhala dan ilah-ilah mereka, tetapi Nabi ﷺ menjawab yang mereka tidak ada mawla. Walaupun orang kafir ada kekuatan senjata, mereka tidak ada pelindung. Kerana pelindung yang sebenarnya adalah Allah Ta’ala sahaja.

Abu Sufyan pergi mendendangkan syair yang isinya, “Tinggilah Hubal, tinggilah Hubal!” (Hubal nama berhala yang disembah mereka). Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Mengapa kalian (kepada para sahabat) tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apa yang harus kami katakan?” Rasulullah ﷺ bersabda:

اللَّهُ أَعْلَى وَأَجَلُّ

Allah lebih tinggi dan lebih agung.

Abu Sufyan berkata lagi, “Kami mempunyai Uzza, dan tiada Uzza bagi kalian.” (maksudnya kejayaan yang namanya kebetulan sama dengan berhala sembahan mereka). Rasulullah ﷺ bersabda (kepada para sahabatnya), “Mengapa kalian tidak menjawabnya?” Mereka bertanya, “Apakah yang harus kami katakan, wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ bersabda:

اللَّهُ مَوْلَانَا وَلَا مَوْلَى لَكُمْ

Allah adalah Pelindung kami, dan tiada pelindung bagi kalian. [Musnad Ahmad no. 17853. Menurut Syaikh Syu’aib al- Arnauth, sanadnya sahih sesuai syarat syaikhain]


 

Ayat 12: Ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi. Apabila sesuatu yang melibatkan peperangan, menyabung nyawa, pasti memang ada yang rasa takut akan mati. Ini kerana naluri manusia memang sayangkan nyawa. Maka, kalau ada perasaan sebegitu, orang itu mesti mengaji tafsir Al-Qur’an. Perkara ini memang disentuh dalam ayat-ayat Al-Qur’an.

Mereka yang takut akan mati itu adalah kerana mereka jahil. Apabila mereka jahil tentang wahyu, maka mereka tidak yakin dengan janji Allah ﷻ yang banyak diberikan dengan jelas dalam Al-Qur’an. Maka mereka mestilah belajar lagi sampai mereka yakin dengan janji Allah ﷻ tentang kelebihan jihad qital (jihad perang) itu.

Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu tentang syurga untuk memberi motivasi kepada para mujahideen. Balasan bagi mereka yang beriman dan berjihad adalah syurga dan balasan bagi mereka yang engkar adalah neraka.

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعٰمُ وَالنّارُ مَثوًى لَّهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh will admit those who have believed and done righteous deeds to gardens beneath which rivers flow, but those who disbelieve enjoy themselves and eat as grazing livestock eat, and the Fire will be a residence for them.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

 

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah

Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga. Iman yang dimaksudkan itu mestilah ‘iman yang sempurna’ iaitu tiada syirik. Kerana kalau iman biasa sahaja, tetapi ada fahaman syirik, maka tidak akan dapat masuk ke dalam syurga. Perkara ini telah dijelaskan dalam banyak ayat di dalam Al-Qur’an.

Juga amalan itu mestilah amalan yang soleh, bukan amalan bidaah. Orang kita ramai yang melakukan amal ibadat, tetapi malangnya amalan mereka itu kebanyakannya adalah amalan bidaah sahaja. Kita hendaklah ingat yang amalan bidaah tidak ada pahala, cuma dapat dosa sahaja.

Ramai pula yang salah dengan maksud ‘Bidaah Hasanah’, maka mestilah belajar agama lagi untuk faham. Mesti belajar ikut cara Sunnah pula dan bezakan dengan amalan kebiasaan masyarakat setempat. Jangan kerana sesuatu amalan itu sudah lama diamalkan, kita terus anggap ia benar.

Allah ﷻ memberi semangat kepada mereka yang takut-takut untuk berjihad, hendaklah ingat yang balasan bagi iman sempurna dan amalan soleh termasuk jihad fi sabilillah adalah syurga. Kemudian Allah ﷻ jelaskan apakah yang ada dalam syurga itu:

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Syurga itu amat hebat. Sebenarnya tidak dapat digambarkan kerana terlalu hebat dan tidak ada bandingan dengan apa yang ada dalam alam dunia sekarang. Tetapi Allah ﷻ beri isyarat sahaja sebagai motivasi kepada pembaca Al-Qur’an dan kepada golongan mujahideen.

Allah ﷻ beritahu kehebatan syurga itu sampai ada air sungai yang mengalir di bawah istana penghuni syurga. Sumber air memang menjadi kesukaan semua manusia.  Ini adalah amat hebat kerana jarang ada rumah yang mempunyai sungai di bawah rumahnya. Kalau kawasan rumah berdekatan dengan air, sama ada air kolam, air terjun, air laut, tasik dan sebagainya, itu adalah kawasan perumahan yang mahal.

Seperti yang kita ketahui, di Madinah itu pada zaman Nabi ﷺ, ada golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin itu adalah pendatang (dari Mekah) tetapi mereka diberikan dengan bantuan yang baik (dari golongan Ansar). Golongan Ansar sampai sanggup berkongsi apa sahaja yang mereka ada untuk diberikan kepada sahabat mereka daripada kalangan Muhajirin.

Ini adalah sesuatu yang hebat kerana bayangkan kalau pendatang asing di negara lain sekarang – mereka diletakkan dalam kawasan khemah, kawasan ghetto dan penduduk asal tidak suka serta marah kepada mereka. Kerana mereka lihat pendatang asing itu selalunya mengambil kerja-kerja mereka dan menghabiskan sumber negara sahabat.

Tetapi, lihat bagaimana Nabi ﷺ berjaya menjadikan golongan Ansar dan Muhajirin itu bersaudara sampaikan golongan Ansar sanggup berkongsi apa sahaja yang mereka ada (harta dan tempat tinggal, malah ada yang menceraikan isteri mereka untuk dikahwinkan dengan saudara mereka dari Mekah itu).

Jadi, kita menceritakan hal ini kerana hendak memberitahu yang kedua-dua puak tidaklah kaya dan hidup dengan senang. Mereka hidup dengan serba kekurangan – lihatlah kisah mereka bawa apa semasa perang Badr. Mereka tidak ada kelengkapan perang, kerana mereka itu kebanyakannya hanya petani sahaja. Pakaian mereka juga tidak cukup. Kehidupan mereka amat susah dan serba kekurangan.

Maka, Allah ﷻ berikan perjanjian balasan yang amat nikmat sekali. Ini memberi semangat kepada mereka. Walaupun mereka hidup susah di dunia, tetapi mereka akan dapat kehebatan di akhirat kelak apabila mereka masuk ke dalam syurga. Biarlah susah di dunia, asalkan senang di akhirat. Itulah cita-cita kita.

 

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ

Dan orang-orang kafir bersenang-senang

Sekarang Allah ﷻ bandingkan dengan orang-orang kafir pula. Orang kafir itu memang ada yang kaya-raya dan sedang menikmati kehidupan yang baik. Tetapi, mereka hanya berseronok di atas dunia sahaja. Tujuan hidup mereka adalah untuk puaskan hawa nafsu mereka sahaja.

Mereka tidak terfikir tentang akhirat. Mereka hendak berterusan hidup dalam kesenangan semasa mereka hidup di dunia ini. Kerana mereka hanya memikirkan dunia sahaja, maka segala kehidupan mereka adalah untuk memuaskan nafsu sahaja.

Mereka itu boleh jadi kaya raya kerana seluruh kehidupan dan usaha mereka ditumpukan kepada menambah harta; dan kerana mereka tidak takut kepada akhirat, mereka sanggup melanggar apa sahaja syariat untuk mendapat kekayaan itu. Sebab itu mereka boleh jadi kaya raya.

 

وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعٰمُ

dan mereka makan seperti makannya binatang.

Mereka hendak puaskan nafsu mereka sampai cara mereka makan juga sudah seperti binatang makan. Mereka kunyah dan kunyah serta tidak ada adab langsung dalam cara mereka makan. Orang Islam juga ada makan dan puaskan hawa nafsu mereka, tetapi dengan cara yang halal dan baik. Memang orang mukmin makan juga, tetapi tidaklah seperti binatang.

Dan orang kafir itu, mereka tidak kisah tentang makanan – mereka makan apa yang mereka boleh makan. Mereka sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk, orang punya atau mereka punya. Kerana itu Allah ﷻ bandingkan mereka dengan binatang. Kerana mereka tidak kisah apa yang mereka hendak makan.

Bukankah binatang itu makan sahaja apa yang ada di depan mata mereka? Allah ﷻ hendak beritahu kita yang orang kafir itu ikut nafsu sahaja – mereka menjalani kehidupan hedonistik (puaskan nafsu sahaja, bergembira sahaja). Maka, kita janganlah bersikap begitu.

Biarkan mereka kerana itu sahaja yang mereka ada (mereka hanya ada dunia). Mereka itu seperti binatang yang makan untuk dirinya sendiri dan tidak kisah berkenaan orang lain serta mereka juga tidak kisah untuk masa hadapan. Binatang yang hanya lihat tentang makanan sahaja itu, tidak sedar yang ia diberikan dengan makanan yang banyak itu bukanlah untuk mengenyangkan ia. Tetapi, kerana hendak menggemukkan ia dan apabila sudah gemuk nanti, ia akan disembelih.

Maka, janganlah kita hidup di dunia ini untuk makan dan memuaskan kehendak nafsu kita sahaja. Telah disebutkan dalam hadith sahih melalui sabda Rasulullah ﷺ yang mengatakan:

“الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعيّ وَاحِدٍ، وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ”

Orang yang mukmin makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut. [Sahih Muslim no. 3841]

 

وَالنّارُ مَثوًى لَّهُم

Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Oleh kerana perangai mereka seperti binatang dan mereka tidak memikirkan tentang kehidupan di akhirat kelak, maka mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka. Mereka tidak akan pergi ke tempat lain. Mereka juga akan tinggal terus dalam neraka itu.


 

Ayat 13: Ayat takhwif duniawi dan tasliah kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم telah dihalau keluar dari Mekah.

Puak Musyrikin Mekah telah melakukan keganasan dan penindasan sampaikan orang mukmin tidak ada jalan penyelesaian melainkan untuk meninggalkan Mekah, iaitu kampung halaman mereka yang mereka amat sayang. Maka Allah ﷻ pujuk mereka dalam ayat ini.

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِّن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ أَهلَكنٰهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city was stronger than your city [i.e., Makkah] which drove you out? We destroyed them; and there was no helper for them.

(MELAYU)

Dan betapa banyaknya negeri yang (penduduknya) lebih kuat daripada (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolong bagi mereka.

 

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِّن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ

Dan betapa banyaknya negeri yang lebih kuat dari pada negerimu  yang telah mengusirmu itu.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa telah banyak kaum yang telah dimusnahkan olehNya kerana penduduk kampung/pekan itu telah melampau terhadap agama dan terhadap Rasul mereka.

Musyrikin Mekah yang menjadi pemuka masyarakat pada zaman Nabi Muhammad ﷺ itu berasa yang mereka sudah hebat. Negeri Mekah itu sememangnya terkenal dan didatangi oleh ramai penduduk Tanah Arab kerana ada Kaabah di situ. Mereka yang menjadi pemimpin masyarakat juga dipandang tinggi oleh orang lain kerana merekalah kononnya ‘penjaga’ Kaabah.

Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang Mekah itu dan penduduknya tidaklah sehebat mana. Ramai yang datang kepada mereka itu hanyalah kerana Kaabah ada di situ. Mereka tidak sedar atau lupa bagaimana ada kaum-kaum dan tempat-tempat lain yang lebih hebat daripada mereka, tetapi dimusnahkan juga oleh Allah ﷻ.

Mereka sanggup mengeluarkan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat kerana Nabi ﷺ membawa ajaran tauhid. Mereka sanggup menidakkan hak penduduk Mekah sendiri untuk beramal dengan agama yang benar. Sedangkan, mereka membenarkan berjenis-jenis orang datang ke Mekah dan tawaf di Kaabah.

Tetapi apabila penduduk asal mereka sendiri yang hendak mengamalkan agama pilihan mereka, dan agama itu sendiri juga adalah agama yang benar, mereka tindas para sahabat mukmin itu sampaikan mereka terpaksa melarikan diri ke tempat lain.

Ini adalah satu kekejaman dan sebab inilah yang menyebabkan Muslim boleh serang orang Musyrikin Mekah. Kerana mereka ada hak untuk mempertahankan hak mereka dan mengambil hak mereka kembali.

Bayangkan betapa sedihnya para sahabat dan Nabi ﷺ sendiri kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman tercinta.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: ذَكَرَ أَبِي، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الْأَعْلَى، عَنِ الْمُعْتَمِرُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ حَنَش ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا خَرَجَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْغَارِ أُرَاهُ قَالَ: الْتَفَتَ إِلَى مَكَّةَ -وَقَالَ: “أَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَأَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَيَّ، وَلَوْ أَنَّ الْمُشْرِكِينَ لَمْ يُخْرِجُونِي لَمْ أَخْرُجْ مِنْكِ”

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa ayahnya telah meriwayatkan dari Muhammad ibnu Abdul Ala, dari Al-Mu’tamir ibnu Sulaiman, dari ayahnya, dari Hanasy, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Nabi ﷺ ketika keluar dari Mekah menuju ke gua tempat persembunyiannya. Ketika sampai di gua itu baginda menoleh ke arah Mekah, lalu berkata: Sesungguhnya engkau adalah negeri Allah yang paling disukai oleh-Nya, dan engkau adalah negeri Allah yang paling aku sukai; seandainya orang-orang musyrik itu (penduduknya) tidak mengusirku, aku tidak akan keluar meninggalkanmu. [Ibnu Jarir ath-Thabari dalam Tafsirnya 26/48 dan Ibnu Katsir dalam Tafsirnya 4/176 dari Qatadah dan Ibnu Abbas رضي الله عنهم. Disahihkan oleh al-Qurtubi di dalam Tafsirnya 19/258]

 

أَهلَكنٰهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolong pun bagi mereka.

Daerah-daerah lain yang lebih hebat dari Mekah itu juga telah pernah dihancurkan oleh Allah ﷻ. Mereka dimusnahkan dan tidak ada sesiapa yang boleh bantu mereka dan menyelamatkan mereka. Allah ﷻ hendak ingatkan kepada Musyrikin Mekah yang degil sangat itu – janganlah terlalu berlagak dengan kedudukan dan sokongan yang mereka ada.

Itu semua tidak berguna langsung apabila Allah ﷻ buat keputusan untuk menghancurkan mereka nanti. Mereka sahaja yang berasa diri mereka kuat dan banyak penyokong. Tetapi sampai masanya nanti, Allah ﷻ akan musnahkan dan jatuhkan mereka.

Ini juga adalah tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda tetap selamat dan janganlah kisah dengan apa yang orang kafir itu lakukan terhadap baginda. Allah ﷻ pasti akan beri keselamatan dan kejayaan kepada baginda.


 

Ayat 14: Selepas disebut dengan sifat orang mukmin dan sifat orang kufur itu, maka Allah ﷻ bandingkan keadaan orang beriman dan orang-orang yang kufur.

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So is he who is on clear evidence from his Lord like him to whom the evil of his work has been made attractive and they follow their [own] desires?

(MELAYU)

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?

 

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّهِ

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya

Orang beriman adalah mereka yang berpegang dengan ‘bayyinah’, iaitu berpegang kepada keterangan dari wahyu dan keyakinan yang Allah ﷻ campakkan ke dalam hati mereka. Ini diterangkan dengan panjang lebar dalam Surah Bayyinah. Tentunya yang pertama sekali adalah Rasulullah ﷺ sendiri.

Wahyu itu dari Allah ﷻ dan kerana itu kita kena ikut dengan sepenuhnya. Begitu juga dengan fitrah yang telah ada dalam diri manusia. Itu juga dari Allah ﷻ. Orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, mereka akan berasa tenang sahaja dengan diri mereka – ini adalah kerana fahaman mereka sama dengan fitrah yang berada dalam hati mereka itu. Kerana, kalau ianya adalah berlawanan yang menyebabkan hati tidak tenang.

Kerana itu selalu kita mendengar bagaimana orang yang asalnya lahir dalam keluarga kufur tetapi telah masuk Islam – mereka katakan yang hati mereka sangat tenang. Ini adalah kerana, mereka telah ada persamaan antara amalan luaran dan kehendak dalaman mereka.

 

كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ

sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu

Adakah sama seorang yang di atas kebenaran dengan seorang yang dicantikkan amalan buruk mereka? Siapakah yang mencantikkan amalan mereka itu? Yang mencantikkan amalan mereka itu adalah syaitan yang duduk dengan mereka.

Amalan mereka itu buruk, tetapi syaitan membisikkan kepada mereka yang amalan mereka itu baik-baik. Ini sama juga dengan amalan syirik dan amalan bidaah yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Amalan itu buruk, tetapi kerana mereka jauh dari wahyu Allah ﷻ, tidak belajar wahyu Allah ﷻ, tidak belajar tafsir Al-Qur’an, jadi mereka memang senang ditipu oleh syaitan.

Maka, Allah ﷻ bertanya: adakah yang beramal atas bayyinah itu sama dengan orang yang beramal dengan amalan yang dicantikkan sahaja oleh syaitan? Tentu tidak sama.

Begitulah Musyrikin Mekah menyangka yang mereka lakukan benda yang baik. Syaitan cantikkan dengan mengaburi mata mereka. Benda yang buruk, mereka nampak baik dan mereka sahaja yang perasan amalan mereka itu baik. Sebenarnya mereka telah tertipu. Mereka menyangka kerana mereka itu penjaga Kaabah dan mereka keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, maka tentu amalan mereka itu benar.

Sedangkan, amalan syirik dan maksiat mereka itu adalah hasil dari bisikan syaitan. Syaitan yang mengajar mereka dengan membisikkan kepada mereka amalan-amalan syirik. Oleh kerana mereka jauh dari agama, maka mereka nampak maksiat yang mereka lakukan itu sebagai kebaikan.

Mereka juga pandang kehidupan dunia itulah yang semata-mata kehidupan yang sebenar. Mereka tidak hiraukan tentang akhirat kerana syaitan telah hilangkan ilmu akhirat daripada mereka. Kerana itu mereka amat pelik apabila Nabi Muhammad ﷺ mengatakan yang akan ada Hari Kiamat dan kebangkitan semula di akhirat kelak. Juga ada syurga dan neraka. Syaitan telah hilangkan ilmu itu daripada mereka supaya senang syaitan hendak mengajak dan mendorong melakukan perkara yang salah.

 

وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

dan mengikuti hawa nafsu mereka?

Oleh itu, ajaran salah selalunya daripada syaitan, tetapi kadang-kadang ia datang daripada diri sendiri. Ini adalah kerana dia fikir sendiri tanpa ilmu. Atau ia boleh jadi dari ajakan manusia lain. Tidak kisah dari mana, tetapi yang penting, ia tidak datang dari wahyu.

Ubatnya adalah mesti belajar ilmu wahyu. Mesti belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Malangnya, masyarakat kita amat jauh dari ilmu wahyu dan mereka tidak kisah tentang agama. Mereka tidak kisah tentang Al-Qur’an, tetapi yang diagungkan adalah kata-kata ulama’ dan kata-kata ustaz sahaja. Sedangkan kata-kata ulama’ itu mestilah disandarkan kepada ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi ﷺ, barulah boleh ditapis. Kalau setakat kata-kata ulama’ sahaja, adakah kepastian yang ianya benar dan sahih?

Mereka yang sebegitu adalah mengikut nafsu mereka sahaja. Apabila sesuatu pendapat itu tidak disandarkan atas dalil yang sah, maka ianya adalah bersandarkan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Mereka sanggup gunakan kerana mereka tidak ada dalil asas dari ilmu wahyu. Kita mestilah sedar yang hawa nafsu adalah lawan kepada wahyu.

Jadi, ayat ini memberi soalan: Adakah sama dua jenis orang itu? Maka, sudah tentu dua contoh ini tidak sama. Jadi, kita mesti letak diri kita di mana? Kita hendak duduk di kumpulan yang menggunakan dalil atau kumpulan yang tidak menggunakan dalil, tetapi  hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja? Fikir-fikirkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 9 – 14 (Siapakah Mawla?)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s