Tafsir Surah Ali Imran Ayat 73 – 78 (Masuk Islam olok-olok)

Ayat 73: Dalam para ketua itu suruh pengikut mereka masuk Islam olok-olok, mereka pesan juga kepada puak dia supaya jangan percaya betul-betul dengan agama Islam. Mereka diingatkan supaya tunjuk beriman secara zahir sahaja.

Ini kerana mereka takut juga mereka kalau orang yang mereka hantar itu beriman betul-betul pula. Kerana ramai yang sudah tengok-tengok agama Islam dan telah masuk terus. Teringat bagaimana ada orang bukan Islam yang mahu tahu tentang agama Islam selepas kejadian pengeboman 9-11 Twin Tower di America. Mereka tergerak untuk mengetahui apakah agama Islam yang selalu diperkatakan itu.

Selepas mereka mengkaji, ramai yang masuk Islam kerana mereka nampak kebenaran dalam Islam itu. Oleh itu, rancangan jahat orang kafir untuk memburukkan Islam telah memakan diri mereka, kerana bukannya orang semakin takut kepada Islam, tapi orang semakin tahu kepada agama Islam dan mereka telah memeluk agama Islam.

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And do not trust except those who follow your religion.” Say, “Indeed, the [true] guidance is the guidance of Allah . [Do you fear] lest someone be given [knowledge] like you were given or that they would [thereby] argue with you before your Lord?” Say, “Indeed, [all] bounty is in the hand of Allah – He grants it to whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Wise.”

MALAY

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah”. Bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

 

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”.

Ini adalah kata-kata ketua agama mereka. Mereka pesan kepada pengikut mereka yang disuruh untuk masuk Islam olok-olok itu, untuk hanya ikut orang yang seperti agama mereka sahaja. Jangan tinggalkan agama asal pula. Takut benar mereka kalau orang-orang muda yang mereka hantar itu akan masuk benar-benar dalam agama Islam. Ini kerana mereka pun sudah goyang.

 

قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”.

Allah suruh Nabi beritahu hidayah yang ada pada orang Islam itu adalah diberi oleh Allah, bukan datang dari tempat lain. Itulah sahaja hidayah yang benar. Dan Allah sahaja yang boleh beri hidayah dan tarik hidayah. Manusia tak boleh nak paksa untuk orang hidayah.

Dan manusia pun tidak boleh menarik hidayah dari orang lain. Kalau mereka buat perancangan pun, tapi Allah tak benarkan, ianya tidak akan terjadi.

 

أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ

bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu,

Allah buka pekung golongan jahat itu: Rancangan mereka ini semua kerana mereka dengki ada orang lain dapat kitab suci dari Allah juga. Mereka tak puas hati. Kalau ada penyakit dengki dalam hati, memang akan ada masalah.

 

أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ

atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”.

Atau kerana mereka bimbang umat Islam yang dapat kitab itu juga berhujah dengan mereka nanti di hadapan Allah dengan dalil dan bukti.

 

قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,

Allah boleh pilih sesiapa sahaja yang hendak diberikan hidayah atau kitab suci. Manusia tidak boleh pertikaikan apa yang Allah lakukan. Ahli kitab tidak boleh nak pertikaikan kenapa orang bangsa Arab pula yang dapat kitab wahyu.

Dulu memang mereka dapat kelebihan itu. Mereka dulunya pegang agama dan Allah beri banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi apabila mereka telah menyalahgunakan kelebihan mereka itu, mereka sudah rosakkan agama, maka Allah tarik balik kelebihan mereka itu. Jadi kesalahan itu pada diri mereka sendiri sebenarnya.

 

يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ

diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;

Allah boleh beri apa sahaja yang Allah mahu kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Malangnya ada juga yang dengki seperti orang Yahudi tidak dapat terima ada Nabi dari kalangan Bani  Ismail. Maka Allah beritahu dalam ayat ini yang terpulang kepada Allah siapa yang hendak diberinya wahyu dan kenabian..

 

وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

Allah ada banyak kelebihan yang Allah telah berikan dan yang Allah akan berikan. Ianya amat luas.

Dan Allah maha mengetahui siapa yang patut dapat wahyu. Sepatutnya puak Bani Israil kena periksa diri kenapa wilayah kenabian ditarik dari mereka, bukannya menolak pilihan Allah hendak memberikannya kepada bangsa lain. Mereka kena baiki diri mereka sendiri dulu dan jangan salahkan orang lain.


 

Ayat 74:

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

He selects for His mercy whom He wills. And Allah is the possessor of great bounty.

MALAY

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

 

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; 

Allah beri rahmat secara khusus kepada orang yang tertentu. Pilihan siapa yang dapat itu adalah pilihan Allah sendiri. Allah yang tentukan dan kita tidak ada pilihan untuk mempertikaikan keputusan Allah itu.

Rahmat yang khusus iaitu rahmat yang sampai boleh membawa orang itu masuk syurga. Kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga Allah dengan rahmatNya sahaja. Bukannya dengan amalan kita.

 

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah ada banyak limpah kurnia yang boleh diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ianya adalah haq Allah sahaja. Dia sahaja yang boleh tentukan siapa yang akan dapat.

Walaupun pangkat kenabian diberikan kepada Bani Ismail, tetapi Nabi Muhammad bukanlah untuk Bani Ismail sahaja, tapi kepada seluruh dunia. Maka, ianya adalah rahmat yang luas dari Allah. Kalau mereka mahu, mereka masih lagi boleh mendapatnya. Asalkan mahu terima ajaran dari Nabi Muhammad, iaitu ajaran Tauhid.


 

Ayat 75: Ini adalah ayat jenis Syikayah (rungutan Allah) yang keempat. Ahli Kitab itu kata mereka belajar kitab suci tapi dalam masa yang sama, mereka khianat dalam harta. Mereka tidak ikut syariat apabila berurusan dengan harta. Pada mereka, asal untung sahaja, mereka akan ambil peluang.

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And among the People of the Scripture is he who, if you entrust him with a great amount [of wealth], he will return it to you. And among them is he who, if you entrust him with a [single] silver coin, he will not return it to you unless you are constantly standing over him [demanding it]. That is because they say, “There is no blame upon us concerning the unlearned.” And they speak untruth about Allah while they know [it].

MALAY

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

 

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya kepadamu, 

Jangan kita pukul rata tentang keseluruhan golongan Ahli Kitab itu. Banyak juga dari kalangan mereka yang jujur. Maka kita kena ingat yang ada kalangan mereka yang baik. Sebagai contohnya dalam ayat ini, Allah beritahu kita yang kalau kita amanahkan banyak pun harta kepada mereka untuk mereka simpan, mereka akan amanah dan akan pulangkan kembali.

Ini penting untuk disebut kerana Bangsa Arab dan Yahudi banyak melakukan perniagaan dan urusan sesama mereka, maka adalah kadangkala ada benda yang diamanahkan kepada mereka. Ada yang amanah dan jujur yang akan mengembalikan kepada tuannya.

 

وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا

dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau berdiri selalu menuntutnya.

Tapi ada dari kalangan mereka yang tidak jujur. Kalau beri sedikit wang kepada mereka untuk mereka simpan pun, mereka tidak mahu pulangkan apabila kita minta. Kalau nak dapatkan juga, kena diri depan mereka dan minta banyak kali kepada mereka.

Ini sama macam orang buruk yang diberi pinjam duit. Masa hendak pinjam duit, hebatlah mereka berjanji. Tapi apabila nak diminta balik, kena berkali-kali minta baru diberi kembali. Macam kita pula yang kena minta tolong dia.

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ

Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi 

Kenapa mereka sanggup buat begitu? Kerana mereka kata tidak ada dosa atas mereka kalau tipu orang buta huruf dari bangsa Arab. Kalimah ‘ummi’ bermaksud golongan yang tidak ada kitab wahyu. Dan kalimah سَبِيلٌ itu bermaksud ‘dosa yang ditanggung’. Mereka sangka mereka takkan didakwa di hadapan Allah pada pandangan mereka. Mereka sangka tidak berdosa pun.

Kerana pada mereka, yang mereka tipu itu berada pada kedudukan yang rendah, kedudukan mereka yang tidak agama. Ini adalah kerana pada mereka, orang-orang Arab yang tidak ada agama ini pun akan masuk neraka pun nanti, jadi mereka tak boleh nak dakwa nanti di hadapan Allah.

Orang Islam pun malangnya, ada yang guna hujah ini sampai berani tipu dan curi dari orang kafir. Ini adalah salah faham kerana tidak faham agama. Takkan kita sama macam mereka?

 

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah

Mereka kata yang fahaman mereka itu ada perintah Allah dalam kitab. Mereka kata mereka tidak akan bersalah kerana kononnya mereka ada kelebihan sampai boleh tipu bangsa yang ummiy.

Lihatlah teruknya mereka sampai mereka sanggup menipu atas nama Allah. Mereka tuduh perkara itu ada dalam agama padahal tidak ada pun sebagaimana yang mereka katakan itu. Sanggup mereka kata Allah benarkan berlaku zalim kepada orang lain?

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui 

Sedangkan mereka tahu apa yang mereka kata itu adalah tipu belaka.

Lihatlah bagaimana ada orang Yahudi lain yang berhubungan baik dan jujur amanah kepada bangsa Arab seperti yang disebut di awal ayat ini. Maknanya yang mereka kata boleh tipu bangsa yang ummiy itu bukanlah benar kerana kalau ianya benar, tentulah semua Yahudi akan buat begitu.


 

Ayat 76: Ini yang sepatutnya dipegang. Sama sahaja layanan yang kena diberikan kepada semua orang.

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

But yes, whoever fulfills his commitment and fears Allah – then indeed, Allah loves those who fear Him.

MALAY

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

 

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya

Kita kena menyempurnakan janji. Ini adalah ringkasan agama Islam. Konsep ini penting kerana dalam kehidupan kita, ada macam-macam janji. Oleh kerana Allah tak sebut janji apa dalam ayat ini, jadi ia boleh dipakai untuk semua jenis janji.

Bukankah kita selalu ada janji? Sebagai contoh kita ada janji dengan Allah, dengan Nabi, dengan kerajaan, syarikat, sesama manusia, sesiapa sahaja. Asalkan janji, kena dipenuhi. Walaupun kepada orang sesama Islam, atau dengan orang kafir.

Maka, kalau kita berjanji dengan orang kafir pun, kita kena tunaikan janji kita. Jangan pula beri alasan yang boleh menipu orang kafir kerana mereka itu kafir. Itu adalah fahaman yang salah.

Kita hidup dalam dunia ini dipegang pada janji kita, tidak kisah dengan siapa sahaja. Kalau janji tidak dijaga, akan kecoh kehidupan dunia ini. Kerana kalau kita memungkiri janji, orang yang dimungkiri akan marah dan boleh sampai menyebabkan permusuhan dan peperangan. Takkan kita mahu hidup di dunia yang sebegitu?

 

وَاتَّقَىٰ

dan bertaqwa,

Dan kena bertaqwa iaitu jaga hukum syariat. Termasuk dalam taqwa itu adalah takut kepada Allah. Iaitu kita penuhi janji kita kerana takut kepada Allah. Kita tahu yang Allah akan balas kesalahan tidak jaga amanah dan tidak penuhi janji ini di akhirat nanti. Mungkin orang yang kita berjanji itu lemah dan tidak dapat buat apa-apa kalau kita tidak tunaikan janji kita, tapi yang akan mempersoalkan kita nanti adalah Allah.

Dan memenuhi janji itu amat penting sampaikan Allah mengaitkan memenuhi janji dengan  taqwa dalam ayat ini. Maksudnya orang yang tidak memenuhi janjinya, bukan orang yang bertaqwa.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat ini menunjukkan yang orang taqwa adalah yang penuhi janji. Allah kasih kepada orang yang bertaqwa. Oleh kerana itu kita hendaklah meningkatkan diri kita sampai menjadi orang yang bertaqwa. Maka kalau mahu kasih Allah, maka kenalah penuhi janji kita.


 

Ayat 77: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who exchange the covenant of Allah and their [own] oaths for a small price will have no share in the Hereafter, and Allah will not speak to them or look at them on the Day of Resurrection, nor will He purify them; and they will have a painful punishment.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji dengan Allah dan mencabuli sumpah mereka, untuk keuntungan dunia yang sedikit 

Ini adalah tentang mereka yang sanggup tukar fahaman tauhid dengan mengambil fahaman syirik. Mereka jual janji yang telah dibuat dengan Allah untuk mentauhidkanNya. Ini termasuk bomoh-bomoh atau guru yang mengajar ajaran yang berlandaskan syirik kepada manusia. Kerana mereka boleh mendapat upah dari manusia dari ajaran mereka itu.

Atau mereka sanggup jual sumpahan mereka dalam berurusan dengan manusia. Sanggup guna sumpah dalam menipu.

Golongan Yahudi ada yang sanggup menipu tentang isi Kitab Taurat dan mereka sanggup bersumpah untuk mengatakan yang mereka tidak menipu.

Ayat ini juga menempelak mereka yang ringan sahaja mulut mereka mengucapkan sumpah dengan nama Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah kerana nak orang senang percaya kepada mereka maka senanglah mereka menipu. Ini adalah amat buruk sekali kerana kesannya, manusia sudah tidak akan percaya kepada orang lain lagi, kerana sudah murah sumpah atas nama Allah.

Menggunakan nama Allah sebagai sumpah tapi menipu adalah amat buruk sekali kerana merendahkan nilai nama Allah.

Semua itu sanggup mereka lakukan untuk ambil harta yang sedikit. Walau banyak mana pun keuntungan yang diperoleh hasil dari sumpah palsu itu, ianya masih kecil dan sedikit sekali kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan perolehi di akhirat kelak.

 

أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ

mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat,

Tidak dapat apa pun bahagian yang baik di akhirat. Mereka akan dapat dosa sahaja.

 

وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ

dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka 

Allah tidak akan berkata-kata dengan cara baik kepada mereka. Allah hanya akan berkata-kata dalam nada yang amat murka kepada mereka.

 

وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ

dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat,

Allah tidak akan melihat mereka dengan pandangan rahmat. Dan mereka pun akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Ini menunjukkan betapa hinanya mereka.

Ini adalah satu hukuman yang amat berat yang Allah sebut di sini. Kerana ada dosa-dosa besar yang lain seperti minum arak dan berzina. Tetapi Allah tidak kata pun yang Dia tidak akan bercakap atau memandang mereka.

 

وَلا يُزَكّيهِم

dan tidak akan membersihkan mereka 

Mereka tidak akan dibersihkan dari dosa mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan diazab atas dosa-dosa mereka itu. Sedangkan orang mukmin, mereka pun mungkin juga ada dosa, tapi Allah ampunkan dosa mereka.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Yang mereka dapat hanyalah azab yang amat pedih dari Allah. Azab itu tidak berkurangan sedikit pun dari mula mereka masuk sampai bila-bila.


 

Ayat 78: Ini adalah ayat syikayah kelima yang ditujukan kepada Ahli Kitab. Bukan harta benda sahaja yang mereka khianat, malah ilmu pun mereka khianat juga.

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And indeed, there is among them a party who alter the Scripture with their tongues so you may think it is from the Scripture, but it is not from the Scripture. And they say, “This is from Allah ,” but it is not from Allah . And they speak untruth about Allah while they know.

MALAY

Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

 

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ

Dan sesungguhnya, di antara mereka ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab 

Mereka memutar belit lidah mereka semasa membacakan kitab. Mereka heret huraian kitab kepada maksud yang mereka hendak ikut nafsu mereka. Maknanya, mereka guna bahasa untuk memusingkan maksud kitab suci.

Mereka memang pandai guna bahasa. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan perkataan راعِنا seperti yang disebut dalam ayat Baqarah:104. Begitu juga mereka telah ubah lafaz salam kepada Nabi dengan menggunakan lafa ‘sam’ yang bermaksud ‘mati’ dan macam-macam lagi.

 

لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ

supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab

Mereka pandai berhujah kepada pengikut mereka supaya yang dengar itu sangka itu memang benar dari kitab. Dan memang  kebanyakan pengikut tidak dapat menilai kerana ramai yang pakai ikut sahaja apa kata pemimpin mereka.

Tambahan pula mereka tidak dapat melihat keseluruhan kitab Taurat itu. Ini adalah kerana keseluruhan kitab dipegang oleh pemimpin agama sahaja. Masyarakat awam tidak ada naskah penuh (tidak macam kita yang setiap rumah boleh dikatakan ada naskah Al-Qur’an).

 

وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ

padahal ia bukanlah dari Kitab

Sedangkan ia bukan dari kitab. Atau makna yang sebenar bukanlah seperti yang tertulis dalam kitab wahyu mereka.

Kita telah tahu sebelum ini bagaimana golongan Ahli Kitab itu pandai menggunakan bahasa untuk memesongkan sesuatu maksud. Macam mereka ubah perkataan undzurna kepada raa’ina seperti dalam ayat Baqarah:104. Dan kita tahu dari sirah bagaimana mereka beri salam kepada Nabi Muhammad bukan assalamualaikum tapi assamu’alaikum yang bermaksud ‘matilah kamu’. Jadi mereka itu memang pandai pusing-pusing bahasa.

Maka, pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, janganlah kita pusing-pusing ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi untuk membenarkan perbuatan kita. Malangnya begitulah yang terjadi. Banyak dalam negara ini yang menggunakan hadis untuk membenarkan amalan bidaah mereka dengan mereka memusingkan makna ayat Al-Qur’an atau lafaz hadis itu.

Sebagai contoh, sampai ada yang menggunakan hadis Nabi untuk suruh lafaz niat usolli, padahal tidak ada. Sebab tidak ada, mereka pakai sahaja mana yang ada. Mereka ambil hadis Nabi:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

(Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.)

Mereka sanggup gunakan perkataan أُصَلِّي dalam hadis ini sebagai dalil adanya lafaz niat yang dimulai dengan ‘usolli’ itu! Sedangkan kalau kita guna akal yang waras, ini bukan lafaz niat! Ini amatlah tidak bertanggung jawab langsung.

 

وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ

Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah;

Mereka kata maksud yang mereka sampaikan itu dari Allah padahal tidak pun. Kita tidak salah kalau beri pendapat kita tapi janganlah mengaku ia dari wahyu Allah. Macam ada orang yang beri pendapat sahaja dan beritahu itu pendapat mereka sahaja, supaya yang dengar tidak keliru dan tahu yang itu bukannya nas.

Malangnya ada yang beri dalil dari ayat Al-Qur’an tetapi diterjemahkan ikut kehendak mereka. Sebagai contoh, ada golongan yang zikir menari dan melompat-lompat. Bila kita minta dalil bagi amalan itu mereka kata ada dalam Al-Qur’an ayat Nisa’:103

فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم

hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

Mereka kata, kejap duduk, kejap baring, kejap berdiri itu macam menarilah! Ini memang alasan amat karut sekali. Mereka pusing ayat Al-Qur’an ikut kehendak mereka. Sedangkan kalau kita baca ayat ini dan tafsirnya, tidaklah ia menyebut amalan zikir sambil menari.

 

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah

Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Tujuan mereka adalah kerana hendak perangkap mereka yang jahil.

Kalau Allah sebut tentang perkara ini dalam Al-Qur’an, maknanya sekarang pun masih ada lagi perbuatan itu. Kerana perbuatan salah manusia berulang-ulang. Dalam kalangan masyarakat Islam pun ada. Ada yang buat perkara yang sama dengan Al-Qur’an. Mereka bacakan ayat Quran dan mereka tafsir ikut kemahuan mereka dan ikut kepada agenda mereka.

Maka yang mendengar telah keliru dan sangka itu sebahagian dari agama. Begitulah yang banyak terjadi sekarang, sampaikan pecah belah masyarakat – antara yang tahu kebenaran dan antara yang jahil. Yang jahil itu tetap mahu mempertahankan pendapat yang salah.

Maka mereka pun katalah yang ustaz itu kata boleh buat amalan ini, ulama’ itu kata begini dan begitu. Semua pakai kata-kata manusia sahaja, tapi tidak disertakan dengan dalil dari Al-Qur’an atau hadis. Mereka sendiri tidak tahu nak belajar sampai faham Al-Qur’an, tapi pakai pendapat manusia sahaja.

Itu tidak termasuk mereka yang dengan beraninya mengatakan sesuatu itu dalam Al-Qur’an. Kadang-kadang kita dapat forward message dari entah siapa yang kata: “ini Allah sudah sebut dalam Qur’an…” padahal kita tengok 30 juzuk Al-Qur’an, tidak ada pun disebut perkara yang mereka kata itu. Memang ini jenis orang pakai petik sahaja dan tidak tahu neraka.

Dan yang lebih sedih, ramai pula yang percaya! Sebab jahil sangat dengan Al-Qur’an. Apa yang ada dan tiada dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu. Kalaulah golongan pendita itu dapat jumpa para penipu dari kalangan umat Islam, tentu mereka minta autograph. Sambil mereka puji: “Kami nak tipu masyarakat kami, kami kena sorok kitab wahyu dari mereka. Tapi kamu lagi hebat! Kamu tipu masyarakat kamu sedangkan Al-Qur’an depan mata mereka!”

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui

Ini adalah orang yang paling teruk. Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Kalau kita sampaikan perkara salah kerana kita jahil tidak tahu (kerana tidak periksa betul-betul), pun sudah salah, apatah lagi kalau terang-terang membohong dalam tahu itu adalah bohongan.

Memang golongan Ahli Kitab itu paling teruk. Kerana mereka bohong dalam mereka tahu itu kebohongan.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Oktober 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s