Tafsir Surah Ibrahim Ayat 23 – 24 (Masuk syurga kerana amal atau rahmat?)

GANJARAN KEPADA ORANG BERIMAN

Ibrahim Ayat 23: Ayat tabshir ukhrawi. Setelah diberitahu dengan berita buruk tentang balasan kepada mereka yang ingkar, sekarang diberi berita gembira tentang mereka yang taat pula. Begitulah selalunya seimbang ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Setelah disebut tentang tentang neraka, disebut pula tentang syurga. Ini adalah untuk menyeimbangkan perasaan kita. Kerana kalau disebut tentang neraka sahaja, tentulah kita akan takut sangat, putus asa dan tidak mampu untuk bekerja, belajar dan sebagainya.

وَأُدخِلَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم ۖ تَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believed and did righteous deeds will be admitted to gardens beneath which rivers flow, abiding eternally therein by permission of their Lord; and their greeting therein will be, “Peace!”

(MELAYU)

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah “salaam”.

 

وَأُدخِلَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ جَنّٰتٍ

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga

Melalui bahasa ayat ini, kita dapat tahu yang ahli syurga itu tidak masuk sendiri ke dalam syurga, tetapi dimasukkan. Maknanya mereka dibawa masuk, dijemput dan dipersilakan masuk. Inilah balasan yang diberikan kepada orang yang baik, berlawanan dengan balasan kepada orang yang kufur seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Memang begitulah kita apabila mempelajari tafsir Al-Qur’an dan membaca ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini, kadang rasa takut, kadang rasa tenang seperti disebut dalam Zumar: 23

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.

Siapakah yang boleh memasuki syurga itu? Mereka yang ada iman yang sempurna dan beramal soleh. Iman yang sempurna adalah iman yang tidak ada syirik. Mereka ini faham apakah syirik itu dan mereka meninggalkannya. Kefahaman ini tidak mungkin boleh dicapai melainkan kita memahami ayat-ayat Al-Qur’an kerana penerangan syirik banyak terkandung di dalam Al-Qur’an.

Iman yang benar hendaklah diikuti dengan amal yang soleh. Apakah pula amal soleh? Itulah amal yang mengkut ajaran Sunnah, bukannya amalan bid’ah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang. Oleh itu mestilah diperiksa mana-mana amalan dan fahaman supaya ia bertepatan dengan ajaran wahyu. Jangan hanya mengikut sahaja kerana ia akan menjadi sia-sia.

Ini kerana prasyarat sesuatu amalan itu diterima, mesti kena ada dua: pertama ikhlas kerana Allah ‎ﷻ dan kedua, amalan itu mesti ada sandaran kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Kalau tidak ada salah satu atau keduanya sekali, amalan itu tertolak dan menjadi sia-sia tidak kira sebanyak mana pun ia dilakukan.

Jikalau ada dua perkara itu, barulah dapat masuk ke dalam syurga. Akan tetapi bukankah kita tidak masuk syurga dengan amal melainkan dengan rahmat Allah ﷻ? Bukanlah Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))

Namun ayat di atas mengatakan orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Malah ada banyak lagi ayat-ayat lain seperti A’raf: 43

وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Begitu juga di dalam Baqarah: 25

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Tentu tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56

إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Di dalam ayat ini disebut orang yang muhsin. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia.

Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim (8))

Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.

2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu mesti adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur).

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung lagi dengan ihsan kepada manusia.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.

Malah bukan itu sahaja, kita kena ingat yang untuk membuat amal soleh pun memerlukan rahmat daripada Allah ﷻ juga. Hanya dengan rahmat Allah ﷻ barulah seseorang itu dapat mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam ertikata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat Allah ﷻ dan amal soleh untuk masuk syurga.

Rahmat Allah ﷻ bererti hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah ﷻ, mungkin sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat riya’ yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah ﷻ. Oleh itu janganlah berbesar diri atau angkuh seandainya tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan amal soleh. Kedudukan dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah ﷻ. Oleh itu hendaklah mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah ﷻ berhak untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja.

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Syurga itu adalah taman yang indah tetapi bukan ada pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu mengalir di dalam syurga itu. Ini teramat indah sekali. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka padang pasir sahaja dan tidak ada sungai. Maka kenyataan ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Lihatlah kisah tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk masuk ke dalam syurga.

 

خٰلِدينَ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم

mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. 

Mereka kekal di syurga dengan izin Allah ﷻ. Ini adalah satu nikmat yang amat besar, kerana kita dapat tenang dengan mengetahui yang akan dapat tinggal di dalamnya sampai bila-bila. Kerana katakan kita dapat duduk hotel paling mewah di dunia ini, kita tahu yang lama kelamaan kita kena keluar juga, bukan? Akan tetapi dengan syurga ini kita akan tinggal di situ sampai bila-bila.

 

تَحِيَّتُهُم فيها سَلٰمٌ

Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah “salaam”.

Kalimah التحيات adalah jamak kepada تَحِيَّة. ‘Tahiyat’ bermaksud kata-kata aluan yang baik. Ia adalah kata-kata aluan apabila berjumpa seseorang. Telah lama digunakan dalam bangsa Arab sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi. Ia daripada kalimah ح ي ي yang bermaksud ‘hayat’, ‘hidup’. Kita pun sepatutnya faham kerana kita pun menggunakan kalimah yang sama juga: “sehingga hayat dikandung badan.” Mereka menggunakan kalimah حَيَّكَ الله (hayyakallah) yang bermaksud: semoga Allah ﷻ memanjangkan hayatmu. Ucapan ini dipanggil تَحِيَّة. (Macam lafaz Allahu Akbar dipanggil Takbir, lafaz Alhamdulillah dipanggil Tahmid).

Apabila Islam bangkit, maka kalimah حَيَّكَ الله tidak lagi digunakan tetapi diganti dengan ‘assalamualaikum’. Namun terma tahiyyah masih lagi digunakan untuk ucapan yang diberikan kepada orang lain apabila bertemu. Ia juga digunakan di dalam tahiyyat kita di dalam solat. Dalam Al-Qur’an pun menggunakan perkataan itu. Kita boleh lihat dalam Nisa’: 86

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Oleh itu, Allah ﷻ memberitahu yang ucapan pertemuan mereka di dalam syurga adalah ‘salam’ (kesejahteraan). Inilah yang mereka ucapkan apabila mereka berjumpa dan bergembira sesama ahli syurga. Mereka sejahtera dalam menikmati kebaikan sesama mereka. Mereka amat suka dan gembira sekali kerana mereka dapat berjumpa dengan ramai orang yang beriman dahulu dan selepas mereka.

Ahli-ahli syurga akan mengucapkan kata-kata yang sejahtera sahaja sesama mereka. Maknanya ahli syurga akan bertemu sesama sendiri nanti di syurga. Tidak terkata perkataan-perkataan yang lain. Mereka berasa terlalu bersyukur kerana mereka telah selamat daripada api neraka. Mereka akan bercerita tentang berbagai nikmat yang mereka sedang dapati itu. Ini juga ada disebut dalam Waqiah: 25-26

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا
Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (daripada satu kepada yang lain).

Maka, perkataan تَحِيَّة ada kena mengena dengan ‘kehidupan’. Ayat ini memberi isyarat bahawa kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang penuh salam, penuh selamat dan sejahtera. Itulah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Di dunia, belum tentu lagi.

Bukan sahaja ucapan ini digunakan sesama mereka, tetapi daripada Allah ﷻ juga seperti disebut dalam Yaasin: 58

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ
(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Juga daripada para malaikat seperti disebut dalam Ra’d: 23-24

وَالمَلائِكَةُ يَدخُلونَ عَلَيهِم مِن كُلِّ بابٍ
sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم
(sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima sabartum”.

Sekali lagi, kalimah salam ini bukanlah seperti doa yang kita sebut di dunia ini apabila kita memberi ucapan salam Assalamualaikum itu. Di dalam ucapan salam ini ada mengandungi kalimah doa permohonan kesejahteraan. Akan tetapi di syurga nanti memang sudah sejahtera maka ia adalah sebagai penyataan kegembiraan mereka.

Semenjak daripada mereka mula hendak memasuki syurga lagi pun sudah diberikan salam oleh para malaikat. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلامٌ عَلَيْكُمْ
Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu, sedangkan pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya, “Kesejahteraan (dilimpahkan) atas kalian.”
(Az-Zumar: 73)


PERUMPAMAAN KALIMAH BAIK DAN KALIMAH BURUK

Ibrahim Ayat 24: Ayat ini sehingga ke ayat 27 adalah Perenggan Makro ke 5. Ia berkenaan Kalimah Toyyibah (kalimah baik) dan Khobitsah (kalimah buruk).

Allah ﷻ membuat perumpamaan kalimah toyyibah itu adalah seumpama pokok yang teguh akarnya. Sebaliknya kalimah khobitsah pula termasuk kalimah syirik, kata-kata ke arah akidah rosak, atau kata-kata yang tidak elok, kata-kata yang dosa, dan benda-benda lain yang tidak baik bagaikan pokok yang tercabut akarnya.

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِي السَّماءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered how Allāh presents an example, [making] a good word like a good tree, whose root is firmly fixed and its branches [high] in the sky?

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah ﷻ telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

 

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan

Allah ﷻ suruh kita gunakan akal untuk melihat perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan dalam Al-Qur’an. Ada banyak perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan untuk memberi pemahaman kepada kita tentang agama ini. Ini adalah cara pengajaran yang bagus, di mana dalam kita beri penjelasan kepada orang pun, kita akan gunakan analogi kepada orang yang kita ajar itu.

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) daripada Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah Swt. telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya berasa tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya? Sedangkan Allah ﷻ suruh kita perhatikan (yang bermaksud kenalah faham) akan perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ berikan seperti disebut dalam Hajj: 73

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu.

 

كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ

kalimat yang baik seperti pohon yang baik,

Allah ﷻ gunakan pokok sebagai perumpamaan kerana semua orang tahu tentang pokok dan boleh dilihat di mana-mana. Maka selepas ini apabila kita melihat pokok, secara automatik kita akan teringat dengan ayat ini.

Pokok yang baik diibaratkan كَلِمَةً طَيِّبَةً ‘kalimah yang baik’ – membawa maksud ‘Kalimah Tauhid’ (La ilaaha illallah). Allah ﷻ bandingkan Kalimah Tauhid ini seperti pokok yang baik. Selain daripada Kalimah Tauhid, termasuk juga dalam kategori kalimah-kalimah yang baik adalah seperti syahadah dan selawat.

Perumpamaan pokok juga telah pernah digunakan oleh Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam hadith,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “أَخْبِرُونِي عَنْ شَجَرَةٍ تُشْبِهُ -أَوْ: كَالرَّجُلِ -اَلْمُسْلِمِ، لَا يَتَحَاتُّ وَرَقُهَا [وَلَا وَلَا وَلَا] تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ”. قَالَ ابْنُ عُمَرَ: فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ، وَرَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ لَا يَتَكَلَّمَانِ، فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ، فَلَمَّا لَمْ يَقُولُوا شَيْئًا، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “هِيَ النَّخْلَةُ”. فَلَمَّا قُمْنَا قُلْتُ لِعُمَرَ: يَا أَبَتَا، وَاللَّهِ لَقَدْ كَانَ وَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ. قَالَ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَكَلَّمَ؟ قَالَ: لَمْ أَرَكُمْ تَتَكَلَّمُونَ، فَكَرِهْتُ أَنْ أَتَكَلَّمَ أَوْ أَقُولَ شَيْئًا. قَالَ عُمَرُ: لَأَنْ تَكُونَ قُلْتَهَا أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كَذَا وَكَذَا
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan, “Ketika kami sedang bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, ‘Ceritakanlah kepadaku tentang pohon yang menyerupai seorang Muslim, ia tidak pernah gugur daunnya, baik di musim panas mahupun di musim dingin, dan ia mengeluarkan buahnya setiap musim dengan seizin Tuhannya’.” Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan, “Lalu terdetik di dalam hatiku jawapan yang mengatakan bahawa pohon itu adalah pohon kurma. Tetapi aku melihat Abu Bakar dan Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tidak bicara, maka aku merasa segan untuk mengemukakannya. Setelah mereka tidak menjawab sepatah kata pun, bersabdalah Rasulullah ﷺ bahawa pohon tersebut adalah pohon kurma. Ketika kami bangkit (untuk pergi), aku berkata kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ‘Wahai ayahku, demi Allah, sesungguhnya telah terdetik di dalam hatiku jawapannya, bahawa pohon itu adalah pohon kurma.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Apakah yang mencegahmu untuk tidak mengatakannya?’Aku menjawab, ‘Aku tidak melihat kalian menjawab, maka aku segan untuk mengatakannya atau aku segan mengatakan sesuatu.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, ‘Sesungguhnya jika kamu katakan jawapan itu lebih aku sukai daripada anu dan anu’.”
(Sahih Bukhari (4698))

Kenapakah pokok kurma? Pertamanya kerana itulah pokok yang amat rapat dengan bangsa Arab, penerima pertama Al-Qur’an ini. Maka Allah ﷻ beri contoh dengan benda yang mereka kenal sangat. Kurma adalah makanan ruji mereka dan ia memang hebat pun. Akarnya memang dalam dan pokoknya pun tinggi. Apabila tinggi, ia selamat daripada gangguan. Buah kurma itu pula amat versatile, boleh dimakan dengan berbagai cara, sama ada basah atau kering, boleh dijadikan jem dan juga air minuman pun ada. Ia boleh disimpan lama membolehkannya dimakan sepanjang tahun. Batang, pelepah dan daunnya juga boleh digunakan. Pendek kata keseluruhan bahagian pohon kurma itu dapat memberi manfaat kepada manusia. Begitulah perumpamaan bagi orang yang baik dan fahaman yang baik – sangat-sangat berguna bagi manusia.

 

أَصلُها ثابِتٌ

akarnya teguh

Kenapakah pokok itu dianggap baik? Kerana akarnya tertunjang jauh ke dalam tanah. Sekiranya akar itu dalam dan kuat, itu menandakan yang pokok itu kukuh tidak berganjak. Kalimat inilah yang diumpamakan dengan pohon yang baik, berurat teguh ke bumi, berdahan kuat ke langit. Oleh kerana subur tumbuhnya dan teguh uratnya bermula dari dalam tanah, dengan sendirinya pohonnya pun menjadi subur. Apabila pohon subur, dahan banyak dan daun pun rendang, maka dahan-dahan dan daun-daun pun dapat menyerap cahaya matahari dan itulah yang menambah kesuburan keseluruhannya. Kesuburan suatu pohon bergantung kepada baiknya penyerapan sari bumi (air dan mineral daripada tanah) daripada urat akar dan baiknya penyerapan sari udara (gas karbon dioksida) serta daripada cahaya matahari dan daun-daun.

Apakah bandingan dengan agama? Maksudnya, akar yang kuat dan dalam itu memberi isyarat kepada iman yang kuat. Sekiranya kalimat Syahadat ini sudah tertanam dalam jiwa, bererti kita telah menanam Syajaratul Hayah, atau Pohon Hidup, atau Pohon Terang. Maka seluruh gerak-geri kehidupan seorang Muslim dimulai dengan kalimat ini dan disudahi dengan kalimat ini juga. Mulai dia tumbuh, lalu dipupuk baik-baik, disiram, diberikan udara dan cahaya matahari yang secukupnya, hasilnya bertambah kuatlah cabang, dahan dan rantingnya dan daun-daunnya. Itulah hidup yang subur, atau itulah yang sebenarnya hidup. Seandainya tidak ada itu semua, bererti sama seperti mati kerana jiwa sudah mati.

وَفَرعُها فِي السَّماءِ

dan dahannya (menjulang) ke langit,

Bukan sahaja akarnya dalam di tanah, tetapi cabangnya meninggi naik ke langit. Ini hanya berlaku kalau akar sesuatu pokok itu kuat, bukan? Ini menandakan pokok itu pokok yang sihat yang boleh memberi manfaat.

Apabila cabangnya tinggi dan banyak, buah pun tentu banyak. Ini merujuk kepada amalan yang dilakukan hasil daripada iman yang benar. Banyaklah amalan yang perlu dijaga dan ini memerlukan pembelajaran yang berterusan. Antaranya boleh lihat firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 177

۞ لَيْسَ الْبِرَّاَنْ تُوَلُّوْا وُجُوْهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ وَالْكِتٰبِ وَالنَّبِيّٖنَ ۚ وَاٰتَى الْمَالَ عَلٰى حُبِّهٖ ذَوِى الْقُرْبٰى وَالْيَتٰمٰى وَالْمَسٰكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِۙ وَالسَّاۤىِٕلِيْنَ وَفىِ الرِّقَابِۚ وَاَقَامَ الصَّلٰوةَ وَاٰتَى الزَّكٰوةَ ۚ وَالْمُوْفُوْنَ بِعَهْدِهِمْ اِذَا عَاهَدُوْا ۚ وَالصّٰبِرِيْنَ فِى الْبَأْسَاۤءِ وَالضَّرَّاۤءِ وَحِيْنَ الْبَأْسِۗ اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ صَدَقُوْا ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Ayat daripada surah Baqarah ini memberi ringkasan kepada perkara yang perlu dijaga dalam amalan kehidupan kita. Untuk mendapatkan balasan yang baik, maka amalannya pun hendaklah baik juga seperti yang dikehendaki oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ memberitahu kita di dalam ayat ini yang dahannya menjulang ke langit. Ini memberi isyarat yang amalan itu naik ke atas dan diterima oleh Allah ﷻ. Iaitu memberi isyarat amalan orang itu naik untuk menemui Tuhan untuk disimpan amalan itu di sisi-Nya. Ini penting kerana bukan semua amalan diterima. Kita telah sebutkan sebelum ini bahawa dua syarat yang amalan itu akan diterima: ikhlas kerana Allah ﷻ dan mengikut panduan Sunnah.

Akar yang kukuh menghasilkan dahan kuat tinggi menjulang ke langit

Akan tetapi untuk cabang pokok itu dapat naik tinggi ke langit, ia memerlukan akar yang kukuh, kerana kalau tidak, pokok itu tidak teguh. Maka untuk amal naik ke langit, ia memerlukan iman yang teguh sepertimana akar pokok yang teguh, baru ia boleh naik tinggi. Kerana itulah pemahaman Tauhid dan Akidah mesti diperkemaskan semenjak awal-awal lagi. Kalau ada masalah dengan hal ini, maka amalan itu akan menjadi sia-sia sahaja walaupun amalan itu mengikut Sunnah. Maka kedua-duanya penting seperti firman Allah ﷻ di dalam Fatir: 10

إِلَيهِ يَصعَدُ الكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالعَمَلُ الصّٰلِحُ يَرفَعُهُ
Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh menaikkannya.

Maka ayat ini menjadi hujah bahawa iman dan amal itu adalah perkara yang bersangkutan. Seandainya beriman sahaja tetapi tidak diteruskan dengan perbuatan yang baik, maka itu adalah sia-sia. Sebagai contoh, kalau seseorang itu mengucapkan tahlil (la ilaaha illallah) sebaliknya perbuatannya adalah syirik seperti tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, maka ini adalah tidak betul dan tidak sah tahlilnya itu.

Maka malanglah orang yang beramal banyak, tetapi akidah dia tidak benar lagi. Dia rajin beribadat, tetapi dia tidak faham tauhid kerana dia tidak belajar. Dia ada lagi fahaman syirik dan amalan syirik kerana dia tidak tahu yang dia sedang melakukan syirik.

Tidaklah dia sengaja mahu berbuat syirik, tetapi dek kerana kejahilan itulah yang menyebabkan dia melakukannya. Ini kerana fahaman dan amalan syirik itu diajar dan dibisikkan oleh jin syaitan. Begitulah apabila dia tidak ada kayu pengukur wahyu, maka dia tidak tahu sama ada ajaran bisikan syaitan itu benar atau tidak, maka dia amalkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment