Tafsir Surah Saffat Ayat 36 – 51 (Minum arak di syurga)

Ayat 36:

وَيَقولونَ أَئِنّا لَتارِكو ءآلِهَتِنا لِشاعِرٍ مَّجنونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And were saying, “Are we to leave our gods for a mad poet?”

(MELAYU)

dan mereka berkata: “Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila?”

 

Dalam Surah Yaasin sebelum ini telah diberitahu bahawa Rasulullah Saw bukanlah seorang penyair. Kerana tidak layak Al-Qur’an itu dikatakan sebagai syair. Kehebatan Al-Qur’an itu terlalu tinggi untuk dikatakan sebagai syair.

Dan Nabi Muhammad adalah seorang Rasul dan bukannya baginda seorang penyair. Seorang penyair tidak tetap pendiriannya dan mereka membaca syair kerana mahukan penonton dan upah dari mereka. Nabi Muhammad tidak begitu.

Mereka bukan sahaja kata baginda seorang penyair malah tuduh lebih teruk lagi. Mereka kata baginda adalah penyair yang gila! Ini memang tuduhan yang amat bodoh.


 

Ayat 37: Allah jawab tuduhan mereka itu.

بَل جاءَ بِالحَقِّ وَصَدَّقَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, he [i.e., the Prophet (ṣ)] has come with the truth and confirmed the [previous] messengers.

(MELAYU)

Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul (sebelumnya).

 

بَل جاءَ بِالحَقِّ

Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran

Mereka kata Nabi Muhammad seorang penyair yang gila dan Al-Qur’an yang baginda bawa itu adalah syair gila sahaja. Maka Allah menekankan bahawa apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah kebenaran. Mereka sahaja yang degil untuk menerimanya.

 

وَصَدَّقَ المُرسَلينَ

dan membenarkan rasul-rasul (sebelumnya).

Bukanlah baginda bawa ajaran baru tapi apa yang baginda sampaikan itu sebenarnya sama dengan apa yang pernah dibawa oleh para Nabi yang dahulu. Baginda membenarkan apa yang dibawa oleh para Nabi itu.

Maksud membenarkan para Rasul sebelumnya ada tiga makna yang kita boleh ambil:

  1. Baginda tidak menolak ajaran para Rasul yang dahulu. Maka para pengikut Rasul-rasul itu tidak boleh menidakkan ajaran Nabi Muhammad kerana sama sahaja dengan apa yang dibawa oleh Rasul mereka sendiri. Jadi tidak ada alasan untuk mereka menolak baginda.
  2. Nabi Muhammad tidak membawa ajaran baru tapi sama sahaja dengan apa yang disampaikan oleh Rasul-rasul dahulu.
  3. Baginda membenarkan janji Para Rasul dahulu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman iaitu baginda.

 

Ayat 38: Ayat takhwif.

إِنَّكُم لَذائِقُو العَذابِ الأَليمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you [disbelievers] will be tasters of the painful punishment,

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu pasti akan merasakan azab yang pedih.

 

Allah mengancam mereka dengan memberitahu yang mereka pasti akan masuk ke dalam neraka kerana penolakan kepada ajaran tauhid itu. Dan mereka akan berterusan menerima azab di dalam neraka itu. Azab yang akan dikenakan itu adalah azab yang amat pedih.


 

Ayat 39:

وَما تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will not be recompensed except for what you used to do –

(MELAYU)

Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan,

 

Apa yang mereka dapat itu sememangnya layak bagi mereka. Allah tidak zalim dengan memberi azab tanpa kesalahan mereka. Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana perbuatan mereka di atas dunia. Mereka sendiri yang salah sebenarnya. Jangan salahkan Allah.


 

Ayat 40: Ayat tabshir. Ayat 40 – 50 ini Allah memberi gambaran nikmat yang ada di syurga untuk mereka yang bersih aqidah daripada syirik.

إِلّا عِبادَ اللهِ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But not the chosen servants of Allāh.

(MELAYU)

tetapi hamba-hamba Allah yang dibersihkan (dari dosa).

 

Yang selamat dari neraka adalah hamba yang ikhlas.

Yang selamat adalah mereka yang ikhlas dalam amal ibadat mereka. Iaitu hamba yang taat kepada Allah. Ini seperti yang disebut dalam banyak ayat-ayat yang lain. Antaranya:

{وَإِنْ مِنْكُمْ إِلا وَارِدُهَا كَانَ عَلَى رَبِّكَ حَتْمًا مَقْضِيًّا. ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوْا وَنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا}

Dan tidak ada seorang pun darimu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut. (Maryam: 71-72)

Tapi kalimah المُخلَصينَ ini di dalam bentuk pasif (yang diikhlaskan) yang memberi maksud Allah yang bantu mereka menjadi orang yang ikhlas.

Maknanya kita sebagai manusia kena berusaha setakat yang kita boleh tapi dalam masa yang sama kita kena berdoa kepada Allah untuk memberi sifat ikhlas kepada diri kita. Kerana kalau Allah tidak berikan, kita tidak akan mampu dapat menghadirkan sifat ikhlas itu dalam diri kita.


 

Ayat 41:

أُولٰئِكَ لَهُم رِزقٌ مَّعلومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those will have a provision determined –

(MELAYU)

Mereka itu memperoleh rezeki yang tertentu,

 

Nikmat yang akan diberikan kepada mereka itu مَّعلومٌ (telah diketahui) kerana telah banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentangnya. Berita tentang nikmat dalam syurga telah banyak diberitahu kepada mereka.

Qatadah dan As-Saddi mengatakan bahawa rezeki tersebut adalah di syurga, kemudian dijelaskan oleh firman selanjutnya:


 

Ayat 42:

فَوٰكِهُ ۖ وَهُم مُّكرَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Fruits;¹ and they will be honored

  • Meaning everything delicious.

(MELAYU)

iaitu buah-buahan. Dan mereka adalah orang-orang yang dimuliakan,

 

فَوٰكِهُ

buah-buahan.

Di dalam syurga itu ahli syurga akan diberikan dengan buah-buahan yang sedap-sedap. Bukan buah-buahan sahaja yang ada tapi kerana masyarakat Arab suka makan buah, maka Allah gunakan kisah buah.

Kalimah فَوٰكِهُ dari katadasar ف ك ه yang bermaksud gembira. Dan فَوٰكِهُ digunakan untuk buah kerana orang suka makan buah sampaikan mereka mereka akan tersenyum kegembiraan semasa memakannya.

Ini memberitahu kita yang makanan di syurga nanti bukanlah untuk meneruskan hidup ahli syurga kerana mereka tidak memerlukan makan. Mereka juga tidak lapar sebenarnya kerana lapar adalah benda yang tidak baik. Maka mereka makan kerana nak gembira dan menikmati kelazatan makanan itu sahaja.

 

وَهُم مُّكرَمونَ

Dan mereka adalah orang-orang yang dimuliakan,

Dan ahli syurga akan dimuliakan dengan berbagai-bagai cara. Allah yang akan memuliakan mereka. Mungkin semasa mereka di dunia, mereka adalah golongan lemah dan ditindas oleh golongan yang jahat.

Mereka mungkin hina sahaja kedudukan mereka di dunia tapi di akhirat nanti mereka akan menjadi orang yang dimuliakan. Dan yang memuliakan mereka itu adalah Allah dan tentu ini adalah kedudukan yang amat tinggi.


 

Ayat 43:

في جَنّٰتِ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In gardens of pleasure

(MELAYU)

di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat.

 

Kalimah النَّعيمِ bermaksud nikmat yang berterusan. Maknanya mereka akan terus menerima nikmat tidak berhenti-henti. Di dalam syurga itu adalah tempat rehat dan tempat bersenang-lenang. Tiada lagi ibadat dan tiada lagi kerja yang mereka kena lakukan. Dan kenikmatan itu tidak putus-putus.


 

Ayat 44:

عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On thrones facing one another.

(MELAYU)

di atas takhta-takhta kebesaran berhadap-hadapan.

 

Mereka akan didudukkan di atas tahta atau pelamin yang membolehkan mereka lihat semua orang dan semua harta dan kerajaan mereka dalam syurga. Kalau di dunia di dalam majlis kita tidak dapat melihat semua orang kerana mungkin kita duduk di barisan belakang tetapi Allah boleh buat di syurga nanti kita berhadapan dengan semua orang. Ahli syurga tidak akan duduk di barisan belakang.


 

Ayat 45:

يُطافُ عَلَيهِم بِكَأسٍ مِّن مَّعينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There will be circulated among them a cup [of wine] from a flowing spring,

(MELAYU)

Diedarkan kepada mereka gelas dari sungai yang mengalir.

 

Kalau sedang lepak berehat dan bergembira maka kenalah ada minuman untuk menyegarkan diri. Maksud ayat ini mereka akan dilayani oleh pelayan-pelayan yang membawakan air minuman yang menyegarkan dan sedap sekali. Mereka akan diberikan dengan air arak lebih hebat dari arak di dunia.

Dalam ayat ini, hanya disebut كَأسٍ iaitu gelas sahaja tanpa disebutkan apa yang ada di dalamnya. Tapi orang Arab faham yang apabila kalimah كَأسٍ digunakan, maka ia memberi maksud yang ianya gelas berisi arak. Kerana kalau gelas itu berisi air biasa, susu dan sebagainya, bukan kalimah كَأسٍ yang digunakan.

Dan kalau ianya tidak penuh, kalimah كَأسٍ juga tidak digunakan. Jadi apabila كَأسٍ digunakan, ia memberi isyarat yang ianya berisi dengan arak dan ianya penuh.

Juga dalam ayat ini tidak disebut siapa yang mengedarkan arak-arak itu, cuma disebut ianya diedarkan sahaja. Maknanya mereka dilayani dan siapa yang melayan mereka telah disebut dalam ayat lain seperti Thur:24

۞ وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَّهُم كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَّكنونٌ

Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.

Siapakah mereka itu? Pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah anak-anak golongan musyrik yang meninggal sebelum baligh. Mereka akan dijadikan sebagai pelayan di syurga. Kerana anak-anak orang mukmin yang masuk ke dalam syurga akan ditempatkan bersama dengan ibubapa mereka dalam syurga.


 

Ayat 46: Kemudian Allah sambung menceritakan tentang air arak itu.

بَيضاءَ لَذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

White and delicious to the drinkers;

(MELAYU)

(Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum.

 

Air itu adalah jernih. Maksudnya ia sendiri sudah nampak sedap dan rasanya pun sedap. Malik telah meriwayatkan dari Zaid ibnu Aslam, bahawa khamr itu mengalir berwarna putih, yakni warnanya cemerlang, indah, dan baik. Tidak seperti khamr dunia yang kelihatan kotor lagi buruk, ada yang berwarna merah atau kuning atau keruh, dan lain sebagainya yang menjijikkan bagi orang yang berakal sihat.

Jadi arak di syurga tidak macam arak di dunia kerana tidak layak arak di dunia dibandingkan dengan arak di akhirat. Yakni khamr yang diambil dari sungai yang mengalir di dalam syurga, yang airnya tidak pernah habis dan tidak pernah kering.

Mereka akan minum arak itu dengan banyak tapi bukanlah mereka dahaga. Kerana kalau ada dahaga, itu adalah sifat dan keadaan yang tidak bagus. Mereka tidak dahaga dan mereka minum kerana mereka hendak minum kerana air itu amat lazat. Dan Allah jadikan mereka boleh minum itu dengan banyak.

Kerana kalau di dunia kita tidak boleh minum dengan banyak dan kalau minum banyak, perut akan kembung dan menyenakkan. Terutama kalau minum arak, bukan? Ini tidak akan terjadi di syurga dan ahli syurga akan asyik minum yang sedap-sedap.


 

Ayat 47:

لا فيها غَولٌ وَلا هُم عَنها يُنزَفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No bad effect is there in it, nor from it will they be intoxicated.

(MELAYU)

Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.

 

لا فيها غَولٌ

Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan

Kalimah غَولٌ bermaksud pening. Kalau zaman sekarang, orang yang minum arak dengan banyak, mereka akan rasa pening atau dipanggil hangover. Maknanya, arak di syurga itu sangat berlainan dengan arak di dunia. Arak di dunia, tidaklah sedap mana (orang minum sebab nak mabuk sahaja) kerana rasanya masam, memulaskan perut dan menyebabkan kebodohan. Dan ia merosakkan limpa dan membuncitkan perut.

 

وَلا هُم عَنها يُنزَفونَ

dan tidak pula mereka mabuk kerananya.

Dan mereka akan dijauhkan dari bahaya mabuk. Walaupun mereka minum air itu dengan banyak tapi tidaklah mereka mabuk. Kerana mabuk ini adalah perkara yang buruk. Kalau orang mabuk, mereka akan kata perkara-perkara yang bodoh dan tidak menyenangkan.

Ad-Dahhak mengatakan dari ibnu Abbas bahawa ada empat reaksi buruk akibat minum khamr dunia iaitu mabuk, pusing, muntah dan kencing. Ini tidak akan berlaku di syurga. Kerana ahli syurga tidak buang air pun.


 

Ayat 48: Bagaimana pula dengan pasangan?

وَعِندَهُم قٰصِرٰتُ الطَّرفِ عينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And with them will be women limiting [their] glances,¹ with large, [beautiful] eyes,

  • i.e., chaste and modest, looking only at their mates.

(MELAYU)

Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya,

 

Kalau nikmat banyak tapi tidak ada pasangan untuk berkongsi nikmat itu, lama-lama akan bosan juga. Kerana kita memerlukan pasangan hidup. Oleh kerana itu, Allah akan memberikan ahli syurga dengan pasangan dari bidadari.

Allah memberitahu yang sifat para bidadari itu adalah pemalu. Pandangan mata mereka hanya memandang kepada pasangan lelaki syurga itu sahaja dan tidak memandang kepada yang lain. Pada mereka, pasangan lelaki itulah yang paling hebat sekali dan mereka tidak memandang kepada orang lain. Ini adalah sesuatu yang amat menarik hati orang lelaki kerana mereka suka kalau mereka dilayan sebegitu.

Dan pada bidadari itu mempunyai mata yang cantik. Ini adalah kerana orang lelaki suka kepada mata wanita yang cantik. Iaitu mata jeli yang amat cantik dan mengasyikkan sekali. Dengan pandangan mata mereka itu boleh menaikkan syahwat ahli syurga itu. Iaitu pandangan mata yang ajak ‘berlawan’. Ajak digauli.


 

Ayat 49:

كَأَنَّهُنَّ بَيضٌ مَّكنونٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As if they were [delicate] eggs, well-protected.

(MELAYU)

seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.

 

Kenapa pula mereka diumpamakan sebagai telur pula? Ia memberi isyarat kepada harta tersembunyi. Bayangkan seorang yang panjat gunung dan jumpa telur burung unta yang tersembunyi. Tentu orang yang menjumpainya akan suka kerana ia jarang ditemui.

Al-Hasan mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik. (Ash-Shaffat: 49) Iaitu tersimpan dengan rapi, tidak pernah tersentuh oleh tangan manusia.

As-Saddi mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah telur yang tersimpan dengan baik di sarangnya. Tidak pernah dilihat orang.

Ia juga boleh bermaksud pencerahan tentang fizikal bidadari itu yang amat cantik. Ata Al-Khurrasani mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah kulit mereka seperti kulit air yang terletak di antara kulit luar dan bahagian dalam telur.


 

Ayat 50: Ahli syurga juga akan dapat bergaul bersama dengan ahli syurga yang lain.

فَأَقبَلَ بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will approach one another, inquiring of each other.

(MELAYU)

Lalu sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain sambil bercakap-cakap.

 

Ahli syurga akan dapat melawat kawan-kawan mereka yang juga ahli syurga. Di sinilah ada elemen sosial kerana manusia memang suka bergaul, bersembang dengan kawan-kawan. Kerana tidak ada kerja lain yang mereka kena lakukan.

Dalam pertemuan ini antaranya mereka akan bercerita tentang nikmat-nikmat yang mereka dapat dalam syurga dan mereka menceritakannya dengan bangga. Mereka juga akan menceritakan pengalaman mereka semasa di dunia dulu dan ujian yang mereka telah lalui.


 

Ayat 51: Ayat 51 – 61 adalah tentang dialog ahli syurga dengan temannya dan melihat ahli neraka yang pernah mengejek mereka di dunia.

قالَ قائِلٌ مِّنهُم إِنّي كانَ لي قَرينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A speaker among them will say, “Indeed, I had a companion [on earth]

(MELAYU)

Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sesungguhnya aku dahulu (di dunia) mempunyai seorang teman,

 

Ahli syurga itu teringatkan keadaan mereka di dunia dahulu. Maka akan ada yang teringat kepada kawan mereka yang rapat. Dia teringat tentang kawannya itu dan dia hairan kerana tidak nampak pula kawannya itu di syurga.

Mujahid mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan qarin ialah syaitan. Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., bahawa yang dimaksudkan adalah teman yang musyrik, dia menjadi teman orang mukmin ketika di dunianya.

Tidak ada pertentangan antara pendapat Mujahid dan Ibnu Abbas, kerana sesungguhnya syaitan itu adakalanya dari makhluk jin yang suka menggoda jiwa manusia, adakalanya pula dari kalangan manusia sendiri yang dapat berkomunikasi dengannya. Kedua qarin itu saling bantu membantu untuk menyesatkan manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 7 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Saffat Ayat 36 – 51 (Minum arak di syurga)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s