Ayat 22: Sambungan kisah nikmat yang diberikan dalam syurga. Allah ﷻ beri maklumat ini kepada kita supaya kita cuba bayangkan supaya ada semangat untuk masuk ke dalam syurga.
وَأَمدَدنٰهُم بِفٰكِهَةٍ وَلَحمٍ مِّمّا يَشتَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We will provide them with fruit and meat from whatever they desire.
(MELAYU)
Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini.
Ahli syurga akan diberikan dengan apa sahaja makanan yang mereka mahu. Makanan itu bukan untuk keperluan hidup sahaja tetapi ditambah-tambah lagi sebagai nikmat. Memang berlebih-lebih dari keperluan.
Kalau di dunia, mungkin ada makanan yang tidak cukup tetapi di syurga nanti akan diberi berlambak-lambak. Dan memang ahli syurga boleh makan dengan banyak. Selera makan ahli syurga adalah selera makan seribu orang. Tapi jangan kata mereka lapar pula kerana ahli syurga tidak lapar langsung. Kerana lapar itu adalah sesuatu yang tidak menyenangkan. Maka ahli syurga makan hanya kerana nak merasa makanan sahaja.
Di dalam ayat ini disebut buah-buahan dan daging. Daging yang diberikan itu tentulah lebih hebat dari daging yang kita biasa makan sekarang. Malah, mungkin ianya bukan dari jenis binatang pun. Kerana telah disebut dalam hadis bahawa susu yang di syurga itu bukanlah dari lembu dan madu itu bukanlah dari lebah. Maka tentulah Allah ﷻ boleh sahaja jadikan daging tanpa ambil dari binatang.
‘Buah-buahan’ disebut dahulu sebelum disebut daging; dan ada yang melakukan kajian bahawa buah-buahan itu seeloknya dimakan dahulu sebelum makan benda-benda yang lain. Ini adalah kerana buahan senang reput dalam perut dan kalau kita makan makanan lain dahulu, dan kemudian buah-buahan pula di atasnya, maka ia akan reput dan tidak diserap dalam perut. Bila jadi begitu, maka akan busuk buah itu dalam perut. Malangnya, orang kita selalunya makan buah selepas makan benda lain (dipanggil pula ‘pencuci mulut’) dan ini sudah terbalik dari yang sepatutnya.
Ayat 23:
يَتَنٰزَعونَ فيها كَأسًا لّا لَغوٌ فيها وَلا تَأثيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will exchange with one another a cup [of wine] wherein [results] no ill speech or commission of sin.
(MELAYU)
Di dalam syurga mereka saling berebut piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.
يَتَنٰزَعونَ فيها كَأسًا
Di dalam syurga mereka saling berebut piala
Piala itu adalah bekas minuman (goblet). Digunakan kalimah piala (maksudnya bekas minuman tanpa pemegang) untuk memudahkan ahli syurga minum kerana boleh pegang dari mana-mana bahagian pun. Kalau cawan yang ada pemegang, sudah susah sikit sebab kena dipegang dari satu bahagian sahaja. Benda sekecil itu pun dimudahkan untuk ahli syurga.
Ahli syurga akan berebut dan menarik piala dari ahli syurga yang lain. Kenapa sampai menarik bekas minuman orang lain pula? Ini bukanlah menunjukkan yang ada di syurga berebut-rebut seolah-olah tidak cukup minuman pula. Akan tetapi mereka bermain-main seperti kita berebut-rebut dengan anak kita.
Bayangkan kita bermain-main dengan anak kita: Kadang-kadang mereka ada barangan mereka yang mereka suka apabila kita cuba mengambil dari mereka. Mereka akan berlari-lari dan kita pun main kejar-kejar mereka. Sesiapa yang ada anak akan tahu perkara ini. Jadi ayat ini hendak menunjukkan bagaimana mesranya ahli syurga sesama mereka.
لّا لَغوٌ فيها وَلا تَأثيمٌ
yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.
Walaupun mereka berebut-rebut dan ganggu mengganggu sesama sendiri, tetapi ia bukanlah perkara dosa. Kerana ianya adalah untuk kemesraan sesama mereka. Kerana itu disebut ahli syurga tidak bercakap perkara yang lagha. Maksudnya tidaklah mereka berebut betul-betul macam yang kita lihat di dunia ini.
Minuman arak di syurga pula tidaklah menjadikan orang yang meminumnya jadi mabuk. Dan bila tidak mabuk, tidaklah cakap perkara sia-sia dan lagha, atau perkara yang menyakitkan hati. Kalau arak di dunia, tentu menyebabkan peminumnya mabuk dan mulalah cakap benda-benda mengarut, bukan? Untuk itu Allah ﷻ berfirman:
{بَيْضَاءَ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلا هُمْ عَنْهَا يُنزفُونَ}
(Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum. Tidak ada dalam khamr itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerananya. (Ash-Shaffat: 46-47)
Kalimah تَأثيمٌ bermaksud sesuatu yang boleh menyebabkan dosa dan itu pun tiada di syurga. Kadang-kadang apabila kita bermain-main di dunia, akhirnya boleh membawa kepada kesedihan kerana mungkin ada barang yang pecah dan sebagainya.
Atau ia bermaksud yang mereka berebut-rebut minum itu adalah air arak dan arak itu tidak memabukkan mereka dan tidak menyebabkan dosa. Memang tiada dosa lagi di syurga. Kerana kalau minum arak di dunia, akal akan menjadi mereng, maka akan cakap tipu, cakap benda-benda yang salah dan sebagainya.
{لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنزفُونَ}
mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk. (Al-Waqi’ah: 19)
Ayat 24:
۞ وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَّهُم كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَّكنونٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There will circulate among them [servant] boys [especially] for them, as if they were pearls well-protected.
(MELAYU)
Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.
وَيَطوفُ عَلَيهِم غِلمانٌ لَّهُم
Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka,
Kalimah غلمان adalah kanak-kanak muda sampai umur 17 tahun. Yang dimaksudkan adalah kanak-kanak pelayan di dalam syurga. Mereka dijadikan Allah ﷻ adalah untuk menyempurnakan nikmat kepada ahli syurga, kerana apabila ada para pelayan, maka itu lebih menambahkan kehebatan keadaan di dalam syurga itu.
Ini kerana memang semua sudah dimudahkan pun di syurga, tidak perlu nak susah payah ambil makanan pun sebenarnya. Sebagai contoh, kalau hendak buah, buah itu yang akan datang sendiri kepada kita. Tetapi bila ada pelayan, ia lebih menambah kehebatan lagi. Lebih menambah gah suasana di dalam istana syurga itu.
Satu pendapat mengatakan mereka ini adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum mereka baligh. Mereka tidak dimasukkan ke dalam neraka bersama ibubapa mereka (kalau ibu bapa mereka masuk neraka) maka mereka dijadikan pelayan di dalam syurga. Kerana tidak patut pula kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana mereka tidak bersalah. Allahu a’lam.
كَأَنَّهُم لُؤلُؤٌ مَّكنونٌ
seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.
Maksudnya kanak-kanak pelayan itu memakai pakaian yang kemas. Macam restoran mahal di dunia sekarang, pelayan restoran itu pakai uniform yang kemas. Kita pun selesa dan rasa kedai itu kemas dan kita akan tahu yang dapur pun kemas. Kalau pelayan pun pakai pakaian tak kemas, itu memberi isyarat yang kedai dan dapur kedai itu tidak bersih.
Jadi kalau kita perlu ke restoran dan hotel yang ada pelayan yang begini, maka kita tentu teringat akan ayat ini nanti.
Ayat 25:
وَأَقبَلَ بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ يَتَساءَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they will approach one another, inquiring of each other.
(MELAYU)
Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya.
Ahli syurga akan berjumpa sesama mereka dan bertanyaan di dalam syurga. Tidaklah mereka duduk bersendirian sahaja. Maka masih ada lagi elemen sosial, masih ada lepak-lepak bersama kenalan dan kawan lama. Ini adalah kerana manusia memang makhluk yang memerlukan interaksi sosial.
Macam-macam perkara yang mereka akan sembangkan apabila mereka berjumpa di dalam syurga. Allah ﷻ akan aturkan suasana di dalam syurga itu di mana ahli-ahli syurga akan berjumpa dan bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman mereka semasa di dunia dulu. Akan ada seperti pasar, atau majlis makan-makan sesama ahli syurga.
Antara yang mereka sembangkan adalah tentang nikmat yang mereka sedang dapat dalam syurga. Mereka akan bandingkan apa yang mereka dapat dalam syurga. Dan bercerita tentang segala nikmat-nikmat yang mereka sedang dapat dan bagaimana bersyukurnya mereka.
Ayat 26: Allah ﷻ naqalkan sebahagian dari kata-kata semasa mereka bertemu itu.
قالوا إِنّا كُنّا قَبلُ في أَهلِنا مُشفِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will say, “Indeed, we were previously among our people fearful [of displeasing Allāh].
(MELAYU)
Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”.
Dulu semasa mereka di dunia, mereka dalam keadaan takut. Takut buat dosa, takut buat salah. Risau macam mana hendak jaga keluarga supaya dalam keadaan iman dan terkawal dari anasir-anasir luar yang tidak elok.
Mereka risau tentang makanan mana yang halal dan baik untuk kesihatan. Mereka kena memikirkan di sekolah mana hendak hantar anak-anak mereka. Dengan siapa anak mereka berkawan. Ringkasnya, mereka risau macam mana hendak jaga ahli keluarga mereka dari korup agama. Mereka prihatin atas hal agama.
Selalunya manusia buat dosa kerana hendak puaskan kehendak keluarga dan anak-anak mereka. Kerana hendak beri kesenangan kepada anak contohnya, mereka sanggup menipu dalam perniagaan, terima rasuah, luangkan terlalu banyak masa dengan mereka sampaikan tidak melakukan amalan agama, tidak belajar agama dan sebagainya.
Maka, dalam ayat ini kita dapat isyarat yang ahli syurga tidaklah terleka dengan keluarga dan anak-anak mereka. Mereka tetap meluangkan masa dengan keluarga mereka, tetapi tidaklah keluarga mereka melekakan mereka dari urusan agama. Kerana mereka memang prihatin dengan agama.
Ataupun mereka menceritakan yang mereka dapat masuk ke dalam syurga itu kerana semasa mereka di dunia dengan ahli-ahli keluarga mereka, amat takut kepada Allah ﷻ dan kerana itu mereka dapat masuk syurga. Kerana takut kepada Allah ﷻ, maka mereka jaga amalan mereka dan iman mereka.
Ayat 27: Kesan dari perasaan takut mereka itu:
فَمَنَّ اللهُ عَلَينا وَوَقٰنا عَذابَ السَّمومِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So Allāh conferred favor upon us and protected us from the punishment of the Scorching Fire.
(MELAYU)
Maka Allah memberikan kurnia kepada kita dan memelihara kita dari bahang azab neraka.
فَمَنَّ اللهُ عَلَينا
Maka Allah memberikan kurnia kepada kita
Oleh kerana iman dan amalan mereka semasa di dunia, dengan takut kepada Allah ﷻ dan takut kepada azab, maka Allah ﷻ telah beri kurnia syurga itu kepada mereka.
وَوَقٰنا عَذابَ السَّمومِ
dan memelihara kita dari bahang azab neraka.
Dan mereka dibebaskan dari api neraka. Dan bukan api sahaja, tapi diselamatkan dari السَّمومِ (haba panas). Haba atau bahang dari api neraka itu pun sudah tak tahan kerana panas sangat. Dari bahang itu pun Allah ﷻ selamatkan mereka.
Kalau bahang pun sudah panas dan tidak tahan, kenapa ada juga orang Islam yang boleh kata: “tapi, kalau orang Islam masuk neraka pun, tak lama kan? Akhirnya akan masuk syurga, kan?” Begitu jahilnya mereka. Mereka sangka masuk neraka itu macam masuk penjara duniakah?
Ayat 28: Apa lagi benda benar yang ahli syurga telah lakukan?
إِنّا كُنّا مِن قَبلُ نَدعوهُ ۖ إِنَّهُ هُوَ البَرُّ الرَّحيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, we used to supplicate Him before. Indeed, it is He who is the Beneficent, the Merciful.”
(MELAYU)
Sesungguhnya kita dahulu menyeru-Nya. Sesungguhnya Dialah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.
إِنّا كُنّا مِن قَبلُ نَدعوهُ
Sesungguhnya kita dahulu menyeru-Nya.
Semasa mereka hidup di dunia, mereka selalu berdoa kepada Allah ﷻ. Yang penting, mereka hanya seru kepada Allah ﷻ sahaja dan tidak seru kepada Nabi, wali dan malaikat atau jin. Inilah ajaran tauhid.
Inilah yang penting sekali dalam bab tauhid yang kena disampaikan kepada manusia. Jangan sesekali jadikan ilah lain selain Allah ﷻ. Jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ, walaupun dalam bentuk tawasul (perantaraan dalam doa). Ini penting kerana ramai yang tidak faham tentang tawasul ini. Mereka sangka Nabi dan wali yang sudah mati itu boleh sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.
Malangnya ramai yang tidak faham hal ini. Ada ramai yang seru Nabi, wali dan malaikat. Dan mereka datangkan berbagai dalil-dalil bathil yang tidak sahih. Susah betul mereka hendak tinggalkan amalan tawasul ini. Ini kerana mereka jauh dari wahyu dan tidak dapat hendak faham larangan bertawasul. Malangnya perkara ini diajar oleh ahli agama juga (para ustaz).
إِنَّهُ هُوَ البَرُّ الرَّحيمُ
Sesungguhnya Dialah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.
Allah ﷻ lah yang baik dan sumber kepada segala kebaikan. Dari sini datang kalimah birr (kebaikan). Ianya dari ب ر ر yang bermaksud tanah kerana tanah adalah stabil. Jadi kalimah البَرُّ bermaksud kebaikan yang banyak dari Allah ﷻ. Allah ﷻ sangat baik kerana melimpahkan begitu banyak nikmat dan kebaikan kepada kita.
Dan Allah Maha Mengasihani kepada orang mukmin dan yang menjadi ahli syurga kerana apabila Allah ﷻ masukkan seseorang itu ke dalam syurga, maka Allah ﷻ tidak akan beri dia rasa sedikit pun kesusahan.
Maka mereka memuji-muji Allah ﷻ yang telah beri kebaikan kepada mereka.
Ayat 29: Oleh kerana manusia sama ada akan masuk ke dalam syurga ataupun ke dalam neraka, maka hendaklah diberi peringatan kepada manusia semasa mereka masih di dunia lagi. Kerana kalau masuk alam akhirat, sudah terlambat.
Ayat 29 – 43 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi pertanyaan Allah ﷻ kepada manusia untuk mereka memikirkan: Siapa Tuhan? Kami atau engkau?
فَذَكِّر فَما أَنتَ بِنِعمَتِ رَبِّكَ بِكاهِنٍ وَلا مَجنونٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So remind, [O Muḥammad], for you are not, by the favor of your Lord, a soothsayer or a madman.
(MELAYU)
Maka tetaplah memberi peringatan, dan kamu disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila.
فَذَكِّر
Maka tetaplah memberi peringatan,
Nabi Muhammad ﷺ memang telah beri peringatan dan ayat ini adalah suruhan kepada baginda untuk terus beri peringatan kepada manusia. Teruskan beri peringatan kepada manusia yang ramai.
Dan kita dalam usaha meneruskan usaha baginda, kenalah beri peringatan kepada manusia. Cari peluang untuk ingatkan tentang tauhid, tentang kebenaran kepada manusia. Akal kita kena sentiasa mencari-cari peluang untuk ingatkan manusia dengan kebenaran dari wahyu. Mungkin kita sedang makan dan minum dengan mereka, maka cari peluang untuk selitkan tentang ajaran agama kepada mereka. Otak kita kena jalan dalam dakwah.
فَما أَنتَ بِنِعمَتِ رَبِّكَ بِكاهِنٍ وَلا مَجنونٍ
dan tidaklah kamu, disebabkan nikmat Tuhanmu, seorang tukang tenung dan bukan pula seorang gila.
Allah ﷻ menegaskan yang Nabi Muhammad ﷺ bukan seorang kaahin. Kaahin adalah tukang tenung nasib dan juga bomoh. Nabi ﷺ bukanlah seorang bomoh dan baginda tidak boleh baca fikiran dan nasib manusia. Kerana itu baginda tidak tahu siapa yang mahu terima dan siapa yang tidak mahu terima dakwah baginda. Maka baginda terus sahaja dakwah kepada semua umat baginda.
Ayat ini juga bermaksud tempelak Allah ﷻ kepada Musyrikin Mekah yang menolak baginda. Mereka kata baginda itu sama ada kaahin atau orang gila. Mereka tuduh baginda dapat maklumat agama itu dari jin, bukannya dari Allah ﷻ. Mereka cakap begitu supaya orang lain tidak dengar apa yang baginda hendak sampaikan. Maka Allah ﷻ tolak tuduhan mereka dalam ayat ini.
Zaman itu memang ada orang yang kerja jadi kaahin. Mereka ini tukang tilik, tukang tenung, bomoh. Memang ini terkenal dalam masyarakat dan mereka ini cari makan dengan mengaku yang mereka tahu maklumat dari alam ghaib. Mereka mengaku mereka boleh berkomunikasi dengan jin. Maka mereka akan pergi ke sesuatu tempat dan iklankan khidmat mereka. Ramailah yang datang dan jumpa mereka tanya macam-macam perkara. Mereka dapat upah pula dengan kerja penilikan mereka itu.
Maka Musyrikin Mekah pun tuduh Nabi ﷺ pun salah seorang Kaahin juga. Tapi ini tidak dapat diterima oleh mereka yang pakai akal mereka. Kerana amat berbeza perawakan kaahin-kaahin itu dan Nabi Muhammad ﷺ. Kalimah-kalimah yang digunakan juga tidak sama dan pakaian pun tidak sama. Mereka itu pengotor dan tidak menjaga kebersihan. Dan Nabi tidak pernah minta upah dari mereka.
Dan Musyrikin Mekah juga tuduh baginda orang gila. Sampai sekarang pun ada golongan orientalis yang kata baginda keluarkan Al-Qur’an itu apabila baginda sedang kena epilepsi (sawan)! Mereka hendak kata baginda tidak sedarkan diri dan cakap benda-benda mengarut!
Adakah patut Al-Qur’an yang hebat ini mereka kata keluar dari akal yang gila? Tentu tidak sama sekali! Takkan otak gila boleh keluarkan Al-Qur’an yang hebat begini! Ia mengandungi pengajaran dan berita yang benar dan telah terbukti berkali-kali dalam sejarah dan saintifik. Ianya adalah nikmat dan rahmat dari Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ tutup tuduhan karut mereka itu dalam ayat ini.
Ayat 30: Ayat syikayah. Allah ﷻ sebut apa yang Musyrikin Mekah kata sesama mereka. Sebelum ini telah disebut yang mereka tuduh baginda seorang kaahin dan juga gila. Sekarang lihat pula tuduhan mereka yang lain. Ayat 30 – 34 adalah pembelaan Allah ﷻ ke atas Nabi Muhammad ﷺ.
أَم يَقولونَ شاعِرٌ نَّتَرَبَّصُ بِهِ رَيبَ المَنونِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Or do they say [of you], “A poet for whom we await a misfortune of time”?¹
- i.e., some accident or inevitable death.
(MELAYU)
Bahkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang penyair yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya”.
أَم يَقولونَ شاعِرٌ
Atau mereka mengatakan: “Dia adalah seorang penyair
Salah satu lagi tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ adalah baginda seorang penyair. Kerana apabila baginda membacakan Al-Qur’an, mereka kata baginda buat syair.
Ini tidak benar sama sekali kerana Al-Qur’an itu jauh lebih hebat dari syair. Para penyair yang hebat pada zaman itu pun tahu yang ianya bukan syair. Kerana mereka itu kenal apa itu syair dan bila mereka dengar Al-Qur’an, mereka tahu yang ia bukan syair. Memang ia sedap, tetapi ia bukan syair.
نَّتَرَبَّصُ بِهِ رَيبَ المَنونِ
yang kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya”.
Maka mereka menunggu apa yang akan terjadi kepada baginda kerana kadang-kadang penyair ada yang popular dan lama-lama mereka hilang pengaruhnya. Kalimah المَنونِ bermaksud ‘masa’. Mann juga bermaksud ‘pemberian’. Kerana memang kadang-kadang masa memberi kebaikan dan menggembirakan kita.
Mereka menunggu-nunggu akan musibah yang mereka kira akan menghancurkan Nabi ﷺ. Atau lama kelamaan, baginda akan hilang popularitinya setelah sekian lama dan orang akan buat tidak kisah baginda. Macam penyair zaman dulu dan penyanyi dan artis zaman sekarang. Selalunya sekejap sahaja mereka terkenal (one hit wonder); apabila datang penyanyi dan artis baru, hilanglah fenomena hebat mereka, bukan?
Atau mereka hendak kata, oleh kerana baginda kata berhala-berhala dan sembahan mereka itu tidak benar, maka tidak lama lagi baginda akan ditimpa musibah dek kerana kutuk berhala-berhala mereka itu. Mereka hendak kata, nanti berhala dan ilah-ilah mereka itu akan hancurkan baginda.
Jadi ayat ini menunjukkan yang surah ini adalah surah peringkat awal di Mekah di mana Musyrikin Mekah tidak tahu apa yang mereka hendak katakan tentang Nabi Muhammad ﷺ dan mereka tidak tahu bagaimana mereka hendak menghadapi baginda dan mereka hendak tengok saja dahulu. Mereka beri beberapa kemungkinan baginda itu (orang gila, kena penyakit, kena rasuk jin, penyair dan lain-lain lagi).
Mereka waktu itu tidak berapa risau sangat kerana mereka sangka populariti baginda itu tidaklah kekal lama. Maka mereka pada waktu surah ini diturunkan, mereka sedang tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.
Ayat 31: Ini jawapan kepada mereka. Allah ﷻ ajar bagaimana nak jawab tuduhan mereka itu.
قُل تَرَبَّصوا فَإِنّي مَعَكُم مِّنَ المُتَرَبِّصينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Wait, for indeed I am, with you, among the waiters.”
(MELAYU)
Katakanlah: “Tunggulah, maka sesungguhnya aku pun termasuk orang yang menunggu bersama kamu”.
قُل تَرَبَّصوا
Katakanlah: “Tunggulah
Maka tunggulah. Tengok apa yang akan jadi nanti. Kamu rasa yang lama-lama hilanglah Nabi Muhammad ﷺ, bukan? Musyrikin Mekah kata nak tunggu tengok apa yang akan jadi dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka Allah ﷻ kata: marilah tunggu sama-sama.
Begitulah juga, kadang-kadang kita tidak beri peluang kepada orang pun. Kadang-kadang apabila ada orang yang hendak berubah ke arah kebaikan daripada perangai teruk mereka, maka ada orang-orang yang kata: “alaahhh, itu sekejap sahaja tu. Nanti dia akan berubah balik… aku bagi sebulan jer”
فَإِنّي مَعَكُم مِّنَ المُتَرَبِّصينَ
maka sesungguhnya aku pun termasuk orang yang menunggu bersama kamu”.
Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ tempelak mereka balik: marilah kita tunggu sama-sama, malah aku pun akan tunggu bersama kamu…..
Maka kepada orang yang tidak percaya dengan kita (yang mahu berubah ke arah kebaikan), kita katakan kepada mereka yang tidak yakin itu yang kita akan tetap berpegang dengan agama ini. Kalau tidak percaya sama-samalah kita tunggu. Kau tunggu, aku pun nak tunggu juga. Mari sama-sama kita tunggu.
Dan secara umumnya lagi, kita tunggu datangnya akhirat bersama-sama. Mari tunggu dan lihat siapakah yang akan menang nanti dan siapa yang akan kena azab. Kamu tidak percaya dengan apa yang aku ajar ini, maka tunggulah kebenarannya di akhirat kelak.
Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 8 Oktober 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan